29 October 2012

Angsa Bertelur Emas

[Kredit]

Tersebutlah kisah di sebuah negara atas angin, Negara Rafflesia Kembang Semangkuk yang mana ia diperintah oleh seorang raja yang adil lagi saksama. rakyat negara itu tidaklah ramai jumlahnya, arakian keluaran dalam negara kasar per rakyat tinggilah jua jika hendak dibandingkan dengan negara-negara jiran seperti Negara Tanduk Badak Afrika dan Negara Platipus Berenang Riang adalah jua.

Ada pun aktiviti utama rakyat Negara Rafflesia Kembang Semangkuk menternak dan mengeksport angsa, baik untuk bulu pelepahnya untuk dibuat bantal empuk cap Tanah Mimpi, dagingnya yang disalai dan dimasak lemak atau paruhnya yang dibuat rantai kunci sebagai cenderamata eksotik dari Negara Rafflesia Kembang Semangkuk. Sayugia setiap daripada rakyat Negara Rafflesia Kembang Semangkuk, dari sekecil-kecil bayi berusia sembilan bulan sehinggalah setua-tua makcik nasi lemak sambal angsa di tepi sungai Ikan Siakap Sakti, adalah pakar angsa setiap seorang daripadanya. Tanyalah apa sahaja soalan tentang angsa; tentang makanan kegemarannya, tentang ketinggian maksima penerbangan bagi seekor angsa, tentang kelajuannya mengejar manusia hatta hasil tinjanya juga, pasti dapat dijawab satu persatu dengan tepat oleh rakyat Negara Rafflesia Kembang Semangkuk.

Di hujung negara, tinggallah sepasang suami isteri yang hidupnya hanya bersederhana, tidaklah semewah sehingga boleh memiliki angsa terbang cap Bentley seperti pemilik ladang angsa terbesar di seluruh Negara Rafflesia Kembang Semangkuk, Saudagar Orang Kaya Timothy Goosebumps, tetapi tidaklah juga miskin dan susah orangnya. Pendek kata, bahagia jualah hidup mereka. Si suami bernama Saudagar Sederhana Salimun Mudahpercaya manakala si isteri pula bernama Puan Saudagar Sederhana Lagilah Mudahpercaya.

Kehidupan mereka seperti orang-orang lain di Negara Rafflesia Kembang Semangkuk; setiap pagi mereka akan ke ladang ternak angsa mereka, memerika setiap angsa yang ada. Yang sakit dihantar ke klinik angsa. Yang sihat dan gemuk dijual kepada pemborong angsa yang datang ke kawasan tempat tinggal mereka sekali sekala. Yang bertelur, telurnya dikutip dan diperiksa; yang berkualiti gred A akan dijual di pasar pagi manakala yang berkualiti gred A tambah tambah, akan diambil dan digoreng untuk hidangan sarapan pagi.

Alangkah mudah dan bahagianya hidup mereka. Tidak perlu risau dan pening kepala tentang harga minyak naik, subsidi bantuan rakyat 1Negara Rafflesia Kembang Semangkuk, kadar jenayah yang tinggi (jenayah yang paling merbahaya pun adalah kejadian mencuri bulu pelepah angsa) atau masalah kesesakan lalu lintas di waktu pagi (rakyat Negara Rafflesia Kembang Semangkuk rata-ratanya menaiki angsa terbang untuk ke mana-mana).

Segala-galanya berubah apabila suatu pagi, ketika Salimun Mudahpercaya bangun lebih awal daripada biasa untuk memeriksa angsa-angsa yang tiga puluh tiga ekor itu. Ketika membuat rondaan memeriksa angsa-angsa betinanya yang bertelur, alangkah kepalang terkujatnya Salimun Mudahpercaya apabila mendapati salah seekor angsa miliknya sedang mengeramkan sebutir telur yang berkilauan emas warnanya! Saiznya juga luar biasa besarnya.

Lantas dipanggilnya isterinya yang tercinta, Lagilah Mudahpercaya untuk berkongsikan berita ala Ripley’s Believe It Or Not itu. Terbeliak mata dan terlopong mulut Lagilah Mudahpercaya apabila menyaksikan sendiri keajaiban yang tidak pernah didengari apatah lagi dijumpai seumur hidupnya itu. Bukan kepalang gembiranya Lagilah Mudahpercaya dengan apa yang dilihat di hadapan matanya itu!

Namun, mereka berhati-hati dan tidak gopoh. Mereka mahu menunggu dua tiga hari dahulu. Manalah tahu, kejadian angsa bertelur emas itu adalah hanya sekali dalam sejuta. Gembiranya mereka bukan kepalang sehingga hampir-hampir mereka mahu terjun gaung, apabila mendapat pada hari kedua, ketiga, keempat dan kelima, angsa istimewa tersebut tetap menghasilkan butiran telur emas setiap hari!

Tidak semena-mena, pasangan itu berpegangan tangan dan melompat gembira, sambil membuat pusingan somersault sebanyak tiga kali. Sudah terbayang-bayang kepala mereka apa yang akan mereka beli dengan hasil jualan telur emas itu nanti; angsa terbang yang baru, langsir baldu yang sudah lama diidamkan oleh Lagilah Mudahpercaya, permainan Wii yang sudah lama dimahukan Salimun Mudahpercaya untuk berlatih permainan interaksi mengejar angsa dan pelbagai lagi barangan mewah yang tidak mampu mereka miliki.

Arakian tersebarlah berita pasangan Saudagar Sederhana Salimun Mudahpercaya dan isterinya yang memiliki angsa ajaib bertelur emas. Manakan tidak, di hari kelima, Salimun Mudahpercaya membawa kelima-lima butir telur emasnya untuk dijual di kedai emas di ibu negara. Siapa yang tidak kecoh melihat lima butir telur berwarna emas, besar gedabak pula saiznya! Holoi. Setelah diasak dan ditanya ala-ala artis popular, Salimun Mudahpercaya, dengan hidungnya yang kembang kempis menahan bangga, terpaksa juga menceritakan perihal angsanya yang bertelur emas itu. Di kepala Salimun Mudahpercaya, pastilah rakan-rakannya dan orang ramai di Negara Rafflesia Kembang Semangkuk akan tumpang gembira, kerana pastinya kejadian ajaib seperti itu akan menaikkan lagi nama dan status Negaara Rafflesia Kembang Semangkuk di persada antarabangsa.

Langsung tidak disangkanya, akan ada orang cemburu dan dengki dengan kurniaan Ilahi kepada dirinya. Mereka ini tidak senang melihat kejayaan dan kekayaan baru yang dimiliki oleh Salimun Mudahpercaya dan isterinya. Mereka lantas merancang bagaimana mahu memastikan Salimun Mudahpercaya akan kehilangan nikmat angsa bertelurkan emasnya itu. Mereka tidak kisah pun dengan telur emas yang dihasilkan kerana kekayaan mereka sudah lebih daripada mencukupi, walaupun jauh di sudut hati mereka, teringin juga seandainya angsa itu menjadi milik mereka. Moto mereka: Biar angsa itu tidak menjadi milik kami, asalkan ia tidak menjadi milik sesiapa!

Lantas mereka bersungguh-sungguh mengatur strategi dan membuat perancangan bagaimana untuk membuat onar terhadap Salimun Mudahpercaya. Punyalah seriyes mereka dalam membuat dengki terhadap pasangan suami isteri itu, sehinggakan mereka sendiri terlupa dan terleka menguruskan ladang ternak angsa-angsa mereka. Terlalu sibuk dengan angsa bertelur emas yang seekor itu, sehingga terlalai melaksanakan tugas-tugas yang lebih utama!

Akhirnya mereka datang dengan beberapa pelan dan perancangan. Pelan A menyaksikan mereka menyebarkan berita-berita shiuhh shiuhh dibawa angin, kononnya angsa bertelur emas itu amat merbahaya untuk industri angsa secara keseluruhannya di Negara Rafflesia Kembang Semangkuk. Dakwa mereka, angsa bertelur emas hanyalah fenomena ajaib yang amat jarang sekali berlaku. Mereka khuatir sekiranya berita itu tersebar di seluruh dunia, ramai orang akan berpusu-pusu ke Negara Rafflesia Kembang Semangkuk dan akhirnya, berlakulah lambakan pekerja asing tanpa izin. 

Namun pelan A mereka tidak berapa menjadi. Orang ramai masih menyokong Salimun Mudahpercaya dan Lagilah Mudahpercaya kerana merasakan angsa bertelur emas itu adalah aset negara yang wajib dilindungin dan dijaga. Maka sekumpulan penternak angsa keji tadi terpaksa pula melaksanakan Pelan B yang dikira sebagai senjata rahsia mereka. Kali ini mereka terus ke sumber utama; Salimun Mudahpercaya dan isterinya untuk memperdayakan mereka. 

Dihasutnya mereka berdua, kononnya kalaulah setiap hari angsa itu boleh bertelurkan emas, bayangkan apa yang terkandung di dalam perutnya. Disyorkan agar angsa itu disembelih dan dirobek perutnya, agar dapatlah Salimun Mudahpercaya menikmati hasil yang lebih lumayan! Bersungguh-sungguh mereka meyakinkan Salimun Mudahpercaya, siap dengan kajian sains dan graf statistik matematik mereka bentangkan kepada Salimun Mudahpercaya. Hampir sahaja Puan Saudagar Kaya (dah jadi orang kaya dah la ni oi!) Lagilah Mudahpercaya termakan dengan hasutan tersebut dan dipujuknya suaminya untuk menyembelih angsa tersebut. Mujurlah Salimun Mudahpercaya masih kuat imannya. Dikatakan kepada isterinya: 

"Kalaulah setiap hari si angsa berjasa kepada kita dengan sebutir telur emas setiap hari, mengapa kita perlu tamak haloba, tidak sedar diri? Bersyukurlah dengan apa yang ada. Tiba masanya apabila si angsa tidak bertelur lagi, baharulah kita fikirkan apa yang perlu kita lakukan dengan angsa tersebut."  

Maka si isteri kembali rasional dan kecewalah sekumpulan penternak angsa yang dengki tadi, menyangkakan kali ini pelan mereka pasti berjaya. Akhirnya, terpaksalah mereka mengeluarkan senjata terakhir mereka, yang tanpa ragu-ragu akan berjaya tetapi berisiko tinggi. Mereka pergi menghadap Raja Bumimol Aneroxia Serati untuk meyakinkan si Raja bahawa angsa bertelurkan emas itu bakal mengundang malapetaka kepada negara. Diceritakan kepada raja, betapa lima ratus tahun yang lalu, seekor angsa yang hampir sama telah mendatangkan bala bencana kepada Negara Rafflesia Kembang Semangkuk, sehingga terpaksa mengambil masa seratus tahun lagi untuk membina negara semula. 

Diyakinkan kepada raja, betapa angsa bertelur emas sebegitu hanya menjemput marabahaya, kerana kini musuh punya tarikan untuk datang menyerang negara mereka yang terchenta. Tanpa kenal erti lelah dan putus-asa, setiap hari mereka pergi menghadap raja bagi meracun pemikiran baginda. Akhirnya, kerana rimas, juga termakan dengan hikayat Merong Angsawangsa yang mereka ceriterakan, si Raja mengeluarkan perintah agar Saudagar Kaya Salimun Mudahpercaya datang menghadap baginda bersama dengan angsa bertelur emas miliknya.

Sayugia sekonyong-konyonglah Salimun Mudahpercaya pergi menghadap Raja Bumimol Aneroxia Serati yang terkenal dengan keadilan dan kesaksamaannya itu. Namun tidak disangkanya, pasukan penternak angsa yang dengki kepadanya itu sudah siap dengan hujah-hujah mereka di hadapan si Raja, untuk memberi justifikasi mengapa angsa tersebut perlu dihapuskan. Walau Salimun Mudahpercaya diberi peluang untuk berhujah mempertahankan dirinya, namun akhirnya dia akur dengan kehebatan pihak yang hasad dan dengki kepadanya berhujah lawan. 

Raja Bumibol Aneroxia Serati akhirnya mengeluarkan perintah diRaja agar angsa itu dihukum pancung kerana 'pengaruhnya yang luar biasa bisa mengganggu gugat keamanan negara.' Maka berakhirlah riwayat si angsa yang bertelurkan emas. Apabila dikorek-korek perutnya, ternyata perutnya sama sahaja dengan perut angsa-angsa yang lain; tiada istimewa atau luar biasanya. 

Hilanglah ikon negara si angsa bertelur emas. Puaslah hati si penternak angsa-angsa lain yang dengki kepada Saudagar Kaya Salimun Mudahpercaya dan pulanglah mereka ke ladang-ladang ternak angsa mereka yang kini sudah porak-peranda. Kecewalah Salimun Mudahpercaya dengan layanan yang diterima dirinya. Lantas dia membawa isterinya, Lagilah Mudahpercaya berhijrah keluar dari Negara Rafflesia Kembang Semangkuk buat selamanya.
Tammat.
***

Kisah ini bukan sudah biasa kita dengar. Sama ada ketika kecil-kecil dahulu, Puan Mama kita membacakan kisah ini untuk menidurkan kita, atau kita menonton kartunnya di siaran telebisen.

Namun rupa-rupanya, kisah ini terlalu dekat dengan kita. Dalam kehidupan kita sehari-hari, ramai rupa-rupanya yang dikuasai oleh perasaan cemburu dan dengki.

Jangan terkejut gorilla sekiranya saya memberitahu anda, di dalam tarbiyah dan dakwah juga tidak kurang juga kes-kes dengki-mendengki ini. Dengki melihatkan orang lain lebih berilmu daripada dirinya. Cemburu apabila ustaz ini berjaya menghasilkan lebih ramai penggerak dan pewaris-pewaris dakwah. Hasad tidak puas hati apabila menyaksikan akh itu lebih haibat dan gaban pergerakannya. Astaghfirullah.. 

Ghibtah (cemburu yang baik) dibenarkan dalam Islam, di mana perasaan cemburu kita melihat seorang akh yang terlalu bergaya di atas jalan tarbiyah dan dakwah ini, lantas menanam azam mahu menjadi sepertinya atau lebih baik lagi. 


Dengki anda itu membunuh tahu..?? [Kredit]
 
Tetapi lain kesnya dengan perasaan hasad dengki yang didalangi tidak lain dan bukan, syaitonirojim yang keji. Susah hati, panas punggung dan garu kepala sampai botak melihatkan orang lain lebih tinggi dan cemerlang pencapaiannya, lantas berhasrat untuk menghilangkan nikmat dan kelebihan yang ada padanya. Astaghfirullah. Urut dada.

Saya tidak bercakap atas khabar angin atau teori, tidak juga mentohmah atau memfitnah sesiapa sesuka hati. Tetapi ini berdasarkan pengalaman sendiri, yang amat menyedihkan lagi memakan diri.

Akhirnya siapa yang rugi? Bukan sekadar diri sendiri yang menanggung kesusahan dek orang yang dengki, malah seluruh tarbiyah dan dakwah turut terkena barahnya. Dan lebih mengerikan, ia mengambil masa yang amat lama untuk merawatnya kembali.



“Hindarilah dengki karena dengki itu memakan (menghancurkan) kebaikan sebagaimana api memakan (menghancurkan) kayu api.”


[Hadith Riwayat Abu Daud]

Moga Allah lindungi diri kita daripada perasaan yang membunuh ini. Dan yang lebih utama, moga Allah lindungi tarbiyah dan dakwah ini terpesong daripada landasannya yang lurus, hanya semata kerana beberapa orang yang sudah hitam dan kelabu hatinya.

Moga Allah kuatkan hati kita untuk terus menjaga assolah dalam tarbiyah dan dakwah ini.

"Ya Allah! Tunjukkan kami kebenaran dengan kebenaran dan kurniakan kami kekuatan untuk mengikutinya. Dan tunjukkan kami kebatilan dengan kebatilan, dan kurniakan kami kekuatan untuk menjauhinya, dengan rahmatMu, wahai Tuhan Yang Maha Pengasih."

Amiin, ya robbal a'lamin.


-gabbana-


4 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 29/10/2012, 18:33  

Allahu Akbar, berbahagialah ats nikmat yg ada.....saya gembira lihat orang gembira dengan nikmat yang Allah beri padanya. ingatlah Allah maha adil......seperti inche gabbana yang mempunyai kemahiran menulis ayat-ayat pelik tapi menyentuh..heeheeheh..thanks akh

Bidadari Syurga 29/10/2012, 21:51  

Aha, betul3. Kadang-kadang, orang suka dengki dengan kelebihan yang ada pada seseorang. Semoga kita dipelihara daripada hasad dengki.

Anonymous 30/10/2012, 00:21  

Inceh Gabbana,
'sayugia' salah eja

putera salji 30/10/2012, 23:15  

hakikatnya ada manusia memang dilahirkan dgn baka syaitan yg penuh sifat dengki tamak khianat walaupun mereka tahu hukum mungkin kelompok ni memang wujud utk memeriahkan neraka dunia dan akhirat

akhirnya org teraniaya sabar redha dgn realiti dunia dpt untung besar dunia akhirat

peribadi terpuji bermula dari hati yg suci bak salji

peribadi terkeji bermula dari hati busuk bak loji



Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP