21 January 2014

Mujahadah Itu Tidak Selazat Kek Lapis Sarawak

[Kredit]

Mujahadah.

Pertama kali saya benar-benar menghargai erti perkataan ini adalah selepas saya menyertai gerabak tarbiyah dan dakwah. Sebelum itu mujahadah hanyalah satu perkataan Arab yang ada dimuatkan di dalam buku-buku teks Pendidikan Islam.

Satu perkataan, tapi cukup bermakna.

Satu perkataan, namun cukup berkuasa.

Satu perkataan, tapi dapat merungkaikan segalanya. 

Sekiranya ada yang bertanya kepada saya, apakah elemen terpenting untuk menjadi seorang dai'e ilallah, tanpa ragu-ragu dan kompromi lagi saya akan katakan: MUJAHADAH. 

Malah saya yakin, sekiranya Wonderpets berbulatan gembira dan menyertai konspirasi tarbiyah ini, mereka juga pasti akan bersetuju dengan saya: "Apa yang penting? Mujahadah!" Wahahaha. 

Mengapa?

Kerana untuk ikhlas itu memerlukan mujahadah.

Untuk faham itu memerlukan mujahadah.

Untuk meninggalkan jahiliyyah itu memerlukan mujahadah. 

Untuk membawa bulatan gembira itu memerlukan mujahadah.

Untuk istiqamah dalam tarbiyah dan dakwah itu memerlukan mujahadah. 

Pendek kata, hampir segala-galanya dalam tarbiyah dan dakwah itu memerlukan mujahadah. 

Nah, apa pengertian mujahadah?

Jika ditanya pendapat saya, tiada perkataan dalam Bahasa Melayu yang benar-benar menggambarkan mujahadah. Benar, ia diterjemahkan sebagai bersungguh-sungguh. Namun pengertiannya lebih besar daripada itu. Erti mujahadah itu jauh lebih signifikan dan bermakna daripada sekadar bersungguh-sungguh.

Mujahadah bermakna berkorban segala apa yang ada pada diri kita. Mujahadah beerti bersungguh-sungguh dengan segala daya upaya untuk mencapai sesuatu. Mujahadah bermaksud sanggup mati dan menggadaikan jiwa hanya kerana mahu mengejar impian dan tekad.

Kerana itu saya berani kerat jari untuk mengatakan, tarbiyah dan dakwah itu hilang maknanya tanpan elemen mujahadah ini. Mana-mana ikhwah atau akhawat yang lemah, longlai, sayur, biskut meri dan gemok untuk bermujahadah, akan mendapati dirinya semakin tertinggal di belakang dari gerabak yang bergerak laju ini.

Suatu ketika saya pernah ditanya, bagaimana saya sanggup untuk mengembara begitu jauh semata-mata mahu membawa bulatan gembira di Kolej Maha Busy dahulu. Err, tidaklah jauh mana pon, tetapi mungkinlah sedikit jauh daripada standard biasa. Hampir-hampir dibenarkan untuk jamak dan qasar solat jugalah. Eheh. 

Jawapan saya mudah: mujahadah. Ok klise. Wahahaha. Tetapi benar, saya tidak punya jawapan yang lain melainkan mujahadah. Tanpa mujahadah, saya tidak mungkin mampu untuk memandu sebegitu jauh, pulang lewat di tengah malam bertemankan pokok-pokok kelapa sawit di kiri dan kanan jalan dan makcik berbaju putih yang menjual nasi lemak kukus di tepi jalan. Eh. Tanpa mujahadah, saya tidak mungkin sanggup untuk berbelanja besar untuk duit minyak dan tol. Tanpa mujahadah, saya tidak mungkin cukup kuat untuk bergegas membawa bulatan gembira selepas habis bekerja dan bertarung pula dengan kesesakan di jalan raya.

Hanya dengan mujahadah sahaja saya mampu untuk melakukan itu semua. 

Malah saya berasa berat sewaktu saya terpaksa melepaskan bulatan gembira yang saya bawa di kolej itu. Kerana sudah 'hilang' satu elemen mujahadah saya. Mujahadahlah yang menjadikan saya bertenaga. Tidak perlu minum Livita atau Kerbau Merah, apatah lagi Kopi Jantan. Err. Mujahadahlah yang buatkan saya teruja untuk bertemu dengan hadek-hadek bulatan gembira. Dan mujahadahlah yang menghidupkan jiwa saya. Senyum.

Pernah suatu ketika, hadek-hadek pulang bercuti ketika itu. Atas kesedaran untuk memastikan tarbiyah mereka sentiasa berjalan hatta ketika cuti, kami telah membuat bulatan gembira atas talian (Baca: Usrah online). Masha-Allah, betapa 'syok'nya bulatan gembira atas talian ini! Saya mengendalikan bulatan tersebut dengan duduk di atas katil dengan pendingin hawa yang terpasang. Kadangkala itu bercakap sambil tutup mata kerana mengantuk. Dan usai sahaja bulatan gembira, tutup laptop dan bam! Boleh terus berbaring dan tidur!

Menyeronokkan bukan...? Peluh besar. 

(Nota: Tidak berniat untuk memperkecil atau mempersenda para murabbi di luar sana yang membawa bulatan gembira di atas talian. Saya hanya mahu berkongsikan perasaan dan pengalaman saya ketika itu.)

Dan saya juga perasan, ketika mana saya malas untuk bermujahadah, malas untuk memandu jauh-jauh semata-mata kerana mahu menghadiri suatu program tarbiyah, kedekut untuk mengeluarkan infaq hanya kerana merasakan saya memerlukan wang itu, tidak segera menyahut tawaran untuk membantu ikhwah, gemok untuk turun padang bermuayasyah dengan hadek-hadek, berat mata untuk bangun solat malam dan sebagainya, ketika itu entah mengapa, saya dapat merasakan seolah-olahnya hati saya kotor dengan bintil-bintil hitam. Terasa seperti lebih dekat dengan jahiliyyah dan jauh daripada hidayah.

Tunggu sebentar. Saya mahu buat lompatan tiruk ke dalam gaung. 

Lantaran itu, mujahadah itu juga bermakna, kita perlu memaksa diri kita meskipon kita tidak menyukainya. Kita perlu menolak kuat dan menyebat diri kita, agar kita melakukan perkara-perkara di luar zon selesa kita. Dan kita perlu melatih diri kita untuk membiasakan diri kita dengan kesusahan dan kepayahan.

Kerana akan tiba suatu hari nanti, apabila mujahadah kita akan benar-benar diuji. 

Apabila kita telah berkahwin nanti *batuk berdarah* adakah kita sanggup meninggalkan isteri terchenta kerana memenuhi tuntutan dakwah?

Apabila kita sudah punya anak yang comel-comel dan gebu-gebu nanti, adakah kita sanggup melepaskan keseronokan mendukung, mencubit pipi dan bermain sep-sep dengan mereka hanya kerana terpaksa menyertai konferens riang?

Dan apabila seruan jihad yang sebenar nanti dipalu, di mana ketika itu kita terpaksa mengangkat senjata dan meninggalkan segala-galanya - harta, kereta, isteri, anak dan kerjaya - tanpa jaminan yang kita akan kembali bernyawa... Sanggupkah kita...? 

Pandang ke langit. Air mata tumpah bercucuran.

Kerana itu, mujahadah adalah jihad yang paling hampir dengan diri kita. Mujahadah adalah jihad yang paling dekat di hati. 

Andai mujahadah itu tidak kita semaikan di dalam diri kita, tidak kita latih dan terapkan setiap masa dan ketika, maka hilanglah makna dan kelazatan sebuah perjuangan. Lahirlah sekumpulan para dua't yang manja, gemok dan sering merengek apabila dijentik. 

Dan hanya selepas kita menjiwai dan menghayati erti mujahadah yang sebenar, hanya selepas kita bersungguh-sungguh, berkorban segala-galanya demi menggapai redhaNya, baharulah kita dapat memaknai ayat chenta sakti yang satu ini:

"Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, Kami akan tunjukkan mereka jalan-jalan Kami. Dan sungguh, Allah beserta orang-orang yang berbuat baik."
[al-Ankabut, 29:69]

Nanges.

Ya, mujahadah itu payah, namun kepayahan itulah yang menghidupkan.

Ya, mujahadanh itu susah, namun kesusahan itulah yang menyegarkan.

Ya, mujahadah itu sakit, namun kesakitan itulah yang memberi kelazatan kepada sebuah keimanan

Ya, mujahadah itu perit, namun keperitan itulah yang memberi makna kepada erti sebuah perjuangan.

Ya, mujahadah itu pahit, kerana sorga itu manis.

Senyum.

-gabbana-   

20 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 21/01/2014, 16:33  

jzkk. entri yang sangat tepat pd masanya utk saya T_T

Anonymous 21/01/2014, 16:47  

Kolej Maha Busy? Kelapa sawit? Makcik jual nasi lemak kukus? Macam tahuuu je. Btw, i like your writing :)

Princess Mos 21/01/2014, 16:51  

ana rasa nak buat kek lapis sarawak pun perlu mujahadah. baru la sedap.

lagi2 kalau utk adik2 bulatan gembira aka mad'u juga.

mujahada+ikhlas=nikmat n sedap. mcm kek lapis sarawak.

Anonymous 21/01/2014, 17:18  

mujahadah yang menyakitkan..terlalu sukar hendak digapai..insyaAllah tak akan berhenti mencuba

THE KEHALUSAN KELEMBUTAN 21/01/2014, 18:27  

Allahu. nangis..
lemah sgt! .
terima kasih berkongsi entry ni.
moga Allah redha

Ana Syazziana 21/01/2014, 18:39  

Thanks for this entry.. tertampar diri sendiri dengan dasyatnya.. huhu.. kerana tepat pada masanya ketika membaca entri ini saya merasa diri saya kini seolah-olah ditinggalkan dan terjatuh dari gerabak.. Ayuh diri ini bangkit dan kejar semula.. Mujahadah!!! :)

Anonymous 22/01/2014, 02:18  

terkena pada diri saat yang tepat..jazakallah

Anonymous 22/01/2014, 09:20  

Apa beza mujahadah dengan tsabat???

Inche gabbana 22/01/2014, 10:11  

Enonimus: Mujahadah tu bersungguh-sungguh) seperti yang diterangkan di dalam entri), sedangkan tsabat itu tetap teguh, i.e. istiqamah.

Allahu a'lam.

Anonymous 22/01/2014, 18:20  

"Mujahadah itu pahit kerana syurga itu manis."

Dah lama dengar ayat ni, tapi sayang,diri sendiri masih bertatih utk bermujahadah. Thanks for the wonderful entry. :')

Anonymous 22/01/2014, 18:36  

Mujahadah memang payah kan?
Terutama bila hati ini terlalu cepat berbolak balik.
Inche gabbana ada tips utk teguhkan hati?

Anonymous 22/01/2014, 20:28  

Baca novel, ada mention psl mujahadah. Bce blog inche, pun ada mujahadah jugak... koinsidens apakah ini... T.T

Anonymous 23/01/2014, 03:46  

Terasa *dush dush (kene lempang) pulak bile I.G sebut pasal perasaan malas, longlai, sayur dan sekut meri. Nak kene ambil kuasa mujahadah ni..
p/s thanks for adding a new word into my dictionary.

dira 24/01/2014, 14:50  

Berpenat penat di jalan Allah ini sangat membahagiakan, kan? ^^

Miss Adibah 29/01/2014, 13:10  

penat di dunia sahaja, akhirat nanti berehatlah buat selamanya. jzkk 4 the entry.

Anonymous 30/01/2014, 00:59  

Huuhhh, ntah laa...rse lemah sangaddd skrg.., ya Allah, pelihralh nadi kami utk sntiasa mngingatiMu, peliharalh hati kami utk sntiasa briman padaMu...btw, thanksss for this entri...^_^

Anonymous 03/02/2014, 19:05  

Speechles . :')

Sirrul Asrar 13/02/2014, 12:42  

eheh. teringin pulak nak tengok kartun wonderpets versi islamik yg sikit2 menyanyi.. apa yang penting? muja.. hadah!..

comel..comel..

Anonymous 04/04/2014, 22:07  

Mohon share ye.

Anonymous 02/05/2016, 01:17  

Ya Allah...
aku hilang dalam mencarimu
makin bertambah kesesatanku
Ya Allah...
tunjukilah aku jalan yang lurus
jalan yang membawa ke syurgaMu
jalan yang Engkau redhai
Ya Allah...
rintihan ini
dari seorang hamba yang tak punya apa

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP