16 January 2008

fx-570MS untuk Ana...

"Papa... Por favor...?!? Ana memang sangat perlukan fx-570MS tu."
"Hhhmm... Akan papa usahakan. Ana janganlah mengharap sangat, si? Papa bukannya ada duit sangat sekarang ni..."
"Tapi papa... Okla, okla...."

Ana mencebikkan mukanya. Muncung bibirnya cukup panjang hari itu. Masuk kali ini, sudah 5 kali dia meminta kalkulator Casio buatan Jepun itu daripada bapanya. Ana tahu, bukan senang untuk papanya menurutkan kehendak hatinya yang satu ini. Yalah, sedangkan makan minum mereka pun kadangkala tidak menentu kitarannya, inikan pula sebuah alat elektronik yang masih tidak tentu kegunaannya.

Tapi degil Ana hari itu luar biasa. Degil Ana hari itu cukup berbisa. Papanya juga pelik, mengapa hari ini Ana begitu persis, begitu keras meminta fx-570MS? Mengapa tidak kalkulator biasa sahaja? Yang harganya jauh lebih murah?? Aduh... Bagaimana? Sejak pulang dari Escuela Pública de Malaga, sebuah sekolah awam di bandar Malaga tadi, Ana tidak henti-henti memujuk papanya agar membelikannya kalkulator itu. Setelah pujukan kasih mesra Ana gagal untuk melembutkan hati papanya, Ana menukar strategi.

Ana cuba pula mengugut papanya dengan rajukan manjanya. Selalunya berjaya! Mesti berjaya, fikir Ana. Tapi hari itu, papa tidak selemah seperti hari hari yang lain. Hari itu, papa juga tidak mahu kalah menurut kehendak Ana. Akhirnya Ana terpaksa mengalah. Namun jauh di sudut hatinya, masih tercalit sedikit pengharapan untuk memiliki fx-570MS. Dan dia tahu, lambat laun, papanya pasti tewas juga.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Anastasia de la Pedro Hamoz merupakan seorang kanak-kanak yang cukup pintar. Di kala usianya mencecah 5 tahun, dia sudah pun bersekolah seperti kanak-kanak 7 tahun yang lain. Dan kini, ketika usianya baru sahaja mencecah 2 angka pada Mac 3 yang lalu, dia sudah pun belajar di escuela secundaria. Cukup pintar anak Pedro Hamoz ini!

Mungkin situasi dan keadaan yang membentuk Ana menjadi seorang yang cukup berdikari. Lantas menjadikannya seorang kanak-kanak yang bijaksana. Ibunya lari meninggalkan dia dan papanya sejak dia berusia 3 tahun lagi, dek tidak tahan menanggung derita kemiskinan di bandar besar Malaga. Papanya seorang pekerja am di Aeropuerto de Malaga, setelah 4-5 kali bertukar-tukar kerjaya. Dalam mencari rezeki yang lebih, Hamoz kadangkala terpaksa meninggalkan anak perempuan kesayangannya itu berseorangan kerana berkerja lebih masa. Pernah suatu ketika, Ana merajuk dengan papanya kerana tidak pulang seharian bekerja di lapangan terbang itu. Tetapi Ana juga sayangkan papanya. Rajukannya cuma untuk seketika. Betapa dia mengerti, kehidupan dia dan papanya amat sukar. Berbekalkan 400-500 Euro sebulan, dia amat faham bahawa 'mewah' adalah perkataan yang sangat berbahaya untuk dimasukkan ke dalam kamus hidupnya.

Hamoz selalu merungut kepada Ana, bahawa era ketika mana Sepanyol masih menggunakan matawang peseta yang lama adalah jauh lebih baik. Setelah Kesatuan Eropah mewajibkan semua negara anggotanya bertukar kepada Euro, biar pun Britain, Denmark dan Sweden masih berdegil, perubahan ekonomi yang ketara berlaku sekelip mata. Benar! Mereka mendakwa dengan sistem satu matawang untuk semua, lebih banyak kebaikan akan terjana! Tetapi siapakah yang untung? Dan siapa pula yang menanggung derita?? Aaaahhhhhh! Hati dan perasaan Hamoz kerap kecamuk. Mereka tidak faham kehidupan manusia kelas tiga seperti aku, seperti Roberto la Huera, seperti Maria Saproza atau seperti Mikaelo Gonzalez! Masakan Ana faham, papa? Masakan!

Kerana itu Hamoz cukup sayangkan anak tunggalnya itu. Dialah tempat Hamoz mencurahkan segala kasih sayangnya. Tempat Hamoz mengadu derita jiwa dan raganya. Walau masalah yang diadukan masalah orang dewasa, masalah ekonomi bangsa atau masalah politik durjana, Ana akan tetap cuba memahaminya. Apa manusia kelas ketiga seperti Hamoz tidak boleh berpolitik? Apa pencuci tandas penyapu lantai seperti dirinya tidak boleh berbicang tentang masalah ekonomi negara Iberia itu? Kerana itu Hamoz cukup sayang akan Ana. Ana cukup matang, jauh lebih matang jika dibandingkan dengan usianya. Cukup matang. Cukup sayang.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Hari itu degil Ana cukup luar biasa. Hari itu Ana bagai dirasuk oleh syaitan yang sudah menunggu sekian lama untuk merosakkan kematangan dan kebijaksanaan Ana. Syaitan fx-570MS.

Semuanya bermula seminggu yang lalu, apabila guru kalkulusnya, Puan Isabella Aragon mengesyorkan agar semua anak muridnya memiliki sebuah kalkulator saintifik untuk memudahkan pembelajaran subjek itu. Sekurang-kurangnya model Casio fx-350MS, kata Puan Isabella. Esoknya, rakan sekelasnya, Juliano Esteban sudah pun membeli satu. Sehingga hujung minggu itu, hampir separuh daripada rakan sekelasnya sudah pun memiliki satu. Pelbagai model ditayang dan dipamerkan di hadapan Ana. Bahkan, si Armadilo de la Lopez yang tidak pandai mengira pun turut serta dalam 'Pertandingan Siapa Lagi Hebat' itu. Bukan setakat fx-350MS yang dijadikan pertaruhan, malah model yang lebih canggih seperti fx-991MS dan fx-570ES juga dibeli semata-mata untuk menunjuk-nunjuk siapa di kalangan mereka lebih 'cerdik' dalam kalkulus.

"Eh Ana, mana kalkulator kamu? Hampir semua sudah ada satu! Apa lagi yang kamu tunggu? Matahari terbenamkah? Kucing bertandukkah?" sinis Fernando Horas, rakan sekelasnya sambil disambut tawa oleh rakan-rakan yang lain.
"Ana ana! Lihatlah fx-991MS aku ni! Bergaya tau?? Lihat ni, lihat! Kalkulator ini bisa dihidupkan walau tanpa sel baterinya! Haaaa....." lagak Mario Rodriguez pula.
"Hai Ana, aku tidak lihat kamu menggunakan kalkulator untuk menyelesaikan masalah kalkulus? Apa kamu gunakan jari jemarimu, atau sempoa Cina??" usik Lucio Martinez.

Semua tertawa. Tidak pasti tawa dek usikan nakal segelintir daripada mereka, atau tawa kehairanan, kejelikan kerana masih ada di kalangan mereka yang tidak mampu membeli sebuah kalkulator!

Persetan! Cemuh Ana. Persetan semuanya! Kau Armadilo, paling hebat yang kau boleh hitung daripada fx-570MS mu itu entah entah punca kuasa dua puluh lima sahaja! Dan kau Mario, adakah benar kau perlukan fx-991MS itu?? Bukankah kau benci kalkulus? Bukankah kau sehingga kini tidak dapat membezakan pun antara pengamiran dengan pembezaan? Dasar takabur.... Jika hendak menunjuk, bukan di sini! Bukan di tempat aku dahagakan ilmu!

Ana bukan seperti mereka yang lain. Ana mahukan fx-570MS bukan kerana harganya 10 Euro lebih mahal. Bukan juga kerana luarannya tampak lebih unggul dan menawan. Bukan. Ana tahu harga sesuatu tidak terletak pada rupa luaran. Ada apa pada luaran? Ana betul-betul inginkan kalkulator yang satu itu kerana fungsinya. Noktah. Benar, Ana tidak berdusta! Sekiranya Ana beli fx-350MS, ada bisa Ana menyelesaikan masalah anu berkuasa dua? Atau bolehkah Ana mencari hasil pembezaan dan pengamiran secara mudah dan pantas? Tidak! Ana juga tidak mahukan fx-991MS kerana bedanya dengan fx-570MS hanyalah terletak pada sel solarnya! Maka fx-570MS cukup sempurna. Noktah.


* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Malam itu sekali lagi Ana akan cuba memujuk papanya. Kali ini aku pasti berjaya! Akan aku gunakan semua taktik yang ada untuk pastikan papa belikan aku fx-570MS! Jika Plan A ku tidak berjaya, akan ku laksanakan pula Plan B, atau C. Ah! Yang mana satu bukan soalan utama, asalkan aku dapat yakinkan papa bahawa aku benar-benar perlukan kalkulator itu!

Malam itu Ana sediakan masakan kegemaran papanya, Arroz Con Pollo dan Tortilla de Patatas, berserta pencuci mulut istimewa, Sangria. Bukan Ana cuba untuk merasuah papanya, tetapi Ana cukup kenal papanya itu. Makanan merupakan kelemahan utama. Tambahan pula makanan kesukaan hasil air tangan anak perempuannya itu. Aduh! Kecur air liur! Lebih-lebih lagi Ana kini sudah besar, sudah pandai memasak. Minta apa sahaja, meski hidangan tradisional Espana seperti Cocido Montanes dan Jamon Serrano, atau masakan moden. Tidak hairanlah, 2-3 tahun kebelakangan ini, lebar perut Hamoz sudah bertambah 5 inci, dengan kadar yang semakin pantas dan menakutkan!

Tiada keraguan lagi, malam ini pasti papanya akan akur juga dengan kehendak Ana. Ana begitu pasti sehinggakan dia sendiri tidak menyedari bibirnya sejak petang tadi menguntum senyum! Akan ku sambut papa dengan layanan yang paling mesra! Akan ku buatkan untuknya kopi panas kegemarannya! Akan ku urut bahu dan kakinya, dan akan ku ceritakan padanya betapa di dalam kelas hari ini aku tidak habis-habis dipuji oleh guru sejarah, Encik Alfonso Eduardo! Papa pasti gembira! Senyum ana bertambah lebar.

Sejam sudah berlalu. Bukankah hari ini papa habis awal? Papa akan telefon aku dahulu kalau dia terpaksa pulang lambat, cetus hati Ana. Ana menunggu di depan pintu. Dua jam. Tiga.

Kelibat papa masih belum kelihatan. Jarum-jarum jam di dinding sudah menunjukkan angka 9 dan 12. Ana kini berasa resah. Gelisah. Mundar mandir di ruang tamu sambil mencuri-curi pandangan ke arah telefon dengan harapan ia akan berdering. Ana kepenatan. Kepenatan akibat terlalu khuatir dan risau akan keadaan papanya. Ah, makanan di atas meja sudah kesejukan. Pasti rasanya sudah tidak selazat seperti mana ketika panas-panas tadi!

Daripada khuatir menjadi marah. Ana pasti papanya akan pulang lewat lagi. Kemarahan Ana bertambah baranya kerana papanya itu langsung tidak peduli untuk memaklumkan kelewatannya! Mungkinkah papa sengaja mengelak daripada pulang awal hari ini? Adakah papa sudah mengagak aku akan terus memujuknya? Susah sangatkah untuk papa menelefonku?

Dalam kepenatan dan kemarahan itu, Ana terlelap di atas kerusi di tengah-tengah ruang tamu. Ana hanya tersedar daripada tidurnya apabila terdengar ketukan di pintu. Papa! Tidak mungkin, fikir Ana. Papa kan punya kunci sendiri? Lagi pun, jika dia pulang lewat malam, papa tidak akan mengejutkanku. Ana melihat ke arah jam. Pukul sebelas. Ana menuju ke arah pintu, sambil mengusap matanya. Entah kenapa, hatinya kurang senang dengan keadaan ini. Siapa? Ana bertanya. Ingat pesan papa, jangan buka pintu kepada orang yang tidak dikenali! Anastasia de la Pedro Hamoz? Ya saya. Siapa? Kami policia metropolitana. Ini tentang padre mu. Tentang papa?

Entah mengapa, Ana merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Jantungnya kini berdegup lebih kencang daripada biasa. Tanpa disedari, setitis peluh mengalir daripada ubun rambutnya. Ana kuakkan sedikit pintu rumahnya. Dua orang pegawai polis, seorang lelaki bertubuh sasa dan seorang lagi wanita berambut perang muda, lengkap dengan uniform biru tercegat di hadapan pintu. Tentang papa? Ya, tentang papamu. Mengapa dengan papa? Di mana papa? Aku mahu bertemu dengan papa! Di mana papa? Mengapa dengan papa? Ana tiba-tiba sahaja menjadi tidak keruan.

"Anastasia... Kami minta maaf. Papamu... Papamu..."
"Mengapa?? Apa yang terjadi??? Katakan sahaja...! Katakan!!"
"Papamu... Sudah tiada. Papamu sudah..."
"Apa?? Apa maksudmu??"
"Encik Pedro Hamoz dilanggar sebuah lori petang tadi, ketika cuba melintas lebuh raya besar. Dia masih hidup ketika dihantar ke Hospital Gubernamental de Malaga. Para doktor telah berusaha sebaik-baiknya untuk menyelamatkannya. Tetapi..."

Ana tergamam. Tiada apa yang terlintas di dalam fikirannya kini melainkan papanya yang tersayang! Papa... Papa... Papa!!! Titisan air panas mula mengalir daripada matanya.

"Bersabarlah... Sekarang kamu pergi bersiap. Kamu akan ikut kami ke hospital. Tidak perlu tergesa-gesa. Oh ya. Pihak hospital minta tolong kami berikan ini kepadamu. Daripada papamu, kata mereka."

Terketar-ketar Ana menghulur tangan mengambil bungkusan merah berbunga daripada si polis. Merah. Warna kegemaran. Merah. Darah.

Perlahan-lahan Ana membuka bungkusan. fx-570MS. Ana terjelepok. Air mata semakin deras. Turun naik dada Ana menahan sebak. Sepucuk surat disertakan bersama. Ana buka dan baca, walaupun mata kini kabur dibanjiri air mata.
______________________________________________________________

Anastasia yang ku sayangi,

Papa harap Ana gembira menerimanya! =) Papa singgah di bandar tadi, dan lalu di hadapan sebuah kedai alatan elektronik. Lantas papa teringatkanmu.

Ana tahu betapa papa sayangkanmu, bukan? Dan papa tahu, fx-570MS ini amat berharga buatmu. Jagalah ia dengan hatimu, kerana hanya dengan itu dirimu akan memperoleh manfaat yang tidak terhingga daripadanya! Papa akan sentiasa menyayangi dirimu, anakku...

Intentalo traducirlo tu primero y despues te ayudamos, si? Jaga dirimu. Salam sayang dari papamu.

_______________________________________________________________

Daripada sebak bertukar rengek. Dan kini menjadi raung. Papa....!!!


-gabbana-

8 Caci Maki Puji Muji:

Ahmad Zharif Ahmad Zahir 27/02/2008, 05:20  
This comment has been removed by the author.
Ahmad Zharif Ahmad Zahir 27/02/2008, 05:36  

nih kesah PAPA JAHATTT ke??? wakakakakaka.....too long to be in a blog like this....sorry i cudnt bother to read this long!!! hahaha.....simply for a story of a calculator!! LOL....heeeeeeeeee

Anonymous 27/01/2012, 22:40  

masyaAlah... x mcm sy sng je bli kalat pastu klu jatuh *lantak-hg-la* nak gna bru amek(ishx2)... sian ana...insaf..lps neh nak jga lekl0k kalat sy!!!

Qasrus Syuhada 28/05/2012, 18:02  

story yang so interesting..boleh dibukukan nih!! Terbaik.

Unknown 01/03/2013, 15:46  

Sedih..macam nak nangis...... hoho

Nadhirah Izzati 25/12/2013, 18:26  

The best ! Sedih membaca ! Thumbs up for a wonderful stories :)

Fazriekha Suhaimi 25/03/2016, 16:08  

Ya Allah. Sedihnya!!!

Anonymous 14/05/2019, 22:15  

Cukup menyentuh jiwa... Pengorbanan seorang bapa... Biarpun susah, tetap cuba utk penuhi keperluan dan kehendak anaknya... Mengajar kita untuk lebih bersyukur dengan apa yang kita ada... Ayah, tiada gantinya...

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP