2 October 2012

Bejat 2013

[Kredit]

Ketika ini, isu bajet 2013 masih hangat dibicarakan dan didebatkan, baik di dada-dada akhbar, telebisen, MukaBuku, belog, radio dan macam-macam lagi saluran maklumat. Sekiranya anda menggunakan saluran yang pro-gomen, maka pastilah pujian yang melambung ke langit yang diberikan kepada pembentangan bajet 2013 yang lalu. 

“Bajet paling mesra rakyat yang pernah dibentangkan!"

“Untuuuungglaaaahh anda semua kerana mempunyai kerajaan yang begitu sayang dan peduli akan nasib rakyatnya."

“Ini.. Ini.. Ini bajet yang sungguh ajaib! Habuan besar untuk rakyat dan pada masa yang sama, cukai pula dikurangkan! Ohoiii…!!"

Nak bengkak jugalah mata dan bernanah telinga menonton dan mendengar komentar-komentar sebegitu. Pada masa yang sama, sekiranya anda membaca akhbar-akhbar atau belog-belog pro-pembangkang, atau kicauan dan komentar mereka, anda akan dapati sesuatu yang amat jauh berbeda.

“Bajet paling merugikan rakyat yang pernah dibentangkan!"

“Malaaaaanngggglaaahhh anda semua kerana mempunyai kerajaan yang rabun dekat, hanya sayang dan pedulikan poket dan kepentingan diri mereka sahaja!"

“Ini.. Ini.. Ini bajet yang sungguh ajaib! Perbelanjaan besar dan pada masa yang sama, cukai pula dikurangkan! Ohoiii…!!!"

Ehem.

Bajet atau bejat?

Jujurnya, saya sendiri merasakan bajet 2013 kali ini adalah bajet yang merugikan rakyat untuk suatu jangka masa yang panjang. Ya, dengan berpandangan sebegini, anda pasti akan terus menuduh bahawa saya pro-pembangkang dan walau bagus dan haibat bagaimana pon bajet yang dibentangkan, saya tetap akan mengkritik dan menentangnya. Dan walau bagaimana seriyes dan penuh perasaan sekalipon saya cuba meyakinkan anda bahawa saya ini neutral dan cuba melihat bajet yang dibentangkan melalui kaca mata seorang lelaki yang bergaya (batuk batuk) yang mempunyai ijazah dalam bidang ekonomi (walaupon bukan kelas pertama batuk batuk) dan tidak mempunyai mana-mana kepentingan serta ikhlas cuba menilai kesan dan impak daripada bajet yang dipersembahkan, anda pasti tetap akan mengaitkan saya dengan parti pembangkang.

Jangan risau dan buat kembang hidung, kerana saya tidak akan menyalahkan anda. Anda punya hak untuk berpendapat demikian. Bukankah setiap duit syiling mempunyai dua sisi yang berbeza? Senyum. Cuma saya minta anda habiskan dulu penulisan saya ini, juga menghormati pandangan dan pendirian saya, yang saya kira punya hak untuk menyampaikan pendapatnya, pertama sebagai seorang muslim yang punya tujuan hidupnya dan kedua, sebagai seorang rakyat Malaysia yang berdaulat dan terhormat.

Baiklah, mari kita lihat bajet 2013 ini secara selayang pandang.

Pertamanya, walau bagaimana anda cuba bersilat atau berwushu, anda tidak akan boleh nafikan bahawa ia adalah bajet pilihanraya. Malah jangan terkejut sekiranya saya nyatakan di sini, para penganalisis profesional daripada bank-bank terkemuka juga mempunyai pandangan yang serupa (Alhamdulillah saya mempunyai akses kepada analisa dan laporan mereka). Gula-gula yang ditaburkan (walaupon harga gula bakal naik tidak lama lagi) jelas menunjukkan bahawa:

  1. Kerajaan sudah amat terdesak
  2. Pilihanraya sudah tidak lama lagi
  3. Kerajaan yakin bahawa rakyat Malaysia boleh dibeli dengan begitu mudah dan murah

Melihatkan cara Dato' Sri Najib 1Malaysia membentangkan bajet juga tidak acuh seperti sedang membentangkan manifesto pilihanraya. Gayanya yang cukup sinis memperkotak-katikkan pihak pembangkang, juga di hujung-hujungnya yang penuh dengan retorik merayu rakyat Malaysia agar terus memilih kerajaan BN, mengesahkan lagi bahawa bajet yang dibentangkan tidak lebih sekadar gimik pra-pilihanraya. Eh, ini Bajet 2013 atau kempen pilihanraya yang ke-13..??

Dato' Sri dan Tan Sri, ini bajet untuk rakyat atau bajet bagusss..?? Eh. [Kredit]

Yang lebih menarik, antara golongan yang paling banyak mendapat manfaatnya daripada Bajet 2013 kali ini adalah golongan urban dan muda. Dengan rebat RM200 untuk pembelian telefon pintar 3G, BR1M 2.0 untuk golongan bujang yang berumur dua puluh satu ke atas dan berpendapatan RM3000 ke bawah serta penerusan baucer buku 1Malaysia jelas adalah antara cobaan memancing anak-anak muda untuk menyokong kerajaan Barisan Nasional. Oh sekiranya anda terlepas pandang, pada pilihanraya yang lepas, juga pilihanraya Sarawak baru-baru ini, kebanyakan kawasan hitam yang menghadiahkan kekalahan kepada calon Barisan Nasional adalah majoriti pengundinya terdiri daripada golongan muda urban. Kebetulan..? 

