17 December 2012

Hidup Ini Tidak Sesegera Mi Megi

[Kredit]

"Ma, masak apa hari ni..?"

"Tengoklah apa ada kat dapur tu. Mama tak masak hari ni!" 

Afiq mencebik. Dia baharu sahaja pulang menghadiri konferens riang hujung minggu. Badannya letih. Perutnya berkeroncong. Dia mengharapkan nasi putih panas, dengan ayam masak merah, pucuk paku gulai lemak cili api, ikan bilis dan kacang goreng sambal, timun dan ulam-ulaman sudah tersedia di atas meja.

Hampa.

Dia ke dapur, teruja melihat ada tudung saji di atas para dapur sedang melindungi sesuatu. Dengan rakusnya, dia mengangkat tudung saji tersebut, hanya untuk mendapati sebuah mangkuk dengan karipap sejuk dari semalam. 

Hampa lagi. 

Dia menggagahkan dirinya ke stor dapur, mencari penyelamat di saat-saat kecemasan sebegini. Dia menyelak almari yang menyimpan makanan-makanan kering dan bertin. Dikorek dan dibeleknya barangan yang berada di dalam almari itu. Hatinya sedikit gusar kerana tidak menjumpai apa yang dicari. Ish takkan dah habis kot? Dia memasukkan tangannya sedikit dalam lagi dan.. Voila! Dia tersenyum puas.

Mi megi. Sebungkus mi segera berpaket kuning kemas digenggamnya. Mi megi asam laksa. Yum yum! Memang perisa kegemaran Afiq.

Tapi.. Ni cap Maggi. Bukan kena boikot ke Maggi..? Ish nak boikot ke tak..? Boikot tak boikot.. Ah takpelah, sekali ni je!

Lapar punya pasal.  

Afiq lantas ke almari yang berisi periuk dan pinggan mangkuk. Diambilnya satu periuk kecil, cukup untuk mereneh sebungkus mi. Dia isi mangkuk itu dengan air, dan panaskannya di atas dapur. 

Sambil menanti air mendidih, dia membuka peti sejuk, ambil cili hijau dan bawang di bahagian sayur-sayuran. Dia kembali ke stor, mengambil sebiji telur untuk dimasak bersama meginya. Dia menukar fikirannya; dua biji. Kebulur. 

Dia membasuh bawang dan cili hijau yang diambilnya tadi. Juga dua biji telur berwarna perang muda itu. Lantas fikirannya menerawang ke Kuetiau Sungai Dua 'Telur Ayam Dibasuh' di Seberang Perai; habuan makan malam sewaktu berjaulah bersama ikhwah tidak lama dahulu. Memang sedap! Afiq tersenyum.

Dihirisnya bawang perlahan-lahan. Bau semerbak bawang mencucuk hidungnya. Dia menggerak-gerakkan hidungnya, cuba mengelak daripada terbersin. Kemudian cili hijau dipenyetnya sahaja dengan bilah pisaunya. Geram.  

Dia menjeling kepada air yang dididihnya. Belum menggelegak lagi. 

"Afiq..!"

Puan Salomah, ibunya memanggil. Afiq senyap. Merajuk.

"Afiq..? Meh sini jap, tolong mama..!"

"Ish orang tengah masak megi ni! Lapar! Nanti la karang..!"

Afiq menyahutnya dengan nada tinggi. Ibunya tidak menjawab. Diam. Afiq terasa sedikit bersalah. Tapi ego menyebabkan dia berdegil. 

Afiq baru dua tahun lebih dalam tarbiyah. Dalam masa dua tahun ini, sudah banyak yang dia pelajari. Dalam masa dua tahun ini, dia sudah banyak berubah. 

Kini dia sudah punya mutarabbinya sendiri. Dahulu sumpah dia tidak yakin langsung untuk membawa bulatan gembira sendiri. Namun kini, dia sudah lebih matang dan mampu untuk memimpin bulatannya sendiri. 

Namun, ada banyak cabaran yang terpaksa dia lalui dan tempuhi. Cabaran bersama ikhwah. Mehnah gerak kerja. Dan yang paling dia lemah sekali, ujian keluarga. Dalam banyak-banyak mehnah dan tribulasi di jalan dakwah ini, hal keluargalah yang paling banyak mengalirkan peluh besarnya. Awalannya, disangkakan lebih lama dan matang dalam tarbiyah ini, lebih kuat dan bersedialah untuk menghadapi sebarang cabaran yang mendatang. Lebih sedikit dan kuranglah ujian yang datang mengetuk pintu rumahnya. 

Dia silap. Sangat silap. Orang putih kata, "Wrong. Damn wrong." Cakap omputih sikit. Eh.

Air di dalam periuk sudah mula menggelegak. Dia koyakkan bungkusan perencah asam laksa dan tuangkan serbuk perencah ke dalam periuk. Dikacaunya sehingga air bertukar menjadi kuning keperangan. Kemudian dia masukkan pula hirisan bawang dan cili hijau, sebelum memecahkan telur dan mengacau rata isi periuk itu.

Betul ke cepat dimasak dan sedap dimakan..? Hhhmm. [Kredit]

Tidak lama selepas itu, Afiq segera meremuk-remukkan bungkusan meginya dan kemudian menuangkan isinya ke dalam periuk berisi air panas itu. Dia mengambil sebatang garfu dan kemudian mengacau mi yang sudah direndam itu. Hatinya kurang tenang, berbolak-balik memikirkan apa yang berlaku antara dirinya dengan ibunya sebentar tadi. Berbolak-balik seperti air menggelegak yang asyik mereneh megi asam laksanya. 

Ish.

Afiq sering gagal menunjukkan qudwah yang baik apabila bersama keluarga. Di luar, dialah yang paling sabar, paling kool dan paling bergaya di hadapan mata ikhwah dan mad'unya. Tapi apabila dia di rumah, entah mengapa sabarnya amat mudah menghilangkan diri, lenyap entah ke mana. Terutamanya apabila dia terpaksa berhadapan dengan kakaknya yang suka mengusik dan mengada-ngada. Teringatkannya sahaja sudah boleh membuatkan Afiq panas punggung. Gedik!

Di rumah, amat sukar untuk dia bangkit sendiri, menunaikan solat Subuh melainkan dikejutkan oleh ibunya. Walhal kalau di program-program dakwahnya, dialah yang paling awal sekali bangun, sehingga boleh mengejutkan ikhwah yang lain. Ibunya sampai mengeluarkan kata-kata,

"Haih macam ni orang ikut usrah..? Sampai nak bangun Subuh sendiri pon dah tak reti..?"

Geleng kepala.

Setiap kali si ibu atau ayahnya mengeluarkan kata-kata sedemikian rupa, pasti hati Afiq ibarat disiat-siat dengan alat pengupas kulit kentang. Aduh, memang pedih dan mengerikan. 

Afiq sedar sahaja dengan masalah yang sedang dihadapinya bersama keluarga. Dan dia masih belajar. Belajar untuk memperbaiki dirinya. Namun ia sukar. Amat sukar. 

Kadang-kadang Afiq terasa seperti mahu menghantukkan sahaja kepalanya ke dinding laju-laju dan berkali-kali. Manakan tidak. Dia amat mahu keluarganya bersama-sama dengan gerabak tarbiyah dan dakwah yang sudah dia sertai. Pada masa yang sama, akhlaknya di rumah menyebabkan mereka skeptikal padanya, dan lebih jauh dengan risalah yang hendak diperkenalkannya. Adeh. 

Seminit sudah berlalu. Seminit lagi sebelum dia boleh menuangkan mi-nya ke dalam mangkuk yang sudah siap tersedia. Aroma asam laksa yang wangi dan pedas sudah mengecurkan air liurnya. Perutnya semakin galak berkeroncong.

Tatkala sedang dia asyik memerhatikan mi-nya yang sudah hampir masak, tiba-tiba dia teringatkan pada sebuah belog yang sering dia kunjungi. Belog itu dahulunya ada kuot di header yang ada kena-mengena dengan mi megi juga.

Dia cuba mengingat-ingat. Uhm.

Kini mi-nya sudah lembut. Lebih dari dua minit sahaja nanti, mi-nya akan jadi tidak sedap kerana terlalu lembut. Dia segera menutup api. Dengan cermat, menggunakan sarung tangan penebat haba, dia mengangkat periuk berisi mi megi asam laksanya dan menuangkan segala isinya ke dalam mangkuk porselin berwarna biru muda milik ibunya. Kelihatan mi berwarna kuning, diselang-seli dengan cili hijau, hirisan bawang, jasad telur yang sudah hancur dan kuah berwarna kuning keperangan 'terjun' dengan riangnya ke dalam mangkuk.

Afiq tersenyum. Tidak sabar dia mahu menikmati meginya itu.

Dia lantas mengangkat mangkuknya dan segera menuju ke meja makan. Diletakkan alas meja yang dibeli di IKEA sebelum meletakkan mangkuknya. Ditarik kerusi kayu mahogani meja makannya itu dan didudukinya dengan tidak sabar. Ditariknya kembali kerusi ke depan.

Bismillah. 


Segarfu mi sudah siap untuk dimasukkan ke dalam mulutnya apabila tiba-tiba dia teringat pada kuot belog yang bermain di fikirannya tadi.

"Mencari keredhaan Ilahi tidak semudah memasak megi." 

Gulp. Sentapan. Padu. Keras.

Ketika itu juga dia menyuapkan megi asam laksa ke dalam mulutnya. Mukanya berubah. Merah. Dia tergigit cili hijau. 

Pedas. 

Dia memejamkan matanya sebentar. Lantas dia bingkas bangun.

"Ma..? Mama panggil Afiq ke tadi..? Ada apa..?"

-gabbana- 

13 Caci Maki Puji Muji:

Aqilarin 17/12/2012, 18:44  

"tergigit cili" masa baca part bangun subuh. err.

menjaga tarbiyah dan iman di rumah waktu cuti sem tak semudah menggoreng telur!

jazakallah akhi.

yon asyikin 17/12/2012, 19:52  

mmg terkena batang hidung sendiri nie..huhu

rasenye ramai yg bila bersama keluarga sendiri kesabaran selalu terbabas...ia memerlukan satu semangat dan usaha yg tinggi sbb keluargalah org pertama yg akan bersama susah senang...

thepenulisjalanan 17/12/2012, 20:13  

hmm..qudwah pda famili..payah...sgt perlu mujahadah..

Lintasan Hati 17/12/2012, 21:47  

dush2......adoi sakitnya........sgt terasa....sekian terima kasih

Amen Naqib 17/12/2012, 22:41  

Realiti.

Mummy Poko Tiada Bocoran hanya senyuman 17/12/2012, 23:09  

comel gila cerita ni lagi2 yang kat hujung tu, gigit cili. Ohoi!

Adakan sambungan please....!!!!!

Anonymous 18/12/2012, 01:30  

Betul!klu kat luar sllu jd tkg kjt org utk bgn sbh.tp ble kat rmh.alahai~ *ble la nk brbh ni =,='' mgkn sbb rse slmt kat rmh sndr.tu yg smpi x t'bgn.

ENCIK MUSAB 18/12/2012, 05:01  

masya Allah. Jazakallah

cik anon 18/12/2012, 12:16  

truth hurts and reality bites.ouch..
true..really true.T_____T

*tapi kalau dah sedar,tapi tak reti nak balik ke pangkal jalan,tak guna~kutuk diri sendiri~

Ya Allah..T_T

anamuzakkar =.= 18/12/2012, 23:27  

char kuey teow sungai dua
ok, itu sumpah mantap!
:)

menangis tak henti2 baca post ni
tak nak lah makan megi !!

Nur Mawaddah 19/12/2012, 20:43  

terketuk kepala sendiri..

Anonymous 11/04/2013, 08:07  

opss..!! ouchhh... pedih nye..cili masuk hidung..kwang3.. reality ni.. mmg susah bile dh duduk dlm family.. ego kite plk time tu naik menggunung dushhh.... --___--

Zafran 26/02/2014, 11:21  

Gulp, lapar pulak baca enty nih, haha

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP