5 December 2008

Akhi - Bahagian Pertama

Air mataku mengalir laju. Lagi. Entah mengapa. Kebelakangan ini, semenjak dua menjak, aku asyik teringat-ingatkan dia. Rinduku padanya tidak tertanggung. Sudah 5 tahun dia pergi tidak kembali. Tapi sehingga saat ini, sehingga warkah ini ditulis, aku masih belum dapat membiasakan diriku tanpa kehadirannya dalam hidup ini. Oh Tuhan, kurniakan daku dengan kekuatan. Oh Tuhan, kurniakan aku dengan ketabahan. Oh Tuhan, kurniakan rohnya dengan keampunan dan kebahagiaan.

***

Saat perkenalan aku dengannya bagai telah dirancang. Kami pertama kali bertemu di Rawat dan Rehat Tapah, dalam perjalanan kami ke utara tanah air. Tahun itu merupakan tahun milenia baru; tahun 2000. Aku mahu menunaikan solat Zuhur di surau yang disediakan. Abi dan abangku sudah bersolat awal-awal lagi. Dek kerana sakit perut yang teramat, aku tidak dapat menyertai mereka kerana terpaksa melunaskan kehendak alam terlebih dahulu. Lega. Aku lantas ke surau dan terus ke tempat berwudhu'. Aku mahu segera bersolat kerana aku sudah terlewat sebenarnya untuk pendaftaran hari pertamaku di sebuah sekolah berasrama penuh (namanya dirahsiakan). 

Mulanya, kami sekeluarga sepatutnya bertolak dari Kuala Lumpur seawal 8 pagi lagi. Namu Abiku, seorang usahawan import dan eksport terpaksa bergegas ke pejabat kerana ada urusan penting yang tidak dapat dielakkan, katanya. Kurang lebih jam 12 tengah hari barulah kami bertolak dari rumah menaiki Range Rover Sport Edition Abiku. Hari pertama lah katakan. Barangku seorang sahaja penuh satu bonet kereta pacuan empat roda itu. Ummiku hanya mampu menggeleng kepala melihatkan begitu banyak stok barangan yang aku bawa, terutamanya makanan ringan. Abiku siap berjenaka, "Biasalah tu Ummi. Nak pergi eksport kan barang-barang tu semua. Mestilah banyak!" Aku tersenyum sinis.

Alhamdulillah, dengan izin dan inayah-Nya, aku meneruskan kecemerlangan abang dan kakak-kakakku dengan mendapat tawaran untuk belajar di sekolah berasrama penuh. Sebagai anak yang bongsu, pastinya aku penuh dengan inspirasi dan cita-cita melihat kakakku yang sulung ke Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang, abangku yang nombor dua pula dicampak nun ke Maktab Rendah Sains Mara Langkawi dan kakakku yang ketiga pula kini tingkatan tiga di Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru. Pelbagai jenis dan rupa! Lantas, apabila aku mendapat tawaran daripada Kementerian Pendidikan tidak lama selepas keputusan UPSR diumumkan untuk belajar di sebuah SBP di utara tanah air, aku tidak berfikir panjang. 

Walaupun Ummi agak berat untuk melepaskan aku, kerana selama ini aku seorang sahaja yang menemani dia dan Abi di rumah (Kak Long kini berada Amerika Syarikat melanjutkan pelajaran, Ridhuan semester kedua di Kolej Persediaan A-Levels di Gaung Berangin dan Sofea di Johor), bersama Dol dan Man, dua ekor kucing Parsi kesayangan kami sekeluarga. Dia lebih suka sekiranya aku bersekolah di Kuala Lumpur sahaja; Victoria Institutions atau mana-mana sekolah swasta pilihanku, cadangnya. Namun, selepas Abi dan aku memujuknya, dan melihatkan pula produk-produk berjaya di depan matanya sendiri, dia akur dengan kehendak aku. Terima kasih Ummi!

Aku tersenyum sendirian. Lamunan aku mungkin sudah sampai ke Nicaragua atau Scotland, jika tidak kerana dikejutkan dengan bunyi air paip tidak jauh daripada tempatku mengambil wudhu'. Itulah pertama kali aku bertemunya. Kami bertentang mata. Dia memberikan senyumannya. Manis. Cukup manis. Dengan tahi lalat di bawah bibir sebelah kiri, ditambah pula dengan lesung pipit yang cukup dalam, senyumannya bagai memukau diri ini untuk seketika. Aku cuba untuk membalas senyumannya. Tapi aku pasti, yang diukir di bibirku ketika itu hanyalah segaris malu, ditambah dengan warna merah hati pada keseluruhan wajahku. Entah mengapa, aku berasa sedikit gemuruh. Ah, aku memang mudah malu kan?

Aku segera menyudahkan wudhu'ku dan lantas masuk ke dalam ruang solat. Kosong. Aku terus mengangkat takbir kerana aku sudah benar-benar lewat. Ketika aku bangun daripada tahiyyat awal ku, dia datang dan rapat ke sebelah kananku, sedikit terkebelakang lantas melaungkan takbir sedikit lantang. Aku kaget. Hilang tumpuan dan fokusku untuk seketika. Eh mamat ni, apa hal pulak ni? Bentak hatiku. Ketika aku membongkokkan badan untuk rukuk, mata lirikku melihat dia juga melakukan perkara yang sama. Aku sujud, dia pun sujud. Pelik. Begitulah kami sehinggalah aku selesai memberi salam, barulah aku lihat dia bangun dan meneruskan solatnya. Aku hanya menggelengkan kepala. Ajaran dari langit gamaknya!

Aku segera keluar daripada ruang solat, menyarungkan Onitsuka Tiger Mexico 66 kesayanganku, hadiah hari lahirku daripada Abi dan Ummi dan terus menuju ke medan selera, tempat abi, ummi dan abangku Ridhuan sedang menunggu. Aku segera menyertai mereka untuk makan tengah hari. Aku memilih untuk makan mi rebus sahaja. Tak selera. Mungkin kerana gemuruh memikirkan hari pertamaku di sekolah. Atau masih resah memikirkan solatku tadi. Lantas aku bertanya kepada abi dan menceritakan kepadanya apa yang berlaku. 

Sebaik sahaja aku sudahkan hikayat penglipurlara ku itu, Abi ketawa. Ketawa. Dan ketawa. Aku berasa hairan dan sedikit jengkel. Aku lihat Ridhuan juga tersenyum tanda ada kelucuan pada ceritaku. Jarang sekali aku lihat abi begini seronok. Sehingga ada butir-butir kaca pada matanya. Ummi hanya mengeleng-gelengkan kepalanya sambil tersenyum. Perasaan ingin tahuku semakin meletup-letup. Agak lama sebelum Abi berjaya menenangkan dirinya. Dia menarik nafas panjang. Namun masih ada tawa kecil pada bibirnya. Akhirnya Abi menerangkan kepadaku, yang aku sebenarnya dilantik menjadi imam. Oh, mana Mik nak tahu... Abi hanya tersenyum. Panjang senyumannya.

Sampai di perkarangan sekolah, aku hanya mampu terlopong panjang. Tidak pernah aku lihat mana-mana sekolah seburuk ini! Abi...? Ummi...? Terasa bagai hendak melarikan diri. Apakah ini...? Terasa bagai hendak berpatah kembali. Takkan ini sekolah yang gah berdiri? Terasa kakiku longgar sekali. Sesaat itu, rasa sesal membuak-buak memenuhi fikiran dan hati. Aku tidak mampu berkata apa-apa. Aku memandang Abang Wan dengan harapan dia dapat memberi penjelasan. Hampa. Dia hanya tersenyum mengusik melihat gelagatku sambil mengangguk-angguk seolah-olah berkata, "Apa kau ingat ini hotel...?"

Kakiku terasa berat sekali untuk pergi mendaftarkan diri. Ummi segera menyedari tingkah lakuku lantas segera memujukku.

"Ummi... Kalau Mik tau sekolah ni macam ni rupa dia, mesti awal-awal lagi Mik dah dengar cakap Ummi..."

"Mik, janganlah cakap macam tu. Sedih Ummi dengar. Mik dah buat keputusan, dan Abi dan Ummi pun dah setuju. Mik kena tetap dengan keputusan Mik tu."

"Tapi Ummi..."

"Mikail... Hhhmmm, macam ni la sayang, Mik cuba dulu tinggal di sini untuk 3-4 minggu. Make friends and try to have fun. And kalau Mik rasa Mik tak boleh nak sesuaikan diri juga, Ummi dan Abi akan bawa Mik balik. Macam mana...? Deal?"

Ummi senyum memujuk, masih berharap agar anak bongsunya ini terubat sedikit hatinya. Aku menguis-nguis kakiku, cuba untuk berfikir.

"Ok. Deal..."

***

bersambung...

-gabbana-

17 Caci Maki Puji Muji:

Kenangan Lalu 06/12/2008, 00:54  

I hate malay novels.

You managed to keep me reading it till th end, good job!

Inche gabbana 06/12/2008, 01:07  

hahaha.. i accept that as a compliment!! =)

Do read til the end of the story yea? ;)

Anonymous 06/12/2008, 01:07  

wawa..
rasa cam panjang lagi jer cite..betul tak??..ni cam baru mukaddimah~
kena tunggu la kirenye nih..hehe..
(excited!)

Inche gabbana 06/12/2008, 06:55  

hahaha... jangan mengaharap sangat eh? kalau ada masa, IAllah akan saya segerakan karya ini... ;)

Rashidah A Hamid 06/12/2008, 07:26  

hi adam!! its ede. just found ur blog =)

Inche gabbana 06/12/2008, 13:30  

hey ede!! hahaha.. welcome...! ;)

Nisyana Abdul 07/12/2008, 02:09  

wah..adam hebat gak berkarya rupenye..tak penah tau.. :D

Anonymous 09/12/2008, 07:23  

first time tulis cerita panjsng nih, menarik2.. well writen :)

Inche gabbana 10/12/2008, 23:18  

Jazakumullah khair to both anis n kalamkalbu. Puji-pujian tue hanya milik Allah.. ;)

silalah ikuti sambungan kisah akhi nie, hingga ke akhirnya yea..?? :D

emir.abu.khalil 22/12/2008, 17:45  

assalammualaikum,

wah-wah, tak ku sangka dirimu Adam.. mula menari jemarimu menaip cerpen...

teruskan... diri ini setia membaca...

Anonymous 27/12/2008, 13:19  

salam..bisa menulis tidak hilang lagi walaupun diperantauan.

Inche gabbana 27/12/2008, 18:57  

Salam. To akh azmir, diri ini sudah lama mencuba-cuba menulis, cuma mungkin tidak sefaqih enta.. ;) Mintak tunjuk ajar diri yang lemah ini ya...?

To abrar, tidak hilang bahasa Melayu di dalam jiwa, walau di mana diri ini berada...! ;)

Inspector Saahab 21/04/2012, 20:29  

sila sambung as soon as possibel

Inche gabbana 23/04/2012, 09:05  

Inspector saahab: anda ni buat khalakar ke apa..?

kelima-lima siri cerita ni dah siap berpuluh tahun yg lampau! ahah!

Anonymous 14/11/2012, 15:22  

awesome!awesome!awesome!saya suka cerita pasal ukhwah..dah baca sinergi?

Faried Adnan 26/07/2013, 20:13  

"Sampai di perkarangan sekolah, aku hanya mampu terlopong panjang. Tidak pernah aku lihat mana-mana sekolah seburuk ini!"

hehehe, sama mcm ana masa mula2 sampai skolah tu dulu. tapi lama2 dah jatuh rindu sgt2..

once a ...., always a ....... :)

IG, berharap sgt dapat ketemu sama enta suatu hari nanti - junior dahagakan tarbiyyah daripada enta :)

Anonymous 20/03/2015, 18:30  

Oke. kna smbung balik baca. permulaan dah bestt. terbaikk ala

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP