30 August 2013

Menjadi Nabi Yusuf

[Kredit]

Di dalam risalah Daawatuna (Dakwah Kami) nukilan Imam Hassan al-Banna, tertulis di penghujung risalah ini, "Saya yakin kalianlah Yusuf kepada impian ini."

Saya amat tertarik dengan kata-kata ini. Cukup berkuasa. Menghidupkan. Menyegarkan. Seolah-olahnya ia adalah kata-kata sakti yang benar-benar memukau hati-hati dan jiwa-jiwa yang dahagakan pedoman dan bimbingan, setelah sekian lama terdampar di padang pasir kejahilan dan kelemahan yang begitu terik, panas dan meletihkan.

Ewah.

Apa yang sebenarnya yang cuba disampaikan oleh Pakcik Hassan? Mengapa Nabi Yusuf yang dijadikan rujukan? Impian apakah yang dimaksudkan oleh beliau?

Untuk mengetahui dan memahami kata-kata yang ringkas namun meninggalkan kesan yang cukup mendalam ini, sudah tentulah kita perlu sekurang-kurangnya mengetahui dan cuba untuk memahami kisah hidup Nabi Yusuf a.s.. Jika mahu lebih osemness tahap awan guling, kita juga amat wajar sekali mempelajari dan menghayati tafsir surah Yusuf untuk menerokai perjalanan hidup Nabi Allah yang mulia itu agar dapat kita tanggapi kata-kata Pakcik Hassan dengan lebih adil dan benar. 

Siapa Nabi Yusuf? Apakah yang berlaku pada dirinya? Bagaimana perjalanan hidupnya? Mengapa Allah mendedikasikan seluruh surah Yusuf kepada seorang sahaja NabiNya yang hebat ini? Apa kaitan baginda dengan kehidupan kita pada hari ini? 

Ok kalau nak tahu semua itu silalah cari mana-mana buku cerita kisah-kisah Nabi. Wahahaha.

Saya hanya mahu berkongsikan kepada anda poin-poin utama untuk menjelaskan apakah yang dimaksudkan dengan Pakcik Hassan tentang kita menjadi Nabi Yusuf a.s..

Baiklah. 

Sekiranya kita menelusuri kisah Nabi Yusuf a.s, kita akan dapati perjalanan hidup baginda seperti menaiki roller coaster lagaknya; ada naik turunnya, ada laju dan perlahannya. Penuh warna-warni dan teka-teki. Kadang-kadang ada ombak tinggi dan garang; kadangkala airnya tenang dan senang. 

Ok Inche gabbana. Cukuplah bermadah tu. Boleh terus sahaja ke poin utama tak..? 

Mata pandang ke atas. Senyum seorang diri.

Kisahnya bermula apabila Nabi Yusuf a.s. bermimpi "...sebelas bintang, matahari dan bulan; ku lihat semuanya sujud kepadaku." [Yusuf, 12:4]

Sementelah mendengar pengkisahan mimpi si anak yang dikasihi, Nabi Yaakub a.s. menasihati Yusuf agar tidak menceritakan perihal mimpinya itu kepada adik-beradiknya. 

"Wahai anakku, jangan kau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, mereka akan membuat tipu-daya (untuk membinasakan)mu. Sungguh, syaitan itu musuh yang jelas bagi manusia."
[Yusuf, 12:5]

Namun perancangan Allah mendahului segala-galanya. Nabi Yusuf a.s. dicampakkan oleh saudara-saudaranya "...ke dasar sumur agar dia dipungut oleh sebahagian musafir..." [Yusuf, 12:10] dek perasaan hasad dan dengki kepada Yusuf yang lebih disayangi oleh ayah mereka.

Yusuf kemudiannya dijumpai oleh kafilah yang melalui tempat perigi di mana baginda dicampakkan. Baginda kemudiannya diperbudakkan dan dijual dengan harga yang murah di pasar Mesir. Daripada seorang hamba yang dijual dengan harga yang murah, Yusuf tinggal di teratak al-Aziz yang mewah dan serba-serbinya lengkap dan selesa. 

"Dan demikianlah Kami memberikan kedudukan yang baik kepada Yusuf di negeri (Mesir)..."
[Yusuf, 12:21] 

Kemudian, seperti yang kita ketahui, berlakulah suatu noktah hitam dalam perjalanan hidup Nabi Yusuf a.s.. Baginda telah digoda oleh isteri al-Aziz yang terpikat dengan kekacakan dan kesempurnaan rupa paras Yusuf, sehingga sanggup mengajak baginda melakukan maksiat. Kalaulah bukan kerana hidayah daripada Allah dan keteguhan hati Yusuf menahan godaan, sudah pasti baginda juga terjerumus ke dalam lembah maksiat yang jijik dan busuk itu. 

"...Dan Yusuf pun berkehendak kepadanya, sekiranya dia tidak melihat tanda (dari) Tuhannya. Demikianlah Kami palingkan darinya keburukan dan kekejian. Sungguh, dia (Yusuf) termasuk hamba Kami yang terpilih."
[Yusuf, 12:24]

Yusuf akhirnya dipenjarakan kerana mempertahankan keimanan dan kebenaran. Di dalam penjara inilah baginda bertemu dengan dengan orang rakan banduan yang akan mengubah hidupnya di kemudian hari. Salah seorang daripadanya dibebaskan dan bekerja sebagai pelayan kepada raja. Ketika dia dibebaskan, dia berjanji untuk memberitahu perihal Nabi Yusuf yang tidak bersalah itu kepada raja. Namun sekali lagi perancangan Allah mendahului segala-galanya. Si pelayan langsung terlupa untuk bercerita kepada si raja.

Suatu hari si raja bermimpi sesuatu yang pelik sekali. Tiada siapa yang boleh menakwilkan mimpinya itu. Ketika itulah si pelayan, yakni bekas banduan yang pernah dipenjarakan bersama Nabi Yusuf itu teringat akan si Nabi yang masih lagi dipenjarakan. Lantas dia menceritakan kehebatan Nabi Yusuf menakwilkan mimpi, yang kemudiannya berjaya mentafsirkan mimpi si raja dengan cemerlang dan gemilang sekali. Glamor gitu.

Dipendekkan cerita kerana saya sudah mula malas untuk menulis, eh. Kehidupan Nabi Yusuf berubah serta-merta semenjak itu. Baginda diangkat menjadi Menteri Kewangan Mesir yang berjaya menerajui dan menguruskan perbendaharaan Mesir dengan begitu baik sekali. 

Ketika inilah baginda dipertemukan semula dengan saudara-saudaranya yang suatu ketika dahulu pernah mengkhianatinya dengan mencampakkan baginda ke dalam perigi. Namun sesuai dengan taraf baginda sebagai seorang Nabi yang dikasihi Allah, baginda langsung tidak berdendam kepada mereka malah memaafkan mereka kesemuanya.

"Mereka berkata, 'Sungguh Allah telah melebihkan engkau di atas kami, dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah (berdosa).'

Dia (Yusuf) berkata, 'Pada hari ini tidak ada cercaan terhadap kamu, mudah-mudahan Allah mengampuni kamu. Dan Dia Maha Penyayang di antara para penyayang."
[Yusuf, 12:91-92] 

Akhirnya, baginda dipertemukan semula dengan ayahandanya yang terchenta, Nabi Yaakub a.s. dan sayugia baginda hidup bahagia selama-lamanya (Baca: Happily ever after). 

"Dan dia menaikkan kedua orang tuanya ke atas singgahsana. Dan mereka (semua) tunduk sujud kepadanya (Yusuf). Dan dia (Yusuf) berkata, 'Wahai ayahku! Inilah takwil mimpiku yang dahulu itu. Dan sesungguhnya Tuhanku telah menjadikannya kenyataan. Sesungguhnya Tuhanku telah berbuat baik kepadaku..."
[Yusuf, 12:100]

Tarik nafas. Betulkan tempat duduk.

Ehem. Bagaimana..? Anda sudah berjaya cantumkan kepingan-kepingan jigsaw puzzle nya di situ..? 

Hassan al-Banna mempunyai tumuhaat (impian) yang cukup besar ketika beliau menubuhkan pergerakan Ikhwanul Muslimin. Pasca kejatuhan khilafah Uthmaniyyah pada tahun 1924, beliau berazam untuk menegakkan kembali hukum Allah di muka bumi ini. Namun melihatkan masyarakat yang sudah sakit tenat, dijangkiti oleh pelbagai jenis penyakit kritikal dan membunuh sekaligus, menyebabkan ramai yang patas semangat dan lemah harapan untuk mengembalikan kegemilangan Islam.

Di sinilah Hassan al-Banna meletakkan harapan yang tinggi, agar kita, para dua't yang menyambung mata-mata rantai perjuangan dakwah dan jihad Nabi SAW, menjadi Nabi Yusuf kepada impian dan cita-citanya yang cukup tiinggi dan mulia itu. 

Bagaimana..?

Kata kuncinya adalah tsiqah (percaya), beriman dan redha dengan perancangan dan ketentuan Allah. Ya, sepertimana perjalanan hidup Nabi Yusuf a.s. yang ada naik turunnya dan jatuh bangkitnya, baginda tetap yakin dan berlapang dada dengan perancangan yang telah Allah tetapkan untuknya. 


"Sesungguhnya Tuhanku telah berbuat baik kepadaku, ketika Dia membebaskan aku dari penjara dan ketika membawa kamu dari dusun, setelah syaitan merosak (hubungan) antara aku dengan saudara-saudaraku. Sunggu, Tuhanku Maha lembut terhadap apa yang Dia kehendaki. Sungguh, Dia Yang Maha Mengetahui, Maha Bijaksana."   
[Yusuf, 12:100]

Maka sepertimana lapangnya dada Nabi Yusuf dan baiknya sangkaan baginda terhadap perancangan dan susun atur yang telah ditetapkan oleh Allah, begitu juga seharusnya sikap kita dalam merancang dan melaksanakan agenda kemenangan Islam pada hari ini. 

Meskipon tampak ibaratnya seperti mustahil Islam akan bangkit semula di saat ini.

Walaupon Islam dan umatnya terus dibelasah dan dihambat musuh-musuh Islam dari pelbagai arah dan sisi.

Meski sudah ramai yang putus-asa dan lelah dada akan kemenangan Islam yang tidak kunjung tiba. 

Kerana Islam itu pasti akan naik semula. Islam itu wajib memerintah alam buana semula. Kemenangan Islam itu tidak mungkin boleh dihalang dan ditahan lagi oleh sesiapa atau apa-apa.

Persoalannya bila. Persoalannya bagaimana. Dan persoalan yang lebih utama, siapa yang akan memenangkannya..?

Kita? Atau sekumpulan manusia lain yang Allah pilih dek kegagalan dan kelemahan kita dalam melaksanakan amanah Syahadatul Haq ini...?

Nanges laju-laju. 

Ibrah dari kisah Nabi Yusuf ini juga wajar kita aplikasikan dalam kehidupan sehari-hari kita.   

Ketika kita gagal mendapat keputusan gemilang dalam hekzem kita.

Ketika keadaan ekonomi keluarga yang benar-benar membotakkan kepala.

Ketika kita kehilangan orang yang amat kita sayang dan chenta.

Ketika kita dianiaya dan dizalimi sehingga menyebabkan kita terasa mahu terjun mulut buaya. 

Ketika mad'u yang kita penat-penat kita jala sedikit demi sedikit mula meninggalkan kita.

Semua ini, semua ini adalah ketentuan dan perancangan Allah Yang Maha Esa dan Kuasa. Yang lebih Mengetahui apa yang diperlukan kita. Yang lebih Bijaksana dalam menentukan hala tuju kehidupan kita.

Arakian kita perlu sabar menanggapi semua ini. Kita perlu redha dan berlapang dada dengan musibah yang menimpa diri. Jadilah seperti seorang mu'min yang dikagumi oleh sang Nabi sendiri; bersyukur apabila mendapat nikmat dan bersabar apabila ditimpa bencana. 

Kerana yakinlah, Dia mahu mempersiapkan kita, menjadi Yusuf kepada impian yang lebih agung dan mulia.

"Katakanlah, 'Inilah jalanku; aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan yakin, Maha Suci Allah, dan aku tidak termasuk orang-orang musyrik.'"
[Yusuf, 12:108]

Senyum, mata berkaca-kaca.

-gabbana-

10 Caci Maki Puji Muji:

imaaaanj 30/08/2013, 16:21  

the beautiful story of yusuf, has so much to fill our lives - dawud warnsby ali

Unknown 30/08/2013, 19:56  

sentap. Sangat.

asyraf kaizen 30/08/2013, 20:08  

Pak cik hassan ...
-__-'

Anonymous 31/08/2013, 16:05  

yeay! en gaban dah kembali :) alhamdulillah

Anonymous 03/09/2013, 10:16  

Terfikir..
Kalau dulu lagi dah tenat..
Sekarang ni lebih lagi dari itu..
Jika tenat2 dulu dapat lahir seseorang spt pakcik hasan Al bana...
Kita sekarang bagaimana ya?
Adkh 'kerja'2 yg kita lakukan dh lebih hebat dari pkckhasan...

aima 03/09/2013, 11:35  

ooo...sekarang bertambah banyak dah ilmuan islam, dan melayu...mcm prof muhaya...khee

Anonymous 05/09/2013, 16:22  

Alhamdulillah sangat memberi kesan pada hati.. Alhamdulillah2..

Sekarang ana sedang membaca artikel 'analogi kolam buaya' hasil nukilah ukht dari france.. nanti enta cari ea ^^

dalam artikel tu ada menyatakan pasal yusuf (in which merujuk pada nama popularnya Muhammad Salahuddin Al Ayubi).. tetiba teringat artikel enta yang ana baca a few days before.. tapi apa2 pun, ana tahu ia boleh merujuk pada sesiapa pun mengikut interpretasi pembaca dalam buku dawatunna (ISHAB)..



Anonymous 12/05/2014, 12:55  

mohon utk share di bulatan warna warni:) jzkk :)

Dayana Ahmad 27/10/2017, 18:40  

Nice one inche gabbana. Deep dan menyegarkan kembali jiwa yang mati.

Anonymous 10/09/2020, 01:10  

terima kasih utk post ini, moga allah redha.

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP