29 October 2013

Kun Maka Yakun!


Fatah termenung. Fikirannya kosong. Entah menerewang ke mana.

Sudah beberapa hari dia begitu. Banyak masanya dihabiskan dengan termenung dan melayan perasaannya. Dia macam orang yang tidak keruan. Gila meroyan. 

Seminggu ini entah macam-macam ujian yang menimpa Fatah, sehingga ketar lutut juga dibuatnya. 

Mula-mula kes anak usrahnya yang mahu lari, tidak mahu lagi berusrah dengan Fatah. Alasan yang diberikan adalah kerana dia merasakan usrah terlalu mengongkong hidupnya dan dia mahu lebih bebas. Katanya, usrah menyebabkan dia tidak lagi kreatif seperti dahulu, tidak boleh lagi menulis status-status jiwang berbunga di Mukabuku dan menconteng grafiti di dinding-dinding jamban. Usrah telah menyebabkan otaknya menjadi jumud!

 Sudah bermacam cara yang digunakan Fatah untuk memujuk anak usrahnya itu; menghadiahkan kek cawan perisa velvet merah, menghantar waksep dengan emotikon-emotikon comel, meng'tag' anak usrahnya itu dengan artikel-artikel atau video TiubAnda yang menggugah dan entah macam-macam lagi, tetapi semuanya macam melukut di tepi gantang sahaja. Kecewa juga Fatah dibuatnya, apatah lagi adik usrahnya itu adalah antara anak emas Fatah.

Kemudian baru-baru ini dia bergeser pula dengan ikhwah serumahnya. Semuanya gara-gara mereka tidak bersetuju dengan cara membawa bulatan gembira yang paling baik. Ada yang kata cara terbaik adalah dimulakan dengan makan-makan dahulu. Ada yang tidak bersetuju dan merasakan bulatan gembira itu sewajarnya seriyes dan formal. Ada pula yang berpendapat, buatlah macam mana pon asalkan bulatan itu gembira, sesuai dengan namanya. Fatah sendiri pelik mengapa ikhwah sampai mahu berbalah tentang isu yang dirasakan remeh itu. Alih-alih dia pula yang dimarahi mereka kerana kononnya tidak sensitif. 

Dan terbaru, yang menambahkan rasa gusar dan susah hati Fatah adalah apabila ada seorang akh itu yang menghantar pautan, yang membawanya ke sebuah belog anti-usrah. Terbeliak mata dan tergaru kepala juga Fatah dibuatnya, apabila membaca sepatah demi sepatah kebencian dan cacian yang dilemparkan kepada geng-geng usrah. Langsung tidak disangkanya ada juga golongan sebegitu di dunia ini. 

Masalah-masalah ini tampaknya remeh dan mudah sahaja untuk diselesaikan dalam isolasi. Namun apabila masalah-masalah ini bergabung pada masa yang sama, ia benar-benar melemahkan Fatah. Kepalanya terasa seperti mahu pecah memikirkan jalan keluar untuk semua permasalahan tersebut. Sudahlah dia merasakan tiada siapa yang peduli dan ambil tahu akan kekusutan yang sedang dialaminya itu. 

Maka Fatah selalu mengambil jalan mudah; tidur. Ya, sekiranya dia tidak tertahan lagi menanggung kepeningan dan kegilaan yang menimpa dirinya itu, dia akan terus tidur. Tidur adalah terapi yang paling baik buat Fatah. Dia berada di dalam dunianya yang sendiri, yang mana dia berkuasa mutlak untuk menentukan jalan ceritanya. Di dalam tidur, dia langsung tidak perlu serabut kepala memikirkan solusi untuk kesemua dilemanya itu. 

Tapi Fatah sedar, tidur hanyalah eskapisme buat dirinya untuk lari daripada permasalahan yang sedang dihadapinya. Tidur hanya akan memberikan kelegaan sementara. Sebaik sahaja dia bangkit dari tidurnya, masalah-masalah tiu bertubi-tubi datang menyerangnya kembali. 

Fatah buntu. Kalau boleh dia langsung tidak mahu memikirkannya. Buat botak kepala sahaja. Tapi dia bukan begitu; dia bukan manusia yang boleh lari daripada masalah begitu sahaja. Setiap masa dan ketika, masalah-masalah itu akan datang menghantuinya. Ia membunuhnya secara senyap dari dalam.

Fatah sudah seperti mayat hidup; jasad tanpa ruh. Hari-harinya dilalui tanpa semangat dan motivasi.

Tidak semena-mena, ada tangan yang mengejutkannya daripada lamunannya. Tangan itu memeluk erat bahunya. Terasa panas dan selesa. 

Afham.

Satu-satunya ikhwah yang masih boleh dipercayai Fatah. Satu-satunya ikhwah yang tampaknya benar-benar ikhlas bersahabat dengan Fatah. Dan satu-satunya ikhwah yang sentiasa ada di sisi ketika mana Fatah betul-betul memerlukannya. 

"Eh kau ok ke Fat? Semacam je aku tengok kau sejak kebelakangan ni."

Fatah merenung wajah sahabatnya itu. Dia merasakan seolah-olah mulutnya terkumat-kamit, menuturkan sesuatu kepada Afham. Tapi dia pasti, yang Afham lihat hanyalah sekuntum senyuman tawar daripada dirinya. 

"Mehla cite kat aku kalau kau ada masalah. Alah, aku kenal lah kau ni Fat. Muka monyok, rambut serabai macam ni, konfem ada masalah punyalah!"

Mendengar perkataan rambut, spontan Fatah meraba-raba rambutnya. Selalunya dia hensem, dengan rambut yang diminyak dan disisir rapi. Tapi sejak rungsing dengan masalah yang dihadapinya, rambutnya dan berus dawai sudah tidak dapat dibezakan lagi. 

Fatah merenung tepat wajah Afham. Kemudian dia memandang ke bawah dan mula bersuara. Halus, seolah-olah sedang bercakap dengan dirinya sendiri. 

"Entahlah Fam. Aku rasa.. Aku rasa macam dah takde harapan ah.."

Berkerut wajah Afham mendengarnya.

"Takde harapan? Apa yang takde harapan..?

Sekali lagi Fatah memandang wajah sahabat kesayangannya itu. Pandangan berputus-asa.

"Kita. Islam. Kemenangan. Semua benda yang kita selalu canang-canangkan dalam bulatan-bulatan kita. Slogan-slogan yang selalu kita laung-laungkan dalam konferens-konferens kita. Aku... Aku dah tak yakin dengan semua tu."

Terbeliak mata Afham mendengarnya. Namun cepat-cepat dia mengendurkan otot matanya, supaya tidak terperasan oleh Fatah. Ini seriyes ni.

"Err.. Kenapa kau kata macam tu Fat..? Tiba-tiba je ni. Takde ribut, takde gempa, tak pasal-pasal kau cakap macam ni. Ish. Ni bukan Fatah yang aku kenali.."

"Hmmmm. Macam mana nak menang Fam? Cuba kau bagitau aku. Ikhwah tak bersatu. Benda-benda kecik pon nak gaduh. Walhal, musuh-musuh kat luar sana tu, punyalah teguh saf mereka. Dan mereka punya fikrah yang satu; nak hancurkan Islam! Kita..? Aduhhh Fam, terlalu sibuk bergaduh dan berbalah tentang perkara-perkara yang furu'. Alih-alih, kerja-kerja dakwah yang lebih utama dan penting, terabai! Macam nak menang Fam...??"

Sedikit keras suara Fatah. Bibit-bibit kesal begitu jelas dalam tutur katanya.

"Umat Islam ramai lagi yang tak faham. Bukan setakat tak faham, malah menghina pula orang-orang yang nak buat dakwah ni. Mereka berani, sebab mereka dominan. Mereka ramai. Sebab apa? Sebab KITA tak buat kerja Fam. Kita ni, jahiliyyah pon tak setel lagi. Nak buat dakwah malas. Tarbiyah diri tak jaga. Tapi bincang pasal politik negara kencang. Kutuk kerajaan nombor satu. Buat demo Mesir bukan main laju, tapi bila usrah, semua buat tak tahu. Aduh. Kau rasa Allah nak ke menangkan kita kalau macam ni..? 

Dah la pulak tu; saki-baki kita yang nak bekerja ni, asyik kena belasah je. Orang ni tuduh macam tu la, orang tu kata macam ni la. Ramai lagi manusia kat luar sana terkapai-kapai Fam, tapi kita sibuk mencantas dan menjatuhkan antara satu sama lain. Adik-adik yang dah dibina dah la tak seberapa, alih-alih semuanya lari sebab tak tahan dengan politik-politik geng-geng dakwah ni. Dah, apa yang tinggal Fam? Siapa je yang tinggal untuk terus membakar obor perjuangan ni...? 

Aku penat Fam, aku penat..." 

Afham tersenyum sendiri. Kini dia faham apa masalah Fatah. Bukan sekali dua dia pernah merasakan perasaan yang sama. Bukan sekali dua dia pernah merasa terhimpit, sesak sebegitu. 

Afham merapatkan dirinya dengan Fatah. Dipegangnya tangan sahabatnya itu erat-erat. Tampak Fatah seperti terkesima dengan tindakan Afham itu. 

"Fat... Aku setuju dengan kau. Macam Syed Qutb cakap dalam Hazaddeen; agama ini tidak mungkin tertegak dengan sendirinya. Ia memerlukan pemuda-pemuda yang sanggup berkorban dengan keringat dan darah, yang sanggup bermati-matian untuk mengembalikan manhaj ini ke tempatnya yang haq. Islam hanya akan kembali menguasai alam buana apabila kita, para pejuang ad-deen ini kembali menjadi sepertimana generasi para sahabat yang menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan yang utama. 

Tapi Fat, sebelum tu Allah akan uji dulu rijal-rijal agama ni. Dan ujian Allah bukan calang-calang Fat. Ia ujian yang menapis, ujian yang membersihkan. Agar mereka yang tidak ikhlas, munafiq, fasiq dan berpura-pura akan tertapis dan tinggal di belakang. Agar yang tinggal untuk meneruskan perjuangan ini adalah mereka yang benar-benar ikhlas mahu berjuang keranaNya. 

Jadi Allah takkan jentik je Fat. Allah takkan cuit macam tu je. Kita akan ditampar. Kita akan dibelasah. Kita akan disepak terajang. Sampai kita tersungkur. Sampai kita lebam-lebam. Sampai kita rasa macam dah takde harapan, dah takde cahaya lagi di hujung terowong."

Afham terhenti. Dia melepaskan tangan Fatah. Ditariknya nafas dalam-dalam sebelum menyambung semula kata-katanya. 

"Kau tahu kan kisah Perang Ahzab? Macam mana Allah uji para sahabat dengan begitu hebat. Allah uji mereka, sepertimana yang Allah sebut dalam surah al-Ahzab, digoncangkan hati mereka dengan goncangan yang dahsyat. Sehingga ada dalam kalangan mereka yang berprasangka yang bukan-bukan terhadap Allah. Ini bukan calang-calang orang ni Fat, ini para sahabat!   

Bayangkan Fat, dalam keadaan terdesak yang amat sangat sebab musyrikin Mekah dan kumpulkan pemuda-pemuda di seluruh jazirah Arab untuk menghancurkan Islam.. Omputih kata, once and for all! Umat Islam pula ketika tu, sangat dhaif; dengan tak cukup senjatanya, tak cukup makanannya. Memang terdesak habislah! Nabi pon ketika tu, ikat perut dia dengan dua biji batu Fat! 

Bayangkan.. Dalam situasi yang dah cukup tersepit tu, yang belum tentu lagi ketika tu umat Islam akan menang, orang-orang Yahudi pula buat khianat. Mereka mungkir pada perjanjian yang telah mereka persetujui dengan Nabi. Lahawla wala quwwata illa billah. Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan dan emosi umat Islam ketika itu. Mereka bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan musuh dari luar, tapi mereka juga terpaksa berjaga-jaga dengan musuh yang lebih merbahaya, para munafiqin dan Yahudi yang bila-bila masa sahaja menanti peluang untuk menyerang dari dalam. 

Kalau kita lah Fat agaknya, macam mana ek kita masa tu. Rasa nak tercirit kot..? Hehe."

Buat pertama kalinya Fatah tersenyum geli hati mendengarkan jenaka Afham itu. Afham tahu yang dia sudah berjaya menarik perhatian Fatah. Kini tiba masanya untuk dia memaku hujah utamanya. 

"Tapi Fat... Kau tengok, macam mana Allah nak memenangkan umat Islam? Dengan cara yang paling tidak disangka-sangka oleh sesiapa pon. Allah telah mencampakkan hidayah ke dalam hati Nua'im bin Mas'ud, yang dengan kebijaksanaannya membuat helah, telah berjaya mengkucar-kacirkan pakatan antara Yahudi, munafiq dan musyrikin Mekah. 

Pergghhh Fat. Aku bagitau kau, memang epik lah si Nua'im tu. Seolah-olahnya memang Allah hantar dia dari langit untuk menangkan umat Islam! Dan tak cukup dengan tu, Allah hantar pula bala tenteranya berupa angin taufan untuk mengkelam-kelibutkan pertahanan para tentera kafirun. Allah..."

Entah mengapa, tidak semena-mena mengalir air mata membasahi pipi Afham. Cepat-cepat dia menyekanya. Malu.

"Hehehe. Aku memang emo sikit bila cerita pasal ni. Sebab aku memang sangat kagum dan terharu dengan perancangan Allah yang Maha Hebat tu.

Kau bayangkanlah Fat, di saat seolah-olahnya sudah tiada harapan lagi untuk umat Islam menang, ketika itulah Allah menghantarkan kemenangan kepada mereka. Woooshh. Sekelip mata je Fat. Sekelip mata! 

Tapi apa syaratnya? Apabila kebergantungan kita hanya pada Allah semata-mata. Selama ni kita mungkin ingat kita kuat sebab kita ada ikhwah. Kita mungkin sangka adik-adik yang kita berjaya sentuh tu, adalah disebabkan adalah usaha kita. Kita mungkin fikir kemenangan kita adalah kerana hebat dan tersusunnya persiapan kita.

Kita silap Fat, kita silap. Kita hanya menang bila mana kebergantungan dan pengharapan kita total kepada Allah semata-mata. Total. Tiga ratus peratus. 

"...mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan dan digoncang (dengan pelbagai cubaan), sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya berkata, 'Bilakah datang pertolongan Allah?'"

Ketika itu Fat, ketika mana kebergantungan dan pengharapan kita hanya kepada Allah dan tiada yang lainnya, Allah menjawab,

"Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat!""

Fatah menggumam bibirnya. Air matanya mengalir laju. Terus dia memeluk erat Afham, teresak-esak.

"Ya Allah.. Astaghfirullah. Maafkan aku ya rabb. Maafkan aku... Terima kasih Fam, terima kasih."

Afham membiarkan Fatah terus merengek di bahunya. Habis lencun bahunya dengan hingus dan air mata sahabatnya itu. Tetapi dia tidak kisah, kerana dia berasa puas. Gembira. Syukur alhamdulillah.

Setelah Fatah sedikit tenang, Afham memegang kedua-dua bahu Fatah dengan erat. Mukanya serius, tapi penuh dengan keyakinan yang membara.

"Ingat Fat, kemenangan itu milik Allah. Dan Dia akan kurniakan kemenangan itu kepada sesiapa sahaja yang Dia sukai. Dia akan kurniakan kemenangan itu kepada hamba-hambaNya yang tidak berputus-asa, ikhlas berjuang hingga ke saat akhirnya. 

Kemenangan itu hak milikNya. Kun maka yakun, Fat. Bila Allah kata jadi, maka jadilah ia!"

Fatah tersenyum. Pipinya masih basah dengan air mata. Dengan semangat yang sudah mula berbara semula, dia mengangguk yakin dan laju.

Kun! Maka yakun! 

-gabbana-

Jujur, banyaknya teguran dan peringatan dalam cerita pendek ini ditujukan buat diri sendiri. Moga diri ini terus ikhlas dan istiqamah dalam beramal, biidznillah.

Dan moga kisah ini membakar bara-bara api semangat yang sudah mula mahu malap di luar sana. Senyum.

14 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 29/10/2013, 17:46  

SubhanAllah , semoga Allah memberkati kamu (':

Anonymous 29/10/2013, 18:12  

allahuuu T_T
it really voices out what i feel.

kunci: "kebergantungan kpd Allah semata-mata"

jazakallahu khayr

Qalamqudus92 29/10/2013, 19:17  

Cerita ini bagai konklusi masalah slama ni eh?

A good deed may Allah ease..

:: Dhiya :: 29/10/2013, 21:28  

great!

Anonymous 30/10/2013, 10:58  

Salam.maaf nak tanya.saya xpernah dengar kun maya kun.kun fayakun biasa lah dengar.maksud kedua dua tu same ke?mohon pencerahan.tq

-hamba Allah

Anonymous 30/10/2013, 11:01  

maaf.kun maka yakun.

-hamba Allah

Anonymous 30/10/2013, 11:03  

saya anon di atas.dah faham.xperlu jwb soalan sy :-) my bad

Unknown 30/10/2013, 15:56  

"sebelum tu Allah akan uji dulu rijal-rijal agama ni. Dan ujian Allah bukan calang-calang Fat. Ia ujian yang menapis, ujian yang membersihkan. Agar mereka yang tidak ikhlas, munafiq, fasiq dan berpura-pura akan tertapis dan tinggal di belakang. Agar yang tinggal untuk meneruskan perjuangan ini adalah mereka yang benar-benar ikhlas mahu berjuang keranaNya"

<--- part ni dah banjir dah. Subhanallah!, satu bentuk entry 'vitamin tambahan' yang menusuk ke hati. Barakallahu fik akhy.

Anonymous 31/10/2013, 01:08  

thanks

Anonymous 02/11/2013, 00:58  

kun maka yakun
'maka' tu perkataan bahasa malaysia la kan. kan

Anonymous 02/11/2013, 03:21  

Sgt mnyentuh jiwa & minda...Semoga Allah trus mberkati dan merahmati kamu....dgn ilmu yg bpanjangan & bmanfaat... Subhanallah. ..yg mberi ilham utk kamu bkarya begini.....

Ayyid 02/11/2013, 20:15  

Terima.Kasih.Inche.Gabbana.

Moga Allah memeliharamu, akhi. Serius terkena dengan keadaan ana sekarang.

Jazakallah khair.api itu kembali bernyala T^T

Anonymous 04/11/2013, 07:09  

post yg membuka mata. jzkk.

tapi nak tanya dan nak minta pencerahan..

selalu kita diingatkan byk kali, kemenangan ni is sbb kebergantungan pada Allah. dan memang benar.

tapi boleh explain tak cara-caranya suapaya seorang hamba Allah tu boleh sampai tahap meletakkan kebergantungan pada Allah semata. ceritakan caranya

Anonymous 05/11/2013, 04:45  

Jazakallahu kheir !

*saved for offline reading :')

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP