17 April 2010

Kemenangan Yang Agung

Salaam a'laikum warah matullah.

Uhm, dah lama sangat saya tak update blog ni kan..? In fact, ni adalah post pertama saya untuk bulan April. Untuk pengetahuan para pembaca, saya kini sedang bercuti Musim Bunga, atau nama glamornya cuti Easter. Walau pun namanya cuti, tapi saya tidaklah bercuti mana pun, kerana tidak lama lagi saya akan menghadapa peperiksaan akhir pada bulan Mei nanti. -___-" Memang saya sedang cuak dan gelabah kerana ini adalah peperiksaan akhir yang AKHIR saya, di mana selepas ini saya akan tamat belajar untuk Ijazah Sarjana Muda saya. Begitu cepat masa berlalu kan..? Saya masih ingat ketika pertama kali saya menjejakkan kaki di bumi London ini...

Mana-mana jalan (anyway.. Hihihi..), saya tidak berniat untuk bercakap tentang pengalaman saya di bumi UK ni, atau apa yang telah saya lakukan sepanjang saya bergelar warga London. Nanti emo pulak. Mungkin itu di post yang lain. Post ala-ala sedih sebab nak tinggalkan London. Hukhuk.. Tapi, saya nak bercakap pasal kemenangan, atau kejayaan. Boleh ke...? Kalau anda cakap tak boleh, saya tak peduli sebab ini blog saya.. Hehe..

Apa itu kemenangan..? Apa itu kejayaan..? Sebahagian besar daripada kita, apabila disebutkan 2 perkataan ini, pastinya yang pertama sekali melintas jalan minta izin lalu di minda adalah kejayaan mendapat keputusan peperiksaan sewaktu di sekolah menengah dahulu. Atau memenangi Pertandingan Menggoreng Cekodok Pisang Peringkat Mukim. Atau berjaya mem'bid' barangan yang diimpikan selama ini di eBay. Atau memenangi Pertandingan Sudoku yang dianjurkan oleh surat khabar tempatan di kawasan anda. Atau berjaya dinaikkan pangkat setelah bertahun-tahun membodek bos. Atau berjaya berkahwin dengan pasangan idaman, membeli kereta impian dan memiliki kediaman yang menawan.

Fuuhhhh... Memang anda berjaya dan menang. Saya tak nafikan semua tu adalah tanda kejayaan dan kemenangan.

Tapi kan, kejayaan dan kemenangan sedemikian rupa adalah sangat subjektif dan relatif. Maksudnya, anda perlu membandingkan pencapaian dan kejayaan anda itu dengan apa yang dimiliki oleh orang lain. Mungkin setengah orang menganggap bahawa dengan memenangi Pertandingan Teng-Teng Peringkat Seluruh Afrika Utara sudah merupakan kejayaan yang besar dan manis buat diri seseorang itu. Tetapi bagi mereka yang duduk di Cheng Dong, China mungkin menganggap pencapaian sedemikian rupa adalah pelik dan tidak ada benda berfaedah lainkah yang mereka nak buat..? Getus hati para penduduk Cheng Dong, China.

Yang lebih utama, kejayaan dan kemenangan yang sedemikian rupa adalah terlalu sementara; hanya untuk tempoh masa yang terhad. Kejayaan itu tidak berkekalan dan hatta ia diabadikan dalam buku-buku sejarah sekali pun, akan sampai suatu masa di mana orang akan melupakan kejayaan tersebut. Manusia sibuk untuk mencipta kejayaan dan kemenangan yang baru. Maka kejayaan-kejayaan dan kemenangan-kemenangan yang baru ini akan menolak tepi dan menyisihkan rekod-rekod sebelum ini yang kurang dan tidak signifikan.

Maka sia-sialah usaha Juriyah anak perempuan Semelah kerana telah berusaha gigih, mempersiapkan diri setahun lamanya untuk memenangi Pertandingan Gores dan Menang anjuran Syarikat Kicap Manis Cap Umpan Tekak. Penat sahajalah peluh dan keringat yang dikeluarkan oleh Leo de Senendeza setelah berpenat lelah merentasi lautan Pasifik untuk mencipta rekod baru berenang sambil beramah mesra dengan Inche dan Puan Jerung. Buat habis masa dan tenaga sahaja Kassim Dol membancuh kopi, memfotostat dokumen dan pergi membeli makanan tengah hari untuk bosnya semata-mata dengan harapan bosnya itu akan mengahwinkan anak gadis dara suntinya dengan dirinya.

Mungkin ada di kalangan anda yang berkata, apa yang sia-sianya..? Apa yang penat dan bazir tenaganya..? At least mereka berusaha. At least mereka ada pencapaian dan kejayaan peribadi yang mereka boleh kenangkan dan hargai, turunkan kepada anak dan cucu mereka. Kerana manisnya at least (meminjam kata-kata Inche Mushin).

Betulkah begitu? Cukupkah dengan hanya mencapai kejayaan untuk kenangan dan koleksi simpanan peribadi..? Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal ketiak. Oooppsss. Alang-alang nak capai kejayaan, hulurkan tangan ke langit, biar sampai bintang dan bulan dapat dicapai. Alang-alang nak dapat kemenangan, biarlah kemenangan yang dicapai itu adalah kemengan yang hakiki, yang akan dkenang buat selamanya dan tidak ada penyesalan di hari kemudian.


Jadi, apakah kemenangan dan kejayaan yang agung itu..?

"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang Mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh, (sebagai) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikianlah kemenangan yang agung."
at-Taubah, 9:111

Nah! Inilah dia kemenangan yang agung! Dengan menjadi seorang mukmin yang sejati, yang tiada kepentingan diri mahupun cita-cita tersembunyi! Mereka ini menjual jiwa dan raga mereka berserta isi-isinya sekali dengan harapan Allah akan membelinya dengan syurga yang pasti. Dan Allah telah pun berjani yang jual beli itu pastinya akan menggembirakan orang-orang Mukmin ini.

Subhanallah... Inilah, tanpa ada ragu-ragu mahupun sangsi, kemenangan yang hakiki. Di dunia mereka berjaya kerana berjaya melaksanakan perintah Allah sebagai hamba dan khalifah, di akhirat mereka lebih berjaya lagi kerana menjadi penghuni syurga yang kekal abadi, berkaasih sayang sesama mereka dan yang lebih utama, dapat berjumpa dengan Rabb mereka yang telah menciptakan mereka. Di dunia ini, harta, jiwa, hidup dan mati mereka hanya untuk Allah. Mereka telah pun awal-awal lagi menjual semua ini kepada Allah, tanpa meletakkan sebarang harga mahu pun mahar, melainkan keredhaan Allah yang agung dan hakiki.

Jadi, apa kata anda..? Anda mahu berjaya seperti mereka..? Saya mahu. Saya percaya anda juga mahu.

Sekarang anda sudah tahu dan mahu. Jadi apa tunggu lagi...?? Jom kita jual harta dan nyawa kita kepada Allah, kerana itulah kemenangan dan kejayaan yang teragung!

Allahu a'lam.

-gabbana-

0 Caci Maki Puji Muji:

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP