24 February 2015

Perempuan Nan Sekarang

[Kredit]

Tulisan ini bukan tulisan seorang seksis. Bukan juga seorang chauvinis. Apatah lagi seorang ekstremis. Eh.

Tapi ia datang dari seorang hati lelaki yang punya seorang Puan Mama dan Cik Adik Perempuan, yang amat sayangkan ibu-ibu, kakak-kakak dan adik-adik perempuan saya di luar sana. Seorang lelaki ikhlas yang mengambil berat akan perihal dan kebajikan kaum Hawa.

Ehem.

Alkisahnya bermula pada minggu lepas, saya telah berkongsikan perbualan saya dengan seseorang menerusi mesej peribadi MukaBuku yang bertanyakan perihal perempuan yang suka menghaplod gambar-gambarnya di MukaBuku, Instagram dan sebagainya. Saya kongsikan perbualan itu dalam bentuk status di MukaBuku dan Pengicau saya.

Status itu berbunyi begini:

“Apa pandangan IG tentang perempuan yang suka haplod gambarnya di Insta, FB, etc?”

“Pada pandangan saya, mereka ni tak sesuai dibuat isteri. :3”

Nampak tak emotikon ‘:3’ yang sepatutnya menjadikan status itu lebih comel dan bersahaja?

Namun panas yang disangka sampai ke petang, rupa-rupanya hujan batu di tengah hari.

Maklum balas yang saya terima daripada status tersebut terutamanya dari kaum perempuan *koff koff* amat, err, mengerikan?

Maklum balas dan komen yang saya terima di Pengicau terutamanya, sedikit ganas dan boleh tahan dahsyat juga. Peluh besar.

Saya dituduh sebagai seksis, membuat generalisasi dan bermacam-macam lagi. Panas jugalah mata saya membacanya.

Namun saya tidak boleh menyalahkan sesiapa melainkan diri saya sendiri. Saya sewajarnya lebih berhati-hati dan sensitif dalam menulis sesuatu seperti itu, apatah lagi apabila ia melibatkan kaum perempuan yang ternyata mudah menjadi emo itu. Eh eh.  

Lantaran itu, saya telah mengeluarkan satu lagi status untuk mengendurkan keadaan. Saya jelaskan mengapa saya berkata begitu dengan dalil akal dan Quran. Alhamdulillah, status itu berjaya menyejukkan sedikit gunung-gunung berapi yang hampir meletus, meskipon masih ada yang bengkek dan tidak puas hati. Tidak mengapalah.

Maka ijinkan saya mengambil peluang di dalam penulisan ini untuk memberi penjelasan yang lebih mendalam dan meluas mungkin, dengan harapan ia dapat menghancurkan sangkaan-sangkaan yang ada, di samping berkongsi ilmu saya yang marhaen ini.

Baiklah. Tarik nafas.

Seperti yang kita tahu, kita sekarang ini sedang hidup di zaman yang penuh pancaroba dan fitnah Peah. Umat Islam terutamanya, berada di persimpangan peradaban manusia, tersepit antara mengekalkan jati diri muslim yang sebenar dengan cubaan untuk menyesuaikan diri dengan ketamadunan Barat (yang tidak bertamadun sebenarnya) yang tidak dapat dinafikan sedang menjadi ostad kepada dunia (Baca: Ustadziyatul Alam).

Serangan demi serangan untuk menjauhkan umat Islam daripada hidup dengan al-Quran dan as-Sunnah giat dijalankan sejak zaman berzaman. Wasiat Raja Loius IX di ambang kematiannya agar umat Islam tidak diperangi dengan senjata tapi sebaliknya dengan minda telah dipegang dengan kuat dan dilaksanakan dengan hebat sekali oleh musuh-musuh Islam.

Hari ini kita sendiri menjadi saksi bahawa serangan-serangan pemikiran (Baca: Ghazwul fikr) ini telah membuahkan hasil yang sekiranya Raja Louis bisa bangkit dari kuburnya, pasti dia sudah tertawa gembira penuh bahagia. Oh dengan syarat dia tidak diazab di kuburlah. Mengerikan.

Serangan-serangan pemikiran di abad ini lebih halus dan licik lagi. Laman-laman media sosial seperti MukaBuku, Instagram, Pengicau dan entah apa-apa lagi menjadi platform terbaik untuk musuh-musuh Islam ini mengasak dan membelasah minda dan jiwa pemuda-pemudi muslim sehingga mereka sendiri tidak perasan bahawa mereka telah kehilangan identiti.

Anda skeptikal dengan kenyataan saya ini?

Nah, apakah yang mendefinisikan seseorang itu kool atau tidak di zaman ini? Bukankah dengan berapa banyak kali statusnya di’SHARE’ di laman-laman media sosial?

Apakah yang menjadikan seseorang itu hensem atau cantik pada pandangan mata massa? Bukankah dengan berapa banyak LIKE yang diterima untuk gambar profailnya?

Apakah yang menjadi kesibukan dan perhatian sebahagian besar daripada anak-anak muda di zaman ini? Bukankah dengan menghabiskan masa-masa terluang untuk menatal garis masa MukaBuku dan Pengicau untuk gosip-gosip terkini dan mengekori (Baca: Stalk) artis idaman pojaan hati di akaun Instagram mereka?

Yang lebih menakutkan lagi adalah apabila ketaqwaan, kesolehan dan kewarakan seseorang itu juga diukur menerusi kepopularitian dan keglamoran di laman-laman media sosial. Ostad atau ostajah yang punya paling ramai pengikut dan paling banyak LIKE di laman peribadinya, ostad ostajah itulah yang paling harus diikuti dan ditaati. Alahai.

Tanpa kita sedar atau pon tidak, suka atau tidak, sedikit demi sedikit, jati diri kita tidak lagi dibentuk dan dicorakkan oleh tarbiyah Islam yang suatu ketika dahulu amat berpengaruh dalam kalangan masyarakat Melayu muslim. Identiti anak-anak muda pada hari ini digarap dan dibentuk oleh trend semasa dan perkembangan terkini di laman-laman media sosial, yang tidak dapat disanggah lagi berkiblatkan barat dan gaya hidup mereka.

Dan siapa yang mengawal dan menguasai laman-laman atau aplikasi media sosial ini? Tidak lain dan tidak bukan, musuh-musuh umat Islam sejak zaman berzaman; Nasara dan Yahudi!

Innalillahi wainnailaihi raji’un.

Lantas saya ingin bertanyakan kepada anda, terutamanya buat anda yang hobinya menghaplod gambar-gambar anda ke akaun Instagram, MukaBuku dan sebagainya itu; apa niat dan motif anda sebenarnya? Bagaimana anda menjaga hati dan perasaan anda apabila ramai lelaki dan jejaka yang mengLIKE gambar-gambar anda itu? Sekiranya anda tidak menutup aurat, atau berpakaian ketat, atau bergaya dengan gaya atau cara yang err, ‘merbahaya’ dan boleh menaikkan syahwat (saya yakin kenyataan ini bakal dihentam dengan rancaknya nanti), anda tidak takutkah anda mengutip saham-saham neraka dengan percuma? Hatta perempuan yang yang bertudung litup dan berpurdah sekalipon boleh sahaja menimbulkan fitnah, apatah lagi yang selain daripada itu. 

Dan jika anda mengatakan bahawa ia adalah untuk tujuan peribadi atau para pengikut anda (Baca: Followers) terdiri daripada kaum perempuan semata, apa jaminan bahawa gambar anda itu tidak akan tersebar? Apa jaminan anda bahawa dalam ramai-ramai pengikut anda itu, tidak ada seorang pon yang akan terlepas berkongsikan gambar anda itu pada yang lain? Sekiranya gambar itu anda jatuh pada tangan dan mata seorang lelaki ajnabi, bukan mahram anda, bagaimana pula?

Pernahkah anda terfikirkan semua itu?

Kerana itu, apabila ditanyakan kepada saya, apa pandangan saya terhadap perempuan yang suka menghaplod gambar-gambarnya di media sosial, tanpa perlu berfikir panjang, saya dengan selamba dan bersahajanya menjawab, “Mereka ni tak sesuai dibuat isteri”! 

Semuanya bertitik tolak pada ayat Quran yang satu ini:

“Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasan (auratnya) kecuali yang (biasa) terlihat. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya)…”
[an-Nuur, 24:31]

Nah, apa ciri-ciri wanita beriman itu? Menjaga pandangan dan kemaluan (kehormatannya) bukan? Tidak menampakkan perhiasan yang ada pada dirinya kecuali yang biasa dilihat bukan?

Alangkah baiknya andai ramai perempuan di luar sana sedar dan faham, bahawa kecantikan diri mereka yang sebenar itu tidak terletak pada rupa dan gaya, tapi pada kehormatan dan akhlak mereka yang mulia!

Sebagai jejaka yang ehem, berazam mahu menjadi beriman, sudah tentu saya mengimpikan seorang perempuan yang beriman juga untuk menjadi permaisuri yang bertakhta di jantung hati.

Muntah.

Perempuan yang tahu dan bersungguh menjaga kehormatannya dan menutup semua pintu-pintu syubhah yang ada. Sekiranya kehormatan diri sendiri pon tidak tahu dijaga dengan rapi dan teliti, apa jaminannya si isteri boleh menjaga kehormatan anak-anak dan suami?

Dan perempuan yang beriman itu sudah tentunya bukan seorang perempuan yang kerjanya berselpie dan dok tukar gambar profail dua puluh empat jam sehari! Wahai!

“Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias (tabarruj) dan (bertingkah laku) seperti orang-orang jahiliyyah dulu…”
[al-Ahzab, 33:33]

Inche gabbana seksis! Chauvinis! Dan suka buat generalisasi! Bukan semua perempuan begitu tahu??

Lailaha illallah. Itu bukan saya yang kata. Bukan saya mahu membentuk persepsi berat sebelah terhadap kaum Hawa. Bukan saya ni seorang lelaki yang jumud yang mahu mengawal dan mempengaruhi hidup wanita!

Tetapi itu kata-kata Allah. Itu wahyuNya yang disampaikan kepada ar-Rasul terchenta. Itu firmanNya yang maha tinggi dan mulia!

Dan tentang generalisasi, juga sudah saya terangkan dalam sebuah status berasingan. Betapa generalisasi itu malah adalah uslub yang digunakan di dalam al-Quran!

Apabila Allah menyebut wahai sekalian manusia atau wahai sekalian orang-orang beriman contohnya, dengan sifat-sifat dan perilaku yang tertentu, adakah Allah menyifatkan semua manusia atau semua orang-orang beriman dengan sifat begitu?

Dalam surah as-Saff ayat dua misalnya, Allah berfirman:

“Wahai orang-orang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?”
[as-Saff, 61:2]

Nah, adakah semua orang-orang beriman bercakap tidak serupa bikin? Tidak bukan?

Apa hikmahnya Allah membuat generalisasi sedemikian rupa? Agar yang sudah berbuat sedemikian segera bertaubat; dan agar mereka yang belum berbuat atau ada memasang niat, segera membatalkan hasrat!

Fuh.

Mungkin ada dalam kalangan anda yang pernah terdengar atau terbaca kisah seorang pemuda yang bakal mengahwini seorang perempuan yang dikatakan bisu, pekak dan buta. Pernah?

Bagaimana akhirnya pemuda itu mendapati, isteri yang sudah dinikahinya itu bukanlah bisu, pekak dan buta secara literal dan fizikalnya. Namun dia bisu kerana tidak pernah mengungkapkan sesuatu yang mungkar, pekak kerana tidak pernah mendengar sesuatu yang ingkar dan buta kerana sepanjang hayatnya, tidak pernah melihat maksiat. Subhanallah. Perkahwinan antara pemuda dan perempuan solehah itu akhirnya menghasilkan zuriat yang bukan setakat soleh, malah hebat dan musleh.

Mungkin kisah ini hanyalah rekaan dan tidak dapat diabsahkan kesahihannya. Namun pengajarannya tetap relevan dan boleh menjadi iktibar kepada kita semua.

Betapa buah yang baik dan harum, hanya boleh dihasilkan oleh benih-benih yang terbaik dan dijaga rapi. Betapa anak-anak yang soleh dan solehah itu, benihnya juga bermula dari sang bapa dan sang ibu yang menjaga adab dan perilakunya, akhlak dan budi pekertinya, sakhsiah dan tatasusilanya.

Apabila saya mengatakan “…mereka ni tak sesuai dibuat isteri,” ia adalah suatu saranan kepada para lelaki beriman di luar sana untuk berikhtiar sebaiknya untuk mencari bakal isteri yang bersungguh-sungguh menjaga kehormatannya. Ia bukan paksaan. Ia bukan arahan. Tetapi ia merupakan suatu pilihan.

Ia juga merupakan suatu nasihat buat semua kaum perempuan di luar sana, agar lebih berhati-hati dalam berikhtilat di alam maya. Sungguh, alam maya itu adalah suatu rimba yang cukup luas tanpa sempadan, yang penuh dengan binatang-binatang buas dan raksasa-raksasa ganas, yang menunggu masa dan peluang sahaja untuk menerkam dan membaham mangsanya. Lindungilah diri anda dan tutuplah pintu-pintu zina yang ada kerana sungguh, kita pada hari ni sedang hidup di dalam dunia yang penuh dengan kegilaan dan kerakusan.

Ia adalah suatu nasihat yang bunyinya mungkin nakal dan bersahaja, namun ikhlas dan tulus, kerana saya amat sayangkan anda semua selayaknya saudari-saudari seIslam saya.

Buat-buat batuk. [Kredit]

Kerana akhirnya, perempuan-perempuan yang baik itu selayaknya hanya untuk lelaki-lelaki yang baik. Dan lelaki-lelaki yang baik itu juga selayaknya hanya untuk perempuan-perempuan yang baik.

Senyum.

-gabbana-

Tulisan ini ditujukan buat semua kaum perempuan, tanpa ada sebarang diskriminasi atau kompromi. Tida kiralah yang free hari atau bertudung, bertudung bawal atau labuh, hijabista atau berpurdah.

Moga ada manfaatnya. Moga Allah redha.

Moga-moga.

28 Caci Maki Puji Muji:

El Mustaqim 24/02/2015, 13:41  

Salam ziarah dari saya

http://secebisdakwah2ku.blogspot.com/

Anonymous 24/02/2015, 14:05  

Setuju sangat !

Zyra Roxx 24/02/2015, 15:16  

gua perempuan, tak kisah kalau lelaki tegur hal-hal perempuan, tak rasa seksis pun, malah terasa dihargai. perempuan yang tak boleh menerima teguran tu, jangan jadikan isteri! Muahahah ><

mrs 24/02/2015, 15:16  

terima kasih atas perkongsian
senyum

Anonymous 24/02/2015, 16:00  

Teringat seorang ukhti yg meminta agar gambar dalam group akhawat di delete krn ada sedikit2 aurat yg terdedah (sisters tgh kemas tempat daurah). Katanya walaupun gambar tu dalam group akhawat sahaja, dia tak boleh gerenti gambar2 tu akan selamat dari tatapan saudara lelakinya. Betapa ukhti itu mahu menjaga kehormatan akhawatnya yang lain. Panjang fikirannya. Segala sisi2 yang ada risiko terus ditutup.

Anonymous 24/02/2015, 16:00  

this is absolutely true.

awi 24/02/2015, 16:27  

salam. macam mana plak selebriti seperti heliza helmi?Beliau sering sangat mengupload gambar-gambar aktivitinya di instagram malah di FB jugak. Dari sisi penglihatan anda, adakah beliau termasuk dalam kategori tidak sesuai dijadikan seorang isteri. yelah memandangkan beliau boleh dikatakan mengupload gambar setiap hari amlah berkeping keping di laman sosial.

tq.

tertanya 24/02/2015, 19:53  

hi,
bukan nak pertikaikan siapa-siapa atau mana-mana hukum, tapi cuma tertanya macam mana dengan figura2 wanita yang mengajak kepada islam sebenar? seperti yang tertulis di atas^ contohnya, dan beberapa lagi wanita yang lain, tak boleh dinafikan ramai orang tertarik dengan dakwah dan tarbiyah, dengan brand 'islam' ini melalui mereka. mungkin tertarik dengan kecantikan, atau popularity, atau kehebatan mereka bawa diri dan masuk dengan dunia moden sekarang and still kekal dengan identiti muslimah, yang memang susah nak buat di zaman sekarang. saya seorang wanita, dan saya respek mereka, malah kagum betapa mereka mampu menarik ramai orang-orang biasa untuk mendalami islam, mencintai alquran, dan mendekati platform2 agama termasuk usrah etc. mereka mampu mempopularkan dan mem'biasa'kan perkara islamic yang pernah menjadi satu benda asing satu masa dulu. kadang-kadang terfikir benda macam ni kan boleh dijadikan 'alat'? ini bukan nak slay. ini just sebab curious.

Anonymous 25/02/2015, 01:01  

Assalamualaikum
Ini pertanyaaan di luar jangkaan budak sekolah menengah biasa;

Ok..entri di atas sangat2 menyedarkan saya
Dan alhamdulillah akan saya perbaiki dengan men shut down dunia maya.
Tetapi saya terfikir dengan tweet kawan saya yang mengatakan
"Pakaian taqwa adalah dengan memakai tudung labuh (bulat)"
Jadi,, adakah pernyataan ini benar
Jujur saya akui memang kalau pakai macam tu akan terjaga.

Jadi, sekadar sikit berhias adakah terbatas umpama pernyataan kawan saya di atas?


Anonymous 25/02/2015, 10:45  

Saya nak berkongsi satu cerita. saya bekerja dengan travel agency. pekerja 6 orang sahaja. hari tu ada buat ticketing untuk 100 lebih orang, hantar ke sabah sarawak. dipendekkan cerita, ada la beberapa yang minta tukar tarikh air ticket. dorang kena contact kami sendiri guna whatsapp. whatsapp, mesti la ada profile picture kan. dan 2 orang pekerja lelaki ini, yang handle kerja ni, bila dorg dapat whatsapp, first thing dorang tengok ialah profile pic. kalau dorg rasa lawa, dorang akan printscreen gambar dan pass kepada yang sorang lagi. lepas tu dorang borak2 lucah sambil tengok gambar2 itu.

#tammat#

sejak dari hari tu, saya tak berani nak letak gambar ada muka. baik letak gambar kucing je

Anonymous 25/02/2015, 12:11  

Mungkin ada juga betulnya. Tapi, masih kurang berpuas hati. Tak dinafikan... Memang ramai wanita yg suka mengupload gmbr masing2 lama so-sial ni. Kata IG, mereka x sesuai dijadikan isteri! Kalau mcm tu, mmg x kan kahwin lah depa semua ni? Wanita mmg selalu dipersalahkan. Bagaimana pula dengan kaum adam pula? Byk juga mslh depa ni kat laman so-sial. Tapi ramai yg terlepas pandang. Uiishh. Ini tidak adil

Anonymous 25/02/2015, 13:27  

^untuk anon 25/02/2015, 12:11 di atas:
emm kalau nak bg anda (dan lain2) berpuas hati, sampai kiamat pn takkan habis IG tulis post ni. mula2 tak puas hati sbb xde point kesalahan kaum adam, nanti kalau dah tulis, tak puas hati xde point utk budak sekolah rendah, nenek tua, baby comel, ibu bapa, chekgu sekolah menengah, pakcik jual jambu tepi jalan, perdana menteri, makcik tukang sapu, pekerja sektor swasta, etc etc..

Anonymous 25/02/2015, 16:32  

saya tertanya-tanya, kenapa ya, bila sape2 buat statement mcm tu , mereka mesti cari sesuatu/alasan utk bidas. kenapa tak berusaha utk jd lebih baik je? kenapa ya?

Anonymous 26/02/2015, 05:10  

Pndangan sy, kenyataan sprti ini hanya akan menambah persepsi serong masyarakat. Seakan2 Islam itu hanya berdiri di atas arahan JANGAN dan jangan. Segalanya tidak boleh, tidak dibenarkan. Sedangkan kita semua tahu, bukankah islam itu mudah. Kita perlu lebih berstrategi utk mendekati masyarakat. Berikan solusi alternatif.bukan hanya mengkritik. saya yakin, mereka yg mmbaca blog saudara ini bukan hanya terdiri drpd golongan ikhwah dan akhowat.kenyataan yg menghukum sprti 'tidak sesuai dijadikan isteri' hanya mmbuatkan sebahagian golongan hawa yg gemar selfie ini (mereka sepatutnya mnjadi target group dakwah saudara) lebih menyampah terhadap saudara dan hanya mempersetan mesej yg cuba saudara smpaikan.

Dan bukankah, wanita itu seperti rusuk yg bengkok. Jika terlalu kasar caranya, boleh patah. Terlalu lembut, dia akan terus bengkok.berhikmahlah.

Mungkin saudara akan lebih faham situasi ini jika sy mmberi kenyataan spt 'Lelaki yg tidak mampu mendidik adik perempuan sendiri, tidak layak dijadikan suami'
Menghukum, bukan?

Sensitiviti.
Towards a better daie. Inshaa allah.

Anonymous 26/02/2015, 18:18  

Barangkali IG cuba menggunakan ayat yang lebih terang tang tang untuk wanita sebegitu supaya sedar n try to b a better muslimah.
I guess dah banyak sgt pihak yg menyampaikn dgn penuh kehalusan semua n ayat ''tak sesuai dijadikn isteri'' conveys the message in some other way.

Amelia 26/02/2015, 21:53  

sng betul org skarang ni nak sensitif. kadang2 kita ckp tu melawak2 dan chill je, tp tiba2 kena marah. adoi

Nurul Afiqah Rahim 26/02/2015, 22:46  

Bismillah.

Saya bukanlah pelajar jurusan agama.. Jauh sekali sbg ustazah. Cuma nak share pandangan sebagai seorang muslimah, saya setuju dengan IG, malah rasa terharu dan terkesan dengan apa yg IG cuba sampaikan. Ternyata masih ada seorang insan yg peka dengan perkara ini kerana saya tahu beliau bersungguh2 utk menyampaikan perkara ini kpd kita. Alhamdulillah!

Wahai sahabat2ku,
Muslimah yg dicintai di luar sana..
Ingatlah..
Kejadianmu terlalu indah tercipta drpd rusuknya Adam yg bengkok utk dilindungi..
Utk disayangi,
Dihargai..
Bukan utk disanjung jauh sekali dipuja..
Bukan utk dipijak & juga bukan sbg hamba..

Sedarkah dirimu sayang2ku..
Kau bagaikan bunga yg harum baunya
yg mampu tarik si kumbang mendekatimu?

Lihatlah pd si mawar yg mana durinya sbg bentengnya.. Dari jauh harumnya sgy mencuri perhatian lantaran duri sbg benteng
si kumbang hanya mampu tunduk & kagum pd keindahan si mawar malah fikir berkali2 utk mendekatinya.

Wahai muslimah diluar sana..
Akuilah hakikat kejadian dirimu yg menjadi pelemah keimanan lelaki. Seandainya pakaian malumu kau tinggalkan drpd tubuhmu & batas aurat kau pandang sebarangan..
Kini jadilah dirimu hanya bunga yg indah tp sayang..

Seribu kali sayang.. Sayangnya tak berduri.. Kau tak layak lg dimahkotakan sbg si mawar berduri.

Sungguh, ar Rasul tercinta ada mengatakan akan bahayanya dirimu..
'Tak ada fitnah yg lebih besar setelah wafatku selain drpd fitnah yg berpunca drpd wanita..'

Adakah kau mahu menjadi penyebabnya terhumbannya lelaki di neraka?

Ingatlah muslimahku sayang..
Ingatlah ciri2 wanita solehah ialah dgn tak melihat lelaki & lelaki tak melihatnya kecuali atas urusan yg diizinkan.

Suatu yg terutup tu lebih indah jika dibandingkan dgn yg terdedah..

Alangkah indahnya kau pelihara dirimu sbg hadiah yg suci & mahal buat si kumbang yg terplih buatmu..

Indahnya hidup ini andai kita melayari dgn keredhaan Sang Pencipta.

Sesungguhnya wanita solehah menjadi idaman setiap insan bernama Adam.

Sungguh saya bukanlah seorang muslimah yg baik. Tapi saya cuba jadi yg terbaik buat Sang Pencipta.. Buat Nabi tercinta.. Buat parents.. Buat seorang insan yg saya sendiri belum ketemu yg mana Allah telah janjikan buat saya..

Dengan berusaha tak mengupload 1 gambar saya pun di fb ataupun twitter. Moga Allah pandang usaha hamba berdosa ni.

Allahumma Solli 'Ala Sayyidina Muhammad wa 'Ala Aalihi wasohbihi wabaroka wwasallam!

Hamba Allah 27/02/2015, 07:52  

Alhamdulillah. All praises be to Allah

Hamba Allah 27/02/2015, 07:54  

Alhamdulillah. All praises be to Allah

kekwa 27/02/2015, 15:50  

'Tidak mahu di lihat tetapi ingin di lihat' (^^,v)

Saya setuju dengan IG. Mohon niqabis purdahnis selalu baca/follow tarbiah status Ustaz Zakuan @ Ibnu Batoota (fb). Beberapa tahun lepas , saya sendiri banyak berubah selepas tersentap dengan banyak status ustaz tu tentang perempuan. Alhamdulillah, sentapan itu yang buatkan kita akan terfikir dan fikir lagi, apa niat kita? Jangan tipu diri sendiri, haza min fadhli rabbi? Betul dari hati atau sedang melompat riang hati?

Moga-moga, hawa semua akan terdidik menjadi perempuan seperti isteri ustaz Zakuan tu. Pada IG, insyaAllah maybe after this yang ramai-ramai yang sentap tu mungkin akan sedar di mana pincangnya diri.

Rugilah kita 'belanja' gambar pada yang tak memiliki. Tak rugi pun kita jika berhenti promote diri. Andai kita memang baik terjaga, tak perlu convince or confess pada seluruh dunia. (",)



Yang lebih memahami,
kerana kita juga seorang Hawa yang pernah tercari-cari perhatian.

kekwa 27/02/2015, 15:59  

add. note:

IG dah kata, yang suka upload gambar, belanjaq selpiaq semua tu tak sesuai di jadikan isteri, maka berhentilah upload gambar, delete semua gambar.

Berubah Lillahitaala, resetting niat, bertaubat, no longer updating pictures, 'upgrade nilai diri'... Nah, kan sekarang dah sesuai di jadikan isteri? Apa yang sentap sangat? Kadangkala, tarbiah manja-manja ni tak terkesan pun dalam hati. Peace (^^,)

Khazinatul Asrar 28/02/2015, 13:15  

Betul kekwa. Sometimes tarbiah manja2 ni tak terkesan dlm hati. Tapi kamu kena ingat. Kita ini perempuan. Mcm mana pun seorang perempuan tu pasti ada sifat lembut dlm diri. Itu fitrah. Adakah salah gunakan kelembutan dalam tarbiah? Sedangkan tarbiah itu halus. Tarbiah iti disampaikan mengikut kreativiti seorang individu. That's all. Cth: IG sampaikan melalui kaedah2 di media sosial dan penulisan. UIB juga sampaikan di media dan juga mengadakan kuliah di masjid tertentu. Dan saya tahu bagaimana cara UIB menggunakan ayat2 yg agak kasar buat sesetengah perempuan tapi pada saya ia bagus utk penyampaiannya. Begitu juga dengan penyampaian ukhty Nurul Afiqah di atas itu ^. I think ayat yang ukhty Nurul itu sangat baik bahkan saya turut tertarik untuk membacanya. Tiap orang mengikut kreativiti sendiri dlm penyampaian mereka. Begitu juga dengan Ustazah Fatimah Syarha. Beliau juga menggunakan ayat-ayat seperti puisi yang puitis untuk menarik hati individu yang ingin ditarbiahnya serta menulis novel. Pokok pangkal, semuanya atas rasa KEIKHLASAN dalam tarbiah itu. Apabila penyampai itu ikhlas dalam penyampaianya iaitu dari hati ke hati, apakah kamu fikir ia sukar untuk mengajak insan lain merenung kembali kesalahan mereka? Allah Maha Mengetahui Tiap Hati hambaNya termasuk yang tersembunyi.

Aman tanpa perang. ^^

Anonymous 01/03/2015, 10:45  

Selamat menempuh hari bahagia wahai IG!
Haha. Moga jd suami yg baik terhadap zaujahmu hingga akhirat sana. Doakan ana yg tak jumpa-jumpa jodoh lagi serta doakan kesihatan ana. Hehe ;D

Cahaya Penyayang 11/03/2015, 14:31  

salam. pada saya, penulisan ini berbentuk umum. satu sindiran dan teguran kepada sekalian muslimah. bukan bermakna perempuan yg asyik upload gambar takkan kahwin. bukan bermakna takkan jadi baik@ solehah. cumanya, apabila terasa dengan teguran ni, berubahlah. dakwah bil hikmah itu subjektif. kita perlu faham penulisan ini dari pelbagai sudut. bukan hanya satu sudut. saya seorang perempuan. saya berasa malu kerana ditegur oleh seorang lelaki. ia menyebabkan saya tegas berprinsip untuk tidak upload gambar di laman sosial. penulisan ini bukan untuk menghina atau meng'anak tirikan' golongan perempuan, sebaliknya satu sindiran yang mendalam dan teguran dari kacamata seorang lelaki. baca untuk ambil pengajaran. baca untuk terasa..

"andainya otak lelaki boleh dipinjamkan kepada wanita dalam masa 5 minit untuk keluar rumah, pasti golongan wanita lebih sanggup duduk menyorok dalam rumah.."

-Think about it-

Anonymous 24/03/2015, 22:42  

Sabar jela incik gabbana.. Perempuan mmg fitrahnya refleks lagi cepat dr lelaki n thus emosi nya cepat juga..

Saya dulu sbelum knl tarbiyyah juge suke jgk haplod gmbr2 sndiri, dan x wujud niat yg mdatangkan pahala di situ, bahkan lbih mudah mndatangkan dosa dgn membiarkn lelaki2 di luar tgk gmbr2 tsebut. Once kenal dnt, slowly delete smua gmbr n tggal skeping dua gmbr rmai2 just utk rkn2 lama cam profile empunya bdn.

Yg sentap dgn teguran kerana ego tcalar, saya dulu mcm ni juge about 8 to 9 years ago.. Yg tenang menerima teguran ig tahniah kerana insyllh punya hati yg besar blh menerima teguran..

mudah2an Allah lembutkan hati kita semua utk menerima kebenaran..

hedaya 31/03/2015, 12:45  

Yes IG. Absolutely true.
Kerna ahkak juga seorang hawa.

Anonymous 10/11/2015, 13:23  

Salam APG, saya merupakan muslimah yang gemar mengambil gambar apa sajalah, termasuk fashion muslimah. Sejak akhir-akhir ni, saya sering berada dalam dilema.. Perlu saya share hasil gambar saya di laman sosial? Dengan erti kata lain, saya merupakan seorang jurugambar.

Yang terbaru, saya ingin hasilkan sebuah portfolio sendiri. Agak ramai yang bertanyakan kepada saya muntuk mengambil gambar mereka terutama dalam aspek fashion muslimah. Saya cuba sedaya upaya untuk hasilkan gambar konsep muslimah yang tidak bergaya dengan keterlaluan dan make up ala kadar (make up untuk pastikan muka tak nampak comot -..-'').

Saya berada dalam dilema..adakah segala hasil kerja saya ini salah?
Adakah saya bakal dipersalahkan di akhirat kelak?

Saya terus menerus berada dalam dilema..
Gambar muslimah yang berpurdah hasil kerja saya sebelum ini juga disebar tanpa saya sangka. Saya hanya upload di blog (blog tak popular langsung, untuk tujuan portfolio), setahun kemudian, ada hamba Allah sebar gambar tersebut. Walau gambar muslimah tu hanya posing sekadar menunduk dan terduduk..tapi, saya takut jika ianya timbul fitnah.

Saya juga simpan satu nekad, untuk hasilkan gambar-gambar muslimah dengan mesejnya yang tersendiri. Sekarang, dunia ibarat "perang media" dan kita juga perlu bertempur media. Tapi, bertempur dengan cara lain.

Persoalan saya, apa pendapat APG mengenai hal ini?

Buat sementara ini, saya berhenti terlebih dahulu untuk capture segala gambar muslimah. Saya sedang mencari jawapan mengenai hal ini dan masih dalam dilema.

evilcooler 11/11/2015, 19:44  

Assalamualaikum. Jazakallahu khayr IG. Bagi para ukhti, Jannah kepunyaan Allah itu mahal harganya. Apa2 kesenangan dan keseronokan di dunia merupakan fitnah dan ujian bagi manusia. Keindahan hakiki adalah di dalam taman2 syurga. Jadi bersabarlah ye wahai kaum Hawa. Allah dan RasulNya bersama org2 yg sabar.

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP