5 July 2013

Bebelan Tarbawi Di Petang Hari

[Kredit]

"Ya Allah, apalah salah aku, sampai hati Kau buat aku macam ni. Aku dah usaha sungguh-sungguh, tapi kenapa still keputusan hekzem aku kantoi..? Apa yang dah aku buat sampai Kau balas aku macam ni..??"

"Ya Rabb! Kenapa Kau seksa aku macam ni..? Aku dah solat. Aku puasa penuh. Zakat pon aku bayar! Tapi kenapa Kau rampas dia daripada aku?? Kau pon tahu betapa sayangnya aku pada dia kan...??"

"Wuwuwu. Aku rasa aku dah cukup jujur dah dalam berniaga. Tak rasuah. Tak menipu. Tapi masih rugi lagi dalam perniagaan. Mengapa macam ni ya Allah? Orang lain yang main kotor, ikut jalan bawah, untung bagai nak gila. Di mana keadilan Kau ya Tuhan??"

Anda biasa dengan perbualan seperti di atas..? 

Bila senang, bukan main lagi gembira. Tatkala sihat, bukan main lagi teruja. Di masa kaya, bukan main lagi tersenyum hingga ke telinga. 

Namun apabila Allah cuit sedikit, Allah cubit dan cucuk, nak uji kesetiaan hamba-hambaNya, kita melatah. Kita gundah. Kita resah.

Rupa-rupanya Allah sudah pon rakamkan golongan manusia sebegini di dalam al-Quran. Ada banyak tempat dalam al-Quran yang Allah sebut pasal manusia spesies yang satu ini. Salah satunya dalam surah al-Ankabut, Allah berfirman:

"Dan di antara manusia ada sebahagian yang berkata, 'Kami beriman kepada Allah,' tetapi apabila dia disakiti (kerana dia beriman) kepada Allah, dia menganggap cubaan manusia itu sebagai siksaan Allah. Dan jika datang pertolongan dari Tuhanmu, nescaya mereka akan berkata, 'Sesungguhnya kami bersama kamu.' Bukankah Allah lebih mengetahui apa yang ada di dalam dada semua manusia?"
[al-Ankabut, 29:10]

Shhreettttt. Err. Apa yang terkoyak tu?

Ikhwatil kiram,

Kebanyakan daripada manusia sememangnya begitu, termasuklah kita. Apabila gerabak tarbiyah dan dakwah ini diuji, pantas kita menuding jari kepada Tuhan, kononnya Dia tidak mempedulikan rintihan dan aduan kita. Apabila kita disakiti hanya kerana kita mahu menegakkan al-Haq, terus kita menuduh Allah tidak menyebelahi kita. Dan tatkala cubaan bertubi-tubi datang menimpa, kita mudah berprasangka pada Allah kononnya Dia tidak sayang dan chenta kepada kita.

Allahu. Hamba jenis apa kita ini ya..? 

Dan apabila bibit-bibit kemenangan mula menyinari para pejuang agama ini, ketika itulah kita terhegeh-hegeh mahu bersama-sama mereka. Apabila sudah jelas yang taghut dan jahiliyyah mula melemah dan akan dikalahkan, ketika itulah kita berlari-lari mahu menjadi sebahagian daripada mereka. Dan apabila sudah ketara yang Islam akan kembali tertegak di muka bumi ini, ketika itulah kita baharu yakin yang janji Allah itu benar.

Pppfffttt? 

Jahilkah kita, bahawa sesungguhnya jalan perjuangan ini bukan jalan yang dihampar dengan permaidani tebal tiga inci?

Butakah kita, bahawa sesungguhnya sunnah jalan ini sememangnya dipenuhi dengan duri dan kaca, darah dan luka?

Tulikah kita, bahawa sesungguhnya untuk menjadi sebahagian daripada jundiyy di atas jalan ini, cubaan dan ujian adalah resipi utama untuk berjaya?

Andai anda terlepas pandang, di dalam surah yang sama Allah ada menegaskan,

"Aliif laam miim. Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, 'Kami telah beriman,' dan mereka tidak diuji?"
[al-Ankabut, 29:1-2]

Ya, ujian daripada Allah adalah untuk menapis kader-kader dakwah supaya yang tertinggal hanyalah mereka yang benar-benar ikhlas dan tulus. Ujian berbentuk kesakitan, kesusahan dan kesengsaraan adalah sebahagian daripada cara Allah untuk menguatkan dan meneguhkan hati dan jiwa para dua't di jalan ini. Allah mahu menilai dan melihat, siapakah dalam kalangan hamba-hambaNya yang benar-benar akan setia dengan perjuangan ini sehingga ke akhirnya. 

Tunduk malu, air mata mengalir laju. 

Saya menulis post ini dengan dua perkara dalam ingatan.

Pertama, melihatkan kepada apa yang berlaku di Mesir, menjadikan saya bertambah yakin dengan ayat-ayat chentaNya. Betapa ikhwah dan akhawat di Mesir sudah mencapai satu maqam yang cukup tinggi, sehinggakan Allah menurunkan ujian yang cukup getir lagi berat buat mereka. 

Ia hanyalah suatu madrasah untuk menjadikan iman mereka lebih mantap dan kukuh. Ia seolah-olahnya adalah suatu bayangan; andai mereka dapat melalui ujian kali ini dengan penuh sabar dan redha, kemenangan yang agung akan menanti mereka. Ia adalah suatu isyarat yang Allah benar-benar sayangkan mereka.

Maka saya menjadi malu. Malu dengan diri sendiri. Malu dengan keadaan kita di Malaysia ini. Di manakah ktia jika hendak dibandingkan dengan mereka ini..?

Ya benar, ujian itu jangan dicari. Jangan minta nahas. Jangan doa untuk derita. 

Namun sudah termaktub dalam sunnatullah, betapa Allah akan menguji mereka yang Dia sayangi. Lebih berat dan sakit sesuatu ujian itu, itu tandanya lagi sayang dan rindu Allah pada merek ini. 

Ujian tidak dicari dan tidak dipinta. Ia datang sendiri. Dan ia hanya akan datang pada mereka yang sudah benar-benar bersedia. 

Dan kedua, khas buat hadek-hadek terchenta yang akan melalui hari yang cukup getir esok, hari keputusan hekzem akan keluar. Keputusan yang akan menentukan sama ada anda akan terbang atau pon tidak.

Esok akan menjadi kayu ukur kepada proses pentarbiyahan yang telah anda terima selama ini. Andai keputusan nanti tidak seperti yang anda harapkan, adakah anda akan redha kekal kool bergaya, atau nanges terguling-guling macam orang gila? Dan andai keputusan yang bakal anda terima cemerlang lagi terbilang, adakah anda akan insaf penuh kesyukuran atau tertawa gembira ala-ala watak keji dalam filem dengan penuh keangkuhan?

Saya doakan agar Allah akan berikan yang terbaik kepada anda semua. Tetapi terbaik di sisiNya, dan bukannya terbaik seperti apa yang kita pinta dan sangka. 

Ya, kehidupan kita ini penuh dengan ujian. Ia satu cubaan. Ia bakal menentukan sama ada kita sudah benar-benar beriman. 

Kerana...


"Dan sungguh, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta."
[al-Ankabut, 29:3]

Senyum.

-gabbana-

Berasa jeles tahap gaban dengan kemantapan iman dan kuatnya pergantungan kepada Tuhan para ikhwan yang ditangkap di Mesir sekarang ini. Dikisahkan bagaimana salah seorang daripada mereka yang teruja dan berasa gembira untuk disumbat ke dalam penjara, kerana katanya, sekurang-kurangnya dia dapat menumpukan sepenuh masanya untuk beribadah dan mendekatkan diri pada Allah sepanjang Ramadhan nanti. Perrgghh.

Saya masih menunggu maklumat-maklumat dan bacaan tambahan, sebelum mewarkahkan sesuatu tentang pergolakan yang berlaku di Mesir sekarang ini. Saya mahu melihatnya dalam gambaran yang lebih besar dan adil, supaya tidaklah menzalimi sesiapa nanti.

Doakan agar hasrat saya ini dipermudahkanNya. Moga Allah redha.

5 Caci Maki Puji Muji:

Qalamqudus92 05/07/2013, 17:42  

All those word are osem, wp... :'( Allah musta'an.

Hadek Bulatan Gumbira anda 05/07/2013, 18:11  

Baca ulasan Ustaz Zaharuddin. Best!

Anonymous 05/07/2013, 19:51  

erk.baca first line pn dah ketaqqq lutut. nantilah lps result lah sy baca balik.

ksalam.

hewhew.

Anonymous 06/07/2013, 09:03  

DOakn ana Spm11 A++++..;)

Anonymous 08/07/2013, 12:39  

kite same2 SPM 11A+.... Insya-Allah,, AMIN~ ^.^

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP