24 March 2015

Seorang Al-Akh Yang Menggugah

[Kredit]

“Ada satu malam tu,” al-akh itu memulakan bicaranya, “kami kira-kira balik duit, tinggal dalam tiga puluh ringgit je.”

Al-Akh itu tersenyum sambil berkata-kata. Namun dia tetap tidak dapat menyembunyikan raut sayu dan sebak pada wajahnya itu.

Ketika itu kami berada di sebuah kedai mamak, menikmati minum malam atau dalam bahasa ikhwahnya, mengeteh. Suatu upacara yang mungkin tampak remeh dan tidak ada apa-apa pada pandangan manusia biasa, tetapi cukup bermakna dan berjasa untuk tarbiyah dan dakwah. Eheh. 

“Tak boleh gitu. Ana nak kena bagi zaujah ana makan. Nak jaga baby dalam perut tu. Ana suruh zaujah ana tidur kat RI malam tu. Ana terus shoot pergi cari kedai burger.”

Kedai burger? Saya tertanya-tanya di dalam hati. Nak buat apa dengan kedai burger?

“Jumpa je kedai burger, ana tanya lah ada tak kerja kosong. Ada apa-apa tak yang boleh ana tolong? Alhamdulillah ada kerja kosong. Dapatlah sikit, tiga empat puluh ringgit malam tu. Alhamdulillah.”

Saya terkedu. Akh T yang berada di seberang saya membulatkan matanya, tanda dia juga terkedu.

Mata al-akh yang berbicara itu berkaca-kaca. Dia masih tersenyum, tapi saya tahu jiwanya sedang bergelora.

“Nta buat kerja apa kat kedai burger tu? Tengah-tengah malam buta tu? Orang burger tu tak terkejut ke nta mintak kerja?” Saya bertanya, cuba untuk memurnikan suasana.

Al-Akh itu tertawa kecil.

“Terkejut lah jugak. Tolong bungkus-bungkus, buatlah apa yang ada.”

Tulus dia bercerita. Bukan untuk mencari simpati, tetapi ikhlas berkongsi. Senyuman tetap tidak lekang dari bibir al-akh itu. 

Saya dan akh T tertawa, namun di dalam hati, kami benar-benar terpana. Sebak.

Terasa seperti amat menzalimi al-akh itu. Terasa seperti kami ikhwah ini, tiada fungsi dan guna. Terasa seperti ditampar-tampar bertubi-tubi.

Dah, apa guna kami sebagai ikhwah jika bukan untuk disusahkan? Apa guna kami sebagai ikhwah, kalau ada ikhwah lain dalam kelaparan? Apa guna kami sebagai ikhwah, apabila ada ikhwah lain yang terpaksa kerja di kedai burger hanya kerana terdesak mencari wang poket tambahan??

Potong bawang laju-laju.

Perkenalan saya dengan al-akh itu, tidaklah terlalu lama. Malah dia antara al-akh yang agak lewat saya kenali sembari jalan tarbiyah dan dakwah ini.

Meski sekejap, ukhuwwah kami pantas bertaut. Walau perkenalan kami baharu, dirasakan seolah-olahnya sudah lama kami bersahabat. Dan meskipon kami bertaaruf agak lewat, ukhuwwah yang kami rasakan cukup hangat. Ewah kau.

Mungkin kami mudah serasi kerana kami punya cara berfikir yang sama. Mungkin juga yang menjadikan kami seperti sudah lama mengenali adalah kerana kami punya matlmat dakwah dan jiwa tarbiyah yang serupa.    

Benarlah, yang menyatukan ukhuwwah itu, yang membumikan persahabatan itu, yang mendarahdagingkan persaudaraan itu adalah fikrah. Fikrah tarbiyah dan dakwah!  

Dan al-akh itu, meski umurnya muda daripada kami, dia adalah qudwah kami di atas jalan berduri ini.

Semangatnya sentiasa membangkitkan himmah kami.

Pengorbanannya seringkali menyentap sukma kami.

Kesungguhannya di atas jalan yang berliku ini tidak pernah gagal merendahkan ego kami.

Taujihatnya yang berapi pasti akan membangkitkan jiwa kami yang lelah dan lesu.

Dan thumuhatnya di dalam gerabak tarbiyah ini benar-benar menolak kami untuk pergi lebih jauh lagi.

Ya, al-akh itu benar-benar menggugah jiwa dan sanubari kami!

Oleh sebab itu, apabila al-akh itu berkongsikan dengan kami suka duka manis pahit kehidupannya, kami terkedu. Terpana dan bisu.

Masakan kami sanggup membiarkan al-akh kechentaan kami sengsara sebegitu rupa?

Masakan kami tergamak untuk tidak ambil peduli?

Masakan kami boleh bersenang-lenang bergendang-gendut tali kecapi kenyang perut senang hati sedangkan al-akh itu berlapar menahan diri?

Aaaahhhh!

Habuk masuk mata. Banyak habuk masuk mata.

Maafkan kami akhi, andai kami telah menzalimi anda.

Maafkan kami akhi, andai kami telah gagal memenuhi hak ukhuwwah anda.

Dan maafkan kami akhi, andai kami belum benar-benar memaknai ukhuwwah ini.

“Teman-teman karib pada hari itu saling bermusuhan kecuali mereka yang bertaqwa.”
[az-Zukhruf, 43:67]

Terima kasih kerana terus berlapang dada dengan kami.

Terima kasih kerana masih terus bersabar dengan karenah kami.

Dan terima kasih, untuk ukhuwwah sejati ini.

Wahai akhi yang menggugah jiwa dan sanubari kami, ketahuilah, uhibbuka fillah!

-gabbana-

Ukhuwwah di jalan dakwah adalah antara perkara yang menjadikan saya terus kuat di atas jalan ini.

Ukhuwwah di jalan dakwah adalah antara perkara yang terus menghidupkan jiwa saya untuk terus gagah bekerja.

Dan ukhuwwah di jalan dakwah adalah antara perkara yang menyegarkan saya bila mana saya sudah mula lesu dan layu.

Terima kasih Allah, untuk ukhuwwah ini.  

4 Caci Maki Puji Muji:

Tukang Kayu 25/03/2015, 10:59  

oh mannnn....ni memang nak meraung baca.. okay, over. tapi memang potong bawang!!!

Bukan Bunga & Bukan Kumbang. 25/03/2015, 14:22  

Entri ini buat saya rasa sangat terharu. Indahnya memiliki sahabat yang punyai hati seperti akhi.

Dalam masa yang sama, saya merasakan sesuatu yang hilang daripada persahabatan yang pernah terjalin atau masih terjalin sehingga kini.

Sungguhpun memiliki teman-teman yang sangat mengambil berat, sentiasa sudi bersama di waktu suka dan duka. Sebenarnya jauh disudut hati, saya impikan persahabatan yang terjalin di atas niat yang satu. Kerana mengharapkan redha Allah.

Banyaknya perkara yang pernah berlaku dalam hidup. Banyak yang berubah. Saya juga berubah. Akhirnya saya menjadi sungguh asing dikalangan yang selama ini saya yakin adalah sahabat. Mereka masih sahabat. Sampai bila-bila adalah sahabat. Insya-Allah.

Tapi, dalam keadaan yang buat diri semakin asing. Saya rasa perlu menjarakkan diri daripada kalangan sahabat. Salah satu sebabnya saya tidak tahu cara untuk menolak aktiviti-aktiviti bersama mereka;yang saya rasakan tak memberi faedah kepada diri saya.

Saya mahu berubah. Tapi kalau bersama-sama yang selama ini adalah sahabat, saya rasa saya tak dapat berubah. Jadi mengasingkan diri ketika ini mungkin terbaik.
Sedih sebenarnya bila terpaksa mengambil jalan ini.

Kalau boleh saya mahu lalui perubahan ini bersama-sama sahabat. Sayang sekali, saya tak cukup ilmu dan kekuatan untuk membawanya. Sebab saya rasa saya sendiri masih terkapai-kapai.

Dan buat masa sekarang ini, saya rasa membaca entri seperti akhi Angel Pakai Gucci seperti terubat kerinduan terhadap sahabat yang saya harap-harapkan. Betapa saya mengharapkan saya mampu memiliki persahabatan seperti ini.

Kesalnya memikirkan... saya pernah memiliki persahabatan seindah ini ketika di zaman sekolah. Tapi, bila di peringkat IPT saya memilih untuk bersama sahabat yang lain;lain dasar tautannya. Sekarang saya betul-betul rasa kehilangan.

Sahabat yang sentiasa mengingatkan kita tentang Allah dan saling menasihati demi kebaikan bersama di dunia akhirat itulah sebenarnya terbaik.

Semua sahabat baik. Tapi, untuk menemui sahabat terbaik bukanlah mudah. Hargailah sementara masih ada teman dan sahabat untuk mengingatkan kepada kebaikan. Lebih-lebih sudi bersama-sama tempuhi dunia dakwah dan tarbiyah dalam apa jua keadaan.

Semoga kita semua menjadi sahabat yang terbaik. Semoga kita semua juga dikurniakan sahabat terbaik. Insya-Allah.

Amin ya Allah.

aq musleem 26/03/2015, 01:15  

Allah..sgt terkesan dgn nukilan akh. Mohon tunjuk ajarnya. Moga bermanfaat buat ummah.

Salam dr saya,
silentwriter2112.blogspot.com

Syazana Jamaludin 28/03/2015, 09:18  

Mungkin yang membaca artikel ni terfikir, "eh aku tak pernah ada sahabat sehebat ni"

Cikgu saya kata, "if you can't find one, be one"

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP