Salesman
[Kredit] |
Abdillah merenung lelaki yang baharu sahaja mengambil tempat duduknya itu. Dia sedikit ragu. Tidak pasti sama ada patut atau tidak untuk dia mendekati lelaki itu.
Lelaki itu mengangkat tangan kanannya. Seorang gadis genit berbaju-t merah jambu dan bertudung putih datang membawa sebuah buku 555 dan sebatang pen pen Kilometrika berwarna biru. Lelaki itu membelek-belek menu di hadapannya sebelum membuat pesanan. Pantas gadis itu mengangguk-angguk dan mencatatnya.
Abdillah menanti masa yang sesuai sebelum berjalan mendekati lelaki itu. Dia menarik nafas dalam-dalam. Dipasangnya senyuman semanis mungkin pada bibirnya. Meskipon dia sudah melakukan perkara sedemikian banyak kali, setiap kali itu juga dia pasti akan berasa resah dan gelisah.
"Salaam a'laikum bang."
Abdillah memulakan bicara. Lelaki itu yang sedang sibuk membelek dan menggaru telefon pintar sebesar tapak tangan itu menoleh sekilas dan menjawab salam. Namun wajahnya sedikit berubah apabila melihat sosok Abdillah.
"Maaf ganggu bang. Saya ada satu produk yang..."
Belum sempat Abdillah menghabiskan ayatnya, lelaki itu mengangkat tangannya dan menghalau Abdillah pergi. Mimik mukanya jelas menggambarkan kejelikan dan kemenyampahan pada Abdillah.
Abdillah tersenyum kelat.
"Terima kasih bang. Maaf ganggu."
Hakikatnya, Abdillah sudah biasa dengan situasi sebegitu. Malah jika difikirkan, reaksi lelaki itu sebentar tadi jauh lebih baik dan sopan jika mahu dibandingkan dengan maki-hamun, caci-maki dan sepak-terajang yang pernah diterima Abdillah sebelum ini.
Dia pernah dicarut oleh seorang lelaki berbadan besar memakai rantai besi macam rantai mengikat anjing.
Dia pernah dimaki-hamun oleh seorang makcik yang rupa-rupanya memang anti salesman.
Dan dia pernah ditampar oleh seorang lelaki tua berkopiah putih kerana dituduhnya cuba mengorat anak gadisnya. Macam-macam!
Abdillah sudah lali dengan semua itu. Dia sudah tak lut dengan segala tohmahan dan cercaan yang dilontarkan. Alah bisa tegal biasa.
Semua itu tidak pernah mematahkan semangat Abdillah untuk terus mencari pelanggan untuk membeli produknya. Tidak pernah sekali pon dia terfikir untuk berputus-asa daripada terus memburu pembeli yang berpotensi. Ok ada lah sekali. Itu pon sebab Abdillah meletakkan harapan yang tinggi kepada dua orang pemuda berserban dan berjubah ini, yang nanti hanya akan mentertawakan Abdillah.
Kadang-kadang Abdillah tertawa sendiri memikirkan reaksi dan telatah masyarakat terhadap produk yang mahu dijualnya. Bukan apa, dia dahulu juga begitu! Dua kali lima sepuluh, lapan campur dua pon sepuluh!
Dia juga pernah menolak tawaran untuk membeli produk itu dahulu. Bukan setakat menolak, malah kata-kata yang kasar juga pernah terpacul dari mulutnya. Darah muda. Tidak sabar. Alahai.
Mujurlah salesman yang kini merangkap sifunya, Nu'man tidak pernah berputus-asa. Hampir setiap hari pasti Nu'man akan mencari-cari peluang untuk mendekati Abdillah agar dapatlah dia menjual produknya yang hebat itu kepada Abdillah.
Bermacam cara dan kaedah yang digunakannya. Adakalanya dia akan menunggu penuh setia Abdillah habis menjamah makanan di kafeteria kampus. Adakalanya dia akan tunggu di tepi padang, menonton Abdillah bermain bola sepak sehinggalah Abdillah usai bermain. Dan adakalanya Nu'man akan terkejar-kejar mahu berjalan pulang dengan Abdillah selepas solat Isyak berjemaah di surau.
Rimas jugalah Abdillah dibuatnya. Ada lah sekali dua terasa seperti mahu menghadiahkan Nu'man dengan penumbuk Silat Cekak Hanafi. Ada lah sekali dua Abdillah terasa seperti mahu menarik baju Nu'man dan mengugutnya agar tidak mengganggu hidupnya lagi.
Tapi Nu'man tidak pernah kenal erti putus-asa. Dan ketabahan Nu'man itulah yang akhirnya berjaya memerangkap Abdillah.
Abdillah akhirnya akur dan bersetuju untuk mendengar penjelasan lengkap yang panjang lebar tentang produk yang ingin dijual Nu'man, dengan harapan selepas itu Nu'man tidak akan mengekorinya lagi. Namun selepas mendengar Nu'man berceloteh dan berbicara tentang kehebatan dan keistimewaan produknya itu, mengapa Abdillah bukan setakat perlu malah wajib membelinya dan mengapa pula Abdillah mesti bersama-sama dengan Nu'man melebarluaskan jaringan capaian produk itu, Abdillah seperti terpukau.
Abdillah meminta tiga hari untuk membuat keputusan. Belum masuk hari yang kedua, Abdillah sudah menghubungi Nu'man untuk menyatakan persetujuannya.
Nu'man gembira bukan kepalang hari itu. Bukan sahaja kerana dia berjaya mendapatkan seorang lagi pelanggan untuk membeli produknya; dia juga berjaya merekrut Abdillah untuk bersama-sama dengan teamnya untuk melariskan lagi produk mereka itu. Kerana Abdillah bukan calang-calang orangnya. Selain terkenal sebagai jejaka panas yang berketerampilan di universiti, Abdillah juga adalah seorang yang berkarisma lagi berwibawa. Petah berbicara, boleh jadi imam Subuh, lincah bersukan dan pandai baca Quran. Pakej lengkap jugalah kiranya.
Pada mulanya, memanglah Abdillah kekok menjadi salesman; dia belum pernah melakukan kerja-kerja sedemikian sebelum itu. Dia masih ingat, dia terpaksa berulang-alik ke tandas awam pada hari pertama dia mencuba menjual produk niaganya. Terketar-ketar kepala lututnya. Meleleh-leleh peluh jantannya.
Pengalaman akhirnya mematangkan Abdillah. Tunjuk ajar dan bimbingan dari Nu'man dan rakan-rakan salesman yang lain juga banyak membantu. Setelah cubaannya menjual produk buat kali ke sembilan gagal, akhirnya pelanggan yang kesepuluh bersetuju untuk membeli. Bukan setakat itu, entah bagaimana, pelanggannya yang sulung itu begitu berminat dengan produk yang dijual Abdillah, sehingga dia juga, seperti Abdillah dahulu, mahu menyertai team untuk memasarkan dan menjual produk itu.
Abdillah tergamam ketika dia mengetahui hasrat pelanggannya itu. Perasan Abdillah ketika itu, ibaratnya seperti baharu lepas melakukan lompatan banji dari puncak air terjun tertinggi sambil menjerit sekuat hati. Kepuasan yang dirasakan oleh Abdillah, apatah lagi setelah sembilan kali gagal sebelum itu, adalah terlalu luar biasa; suatu perasaan yang tidak pernah dirasakannya sebelum itu. Mebuak-buak!
Selepas itu, Abdillah tidak pernah menoleh ke belakang lagi. Bukan kerana takutkan hantu, tapi kerana dia sentiasa menantikan apa yang menunggunya di hadapan. Setiap rekrut yang baharu adalah pencapaian peribadi yang cukup manis buat Abdillah. Malah, keberhasilan merekrut salesman baharu jauh lebih Abdillah sukai berbanding dengan ganjaran dan insentif yang disediakan untuk hasil jualan produk. Dan ganjaran yang menanti bukan calang-calang. Lumayan!
Sehingga kini, Abdillah telah berjaya merekrut tujuh orang untuk menyertai team jualannya. Jika dikira yang belum sampai setahun Abdillah terjebak menjadi salesman, tujuh orang adalah suatu pencapaian yang cukup bermakna. Dan jika dipertimbangkan pula statistik bahawa dalam setiap seratus orang, hanya tiga orang sahaja yang akan membeli dan bersetuju untuk turut sama menjual produk tersebut, tujuh orang benar-benar suatu pencapaian yang sungguh luar biasa.
Hal inilah yang sentiasa memotivasikan Abdillah. Walaupon yang menolak lebih ramai dari yang mahu membeli, apatah lagi menyertai, Abdillah tahu pasti akan ada yang menerima.
"Salaam a'laikum kak. Akak free tak skang? Saya ada satu produk mantap gile yang saya mahu kongsi dengan akak."
Wanita berusia lewat 30-an itu tampak serba salah. Tudung yang diikat di leher ala-ala Mak Datin menampakkan rambutnya yang perang beruban.
"Sorry dik, akak ada hal skang ni."
Dan wanita itu bergegas, berlalu pergi.
Abdillah tersenyum. Dia sudah biasa. Meskipon ada sedikit hampa.
Abdillah berjalan lagi, mencari-cari pelanggan yang berpotensi. Dia masih belum mahu berhenti. Dia masih belum puas.
Dia teringat antara pesanan Nu'man kepadanya:
"Abdillah, kau kena selalu ingat. Benda yang kita nak jual ni, adalah sesuatu yang cukup hebat dan luar biasa. Tapi ramai orang kat luar sana tak tahu. Mereka tahu, tapi buat-buat tak tahu.
Maka tugas kitalah untuk beritahu. Untuk yakinkan depa ni alangkah ruginya kalau depa tak nak beli barang kita. Sangat-sangat rugi!
Tapi... Sebelum tu, kita dahulu kena yakin dengan barang kita. Kita dahulu kena cuba dan pastikan barang kita ni betul-betul pawer. Barulah kita boleh jadi salesman yang betul-betul berjaya!"
Abdillah tersenyum sendirian memikirkan kata-kata Nu'man itu.
Dia selalu bermuhasabah. Bahagian meyakini dan mencuba produk sendiri itulah yang seringkali menguji Abdillah. Namun Abdillah mendapati, semakin banyak produk yang berjaya dijual, semakin yakin pula dia dengan produknya itu. Semakin ramai salesman baru yang berjaya dia rekrut, semakin bersemangat dan bersungguh-sungguh dia mahu melebarkan lagi sayap perniagaannya itu.
Mata Abdillah menangkap seorang pemuda yang sedang duduk-duduk membaca surat khabar. Abdillah meneka, usia pemuda itu tidak jauh beza dengna usia dirinya.
Mangsa. Abdillah berbisik sambil tersenyum sendirian.
Entah mengapa, kali ini Abdillah sedikit yakin. Tidak resah seperti tadi. Abdillah menggenggam tangannya, menarik nafas dalam-dalam dan dengan penuh azam, berjalan laju ke arah pemuda itu. Bergoyang-goyang beg kulit silang yang disangkut pada bahu kirinya.
Bismillah.
"Salaam a'laikum bro."
Pemuda itu menangkat wajahnya. Kedua-dua tangannya masih kejap memegang surat khabar. Berita Harian.
"Waalaikumussalam warah matullah."
Petanda baik.
"Nama saya Abdillah."
Abdillah menghulurkan tangannya.
Pemuda itu seperti sedang cuba meneka apakah langkah Abdillah yang seterusnya. Dia mengambil keputusan untuk menurut rentak Abdillah dahulu. Dia lantas melipat surat khabarnya dan menyambut tangan Abdillah.
"Karim."
"Karim Benzema ke?"
Abdillah berseloroh.
Karim tertawa kecil.
"Ada lah bau-bau bacang."
Karim tidak mahu kalah. Abdillah pula yang tertawa.
"Karim, anda ada masa sikit?"
Karim tidak menjawab. Tapi bahasa tubuh badannya mengiyakan pertanyaan Abdillah.
"Saya ada satu produk yang saya nak kongsi dengan anda Karim. Produk baaaaiiikkk punya! Saya jamin, kalau anda bagi saya sikit masa, sikiiiit je pon jadilah, hidup anda akan berubah lepas ni. Ada bran? Hehe."
Ada sesuatu pada Abdillah yang menarik perhatian Karim. Dia tersenyum dan mengangguk perlahan. Lampu hijau untuk Abdillah meneruskan.
"Alhamdulillah. Baik, bismillah."
Abdillah membetulkan tempat duduknya. Dia benar-benar teruja. Dalam tempoh seminggu ini, itulah pertama kali dia betul-betul dapat menerangkan tentang produknya itu. Semua orang yang didekatinya sebelum ini awal-awal lagi sudah menolak tawarannya.
Tipulah kalau Abdillah tidak berdebar-debar. Tidak rasa cuak. Jauh di dalam sudut hatinya, dia sudah bersedia andai Karim menolak tawarannya nanti. Sekurang-kurangnya dia sudah diberi peluang untuk menjelaskan. Itu sudah cukup bagus. Tersangat bagus.
"Begini Karim.
Produk yang saya nak jual ni, sebenarnya anda dah tahu pon selama ni. In fact, hampir semua orang kat luar sana dah tahu pasal produk. Bezanya, ramai yang tak perasan atau tak tahu keistimewaan produk ni. Produk ni jadi watak pipih je dalam kehidupan seharian kita. Produk ni dipandang sepi. Kadang-kadang tu disepak-sepak, dibuang ke longkang. Hm.
Jadi, apa yang saya nak buat hari ni adalah saya nak kongsikan dengan anda Karim, apa hebatnya dan istimewanya produk saya ni."
Karim mengangguk-angguk.
Apalah mamat ni nak jual agaknya.
"Produk yang saya nak kongsikan dengan anda Karim adalah..."
Abdillah membuka beg kulit silangnya dan mengeluarkan sesuatu. Al-Quran.
"Islam. Ya, Islam."
Mata Karim sedikit terbeliak. Tidak disangkanya yang al-Quran yang akan dikeluarkan Abdillah dari begnya. Disangkanya ubat-ubatan herba atau sejenis alatan elektronik atau kad topap. Tapi al-Quran? Dan Islam? Sukar sekali diotakkannya.
"Anda mesti tahu kan Karim, umat Islam pada hari ini adalah umat yang paling tertindas sekali di seluruh dunia. Jumlah kita ramai, menghampiri 2 bilion. Malangnya, jumlah yang ramai itu tidak memberi apa-apa makna. Nabi SAW pernah bersabda..."
Terkumat-kamit mulut Karim berselawat tatkala mendengar nama junjungan mulia itu."
"...akan tiba suatu zaman di mana kita akan dikerumuni, diserang oleh musuh-musuh ibarat orang yang lapar mengerumuni dulang makanan. Sedangkan jumlah kita ramai ketika itu. Tapi kata Nabi, nilai umat Islam ketika itu adalah seperti buih di lautan sahaja. Buih Karim, buih!"
Abdillah sudah mula mahu naik syaikh. Baru masuk satu hadith.
"Tengok Palestin. Sejak dahulu lagi krisis Palestin-Israel tak sudah-sudah. Semakin lama, semakin kritikal. Seperti tiada penyelesaiannya. Tengok pula Syria. Dah berapa ramai terkorban di sana? Dah berapa banyak nyawa anak-anak kecil dan wanita-wanita ibu-ibu dan kakak-kakak kita yang menjadi mangsa? Tengok Mesir! Tengok Sudan! Tengok Somalia! Kashmir! Myanmar! Chechnya!
Dan apa kita buat di Malaysia ni Karim? Apa yang kita buat untuk bantu mereka ni??"
Meremang bulu roma Karim. Dia macam tak percaya, Abdillah yang tadinya disangka seorang yang malu-malu boleh berubah menjadi sebegitu bersemangat.
Mungkin menyedari yang Karim sedikit terkejut dengan gayanya, Abdillah memperlahankan nada suara dan melembutkan itonasinya.
"Macam mana kita boleh jadi begini Karim? Kita, yang suatu dahulunya pernah menakluk dunia, pernah digeruni dan ditakuti oleh musuh-musuh kita, yang pernah mencapai suatu ketamadunan yang tiada tolok bandingnya, kini at our enemies' mercy. Macam telur di hujung tanduk!
Dan kita sepertinya merelakannya! Merelakan diri dihenyak, dibantai dan dihina sebegitu rupa. Tengok sahaja anak-anak muda seagama dan sebangsa dengan kita Karim. Mereka lebih suka berpeleseran dari mengaji al-Quran. Mereka lebih suka lepak-lepak di karaoke dan panggung wayang dari belajar agama dan menyampaikan risalahNya. Lagi suka layan drama Korea dan dan Encik Suami yang macam-macam spesis tu, daripada melayan manusia yang sudah tenat di luar sana! Allahu."
Karim hampir mahu tergelak. Teringat dia pada Suamiku Encik Sotong.
"Zina, dadah, arak apa tu semua, dah macam takde apa dah! Lelaki perempuan bertepuk tampar bergaul mesra, itu semua perkara biasa. Gay, lesbian, mak nyah, dah macam norma dalam kehidupan.
Dan umat kat luar sana tu tengah terkapai-kapai, tercungap-cungap, lemas dalam laut kezaliman taghut dan jahiliyyah, menanti-nanti adiwira untuk menyelamatkan mereka. Dan kita boleh duduk rilek tak buat apa?? Kegilaan apakah ini Karim??"
Wajah Karim berubah. Keningnya terangkat. Dahinya berkerut. Abdillah tahu yang jeratnya sudah mengena.
Abdillah memegang erat bahu Karim. Salah satu teknik pemasarannya.
"Sebab tu Karim, kita kena kembali kepada Quran. Kembali kepada solusi yang sebenar; Islam. Takde cara lainlah. Takde solusi lainlah. Islam sahajalah satu-satunya jalan penyelesaian untuk semua kemelut ini.
Allah sebut di dalam Quran, Karim. Dia akan menangkan kita, umat Islam. Tiada keraguan lagi. Tapi dengan satu syarat, kita kena menangkan agamaNya dulu. Kita tolong Allah, Allah akan tolong kita!"
Abdillah menarik nafas. Dia sudah bersedia untuk menyampaikan kata-kata penutup.
"Maka... Saya nak ajak anda, jomlah kita sama-sama kembali kepada Islam, satu-satunya cara hidup yang diredhaiNya. Tak cukup dengan itu, saya nak ajak anda Karim, untuk sama-sama menyebarkan risalah ini. Saya memerlukan anda. Ummah ini memerlukan anda."
Abdillah memandang tepat pada wajah Karim.
"Bagaimana? Sudikah anda berjual-beli dengan Allah, untuk barang niaga yang tiada tolok tandingnya ini?"
Karim terkebil-kebil. Dia masih lagi tidak percaya dengan apa yang sedang berlaku padanya.
***
"Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah kamu Aku tunjukkan suatu perdangan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih?(Iaitu) kamu beriman kepada Allahd an RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagikamu jika kamu mengetahui."
[as-Saff, 61:10-11]
-gabbana-
Ramadhan semakin hampir mahu meninggalkan kita. Adakah kita makin menghampiri taqwa, atau sebaliknya..?
5 Caci Maki Puji Muji:
nice business!
saya agak abdillah nak promote ramadhan rupa rupa nya islam. Allahu. memang takde jalan lain dah nak selamatkan ummah pada zaman nih kecuali kembali pada jalan Allah.
rasa di tampar tampar T.T
Ma Sha Allah.
jual beli yang sebenarnya menguntungkan umat islam..
tiada jalan lain.Inilah jalannya.
COME BACK TO ALLAH.
Terbaik !
.
Kembali semula kepada Nya .
Ohsem:)
Post a Comment