11 March 2014

Ya Allah Leha Kenapa Aku Lehaaaa!

[Kredit]

Malaysia dikejutkan dengan pelbagai kejadian dan musibah sejak kebelakangan ini. Hujan yang tidak turun sejak sekian lamanya menyebabkan beberapa negeri di negara ini mengalami krisis air yang meruncing dan merisaukan.

(Sayup-sayup kedengaran jeritan dari jauh, "Oyyy macam mana aku nak beristinja' niii...??")

Ehem.

Tidak cukup dengan itu, jerebu tebal yang melanda negara juga cukup merunsingkan. Selain berkemungkinan besar diserang penyakit respiratori, ramai makcik-makcik yang mengeluh kerana pakaian yang dijemur di ampaian kotor dan tidak selembut sepertimana yang diiklankan di telebisen. Eh.

Peningkatan secara mendadak serangan denggi juga cukup mengerikan. Dikisahkan bagaimana sehingga hospital-hospital swasta pon tidak cukup katil untuk menempatkan para pesakit denggi. Jumlah kematian yang disebabkan oleh penyakit ini juga melampau-lampau tingginya, meskipon kita beriman bahawa ajal itu di tangan Allah.

Semuanya ini wajar membuatkan kita berfikir dan bermuhasarawak; apakah mesej atau ibrah yang inigin disampaikan kepada Allah? Adakah ia semata-mata fenomena semulajadi yang punya kitarannya yang tersendiri? Atau ia adalah bala bencana dari langit demi mengajar rakyat Malaysia yang semakin alpa dan leka daripada menyembahNya? Atau sekadar mehnah dan cubaan untuk menguji siapakah antara kita ini yang paling baik amalannya?

Yang terbaru, misteri kehilangan kapal terbang MH370 yang masih menjadi tanda tanya sehingga artikel ini ditulis. Kejadian yang berlaku pada 8 Mac yang lalu itu benar-benar membuatkan masyarakat dunia tergaru-garu kepala dan hidung mereka. Malah para pakar penerbangan juga terpaksa menyertai acara menggaru kepala secara berjemaah ini, kerana mereka sendiri tidak punya jawapan yang muktamad untuk menjelaskan misteri yang lebih misteri daripada Misteri Nusantara itu.  

Kini, Malaysia menjadi tumpuan dunia. Saya sendiri sedikit terkejut apabila membuka portal akhbar antarabangsa dan mendapati berita-berita yang berkaitan dengan MH370 mendapat rating tertinggi dari segi pembacaan. 

Entah musibah atau rahmat, bala atau nikmat, yang pasti kejadian kehilangan MH370 ini telah menyatukan rakyat Malaysia yang sejak kebelakangan ini sering bertelagah dan berpecah untuk isu-isu yang remeh seperti isu kangkung dan isu daging babi di masjid. Buat pertama kalinya sejak sekian lama, rakyat Malaysia tidak kira latar belakang agama dan politik, dapat duduk bersama-sama dengan penuh mesra dan harmoni di depan telebisen sama ada di kedai-kedai mamak untuk menantikan perkembangan-perkembangan terbaru tentang MH370.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah. 

Persoalan yang lebih utama untuk ditanya kepada diri kita semua, bagaimana sikap kita dalam menanggapi isu-isu seperti ini? Apa reaksi dan akhlak kita dalam menangani pelbagai ujian dan tribulasi yang bertubi-tubi mengetuk pintu kesabaran kita? 

Mari kita lihat beberapa jenis manusia yang terdapat di luar sana, dalam berhadapan dengan isu-isu sebegini. Boleh jadi kita juga sebahagian daripada mereka ini. Wah! 

1) Orang yang skeptikal/pesimis
Golongan ini mungkin yang paling ramai sekali dalam banyak-banyak jenis manusia di luar sana. Mereka ini sering melihat sesuatu kejadian yang berlaku itu dengan pandangan yang cukup negatif sekali. Dan mereka juga amat mudah menuding jari dan menyalahkan orang lain, sebagai eskapisme kepada masalah mereka itu. Kadang-kadang tu tiada kena-mengena pon pihak yang dipersalahkan dengan kejadian yang berlaku.

"Aihhh bila la nak hujan ni. Ini semua salah kerajaan lah ni, pencemaran berlaku di sana sini, sampai hujan pon tak nak turun! Aduuhhh menyesal aku jadi rakyat Malaysia!"

"Haaa ini semua salah Indon! Bakar hutan sana sini. Cubalah bertimbang-rasa sikit dengan orang lain. Apa punya jenis jiran lah macam ni!"

"Saya rasa dah tiada harapan dah nak jumpa kapal terbang MH370 tu. Kalau jumpa pon konfem dah takde yang selamat. Sama ada kena makan jerung atau mati lemas. Ish mustahillah ada yang masih hidup."

Begitulah kurang lebih perangai atau sikap orang yang skeptikal dan pesimis ini. Golongan seperti ini amat merbahaya untuk didekati; aura mereka ini selalunya amat mudah untuk membawahkan dan mempengaruhi mood orang lain. Dan khuatir nanti anda turut menjadi orang yang pesimis sama!

2) Orang yang optimis
Golongan ini adalah lawan kepada golongan yang pertama. Mereka ini selalu optimis dan berfikiran positif dalam semua perkara dan ketika berhadapan dengan apa-apa situasi. Ceria. Gumbira. Selalu tersenyum teruja.

Namun kadangkala mereka ini boleh jadi terlalu optimis sehingga tidak berpijak di bumi yang nyata. Ada baik dan buruknya juga menjadi golongan yang optimis ini; orang yang optimis kurang tekanan perasaan dan jiwanya, namun terlalu optimis boleh membawa kepada kekecewaan demi kekecewaan apabila harapan dan jangkaan tidak menjadi kenyataan!

"Alaaah. Jerebu ni tak lama punyalah. Datang angin sepoi-sepoi Barat Daya bertiup, habislah tu. Gerenti."

"Takde apalah demam denggi tuuu. Biasa biasa je. Tak perlulah pergi hospital bagai. Cukuplah minum sup ketam putih. InshaAllah nanti sembuhlah tu. Allahul musta'an!"

"Jangan risaulah. Dengan kepakaran tentera kita, dibantu lagi dengan pakar asing, konfemlah dapat jumpa kapal terbang tu semula. Tak esok lusa. Para penumpang pon semua selamat lagi tu. Makanan cukup dalam kapal terbang tu!" 

3) Orang yang khurafat
Ha, ini menarik sekali untuk dibincangkan. Menarik sebab tak sangka di zaman yang serba moden dan canggih ini, masih wujud lagi golongan sebegini.

Untuk golongan ini, semua benda pon ada kaitan dengan alam ghaib. Semua kejadian pon mahu dijelaskan menerusi kaca mata makhluk halus dan ilmu sakti. Dari sekecil-kecil perkara, hinggalah sebesar-besar benda, alam ruh mesti ada penjelasannya!

"Kalian tahu kenapa hujan dah lama tak turun...?? Sebab rakyat Malaysia dah buat kerajaan ghaib yang bersemayam di awan tu murka! Kalau nak bagi mereka gembira semula, kena kumpulkan tujuh tempayan air mata tapir hutan!"

"Aku rasa kapal terbang tu kena sorok dek jin laut lah. Ye lah, kau bayangkan semua radar tak dapat nak kesan masa kapal terbang tu hilang. Apa lagi penjelasan yang munasabah melainkan ini semua kerja jin...??"

"Mudahnya nak rawat demam denggi ni dik oi. Sembelih ayam hitam tepat jam sebelah lima puluh sembilan minit malam pada malam Jumaat tengah bulan. Cepat-cepat tadah darah yang terpancut tu dan lumur pada seluruh badan. InshaAllah dengan kuasa dan berkat Allah, sembulhlah demam kau tu nanti."

4) Orang yang gemar dengan teori konspirasi
Golongan ini ada tali persaudaraan bau-bau bacang dengan golongan ketiga seperti di atas. Bezanya, mereka ini lebih moden dan sofistikated. 

Mereka akan memerah otak memikirkan teori dan penjelasan untuk sesuatu peristiwa dan setiap perkara pelik atau ganjil yang berlaku akan terus diambil sebagai bahan bukti dan rujukan. Lebih selalu dari tidak, kepingan-kepingan jigsaw puzzle yang cuba dicantumkan, tidak kena pon antara satu sama lain. Namun mereka akan mencari juga jalan untuk mencantumkannya, sehinggalah mereka memperoleh apa yang mereka mahukan. 

Golongan ini amat mudah sekali ditemukan di laman-laman MukaBuku dan portal-portal alam maya yang lain. Mereka tak tahu kah MukaBuku dan kebanyakan laman-laman sesawang yang lain pon adalah agenda Yahudi..? Eh. 

"Kalau tak silap gua, kemarau kat Malaysia ni US punya kerjalah! Teknologi apa entah dia pakai, tapi dia boleh pancarkan sejenis gelombang yang sebabkan awan tak boleh terbentuk. Perghhh diorang tu memang dengki kat kita!"

"Anda tahu tak...?? Demam denggi ni sebenarnya merupakan virus yang tercipta di makmal kimia Kesatuan Soviet suatu ketika dahulu...?? Haaaa jangan tak tahu! Ini semua propaganda mereka untuk menguasai dunia dengan senjata kimia!" 

"Kapal terbang hilang...?? Ini semua agenda Yahudi! Ini semua propaganda Freemasonnn!"

Err sila abaikan dialog yang terakhir tu. Nanti ada pula yang tak pasal-pasal emo dengannya. Peluh kecil.

5) Orang yang emosional/kurang rasional
Golongan ini tidak kurang juga ramainya. Mereka amat sensitif sekali dan melihat semua perkara sebagai balasan atau hukuman ke atas diri mereka. Amat mudah membuat konklusi awal tentang sesuatu perkara sebelum melihat dahulu fakta-fakta yang ada.

Tensen juga apabila berada berdekatan dengan mereka ini. Silap masa anda juga akan dilibatkan sama dalam krisis emosi mereka ini. Tisu sekotak tak cukup boh! 

Tidak hairanlah filem-filem Hindustan dan Korea mendapat rating yang cukup tinggi di negara ini. Eh tiada kena-mengena.     

"Ya Allaaaahh ya Raabbii ya Rahhiiiimmmmm. Apa lah dosa akuuu ya Allah sampai Kau bala kami semua dengan bencana kemarau iniiii! Jerebuuu lagiii! Apalah silap dan salaaaahh akuu ya Rahmaaannn!"

"Ya Allah Lehaaa kenapa aku Lehaaaa...?? Kenapa aku yang kena tanggung semua ini...?? Apa tak cukup lagi ke masalah-masalah yang berlaku kepada ni sebelum ni Leha oiii...?? Minggu lepas adik aku eksiden! Sebelum tu ayah aku jatuh longkang. Dan hari ni aku pulak disahkan denggi...?? Ini tidak adilll Lehaaa! Dunia tidaaakk adil Lehaaaa!!!"

*Leha bukan nama sebenar

"Apa....?? Kapal terbang hilang...??" *pengsan*

*Bangun pengsan* "Apa...?? Tak jumpa lagiii...??" *pengsan*

6) Orang yang lek-lek lu isap okok luuu..
Ini golongan yang langsung tidak ambil peduli akan apa yang berlaku di sekelilingnya, apatah lagi isu-isu semasa dunia. Sekiranya perkara tersebut tidak mengganggu kehidupannya atau periuk nasinya, dirasakan apa perlu untuk dirinya ambil tahu dan cakna. 

Semuanya tidak seriyes dan segala-galanya tenang dan senang baginya.

"Kemarau..? Lekkk ahh brooo. Kemarau je ponnn."

"Denggi...? Tenang-tenang aja. Denggi aja pon."

"Kapal terbang hilang...? Tadehaaall la. Rokok sebatang..?"

Erk.

7) Orang yang bersabar/matang
Golongan ini yang paling menepati sekali dengan sunnah sepertimana yang telah diajar oleh Rasulullah SAW. Tanpa menyerahkan segala-galanya kepada takdir semata-mata, golongan ini melihat setiap bencana dan malapetaka yang berlaku sebagai ujian daripada Allah untuk melihat siapakah dalam kalangan hamba-hambaNya yang bertaqwa.

Apabila ditimpa musibah, mereka akan segera mengungkapkan:

"Innalillahi wa inna ilaihi raji'un. Daripada Allah kami datang dan kepada Allah kami kembali."

"Alhamdulillah, dah lama hujan tak turun. Mungkin Allah nak ingatkan kita, bahawa sehebat mana pon makhluk bernama manusia ni, Dia tu hebat lagi. Baru je tarik nikmat hujan, dah kelam-kelibut kehidupan. Allah lemahnya kita. Nastaghfirullah..."

"Allah Allah... Terima kasih Allah sebab beri aku peluang kena denggi ni. Nak kafarah dosa aku ni, banyak sangat dosa-dosa aku..." *nanges*

"Sama-sama kita doakan agar dipermudahkan urusan untuk jumpa semula kapal terbang MH370 tu. Apa-apa pon tak mustahil dengan kuasa dan iradatNya. Kita berdoa dan tawakkallah. InshaAllah banyak ibrah yang kita boleh ambil dari peristiwa ni. Haadza min fadhli rabbi."

Tidak hairanlah, golongan ini juga amat dikagumi oleh ar-Rasul SAW sendiri, sehingga baginda pernah bersabda:

"Hairan sungguh urusan orang mukmin itu, semua urusannya baik belaka; perkara ini tidak akan didapati dalam diri seseorang kecuali pada orang mukmin. Iaitu apabila dia mendapat kebahagiaan dia bersyukur dan bersyukur itu baik baginya. Apabila ia ditimpa musibah dia bersabar, dan bersabar itu adalah hal yang baik baginya."
[Riwayat Imam Ahmad]

Walawehhh! Tidak teringinkah anda menjadi orang yang sebegitu haibat, hingga membuatkan Nabi sendiri berasa takjub...??

Allah.. Nanges laju-laju. [Kredit]

Ya saya tahu, pasti akan ada komen atau kata-kata sinis yang berbunyi nanti.

"Eleh Inche gabbana, tak kena batang hidung sendiri, tak kena pada keluarga sendiri bolehlah bercakap begitu. Nanti dah kena, padanlah muka bak hang!"

Allah Allah.

Moga Allah menjauhkan saya, keluarga, sahabat handai, ikhwah dan akhawat serta anda semua daripada bala bencana dan musibah besar. Tiada siapa yang mahu ditimpa bala bencana dan malapetaka yang menyukarkan kehidupan kita seharian dan menjadikan kita sedih sepanjang masa!

Namun saya berdoa, anda suatu hari nanti saya diuji dengan mehnah dan tribulasi yang memeritkan dan benar-benar menguji, moga saya cukup kuat dan teguh untuk menjadi golongan yang keenam itu, biidznillah. Dan doa saya juga agar anda semua pon dapat jadi seperti itu!

Senyum, kenyit mata.

-gabbana-

Wallahi rindu benar untuk menulis. Sejak kebelakangan ini amat sibuk dengan pelbagai urusan. Dan semalam dan hari ini, teruk benar saya dibelasah dengan fitnah di kantor. Nanges.

Maka saya paksakan juga diri untuk menulis ini. Moga Allah redha dan bermanfaat untuk anda semua.

Oh ya, teruskan berdoa untuk kapal terbang MH370 itu dan para penumpangnya ya? Dan alang-alang sudah berdoa itu, jangan lupa doakan juga untuk seluruh umat manusia agar dunia ini menjadi tempat yang lebih aman dan bahagia untuk didiami, inshaAllah.

Bukankah doa yang ghaib itu mustajab sekali? Dan bukankah doa itu adalah senjata orang mu'min? Senyum.
 

19 Caci Maki Puji Muji:

pahithempedu 11/03/2014, 18:35  

nice..tersedak seketika

Anonymous 11/03/2014, 18:45  

(⊙o⊙)♥

Anonymous 11/03/2014, 18:53  

Pada saya...konsep sabar pun harus bertepatan pada tempatnya. Kalau sekadar sabar & menerima, bagaimana nk perbaiki keadaan supaya masa hadapan adalah lebik baik. Haruslah bersederhana dalam setiap keadaan. Sikap pesimis juga ada baiknya...dgn adanya golongan ini. People take it as a feedback and improve. Again, perlu bersederhana.

Anonymous 11/03/2014, 19:01  

golongan ke6 ke ke7?

zahirrah begam 11/03/2014, 19:50  

Nice....ade lagi satu golongan....GOLONGAN X NAK AMEK KISAH...golongan ni pun byk juga...moga Dia perkenankan doa-doa hambanya. Pertemukanlah kapal tersebut. Jika dilangit, turunkanlah. Jika dilaut, timbulkanlah. Jika didarat, pertemukanlah. Ameen
#prayformh370

Inche gabbana 11/03/2014, 19:54  

Enonimos 18:53: Tepat sekali. Sebab tu lah saya katakan "Tidak menyerahkan kepada takdir semata-mata."

Aman.

Anonymous 11/03/2014, 21:35  

Tak setuju glgn 4 disamakan dgn 3. Saya glgn 4, tapi ade campor 6.
Berkonspirasi bersandarkan fakta campor 6 sambil berdoa.
Semoga ujian ini menjadikan kita bersatu sesama muslim. May be Allah murka kita asyik bertelagah sesama muslim. So, this could be a reminder utk kita bersatu semula. Pray for mh370, ourselves and our country, and muslim the world over sincerely.

Anonymous 11/03/2014, 21:39  

Ehh, bukan 6..tu geng leklek..
4 +7 =10

Anonymous 11/03/2014, 23:24  

'Orang yang paling hebat adalah orang yang paling tenang walau teruk mana sekalipun ujian yang mendatang'

Kadangkala kita bisa menjatuhkan hukuman berdasarkan pandangan mata kasar kita.Tapi adakah kita tahu apa yang insan tersebut lakukan tika berseorangan ? Wallhualam.

Jangan pantas kita menghukum sebaliknya mengkaji itu lebih baik.

Tika ini mungkin ada saja insan yang mengukirkan senyuman, walhal seketika tadi baru saja hal yang menyedihkan tiba.

Sebaik-baiknya jangan mengadili seseorang itu dengan mata kasar kita, takut nanti dosa yang menjemput.Wallahualam.

Anonymous 11/03/2014, 23:54  

kemungkinan tentang pesawat tu masuk alam ghaib khurafat ke?
semoga diri tmsuk glngn ke 7.

Anonymous 12/03/2014, 00:00  

kita tidak boleh mengubah apa yang telah terjadi,tapi kita boleh ubah tindak balas kita terhadap apa yang terjadi.

Anonymous 12/03/2014, 00:02  

4+7

Ketuk ketuk jari 12/03/2014, 00:58  

Mohon share. Tq.

Norlyana Nasrin 12/03/2014, 07:10  

teringin menjadi golongan yang sabar dan matang itu (^-^)

takpe Inche Gabbane..bersabarlah ketika ditimpa fitnah2...ok kita fikir +ve, pahala2 mereka terus 'disedekah' kepada anda~

Anonymous 12/03/2014, 07:29  

Moga sama2 kite dipinjamkn kekuatan dariNya yg Maha Kuat utk jd golongan ke-seven *senyum3saat.

Mulut manusia bkn mcm mulut botol buleh tutup ketat2, stuju ngn norlyana nasrin. Sabar tu susah, tp ianya indah.

#Allah is the best listener
#prayformh370

Anonymous 12/03/2014, 13:07  

ooke..saja pun...terima kasih..

#PrayForMH370

Anonymous 13/03/2014, 17:02  

salam alayk inche..moga anda tetap tsabat teguh kukuh kuat dan lain2 dlm mghadapi fitnah..biarkanlah mereka melapah daging anda tetapi anda mendapatkan pahala mereka..wahai!..innallaha ma'assobiriin...:)

daun ketumbar 17/03/2014, 22:17  

Tika ditimpa musibah, slalulah berfikir Cukuplah Allah bagiku, Dialah sebaik2 pelindung & tmpt mengadu~ -_-

Anonymous 19/03/2014, 13:17  

Terdesak. Eh tersedak.

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP