31 October 2012

Qudwah Si Kader Dakwah

[Kredit]

Saya kagum. Kagum melihat dan mengenali seorang ustaz, di sebalik masalah yang bertimbun, di sebalik tekanan yang menghimpit dan di sebalik melayan karenah manusia yang gila dan mengganas, dia masih mampu tersenyum. Bukan sekadar tersenyum, malah membuatkan saya dan yang lain-lain merasakan seperti dunia ini bahagia-bahagia dan gembira sahaja. Malah masih mampu pula melayan karenah kami yang renyah dan remeh ini! Sungguh, saya sangat kagum dengan qudwah yang ditunjukkannya!

Saya terkesima. Terkesima melihat dengan mata kepala sendiri, bagaimana seorang ustaz yang lain, yang amat saya hormati dan sayangi, mengeluarkan duit poketnya untuk membelanja kami yang ramai ini, meskipun saya tahu gajinya tidaklah sebesar mana. Belum lagi dikira perbelanjaan untuk dakwah dan keluarganya sendiri. Dia melayan kami seolah-olah kami mad'unya yang dikasihi, walaupun kami hanya berjumpa dengannya sesekali. Dan dia melakukannya ketika mana kami langsung tidak menyedarinya. Tahu-tahu sahaja makanan kami sudah dibayar! Allah.. Sungguh, saya terkesima dengan qudwah yang dipamerkannya! 

Saya cemburu. Cemburu melihat seorang al-akh yang amat saya kenali, di sebalik kesibukannya mentarbiyah dan berdakwah, masih punya masa dan ruang untuk Tuhannya Allah. Al-Quran tidak pernah lekang dari tangannya. Bangun malam untuk bermunajat kepadaNya adalah rutin hariannya. Amat jarang pula dia meninggalkan solat Subuh berjemaah di masjid! Dan saya tahu dia seorang al-akh yang seriyes dan benar-benar bergerak di atas jalan sunnah ini! Allah, saya benar-benar cemburu dengan qudwah yang dimilikinya!

Saya terpesona. Terpesona dengan kerendahan hati yang dimiliki oleh para mujahid di atas jalan yang sumpah panjang ini. Seorang akh yang saya kenali, berlatarbelakangkan keluarga yang berada. Bukan calang-calang berada! Malah saya kenal dan selalu berjumpa dengan ayahnya, seorang Datuk ternama. Namun apabila kalian melihat perwatakan dan bagaimana dia membawa dirinya, pasti kalian tidak percaya yang dia berasal dari keluarga yang kaya. Cukup sederhana! Bagaiamana mungkin saya tidak terpesona dengan qudwah yang sebegini rupa?

Saya malu. Malu dengan semangat yang yang ditunjukkan oleh seorang hadek yang bersama-sama dengan gerabak ini. Umurnya dalam tarbiyah mungkin masih hingusan dan setahun jagung, tapi amal dan kefahaman yang terlihat daripada kerja-kerja tarbiyah dan dakwahnya benar-benar membuatkan saya mengangkat kening dan mulut ternganga. Melihatkan kerja-kerja DFnya terhadap hadek-hadeknya, pengorbanannya yang bukan sedikit untuk kemaslahatan bersama serta dahaganya dia pada sentuhan-sentuhan tarbiyah yang menggugah jiwa, pasti membuatkan mata anda bersinar-sinar. Anda beritahu saya, tidak malukah menyaksikan qudwah yang sebegitu rupa?

Saya teruja. Teruja menyaksikan masih ada lagi orang seperti seorang al-akh yang saya kenali, di sebalik kesibukannya di tempat kerja dan dihimpit dengan waktu jam-jam bekerja yang tidak fleksibel, dia masih mampu untuk tsabat dan istiqamah dengan amal tarbiyah dan dakwahnya. Lebih selalu daripada tidak, dia pulang ke rumah awal pagi dek bulatan gembira atau mesyuarat yang habis lewat. Di waktu pagi, dia bersiap untuk ke opis seperti orang lain, malah tiba di tempat kerjanya lebih awal daripada rakan-rakan sekerja yang lain. Dan dia tidak pernah memberi alasan yang kerjanya di opis menghambat dirinya daripada terus laju bergerak bersama gerabak ini! Masakan tidak teruja melihat qudwah seperti ini?

Saya terkesan. Terkesan dengan kesungguhan seorang doktor yang turut sama-sama memakai bandana dan menjulang obor perjuangan ini. Subhanallah, kesibukannya cukup mencengkam jiwa kita yang melihatnya. Namun dia tidak pernah meninggalkan bulatan gembiranya melainkan uzur yang benar-benar syari'e. Dia tidak pernah ponteng konferens riangnya kecuali ada sebab-sebab yang benar-benar tidak mengizinkan. Malah dia sendiri membawa bulatan gembira dan menguruskan konferens riang! Allah Allah.. Dia menjadi bukti  dan manifestasi bahawa kerjaya doktor bukanlah pembunuh hamasah seorang dai'e! Katakan kepada saya, anda tidak terkesankah dengan qudwah akh ini?

Saya tersentuh. Tersentuh dengan seorang ustaz yang tidak pernah berputus-asa dengan perjuangan ini, walaupon begitu banyak onak dan rintangannya. Meskipon dia ditekan, dihambat dan diperlakukan dengan tidak sepatutnya, namun dia terus beriltizam untuk melakukan perubahan. Dengan penuh sabar dia terus membimbing dan menasihati kami, tanpa mengeluh atau mengungkit walau sedikit. Katanya, kalau bukan kita yang mahu merobah, siapa lagi..? Waduh, manakan tidak saya tersentuh dengan qudwah yang begitu

Saya terharu. Saya terharu dengan kechentaan yang ditunjukkan oleh seorang al-akh kepada ikhwahnya. Kasih-sayangnya melimpah-ruah, bukan sekadar untuk hadek-hadek bulatan gembiranya, tetapi juga untuk ikhwah yang sama-sama mengharungi jalan perjuangan ini. Malah dia terutamanya amat mengasihi mereka yang dilihatnya bersungguh-sungguh melaksanakan tugas Syahadatul Haq yang telah tergalas pada bahu mereka! Sungguh kasih dan sayangnya pada mereka adalah kerana dakwah! Namun kasihan, kerana kadangkala chentanya itu tidak terbalas. Rindunya tidak dipeduli. Alangkah! Andailah mereka tahu betapa mendalamnya kasih al-akh itu kepada mereka.. Mujurlah al-akh yang amat saya chentai itu tidak kisah dengannya, kerana dia menchentai mereka kerana Allah! Sungguh, saya amat terharu dengan qudwahnya itu!

Saya bangga. Bangga dengan ikhwah yang saya kenali, bersama-sama menggalas tugas menyebarkan al-Haq ini. Ramai daripada mereka bukannya dari sekolah agama. Malah segelintir daripada mereka dahulunya pejuang jahiliyyah tegar. Namun Allah telah menyelamatkan mereka dari terperosok dalam ke lubang neraka. Kini mereka rijal-rijal penegak agama yang sanggup mengorbankan jiwa dan harta mereka, bila-bila masa dan ketika. Terkadang saya berasa segan melihat mereka ini, yang benar-benar ikhlas mahu melihat Islam kembali bangkit semula. Wahai! Saya benar-benar bangga dengan qudwah yang ada pada mereka!


Saya amat beruntung kerana mengenali mereka semuanya. Mereka inilah yang menjadikan saya bertambah yakin dan bersungguh dengan jalan yang saya susuri ini. Mereka manusia biasa seperti kita. Mereka punya perasaan, kehendak sendiri dan pelbagai urusan peribadi. Namun mereka utamakan tarbiyah. Mereka dahulukan dakwah. Sungguh, mereka (dan kita semua insha-allah!) adalah pewaris-pewaris perjuangan ar-Rasul SAW dan para sahabat yang akan terus menggempur kubu-kubu jahiliyyah demi menegakkan bendera Islam terchenta di puncak dunia!

Mereka adalah bukti yang jelas bahawasanya tarbiyah benar-benar bisa mengubah jiwa manusia! Mereka adalah manifestasi yang cemerlang bahawasanya apa yang telah dilalui dan dilakukan oleh para sahabat Nabi SAW juga boleh dilaksanakan oleh kita!

Bukan, mereka bukan malaikat. Bukan juga adiwira yang punya kuasa ajaib berlari pantas dan bisa mengangkat peti sejuk dengan sebelah tangan. Tidak juga punya tongkat sakti yang boleh menyebabkan mereka terbang sendiri. Tetapi yang bezanya mereka dengan kita adalah mengalirnya dalam tubuh mereka darah ruhul jadid yang amat dibutuhkan umat ini! Mereka adalah kader-kader dakwah yang siap-siaga untuk turun berjuang, bila-bila masa sahaja gendang perang dipalu gebang! 

Mereka adalah qudwah untuk kita semua bahawa Islam ini sememangnya untuk manusia. Dan kitalah yang perlu menggerakkannya..!


Al-Qudwah qobla dakwah! Qudwah sebelum dakwah!

-gabbana-  
 

10 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 31/10/2012, 12:14  

Saya terpegun, melihat seorang pakcik yg sakit lumpuh tidak lagi boleh bergerak keras. Tetapi mulutnya tidak lepas dari menjana hati-hati yg hebat. Melalui anak-anak dan keluarganya, anak-anak buahnya sehinggalah masyarakat am. Jemarinya tidak henti menghitung zikir dan menyelak helaian Al-Quran. Meskipun pengurusan dirinya perlu dibantu, tetapi pengurusan amal & akhlaknya sungguh mengujakan. Contohilah :)

Anonymous 31/10/2012, 12:49  

lalu, aku menitiskan air mata melihat dan merasai dekatnya dgn mereka.

subhanallah.

Anonymous 31/10/2012, 15:10  

subahanallah.. sangat nak jadi macam mereka jugak :') Allahumma amiin..

HitamBiru 31/10/2012, 17:23  

Subahanallah..en3 ini benar2 menampar ana��..ya lah..ku sangkakan..diri ini la yg trbusy la sngt..tp bila,baca bnda ni..BETUL!!..ada insan yg lebih busy dr kita..tp msh mampu melakukan tugas2 dakwah tanpa bnyak berlenggah dan beralasan untuk bertangguh..mmg btl..kita sngt teruja dan sangat bangga,,hingga timbul rasa cemburu dhati takkala melihat sahabat2 kita yang..Wow..sungguh osem..walau sesibuk mana, tp kalau pasal islam,,pasal ummah..x kan miss punya..kita sngt tringin jd seperti mereka2..mampu menguruskan masa dgn cemerlang nya..x di nafikan..mmg tarbiyah,melahirkan manusia yg super lg osem��..spt juga mereka2 yg Inche katakan itu..ana percaya,jika seseorang itu meletakakan Cinta Allah yg pertama,,x ada yg mustahil baginya..

Anonymous 31/10/2012, 21:58  

subhanallah , qudwah mereka sgt osem!

tp bg sy better qudwah seiring dakwah ^_^

pontianak keling 01/11/2012, 01:35  

ingin mengenali mereka juga
tapi adakah aku layak

belle 01/11/2012, 03:15  

:'(

Ummu Sulaim 01/11/2012, 08:25  

SUBHANALLAH!!!
like.. Al-Qudwah qobla dakwah! Qudwah sebelum dakwah!

Anonymous 18/02/2013, 23:22  

baca "fitnah makcik peah" dengan "wahai tuan duktur" serious buat rasa seriau nak melangkah alam pekerjaan. lagi lagi tahu diri sendiri ni senang sgt nak futur T_T

tapi baca yang ni. serious osem ! mcm motivating and bg harapan. masih ramai lagi yang sibuk dengan kerjaya tapi tetap thabat dan hebat dengan D&T. insyaAllah, boleh jadi pembakar semangat ^_^

Anonymous 29/09/2013, 23:22  

Teruknya qudwah aku :(

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP