14 November 2011

Bibik Dakwah

[Kredit]

Sapeah Sukardi berasa amat teruja ketika pertama kali dia menjejakkan kaki di Malaysia. Dia berasa amat bersyukur kerana akhirnya, dia berpeluang untuk mencari sesuap nasi di bumi bertuah ini. Sudah lama dia menanam hasrat untuk bekerja di Malaysia; melihatkan rakan-rakannya yang lain yang sudah mampu membina rumah banglo dua tingkat lengkap dengan jakuzi dan kolam renang bersaiz Olimpik, juga memandu kereta lembu keluaran terbaru yang menggunakan teknologi lembu jantan yang hanya memakan rumput segar dari New Zealand, yang semuanya adalah hasil titik peluh mereka membanting tulang di Malaysia, dia berasa teramat cemburu dan teruja pada masa yang sama.

Setelah berbincang dengan suami terchenta dan mendapat restunya, dia bertekad untuk mencari kerja di Malaysia. Dia berasa sedikit bimbang kerana sudah banyak kes penipuan yang didengarinya. Salah seorang rakan baiknya, Satipah Bambang Wijaya pernah suatu hari berlari-lari sekeliling kampung sambil menjerit "Tipah tertipuuu baaannggg, tipah tertipppuuu...." akibat ditipu oleh salah satu daripada puluhan agen pekerjaan di kampung halamannya. Satipah kerugian hampir sepuluh juta rupiah akibat penipuan itu.

Namun dek memikirkan habuan yang bakal menantinya, Sapeah teguh dengan pendiriannya. Setelah membuat penyelidikan yang teliti berserta perlbagai rujukan di WikiIndon, dia telah membuat keputusan untuk mendapatkan khidmat Ajen Santosa Rejeki Muliawan yang dirasakannya boleh dipercayai dan diyakini akan membantunya untuk mendapatkan pekerjaan di Malaysia. 

Pilihannya tepat. Setelah selesai proses dokumentasi dan membuat passport (Sapeah tidak sudah-sudah tersenyum melihatkan fotonya pada passport yang pertama kali dimilikinya itu), Sapeah hanya perlu menunggu tdak sampai sebulan sebelum sampai berita gembira bahawa Ajen Santosa Rejeki Muliawan telah berjaya mendapatkan pekerjaan untuknya. Dia tidak akan boleh lupakan, suaminya yang terhormat, Yusman Habuwongkuwomo, meloncat penuh kegembiraan sambil melaungkan "Hoyeeaaahhhh" setelah mendapat tahu berita itu. Sapeah hanya mampu menggeleng kepala melihat telatah suaminya itu sambil mengajaknya untuk sama-sama sujud kesyukuran atas rezeki kurniaan Allah.

Ketika itu Sapeah masih belum dimaklumkan jenis pekerjaan yang akan dilakukannya kelak. DI dalam kepalanya sudah terbayang yang dia akan menjadi buruh binaan (kerja yang paling popular di kalangan penduduk kampungnya) atau pekerja am di pejabat-pejabat atau kompleks beli-belah. Tidak pernah terlintas pada dirinya yang dia bakal menyandang jawatan sebagai pembantu rumah terhormat di rumah seorang Dato' tokoh korporat yang mahsyur di Malaysia.

Sementelah mendapat maklumat itu, Sapeah sedikit ragu-ragu. Seram sejuk dia apabila memikirkan nasib rakan senegaranya, Nirmala Bonat yang diseksa dengan begitu sadis oleh majikannya. Meremang bulu tengkuknya apabila mengingatkan kembali cerita-cerita ngeri lagi seram tentang nasib malang yang diterima oleh para pembantu rumah di Malaysia. Ada yang terpaksa menjadi papan seterika manusia, ada juga yang dipaksarela menjadi mangkuk abu rokok, tidak kurang juga yang disimbah dengan air panas menggelegak; apa mereka ingat kulit orang-orang Indon ni diperbuat daripada platinum..?

Namun Sapeah berjaya menguatkan semangat dan tekadnya. Dia juga tahu yang tidak semua orang-orang Malaysia kejam dan zalim. Segelintir sahaja mereka ini yang berperangai seperti badak sumbu Afrika. Selebihnya berhati mulia dan masih mengamalkan adab-adab kesopanan timur dan berakhlak terpuji. Buktinya adalah rakan-rakan sekampungnya yang sudah lama bekerja di sana. Bukan sahaja mereka membawa pulang wang berkepuk-kepuk hasil simpanan bertahun-tahun bekerja di Malaysia, mereka juga bejaya membawa pulang anak-anak dara Malaysia. Eh. 

Mereka juga masih berhubungan mesra dengan bekas majikan mereka. Malah ada yang saban tahun menerima kad hari raya dilengkapi dengan lagu raya P. Ramlee berformat MIDI daripada bekas majikan mereka. Tidak kurang yang berbalas-balas dinding MukaBuku dengan bekas majikan mereka. Semua ini membuktikan yang tidak semua rakyat Malaysia bengis dan berperikehaiwanan. Bak kata moto rakyat Malaysia yang selalu didengarinya, "Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan."

Hampir sekampung yang menghantar Sapeah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta. Kebanyakan mereka yang menghantar Sapeah bukan kerana sedih mahu berpisah dengannya, tetapi lebih kerana mahu mengambil angin dan jalan-jalan cari makan di Jakarta. Sapeah sendiri berasa amat sedih untuk meninggalkan keluarga terchenta, terutamanya suami dan dua orang anaknya yang masih kecil. Itulah pertama kali dia berjauhan dengan keluarganya dan dia dapat menjangkakan yang pemergiannya itu akan mengambil masa yang lama. Setelah habis sebungkus tisu digunakannya untuk mengelap hingus dan air mata yang meleleh laju ibarat air terjun Niagara, dia segera masuk ke dalam balai pelepasan kerana tidak sanggup lagi melihat wajah-wajah orang yang tersayang.

Kesedihannya sedikit terubat apabila dia sampai ke Malaysia. Dia seperti tidak boleh percaya dan amat teruja dengan kecanggihan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, walaupun ketika di ruang udara sebelum mendarat tadi, dia ketawa keji kerana melihat lapangan terbang utama bagi rakyat Malaysia terletak di tengah-tengah ladang kelapa sawit. Mulutnya sedikit terlopong apabila menaiki keretapi udara (Baca: Aerotrain) untuk ke bahagian imigresen. Tidak pernah seumur hidupnya menaiki sesuatu yang begitu canggih!

Dia bersama rakan-rakan Indonnya yang lain terpaksa menunggu beberapa jam lamanya, sebelum mereka diberi pelepasan oleh Jabatan Imigresen. Namun dia tidak kisah kerana masa menunggu dihabiskannya untuk berjalan-jalan di sekeliling dan memerhatikan orang ramai di lapangan terbang. Dia begitu kagum kerana ramainya orang asing bertali-arus tiba dari pelbagai destinasi di seluruh dunia. Ada yang bermata biru, ada yang berambut emas, ada yang bertudung labuh sehingga mencecah lantai, ada yang bermata sepet dan ada juga yang kulit hitam berkilat. 

Dia berasa puas kerana dalam masa tidak sampai satu hari, dia sudah dapat mengenali pelbagai jenis bangsa berdasarkan pemerhatiannya. Hasil pemerhatiannya itu menjadikannya lebih teruja, tidak sabar-sabar untuk memulakan pekerjaannya nanti. Di dalam kepalanya sudah terbayang-bayang suasana pekerjaannya nanti; layanan majikannya terhadapnya, anak-anak majikannya yang pelbagai ragam, bilik barunya, arahan-arahan yang bakal diterima dan bermacam-macam lagi. Tetapi dia tidak dapat mengelak untuk membayangkan yang dia mungkin akan disepak-terajang oleh majikannya. Banyak juga air liur yang ditelannya apabila memikirkan perihal tersebut.

Sapeah dan rakan-rakannya ditempatkan di sebuah asrama di Kepong. Sekali lagi dia berasa amat bersyukur dan berterima-kasih kerana telah memilih Ajen Santosa Rejeki Muliawan untuk menguruskan hal-ehwal permohonan pekerjaannya. Semuanya tampak mudah dan terurus dengan bantuan mereka. Malah dia juga berasa amat selesa di asrama sementara di Kepong itu. Segala kemudahan disediakan dengan baik. Bilik air, dapur memasak, surau hatta tempat beriadhah seperti gelanggang bola jaring, padang boling padang dan trek larian 400m berganti-ganti juga disediakan. 

Setelah berada di asrama itu selama seminggu, Sapeah akhirnya dipertemukan dengan majikannya. Dia berasa sedikit kaget apabila pertama kali diperkenalkan dengan Dato' Hamzah Abbas dan Datin Markonah Ibrahim. Tapi mereka tampaknya baik-baik sahaja. Malah senyuman sentiasa terukir pada bibir Datin Markonah di sesi perkenalan itu, menyebabkan Sapeah berasa amat selesa dan senang hati. 

Dato' Hamzah tampak segak dengan kemeja putih dengan gambar orang menaiki kuda sambil memegang sebatang kayu di sebelah kiri atas baju (Sapeah tidak pasti kemeja itu bercap apa; tapi dia pasti harganya sangat mahal) dan berseluar jeans. Bermisai nipis dan berwajah cerah, Sapeah pasti Dato' Hamzah boleh menjadi artis terkenal pojaan ramai gadis-gadis Indon sekiranya dia dilahirkan di negara seberang itu. Malah mungkin lebih terkenal daripada Nicholas Saputra atau Broery Marantika.

Datin Markonah pula berbaju kurung merah jambu dengan manik dan labuci memenuhi fabrik kaftan buatan Mesir itu (Sapeah sedikit terkedepan dalam hal-ehwal kain tewah dan kain langsir). Cukup elegan potongan baju kurung itu, menepati gaya dan sosok tubuh Datin Markonah. Bertudung pendek menampakkan jambul, bercermin mata hitam besar dan memegang beg tangan kulit yang penuh dengan tulisan 'LV', Datin Markonah memang tampak secocok dan sepadan dengan Dato' Hamzah. Seperti pasangan selebriti lagaknya. Hamkonah. 

Sapeah kemudiannya mengemaskan pakaiannya dan mengikut Dato' Hamzah dan Datin Markonah pulang. Dia sempat mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakannya dan berpesan kepada mereka untuk mendoakan kejayaannya menggulung segenggam ijazah. Err. Sebungkus lagi tisu habis digunakan.

Sapeah sekali terlopong apabila melihatkan kereta Range Rover Evoque milik Dato' Hamzah. Tidak pernah seumur hidupnya menaiki kenderaan semewah itu. Dia takut-takut untuk masuk ke dalam; risau seandainya dia mengotorkan kereta itu. Sempat terkumat-kamit dia melafazkan Basmallah dan doa-doa yang diingatinya sebelum menaiki kereta super itu; meminta agar dijauhkan bala, kecelakaan dan daripada membuat kerosakan pada kereta itu. Datin Markonah hanya tertawa kecil melihatkan gelagat bibik barunya itu. 

Evoque. Kalau macam ni saya pon boleh terlopong! :O [Kredit]
Mulutnya terlopong lebih besar sehingga menampakkan gigi geraham emasnya, apabila Dato' Hamzah memandu di sekitar Kuala Lumpur, melintasi Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur dan pelbagai lagi bangunan dan binaan hebat yang memenuhi megalopolis itu. Sudah terbayang-bayang di kepalanya yang dia akan bergaya dan posing maut di hadapan Menara Berkembar Petronas nanti untuk diletakkan sebagai gambar profail pada akaun MukaBukunya. Dia tersenyum besar sendirian memikirkan impiannya itu. Cukup teruja!

Hasil perbualan ringkasnya dengan Datin Markonah, dia mendapat tahu yang Dato' Hamzah adalah seorang usahawan korporat yang berjaya dan amat disegani. Datin Markonah pula tidak bekerja tetap, hanya menjadi pengarah di beberapa buah syarikat dan badan kebajikan bukan kerajan. Mereka memiliki tiga orang anak; yang sulung Halim berusia 12 tahun, yang kedua Maria 8 tahun dan yang bongsu, Hamid 4 tahun. Rumah mereka terletak di Bukit Damansara, sebuah kawasan elit yang menempatkan Dato'-Dato' dan Tan Sri-Tan Sri yang memegang pelbagai jawatan penting sama ada dengan syarikat-syarikat swasta atau badan-badan kerajaan.

Setibanya Sapeah di rumah milik pasangan glamor itu, dia mengurut dada. Melihatkan saiz rumah agam itu, dia tahu yang pasti banyak kerja yang perlu dilakukannya kelak. Mujurlah dia diberitahu yang selain dirinya, sudah ada dua orang pembantu rumah yang sedia bekerja di rumah itu. Sapeah adalah orang gaji yang ketiga. Lega.  

Setelah meletakkan barang-barangnya di bilik khas (Sapeah seperti tidak percaya bilik yang disediakan untuknya, lebih besar daripada rumahnya di Indonesia!) yang disediakan untuk orang gaji dan setelah diperkenalkan dengan dua orang haji yang lain; Mawaddah dan Hartini, Sapeah diberi taklimat ringkas oleh Datin Markonah tentang skop tugasnya sepanjang menjadi orang gaji di rumah itu.

"Bibik Sapeah, kerja kamu mudah sahaja. Ada sepuluh tugasan yang perlu kamu lakukan dan saya dah tulis pun atas kertas ni sebagai rujukan kamu nanti. Kalau kamu ikut kesemua tugasan ni dengan baik dan kami berpuas hati, bulan depan nanti saya bawa jalan-jalan ke Menara Berkembar Petronas. Kamu suka..?"

Sapeah tersenyum riang dan segera mengangguk. Mawaddah dan Hartini hanya tersenyum melihat gelagat rakan baru mereka.

Mujurlah Sapeah pandai membaca. Dia segera membaca sepuluh tugasan yang telah diamanahkan kepadanya.

"Dengan ini, kamu Sapeah Sukardi, berjanji akan melaksanakan tugasan berikut dengan penuh dedikasi, amanah, berintegriti, bertanggungjawab dam bersungguh-sungguh. Dan sekiranya kamu khianat dan ingkar, kamu tunggulah kami dakwa kamu bukan sahaja di mahkamah dunia, malah mahkamah akhirat nanti. Apa macam? Ada bran..?

Eh mengarut pula saya ni. Ehem ehem. Berikut adalah tugasan yang perlu kamu laksanakan:
  1. Mencuci jamban di tingkat bawah sahaja tiga hari sekali
  2. Membersihkan peti sejuk dua minggu sekali
  3. Mengelap cermin dan tingkap di tingkap bawah, seminggu sekali
  4. Memotong rumput di halaman dan belakang rumah, termasuk bunga kembang semangkuk di tepi kolam renang, seminggu sekali
  5. Menyediakan sarapan pagi setiap hari untuk Halim, Maria dan Hamid
  6. Memastikan pakaian sekolah Halim dan Maria tersedia di atas katil mereka setiap hari
  7. Membantu Hartini dan Mawaddah membersih, memvakum dan mengemop lantai tiga hari sekali
  8. Membantu Hartini dan Mawaddah menukar dan membersihkan air kolam renang sebulan sekali
  9. Memberi makan pada ikan-ikan koi di kolam ikan tepi rumah, sehari sekali tepat jam 1.18 tengah hari setiap hari
  10. Memotong dan merapi bulu-bulu semua kucing peliharaan kami (tujuh ekor kesemuanya) dengan potongan terkini; kamu kena rujuk pada internet
Arahan mungkin ditukar dari masa ke masa. Sila ambil perhatian akan sebarang perubahan.

Sekian terima kasih. Jangan lupa membaca Basmallah setiap kali sebelum memulakan pekerjaan."

Sapeah tersenyum usai membaca arahan-arahan yang diberikan kepadanya. Mudah. Selain perkara sembilan dan sepuluh, Sapeah merasakan tugasan yang telah diamanahkan kepadanya cukup mudah difahami dan untuk dilaksanakan.

Esoknya, hari Sabtu, merupakan hari pertama Sapeah menjadi orang gaji secara rasminya di rumah Dato' Hamzah dan Datin Markonah. Hari itu, Mawaddah dan Hartini mengikut Datin Markonah ke pasar. Dato' Hamzah awal-awal lagi telah keluar untuk bermain golf, setelah menghantar Halim dan Maria ke Kuman; pusat menghafal formula-formula sains dan matematik dalam bahasa Inggeris dengan pantas dan berkesan. Maka tinggallah Sapeah dan Hamid berdua di rumah.

Setelah menyediakan sarapan untuk Hamid, sapeah bersedia untuk melaksanakan tugasnya yang ketiga, yakni membersih dan mencuci segala tok nenek tingkap dan cermin di tingkat bawah. Dia sudah dapat melihat cabaran yang menantinya; ada kurang lebih tiga ratus empat puluh sembilan keping cermin dan tingkap kesemuanya di tingkap bawah rumah tersebut. Sapeah berpeluh kecil.

Dia teringin untuk bermain dan bermesra dengan Hamid; dia begitu geram melihat kecomelan dan ketembaman pipi anak kecil itu. Tetapi kerana khuatir dia akan dimarahi lantas tidak akan dibawa ke Menara Berkembar Petronas nanti dek tidak mengikuti sepuluh arahan yang telah diberikan, dia tidak berani untuk melakukannya. Dia terus mencapai baldi dan kain buruk yang disimpan di stor belakang rumah dan bersedia untuk memulakan kerjanya.

Selepas hampir dua puluh minit melakukan tugasnya, dia mendengar jeritan anak kecil. Bunyi kocakan air juga kedengaran dengan jelas sekali. Sapeah mencari-cari punca suara nyaring itu. Semakin dia mendekati kolam renang, semakin jelas jeritan itu. Dia terkejut apabila melihat Hamid sedang meronta-ronta di dalam kolam renang. Lemas. Timbul tenggelam anak kecil itu, terkapai-kapai meminta pertolongan.

Sapeah menjadi kaget. Cemas. Kalau diikutkan hatinya, segera dia terjun ke dalam kolam renang itu walaupun dia tidak pandai berenang. Tetapi memikirkan sepuluh arahan majikannya itu, dia tidak berani untuk ingkar dengan perintah tersebut. Dia semakin tidak keruan apabila melihat rontaan Hamid semakin melemah. Air sudah mula masuk ke dalam rongga-rongga penting tubuh badan Hamid. Dia mua menelan air dalam kuantiti yang banyak.

Bagi menghilangkan perasaan cemas dan takutnya, Sapeah segera berlari ke bahagian dalam rumah untuk menyiapkan kerja-kerjanya. Dia hanya mampu berharap dan berdoa agar keajaiban akan berlaku untuk menyelamatkan Hamid. Mungkin pari-pari berkepak atau tok tua berjanggut putih panjang yang akan datang untuk menyelamatkan anak kecil itu dari mati lemas. Tidak putus-putus Sapeah berdoa agar Hamid akan terselamat daripada bencana itu.

Setelah sibuk dengan kerja-kerjanya, Sapeah seakan-akan lupa dengan apa yang berlaku kepada anak kecil itu. Dia tidak lagi mendengar jeritan, rengekan atau tangisan meminta tolong. Dia tidak berani untuk menjenguk; harapannya Hamid sudah diselamatkan oleh adiwira yang datang secara tiba-tiba entah dari mana. Sapeah akhirnya larut dalam tugas-tugasnya. Malah dia berasa seronok, kerana dirasakan dirinya sudah melakukan kerja yang amat cemerlang dan terbilang.

Sehinggalah Datin Markonah pulang dari pasar bersama Mawaddah dan Hartini. Kedengaran jeritan histeria Mawaddah yang begitu nyaring dan menikam kalbu. Tidak lama selepas itu kedengaran pula jeritan garau Hartini, diikuti dengan jeritan bernada tinggi dan yang kemudiannya diikuti pula dengan bunyi gedebuk ada benda jatuh, seperti cempedak busuk lagaknya. Datin Markonah tidak sedarkan diri apabila melihat sekujur tubuh terapung-apung di dalam kolam renangnya.

Dato' Hamzah segera dihubungi. Dia segera pulang dan seperti yang dijangkakan, dia turut terkejut gorilla apabila melihat mayat Hamid yang sudah kebiru-biruan. Badannya menggelembung dek menelan air kolam renang berklorin dalam kuantiti yang sungguh banyak. Setelah bertanyakan perihal kejadian daripada Mawaddah dan Hartini, Sapeah dipanggil. Dato' Hamzah cuba menahan kemarahannya, walaupon tangannya dirasakan cukup ringan ketika itu.

"Sapeah...!!"

Sapeah datang dengan kepala yang tunduk. Dia menggeletar ketakutan.

"Sapeaaahh..! Kamu ada semasa Hamid lemas...??"

"Ya pak, saya ada pak. Saya nampak dia lemas pak.."

Mata Dato' Hamzah terjojol keluar. Tidak percaya. Diketapnya gigi gerahamnya kuat-kuat.

"Kamu nampak..??? Dah tu kamu buat tak tahu je...?? Kamu tengok je...??"

Sapeah gugup. Gentar pada amarah meluap-luap Dato' Hamzah. Tapi demi mempertahankan diri, dia kumpulkan keberanian dan cuba untuk menjelaskan situasinya. 

"Pak... Err, arahan yang diberikan kepada saya... Arahan yang diberikan ada sepuluh jenis sahaja pak. Tidak ada arahan untuk selamatkan Hamid, atau sesiapa sahaja jika berlaku kemalangan.. Saya khuatir jika saya langgar arahan.. Saya khuatir saya akan dipecat!"

Dato' Hamzah pengsan menyertai Datin Markonah, yang masih tidak sedarkan diri.

 ***

Ya, rukun Islam itu ada lima. Benar, rukun Iman itu ada enam.

Tetapi tidak bermakna itu sahaja tugas kita sebagai seorang Muslim di muka bumi Allah ini. Tidak bermakna itu sahaja arahan Allah kepada kita, untuk kita laksanakan sepanjang hayat kita di dunia ini. 

Adakah kita akan biarkan sahaja orang di sekeliling kita, terkapai-kapai di dalam kelemasan dosa dan noda, akhirnya mati lemas akibat kejahilan mereka? Sedangkan kita duduk selesa, dan hanya berdoa dan berharap, agar keajaiban yang akan menyelamatkan mereka ini..? Walhal kita larut dalam keasyikan tugas-tugas harian kita dan kita lupakan rakan-rakan, keluarga dan masyarakat sekitar yang sedang nazak dan tenat..??


Kita nak biarkan sahaja orang-orang yang kita sayang, orang-orang yang kita kenal mati lemas..?? [Kredit]

Laksanakan tugas Syahadatul Haq kita, sama ada suka atau pon tidak. Hakikatnya, kita hanyalah bibik, supir dan kuli sahaja di atas jalan ini. Lakukan tugas dan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada kita dengan sebaik-baiknya, malah lebih baik dan cemerlang daripada itu lagi. Kerana kita pastinya mahu menggembirakan Tuan kita, agar kita akan dipanggil menghadapNya dalam keadaan tenang, riang dan gembira. 

Allahu a'lam.

-gabbana-

Jazakallahu khairan katheera kepada Akh Zaharuddin untuk analogi yang sumpah osem ini. Komfem lepas ni akan digunakan dengan meluas di dalam konferens-konferens riang. Hihihi..

Eceli analogi ni pendek je. Tapi dapat kat Inche gabbana, tau-tau je la! Wahahaha..

Kacang pis!

14 Caci Maki Puji Muji:

ghb 14/11/2011, 17:34  

kemalangan jiwa baca cerita ni... haih... jzkk

Unknown 14/11/2011, 17:34  

amboi panjang nya bro.

lelah~

CheCardio 14/11/2011, 18:27  

rasa x mnyesal baca smpai habis... ingat nak giv up tgah jlan tdi... trimas Inche G! nnti story dlam BG ya~!

Anonymous 14/11/2011, 19:25  

alhamdulillah,. very nice one. Mabrouk! Allah yubarik fiik ala qalamuk

SN 14/11/2011, 20:04  

Alhamdulillah...abes gak bace..semput tgh jalan~~

Watak Sampingan 14/11/2011, 22:19  

rasa terpedaya membaca entry ni di saat kerja esaimen bertimbun2 walaupun pengajarannya sungguh superb best terbaik dari ladang gandum :)

Anonymous 14/11/2011, 23:22  

Entry yg bermanfaat dan simple.Mudah utk difahami.

Sy setuju/suka dengan kata2 ini -> "tidak bermakna itu sahaja tugas kita sebagai seorang Muslim di muka bumi Allah ini. Tidak bermakna itu sahaja arahan Allah kepada kita, untuk kita laksanakan sepanjang hayat kita di dunia ini."

Syahadatul Haq itu bukan sekadar mengimani kewujudan Allah, malaikatNya, kitabNya, rasulNya dan hari akhirat. Malah tanggungjawab syahadah ini juga tidak cukup setakat mendirikan sembahyang, puasa, zakat dan haji. Syahadah ini hanya terlaksana apabila orang-orang yang beriman menyampaikan kalimah hak ke seluruh bangsa manusia dalam bentuk amal soleh, akhlak yang terpuji dan pemerintahan yang adil. Maksudnya,kita perlu melaksanakan tanggungjawab untuk menyampaikan kebenaran.

Walaupun kita mungkin telah melaksanakan tuntutan Fardhu Ain kita , namun itu sebenarnya masih belum cukup andai kita tidak melaksanakan hak syahadah itu sendiri.

Bukankah dalam kitab karangan Al-Maududi sndiri tlh membahagikan SH itu kepd 2 iaitu perbuatan & perkataan?Jika dari perspektif perkataan,kena tnya diri sendiri,dimana kita 'sorokkan' syahadah kita dlm perkataan?Dan jika dri perspektif perbuatan,itu perlu juga diberi perhatian yg lebih krna manusia akan menjadi tertarik dengam pembuktian melalui perlakuan.Mereka melihat kebenaran dengan praktikal...bukan teori semata..Langsung,mereka akan lebih tertarik dan YAKIN dengan kebenaran yang kita sampaikan.Syahadah perbuatan ini sgt penting untuk meyakinkan manusia tentang kebenaran Islam.Benar sejarah sebagai ibrah.[sila review isk]

Ops! Mcm tersyok sendiri pulak komen.

Ok.Semoga akhi terus diberikan idea2 yang mantap utk terus berdakwah melalui penulisan.Dan juga semoga jari jemari itu tidak pernah letih utk terus menekan papan kekunci.

Jzkk atas perkongsian yang bermanfaat ini.

Syauqah[NHH]
25:74

Syariful Bahri 15/11/2011, 01:18  

Mak aih, panjangnya.
Saya dah kasi warning kat kawan2 yg nak baca, agar baca apabila takde assignment & dah settle study untuk hari n. Haha

Syariful Bahri 15/11/2011, 01:18  

:D

'a 15/11/2011, 14:02  

spreading the goodness..
bak kata seorang akhwt bulatan gumbira-letakkan diri seperti ibu yg sayangkan anak2..takkan nak tgk anak kecil main kotor2 sedangkan anak itu perlu perlindungan dan kasih syg-


btw.osem.tq

sjaa64 15/11/2011, 17:14  

nice analogi...thanks encik Gabbana :D

konah 15/11/2011, 18:32  

sapeah ni android.

as 15/11/2011, 23:04  

hahahahahahahahahha.


kelakar sebab panjang gila mukadimah . HAHAHAHAHHA. tak menahan betul .



apepun terima kasih mengingatkan . moga diberkati sesama kita

Anonymous 18/04/2014, 16:22  

best

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP