23 September 2013

Kemenangan Adalah Kesabaran Satu Saat

[Kredit]

Tersebutlah kisah dua orang lelaki yang berbalah. Dek rasa tidak puas hati yang amat sangat, salah seorang daripada mereka mengajukan agar mereka bertumbuk untuk membuktikan siapa di antara mereka yang lebih kuat dan anak jantan. 

Namun lelaki yang seorang lagi mencadangkan kaedah lain untuk menunjukkan kekuatan mereka; lawan gigit jari. Ya bunyinya seperti gegurl tetapi sebenarnya ia memerlukan kekuatan fizikal dan mental yang boleh tahan juga.

Caranya begini; lelaki A menggigit jari lelaki B dan begitu juga sebaliknya. Siapa yang menjerit dahulu akibat tidak tahan kesakitan, dia dikira kalah dan secara otomatiknya, err, dianggap pondan. Eheh.

Maka bermulalah lawan gigit jari antara lelaki A, yang di awalannya mencadangkan agar mereka bertumbuk dan lelaki B, yang mencadangkan perlawanan gigit jari itu. Mengalirlah air mata keduanya menahan kesakitan yang teramat sangat, apatah lagi kedua-dua belah pihak menggigit dengan sekuat hati dan mampu mereka. Gigit-menggigit berlangsung selama beberapa minit sebelum lelaki A akhirnya menjerit kesakitan tidak tertahan lagi. 

"Weyy kau tak sakit ke...?? Nak terputus dah jari aku ni!" teriak lelaki A sambil mengibas-ngibas jari telunjuknya yang digigit lelaki B, yang kini sudah bertukar warna merah padam. 

"Sebenarnya aku pon dah tak tahan dah tadi. Sikit je lagi aku pon dah nak teriak. Tengok-tengok kau teriak dulu! Haha." Lelaki B tersenyum bangga dalam menahan kesakitan. 

Ya, kemenangan adalah kesabaran satu saat. Satu saat. 

Dalam kehidupan kita sehari-hari, berapa kali kita 'kalah' kerana tidak sabar menunggu satu saat..? 

Nasi lemak ayam dara yang kita korbankan kerana tidak tertahan menunggu barisan beratur yang panjang.

Kita menjadi marah dan raksasa gorgon tak tentu hala hanya kerana makcik tua memandu perlahan keretanya di lorong paling kanan.

Ceramah Nouman Ali Khan yang kita lepaskan kerana tidak sabar mencari parkir kereta yang kosong.

Pertemuan dan temu janji yang lambat kita hadiri, hanya kerana mahu menunggu jalan sudah kosong atau tren yang sudah tidak sesak lagi.

Buku bestseller yang telah lama kita nantikan, tapi kita biarkan kerana malas mahu berebut-rebut dengan orang lain. 

Anak dara Pakcik Razali Hashim yang kita tinggalkan kerana dia mahu habiskan ijazah perguruannya dahulu sebelum berkahwin.

Eh. 

Semuanya akibat ketidaksabaran kita menunggu selama 'satu saat.' Rugi. Rugi! 

Namun yang lebih merugikan dan mengerikan, adalah apabila kita tidak mampu bersabar untuk sesuatu yang lebih besar lagi. Kita tidak mampu menunggu satu saat untuk kemenangan agung yang abadi. 

Itulah mengejar keredhaan Allah yang hakiki.

Sudah berapa kali hadek-hadek kita tidak menjadi, hanya kerana kita tidak sabar dalam mendidik dan membentuk mereka?

Sudah berapa kali kita terlepas menghadiri konferens riang yang begitu osem kebabommm! hanya kerana kita malas memandu ke sana?

Sudah berapa kali kita terlepas, memarahi ikhwah yang kita chentai hanya kerana tidak dapat menahan kemarahan kita, meski hal yang dibalahkan itu remeh-temeh sahaja?

Sudah berapa kali kita berputus-asa dengan tarbiyah dan dakwah, hanya kerana sehingga ke hari ini kita masih tidak dapat melihat hasil kerja-kerja kita? 

Sudah berapa kali kita berasa hampa dengan Allah, hanya kerana doa-doa kita masih belum dimakbulkanNya?

Sudah berapa kali kita kalah kerana kita gagal untuk bersabar untuk satu saat sahaja..? 

"Adakah kamu mengira kamu akan masuk sorga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) seperti (yang dialami) oleh orang-orang yang terdahulu sebelum kamu. Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan dan digoncang (dengan pelbagai cubaan), sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bertanya, 'Bilakah sampai pertolongan Allah?' Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat.'
[al-Baqarah, 2:214]


Ya, kemenangan itu sudah dekat. Sudah teramat dekat sebenarnya. Seolah-olahnya ia sudah berada di luar pintu, hanya sahaja tinggal untuk kita membukanya. Ibaratnya ia sudah berada di sebelah kita, hanya sahaja tinggal untuk kita mendakap eratnya. 

Tetapi kerana ketidaksabaran kita, dek kegopohan kita, hanya kerana sikap kita yang terburu-buru, kemenangan itu tampak payah dan jauh. Pertolongan Allah itu seolah-olahnya mustahil dan tidak akan kesampaian. Sedangkan kemenangan itu sudah dekat. Pertolongan Allah itu sudah terlalu hampir. Hanya sahaja tinggal kita untuk sabar menanti kehadirannya.

Oleh sebab itulah, Allah menyuruh kita untuk meminta pertolongan dengan sabar dan solat.

"Dan mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Dan (solat) itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu'."
[al-Baqarah, 2:45]


Kerana pada kesabaran itu ada kemanisan iman. Pada solat itu ada kemanisan berhubung dengan Tuhan. Kedua-duanya ini, jika diadun dengan mesra, diuli hingga sebati, adalah resipi kemenangan yang tiada tolok bandingnya. 

Sepertimana Khubaib bin 'Ady r.a., yang bersabar menahan keseksaan dilapah hidup-hidup di tiang salib oleh musyrikin Mekah, kerana dia tahu sorga sedang menantinya. 

Sepertimana kesabaran Bilal bin Rabah r.a. yang diseksa dengan begitu kejam di atas padang pasir yang membakar, kerana dia tahu aqidah yang dipegangnya itu benar.

Atau sepertimana ketahanan Sumayyah r.a., puteri syuhada' yang diperlakukan dengan begitu zalim dan hina sekali, kerana dia tahu janji Allah dan ar-Rasul itu benar. 

Apakah rahsia kehebatan mereka ini..?? Sabar. Hanya perlu bersabar sahaja. Bersabar sedikiiittt sahaja sebelum kemenangan yang agung itu tiba! 

Maka  bersabarlah, meskipon ia payah! 

Allah bersama dengan para penyabar! [Kredit]

Namun sebelum itu, kita akan diuji dan diuji dan diuji, sehingga kesabaran kita sampai ke kemuncaknya, sehingga kebergantungan kita hanya pada Allah semata, sehingga kita tiada tempat mengadu yang lain melainkan Allah...

Ketika itu... Kita akan menang. Ya, menang! Sepertimana para sahabat dan ar-Rasul yang bertanya,

"Bilakah sampai pertolongan Allah..?"

Ketika kita sudah mampu untuk bersabar selama satu saat, ketika itu, pertolongan dan kemenangan akan datang.

Senyum.  

-gabbana-

3 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 23/09/2013, 14:44  

..my heart is numb has no feeling, so while i'm still healing..just try, and have a little patience..

qaseh 23/09/2013, 21:00  

Alhamdulillah dan terima kasih.
Sabar itu memang indah walau kadang kala kita sendiri merasa sakit.Kita selalu berdoa agar diberi kekuatan...dan ujian diberi oleh Allah untuk menguji kekuatan kita..lupakah kita untuk berdoa agar disertakan kesabaran dalam kita kuat untuk menhadapi uijian tersebut.

Anonymous 24/09/2013, 15:32  

first time follow blog nie, n seyes ianye sgt best....

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP