ALEPPOKALIPS: PROLOG
Assalamua'laikum warah matullah!
Wah dah berhabuk bersawang dah belog ini! Wahahaha.
Jujurnya, ada lagikah orang yang membaca belog? Kalau ada, alhamdulillah. Kalau tiada, marilah kita berhuhu secara berjemaah! Err.
Baik dipendekkan cerita, saya nak kongsikan beberapa bab awal novel ALEPPOKALIPS, buku terbaharu saya yang akan diterbitkan oleh Penerbitan Wahai! Saya telah pon kongsikan bab-bab yang sama dalam Wattpad, tetapi firasat saya kuat mengatakan yang mungkin ada dalam kalangan anda yang tidak berapa gemar membaca menerusi Wattpad. Jadi harapannya, akan lebih ramailah yang dapat membaca bab-bab awal ini dan seterusnya jatuh hati lantas membuat keputusan untuk membeli novel ini. Hehe.
Izinkan dahulu saya untuk bercerita sedikit tentang sinopsis dan latar belakang novel ini.
Saya mendapat inspirasi untuk menulis ALEPPOKALIPS berikutan berita-berita yang kita dengari bagaimana ada dalam kalangan anak-anak muda kita yang terpengaruh dengan propaganda dan dakyah ISIS. Yang lebih menarik minat saya adalah apabila mengetahui yang mereka ini bukanlah tidak cerdik atau lurus bendul, malah ada dalam kalangan mereka ini yang sedang belajar di universiti dan berpendidikan tinggi.
Perbualan saya dengan seorang rakan menambahkan lagi azam saya untuk menulis novel ini. Dia memberitahu saya bagaimana ada dalam kalangan anak-anak muda yang terpengaruh untuk menyertai ISIS ini membesar dan menetap di Taman Tun Dr. Ismail; bermakna mereka ini datangnya dari keluarga yang berada yang mempunyai taraf hidup yang tinggi. Ini sangat mengejutkan saya kerana sebelum saya mendengar pendedahan tersebut, saya sering kali menyangka yang mereka yang terpengaruh dengan propaganda ISIS ini kebanyakannya berasal dari keluarga yang susah dan tidak berpendidikan.
Dari situlah saya mendapat inspirasi untuk watak Hamzah.
Hamzah yang hidup dalam serba kemewahan, sepertinya sudah mempunyai kehidupan yang sempurna. Namun rakan-rakan yang rapat dan mengambil berat tentangnya, teman wanita yang cantik, dapat pula belajar di luar negara, semua itu tetap tidak memuaskan hatinya yang masih mencari-cari identiti dirinya.
Dalam keadaan yang sebeginilah, datang seorang ustaz - Ustaz Abu Ayyash - yang berjaya menarik minat Hamzah untuk mengetahui lebih lanjut tentang ISIS. Ustaz Abu Ayyash mempertemukan Hamzah dengan Khalid, seorang pemuda yang berkarisma, yang telah pun ke Iraq dan Syria menyertai ISIS. Kehadiran Khalid menambah perasaan ingin tahu dan ingin cuba Hamzah untuk ke Syria.
Pada masa yang sama, ketiadaan ayahnya - Dato' Sulaiman - sebagai figur bapa di rumah, menjadikan Hamzah seorang anak muda yang memberontak. Malah, kerenggangan hubungannya dengan ayahnya itulah yang menjadi pendorong terkuatnya untuk ke Syria.
Akhirnya, Hamzah mengambil keputusan untuk ke Syria dan melihat sendiri apa dan siapa itu ISIS. Perjalanannya ke Syria untuk mencari kebenaran dipenuhi dengan pelbagai ujian dan rintangan. Dia akhirnya selamat tiba ke destinasi yang ditujunya.
Pemergian Hamzah ke Syria ibaratnya satu penampar kuat kepada ayahnya. Ayahnya sedar akan kesilapannya selama ini yang terlalu fokus kepada perniagaannya sehingga mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang ayah. Dia berjanji kepada isterinya - Datin Zaleha - untuk membawa Hamzah pulang dengan selamat.
Selepas beberapa bulan di sana, Hamzah melihat sendiri wajah sebenar ISIS dan dia tidak selesa dengannya. Bersama-sama dengan Salman, seorang pemuda dari Iran yang bersahabat baik dengan Hamzah, mereka merancang untuk melepaskan diri dari ISIS.
Malangnya, rancangan mereka terbongkar. Hamzah diburu oleh Khalid, orang yang sama yang pernah dikagumi Hamzah.
Saya tamatkan dulu sesi sinopsis ini dengan tasbih kafarah dan surah al-'Asr. Wahahaha.
Ok malas dah bebel panjang. Silalah baca dahulu prolog untuk novel ini dan inshaAllah saya akan kongsikan bab-bab yang lainnya menerusi post-post yang lain.
Moga bermanfaat!
***
Ini bukan kaver final. Hehe. |
10 Febuari 2010
Ibu Pejabat Agensi Perisikan Pusat (CIA), Langley, Virginia
TRETTT TRETTT TRETTT!
"Ya?"
"Tuan. Ejen Rosenberg di talian."
Seorang lelaki berusia awal 40-an memandang terus ke hadapan, seolah-olahnya dia sedang melihat langsung pegawai yang menyampaikan maklumat tersebut. Dahinya yang sudah sedia bergaris itu, berkerut lagi.
Ejen Elijah Bell; antara ejen terbaik CIA di lapangan, ditugaskan khas untuk mengetuai unit risikan di Timur Tengah. Dia hanya melapor kepada Pengarah CIA, menggambarkan betapa pentingnya posisinya ketika itu.
"Sambungkan."
Elijah hanya perlu menunggu tidak sampai tiga saat sebelum taliannya dihubungkan.
"Apa khabar Elijah? Sudah lama kita tidak berhubungan."
Suara lembut ejen perisikan Israel itu sayup-sayup sahaja. Dan terhenti-henti, diselang-seli dengan bunyi hembusan nafas.
Elijah meneka yang sang ejen Mossad – Anna Rosenberg – masih lagi tidak meninggalkan tabiat merokoknya yang buruk itu.
"Baik-baik sahaja. Apa khabar Anna? Pasti kau ada berita baik untuk aku bukan?"
Elijah tahu yang Anna tersenyum di hujung talian, meskipun dia tidak dapat melihatnya.
"Kau memang tajam, Elijah. Sama seperti dahulu, tak pernah berubah!"
Kedengaran tawa kecil di talian Langley. Tawa yang dibuat-buat untuk mengambil hati.
"Katakan sahaja, Anna. Aku mendengar."
"Projek Helang Botak?"
"Ya?"
"Ejen kami sudah berjaya masuk."
Mata Elijah membundar. Dia seperti tidak percaya dengan berita yang baru didengarinya itu.
"Secepat itu?"
"Haha. Kau memang tak pernah berubah Elijah. Sentiasa memandang rendah kepada kami!"
Elijah tersenyum.
"Aku tak dapat nak ungkapkan, betapa gembiranya aku sekarang ini!"
Suara Anna terkekek ketawa memenuhi ruang talian untuk lima saat lamanya.
"Kau berhutang dengan aku segelas martini. Kita jumpa di Paris nanti."
Talian diputuskan.
Elijah menggeleng-gelengkan kepala. Masih tidak percaya.
Tetapi ia berita baik. Berita yang terlalu baik kerana baru semalam, dia melaporkan kepada Tuan Pengarah yang dia memerlukan sekurang-kurangnya 3 minggu lagi untuk menyusup masuk.
Elijah mengangkat gagang telefonnya. Dengan cermat dia menekan butang hijau pada telefonnya itu.
Sambil menunggu panggilannya diangkat, kepalanya ligat menyusun ayat. Dia tidak sabar mahu berkongsikan berita itu, pada masa yang sama tidak mahu dilihat tidak cekap kerana gagal memintas aktiviti Mossad.
"Bell?"
"Tuan..."
***
Amacam? Boleh pergi jauh tak novel ini? Wahahaha.
Oh ya. Esok (Jumaat 24 November), Penerbitan Wahai! akan mula membuka pra-tempahan untuk novel ini. Pastikan anda menjadi pembeli yang terawal kerana mereka bakal memberikan banyak hadiah istimewa!
Nantikan sambungan yang seterusnya!
-gabbana-
Serius rasa sangat kekok menulis kembali di belog ini. Fuh!
3 Caci Maki Puji Muji:
yeahh tak sabar nak baca!
Nyaris tak buang link dr feedly. Hehehe..
Saya baca 😊
Post a Comment