26 April 2009

Kuli

Tersebutlah sebuah kisah, ada seorang kuli yang telah ditugaskan untuk melaksanakan beberapa tugasan yang telah dipertanggungjawabkan oleh tuannya. Bertuahnya kuli ini, bukan sahaja sebuah buku panduan lengkap telah diberikan - menerangkan apakah yang wajib dan wajar dilakukan olehnya dengan terperinci, daripada A sehingga Z, Alif sehinggalah Ya dan tidak cukup dengan itu, perkara-perkara yang dilarang juga termaktub dalam buku panduan tersebut - malah dia juga mendapat seorang tuan yang luar biasa mulia dan baik hatinya.

Kuli ini dipanggil Sanna. Sanna bukanlah satu-satunya kuli yang dimiliki oleh tuannya. Masih ramai lagi kuli lain yang bertuankan tuan yang sama.

Sejak lahir lagi Sanna sudah diberi mandat untuk menjadi kuli kepada tuannya. Malah sebelum Sanna dilahirkan pun, takdirnya adalah untuk menjadi kuli. Kejam? Tidak, malah Sanna patut rasa bertuah kerana ganjaran hebat yang tidak terbayang oleh pemikiran kuli seperti Sanna bakal menantinya seandainya dia menjalankan tugasannya dengan sempurna. Tambahan pula, Sanna wajib bersyukur kerana mempunyai tuan yang begitu kasih dan sayang akan dirinya.

Pada mulanya, Sanna merupakan seorang yang kuli yang taat dan begitu patuh akan arahan tuannya. Buku panduan yang dibekalkan bukan sahaja dibaca daripada satu helaian ke helaian yang lain, malah cuba dihadamya satu-persatu buku panduan tersebut. Banyak juga arahan-arahan yang ditulis tidak dapat difahami oleh Sanna kerana bahasa yang digunakan bukan bahasa percakapan Sanna. Namun, Sanna tetap berusaha untuk mematuhi segala arahan dalam buku panduan tersebut berdasarkan kefahamannya sendiri dan atas bantuan rakan-rakan kuli yang lain.

Kuli-kuli yang lain juga seperti Sanna. Mereka juga telah ditakdirkan untuk menjadi kuli sebelum mereka kenal dan lihat dunia ini lagi. Dan kuli-kuli ini mempunyai rencah kehidupan dan ragam yang bermacam. Ada yang sangat taat dan patuh kepada tuannya, malah menghafal dan memahami seluruh isi kandungan buku panduan yang diberikan.

Ada pula di kalangan yang taat dan patuh ini, yang tidak reti duduk diam. Apabila ada peluang, pasti sahaja digunakan untuk mengajak kuli-kuli yang lain untuk taat dan patuh sama kepada tuan mereka. Sanna kasihan melihat mereka. Mereka sering sahaja tidak diendahkan. Malah ramai sahaja kuli-kuli yang lain mencemuh dan mentertawakan mereka.

Ada juga yang buat-buat taat dan patuh, tetapi di belakang kuli yang lain, apabila dirasakan tiada siapa yang melihatnya, pantas curi tulang dan ingkar kepada arahan tuannya. Di hadapan orang ramai, dialah hero, dialah juara. Semua orang salah dan dia sahajalah yang betul.

Ada yang di tengah-tengah, kadang-kadang taat dan patuh melaksanakan kerja, kadang-kadang malas dan culas. Buku panduan juga hanya digunakan apabila benar-benar perlu sahaja. Di masa lainnya, kerja dan tanggungjawab dilaksanakan mengikut selera sendiri.

Ada yang langsung tidak mendengar kata. Hanya duduk rehat goyang kaki tidak melakukan apa-apa.


Ada yang lebih dahsyat perangainya. Bukan sahaja malas dan tidak senonoh perangainya, malah mereka menghasut pula kuli-kuli yang lain untuk bangkit menentang tuan mereka. Malah buku panduan yang diberikan dipandang enteng dan dilayan seperti sampah lagaknya.

Tanpa pengetahuan kuli-kuli ini, tuan mereka telah memasang CCTV di serata tempat. Setiap tingkah laku dan gelagat mereka dirakam dengan teliti oleh si tuan.

Sanna hanya geleng kepala melihat perangai dan tingkah laku rakan-rakannya yang bermacam ragam. Dia berasa kagum dengan kuli-kuli yang begitu patuh dan konsisten, mengajak kuli-kuli yang lain untuk bekerja keras mentaati tuan mereka. Dia begitu ingin untuk mencontohi mereka.

Pada masa yang sama, dia juga, entah mengapa, cemburu melihat kuli-kuli yang malas dan culas bersuka-ria. Mereka kelihatan begitu puas dan seronok menikmati kehidupan dunia. Segala apa yang mereka mahukan, mereka aka peroleh asalkan berusaha. Kadang-kadang tidak perlu berusaha keras pun, hanya gunakan tipu daya untuk memuaskan hawa. Yang peliknya, tuan mereka tidak berbuat apa-apa untuk menghalang tindak tanduk mereka ini. Mereka kelihatan sungguh bahagia, puas dengan kehidupan dunia. Malangnya mereka tidak sedar dunia hanyalah fana, sementara sahaja.

Akhirnya Sanna mengambil keputusan untuk menjadi orang tengah sahaja. Tidak perlu berjerih perih membanting tulang empat kerat terlalu taat dan patuh, seperti keldai kepada tuannya. Pada masa yang sama, Sanna tetap melaksanakan tugasan yang dirasakan asas baginya. Dia juga dapat memuaskan kehendak dan keperluan diri. Kadangkala dia keluar bersuka ria bersama kuli-kuli yang culas dan malas. Dan kadangkala dia bersama kuli yang taat dan patuh, berlagak seolah-olah dia peduli asalkan dapat menyenangkan hati mereka. Cukuplah sekadar itu; tuannya gembira (fikirnya) dan diri sendiri juga gembira.


Saat Sanna dan kuli-kuli yang lain pergi menghadap tuannya akhirnya tiba. Mereka dikumpulkan bersama (Bukan kepalang ramainya mereka! Tak tersangka Sanna tuannya itu cukup kaya dan berkuasa!) di suatu tempat untuk diadili dan diberikan ganjaran oleh tuan mereka.

Ketika itulah Sanna dapat melihat rakan-rakan kulinya yang lain. Dia terkejut. Ada yang berwajah putih berseri-seri. Ada yang bercahaya dada dan tangan mereka. Sanna kagum. Mereka kelihatan begitu gembira dan yakin sekali. Kebanyakan daripada mereka adalah rakan-rakan Sanna yang sentiasa taat dan patuh kepada perintah tuannya dahulu.

Ada juga rakan-rakannya yang berwajah hitam dan muram. Ada yang berjalan kaki di atas tangan di bawah, gaya seorang badut sarkis lagaknya. Ada yang bernanah dan berlendir di seluruh muka dan tubuh, merembeskan bauan yang maha dahsyat hanyirnya. Sanna cuak. Gelabah. Dan Sanna perasan kebanyakan daripada mereka adalah rakan-rakannya yang culas dan malas dahulu. Yang bangkit memberontak menentang perintah tuannya lebih menjijikkan keadaan mereka.

Tiba giliran Sanna untuk dinilai, diadili dan kemudiannya diberikan ganjaran sesuai dengan pelaksanaan tugasnya. Tuannya bertanya kepada Sanna,

"Hai Sanna kuliKu. Ada kau laksanakan segala perintah dan arahanKu dengan saksama..?"

Sanna menjawab,

"Sudah tentu, tuanku. Aku menjalankan segala tanggungjawabku sesuai dengan arahanMu yang termaktub dalam buku panduan yang telah Kau berikan."

Si tuan berkata lagi,

"Kau berkata bohong, hai Sanna. Akan Aku tunjukkan yang kau berkata bohong."

Bohong?

Sanna terdiam. Mulutnya cuba untuk berkata-kata, mahu mempertahan dirinya. Tetapi terkunci rapat entah mengapa. Perasaan gentar mula menguasai dirinya.

"Hai Sanna. Dalam buku panduan yang Aku berikan, bab 51 baris ke 56, bukankah Aku telah perintahkan agar hidupmu hanyalah untuk mengabdikan diri kepadaKu? Ada kau jalankan tugasanmu ini dengan saksama?"

Oh... Aku tidak tahu. Getus hati Sanna.

"Hai Sanna. Dalam buku panduan itu, Aku juga ada perintahkan engkau agar menjadi saksi kepada kuli-kuliKu yang lain. Malah memimpin mereka, memakmurkan tempar pekerjaanmu bersama. Seperti yang termaktub di Bab 2, baris 30 dan 143 dalam buku panduan yang telah Aku berikan. Ada kau baca? Ada kau fahami? Ada kau laksanakannya...??"

Oh... Aku tidak tahu. Aku tidak tahu!!

"Ini tidak adil, tuanku. Tiada siapa yang pernah memberitahuku tentang kedua-dua perkara yang tuanku sebutkan tadi. Lagi, aku tidak mengerti sepenuhnya buku panduan yang Kau berikan itu."

"Tidak adil? Sudah aku bekalkan bersama buku panduan itu lampiran tambahan. Sudah aku utuskan seorang pekerja khas, Muhammad namanya untuk membimbing seluruh para kuliku. Tidakkah kau pernah dengar namanya? Tidakkah kau pernah membaca lampiran tambahan itu, di mana semua kata-kata dan perbuatan Muhammad sebagai pemudah cara tercatat dengan rapi di dalamnya?"

Sanna mahu berkata-kata, protes. Sekali lagi tiada apa yang keluar daripada mulutnya.

"Hai Sanna. Mari kita lihat bersama, apakah yang telah kau lakukan sepanjang hidupmu menjadi kuliKu.

Setiap saat dan detik kehidupan Sanna sebagai kuli kepada tuannya, sejak dia dilahirkan sehinggalah dia tamat bekerja dipertonton di hadapan khalayak kuli yang lain. Sanna terkejut. Sanna malu. CCTV yang dipasang tuannya merakam setiap inci pergerakan tubuhnya, tidak tertinggal suatu perbuatan pun.

Diperlihat hari ketika mana Sanna mencuri tulang.

Sanna tertunduk malu.

Dipertonton waktu ketika mana Sanna berbuat onar, disangkanya tiada siapa yang menyaksi.

Sanna tidak sanggup mengangkat wajahnya.

Dipertunjuk saat dan detik ketika mana Sanna...

"Cukup! Cukuplah wahai tuanku! Aku mengaku segala silap dan salahku. Janganlah kau malukan aku lagi di hadapan rakan-rakanku!"

"Malu? Tidakkah kau baca dalam buku panduanmu itu, bab 86 baris 9? Hari ini tiada rahsia, tiada apa yang boleh disorokkan! Semuanya didedahkan satu persatu!

Hai Sanna. Setelah meneliti dan memeriksa segala pekerjaanmu seadil-adilnya, Aku telah membuat keputusan. Nah, ambilah buku laporan dan punch card engkau ni. Para pengawalKu akan membawamu ke tempat yang sewajarnya. Terimalah ganjaranmu!"

Sanna cuba untuk mengambil buku laporan kerjanya dengan tangan kanannya. Tidak berjaya. Dicuba lagi. Gagal. entah mengapa, tangan kirinya yang bingkas menerima buku laporan tersebut.

"Tuanku! Kasihanilah aku! Adakah aku akan mandapat ganjaran yang buruk? Aku bukanlah kuli yang begitu teruk! Banyak juga yang telah aku lakukan. Pekerjaan wajib 5 kali sehari aku laksanakan dengan taat. Pekerjaan wajib sekali setahun selama sebulan itu juga tidak pernah aku tinggalkan, sedangkan ramai kawan-kawanku yang tidak tahan! Aku juga sering menghulurkan tangan, membantu rakan-rakanku yang jauh lebih lemah daripada diriku. Dan setidaknya, aku tidak pernah keluar dan lari daripada pekerjaanku ini. Sehingga tamat kerjaku, aku masih mengaku bahawa Kau adalah tuanku! Takkanlah sedikit pun tidak diberikan ganjaran...?? Kasihanilah aku, tuanku!"

"Tidak cukup pekerjaanmu itu hai Sanna. Itu bukanlah tujuan Aku menjadikan kau sebagai kuliku.

Hai Sanna, alangkah baiknya sekiranya kau baca dan ikut betul-betul buku panduan yang telah Aku berikan itu. Dan jadikan lampiran tambahan itu sebagai panduanmu..." 

Next!

Kuli yang seterusnya pula diadili. Wajahnya berseri-seri. Sanna sempat mencuri lihat, dia menerima buku laporan dengan tangan kanannya.

Sanna diheret seperti anjing kurap lagaknya. Dan dihumban, jatuh terjelepok. Tersungkur di depan pintu yang mengerbangi sebuah tempat yang maha ngeri rupanya. Sanna kecut perut. Tidak terbayang olehnya apakah yang bakal ditempuhinya di dalam sana.

Inikah balasannya? Kemudian Sanna teringat suatu ayat dalam buku panduan yang pernah dibacanya basa-basi dahulu. Bab 32 baris 12. Sanna menangis. Rupanya peringatan tersebut untuk kuli yang macam Sanna. Sanna meraung. Dia diheret dan dihumban ke dalam.

***

Cerita ini hanyalah suatu penulisan kreatif yang bertujuan ikhlas untuk dijadikan peringatan kepada semua, termasuklah diri penulis sendiri. Ditulis beralaskan daya imaginasi penulis yang cukup lemah dan terhad. Penulis bukanlah cuba untuk menggambarkan suasana ghaib yang tidak mungkin tergambar oleh pemikiran manusia biasa. Hanya sekadar latar belakang dan prop untuk menjadikan cerita pendek ini bermakna.

Sedarlah. Ambillah iktibar. Janganlah kita menjadi seperti Sanna (=Annas) yang biasa, seperti robot yang tidak tahu tujuannya diciptakan. Jadilah seorang Mukmin yang luar biasa. Semoga bermanfaat untuk semua, Insha-Allah.

Allahu a'lam.

-gabbana-

8 Caci Maki Puji Muji:

Musafir Kelana 26/04/2009, 19:24  

Artikel ini sangat2 bagus. Bagus! Bagus! Sangat kreatif tetapi memberikan kesan!

N I K 26/04/2009, 23:57  

Zap zap zap!

Inche gabbana 27/04/2009, 00:33  

Woah, bukan senang nak dapat comment yg +ve dari pali nie! slalunya asyik kena caci hamun je..! ;p

alhamdulillah, semoga bermanfaat kepada semua.

en ai. kay, zap kt sapa tue...? ;)

Anonymous 08/10/2009, 17:46  

sgt terkesan la wes. rs nk nangis sujud tunduk syukur pn ade. isk isk

Inche gabbana 27/01/2010, 01:30  

sujud taubat la bai... ;)

moga kita benar2 mengambil iktibar daripadanya ye..? ;)

Anonymous 10/12/2011, 18:24  

Sanna = Annas . kreatif kreatif !
sangat bermanfaat . syukran :)

Anonymous 25/04/2013, 00:00  

Allah~
"Tidak cukup pekerjaanmu itu hai Sanna. Itu bukanlah tujuan Aku menjadikan kau sebagai kuliKu."

Anonymous 19/05/2014, 01:34  

Wow.speechless.

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP