29 July 2015

Menjadi Harun Kepada Musa

[Kredit]

Rata-rata daripada anda yang rajin membaca al-Quran dan mentadabburinya, pasti akan mendapati bahawa antara kisah yang paling banyak diceritakan di dalam al-Quran adalah kisah tentang Nabi Musa AS. Malah kisah tentang Nabi Musa AS lebih banyak diceritakan berbanding dengan rasul-rasul dan nabi-nabi yang lainnya, hatta Nabi Muhammad SAW sendiri. 

Ada terlalu banyak ibrah daripada fakta ini.

Antaranya adalah kerana perjalanan hidup Nabi Musa AS itu sendiri amat mirip dengan perjalanan hidup Rasulullah SAW. Maka Allah SWT ingin memberi motivasi kepada Rasullullah SAW bahawa sebelum zamannya, sudah ada seorang rasul yang mengalami mehnah dan tribulasi seperti diri baginda. Keduanya, Allah SWT juga mahu kita mengambil pelajaran daripada kedegilan dan kekerasan-kepalaan bani Israil, kaum yang dipimpin oleh Nabi Musa AS. Kesabaran dan keteguhan baginda dalam berdakwah kepada kaumnya sangat-sangat memberikan inspirasi kepada kita para dua't sekalian.

Juga, peristiwa Nabi Musa AS berdakwah kepada Firaun amat wajar dijadikan rujukan dan motivasi kepada kita semua dalam menyampaikan risalah Allah. Bagaimana Allah SWT, seperti yang dirakamkan di dalam surah an-Nazia't, mengarahkan Nabi Musa AS agar menampaikan dakwah kepada Firaun dengan cara yang lemah lembut. 

Firaun juga menjadi bukti kepada kita semua betapa kasih dan chentanya Allah kepada hamba-hambaNya. Pengutusan Nabi Musa AS kepada Firaun hanya membuktikan satu perkara; betapa Allah amat sayangkan hambaNya meskipon mereka para pendosa. Sedangkan sejahat-jahat Firaun itu pon Allah masih berikan harapan (dengan mengutuskan Nabi Musa AS kepadanya), takkanlah kita ini tidak punya harapan untuk berubah bukan? Wahai! 

Nah, semua ini hanyalah sekelumit sebab, mengapa dan kenapa, kisah Nabi Musa AS paling banyak disebutkan di dalam al-Quran. Mengujakan bukan? 

Kisah-kisah tentang Nabi Musa AS yang terkandung di dalam al-Quran, antaranya ada juga mengajar kita erti persahabatan dan ukhuwwah yang sebenar. Di sinilah kita sering terlupa dengan peranan yang dimainkan oleh saudara kandung baginda, Nabi Harun AS. 

Seolah-olahnya Nabi Harun AS hanyalah watak pipih semata di dalam kanvas kehidupan Nabi Musa AS. Malah ada yang mempersoalkan:

"Apa peranan Nabi Harun sebenarnya? Sebab akhirnya Nabi Musa jugak yang berdakwah kepada Firaun kan?"

"Apa signifikan Nabi Harun dalam kisah Nabi Musa? Masa Nabi Musa pergi berjumpa Allah dan tinggalkan Bani Israil dengan Nabi Harun, bukannya Bani Israil respek pon dekat dia!"

Di sinilah kita telah melakukan kesilapan dengan melihat Nabi Harun AS tidak punya apa-apa kepentingan di dalam perjalanan dakwah Nabi Musa AS. Geleng kepala.

Biarlah doa Nabi Musa AS yang berbicara dan berkata-kata:

"...dan jadikanlah untukku seorang pembantu dari keluargaku, (iaitu) Harun saudaraku, teguhkanlah kekuatanku dengan (adanya) dia, dan jadikanlah dia teman dalam urusanku."
[Thaha, 20:29-32]

Nah, lihatlah sendiri! Bagaimana Nabi Musa AS sendiri mengiktiraf betapa signifikannya peranan yang dimainkan oleh Nabi Harun AS di dalam perjalanan dakwahnya! 

Nabi Musa AS tahu dan sedar pada dirinya ada beberapa kelemahan, antaranya simpulan pada lidahnya (disebut sebagai 'uqdah' di dalam al-Quran) dan baginda juga tahu untuk menyampaikan dakwah dengan benar-benar efisien dan berkesan, tutur katanya perlu fasih dan jelas. Oleh sebab itu, baginda berdoa kepada Allah agar dakwahnya diperkuatkan dengan kefasihan dan kepetahan Nabi Harun AS berbicara. 

Nabi Musa AS juga tahu, two is always better than one. Bahawa tidak mungkin baginda mampu untuk berdakwah seorang diri. Dan orang ramai juga pastinya akan bertambah yakin apabila ada dua orang (atau lebih) bercakap pada nada dan frekuensi yang sama bukan? 

Dua hal ini (kefasihan tutur kata Nabi Harun AS dan penguat dakwah Nabi Musa AS) dihuraikan dengan mantap dan bergaya sekali oleh Dr. Hammam Said di dalam karyanya yang fenomenal, Qawaid Dakwah, pada asas dakwah yang keempat (al-balagh).

Juga terdapat sebuah hadith yang menggambarkan peranan besar yang dimainkan oleh Nabi Harun AS. Hadith ini direkodkan sewaktu Nabi SAW mahu meninggalkan kota Madinah untuk memimpin pasukan perang umat Islam di dalam peperangan Tabuk dan melantik 'Ali r.a. sebagai wali baginda untuk menjaga Madinah sepanjang peninggalannya. 'Ali pada mulanya enggan dek kechentaannya yang teramat untuk berjihad bersama-sama dengan Rasulullah SAW. Untuk memujuknya, Rasulullah SAW bersabda:



“Apakah engkau tidak redha kedudukanmu di sisiku seperti kedudukan Harun di sisi Musa? Hanyasanya tidak ada Nabi lagi sesudahku.”

[Hadith riwayat Muslim]


Peh.    

Hadith ini menceritakan tentang keutamaan Saidina 'Ali r.a. di sisi Rasulullah SAW. Namun pada suatu sisi yang lainnya, secara tidak langsung ia juga mengiktiraf signifikannya peranan yang dimainkan oleh Nabi Harun AS kepada perjuangan dakwah Nabi Musa AS. 

Maka sahihlah dan tidak dapat diragukan lagi peri pentingnya sosok yang bernama Harun itu di dalam kehidupan saudaranya, Musa. 

Namun ada satu sisi lain pada Nabi Harun AS yang lebih menggugah jiwa saya. Yang jauh lebih mengesankan dan menjadikan saya lebih memaknai erti ukhuwwah.

Ayuh kita hayati sambungan doa tadi seperti yang dirakamkan di dalam surah Thaha:


"...dan jadikanlah dia teman dalam urusanku, agar kami banyak bertasbih kepadaMu dan banyak mengingatMu."
[Thaha, 20: 32-34]

Allah Allah!

Peranan Nabi Harun AS bukan sekadar penyokong dan penguat dakwah Nabi Musa AS, tetapi lebih daripada itu! Nabi Harun AS bukan sekadar menjadi duta dan jurucakap dakwah untuk Nabi Musa AS, tetapi lebih lagi dari itu! Dan Nabi Harun AS juga bukan setakat menjadi peneman Nabi Musa AS tetapi lebih daripada itu!

Nabi Harun AS adalah penguat ruhiyy buat Nabi Musa AS. Nabi Harun AS adalah teman yang saling mengingatkan buat Nabi Musa AS. Nabi Harun AS adalah insan yang akan menghulurkan tangan andai Nabi Musa AS terjelepok, tersadung di dalam perjuangan dakwahnya. Nabi Harun AS adalah seorang saudara dan sahabat, yang akan memastikan tarbiyah Nabi Musa AS tidak akan terabai di dalam kesibukannya berdakwah!

Pendek kata, Nabi Harun AS adalah cerminan kepada Nabi Musa AS! 


"Seorang mu'min adalah cerminan bagi saudaranya.." 

[Mafhum hadith, seperti yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Abu Daud, Tirmizi dan lain-lain]

Lantas bagaimana kita boleh belajar dari Nabi Harun AS? Bagaimana kita boleh memaknai ukhuwwah fillah bunga-bunga dafodil segar dengan arnab-arnab gemok berlari riang seperti mana Nabi Musa AS memaknainya? 

Ayuh kita bermuhasabah, tanya diri kita, siapa kita selama ini kepada sahabat kita? 

Adakah kita seorang sahabat yang sentiasa mengajak untuk mengingat Allah, atau kitalah punca sahabat kita melupakan Allah?

Adakah kita seorang sahabat yang sentiasa menegur dan menasihatkan andai sahabat kita itu bermaksiat, atau kita seorang sahabat yang tahu melihat dan mendiamkan diri sahaja kerana kononnya takut persahabatan kita terjejas? 

Adakah kita seorang sahabat yang mengejutkan sahabat kita untuk qiam, baca Quran dan solat Subuh berjemaah, atau kitalah sahabat yang mengajaknya berhuha huha di tengah malam sampai sama-sama terbabas subuh dinosor? 

Adakah kita seorang sahabat yang sentiasa mengingatkan sahabat kita untuk menjaga auratnya, atau kitalah yang paling galak dan eksaited sekali menyuruhnya berdandan, memakai baju ketat dan menayangkan rambutnya yang boleh disikat dengan tangan itu?

Adakah kita seorang sahabat yang sentiasa mengajak sahabat kita untuk sama-sama menghafal Quran, murajaah hadith, ulangkaji buku fikrah atau kita sahabat yang mengajaknya menonton movie sambil makam popkon dan main game tak ingat dunia? 

Adakah kita seorang sahabat yang akan berusaha menutup keaiban dan kelemahan sahabat kita sebaiknya dan menjadi pelengkap untuk segala kekurangan yang ada pada dirinya atau kita seorang sahabat yang seronok melihat kebusukan dan kelemahan yang ada padanya kerana ia membuatkan kita rasa lebih bagus? 

Dan adakah kita seorang sahabat yang bersungguh-sungguh menggerakkan sahabat kita untuk sama-sama berjihad dalam dakwah, atau kita seorang sahabat yang tidak kisah tidak peduli melihat sahabat kita longlai dan lesu di atas jalan ini?

Tempar pipi dan tanyalah hati anda pada sudut yang paling dalam. Anda tahu jawapannya. Anda tidak mungkin berdusta pada diri sendiri. 

Dari Harun AS kita belajar bahawa dua itu lebih baik daripada satu. 

Dari Harun AS kita belajar bahawa tiada siapa yang sempurna. 

Dari Harun AS kita belajar dalam berdakwah, kita memerlukan teman untuk menguatkan.

Dari Harun As kita belajar dalam tarbiyah, kita perlu sahabat sejati yang mengingatkan.

Dari Harun AS, kita belajar untuk memaknai ukhuwwah dalam erti katanya yang sebenar.

“Mahukah aku khabarkan sebaik-baik orang dalam kalangan kamu?” Nabi SAW bertanya kepada para sahabat di depannya. 

“(Sebaik-baik orang dalam kalangan kamu) adalah yang mengingatkan kamu kepada Allah bila kamu melihatnya. Yang dapat menambah amal kamu bila ia berbicara. Yang mengingatkan kita kepada hari akhirat dengan amal-amalnya.”

[Diriwayatkan oleh Abi Dunya dalam kitabnya, Al-Awliya’, melalui riwayat Ibn Abbas]  


Lantas... Yang mana satu kita? Harun kepada Musa? Atau... Firaun kepada Musa? Tersedak.
 
"Dia (Allah berfirman), 'Sungguh, telah diperkenankan permintaanmu, wahai Musa!"
[Thaha, 20:36]

Allahu. Senyum sambil lap air mata.

-gabbana- 

5 Caci Maki Puji Muji:

Khalid Kyle 29/07/2015, 15:40  

Selamat Hari Raya sy ucapkan buat tuan blog n family, moga terus sukses & ceria2 selalu :)

p/s: sedih melihat keadaan ekonomi malaysia dibawah pimpinan firaun jr.

annaaisha77 29/07/2015, 18:45  

Seriyesly power:)

suhanaazman88 30/07/2015, 08:05  

Buat renungan bersama. Semoga bermanfaat.

cEro 30/07/2015, 19:47  

Now we know kalau ditanya siapakah wing-man terbaik, jawapannya bukannya Robin kepada Batman tetapi Harun AS kepada Musa AS :)

Amirah Ali 27/08/2015, 06:02  

Datz gudd

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP