4 November 2015

Teh Tarik Kopi-O

[Kredit]

"Macam biasa bang?"

Gadis genit bertudung labuh itu tersenyum manis. Rizal sempat menjeling pada hujung tudung gadis itu. Hari ini dia pakai Tudung People. Boleh tahan.

"Haah macam biasa."

Daud membalas senyuman gadis itu.

Tidak sampai tiga saat gadis pelayan itu beredar, Rizal menendang perlahan kaki Daud.

"Eh kau rasa budak tu akhowat ke?"

Daud mengangkat kening sebelahnya. Tidak mampu untuk diangkat setinggi Ziana Zain. 

"Apsal? Pelik gila soalan kau."

"Takdelah. Kalau akhowat, bolehlah aku kenenkan untuk kau. Kekeke."

Daud tercengang. Tidak disangkanya itu yang bermain di kepala otak Rizal. Kemudian dia tergelak. Gelak besar.

"Gila."

"Gila kau cakap? Kau tengok budak tu. Comel, menawan, pandai melayan, pandai buat air, sopan, santun, pijak semut konfem tak mati! Apa lagi yang kau nak pada saorang isteri??"

Daud hanya mampu tersenyum sambil menggelengkan kepalanya. 

"Weh, ikhtilat ikhtilat! Tundukkan pandangan!"

"Opppss."

Rizal sedikit tersipu-sipu dengan teguran itu.

Tidak lama selepas itu, air panas mereka sampai. Seperti yang diminta.  

"Kopi-o kurang manis satu. Teh tarik kaw satu. Betul?"

"Haaa betul betul. Terima kasih dik!"

"Ada pape lagi ke bang?"

"Hmm takde apa kot. Cuma nanti tolong checkkan roti canai yang kami order tadi ye?"

"Orait bang. Tu je?"

Rizal mengangguk.

Gadis genit bertudung labuh itu menghadiahkan mereka dengan senyuman manisnya sebelum beredar mengambil pesanan pelanggan lain pula. 

Rizal menghirup buih besar pada teh tariknya. Teh tarik kaw. Teh tarik dengan susu lebih. Hasilnya? Buih yang melimpah keluar! 

Tergambar raut penuh kenikmatan pada wajah Rizal. 

"Peh. As usual. Memang tak menghampakan!"

Daud tertawa kecil melihat keletah sahabat baiknya itu. 

Hampir setiap pagi mereka akan bersarapan di Warung Mek Onah itu. Sejak dari tahun dua di universiti, sehinggalah kini hampir setahun setengah mereka sudah bekerja. Jika tidak ada ajakan dari kawan-kawan lain atau hal lain yang perlu diutamakan, pasti Warung Mek Onah menjadi pilihan.

Itu pon mereka terjumpa dengan Warung Mek Onah itu secara tidak sengaja. Sebelum itu, mereka adalah pengunjung tetap restoran mamak Habibi Bistro. Suatu hari Habibi Bistro tutup. Punyalah kecewa mereka kerana tidak dapat makan roti canai garing dan tosei telor macam biasa. Maka mereka pon memulakan pengembaraan mencari restoran/warung/gerai sarapan pagi yang baharu. 

Entah macam mana, Daud yang membonceng Rizal ternampak Warung Mek Onah yang terlindung oleh suatu pokok yang besar. Patutlah selama ini mereka tidak perasan dengan kewujudan warung itu. Mungkin dek barisan orang yang beratur untuk membeli sarapan bungkus pada pagi itu panjang menyebabkan Daud curiga dan ingin tahu apa yang menarik sangat dengan Warung Mek Onah itu. 

Sejak hari itu, mereka tidak pernah pandang ke belakang, atau dengan kata lain, ke Habibi Bistro, lagi. Bukanlah sebab makanannya sangat pon, walaupon tidak dinafikan hidangan sarapan pagi di situ sememangnya mantap sehingga menjilat jari dan gusi. Dengan nasi kerabu, nasi berlauk, nasi dagang, nasi lemak, pulut kuning, mi goreng, beraneka jenis lauk dan kuih, menjadikan Warung Mek Onah amat sukar ditandingi. Malah tidak cukup dengan itu, ada juga kaunter yang menyediakan roti canai. Perfecto.  

Dan bukan juga disebabkan harganya, walaupon tidak dinafikan harga makanan di situ amat berpatutan. Nasi lemak berlaukkan telur goreng dan sambal kerang dan segelas teh tarik kaw hanya berharga RM5.00 sahaja. Di zaman rakyat Malaysia dirompak hampir setiap hari oleh GST, harga tol yang melambung tinggi, harga barangan yang menggelikan hati dan entah bermacam cukai dan caj lagi, RM5.00 untuk sarapan pagi lengkap memang bisa mengalirkan air mata tidak terpercaya dan penuh kesyukuran.

Tapi mereka memilih Warung Mek Onah lebih kerana biahnya. Suasana dan persekitarannya. Semua pekerja wanita di situ memakai tudung labuh. Meskipon tidak semua, ada juga yang memakai stoking tangan. Pekerja lelaki pula kacak dan hensem bergaya, dengan kopiah di kepala dan janggut sejemput yang memaniskan muka. Lagu-lagu nasyid atau alunan Quran oleh Syaikh Sudais atau Syaikh Suraim sentiasa menjadi halwa telinga.  

Kiranya terasa berkat la makan di situ. Berasnya, ayamnya, dagingnya, bawangnya, halianya, cilinya, gulanya, garamnya, tehnya, kopinya... Semuanya pastinya diperdengarkan dengan ayat-ayat Quran dan zikir-zikir memuji Tuhan setiap hari. Peh. Kalah air Anugerah. 

"Kau dari dulu tak pernah order benda lain kan? Mesti teh tarik kaw kau tu. Apalah yang best sangat."

Rizal mengerutkan dahinya. Tanda dia kurang puas hati dengan komen Daud itu. 

"Apa yang best sangat? Apa yang best sangaaattt?? Hallo..?? Kau macam tak pernah try je teh tarik kaw dia ni. Kau pon tahu teh tarik dia memang takde tandingan kat seluruh pelosok dunia ni!"

Rizal memang begitu. Drama.  

Daud tertawa kecil. Dia sudah boleh agak jawapan yang keluar dari mulut sahabatnya yang dikenali sejak tahun pertama di universiti itu. 

"Ye lah. Tahulah teh tarik dia pawer. Tapi takkanlah setiap hari bekfes sini , setiap kali tu kau order teh tarik? Try lah benda lain pulak."

Rizal mencebik.

"Eleh dia tu. Sama jugak. Setiap kali datang sini, mesti order kopi-o dia tu. Dah, kenapa tak order benda lain?"

Daud tersenyum simpul sambil menggeleng perlahan. Dia dah mula daaaahh.

"Aku at least pernah la order Horlicks, teh tarik, teh-o limau, teh-o nipis, kopi susu. Takdelah empat tahun bekfes sini, setiap hari order kopi-o! Haha. Kopi-o tu preference aku je. Aku boleh je minum benda lain."

Rizal menyepetkan matanya dan merenung tajam Daud.  

"Apa point kau? Apa masalah kau senanya ni? Biarlah aku nak minum teh tarik kaw sampai aku mati pon!"

Rizal menyambar cawannya dan sengaja meneguk air teh tarik yang masih berbaki laju-laju agar ia mengeluarkan bunyi.

Gluuuk gluuukkk.

Daud tertawa. Dia sudah masak dengan peel Rizal itu. Macam budak-budak!

"Takde apa pon. Aku takde masalah pon kalau kau mati nanti sebab tersedak air teh tarik kaw kau tu. Jangan kau mintak dimandikan jenazah kau dengan teh tarik tu nanti sudahlaaahh! Kahkahkah."

Rizal hampir tersedak dan tersembur mendengarkan kata-kata Daud itu. Cepat-cepat dia ambil tisu yang sudah dilipat tiga segi dan diletakkan di setiap meja itu.

Dua tiga pelanggan lain di warung itu menjeling mereka. Pelik agaknya mengapa dua orang dewasa seperti Daud dan Rizal berperangai macam kanak-kanak Ribena. 

Rizal menampar bahu Daud. Manja.

"Eyyy apa kau merepek niii?? Apa masalah kau niii??"

Daud tertawa besar melihat gelagat Rizal. 

"Cuba kau rasa kopi-o aku ni pulak. Sedaaaapp."

Rizal mengerutkan dahinya. Dia belum boleh membaca permainan Daud. 

"Ish taknak lah. Kau macam tak tau je aku tak suka kopi."

Daud menghulurkan gelasnya pada Rizal.

"Cuba dulu. Sedap. Sumpah aku tak tipu. Lepas kau minum, kalau kau tak puas hati, bekfes hari ni aku belanja. Amacam?"

Daud bermain-main dengan keningnya. Dia menghadiahkan Rizal dengan sekuntum senyuman nakal.

Jelas Rizal tergugat dengan tawaran itu. Tiada apa yang lebih membahagiakan daripada dibelanja Daud. Dan dia yakin, hari itu dia akan makan percuma. 

Perlahan-lahan dia mengambil gelas Daud. Sebelum menghirupnya, dia terlebih dahulu mengambil bau kopi yang masih berasap itu. Hidung jawanya itu pantas bergerak ke kanan dan ke kiri, tanda aroma kopi panas telah masuk mencucuk lubang hidungnya. 

Mulutnya terkumat-kamit membaca doa. Mungkin juga jampi serapah warisan nenek moyangnya, agar kopi yang diminumnya boleh bertukar menjadi teh. 

Perlahan-lahan dia menghirup kopi-o panas yang sudah dicemari dengan air liur Daud itu. Daud tersenyum lebar sebaik sahaja air kopi menyentuh bibir Rizal. Dengan teliti dia memerhatikan pergerakan halkum Rizal, mahu memastikan Rizal benar-benar menelan air kopi itu.

Rizal memejamkan matanya. Ada riak kepuasan pada wajahnya. Dia menarik nafas sebelum membuka mata.

"Sedap."

Daud terus tertawa mendengar kenyataan jujur Rizal itu. Terasa seperti mahu buat kenyataan media secara besar-besaran pula. 

"Diiik oh diiikk!"

Gadis genit yang mengambil pesanan mereka di awal tadi bergegas ke arah meja Daud dan Rizal.

"Ye bang? Kenapa? Roti canai tak sampai lagi ke?"

"Ha tu pon ye. Nak order kopi-o segelas lagi boleh? Ni ha, kawan saya ni dah jatuh chenta dengan kopi-o Warung Mek Onah!"

Giliran Rizal pula yang tertawa dan menggeleng kepala melihat keletah Daud. 

"Kau ni dah kenapa?"

Gadis pelayan itu tertawa kecil sebelum beredar. Taktik untuk tidak mahu terlibat dengan drama mereka berdua agaknya. 

"Haaa kan aku dah cakap. Sedap kannn??"

Rizal mencebik.

"Ok lah. Boleh laaahh."

Daud memandang tajam. Rizal mengangkat kedua belah tangan. Tanda dia menyerah.

"Ok lah, fine lah. Sedap. Memang sedap. Dia punya after taste tu yang pawer. Ada this tinggling sensation la omputih kata."

Daud tersenyum bangga. 

Elok pula roti canai mereka sampai ketika itu. Bersinar-sinarlah mata mereka dek perut yang sudah menari zapin dan bermain ghazal sejak tadi. 

"Eh, tiba-tiba aku dapat satu tadabbur pasal hijrah kau dari teh tarik ke kopi-o."

Rizal yang baharu sahaja mahu masuk suapan kedua memprotes.

"Oi oi, mana ada hijrah! Aku masih setia dengan teh tarik kaw aku tu okaayy??"

Rizal membuat muka sebelum mencicah roti canainya dengan kuah dhal sambal.

"Haha tak kisahlah. Tapi aku nak share dengan kau niii."

"Ha share la cepat. Kau ni semua benda kau nak tadabbur en? Kucing lawan lipas kau nak tadabbur. Jerebu tebal kau nak tadabbur. Teh tarik kopi-o pon kau nak tadabbur jugak? Memang dasar budak usrah!"

Mujur Daud tidak tercekik geli hati dengan seloroh Rizal itu. Dia tidak peduli. Bila-bila dia dapat ibrah dari sesuatu peristiwa, dia rasa rugi jika dia tidak berkongsi. Dan selalunya Rizal-lah yang menjadi mangsa.

"Macam ni. Kan selama ni kau tak pernah nak order minuman selain teh tarik kaw tu kan bila kita datang makan kat warung ni? Dan hari ni, bila aku pujuk kau, kau try kopi-o aku, kau terpaksa mengaku yang kopi-o tu sedap. Kan?"

"Ok... So?"

"Dalam tarbiyah dan dakwah macam tu jugak. Kadang-kadang tu, kita takut nak buat sesuatu perubahan sebab kita dah masuk zon selesa kita. Yelah macam kau lah kan, dah berapa tahun minum teh tarik dan setiap kali tu sedap pulak tu. Bila kita dah ikut sistem tarbiyah yang sedia ada dan semuanya nampak ok, kita jadi selesa. Jadi kita takut nak berubah walaupon perubahan tu kadang-kadangnya perlu.

Takut nak suarakan pendapat. Takut nak cuba kaedah tajmik baru. Takut nak bawak usrah style baru. Sebab apa? Takut kena kritik. Takut kena kutuk. Takut dengan risiko yang bakal dihadapi kalau cuba benda baru.

Macam kau, takut nak order air lain sebab taknak dikecewakan kalau air lain tu tak sesedap teh tarik kaw tu."

Rizal memuncungkan mulutnya. Tanda dia memberikan perhatian dan sedang berfikir. 

"Tapi apa jadi bila akhirnya kita keluar dari zon selesa kita tu? Bila kita akhirnya cuba benda baru. Kita akan dapati, tak semua benda buruk seperti yang kita sangka. Malah ada yang exceed expectation kita. Macam bila kau minum kopi-o yang sedap tu tadi. Hehe."

Rizal spontan tersenyum. 

"So dalam tarbiyah dan dakwah ni, kita tak boleh takut nak cuba benda baru, asalkan benda tu tak menyalahi syarak. Bila percubaan kita tu gagal, terminum kopi pahit ke, tergigit cili api ke, terkunyah benda yang dah basi ke, kita akan belajar supaya tidak mengulangi benda yang sama in the future. Kita akan jadi lebih berhati-hati. We will be more experienced. Yang penting, kena ada perubahan tu.

Sebab tarbiyah, dakwah ni satu benda yang dinamik. Haroki. Ia sentiasa bergerak. Maka ia memerlukan perubahan. Kalau tak beruba, tak bergerak, jadilah seperti air longkang yang tersumbat. Busuk gile en?

Dan kita juga akan belajar, kadang-kadang perubahan yang kecil pon boleh membawa manfaat dan kegembiraan yang besar. Perubahan yang macam insignificant pon, boleh bagi kepuasan dan keterujaan yang dah lama kita tak rasakan. "

Daud berhenti. Dia nak bagi impak yang paling besar sebelum masuk punch-line

Rizal memandang wajah Daud. Menanti-nanti apa yang bakal keluar dari mulutnya. Saspen.

"Macam bila kau setuju untuk rasa kopi-o aku."

Gadis genit sang pelayan datang. Daud terhenti.

"Kopi-o panas, siaaapp."

Gadis genit itu tersenyum. Manis seperti biasa.

-gabbana-

Dah lama tak tulis cerita pendek macam ni. Seronok pula rasanya. Eheh.

11 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 04/11/2015, 18:50  

padu.

Shakirah 04/11/2015, 20:05  

lepasni boleh ikut jejak Daud lah. selalu bertadabbur dan berkongsi rasa itu insyaAllahh. terima kasih lagi inche gabbana

Raihanah Ahmad 05/11/2015, 11:44  

terima kasih atas artikel ini

Anonymous 06/11/2015, 19:26  

Padat...mantap...

Unknown 06/11/2015, 20:06  

Perfect:)

orked pink 09/11/2015, 00:22  

Subhanallah...artikel yg bgus dan bnyk manfaatnye...

Anonymous 11/11/2015, 20:13  

������

Anonymous 11/11/2015, 20:15  

Sangat bagus!

Anonymous 21/11/2015, 13:32  

Jzkk..

Unknown 24/01/2016, 10:32  

pandai la kau main tadabbur aeh ..

Unknown 24/01/2016, 10:34  

ni haa .. ana sayang anta . even kite tak kenai . ana nk sangat jumpe anta tau .. nk sembang sembang .. tak tau laa . wehdatul fikr kot ..

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP