23 May 2014

Siddratul Muntaha Aku Datang (Lagi)!

[Kredit]

Maha Suci Allah yang memberikan kekuatan (qawiyyah) dan kemahuan (iradah) kepada saya untuk menyambung perkongsian tadabbur surah al-Isra' ayat satu, selanjutnya menyambung pengembaraan kita dalam menyelami ruh dan ibrah peristiwa Isra' wal Mi'raj.

Tarik nafas. Baiklah.  

Ayuh kita sambung semula. 


سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ 

"Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya di malam hari, dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesunggunya Dia Maha Mendengar, Maha Melihat."
[al-Isra', 17:1]


Kita sudah pon melihat apa signifikannya surah ini dimulakan dengan kalimah suci 'subhanallah.' Ia membersihkan dan menyucikan Allah daripada sifat-sifat mustahil yang tidak mungkin boleh diasosiasikan denganNya.

Dan dengan kudrat dan iradahNya, Dialah "...yang telah memperjalankan hambaNya di malam hari, dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah kami berkahi sekelilingnya..." Ia adalah suatu bentuk proses; proses tarbiyah yang perlu dijalani baginda SAW.

Untuk apa?

"...agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda (kebesaran) Kami."

Nah, perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dalam satu malam itu, bukan semata-mata mahu menghiburkan hati baginda yang gundah gulana dek pelbagai peristiwa dan kejadian yang menekan dirinya. Namun yang lebih utama daripada itu, adalah agar Allah dapat memperlihatkan kepada baginda sebahagian tanda-tanda kebesaranNya. 

Satu perkara yang amat menarik perhatian saya adalah bagaimana Allah memanggil Rasulullah SAW sebagai 'hambaNya' di dalam ayat ini. 

Err. Apa yang menariknya Inche gabbana..? Kan ke kita manusia ni memang hamba kepadaNya..? 

Garu-garu kepala.

Eh menariklah! Rasulullah SAW, yang merupakan kejadian paling sempurna di sepanjang zaman dan seluruh alam semesta, manusia yang paling dichentai Allah, manusia yang paling dekat denganNya itu pon, Allah menyifatkannya sebagai hambaNya. Maknanya, Rasulullah SAW itu adalah tanda aras bagi seorang hamba!

Gulp.

Anda tahu apa maksudnya itu? Sekiranya kita benar-benar mahu menjadi hamba kepadaNya, maka Rasulullah SAW adalah qudwah dan rujukan utama kita! Dialah hamba yang paling hamba di sisiNya! Dia adalah hamba yang paling sempurna pada pandangan mataNya! 

Agak-agaknya lah kan, kita ni layak dipanggil hambaNya tak kalau begitulah gayanya..? Atau tahap pencacai sahaja...?

Nanges. 

Pengembaraan baginda yang sungguh epik itu bertujuan agar Allah dapat memperlihatkan tanda-tanda kebesaranNya kepada baginda. Bukan, bukan baginda masih tidak beriman kepadaNya. Bukan, bukan juga baginda sudah futur, tidak lagi yakin dengan risalah yang dibawaNya.

Namun sepertimana Nabi Ibrahim AS yang meminta kepada Allah agar ditunjukkan kepada baginda hakikat hidup dan mati agar hatinya menjadi lebih tenang, sebegitu juga agaknya dengan perjalanan Rasulullah SAW menempuh keheningan malam, dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dan seterusnya membelah langit menuju Siddratul Muntaha - agar Allah dapat menenangkan hati baginda dan menambahkan keyakinan baginda, bahawasanya segala mehnah dan tribulasi yang sedang baginda lalui hanyalah secebis daripada perancangan Allah yang Maha Agung itu. 

Dan apakah hasilnya daripada pengembaraan baginda itu? Apakah output yang diharapkan daripada perjalanan suci itu?

"Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, Maha Melihat."

Pembumian keimanan yang jitu, bahawasanya segala sesuatu yang berlaku itu adalah dalam pengetahun, penglihatan dan pendengaranNya. Setelah melalui satu perjalanan yang cukup ajaib dan penuh keterujaan, diperlihatkan dengan sebahagian tanda-tanda keagungan dan kebesaranNya, sudah tentu hasilnya adalah keimanan yang bertambah kukuh dan ketaqwaan yang semakin mantap.

Ewah.

Apakah manifestasi kepada keimanan dan ketaqwaan yang semakin padu ini?

Perintah solat lima kali sehari itu. Yang diperoleh Rasulullah SAW ketika bertemu dengan Allah di Siddratul Muntaha.

Nah, anda sudah nampak permainannya di situ? Senyum.

Lantas, bagaimana dapat kita aplikasikan semua ini dalam kehidupan kita sehari-hari...?

Kehidupan kita ini juga merupakan suatu pengembaraan. Sejak ruh kita diciptakan sehinggalah kita akan bertemu dengan Allah nanti.

Dan sepertimana Masjidil Aqsa menjadi persinggahan Rasulullah SAW sebelum naik bertemu dengan Allah, begitu juga dengan dunia yang fana ini, menjadi tempat persinggahan kita sebelum kita mati menuju alam barzakh.

Dari Abdullah bin Umar, r.a., katanya, "Rasulullah SAW memegang bahuku lalu bersabda, 'Jadikanlah dirimu di dunia ini seolah-olah engkau orang dagang bahkan seolah-olah orang yang dalam perjalanan musafir.'"

[Hadith RIwayat Bukhari]

Lalu apa tujuan kita mengembara dan singgah di dunia ini? Sekiranya kita hidup untuk bertemu denganNya semata-mata, apalah guna kita dihidupkan di dunia?

Agar dapat Dia perlihatkan kepada kita sebahagian tanda-tanda kebesaranNya.

Untuk apa...?

Agar kita pulang bertemu denganNya, dalam keadaan iman dan taqwa. Agar kita kembali ke pangkuanNya, dalam keadaan redha dan diredhaiNya.

Tarik nafas.

Begitulah. Begitulah ibrah dan hikmah yang boleh saya kongsikan dengan anda semua, daripada sepotong ayat dari surah al-Isra' itu. Moga selepas ini, kita melihat peristiwa yang agung itu dengan kaca mata yang lebih bergaya.

Isra' wal Mi'raj bukan hanya hikayat Rasulullah SAW menaiki buraq semata. Ia bukanlah pengkisahan Rasulullah SAW naik ke langit dan melihat pelbagai fenomena mistik dan luar biasa. Bukan juga rakaman dialog antara baginda dan Jibril, Nabi Musa AS dan yang lain-lain sahaja.

Namun ia lebih daripada itu. Ia jauh lebih bermakna dan berharga daripada itu.

Ia adalah sebuah kisah agung, dirakamkan dengan rapi di dalam Quran, agar menjadi panduan kepada kita dalam kita menelusuri pengembaraan sebuah kehidupan yang panjang ini. Agar kehidupan kita bukan suatu kehidupan yang sia-sia. 

Senyum.

-gabbana-

I hope I did justice to whatever Ustaz Hasrizal had shared. Silalah tegur mana-mana yang terkhilaf dan terkurang ya?

Akan melakukan sesuatu yang gila esok. Sumpah serabut.

Doakan agar semuanya berjalan lancar!


4 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 23/05/2014, 23:45  

May Allah ease..

Anonymous 24/05/2014, 16:12  

How bout bayi yg xsmpat idup kt dunia??bayi yg xsempat merasai kebesaran Allah d dunia..adakah mereka bertemu dgn Allah dlm keadaan iman n takwa jg??

Anonymous 28/05/2014, 12:41  

serabut knape/ jgn sbb sibuk dgn buku baru jd serabut.

Anonymous 29/05/2014, 15:08  

Salam wahai jiwa yg tenang.
Hamba nk bertanya,berjumpa Allah di sidratul muntaha?jadi Allah itu bertempatlah ? :)
Dan adakah jasad nabi yg berjumpa?

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP