11 January 2013

Apa Orang Marhaen Macam Saya Fikir Tentang Politik



pol·i·tics  (pl-tks) 

n.
1. (used with a sing. verb)
a. The art or science of government or governing, especially the governing of a political entity, such as a nation, and the administration and control of its internal and external affairs.
b. Political science.
2. (used with a sing. or pl. verb)
a. The activities or affairs engaged in by a government, politician, or political party.
b. The methods or tactics involved in managing a state or government.

Politik.

Menyebut dan mendengarnya sahaja bisa membuatkan segelintir daripada kita panas punggung. 

Apa yang pertama sekali melintas di kepala anda apabila mendengar perkataan ini?

Jijik.

Kotor.

Menyampah.

Meluat.

Zalim!

Ya, mungkin itu antara beberapa perkataan yang bermain di kepala anda sedari mendengar perkataan 'politik.' Dan ya, ia mungkin tidak adil untuk menyifatkan politik sebegitu rupa, tetapi hakikatnya itulah yang sering menerobos minda rakyat marhaen seperti saya ini, setiap kali berbicara atau mendegar tentang isu politik. 

Sedih bukan...?

Namun melihat kepada senario politik di Malaysia marcapada ini, saya yakin, ramai yang akan bersetuju dengan saya seandainya saya mengatakan yang saya cukup menyampah dengan apa yang sedang berlaku di negar kita sekarang ini.

Caci-mencaci. Fitnah-memfitnah. Kutuk-mengutuk. Mengadu-domba.

Semuanya itu ibaratnya sudah menjadi resipi utama, asam garam dan perencah rasa kepada politik di negara kita. Saban hari kita akan disajikan dengan berita-berita politik yang cukup memualkan. Baik membaca surat khabar, menonton telebisen atau rujukan di internet, kita akan dihidangkan dengan menu dan juadah yang sama.

"Perbalahan antara para pemimpin Parti W: Tanda mereka tidak bersatu!"

"Wakil rakyat Z kantoi kebas bini orang!"

"Menteri Q tidak mengaku bela kambing di belakang rumah."

"Harga petrol masih rendah; berterima kasihlah kepada kerajaan!" 

"Isu nama Gautama Buddha: Orang bukan Buddha tak sepatutnya menggunakannya. Hallo, obviyes kott??"

Pffftt.   

Terbaru, kita dikecohkan dengan isu kalimah Allah. Entah mengapa, isu ini kembali menjadi panas, walhal isu ini bukan isu yang baru. Begitu juga dengan isu Amanat Haji Hadi. Amanat itu sudah pon bersawang, penuh dengan habuk dan debu. Tiba-tiba adalah makcik mana yang rajin benar nak bersihkan amanat itu dan gantung di tepi dinding!

Sebelum-sebelum ini, sudah banyak polemik dan isu yang dimainkan; krisis air Selangor, isu LYNAS yang tidak berkesudahan, isu KUIN di Kedah, siri pornografi Datuk Anwar Ibrahim, isu sekolah Cina dan Tamil dan entah beraneka tok nenek lagi isu. Dan apa cerita dengan semua isu itu kini..? Senyap. Bisu. Diam. Kebanyakannya sudah terkubur, dek tidak laku lagi untuk dijual di pasaran. 

Itulah hakikat politik, di mana-mana sekalipon. Sesuatu masalah, krisis atau polemik itu hanya akan diangkat dan menjadi popular seandainya ia bisa menjadi batu loncatan kepada mana-mana parti politik untuk meraih undi dan sokongan yang lebih besar. Ah, sudahlah. Kedua-dua belah pihak, baik pembangkang mahupon kerajaan, sama sahaja. Dua tambah lima, tujuh! Eh. 

Walhal masih banyak lagi masalah-masalah kebejatan yang perlu diberi perhatian seriyes kerana kesan jangka masa panjangnya yang lebih signifikan kepada negara. Masalah aqidah, rasuah, kemelaratan moral, kemiskinan tegar, hedonisme melampau, korupsi, homoseksual dan entah bermacam lagi masalah, seolah-olahnya disepak tepi seperti anjing kurap lagaknya. Mengapa? Kerana isu-isu ini tidak cukup panas. Krisis-krisis ini tidak cukup 'WOW!' untuk mana-mana parti politik perjuangkannya, hanya kerana undi dan sokongan yang akan diraih mungkin tidaklah seberapa mana.

Ini semua tanda-tanda yang pilihanraya semakin nak dekat! Eh.

Maka yang menjadi mangsanya adalah kita, rakyat marhaen seperti saya. Saya yang sepatutnya berpeluang menikmati taraf hidup yang lebih tinggi, terpaksa melupakannya dahulu dek kepincangan menguruskan hasil-mahsul negara. Tiada sesiapa di Malaysia ini yang sepatutnya berlaparan sehari-hari, namun itu terus berlaku kerana yang kaya terus menjadi super kaya, dan miskin terus papa kedana. Dan Malaysia yang selayaknya menjadi negara yang benar-benar aman dan damai, rakyatnya tidak mementingkan diri dan mempunyai toleransi yang tinggi, hanya tinggal sebagai impian di alam fantasi, hanya kerana materialisme dan hedonisme yang melampau-lampau diterapkan dalam segala aspek kehidupan di negara ini.
 


Ya, mangsanya adalah kita. Ibaratnya dua Unser bertembung, dan kita yang berbasikal tua ini tersepit di tengah-tengah. Konfem lah nazak masuk terus ke dalam wad kecemasan kan..? Eh. 


Ada benarnya. Gulp. [Kredit]

Alah Inche gabbana ni, bising pulak. Kira orait apa Malaysia ni. Tu, kat negara-negara dunia ketiga tu, lagi teruk kot! Cubalah bersyukur sikit! Haish. 

Anda, dalam hal sebegini penting, membuat perbandingan sebegitu bukanlah suatu tindakan yang bijak. Kita sedang bercakap tentang suatu situasi yang mana tuan direkturnya, para pelakonnya, jurukameranya, lokasi penggambarannya, penata cahayanya dan penulis skripnya, semuanya adalah kita. Kita arif benar yang perubahan yang lebih baik boleh dilakukan. Kita jelas sungguh yang dengan segala hasil-mahsul dan khazanah negara yang ada, Malaysia sepatutnya boleh pergi dengan lebih jauh. Dan kita faham betul yang segala masalah dan krisis yang ada sekarang ini punya satu solusi yang cukup mudah, namun segalanya jadi rumit dan payah dek sikap masing-masing yang terlalu asyik menjaga periuk nasi sendiri. 

Sila jangan salah faham dengan konsep bersyukur. Kesyukuran kita yang paling utama adalah kepada Allah yang mengurniakan segala-galanya kepada kita. Dan apakah cara yang lebih baik dan bergaya untuk menyatakan kesyukuran kita kepadaNya, daripada memakmurkan bumiNya ini berdasarkan prinsip-prinsip yang dituntutNya..? 

Politik telah banyak merosakkan pemikiran dan hati-hati yang bersih di negara ini. Politik kepartian terutamanya, telah menyebabkan retak yang saya kira, bila-bila masa sahaja akan terbelah. Ketaksuban yang melampau kepada dasar-dasar atau prinsip parti yang mengarut dan jelik, keobsesan tiada had kepada sesetengah pemimpin yang rosak dan ketaatan tidak berbelah bahagi kepada jentera parti yang kadangkala sesat lagi menyesatkan, telah menyebabkan kita benar-benar jauh daripada rahmat dan kasih Allah.

Nanges. 

Politik tidak sewajarnya sebegitu. Malah dalam Islam, politik (siasah) adalah salah satu cabang yang tidak boleh diabaikan dan ditolak tepi. Siasah atau politik Islam ini menuntut manusia sebagai khalifahNya di muka bumi, untuk mentadbir alam ini dengan sebaiknya, menguruskan segala khazanah kurniaanNya dengan adil dan saksama dan memastikan hukum-hakamNya dilaksanakan dengan telus dan serius.  

Syaikh Yusuf al-Qardhawi, seorang ulama' tersohor lagi tsiqah dan berkaliber, dalam makalahnya 'Fiqh as-Syiasah' menyatakan, tujuan politik dalam Islam adalah untuk '...hirasatud deen wa siasatud dunya' yakni menjaga agama dan pada masa yang sama, menguruskan dunia. Beliau juga menyebut, politik asalnya bukanlah sesuatu yang mungkar, bukanlah suatu kebejatan, malah politik dalam erti katanya yang sebenar adalah suatu amanah yang mulia, kerana ia menguruskan alam ini secara keseluruhannya dan mendekatkan manusia kepada kebaikan dan menjauhkannya daripada kejahatan.

Tidak cukup dengan itu, para orientalis Barat juga punya pandangan yang adil tentang peranan politik dalam Islam. Ya saya tahu, mengejutkan bukan..? Mari kita lihat apa pandangan mereka tentang politik dalam Islam. 

Dr. V. Fitzgerald: "Islam bukanlah semata agama, namun ia juga merupakan sebuah sistem politik. Meskipun pada dekad-dekad terakhir ada beberapa kalangan dari umat Islam, yang mendakwa diri mereka sebagai kalangan 'modernis', yang berusaha memisahkan kedua sisi itu, namun seluruh gagasan pemikiran Islam dibangun di atas fundamental bahawa kedua sisi itu saling bergandingan dengan selaras, yang tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain." 

Dr. Schacht: "Islam lebih dari sekadar agama. Ia juga mencerminkan teori-teori perundangan dan politik. Dalam ungkapan yang lebih sederhana, ia merupakan sistem peradaban yang lengkap, yang mencakupi agama dan negara secara bersamaan."

Prof. Gibb: "Dengan demikian, jelaslah bahawa Islam bukanlah sekadar kepercayaan agama individual, namun ia merealisasikan berdirinya suatu bangun masyarakat yang bebas. Ia mempunyai cara tersendiri dalam sistem pemerintahan, perundangan dan institusi."

Ok, boleh tutup mulut anda yang terlopong besar itu. Ahah.

Dalam melihat ahli politik yang boleh dijadikan contoh dan qudwah yang terbaik, jangan lihat pada Dato' Sri Najib, atau Datuk Seri Anwar Ibrahim, malah bukan juga Tuan Guru Nik Aziz. Ya, besar jasa mereka kepada negara. Dan banyak pula pengorbanan dan sumbangan yang telah mereka pamerkan demi kebaikan bersama. Malah dalam kes Tuan Guru Nik Aziz, kita akui bahawa mungkin beliaulah antara ahli politik yang paling dekat dengan kepimpinan Islam yang kita idamkan.

(Matilaaahhh lepas ni kena caci-maki dengan para penyokong tegar PAS! Ohoi!)

Namun tidak boleh tidak, kita juga terpaksa akui bahawa mereka ini juga mangsa kepada politik kepartian. Tidak boleh tidak, kita mesti melihat dengan adil bahawa mereka adalah para pemain drama di atas pentas politik Malaysia. Pada pendapat saya yang marhaen lagi hina dina ini, segala tindak-tanduk mereka adalah kesan dan hasil daripada percaturan politik di Malaysia, dan bukannya mereka yang mencaturkan perjalanan senario politik sedia ada. Reaktif, lebih daripada pro-aktif. Mereka sendiri adalah mangsa kepada suatu perangkap politik yang sangat kompleks dan memeningkan kepala.

Maka tiada insan atau figur yang lebih layak untuk kita jadikan rujukan, selain ar-Rasul Muhammad bin Abdullah SAW. Selain daripada seorang Rasul dan Nabi yang terpercaya, baginda juga adalah seorang ketua negara dan ahli politik yang cukup berkaliber, berkarisma lagi bergaya.

Sir Thomas Arnold, seorang ahli sejarah dan orientalis British menyifatkan baginda sebagai "...Nabi, pada waktu yang sama, seorang ketua agama dan ketua negara."

Juga, Professor R. Strothmann dalam The Encyclopedia of Islam menuturkan bahawa:

"Islam adalah suatu fenomena agama dan politik. Kerana pembangunnya adalah seorang Nabi, yang juga seorang politik yang bijaksana, atau 'negarawan.' 

Kejayaan baginda yang utama sebagai seorang ahli politik yang terbukti kalibernya adalah apabila baginda menyatukan kaum 'Aus dan Khazraj, dua bangsa yang saling bermusuhan sejak sekian lama. Kejayaan ini dimaniskan lagi apabila baginda mempersaudarakan pula kaum Ansar dan kaum MUhajirin, lantas membentuk sebuah masyarakat Islam yang kukuh lagi berwibawa. Kesatuan ini menyediakan platform yang kukuh ke aras memastikan kestabilan Madinah untuk jangka masa yang panjang.

Ok rasa macam menulis untuk buku teks sejarah Islam pon ada. 

Ehem.

Kehebatan baginda juga terbukti apabila berjaya menjadi pemimpin bukan sahaja untuk kaum Muslimin, malah kepada bangsa dan kaum yang lain terutamanya Yahudi dan Nasrani. Tipulah kalau segalanya berjalan lancar dan shiuhh shiuhh angin sepoi-sepoi bahasa bertiup nyaman dan bahagia. Eh. Tetapi fakta telah membuktikan bahawa baginda dengan jayanya telah mewujudkan suatu keadaan dan situasi yang kondusif, sehinggakan Madinah dapat berkembang dengan majunya dalam tempoh waktu yang singkat. 

Yang lebih menarik, semuanya ini berpaksikan aqidah yang tulen lagi benar. Tujuan sistem politik yang ada ketika itu tidak lain adalah untuk merangka suatu sistem pemerintahan dan masyarakat yang taat dan tunduk patuh kepada Allah. Dan inilah yang tiada pada sistem politik di negara kita (atau di mana-mana sahaja di dalam galaksi bimasakti ketika ini). Semenjak kejatuhan khilafah Islamiyyah pada tahuin 1924, tiada lagi mana-mana sistem pemerintahan 'negara Islam' di dunia ini yang berpaksikan kepada syariat Allah yang sebenarnya.

 Sistem sedia ada, tanpa syak lagi adalah sistem demokrasi sekular yang diwarisi daripada penjajah British. Di dalam Islam, tiada konsep demokrasi rakyat, di mana pemimpin dipilih berdasarkan undian popular majoriti. Sistem sebegini terlalu banyak kelemahan dan kepincangannya. Antara kelemahan yang paling ketara, bayangkan seandainya majoriti rakyat yang ada adalah rakyat yang chentakan hedonisme, mahukan hiburan semata dan menggalakkan pula maksiat dan kemungkaran berleluasa. Nah, bayangkan jenis pemimpin bagaimana yang akan mereka lantik..?
 
Hal ini telah disebut dengan jelas oleh Allah di dalam al-Quran:

"Dan jika kamu mengikuti kebanyakan orang di muka bumi ini, nescaya mereka akan mneyesatkan kamu dari jalan Allah."
[al-An'am, 6:116]

Dalam Islam, yang ada adalah konsep syura di mana pemimpin (khalifah) dipilih oleh Majlis Syura yang terpercaya, yang ahli-ahlinya adalah mereka yang beriman, faqih dengan sistem yang ada, mewakili sepenuhnya keperluan dan kepentingan rakyat dan jauh daripada kehendak untuk memuaskan kepentingan diri sendiri.

Ya, bunyinya ideal. Kedengarannya seperti suatu sistem yang hanya wujud di Planet Pluto bukan..? Tetapi ia pernah dilaksanakan dan tidak mustahil, ia akan ditegakkan kembali. Mengapa tidak..?


Malangnya melihat kepada senario dan situasi yang sedia ada, umat Islam tidak punya pilihan melainkan turut serta dalam sistem yang wujud kini, demi menjaga kemaslahatan yang lebih besar dan menghindari mudharat yang mungkin akan melarat. Namun untuk jangka masa panjangnya, umat Islam wajib menanam hasrat dan cita-cita untuk menegakkan kembali sistem politik Islam yang sebenarnya, yakni sistem kekhalifan yang berasaskan manhaj kenabian. 


"Telah berlaku zaman kenabian ke atas kamu, maka berlakulah zaman kenabian itu sebagaimana yang Allah kehendaki, kemudian Allah mengangkat zaman itu. Kemudian berlakulah zaman khalifah yang berjalan sepertimana zaman kenabian. Maka berlakulah zaman kenabian itu sebagaimana yang Allah kehendaki, kemudian Allah mengangkatnya. Kemudian berlakulah zaman pemerintahan yang menggigit. Berlaku zaman itu seperti yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkatnya juga, kemudian berlakulah zaman pemerintahan diktator (zaman penindasan dan penzaliman), dan berlakulah zaman itu sebagaimana yang Allah kehendaki. Kemudian berlaku pula zaman khalifah yang berjalan diatas cara hidup zaman Kenabian."
[Riwayat Imam Ahmad, Bazzar dan at-Tabrani dari Abu Hudzaifah al-Yamani]


Nah, tidak mahukah kita menjadi manusia-manusia terpilih yang menegakkan kembali manhaj kenabian di muka bumi Allah ini??

Maka di sinilah peri pentingnya tarbiyah memainkan peranannya. Bagaimana kita dapat menyedarkan masyarakat di luar sana keutamaan memilih pemimpin yang mendahulukan Islam sebelum perkara-perkara yang lain? Tarbiyah. Bagaimana kita mahu melahirkan para pemimpin yang menchentai akhirat lebih daripada poket dan perut sendiri? Tarbiyah. Bagaimana kita mahu meyakinkan orang ramai di luar sana bahawa manhaj Islam adalah sistem yang terbaik untuk mereka, bukan sahaja untuk orang beragama Islam, malah segenap lapisan manusia? Tarbiyah. 


Ya, tarbiyah!


Hal ini dihuraikan lagi oleh Syaikh Ahmad Rasyid di dalam al-Muntalaq:


"Orang Islam yang maksiat pada hari ini sebenarnya adalah mangsa pendidikan tersebut, untuk ditukarkan menjadi fasiq mulanya dan supaya mereka akan mudah dijadikan kuda tunggangan oleh para taghut tersebut akhirnya. Itu semua adalah perancangan jahiliyyah sejak dahulu lagi, diwarisi oleh taghut moden dari taghut sebelumnya..."


Dengan kata lain, para pemimpin yang fasiq akan berusaha sebaiknya untuk memfasiqkan rakyatnya, kerana rakyat yang fasiq secara otomatiknya akan memilih pemimpin yang fasiq juga! Itu sunnatullah. Itu peraturan alam! Malah ia digunakan berulang-ualang kali oleh para pemimpin zalim di masa lampau, termasuklah Firaun. Bagaimana? Dengan program-program hiburan melampau. Dengan menggalakkan fitnah dan mengadu-domba. Dengan melebarluaskan riba' dan perkara-perkara yang haram. Hingga akhirnya rakyat diikat lehernya, menjadi anjing yang hanya tahu menjelirkan lidahnya dan mematuhi setiap suruhan tuannya.
 



Nicolo Machiavelli, seorang ahli falsafah yang mempopularkan ideologi bahawa dalam politik, matlamat menghalalkan cara! [Kredit]

Maka hanya dengan seruan mengajak manusia kembali taat kepada Allah sahajalah yang mampu mengubah hal yang sedemikian. Hanya dengan dakwah yang bersungguh oleh para rijal yang ikhlas hatinya, tidak lokek untuk berkorban, tinggi hamasahnya dan jelas dengan tanggungjawabnya berupaya untuk mengembalikan al-haq di tempatnya semula. Hanya tarbiyahlah solusinya!

Hekele Inche gabbana ni. Sikit-sikit tarbiyah, sikit-sikit tarbiyah! Kalau macam tu, sampai bila pon tak masuk politik! Kalau tak masuk politik, macam mana nak perintah negara sendiri mengikut acuan Islam?? Ceh. 


Di situlah silapnya anda. Sudah saya katakan awal-awal tadi, apa yang tertanam di dalam kepala kita tentang politik adalah suatu kefahaman yang sempit dan jumud. Semenjak kita lahir sehingga hari ini, tiada sistem politik lain yang kita kenali melainkan sistem politik kepartian. 


Sedangkan politik dalam Islam adalah jaaaaauuuhhhh lebih luas dan bermakna daripada itu!  Politik hanyalah alat untuk mencapai matlamat, dan bukannya matlamat akhir kepada perjuangan Islam! Dan oleh kerana Islam adalah sistem yang syamil, kamil dan mutakamil (sempurna, lengkap dan melengkapkan), maka ia memerlukan orang yang benar-benar faham dan jelas akan kehendak dan keperluan menegakkan manhaj Islam yang suci daripada sebarang karat-karat jahiliyyah sahaja, sepertimana para sahabat yang menyambung legasi sistem politik Islam setelah kewafatan baginda. Dan hanya tarbiyah sahaja yang punya solusi yang jelas lagi menyeluruh dalam menyediakan sarana-sarana yang diperlukan ke arah membangunkan sistem politik Islam yang mapan. Ewaaahhh! 


Jika kita faham konsep ini dengan baik, telus dan adil, arakian kita juga akan faham yang setiap daripada kita adalah seorang ahli politik, tanpa perlu menyertai mana-mana parti politik. Bukankah setiap daripada kita diciptakan untuk menjadi khalifah di muka bumi ini..?


"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, 'Aku hendak menjadikan khlaifah di bumi'..."
[al-Baqarah, 2:30]

"Dan Dialah yang menjadikan kamu sebagai khalifah-khalifah di bumi dan Dia mengangkat (darjat) sebahagian kamu di atas yang lain, untuk mengujimu atas (kurnia) yang diberkanNya kepadamu..."
[al-An'am, 6:165]

Lambat atau cepat kemenangan itu, bukanlah persoalannya. Kerana Allah akan hanya menguniakan kemenangan kepada hamba-hambaNya yang ikhlas dan yang sudah benar-benar bersedia. Tanggungjawab kita hanyalah teruskan bekerja mengubah dan membina hati-hati di luar sana agar jelas akan tujuan hidup mereka di dunia ini. Dan bersabar. Kerana betapa ramai para dua't yang awalnya ikhlas dengan perjuangan ini, akhirnya gugur tersungkur dek tergopoh-gapah dan tidak mampu lagi bersabar menanti kemenangan yang tidak kunjung tiba.



Ya, kemenangan itu mungkin masih jauh dari pandangan mata. Namun ia pasti akan tiba! Pasti, itu janjiNya! [Kredit]

Jujur, saya bosan dengan senario politik yang sedia ada. Jujur, saya rimas dengan karenah ahli-ahli politik yang tidak matang dan kebudak-budakan. Dan jujur, saya dambakan arena politik yang lebih adil, segar dan mengujakan! 

Ya, perjalanan kita masih jauh dan panjang dalam merealisasikan sistem politik Islam yang sebenar. Namun amanah itu di tangan kita, terutamanya generasi muda di luar sana. Sekiranya kita benar-benar mahukan perubahan pada sistem yang sedia ada, maka kitalah yang perlu merubahnya! Kalau bukan kita yang mahu bangkit, menegakkan dan memperjuangkan al-haq dan menghapuskan kebatilan, takkan tenggiling perang di hutan sana pula..?? Err. Ya, kitalah agen perubahan itu! Kita!


Fuh.


Sudah. Begitulah pandangan saya tentang politik. Bagaimana? Sudahkah pandangan dan pendapat saya yang marhaen ini mengubah paradigma anda tentang politik..?


Senyum.


-gabbana-


Seriyes, saya rasa memang pilihanraya dah nak dekat. Paling lewat pon sebelum bulan empat! Jelir lidah.


Dan oh, artikel ini tiada kena-mengena dengan himpunan rakyat esok.


Aman, tanpa perang. 


25 Caci Maki Puji Muji:

shamyheart 11/01/2013, 18:40  

semoga kita tersedar

Muhammad Afifi 11/01/2013, 18:41  

Fuh Rasa puas bila dpt baca sampai habis Hihihi

Anonymous 11/01/2013, 19:03  

Yup,sabar da teruskan perjuangan..sy setuju dgn pandangan anda. Bukan setuju dg memkhinzir Buta,tp seriyes,stuju!! Smga org luar2 sana..memahami betapa pentingnya Tarbiyyah!

Aku Cikgu Sekolah 11/01/2013, 19:12  

Assalamualaikum ... ni pendapat cikgu je la ... Contoh terunggul kepada kepimpinan Islam itu ialah Nabi Muhammad S.A.W. Kita diminta menjadikan Baginda sebagai kayu ukur dan "role model" umat Islam dan para pemimpinnya. Antara perkara yang diminta kita untuk mengikutinya adalah

1. Mematuhi ajaran dan suruhan yang dibawanya dengan perintah Allah SWT, iaitu agama Islam.

2. Mengikuti dan mematuhi pendapat, cadangan dan idea Baginda dan para sahabatnya, yang sentiasa takut kepada Allah SWT.

3. Mentauladani peri laku dan tindak-tanduk baginda yang sentiasa menyeru kebaikan, perdamaian, kasih sayang, hormat menghormati dan sebagainya.

Semoga Allah permudahkan segala urusan kita di dunia dan di akhirat

sitiezahim 11/01/2013, 19:45  

sangat menarik dan betul. saya berdoa ramai yang akan baca entri ni (walaupon saya rasa ramai yang tak mahu menerima hakikat yg saudara tulis, kerana kebanyakan orang hanya mahu baca apa yang mereka percaya)

aliffazwan 11/01/2013, 20:12  

sy setuju..masyarakat kita terlalu didorong serta takut akn perubahan..bkn sy kata pemerintahan skrg tidak bagus..cuma,,kita mahu lebih baik..dlm satu2 organisasi,,ketua atau pemimpin yg mencorak kejayaan sebuah organisasi..xdinafikan bahawa kerajan sedia ada bnyk mmbawa perubahan kpd negara..syukur alhamdulillah..tp apa gunanya kejayaan dunia kita kalau ia xselari dgn akhirat..berbalik pd zaman Nabi,,bagaimana berjayanya baginda mnyatupadukan ummah dan menjayakan madinah..tp ada cakap2 belakang mngatakan,itu zaman Nabi..kita kena ikut peredaran zaman..pada yg berpendapat sedemikian,maaf..sy xsetuju..mmg dunia barat menguasai dunia skrg ini..tp itu bkn alasan kita utk tidak mncorakkan pemerintahan mngikut Al-Quran dan assunnah.. saya juga sebagai rakyat marhaen,hanya inginkan keadilan dlm pentadbiran..dimana hasil negara dpt dinikmati oleh semua..supaya tiada lagi kais pagi makan pagi,kais petang xdpt2..wallahualam.. :)

Unknown 11/01/2013, 20:59  

It doesnt matter WHO rules, as long as the ruler is trying his very best at 100% to follow the no.1 ruler.

20 thumbs up

Going to share this at fb, or at least copy paste

Khairun 11/01/2013, 21:10  

hmm... ramai org terkurung dalam politik demokrasi. diibaratkan terkurung dalam kotak lutsinar lah. hanya ada sikiiitt je org yang keluar daripada kotak tu dan memerhatikan permainan politik ini dari luar. seriyus sy pon boshan tgk org duk gaduh dlm isu politik ni sedangkan jalan demokrasi tu tak benar.

dan klu dah tahu jln demokrasi ni tak benar, buat apa masuk dlm demokrasi? sy pnh dgr org kata demokrasi ni jln paling hampir dgn kebenaran, so sbb tu la kena masuk dlm demokrasi utk tegakkan negara Islam. tp jalan yang palinggg benar dh ada iaitu thariqah Rasulullah (tanpa demokrasi) malah dh terbukti pun.

Islam atau tidak sebuah pemerintahan tu bergantung kpd sistem, bukan kepada individu2 pemimpin. Islam is really perfect, why should we get into other system made by kufr to establish khilafah? sanggup ke kita berkompromi dgn kemuliaan Islam yg dh lengkap dgn hukum-hakamnya, semata-mata nk menang dengan mgunakan cara demokrasi?

matlamat tidak menghalalkan cara. Allah bg perintah melalui Quran, Allah larang ikut org kafir. perintah Allah kita kena ikut susah atau senang, suka atau benci gila (rujuk surah Ali-Imran:83). fikir.

Unknown 11/01/2013, 21:57  

makan pun politik ape.. hehe nice sharingg !
tak sabar nak pilihanraya :)

Allahu Akbar !

BKen 12/01/2013, 13:57  

Suka point pasal Rasulullah tu. Terima kasih share. :)

Tapi kan, Inche Gabbana nak tanya sikit boleh?

Inche Gabbana kata kat Malaysia ni politiknya, politik kepartian.
Kemudian Inche Gabbana tambah lagi, "Sedangkan politik dalam Islam adalah jaaaaauuuhhhh lebih luas dan bermakna daripada itu!"
Dan perkara yang kita fokuskan sekarang adalah tarbiyah pembinaan individu muslim. (Nak clarify, betul ke pointnya cam ni?)

Tapi, dah kat Msia, memang choice yang adanya mmg politik parti je.. So camne? Takkan nak biar je politik yang dah sedia ada terumbang ambing, kutuk sana sini?

Kalau fikir, kita tgh sibuk2 tarbiyah orang dan diri sendiri, tanpa ada usaha secara direct dan berfokus bantu membersihkan politik kat msia, camne nak naikkan tarbiyah politik sejajar dgn Islam kat Msia?

Takkan nak biar je, pastu kita go on dan sibuk dgn hal pentarbiyahan kita?

Lambat atau cepat, tu point lain. Tapi kalau cepat tu lagi baik kan kan?

(Soalan difahami tak? Maaflah, ayat tunggang terbalik)

Unknown 12/01/2013, 14:18  

saye setuju........................................................................

Anonymous 12/01/2013, 16:18  

Bismillahirrahmanirraheem. Ini comment saya secara umum. Buat para pembaca. Harap, encik inche gabbana tidak kisah.

saya sarankan para pembaca, membaca buku mazha yakni an intimai islam, oleh fathi yakan.

Dlm buku tu ada sebut kewajipan seorg muslim, berada dlm sesebuah jemaah islam. Jemaah islam yg betul, yg menegakkan islam. Kt malaysia ni ada bnyk parti/ bolehla katakan jemaah (dr segi bahasa, maksudnya kumpulan )tapi jemaah mana yg dasar perjuangannya untuk menegakkan islam?

Tujuan manusia diciptakan ada dua, Allah sebut dlm Quran, surah adz zhariyat, utk beribadah, sembah Allah Taala. Dlm surah al baqarah, Allah ciptakan manusia, untuk menjadi khalifah (pemimpin) di muka bumi ini.

Ya, skop khalifah itu besar. Drpd sekecil-kecil jd pemimpin utk diri sendiri, hinggalah masyarakat dan negara.
Politik (siasah) itu memang perlu untuk mentadbir sebuah negara. Siasah itu sebhgn drpd islam. Dlm quran, dlm sirah, semua ada tunjuk dgn jelas siasah dlm islam itu bagaimana caranya.

Sestgh masyarakat kata dua2 parti, semua main kotor. Tapi hakikatnya, mana mereka dpt bukti tersebut? Tidak dpt disangkal, dua2 parti ada keburukan masing2. Tapi salah satu drpd parti tersebut, perjuangannya utk tegakkan islam. Itu dasar perjuangan mereka. Meskipun mereka pd masa ni, bersama2 parti pembangkang yg lain, tetapi dasar perjuangan mereka tetap sama. Masalah dlm parti itu boleh diselesaikan. Kekurangan, boleh diperbaiki.

Kalau rakyat tidak ambil peduli ttg pentadbiran yg mentadbir negara mereka, spt, tidak mengambil bhgn, bersama-sama2 dgn parti politik yg mereka yakin dan jelas akan matlamat parti tersebut, mcm mana parti itu akan bertambah baik keadaannya?

Especially nak PRU ni, harap semua rakyat sedar, undian mereka amat berharga, merekalah penentu masa depan negara. Pemimpin yg kita nak, mestilah yg amanah, yg adil, yg benar2 memelihara kebajikan rakyat.

Sebelum kita memaki hamun, atau melabel keadaan politik di negara kita, buka dulu buku2 yg sahih, kaji dulu maklumat2 yg tepat, utk dptkan kesahihan.

Beranilah kita kerana benar, dan takut kerana salah. Berdoa kpd Allah dan istikharahlah kalau x tau mana yg patut kita undi. Allah penyelesaian segala masalah. Esp rakyat islam, mcm en. inche gabbana kata sendiri, tarbiyah itu penting. wajib. tanpa tarbiyah/didikan islam, takkan dpt terbentuk fardhu muslim/individu muslim yg benar2 muslim,

Saya sarankan sekali lagi, utk kita sama2 khatam buku mazha yakni oleh fathi yakan, yg sy sebutkan tadi. Termasuk juga buku fiqh al awlawiyat oleh dr yusuf al qardhawi.

Insha Allah, buku2 tersebut blh jd panduan kpd kita yg masih ragu2 ttg apa sbnrnya yg dimaksudkan perjuangan islam, dan mengapa kita harus dan wajib bersama2 para pejuang islam.

Allahu Akbar!!

Anonymous 12/01/2013, 16:26  

Tentang persoalan demokrasi, saya sendiri tidak arif bab ni, tetapi selaku pelajar asasi undang2, lecturer saya pernah mention sebba apa malaysia, guna system demokrasi, dan spt yang kita tahu, negara kita punya highest constitution/perlembagaan adalah the federal consti, system demokrasi ni tidak boleh dibuang macam tu sahaja.

Itupun kalau negara masih mahukan system tu. tapi x tau la kan kalau dah tuka tampuk pimpinan nanti. tetapi mmg sistem demokrasi ni bukan sistem islamiyah. jom kita buka sirah nabi muhammad s.a.w. bagaimana rasulullah s.a.w tadbir madinah, membuat perlembagaan madinah, berserta rakyat baginda yg terdiri drpd agama2 yg kuat, islam, yahudi, dan kristian.

Daripada sirah, patut kita contohi, kerana ia merupakan sebhgn drpd sunnah nabi s.a.w.

Moga Allah kurniakan kemenangan kpd umat islam di malaysia, di seluruh dunia.

eJAI 12/01/2013, 19:50  

sebuah artikel yang hebat dan cukup jelas. memang sistem demokrasi yang ada hari ni bukanlah acuan Islam. tetapi saya rasa, ini saya rasalah ye, kita buat masa ini mestilah memilih pemerintah yang dekat dengan Islam dan dengan harapan mereka akan mengubah sistem pemilihan pemimpin kepada sistem syura. Insyaallah. Apapun, saya yakin enche gabbana juga adalah pendaftar undi. maka, pastinya enche gabbana juga mengikut sistem demokrasi yang ada bukan?

apapun, islamlah jawapannya...

Anonymous 12/01/2013, 22:15  

Islamlah jawapannya :D yepp.

enche asus 12/01/2013, 22:31  

politik bukanlah matlamat tetapi hanyalah satu wasilah,untuk memperjungkan islam sendiri.. nice sharing sgt membuka minda :)

bekas mad'u 12/01/2013, 23:41  

salam.
terus terang, saya tak pasti sejauh mana minda saya terbuka bila membaca artikel ni. rasanya banyak lompang sana sini, maybe sbb ketandusan ruang utk meluahkan perasaan..? apa2 pun, yg haq tetap haq dan yg batil tetap batil.

oh, inche gabbana ni memang sangat2 marhaen lah. =(

Muhammad Nur Fitri 13/01/2013, 00:39  

Politik. Ku setuju dengan pendapatmu, Inche...hoho

Anonymous 13/01/2013, 00:52  

SubhanaAllah..artikel yang sgt menarik. Kemungkinan artikel ni mungkn akan ade byk pendpt. Tp sye yakin tarbiahlah yg mampu mengubah segla-galanya. Klu nak dikira, kerajaan kita pun msih lacking dri segi politik sbb kita xde org yang faham sprt mne Rasulullah faham..SubhanaAllah ape yang sy ckp ni...huhuhu.Tp marilah kite sme2 grakkn dakwah islamiah d malaysia. Islam harus tertegak kat muka bumi. Betul,"role model" kita yang sbnar adalah RAsulullah...kite ikutla ape yg Rasulullah buat. Sye rase pasal undian tu....pilihlah org kerana keimanannya, kajilah btul2. bukannya pilih orang kerana partinya. Ni yg selalu ustaz sy ckp.

hamba allah 13/01/2013, 11:32  

maaf, satu soalan inche pergi tk himpunan rakyat? hehe. abai2.

ni satu lagi artikel yang wajib dibaca tambah kepada ahli2 politik bukan. hul.. -_-

Anonymous 20/03/2013, 12:11  

inche gabbana bukan ISMA kan..kikiki...

Anonymous 03/04/2013, 12:53  

Assalamu'alaikum..pndpt ana, Tarbiyyah memg penting. sgt sgt penting lg2 utk setiap individu. klo cik inche gabbana rse apeape yg pling pnting adlh Tarbiyyah d ngre ni, baek utk pmimpin mne sklipon. sgt2 stuju. dgn tu pmimpin boleh mnjd role model pd rkyatnya. qudwah qobla da'wah. tp, rsenye buad mse ni, ana rse Politik ptut sgt2 d titik beratkan dr setiap individu kerana fhm2 je (skrg saat2 getir) mne2 individu pon. krne, klau xde kuasa, kt ngre mne pon susah utk kte mmpengaruhi kseluruhannya. bythwy, nice artical! waAllahu a'lam. slmt mngundi ! undi anda adlh tggungjwb anda !

Anonymous 20/04/2013, 21:21  

Inche Gabbana, saya mohon izin untuk letak link entry ni kat fb ye? =) Terima kasih kerana menulis dan memberi baca untuk semua.

Aaron 13/05/2013, 11:48  

cume tertanye psl istilah politik sbg alat untuk mencapai matlamat. Bknnye politik tu ialah wadah bagi mencapai matlamat islam? Thats mean, by hook or by crook, nk capai matlamat islam diturunkn, kene bicara psl politik?

wallahua'lam

Anonymous 16/08/2013, 10:24  

Ahli politik sekarang sangat kebudak budakan..tak matang langsung..rmai pulak para menteri yang jahil tentang agama..dibutai dengan kemewahan dunia, mengetepikan ahli agama, bongkak dengan kata kata mereka..saya tak rase malaysia makin bertambah baik dan aman -___-''

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP