11 February 2014

Siapa Gila?

[Kredit]

Zairi menggeleng melihat rakan sekerjanya, Fauzi yang kelihatan penat tidak bermaya. Lesu. 

"Ji, kau ada usrah ek semalam...?"

Fauzi mengangkat kepalanya. Dia tersenyum. Lantas dia mengangguk perlahan. 

Zairi menggelengkan kepalanya.

"Aku bukan apa Ji. Aku kesian la tengok kau ni. Hari-hari datang kantor, nampak lugu je. Macam biskut meri lepas cicah teh."

Fauzi tertawa kecil. Dia sudah dapat mengagak apa yang akan keluar daripada mulut Zairi selepas itu.

"Kau slow down la sikit buat kerja-kerja, apa, dakwah? Tarbiyah? Alah apa-apa lah. Kau tu, dibayar gaji tahu? Ada amanah kat bahu kau tu. Jangan disebabkan kau ligan nak berusrah bagai, benda yang lebih utama kau abai!"

Fauzi hanya tersenyum. Dia mengangguk-angguk. Tidak disangkanya pagi-pagi sebegitu dia sudah terpaksa mendengar bebelan Zairi. 

"Macam orang gila aku tengok kau. Habis kerja je, terus bergegas entah lesap ke mana. Balik rumah agaknya pukul berapalah tu. Datang kantor, ha macam ni lah, aku tengok pon tak semangat! Sampai bila kitaran ni nak berterusan Ji...??"

Leher Fauzi terasa panas. Dia cuba menahan sabar. 

"Zairi, aku nak tanya kau something boleh?"

"Ha, apa dia..? Kau nak tanya aku tips-tips nak jadi pekerja cemerlang serba bidang ke..? Hehe."

Zairi tersenyum sinis. Fauzi hanya tersengih. 

"Kau selalu habis kerja jam berapa?"

Zairi mengangkat keningnya. Matanya tersenyum. Jelas, dia suka dengan soalan itu.

"Tengoklah. Kalau hari tak sibuk, lepas Maghrib macam tu, aku ciao lah. Kalau hari sibuk, hmm, kadang-kadang tu sampai kol doblas jugak lah."

Zairi tersenyum. Puas. 

"Ok. Lepas kerja kau buat apa?"

"Hmmm. Kalau balik awal, aku gi gym ke. Tak pon dinner dulu dengan bini aku. Kalau balik lambat, sampai rumah terus pengsan. Haha."

"Hari-hari macam tu..?"

"Depends la. Kadang-kadang tu ada jugak tengok movie. Midnight. Tapi generally macam tu ah."

Fauzi menggangguk-angguk.

"Then, hujung minggu kau buat apa pulak?"

Eh mamat ni, banyak pulak tanya. Getus hati Zairi.

"Jalan-jalan. Pergi cari makan. Keluar tengok movie. Bowling. Shopping. Kadang-kadang tu dok rumah je. Tengok la. Tengok mood."

"Dan setiap hujung minggu begitu..?"

Zairi mengerut dahinya. Dia dapat menghidu sesuatu.

"Err.. Haah la kot."

"Ok sekarang aku pulak nak tanya..."

Berdebar-debar hati Zairi.

"...sampai bila begitu? Sampai bila kitaran hidup kau tu nak berterusan..?"

Fauzi tersenyum dan menyambung kerja-kerjanya.

*** 

Pada suatu malam, seorang wanita kurang siuman kelihatan mundar-mandir berhampiran sebuah gerai nasi lemak ayam kampung goreng panas. Kelihatan beberapa orang pelanggan berasa tidak selesa dan jijik dengan kehadiran orang tidak siuman itu.

Dengan bajunya yang compang-camping, rambutnya yang berserabai, kakinya yang keras berkematu dan baunya yang busuk, kemudian digantung pula entah bermacam alatan pelik di sekeliling badannya, tiada siapa yang mahu mendekati wanita itu. 

Wanita itu kelihatan lapar. Dan lesu. Dia hanya mampu merenung manusia-manusia yang asyik menikmati nasi lemak mereka. 

Tiba-tiba datanglah seorang lelaki berusia lingkungan 30-an mendekatinya. 

"Makcik, makcik jangan duduk dekat sini boleh tak. Makcik duduk jauh-jauh. Nanti ganggu para pelanggan saya ni. Nah, amiklah nasi lemak ni."

Wanita itu merenung tajam lelaki si pemilik gerai.

"Eh suka hati akulah nak duduk mana. Apa bumi ni kau yang punya?"

Lelaki itu terkejut dengan jawapan wanita itu. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Makcik jangan macam ni makcik. Dosa tahu kalau makcik ganggu ketenteraman orang lain."

"Dosa? Apa? Dosa? Heii aku ni orang gila, buat apa-apa pon tak berdosa! Kau tahu apa yang dosa? Tu ha, kelab malam dan disko tu! Kau tahu apa yang dosa? Kau orang sedap-sedap makan nasi lemak kat sini, kau orang tengok je depa tu terkinja-kinja minum arak segala! Kau tahu apa yang dosa? Kau orang seronok-seronok ratah ayam goreng dan biarkan orang macam aku ni kelaparan dahaga!"

Wanita itu berlalu pergi dengan bungkusan nasi lemak di tangannya. Lagu Rihanna 'Shut Up and Drive!" sayup-sayup kedengaran dari jauh.  

*** 

Tersebutlah kisah di sebuah kota, ada seorang lelaki yang gila kerana dahulunya tertekan dek belajar di sekolah agama. Lelaki ini akan berjalan mengelilingi kota sambil melaung-laungkan tazkirah dan ceramah agamanya.

Orang selalunya tidak akan mempedulikan dirinya. Namun tidak kurang yang mentertawakannya. Malah ada yang mencemuh dan kadangkala itu, bertindak keterlaluan dengan membaling batu atau sepatu kepadanya. 

Suatu hari, ada seorang musafir yang singgah di kota itu. Dia bercadang mahu bermalam di kota itu sambil mempersiapkan bekalannya untuk menyambung perjalanannya nanti. 

Awal-awal lagi dia telah diberi amaran oleh penduduk kota itu supaya tidak mendekati orang gila itu. Kata mereka, orang gila itu mungkin akan membahayakan dirinya.

Dek terdorong oleh rasa ingin tahu yang amat kuat, si musafir pon pergilah mencari lelaki gila yang dimaksudkan. Ditakdirkan, ketika itu lelaki gila itu sedang galak dan rancak menyampaikan ceramahnya pada para pendengar halimunan yang ghaib dan tidak kelihatan.

Tanpa berfikir dua kali, si musafir pon datang dekat kepada lelaki gila itu dan duduk di hadapannya. Dia khusyuk sekali mendengar ceramah dan tazkirah yang disampaikan oleh lelaki gila itu.

Orang ramai yang melihat gelagat lelaki asing itu berasa aneh dan hairan. Ada yang menggeleng-geleng kepala, berasa kasihan kerana sangka mereka, rupa-rupanya si musafir itu juga gila! Beruntunglah lelaki gila itu kerana akhirnya, dia ketemu seorang teman yang dapat memahami dirinya.

Si musafir itu terus mendengar celoteh dan kata-kata si lelaki gila. Kadangkala dia tertawa mendengar jenaka si lelaki gila. Kadangkala dia mengangguk-angguk. Kadangkala dia menggeleng-geleng pula. Dan sekali dua, dia mengelap air mata yang tumpah membasahi pipinya. Pendek kata, dia benar-benar menumpukan sepenuh perhatian terhadap segala apa yang dikatakan si lelaki gila!

Usai ceramah, si lelaki gila beredar pergi. Datanglah dua tiga orang penduduk kota mendekati si musafir, ingin tahu mengapa dia sanggup menjadi pendengar setia si lelaki gila.

Si musafir hanya tersenyum, Namun, ada riak kesal pada wajahnya. 

"Kalaulah orang yang gila sebegitu bersungguh-sungguh dan semangat untuk berdakwah, untuk memberi nasihat, untuk menyampaikan apa yang dia tahu, kita yang kononnya tidak gila ini bagaimana...?

Saya pon tak pasti siapa yang gila sebenarnya."

Maka berlalu pergilah si musafir meninggalkan para penduduk kota itu terpinga-pinga.

***

Rasulullah SAW dahulu pon digelar gila. Mengapa? Kerana baginda berjuang menentang arus perdana. Kerana baginda yang seorang itu, mahu melakukan kerja-kerja pengislahan dan pembaikan yang tidak terfikir oleh mana-mana manusia.  Dan kerana kalimah 'La ilaha illallah' yang agung itu begitu ditakuti dan dibencii oleh masyarakat sekelilingnya.

Baginda gila pada manusia. Namun tidak sekali-kali gila pada mataNya.

"Nun. Demi pena dan apa yang mereka tuliskan, dengan kurnia Tuhanmu engkau (Muhammad) bukanlah orang gila."
[al-Qalam, 68:1-2]

Dan kerana 'kegilaan' baginda SAW dan para sahabat yang tidak pernah kenal erti penat, lelah, malu dan berputus-asa, nur Islam itu akhirnya sampai kepada kita. Dek mereka yang gila gila bekerja mahu menyebarkan agama itulah, kita pada hari ini dapat mengecapi nikmat Islam dan iman. 

Biarlah gila pada mata-mata jahat yang jahil dan dengki. Biarlah kita gila dan tidak siuman pada mata-mata manusia yang tidak memahami.

Asal kita ini makhluknya yang berjiwa hamba di hadapanNya. Dan asal kita ini manusia yang dipandang penuh chenta olehNya.

Senyum.

[Kredit]

-gabbana-

Nah, bacaan tambahan: Ini Gila!
  

9 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 11/02/2014, 11:12  

Nak jd gila

Unknown 11/02/2014, 11:45  

:) yes gila dalam berdakwah itu terbaik thumbs up apg..

Anonymous 11/02/2014, 14:44  

Allahu..siapalah yang gila sebenarnya.*airmatamenitislaju*

Anonymous 11/02/2014, 21:55  

Dakwah anda berjaya bila org mula menggelarkan anda pelik atau gila.. betulker?

Unknown 11/02/2014, 23:47  

gila thorrbaek.. jalan ini bukan mudah

Anonymous 12/02/2014, 08:45  

jalan dakwah tidak dtaburi dengan bunga2..smoga dpermudah n dtetapkan hati2 da'ie utk trus bjuang..

Anonymous 24/02/2014, 14:45  

subhanallah...

Syah 24/02/2014, 23:30  

pergi kerja dengan attitude cmtue, lesu, tak bermaya..dan bila ditanya kenapa, sebab usrah sebab urusan dakwah dan tarbiyah..tak ke lagi menambah fitnah kepada agama?

Anonymous 02/04/2014, 11:07  

jujurnya, bila melaksanakan kedua duanya ...kerja mantap, buat dakwah dan usrah lagi ..subhanallah penat....tapi penat kerana mungkin mengharapkan penghargaan manusia....even kalau tak buat dakwah pun tapi buat kerja mntap pun penat jua ..kerana lagi sekali penghargaan manusia....jika penghargaan Allah mungkin tidak sepenat ini......kerana penat ini la jua membawa aku kejalan lain....jalan dakwah insyaAllah

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP