Hey Dengar Sini! Ijinkan Saya Untuk Bercakap Boleh..?
[Kredit] |
[Nota keras kepala lutut: Jujur, tulisan ini hanya sesuai untuk dibaca oleh anda yang tahu apa itu tarbiyah dan dakwah. Bukan hendak memperkecil atau memperlekeh sesiapa, apatah lagi berlagak angkuh dan sombong. Cuma saya khuatir nanti ada yang emo tak tentu pasal, lantas menarik rambut kuat-kuat dan berlari laju masuk gaung. Sekiranya itu berlaku, percayalah, saya tidak cukup wang untuk membayar pampasan kepada waris anda. Eheh.
Dan seperti biasa, artikel sebegini panjangnya super lagi duper. Sila sediakan sehelai sapu tangan untuk mengelap mulut yang mungkin berbuih dan sepana untuk membetulkan mata yang mungkin juling. Ahah.
Saya sudah memberikan amaran. Sila baca dengan risiko anda sendiri. Sekian.]
Bukan. Ini bukan penulisan susulan atau warkah kritikan kepada adegan drama Saudari Bawani KS dan Puan Sharifah Zohra Jabeen yang saya kira, sudah pon mula memasuki fasa basi. Biasalah orang Malaysia; hangat dan panas untuk seketika sahaja. Batuk.
Saya membaca dengan penuh minat tulisan saudara kesayangan saya, Hilal Asyraf berkaitan dengan gejala 'Listen, Let Me Speak!' ini dalam konteks tarbiyah dan dakwah. Alhamdulillah, baharu baru-baru ini saya berpeluang untuk menghabiskan bacaan dan menghadamnya dengan baik. Maka penulisan ini adalah err, bolehlah dikira sebagai maklum balas (Baca: Feedback) dan pandangan peribadi terhadap penulisan yang sungguh baik itu.
Untuk rekod, saya amat bersetuju dengan penulisan dan hujah-hujah yang telah dikeutarakan oleh saudara Hilal. Malah saya kira, kupasan yang telah dibuat oleh beliau sangat baik, mudah difahami dan bergaya sekali. Arakian terasa segan lagi marhaen pula diri ini untuk menulis sesuatu sebagai maklum balas kepada penulisan yang begitu baik, yang ditulis pula olah seorang penulis haibat yang tidak perlu diragui lagi kaliber dan karismanya dalam bidang penulisan.
Untuk rekod juga, saya tiada apa-apa isu dengan saudara Hilal. Walaupon kami tidak pernah bertemu apatah lagi bertepuk-tampar mesra dan berbaring-baring manja di atas paha.. Err.. Namun melalui perhubungan kami di alam maya yang kadang-kadang dan sedikit cuma itu, saya amat selesa dengan peribadi dan akhlak saudara Hilal. Malah jujurnya, saya amat kepingin untuk bertemu dengan saudara Hilal secara mata bertemu mata, lantas bercipiki cipika dengannya. Eh.
Saya kira, dan saya yakin, saudara Hilal amat jujur dan ikhlas apabila beliau menulis tentang isu pembasuhan otak (Baca: Brainwash) dan proses indoktrinisasi yang berlaku dalam segelintir kumpulan dalam mana-mana jemaah. Malah seperti yang katakan di awalan penulisan ini, saya selesa dan sangat setuju dengan hujah-hujah yang dilontarkan beliau. Mengenali Saudara Hilal sebagai seorang jejaka kachak yang aktif berdakwah dan mentarbiyah di sana sini, saya yakin beliau tiada niat yang lain dalam menulis artikel tersebut melainkan untuk memperoleh keredhaanNya.
Cuma apabila membaca artikel beliau berulang kali dan cuba untuk memahami kerisauan yang digarishitamtebalkan (Baca: Underlined and bold. Eheh.) oleh beliau, timbul pula kerisauan yang lain di dalam hati ini. Khuatir benar sekiranya ia disalahertikan lantas disalahgunakan pula oleh pihak-pihak tertentu untuk tujuan-tujuan dan kepentingan peribadi. Lebih menggarukan kepala sekiranya ia dieksploitasi untuk menyerang pihak-pihak tertentu dan melakukan pemberontakan yang akhirnya akan menjatuhkan kerajaan lantas menjadikan negara kucar-kacir dan bergolak heyyy! Err.
Maka saya terpanggil untuk menulis post ini, apatah lagi apabila seorang akh menghubungi saya menyatakan kerisauannya pada impak yang diberikan oleh penulisan Saudara Hilal kepada anak-anak buahnya. Saya kenal baik akh itu dan saya yakin kerisauannya adalah kerisauan benar dan berasas. Sayugia saya kira penulisan ini adalah suatu perspektif sedikit berbeza tetapi in shaa Allah adil kepada penulisan saudara Hilal. Dan sudah tentu saudara Hilal juga akan setuju bahawa tulisannya bukanlah maksum dan tiada cacat celanya. Ia adalah pandangan peribadi dan ijtihad penulisan oleh saudara Hilal; moga Allah mengganjari usaha-usahanya yang mulia dengan sorgaNya yang abadi.
Begitu juga dengan penulisan ini. Sekiranya ada mana-mana bahagian yang dirasakan anda tidak tepat dan tersasar dari landasan kebenaran, tolong tegur dan bimbing saya yang marhaen ini. Jujur, saya amat mengalu-alukan kritikan dan teguran dalam ruang lingkup kebenaran dan kefahaman yang sejahtera.
Jemaah cuci otak?
Mari mencuci mencuci mencuci hey! [Kredit] |
Saya kira, mana-mana persatuan atau organisasi di dunia ini, pasti ada hadaf (objektif) yang ingin dicapai dan dipenuhi. Kalaulah Persatuan Memasak Lelaki Duda Atas 50 Tahun pon ada matamat dan objektif yang ingin dicapai, takkanlah sebuah jemaah yang memperjuangkan manhaj Islam yang agung tidak ada hadaf yang menjadi landasan kepada perjuangan mereka?
Ish.
Maka apakah cara yang paling baik untuk meyakinkan ahli-ahli jemaah untuk mencapai dan memenuhi objektif yang telah digariskan kalau bukan dengan cara 'cuci otak' (Baca: Brainwash)? Cuma mungkin, frasa cuci otak itu membawa konotasi yang sedikit negatif. Hakikatnya, itulah yang dilakukan sehari-hari.
Manakan tidak. Dengan bulatan gembiranya. Dengan konferens riangnya. Dengan bahan makalah dan bacaan fikrahnya. Dengan pelbagai lagi wasilah tarbiyah yang lain. Anda beritahu saya; bukankah proses cuci otak namanya itu..?
Kelainannya adalah pada objektif dan hadaf yang telah ditetapkan oleh sesuatu jemaah tersebut. Saya yakin, tidak ada mana-mana jemaah Islam di muka bumi ini yang di awal-awal penubuhannya sudah meletakkan objektif yang mungkar dan taghut, melainkan ia adalah sebuah jemaah sesat lagi menyesatkan. Malah tidak keterlaluan sekiranya saya mengatakan Islam juga merupakan sebuah agama indoktrinisasi.
Tersembur. Woah, anda gilakah Inche gabbana..?? Itu kenyataan bunuh diri!
Sabar. Saya punya hujah dan buktinya. Lihat sahaja al-Quran. Bukankah ayat-ayat hukum, pengajaran, ganjaran, peringatan, kisah-kisah Nabi dan sebagainya diulang dan diulang berkali-kali? Untuk apa kalau bukan mahu memastikan firman-firmanNya yang mulia itu melekat dengan kuat di dalam kepala kita? Untuk apa kalau bukan nikmat-nikmat sorga dan azab seksa neraka sentiasa berlegar-legar di dalam jiwa? Agar sentiasa diingati dan diambil ibrahnya! Bukankah itu cuti otak namanya..?
Maka, proses cuci otak yang berlaku dan dilaksanakan tidak lain adalah untuk mencuci otak dan hati yang berkarat dengan jahiliyyah dan saki-baki syaitonirojim yang ada. Proses cuci otak yang dilakukan adalah bagi memastikan mereka yang ingin bergabung dengan jemaah Islam benar-benar bersih hatinya dan suci akalnya daripada sebarang unsur-unsur yang meragukan. Juga untuk mempersiapkan hati dan jiwa mereka ini dengan ujian, mehnah dan tribulasi yang terbentang di sepanjang jalan yang sumpah panjang ini.
Dalam hal ini, saya bersetuju dengan pandangan saudara Hilal betapa ada segelintir pihak di luar sana yang terlalu taksub dengan jemaah mereka sehinggakan jemaahnya kebal dari sebarang tohmahan mahupon kritikan. Jemaahnya sahajalah yang betul, maksum dan tidak boleh dicabar. Ini adalah suatu gejala yang tidak sihat dan sangat-sangat merbahaya. Hal ini tidak sepatutnya diajar dan dicuci otaknya sebegitu rupa dalam mana-mana jemaah sekalipon.
Saya suka untuk menjawab persoalan ini dengan menggunakan sepuluh rukun bai'ah (taat setia) yang telah digariskan oleh Imam Hassan al-Banna di dalam Risalah Ta'limnya. Beliau telah meletakkan kefahaman (al-fahmu) sebagai rukun asas yang pertama sekali; suatu isyarat yang cukup signifikan bagi menggambarkan betapa pentingnya kefahaman yang jelas, benar lagi sejahtera dalam sesebuah pergerakan dakwah. Kefahaman inilah yang menyatukan ahli-ahli yang bergerak dalam satu jemaah. Kefahaman inilah yang menjadikan mereka bercakap dengan bahasa yang sama, berjalan dengan derap kaki yang sama dan menghayun dengan bilah pedang yang sama.
Persoalannya, bai'ah pada apa? Bai'ah pada siapa? Hal inilah yang selalu disalahtanggap oleh mereka yang terlalu teruja untuk mentarbiyah dan berdakwah. Hal ini jugalah yang sering menyebabkan wujudnya salah faham dan ketegangan dalam hubungan sinergi antara jemaah.
Bai'ah yang dituntut pertama-tamanya adalah untuk Islam. Kemudian pada dakwah. Dan kemudian baharulah pada jemaah! Tiada guna kita sibuk berjemaah andai kita belum lagi beramal dan faham dengan tuntutan Islam dan dakwah!
Kerana itu proses 'cuci otak' ini adalah suatu proses yang agak penting sebenarnya. Dalam bahasa dakwahnya, bolehlah saya menamakannya sebagai proses pentakwinan, yakni proses membina dan membentuk. Pada peringkat ini, murabbi berperanan besar bagi memastikan pembentukan yang cantik dan pembinaan yang mantap berlaku pada mutarabbinya. Dia bertanggungjawab memastikan tiada unsur-unsur lain yang boleh mengganggugugat dan menjejaskan proses pembinaan yang sedang diusahakannya.
Kerana mahu memastikan otak, jiwa dan hati yang dicuci benar-benar putih dan bersih.
Silapnya pada cara
Yang sering tergelincir adalah caranya. Yang terbabas adalah kaedahnya. Yang selalu tersilap adalah tekniknya.
Amat penting untuk kita menanggapi apa yang berlaku dengan adil dan saksama. Yang silap bukan jemaahnya, tapi ahli-ahli yang duduk di dalamnya. Seperti yang saya katakan, tidak munasarawak sekali seandainya sesebuah jemaah Islami itu ditubuhkan dengan tumuhaat (impian) untuk memenuhkan poket dan perut ahli-ahlinya semata-mata.
Walaupon sesebuah jemaah itu mempunyai aspirasi yang paling unggul, mempunyai matlamat yang cukup jelas dan memiliki halatuju yang cukup meyakinkan, pasti akan ada ahli-ahlinya yang akan merosakkannya. Itu adalah fitrah. Itu adalah sunnah.
Sekali lagi saya mendapati diri saya bersetuju dengan pandangan saudara Hilal yang ada segelintir murabbi yang tanpa sedar menjadi 'diktator' dalam dakwah ini. Apa yang mereka cakap mesti dituruti. Apa yang mereka arahkan, mesti dipatuhi. Apa yang mereka suruh, mesti ditaati. Tanpa banyak soal dan kompromi. Seolah-olah kata-kata yang keluar daripada mulut mereka adalah wahyu Ilahi!
Kerana saya sendiri pernah mengalami perit dan pedihnya bermurabbikan manusia sebegini. Yang merasakan dirinya selalu benar dan betul. Yang pantang ditegur dan diperbetulkan. Yang amat sukar dibawa berbincang dan berbicara.
Akhirnya yang menjadi mangsa adalah mutarabbi mereka sendiri. Tarbiyah yang diterimanya zalim dan cacat, sehingga menyebabkan berprasangka dan prejudis terhadap tarbiyah yang dilaluinya. Lebih parah apabila dia sendiri bakal menjadi murabbi yang sama akhlak dan sifatnya! Murabbi yang dibenci akhirnya menjadi klon kepada diri sendiri! Aduhai.
Namun, tidak adil untuk tangkap muat dan menjadikan situasi itu sebagai situasi umum (Baca: Generalisation) dan menjadikannya sebagai panduan ibu jari (Baca: Rule of thumb) dalam menghukum atau membuat sesuatu keputusan. Tidak adil.
Ketika para tentera di Bukit Uhud mengingkari arahan Nabi supaya tidak turun sehingga diberitahu, itu salah mereka yang degil atau salah Nabi kerana tidak memperingati?
Tatkala Khalid al-Walid membunuh beberapa orang tawanan dari Bani Juzaimah lantas mengingkari arahan yang telah dikeluarkan oleh Nabi, meskipon sudah dibantah oleh Abdullah bin 'Umar bin Salim, tindakan Khalid itukah yang silap atau jemaah kaum Muslimin yang silap?
Dan di kala Abu Dzar al-Ghifari r.a. yang gagal mentarbiyah kaumnya pada pusingan pertama, dek kekasaran dan ke'gedebe'an dirinya pada awalan Islamnya, caranya yang tidak kena atau mesej dakwahnya itu yang gila?
Saya sendiri, alhamdulillah, berkat dari pengalaman yang dilalui, amat berhati-hati dalam soal hubungan murabbi-mutarabbi. Saya secara terbuka berpesan kepada hadek-hadek bulatan gembira saya, agar menegur saya sekiranya ada kekurangan dan kelemahan yang mereka lihat pada diri saya. In Shaa Allah saya boleh menerima teguran dengan hati yang berlapang dada.
Ya, ego mungkin akan tercalar. Jiwa mungkin akan berbalar. Namun apalah sangat nilai ego dan nafsu itu, andai hendak dibandingkan dengan nilai tarbiyah yang begitu agung lagi mulia.
Malah murabbi saya kini juga amat terbuka dan kool orangnya. Amat mudah untuk dibawa bicara dan saya yakin, sekiranya disampaikan teguran kepadanya, dia adalah manusia yang boleh menerima teguran dan kritikan dengan hati yang rendah dan dada yang lapang.
Inilah tarbiyah. Sekiranya proses taarif, takwin dan tanfiz itu dilaksanakan dengan hak dan penuh ikhlas, ia akan melahirkan manusia-manusia yang cekal hatinya, berbara semangatnya dan utuh jiwanya. Dan manusia yang sama ini juga, adalah manusia yang berjiwa hamba pada RabbNya, bersemangat pemimpin kena pada tempatnya dan berhati seorang sahabat apabila keperluannya menjelma.
Bukan semua epal busuk
Menjadi epal yang asing. [Kredit] |
Dalam peribasa Melayunya, "Seekor kerbau tercalit lumpur, habis semua kerbau tercalit sama."
Hal ini tidak sepatutnya berlaku dalam pergerakan dakwah yang berpayungkan jemaah. Hanya kerana beberapa orang ahli jemaah tidak berakhlak dengan akhlak seorang dai'e yang dibutuhkan oleh umat ini, maka seluruh jemaahnya dihukum mati.
Kerana nyamuk seekor, habis kelambu dibakar.
Saya mendapati ada unsur ironi pada tulisan saudara Hilal. Beliau mengakui bahawa gejala "Dengar! Ijinkan saya untuk bercakap!" tidak berlaku pada semua. Namun penulisannya amat mudah untuk disalah sangka, seolah-olah ia berlaku setiap masa dan ketika, pada semua jemaah dan kumpulan dakwah.
Dan maaf saudaraku Hilal, saya kurang bersetuju apabila anda memberikan contoh bagaimana Allah mentarbiyah para Rasul dan NabiNya. Allah itu, dengan segala sifatNya yang sempurnya, pastilah tidak mempunya cacat dan celanya. Sebagai Tuhan yang Maha Bijaksana dan menguasai segala sesuatu, tidak mungkin kita akan menjumpai kecacatan pada cara dan kaedah yang digunapakai olehNya.
Sedangkan manusia itu banyak kelemahan dan kebobrokannya. Walhal manusia itu kadangkala terjatuh, kadangkala tergelincir dan kadangkala terperosok pula. Dan manusia itu, tidak mungkin, amat jauh daripada kesempurnaan, walaupon kita dituntut untuk mengejarnya.
Ya, saya faham. Ruhnya adalah untuk mengambil pengajaran bagaiamana Allah mentarbiyah manusia. Dan pasti bukan sengaja Allah menceritakan itu semua di dalam kitabNya yang mulia. Tapi janganlah sampai kita mencerca dan mengeji sesama kita, andai kita gagal mengikuti contoh dan qudwah yang telah ditunjukkan Allah yang Maha Sempurna itu.
Dan mereka juga bukan Rasul dan Nabi, yang menerima tarbiyah terus dari Allah.
Saat Nabi Yunus kechiwa dengan umatnya, lantas baginda dihumban masuk ke dalam perut ikan Nun.
Tatkala Nabi Daud khilaf dalam membuat penghakimannya, Allah pantas menurunkan dua orang malaikat untuk menegurnya.
Dan ketika Nabi Muhammad, junjungan besar kita berpaling wajah daripada Abdullah ibn Ummi Makhtum yang buta, Allah menurunkan surah 'Abasa sebagai peringatan buat baginda.
Kita? Hanya mampu untuk berharap pada tarbiyah yang telah kita terima. Hanya menanti teguran dan nasihat daripada ikhwah terchenta. Dan kadangkala terpaksa belajar dengan cara yang keras (Baca: Learn the hard way). Selebihnya? Kita hanyalah manusia yang punya terlalu banyak kelemahan dan kekurangan.
Ah Inche gabbana! Itu eskapisme namanya! Itu alasan lapuk, hujah busuk untuk menyelamatkan diri sendiri!
Haha. Ya, saya faham benar. Terpulang pada anda, sama ada mahu menyalahgunakannya. Saya hanya menyatakan hakikat sebenar. Menghuraikan fakta.
Ya, kita hanyalah manusia.
Allah chentakan jemaah
"Sesungguhnya Allah menchentai orang-orang yang berjuang di jalanNya dalam barisan yang teratur; mereka seakan-akan seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh."
[as-Saff, 61:4]
Berkali-kali sudah kita dengar dan hafali ayat ini. Malah sudah mahu berbuih telinga kerana sering dihunjam dengan ayat sama. Namun berimankah kita dengannya..?
Awal dakwah melihat ar-Rasul SAW bersungguh-sungguh mencari para sahabat untuk meramaikan jemaahnya. Mengapa? Kerana baginda sedar dan faham, betapa tugas dakwah ini terlalu berat untuk dipikulnya seorang.
Begitu juga sebaik sahaja baginda dan Abu Bakr tiba di Madinah, selepas suatu pengembaraan dan perjalanan yang panjang merentasi padang pasir yang seluas mata memandang. Baginda lantas mempersaudarakan Aus dan Khazraj, sebelum mempersaudarakan pula mereka dengan orang-orang Muhajirin yang berhijrah dari Mekah. Mengapa? Kerana baginda berpandangan jauh; kestabilan jemaah adalah faktor penting dalam memacu dakwah Islam yang lebih dinamik dan berkesan. Ewah.
"Tangan Allah berada di atas jemaah."
[Hadith Riwayat Nasa'i]
Pertolongan dan perlindungan Allah itu sentiasa berada bersama jemaah; yakni kumpulan-kumpulan yang mahu dan terus menegakkan kalimahNya di muka bumi. Tiada manusia yang bisa menjadi pulau di muka bumi, apatah lagi dalam menegakkan manhaj Islam yang agung lagi mulia ini. Berjemaah adalah wajib dalam menyampaikan Islam kepada seluruh umat manusia dengan cara yang paling efisien dan berkesan.
Maka pastilah, dalam memastikan jemaah ini mencapai hadaf yang telah ditetapkan dan halatuju yang telah digariskan, ada adab-adab dan akhlak berjemaahnya. Saf-saf yang dichentai Allah itu pastilah memerlukan perancangan yang rapi dan teliti. Untuk membentuk sebuah bangunan yang kukuh, batu-bata, simen, pasir, besi dan tenaga buruhnya juga mestilah yang berkualiti. Tidak boleh tidak, pastilah mereka yang memimpin jemaah itu perlu datang dengan strategi, undang-undang dan perancangannya untuk memastikan halatuju jemaah itu berada di landasan yang benar.
Sedangkan Kelab Batu Seremban Jejaka Metro pon ada polisi dan peraturan kelab yang perlu dipatuhi, inikan pula sebuah jemaah yang punya gagasan besar dan manhaj agung yang ingin dibawanya. Kalaulah ahli-ahli ada kepala dan karenah sendiri, akan jadi huru-haralah dan kacau-bilaulah jemaah yang dibina. Jemaah yang sepatutnya memantapkan tarbiyah, memperjuangkan dakwah, silap haribulan menjadi jemaah dakyah yang mengajak ke arah jahiliyyah! Astaghfirullah. Garu kepala.
Namun polisi, undang-undang dan peraturan yang ada, mestilah dilaksanakan sesuai dan kena pada mustawa (tahap) dan tempatnya. Bak kata Imam Hassan al-Banna:
"Jangan dipetik buah sebelum masak."
Bahayanya apabila buah ini dipetik sebelum masak, bukan sahaja buah yang dimakan pahit dan kelat, malah yang lebih mengerikan adalah tiada cara lain untuk buah itu menjadi masak. Ia sudah dipetik. Ia sudah dikupas dan bersedia untuk dimakan. Habis cerita.
Arakian jangan dipaksa ketaatan itu pada ahli-ahli jemaah yang belum lagi bersedia untuk memberikan ketaatannya. Jangan diharapkan sumpah setia pada mereka yang masih belum lagi benar-benar faham ruh dan matlamat sesebuah jemaah itu. Dan jangan ditekan mereka ini, agar segala suruhan dan arahan dipatuhi tanpa soal dan kompromi, andai mereka belum lagi bersedia untuk menjadi kader kepada jemaah tersebut.
Tidak hairanlah Imam Hassan al-Banna meletakkan 'tsiqah' (kepercayaan) sebagai akhiran kepada rukun bai'ahnya. Tsiqah sebagai pengikat dan penyimpul kepada rukun-rukun yang lain. Selepas ditunaikan dan dipenuhi hak-hak rukun-rukun yang lain itu baharulah datangnya tsiqah dan kepercayaan itu.
Tsiqah pada apa? Percaya pada siapa? Pertama tsiqah pada Islam itu sendiri. Kemudian percaya pada perjuangan dakwah yang ingin dibawa. Seterusnya pada jemaah yang memperjuangkan dakwahnya dan ahl-ahli yang berada di dalamnya, termasuklah murabbi, ustaz, syaikh dan qiyadah (kepimpinan) yang duduk di dalamnya.
Perlu diingatkan, tsiqah ini perlu didapatkan dan tidak boleh dipaksakan (Baca: Deserved and not imposed).
Seorang murabbi yang mahu ditsiqahi oleh hadek-hadeknya perlulah berusaha untuk memperolehnya. Bagaimana? Dengan kasih-sayang. Dengan qudwah yang ditunjukkannya. Dengan akhlak seorang rijal sebenar yang beramal di atas jalan ini.
Nah, sekiranya ini dilaksanakan dengan amanah, telus dan bersungguh, sukar sekali untuk terjadi pergeseran antara orang-orang di bawah dengan mereka yang berada di atas bukan..? Dan mudah pula untuk membina persefahaman yang jitu bukan..?
Kerana asas dakwah itu adalah kasih-sayang. Asas tarbiyah itu adalah chenta. Mana mungkin sebuah jemaah yang penuh dengan kasih-sayang dan chenta sanggup menzalimi ahli-ahlinya dengan sedar dan sengaja..?
Begitulah.
Fuh.
Saya kira penulisan saya ini tidaklah bertentangan dengan apa yang ditulis oleh saudara Hilal. Malah anda yang telah membaca penulisan saudara Hilal bolehlah membandingkannya pula dengan hujah-hujah yang telah saya tekankan. Saya yakin anda akan bersetuju dengan saya, bahawasanya penulisan saya ini lebih berfungsi sebagai pelengkap (Baca: Complement) kepada penulisan saudara Hilal, dan bukannya suatu bantahan atau tanda tidak setuju.
Alah, pergeseran yang sedikit itu, biasalah. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula sesama beloger. Eh.
Dan penulisan ini bukanlah untuk memepertahankan mana-mana pihak *koff* atau diri-sendiri *koff*. Boleh jadi selepas membaca ini, ada yang akan terus menuding jari, "Ha Inche gabbana ni salah seorang mangsa cucian otaklah ni!" Haha. Sekiranya anda mengenali diri saya yang sebenar, yang saya kira sering juga ditonjolkan dalam penulisan-penulisan saya, anda akan tahu betapa 'liberal' dan terbukanya saya. Juga seorang yang boleh tahan pemberontak jugalah. Ahah jelir lidah.
Namun saya berpendapat yang isu ini perlu ditanggapi dengan adil dan sebaiknya cuba mengambil kira pandangan dan pendapat semua pihak yang terlibat sama. Meskipon saya yakin, pasti ramai yang tidak bersetuju dan mungkin melenting dengan penulisan ini, saya kira dengan menulis artikel ini, saya sudah pon membuka ruang untuk anda, para pembaca, untuk lebih tabayun dan berbaik sangka. Senyum.
Dan sekiranya ada kemungkaran atau kesilapan atau kekhilafan di pihak saya dalam menulis artikel ini, sila-silalah jangan malu-malu untuk
Kepada saudaraku Hilal, teruskan berkarya untuk ummah. Ummah ini membutuhkan seorang jejaka kachak seperti anda. Dan... Saya tetap sayangkan anda keranaNya tahu...??
Tersipu-sipu.
-gabbana-
2,971 patah perkataan tidak termasuk diskelemer di atas dan nota kaki ini. Tulisan saudara Hilal hanyalah sebanyak 2,040 patah perkataan.
Saya memang tak reti tulis pendek, padat dan tepat. Patutlah sehingga sekarang masih tidak berjaya menghasilkan sebuah buku pon. Peluh kecil.
Aman tanpa perang.
13 Caci Maki Puji Muji:
Inilah kefahaman sebenar tentang "Jamaah" !
Jamaah bukanlah semata-mata sebuah badan NGO. Jamaah adalah sebuah harakah Islamiyah, di mana setiap ahlinya "intima' " /mengabungkan dirinya utk kerja-kerja islami.
Penulisan yg sangat bagus. Maaf, saya pun kurang bersetuju dgn saudara Hilal dalam hal ini.
Apa pun perbezaan pendapat, tidak menjadikan, kita renggang, bahkan bertambah rapat. InsyaaAllah.
Faham,ikhlas dan amal. Fahamkn dlu 3 benda ni! Walaupun berbeza jemaah tp aplikasikn dlm diri 3 perkara pertama ni, kita faham dan akn saling menghormati serta berlapang dada.Sedih lihat kader dakwah cepat melenting. Kita kena faham kenapa perlu berdakwah n mantapkn tarbiyah dikawasan bukannya nak 'cop' kwsn tu milik jemaah A dan tarbiyah dan dakwah no terakhir yg perlu dirisaukn. Sedangkn islam yg dibawa dan urgensi dakwah dan tarbiyah yg pling penting utk dititik bertkn..bukan jemaah apa yg kita bawa. Sedih jika daie berdakwah membawa nama jemaah semata2 tp mninggalkn prinsip sebenar islam.
Akhi, boleh bagi link tulisan Hilal Asyraf tu..? Jzkk
Bagi saya, dalam isu kepelbagaian jemaah ni, kesesuaian di Malaysia adalah lebih baik hanya ada satu jemaah sahaja. Hal ini akan mengurangkan pembaziran dari segi masa, wang dan tenaga. Contohnya A labur wang demi Islam pada jemaah Z. Sedangkan jemaah Y tidak cukup wang meski ahlinya sudah melaburkan wang. Bukan maksud saya amal yang dilakukan jemaah lain tidak dipandang Allah akan tetapi, setiap NGO/jemaah mempunyai objektif yang sama iaitu membawa nama Islam. Jadi, mengapa perlu berbeza jemaah sedangkan kita memang mahu membawa Islam. Apa pandangan orang bukan Islam pada kita?
Islam itu syumul. Pilihlah jemaah yang syumul juga.
Maaf andai terkasar bahasa atau ada tersilap kata. Mohon ditegur.
Inche gabbana,
*complement. Bukan *compliment rasanya.
Ahah. Semaili ikan.
@ENCIK MUSAB http://langitilahi.com/11663
Salam. Ada denga talk,yang allah turunkan malaikat bukan untuk menegur penghakimannya. Tp untuk menegur perbuatannabi daud yg dau ada 99 isteri tp nk merampas seorang lg isteri. Mohon pencerahan.
Fuh.
Assalamu'alaikum.
Pertama, saya okay dengan artikel inche gabbana ini. saya x amal listen, let me speak, menyebabkan saya okay orang nak tulis pendapat dia terhadap apa yang saya bangkitkan. bersetuju atau tak bersetuju, saya okay aja, selagi mana ditunjukkan dengan matang sebegini. setuju boddo je pun saya tak setuju juga. huhu.
Kedua, artikel saya jelas umum dan saya tak lorongkan kepada mana-mana dan siapa-siapa. cuma menjelaskan bahawa, wala' kita pada jemaah juga ada hadnya dan jemaah tak boleh kita layan macam agama. jemaah hanya wasilah. tak boleh kita letak satu keyakinan penuh tinggi bahawa jemaah kita adalah paling sakral, suci. jika itu kita fahami, memang yang berlaku adalah proses pembodohan, bukannya proses pembinaan.
Ketiganya, Islam bukan agama indoktrinasi. sebab ayat pertama Islam bukan 'Berimanlah!". Tetapi ayat pertama Allah SWT, adalah "Bacalah!". Indoktrinasi adalah apabila kita tak memberikan peluang anak buah untuk punya minda sendiri, hanya didik mereka untuk taat sahaja. Islam bukan begitu. Ayat-ayat Al-Quran banyak suruh kita berfikir, mengembara, bahkan ayat Al-Quran ada ayat mutasyabihat memberikan peluang manusia untuk berijtihad dan berfikir membuat tafsiran. al-quran bukan penuh dengan ayat muhkamat. listen, litsen, litsen sahaja.
Keempat, apa yang saya sebut, adalah benda-benda yang dalam proses pembinaan. kita nak bina orang jadi lebih baik dari kita. bukan macam kita, bukan lebih buruk. Allah bagi teguran keras dalam perkara2 muhkamat. kena pandai beza situasi itu. itu pun, Allah masih bagi peluang nabi Dia buat pilihan dulu, kemudian baru turun teguran. bukan terus-terus listen! Let me speak! Kan? ^^
Kelima, last sekali, saya ucap terima kasih atas artikel ini. okay je.saya tak kisah. Saya tak memaksa orang ikut saya.
Yang saya mahu, orang baca, orang perhati, orang fikir. keputusan di atas diri masing-masing. ^^
Sy dh baca dua2. Konfius
conclusinye, setiap manusia ade pendapat masing2. Jd, Allah dah bg akal utk berfikir dan hati utk memahami. Jd, sama2 la kita fikir yg mne pendapat yg patut di amik. Bg saya, Insyaallah pendpt yg dikuarkn oleh APG atau Hilal ade kebaikkan yg tersendiri. Ok. Aman. :)
rujukan buat semua ikhwah
penulsian seorang akh
http://halaqahmuntijah.wordpress.com/2010/02/23/salahfaham-dalam-proses-tarbiyah/
salam wbt.
tidak brmksud pd siapa2 atau mn2.
juga buat rujukan antum semua.
http://www.youtube.com/watch?v=xtjwtmjbOKE&feature=share
Post a Comment