Belum lagi dikira gula-gula dan kuih koci lemak manis yang dihidangkan kepada para pekerja kerajaan dengan bonus satu setengah bulan, BR1M 2.0 yang diteruskan untuk tahun kedua, cukai pendapatan yang dikurangkan sebanyak satu peratus untuk mereka yang berpendapatan RM2501 sehingga RM50,000 setahun, pertambahan nilai pencen dan lain-lain lagi. Siapa lagi yang untung? Mereka yang selama ini terkesan dengan 'cukai dosa'; 1) Para perokok tegar kerana buat tahun kedua berturut-turut cukai rokok tidak dinaikkan dan 2) Para pengusaha kelab-kelab malam, bar dan para peminum arak kerana untuk tujuh tahun berturut-turut, cukai ke atas arak tidak dinaikkan. 

Eh ikut suka hati kerajaanlah nak beri habuan kepada sesiapa sahaja yang mereka suka? Mereka kerajaan yang memerintah, mereka tahulah apa yang terbaik untuk rakyat dan negara!

Ok, saya sudah mula mengesan simptom-simptom emo di situ. 

Jika benar kenyataan anda itu, maka kerajaan perlu berlaku adil kepada semua, bukan kepada sesetengah pihak sahaja. Anda yang bekerja di sektor swasta pastinya antara yang paling tertinggal ke belakang dalam bajet 2013 ini. Walhal anda juga rakyat Malaysia. Anda juga berhak ke atas setiap hasil mahsul negara ini. Dan apa kes dengan duit royalti minyak Kelantan..? Apa kisah dengan rakyat Sabah yang sudah lama dibiarkan sebatang kara? Mengapa sehingga kini kerajaan masih diam membisu tentang bagaimana mereka akan menangani isu itu? Langsung tidak disentuh dalam pembentangan bajet kali ini.

Kerana itu saya katakan ia Bajet 2013 amat jelas sekali bermotifkan politik dan pilihanraya.

Mari tangkap ikan!

Kedua, jika ada sekalipon impak positif dan kesan baik daripada Bajet 2013, kebanyakannya hanya bersifat sementara. Dalam istilah ekonomi, kerajaan yang memerintah ini adalah kerajaan yang myopik, yakni rabun dekat. Atau sengaja buat-buat rabun dekat. Pepatah purbakala (tidak dapat dipastikan secara sahih sama ada ia pepatah Cina atau tidak) ada mengatakan:

"Sekiranya anda memberi seorang lelaki dengan seekor ikan, dia tidak akan kelaparan untuk sehari lamanya. Tetapi sekiranya anda mengajar seorang lelaki memancing, maka dia tidak akan kelaparan seumur hidupnya."

Dengan memberi BR1M, rebat itu dan ini, faedah yang dinikmati rakyat hanya bersifat jangka masa pendek sahaja. Ekonomi negara mungkinlah akan terangsang dengan bantuan kewangan bersifat sekaligus ini, tetapi kesan jangka panjangnya boleh jadi mengerikan dan mendatangkan bencana.

Mari saya berikan anda satu analogi mudah. 

Anda, mak cik angkat anda, kakak saudara sebelah sepupu tiri anda, jiran sebelah rumah, jiran empat puluh buah rumah, jiran taman seberang, semuanya layak untuk mendapatkan BR1M bernilai RM500.00 itu. Misallah kesemua anda teruja untuk membelanjakan wang tersebut di pasaraya Mydin yang berdekatan. Dalam tempoh seminggu ke sebulan, kesemua anda yang mendapat BR1M menyerbu Mydin untuk menghabiskan wang tersebut sekaligus (setahu saya ia tidak boleh ditukarkan ke dalam bentuk wang tunai untuk disimpan, maka ia perlu dibelanjakan), walaupon anda sebelum ini tidak pernah ke Mydin, hanya kerana kini anda punya pendapatan yang berlebihan. Apa akibatnya?

Pak Cik Mydin akan melihat ini sebagai satu isyarat peningkatan terhadap permintaan barangannya. Bagi memenuhi permintaan ini, Pak Cik Mydin telah memesan lebih banyak bekalan. Dia juga telah mengupah lebih banyak pekerja untuk menguruskan lebih banyak urusan, dek terlalu ramai pelanggan yang menyerbu pasarayanya. Pak cik Mydin juga telah membesarkan pasarayanya untuk memuatkan lebih ramai pelanggan, menambah rak-rak jualan, menambah jumlah pendingin hawa dan macam-macam lagi untuk menambahkan keselesaan para pengunjung pasarayanya.

Tup tup, selepas sebulan, orang yang datang ke pasaraya Mydin tidak seramai dahulu. Mengapa? Kerana BR1M sudah habis. Tiada lagi baucer atau kupon untuk dihabiskan dengan berfoya-foya. Yang datang ke pasarayanya hanyalah para pelanggan setia atau yang ingin membeli barangan keperluan sahaja. Sudah, apa jadi dengan bekalan-bekalan tambahan? Apa nasib pekerja-pekerja yang telah diupah? Bagaimana Pak Cik Mydin nak bayar bil-bil elektrik yang kian bertambah?   

Ya, contoh ini telah saya permudahkan ke skala Dik Cerdas. Walaupon ia tidak menggambarkan kesan yang akan berlaku secara tepat dan keseluruhan, tapi ia sudah mampu memberi gambaran tentang apa akibatnya memberi bantuan berbentuk kewangan secara sekaligus sebegitu. Itu baharu kesan tempatan di Mydin, bayangkan pula kesan dalam skala Maharaja Raksasa Syaitan Pikor yang lebih besar. Eh.

Ah long ah long Bukit Beruntung! 

Ketiga, jumlah hutang kerajaan Malaysia (secara otomatiknya hutang kita juga) amat-amat menakutkan, sementelah pembentangan Bajet 2013  yang menyebabkan kita berpeluh besar dan ketar lutut bagi anda yang memahami kesan jangka panjangnya. Sehingga kini, kerajaan telah berhutang sebanyak RM503 bilion atau setengah trilion! Walawehhh!! Jumlah itu adalah 53.7% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK atau nama omputihnya GDP) untuk tahun 2012. Eh, anda tahu ke banyak mana RM503 bilion itu? Mari saya letakkannya dalam bentuk angka agar lebih mudah anda memahaminya.

RM503,000,000,000. Ringgit Malaysia kosong perpuluhan lima juta juta. Kalau masih wujud nasi lemak berharga seringgit, maka dengan jumlah itu, anda boleh memberi nasi lemak secara percuma kepada seluruh rakyat Malaysia tujuh belas bungkus setiap seorang. Wahahaha. Ok seriyes seriyes.

Membaca komen Professor Nazari Ismail tentang isu ini amat menarik dan pada masa yang sama membeliakkan mata sekali. Katanya:

"Dari perspektif Islam, adalah tidak salah untuk kerajaan berhutang untuk memberikan manfaat kepada rakyat. Tetapi langkah berhutang tersebut mesti memenuhi dua syarat utama iaitu hutang tersebut bebas dari unsur riba' serta hutang tersebut boleh dibayar balik oleh kerajaan. Malangnya kedua-dua syarat utama tersebut jelas tidak dapat dipenuhi. Sumber utama kepada hutang negara adalah dengan menggunakan instrumen `Sekuriti Kerajaan Malaysia’ (Malaysian Government Securities atau MGS) yang menggunakan kaedah riba' yang jelas haram dari perspektif Syariah. Tambahan pula, hutang kerajaan yang terkumpul sekarang telah meningkat ke angka lebih dari separuh trillion Ringgit dengan penjelasan hutang tahunan (Debt Service) yang meningkat setiap tahun. Untuk makluman, pada tahun 1998 penjelasan hutang tahunan oleh kerajaan hanya berjumlah RM7 billion, namun sekarang ini ianya akan melebihi RM20 billion setahun pada tahun 2013. Tren ini jelas membuktikan bahawa kerajaan sekarang ini bukan sahaja tidak berupaya mengambil langkah mengurangkan jumlah hutangnya, bahkan juga tidak berupaya atau tidak bercadang untuk mengambil langkah untuk mengelak dari menambahkan beban hutangnya."

Gulp.

Moga kita dijauhkan menjadi bankrap seperti Greece! Na'udzubillah.. [Kredit]

Yang lebih ajaib dan menggarukan kepala adalah bagaimana kerajaan mampu untuk berbelanja besar dan pada masa yang sama, berani pula menurunkan kadar cukai pendapatan. Tidak pernah lagi dalam mana-mana sejarah peradaban dunia, mana-mana negara yang mampu untuk berbuat demikian. Hampir semua negara-negara maju mempunyai kadar cukai pendapatan yang sangat tinggi; Kerajaan Bersatu mengenakan 50% cukai pendapatan ke atas rakyatnya, Amerika Syarikat - 35%, Sweden - 57% (!), Jepun - 40%, China - 45% dan Australia 45%, dengan pengecualian Singapura - 20%. Tapi.. Anda tengoklah bagaimana langit dan bumi bezanya negara Singa itu dengan kita..! Geleng kepala.

Saya kira kerajaan di bawah pimpinan Dato' Sri Najib 1Malaysia pasti telah menjumpai satu formula rahsia bagaimana mahu mentadbir negara dengan perbelanjaan yang begitu besar, pada masa yang sama membuatkan rakyatnya riang gembira. Kalau tak pon, pastilah penasihat ekonominya merupakan seorang ahli nujum terkemuka atau bekas graduan Hogwart School of Witchcraft and Wizardy!

Tambahan pula, menurut pendekatan Islam, perbelanjaan negara sewajarnya berpandukan kepada kemampuan sebenar negara dalam menampungnya, juga berdasarkan keperluan sebenar rakyat. Jadi anda sila beritahu saya, apa manfaatnya memberikan rebat RM200 kepada muda-mudi untuk membeli telefon pintar 3G? Apa faedahnya memberikan BR1M kepada 1.5 juta rakyat bujang berpendapatan RM3000 ke bawah, ketika masih ramai lagi orang yang memerlukan dana tersebut? 

Dan mampukah negara membayar balik sejumlah RM503 bilion hutang yang ditanggungnya..?? Anda tahu siapa yang terpaksa bayar balik semua hutang itu di kemudian hari..?

Kitalah, rakyat Malaysia! Siapa lagi...?? Anda, anak-beranak anda, cucu-cicit anda sehinggalah ke piut-miut nanti akan menderita, hanya kerana mahu bersuka-ria dan berfoya-foya untuk masa yang sekejap cuma! Aduhai!

Slogan yang dipegang kerajaan Malaysia seolah-olahnya adalah "Bersenang-senang dahulu, bersakit-sakit kemudian! Ohoii!!"

Krisis Nilai

Ya, saya tahu post ini panjang. Pedas. Panas. Apa kata anda berehat dulu, menikmati teh o' ais limau beserta kacang goreng berempah? Ahah! 

Ketika ini saya pasti para penyokong tegar kerajaan sudah pon mengecop label PEMBANGKANG TOTOK besar-besaran di dahi saya. Manakala para penyokong pembangkang pula sedang melompat berpom-pom sambil bersedia mahu menghulurkan borang pendaftaran ahli baru kepada saya.

Err.. Maaf, saya tidak berminat. 

Ehem. Betulkan kolar.

Jangan cepat menggelabah. Dan jangan cepat menerjah.

Saya belum habis lagi.

Ya, meskipon ada benarnya bajet alternatif Pakatan Rakyat tampaknya lebih jujur, telus dan benar-benar mesra rakyat, tidak boleh tidak, pasti ada kelemahannya di situ.

Pertamanya, yang paling ketara sekali adalah upacara potong-memotong yang begitu galak dicadangkan oleh mereka. Mansuhkan PTPTN! Mansuhkan konsesi PLUS! Turunkan harga kereta! Wah, bunyinya cukup mengujakan bukan..? Mendengarnya sahaja sudah boleh membuatkan mata anda bersinar-sinar bukan..??

Masalah besar dengan cadangan bombastik mereka ini adalah, mereka langsung tidak menyatakan bagaimanakah mereka akan menutup dan menggantikan semula kelompangan yang telah mereka tinggalkan itu. Sumber pendapatan mereka seperti yang terkandung dalam dokumen bajet mereka hanya menyatakan tiga sumber yang utama; 1) Cukai langsung, 2) Cukai tidak langsung dan 3) Pendapatan bukan cukai.

Juga tiada insentif untuk sektor-sektor swasta, walhal sektor inilah yang banyak menggerakkan ekonomi negara. Fokus dan tumpuan banyak diberikan kepada kemaslahatan dan kebajikan rakyat; seperti menurunkan harga rumah, menurunkan harga kereta, takat gaji minima, peruntukan istimewa untuk golongan wanita dan sebagainya. Wah, seolah-olahnya ia adalah bajet dari dunia Alice di alam kayangan!

Belanjawan alternatif oleh Pakatan Rakyat. Benar-benar telus dan memberi manfaat kepada rakyatkah? [Kredit]

Tidak hairanlah kerajaan BN segera memperlekehkan bajet PR ini sebagai bajet populis semata! Namun secara jujurnya saya lebih selesa dan bolehlah menarik sedikit nafas lega dengan pembentangan bajet alternatif oleh PR. Dengan figur-figur berkaliber seperti Rafizi Ramli, Dr. Dzul, Tony Pua dan Lim Guan Eng, saya berkeyakinan bahawa pihak pembangkang jauh lebih berhati-hati dan teliti dalam merangka bajet mereka kali ini. Dan dengan rekod 'agak' bersih dan baik mereka di empat buah negeri di bawah pemerintahan mereka, sekurang-kurangnya kita tahu yang mereka berkemampuan untuk memerintah negara ini.

Namun hakikatnya masih merisaukan. Kedua-dua bajet yang ditawarkan kepada rakyat tidak menyelesaikan masalah kebejatan moral dan akhlak yang sudah jauh berakar-umbi. Sekiranya anda perasan, pernah saya nukilkan di MukaBuku saya, berkongsikan pandangan seorang akh yang amat saya hormati, betapa kedua-dua bajet yang dibentangkan oleh kerajaan BN dan PR sedang menunjukkan simptom-simptom yang amat mengerikan, betapa masyarakat kita sekarang ini sebenarnya sedang menghadapi krisis nilai yang amat seriyes. Dan betapa berbezanya rakyat Malaysia dengan rakyat Gaza di sana, yang berdiri teguh di belakang kerajaan Hamas kerana nilai yang mereka pegang dan yakini.  Di sini, kedua-dua BN dan PR berebut-rebut mahu menambat hati rakyat dengan menawarkan sesuatu yang materialisitk.

"Bantuan Rakyat 1Malaysia!"

"Turunkan harga kereta!"

"Rebat RM200 untuk anda membeli iPong pojaan hati anda!"

"Kita mansuhkan PTPTN! Pendidikan percuma!"

Ya, semuanya berasaskan material. Wang. Kereta. Gajet. Harta. Bukankah itu materialistik namanya..??

Dan saya tidak menyalahkan kedua-dua BN dan PR sepenuhnya, kerana apa yang mereka tawarkan menggambarkan kehendak dan permintaan kita. Ya kitalah, rakyat Malaysia, siapa lagi..??

Kita mahukan wang, itulah yang mereka beri!

Kita mahukan bantuan, itulah  yang mereka bagi!

Kita mahukan habuan, itulah yang mereka tawarkan! 

Ketika saya meletakkan status ini di MukaBuku, ada satu komen yang tampaknya sedikit emo dan tidak berpuas hati dengan kenyataan saya itu. Juga tidak berpuas hati mengapa saya membandingkan rakyat Malaysia dengan rakyat di Gaza sana. Beliau juga berhujah dengan menggunakan maqasid (tujuan) syariah, di mana (saya kira) bajet PR bertujuan untuk memastikan pembahagian harta secara adil. Wahai, saya kira anda seorang penyokong pembangkang bukan..?

Sebenarnya pandangannya cukup baik dan relevan sekali. Malah sebenarnya, tiada apa-apa percanggahan pon antara pandangannya dengan pandangan yang saya kemukakan. Saya bercakap tentang soal nilai, kaca mata yang dipakai oleh kita dan para pemimpin yang memerintah kita. Dan dia berhujah tentang perlunya pembahagian harta dan hasil-mahsul negara secara adil dan saksama. Baguslah. Memang itu yang kita inginkan! Senyum. 

Memetik kata-kata Professor Nazari sekali lagi: 

Kita kena sedar bahawa maqasid atau tujuan Syariat Islam adalah untuk mendatangkan manfaat kepada masyarakat. Senario kegawatan ekonomi, huru-hara dan kesengsaraan yang sedang berlaku di negara-negara Eropah dan yang juga akan berlaku di negara kita jika kaedah pengurusan kewangan negara ini tidak diubah kepada cara Islam jelas menunjukkan bahawa adalah menjadi tanggungawab semua ahli masyarakat, terutama sekali dari kalangan mereka yang menggelarkan diri mereka sebagai pendakwah berusaha dengan segala daya mereka untuk memastikan bahawa ajaran Islam diamalkan sepenuhnya di dalam semua aspek kehidupan termasuk di dalam aspek penyediaan bajet negara.

Begitulah.

Peranan kitalah sebagai dua't di tengah-tengah masyarakat untuk mengubah neraca nilai yang sudah tersibghah di kalangan mereka. Agar suatu hari nanti bajet yang dibentangkan oleh kerajaan yang benar-benar jujur dan telus adalah suatu bajet tulen yang bersungguh-sungguh mahu mendatangkan kebaikan, kesejahteraan dan kemaslahatan kepada semua pihak tanpa sebarang diskriminasi mahupon kompromi! 

Dan agar suatu hari nanti, bajet yang dibentangkan benar-benar mencerminkan kehendak dan permintaan masyarakat ketika itu; tidak lain dan tidak bukan, keredhaan dan kechentaan Allah semata-mata!

Tak bersyukur..?? Pfffttt!

Sebagai noktah akhir, suka saya untuk memberikan sedikit komentar tentang pandangan dan pendirian sesetengah pihak yang saya kira cukup jumud dan kolot. Menurut mereka ini, sesiapa sahaja yang mengkritik kerajaan atau dasar-dasar mereka adalah manusia yang tidak bersyukur. Wah. Mengapa? Kerana kononnya kerajaan telah melakukan pelbagai perkara dan kebaikan demi kesejahteraan rakyat. Semenjak kerajaan BN memerintah lebih lima puluh tahun yang lalu, telah pelbagai kemajuan dan kemaslahatan telah berjaya direalisasikan, hasil pemerintahan mereka yang adil dan saksama. Dengan biasiswa yang telah mereka berikan, pelbagai jenis bantuan dan subsidi yang dihulurkan, apa lagi yang anda mahukan..??

Haih.

Pertamanya, sememangnya itu sudah tugas mereka sebagai kerajaan, untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat yang mengundi mereka. Kerajaan sepatutnya adalah hamba kepada rakyat dan bukan sebaliknya. Sebagai pihak yang memerintah dan punya kuasa dan kedudukan, mereka sewajibnya memegang amanah ini sebaiknya tanpa mengungkit-ngungkit dan mengharapkan rakyat membalas budi mereka. 

Kita mengimpikan seorang pemimpin seperti 'Umar al-Khattab yang amat takut dan khuatir dengan amanah yang di bahunya, sehingga pernah melahirkan rasa kerisaunnya tentang kemungkinan ada unta yang terseliuh di Iraq, hanya kerana dia gagal membina jalan yang baik dan sempurna. Takut-takut unta tersebut akan mendakwanya di akhirat nanti! Allahu allah. Itu baru unta; apatah lagi memerintah dan mentadbir makhluk yang bernama manusia!

Keduanya, sudah menjadi tanggungjawab rakyat pula untuk memastikan kerajaan menjalankan tugas mereka dengan sesungguhnya dan penuh amanah, telus dan berintegriti. Bagaiamana..? Dengan kritikan-kritikan yang membina. Dengan mengutarakan sebarang permasalahan yang timbul dengan cara yang paling efisien dan berkesan. Dengan mengadakan rapat umum atau pungutan suara untuk menyatakan rasa tidak puas hati dan sebagainya. Mesti ada check and balance. Sekiranya pihak pembangkang gagal berbuat demikian, maka kita sebagai rakyat dalam sebuah negara yang kononnya mengamalkan demokrasi inilah yang perlu bersuara!  

Itu bukan tanda tidak bersyukur. Malah kerajaanlah yang perlu bersyukur dan berterima kasih kerana mempunyai rakyat yang cukup osem dan bergaya seperti itu! Eheh.

Fuh.

Sukar untuk saya membuat analisa secara adil dan menyeluruh dengan hanya satu post sebegini. Dan selalunya, analisa ekonomi sepertiini memerlukan graf, carta pai dan gambar rajah yang sesuai. Ahah. Tetapi saya kira saya sudah pon menyampaikan pandangan saya sedikit sebanyak dan apa yang saya rasa berkenaan Bajet 2013.

Jujurnya tiada apa yang mahu dipom-pomkan dengan bajet kali ini. Tiada apa yang istimewa. Hanya gula-gula tambahan yang akan membuatkan anda kencing manis kalau terus memakannya. Eh. Hanya menguntungkan poket sesetengah pihak, dan tidak semuanya secara adil dan saksama. 

Moga Allah melindungi kita semua daripada kebejatan yang lebih merbahaya pada tahun 2013 nanti.

Aman.

-gabbana-

Macam kurang berpuas hati dengan penulisan kali ini. Rasa macam menulis panjang lagi. Tapi khuatir anda akan berbuih mulut pula nanti. Wahahaha..

Moga bermanfaat, dunia akhirat!

32 Caci Maki Puji Muji:

ainzoo 02/10/2012, 18:18  

Terbaekkk .
Ya. perlu lihat dari dua sisi.
Kesan jangkamasa panjang, kita yang rugi.
Adessss. (Tepuk dahi)

" Moga Allah melindungi kita semua daripada kebejatan yang lebih merbahaya pada tahun 2013 nanti "
-- Amin ... --

Anonymous 02/10/2012, 18:24  

antara post yg simple n mudah difahami oleh masyarakat yg bukan dari background ekonomi/seangkatan dgnnya..keep up the good work,bro!

Anonymous 02/10/2012, 18:27  

well-thought-out post.

Anonymous 02/10/2012, 18:28  

pERGH!mmg terbaeekklh.Rkyt dibeli oleh PolitikUS.Murahan.sakit pula hati kite.Oho.Wawasn jgka masa pndek.

Mak kata "biarla..asal negara aman."

Ernnie Omar 02/10/2012, 18:30  

Alhamdulillah. Semua aspek disentuh. Sangat neutral. Dari aspek kerajaan, pembangkang, juga rakyat. Setiap individu harus sedar akan tanggungjawab masing-masing. Tahniah atas post ni. Berjaya baca satu per satu perkataan tanpa perlu makan popcorn dan minum teh tarik. Eh? :)

Anonymous 02/10/2012, 18:45  

jadi, apa yg perlu kami rakyat malaysia lakukan?hmm:'(

QueAe 02/10/2012, 18:46  

jzkk inche Gabbana ^^

ikan 02/10/2012, 20:08  

Apabila seorg dlm bidangnya menulis, ya akhi anta memang selayak mengomen isu ini

Sekadar pndngn :

Kedua2 pihak cuba memenuhi apa yg masyarakat minta. Secara logiknya, kalau rakyat tak meminta2 mesti diorg tak tau nk bg apa.

So basically kita perlu jd warga yg tidak meminta2, gigih atas usaha sendiri apa yg kita nak.

Valid ke pandangan marhaen nih?

Fly Inc. 02/10/2012, 20:09  

Rom cuma perlukan sehari untuk jatuh gedebuk setelah 1000 tahun hidup dalam kesenangan. Moga2 Malaysia yang terchenta ini tidak berlaku seperti sedemikan. Na'uzublillah.

dr 'afifah 02/10/2012, 20:27  

risaunya dgn masa akn dtg..

rkyt malaysia sekalian,jomlah usaha sungguh2 utk baiki kehidupan kita.jgn bnyk meminta n biarkn diri terus dimanjakan.

cik.furas 02/10/2012, 21:11  

sgt terkesan

umi Ibrahim 02/10/2012, 23:48  

Teringat kata2 Ustaz Hasrizal masa K-fiqh politik baru ni, jika hendak membuat pemilihan masa mengundi nanti, renung2kanlah wajah anak2 , maka tentunya kita akan terarah kepada pemilihan yg bijaksana untk generasi akan datang.Sedihkan , tengok sekolah anak2 , kerusi meja tak sempurna, akibat lantai simen pecah2 kerusi meja cepat rosak, anak 2 kurang selesa duduk lama dlm kelas.kenapa tak duit RM 100 tu kalau terkumpul pelajar satu Malaysia, dah boleh beli ganti kerusi meja yg rosak, dan meratakan lantai dalam kelas.Anak2 selesa belajar sepanjang tahun dpd duit 100 yg hangus tak sampai seminggu.

Anonymous 03/10/2012, 01:42  

suddenly im into Economy...

~cAhAyA kEmUL!aAn~ 03/10/2012, 09:32  

bg saya, salah 1 bentuk insentif kpd pekerja swasta adalah apabila taraf hidup dikurangkan, walau xdapat gula2, tp klau belanja sehari2 serta kos memiliki aset(rumah, kereta dll.) di kurangkan..yg bekerja disektor swasta masih dapat merasa..

dan betul, sgt tak bersetuju dgn pendapat asal kritik kerajaan maksudnya pembangkang, asal sokong maksudnye org bn..

p/s:mahu tahu peruntukan untuk hiburan bg tahun 2013, terasa macam 2012 duit banyak dihabiskan di situ..

aintanobodybutaimingtobeone 03/10/2012, 09:52  

hats off!

Anonymous 03/10/2012, 12:27  

berjaya sampai habes sambil minum segelas green tea BOH. :)

Anonymous 03/10/2012, 22:13  

Umar al Khattab mmg osem. Eh!

Anonymous 04/10/2012, 01:06  

hampir semua orang tahu yang 'duit berterabur' sekarang nie hnya sementara. even mak cik pak cik yang tak tinggi pelajaarannya tk perlu kan ilmu ekonomi untuk faham situasi sekarang.

masalanya, suara tak puas hati nie tak pernah disuarakan secara diplomasi.

en. gabbana, tak kan tulis dalam blog jee??

Anonymous 04/10/2012, 03:38  

hmmm...kedua-dua bajet sama...hampeh

ACAB 04/10/2012, 18:20  

Terbaek post ni. Amat senang dihadam.
Syabas beb.

Pandangan saya , memanglah di dalam kedua2 bajet samaada dr BN n PR nmpak sama, tapi cara belanja duit PR bagi sy lg baik. Contoh, turunkan kereta.Serius idea ni mmg terbaek sbb blh kurangkan kadar byran hutang bulanan. Tapi tiada gunanya pada seseorang yg asyik pikirkan kehendak drpd keperluan.Nk beli kereta lebih utk bergaya je.Hmm, tp tetap idea yg cantek dr PR.

Dr segi nilai yang anda sentuh, saya yakin dengan pemilihan PR di PRU 13 nnt, PAS akan mnjadi balance dr segi rohani kepada PR.Kenapa?anda try la sendiri hadiri aktiviti dan ceramah yg dianjurkan PAS dan BN, nyata PAS yg terbaik..dr segi solat jemaah, pengisian ilmu agama dan lain2..jauh sgt berbeza dgn satu lagi yang lebih kt hiburan je..

Dan yg plg penting, ni pndangan ikhlas ok.sy pun bknnye ahli mane2 parti politik pn tp sy sgt teringinkan perubahan..anda macamane pulak?

aku 05/10/2012, 20:11  
This comment has been removed by a blog administrator.
duit negara duit pembangkang juga 06/10/2012, 21:03  

Ada logiknya juga bajet pembangkang tu..walaupun nampak macam tidak logik sekarang..tapi dengan duit2 yang dibelanjakan dan harga2 projek yang di mark upkan oleh pengendali2 projek pimpinan kerajaan sekarang jumlahnya berbillion boleh diserap kepada apa yang dicadangkan itu...Cuba bayangkan..TNB terpaksa melalui org tengah iaitu IPP...itu belum lagi duit PETRONAS yang perbelanjaan pengendalian operasi yang sgt pelik angka2nya...itu belum lagi duit FELDA...BERNAS..semuanya dapat kepada syarikat yang menjadi monopoli kepada negara. Monopolilah yang akan menjadikan mana2 negara ke arah muflis. Kalau ikut sistem ekonomi Syariah..mana boleh sistem monopoli ni..Sistem monopoli ni ciptaan barat yang akhir sekali akan menjarakkan antara golongan kaya dengan yang miskin.
Isu komen atau teguran yang negatif dianggap dan dicop pembangkang itu tak wujud. Pembangkang sayangkan negara malaysia..bukan org2 yang syang kerajaan sekarang saja. Kalau rasa nak bermewah2 skrg tapi generasi kita akan dtg terpaksa mengemis...itu penting diri sendiri namanya. Pembangkang pun ada hak bersuara..sbb duit perbelanjaan kerajaan termasuk duit pembangkang jugak. kalau rasa nak pinggirkan pembangkang..sila separate harta cukai pembangkang dari akaun perbelanjaan negara. Sanggup???

ohhh..sebelum terlupa....bab mydin nih...cik admin jangan bimbang kalau mydin tutup kedai...sebab MYDIN menjadi next monopoli person....KEDAI SATU MALAYSIA TU MYDIN YANG DAPAT SUPPLYNYA for the whole malaysia....MONOPOLY...oh monopoli.....kita jugak yang jadi KULIIIIII sampai mati.....

Anonymous 07/10/2012, 18:48  

Good analysis bro. Cuma byk perkara yg baik utk masa depan dan juga masa sekarang tidak dihuraikan dengan baik oleh kita. Hati manusia ni unik, kadang2 aneh. Surat khabar free hari2 dapat pun blh ubah hati sebAB caranya berdikit, sabar dan cerdik.

Mcm x masuk topik. Nak kata biar pun bajet ni instant sugar, org lebih terkesan dgn usaha berterusan slps itu. Sebejat mana pun bajet ni sekali pandang, tapi kalau pandang lama2, org asyik cakap cantik. Cantik jugak jadi nyer kan?

Kita nak sebar benda baik ni nak kena persistent jugak. Kena cakap sokmo dan terus2an until manusia tu faham. Isu tetap isu, bajet tetap bajet, kebejatan itu barangkali....

Wallahua'lam

Inche gabbana 08/10/2012, 10:26  

aku: alamak, boleh tak tolong repost link tu. saya terdelete! huhu.. maaf susahkan.

Anonymous 11/10/2012, 20:21  

TERBAEKK...mse tengok diorang bentang bajet tu...aku pun tergaru-garu kepala dr mne la malaysia dpt duit bebyk nak tabur kat rakyat....takut susah kemudian plak nnti....siries...

EG 13/10/2012, 19:51  

Osem giler!

PiagamMadinahTerbaik 15/10/2012, 07:35  

Dah aku bukan pembangkang or kerajaan yea, aku just pemerhati.

Ok bila kerajaan naik cukai bagai...rakyat marah...bila kerajaan turun cukai...rakyat kata kesan jangka masa panjang...bila rakyat x dapat bonus rakyat bising....bila rakyat dapat bonus nak pertikai pulak..

Ginilah..sebenarnya manusia nih kalau dah x puas hati dengan seseorang...atau sesuatu..mata dia jadi buta...bukan admin sini ye..saya maksudkan rakyat Malaysia kebanyakannya..

Jadi fikir2kanlah..mengarut semua ini..bila kerajaan ikut pembangkang nak turunkan cuai dll, pembangkang pulak persoal, bila kerajaan pulak yang melawan pembangkang punya cakap..contoh cukai naik minyak naik, pembangkang nak turunkan pulak nak bagi bonus kat rakyat la bla2..bla2..bla2..

Semua nih..Kerajaan ke..pembangkang ke...sume sama je...

Anis Sakinah 30/10/2012, 14:13  

betul2, saya setuju sgt. kalau dilihat dr bantuan laptop 1msia sblm ini pun, seolah-olah tiada keperluan tp hnya kehendak shj. saya kira perkara itupn merugikan kerna kebykan pljr2 luar bndr yg xreti mggunakn laptop tersebut akan cuba menjual ataupn menggunakannya hnya utk bermain game, dan fb. walhal, byk lg perkara yg boleh dilakukan selain dr pemberian yg menjurus ke arah kebendaan. :)munkin kerajaan harus lebih teliti & buat survey ttg keperluan rakyat sebetulnya bg menolong golongan yg jauh lebih susah utk jgka masa pnjg.

Anonymous 03/11/2012, 00:22  

pd pndpt saya, secara fitrahnye seseorg tu akn juga cnderung pd slah satu pilihan yg ade, dia tak akan neutral punye. tapi mcm biasalah, utk dikira sbgai lgkah selamat, seseorg tu akan mmilih utk berada atas pagar, tdk mnyokong mana2 pihak. jika dilihat drpd saudara sndiri, walaupun saudara mberi komen terhadap kdua2 pihak, namun apb ingin mnyatakan klemahan salah 1 pihak itu, hujahnya agak kurang kukuh, nmpak d situ yg saudara hnya cuba utk mnyatakan klemhannya shja. dalam erti kata lain, asalkan dinyatakan kelemahan kedua2 pihak walaupun satu pihak kelihatan seperti sudah cukup agak baik. nmpak di sini, stiap individu itu, secara smulajadinya, pasti dia akan terarah ke salah satu. n i's quite impossible to be neutral^^

Anonymous 27/05/2013, 22:00  

salam..maaf mengganggu...x berapa nak masuk topik sgt soalan nih...tp kan,,hari tu saya ada watch a video in youtube about politics in malaysia..seorang ulama dijemput dr tanah arab (klu x silap)..dijemput utk membincangkan tntg isu hangat ini..kata beliau,,sbnarnya sistem demokrasi ini salah..krn hal ini tidak mengikut sunnah nabi muhammad s.a.w..hrmm..kata beliau lg,,pembangkang mencampuradukkan yang haq dan yang yang batil..tp klu tgk lg skali,,pihak krajaan lg lah..yang haq langsung xdak..so,,kira what should we do klu sistem ini sbnarnya yg salah??adakah patut kita menyokong parti yg boleh membawa ke arah islam..yalah,,kemungkinan besar juga parti tersebut ingin membawa kita kembali mengikut sistem pentadbiran nabi muhammad s.a.w yang terdahulu iaitu sistem syura(in shaa Allah)...atau kita boleh utk mendiamkan diri menunggu dan melihat apa yang bakal terjadi kepada politik di negara ini dan hanya menyokong apabila sistem yang salah ini sudah tiada??(ntah bila perkara itu berlaku)....sy hrp ancik gabbana dpt beri penjelasan tntg hal ini...

Anonymous 27/10/2013, 11:49  

Review Bajet 2014 ader..?

Anonymous 01/01/2016, 15:58  

Alhamdulillah..sukar benar rupanya nak cari pemimipin yang betul-betul MEMIMPIN. seperti Saidina Umar al-Khattab.

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP