2 October 2014

Merasionalkan Rasionalisasi Subsidi

[Kredit]
Seperti kata orang, gambar lebih berharga daripada seribu patah perkataan.

Malam tadi, rakyat Malaysia dikejutkan dengan sebuah berita yang amat menggembirakan lagi mengujakan; tiada angin ribut, tiada gempa mahupon tsunami, kerajaan sekali lagi melaksanakan rasionalisasi subsidi minyak untuk petrol jenis RON95 dan diesel sebanyak RM0.20 seliter.

Atau dengan bahasa jalanannya; harga minyak naik doploh sen!  

Suatu fenomena yang agak menarik kali ini adalah apabila maklum balas dan reaksi rakyat Malaysia terhadap kenaikan doploh sen pada harga minyak tidak seganas dan seteruja seperti sebelum ini. Dipercayai Akta Hasutan 1948 memainkan peranan yang cukup signifikan kepada fenomena ini. 

Kerana itu kerajaan akan terus berani untuk menaikkan harga minyak di masa akan datang, kerana reaksi rakyat yang suam-suam kuku, hanya berani meluahkan geram dan marah di Pengicau dan MukaBuku (termasuklah yang menulis ini). Jika ada pon, hangat-hangat tahi kucing sahaja. 

Kenaikan harga minyak untuk RON95 dan diesel ini adalah kenaikan kedua dalam tempoh kurang lebih satu tahun. Hayati kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berkaitan dengan rasionalisasi subsidi yang terbaru ini:

"Langkah ini adalah selaras dengan dasar rasionalisasi subsidi Kerajaan dalam memastikan kedudukan kewangan negara terus kukuh. Kerajaan juga dijangka dapat mengurangkan ketirisan dan aktiviti penyeludupan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab."

Menahan mulut dari gelak terkekek-kekek. 

Menurut KPDNKK lagi: 

"Pemberian subsidi perlu lebih bersasar dan tidak secara pukal, dengan bukan warganegara Malaysia, termasuk pelancong asing turut menikmati subsidi yang diberikan kerajaan Langkah-langkah ini juga dapat menghasilkan penjimatan yang setimpal dan boleh digunakan untuk pembangunan pendidikan, kesihatan, sistem pengangkutan awam yang lebih meluas dan cekap serta meningkatkan keselamatan negara." 

Pandang kiri, pandang kanan. Cubit-cubit pipi.

"Selain itu, Kerajaan akan memastikan langkah rasionalisasi subsidi dilaksanakan dengan berhati-hati dan secara beperingkat bagi memastikan kesan yang minimum kepada ekonomi dan tidak membebankan rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana." 

Dan apakah jaminan kerajaan yang langkah ini tidak akan membebankan?

"Oleh itu Kerajaan akan terus menyediakan pelbagai bantuan dan insentif untuk meringankan beban terutamanay golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Sehubungan ini, salah satu langkah yang akan diambil oleh Kerajaan adalah untuk menaikkan kadar pemberian BR1M yang akan dimumkan dalam Bajet 2015 kelak."

Teng teng teng. 

Faham ke idak kome ni?

Mari saya bantu. Mudahnya, melalui pelaksanaan rasionalisasi subsidi ini (Baca: harga minyak naik doploh sen), kerajaan mahu:
  1. Memastikan kewangan negara bertambah mantap 
  2. Mengurangkan ketirisan (korupsi) dan aktiviti penyeludupan
  3. Menggunakan duit yang dijimatkan untuk pembangunan negara
  4. Memastikan kesan yang minimum pada rakyat
  5. Membantu rakyat dengan terus memberikan BR1M
Baiklah. Mari kita teliti satu-persatu daripada poin ini dengan penuh tenang dan rasional.

Jujurnya, secara umumnya langkah mengurangkan subsidi minyak adalah langkah yang bijak ke arah memastikan Malaysia dapat berdiri sama tinggi dan mencangkung sama rendah dengan negara-negara maju yang lain, ke  arah menyediakan pasaran minyak yang lebih kompetetif. Ewah kau.

Berterusan dalam memberikan subsidi akan menjadikan rakyat ibarat lembu dicucuk hidung, terus-menerus bergantung kepada kerajaan. Wang yang digunakan untuk subsidi selayaknya dimanfaatkan untuk membangunkan prasarana dan kemudahan yang akan memberi faedah kepada rakyat untuk jangka masa yang panjang.

Fuh.

Jadi, apa masalahnya Inche gabbana? Maknanya bagus lah kan langkah rasionalisasi subsidi ni?

Ada banyak masalah dengan hujah yang diberikan oleh kerajaan ini. Jika benar langkah rasionalisasi subsidi ini adalah untuk memantapkan kedudukan kewangan negara, maka langkah pertama yang sewajibnya diambil oleh kerajaan adalah membanteras korupsi dan rasuah secara besar-besaran, seriyes dan tiada kompromi.

Baru-baru ini Malaysia tersenarai sebagai antara negara yang paling korup berdasarkan kaji selidik yang dilakukan oleh firma Ernst & Young. Bancian yang dilakukan terhadap 681 eksekutif di beberapa buah negara Asia Pasifik mendapati, Malaysia adalah antara negara yang paling bersedia dan 'ada-aku-kisah' untuk menggunakan 'jalan belakang' apabila ekonomi negara berhadapan dengan situasi yang sukar.

Makanya, langkah kerajaan mengurangkan subsidi minyak ini hanyalah ibarat menyapu sampah, habuk dan debu ke bawah permaidani tebal yang mak kita beli dari Bhai Pakistan itu.

Kewangan negara akan menjadi jauh lebih mantap, jauh lebih baik dan jauh lebih kukuh sekiranya perbendaharaan negara diuruskan dengan cekap dan efisien. Maka terjawablah sedikit sebanyak poin 1, 2 dan 3 itu.

Bagaimana dengan melaksanakan rasionalisasi subsidi ini, walaupon dengan berperingkat-peringkat dan berhati-hati, memberikan impak yang minimum kepada rakyat?

Saya tidak dapat mengotakkan dakwaan ini. 

Sedangkan saya yang bekerja dengan sebuah syarikat swasta, tinggal di rumah milik Inche Papa dan Puan Mama, yang makan minum kadangkala ditanggung oleh mereka, tidak perlu bayar bil elektrik dan air, sudah dapat merasakan bebannya, bagaimana pula dengan ratusan ribu malah jutaan rakyat lain yang tidak senasib baik dengan saya? 

Berapa ramai yang tersekat di stesen minyak malam tadi? Heh. [Kredit]
Kenaikan harga minyak termasuk apa yang disebut sebagai 'cost-push inflation' atau err, inflasi menolak kos. Wahahaha. Dalam bahasa mudahnya, kenaikan harga minyak akan turut mempengaruhi kenaikan harga barangan yang lain.

Manakan tidak. Pemandu lori sayur kini terpaksa berbelanja lebih untuk menanggung kos minyak yang meningkat. Jadi apa langkah mudah untuk menanggung kenaikan kos ini? Dengan menaikkan harga sayur yang dijualnya.

Pemilik kedai gunting rambut yang ke kedainya menaiki motor, kini terpaksa berbelanja lebih untuk membayar duit minyak. Maka apa yang difikirkan olehnya untuk menanggung kos kehidupan yang semakin meningkat ini? Menaikkan kos perkhidmatan menggunting rambutnya dari RM10 ke RM12.

Para pekerja sebuah syarikat menjual paku tekan menaiki pengangkutan awam untuk ke tempat kerja. Kita andaikan berikutan kenaikan harga minyak, tambang teksi, bas dan tren juga meningkat. Maka para pekerja ini menuntut kepada majikan mereka agar gaji mereka dinaikkan. Kos keseluruhan operasi syarikat meningkat. Apa yang boleh dilakukan oleh syarikat untuk menganggung kos ini? Menaikkan harga paku tekan yang dijual.

Sudah nampak permainannya di situ?

Hujahan saya mungkin terlalu lurus ke hadapan dan pastilah ada cacat celanya, namun mudahnya begitu. Kenaikan harga minyak tidak sama dengan kenaikan harga barangan yang lain, kerana ia amat mempengaruhi urusan kehidupan kita sehari-hari.

Dua puluh sen mungkin tidak ada apa-apa untuk mereka yang pendapatan isi rumahnya lebih RM10,000 sebulan. Dua puluh sen mungkin hanya celah gigi sahaja buat mereka yang kaya. Kenaikan harga minyak sebanyak dua puluh sen itu mungkin tidak disedari pon oleh mereka yang selama ini sememangnya menggunakan RON97. Heh.

Tapi dua puluh sen, untuk mereka yang hari-harinya berjuang demi mencari sesuap nasi, adalah suatu jumlah yang besar. Dua puluh sen, untuk kebanyakan keluarga di luar sana, adalah cukup membebankan. Dua puluh sen, untuk mereka yang marhaen adalah ibarat beban gergasi yang jatuh menimpa diri.

Mari kita lakukan perkiraan mudah.

Sebuah keluarga yang memiliki sebuah Proton Saga FLX 1.3L. Andaikan tangki kereta ini bersaiz 30 liter. Pada harga lama RM2.10 seliter, keluarga ini berbelanja sebanyak:

RM2.10 x 30 = RM63.00

Kita andaikan keluarga ini mengisi minyak penuh tiga kali seminggu. Maka jumlah perbelanjaan untuk sebulan:
RM63.00 x 3 x 4 = RM756.00

Dengan kenaikan RM0.20 seliter, kini perbelanjaan duit minyak keluarga tersebut adalah:
RM2.30 x 30 x 3 x 4 = RM828.00

Dengan kenaikan ini, keluarga tersebut terpaksa menanggung peningkatan kos sebanyak:
RM828.00 - RM756.00 = RM72.00

setiap bulan. Itu baharu satu bulan. Baharu satu kereta. Rata-rata keluarga hari ini memiliki sekurang-kurangnya dua buah kereta. 

Untuk mereka yang berpendapatan isi rumah RM5,000 sebulan dan ke bawah, RM72.00 sebulan adalah suatu jumlah yang signifikan. Dapat beli beras dua guni tu bang oi! (Atau seperti yang dibahaskan oleh rakan sekerja saya dengan lebih sempoi, "Tu boleh beli dua guni beras 10 kilo dengan berpapan-papan telur tu!")

Nah, sekarang tambah semua itu dengan harga-harga barangan lain yang akan turut naik berikutan dengan kenaikan harga minyak. Terasa seperti mahu menarik-narik rambut dan kemudian terjun gaung tak? 

Jadi saya mahu bertanyalah, celah ketiak mana pelaksanaan rasionalisasi subsidi minyak akan memberikan impak minimum kepada rakyat? Pfftt.

Ternyata RON95 move ini hanya membebankan rakyat. Eh. 

Ini memang lejen. [Kredit]

Ini membawa kita kepada poin yang terakhir; kerajaan akan membantu meringankan beban rakyat dengan meneruskan pemberian BR1M (dan lain-lain insentif).

BR1M. Di mana mahu bermula pon saya tak tahu. Terlalu banyak kebobrokan dan kepincangan pada BR1M ni! 

Mari kita lihat semula kepada sebab utama kerajaan mahu melaksanakan rasionalisasi subsidi; untuk mengukuhkan kedudukan kewangan negara. Bukan?

Menurut perkiraan yang dikeluarkan oleh KDNKK, kerajaan akan berjaya menjimatkan RM1.3 bilion kesan langsung daripada pengurangan subsidi minyak kali ini.

Pada masa yang sama, kerajaan berjanji untuk terus memberikan BR1M kepada mereka yang layak. Untuk pemberian BR1M bagi tahun 2014 seperti yang telah diperuntukkan di dalam bajet negara, kerajaan telah membelanjakan RM4.5 bilion untuk tujuan itu. Empat perpuluhan lima bilion ringgit Malaysia bak hang! 

Nah, anda tidak perlu mengambil ijazah sarjana muda dalam ilmu hisab untuk membuat perkiraan sendiri bukan? 

Segala penjimatan dan manfaat yang mungkin ada hilang lesap begitu sahaja dengan pemberian BR1M. Memang terbaik. Saya tidak faham dan tidak nampak mengapa pemberian BR1M juga dilihat sebagai pemberian subsidi. Sungguh saya tidak dapat mengotakkannya.

Baiklah. Ada yang berhujah bahawa pemberian BR1M yang menggunakan format pemberian tunai secara terus adalah jauh lebih baik kerana ia menyasarkan golongan yang benar-benar layak sahaja, berbanding dengan subsidi minyak yang bersifat universal; sesiapa sahaja baik miskin atau kaya akan mendapat faedahnya.

Mereka yang menggunakan hujah ini terlepas pandang kepada dua perkara penting:
  • Kerajaan tidak boleh mengawal jenis perbelanjaan yang akan dilakukan oleh penerima BR1M; dengan kata lain, sebaik sahaja menerima wang sagu hati BR1M, penerima boleh berbelanja sesuka hati mereka 
  • Kesan lansung cost-push inflation seperti yang diterangkan sebelum ini, yang akan menyebabkan kesan domino di luar kawalan pada harga barangan yang lain
Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, ehem, kerajaan sepatutnya menyediakan mekanisme untuk memastikan wang yang diberikan disalurkan kepada perbelanjaan yang bersifat produktif dan menyumbang kepada ekonomi negara. Dah kalau pakcik X menggunakan duit BR1Mnya untuk membeli rokok, Abam W menggunakan duit BR1Mnya untuk membeli VCD porno dan Makcik Q menggunakan sumbangan BR1Mnya untuk gelang emas, bagaimanakah semua itu dapat memberikan maslahat yang bersifat menyeluruh kepada negara?

Saya kuat berpendapat, penerusan subsidi minyak di peringkat ini adalah jauh lebih baik daripada pemberian BR1M yang hanya memberikan kesan secara sekali lalu (Baca: One-off). Dengan syarat, perbendaharaan dan sumber negara diurustadbir dengan efisien dan cekap. Dan pembangunan infrastruktur yang menggalakkan aktiviti ekonomi perlu dirancakkan agar dapat memberikan impak yang lebih signifikan untuk suatu tempoh masa yang lebih panjang.

Dengan hutang 1MDB mencecah sehingga RM38 bilion, kes-kes pecah amanah dan rasuah dalam kalangan pegawai kerajaan mahupon syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dan entah macam-macam lagi keadaan yang menggambarkan berlakunya ketirisan yang kritikal, belum lagi dikira GST yang bakal dikuatkuasakan kelak, langkah rasionalisasi subsidi yang membebankan rakyat tampak tidak rasional dan tidak relevan sama sekali.

Sebagai sebuah negara pengeluar minyak, rakyat berhak mendapat sesuatu yang lebih baik daripada ini. Sekiranya benar mahu mengurangkan subsidi minyak, maka kurangkan juga subsidi kereta agar kami semua dapat memandu kereta yang lebih baik! Baru kelas naik kereta mewah dengan harga minyak yang mahal! Wah!

Tarik nafas. 
Cabaran kini terletak pada kerajaan pimpinan Dato' Sri Najib, terutamanya dalam pembentangan Bajet 2015 nanti untuk membuktikan bahawa rakyat akan sentiasa diutamakan. [Kredit]
Ini bukan sekadar penulisan tidak puas hati. Ini bukan sekadar cakap-cakap melepaskan geram.

Ini adalah penulisan untuk berkongsi ilmu. Ini adalah cakap-cakap untuk memberitahu.
Berapa ramai orang di luar sana yang akan terus tertipu dan diperbodohkan hanya kerana mereka tidak tahu.

Orang-orang yang berhujah dengan hujahan seperti,

"Hekeleh. Tudung Fareeda beratus boleh beli, minyak naik doploh sen pon bising!"

atau

"iPhone 6 boleh pulak kau sambar. Harga minyak naik doploh sen kau dah gegar! Pergi pindah negara lain la bang!"

atau

"Sebelum ni isi minyak penuh RM60.00. Naik doploh sen, baru RM60.20! Kau nak kecoh apa..??"

Saya nasihatkan, lebih baik anda mengaji sebelum mengeluarkan kenyataan yang memalukan diri. Dan yang terakhir itu, err, silalah daftar masuk tusen Matematik ya? Wahahaha.

Silakan bersetuju untuk tidak bersetuju. Malah saya amat mengalu-alukan sebarang perbincangan dan kritikan yang konstruktif untuk tulisan saya kali ini. 

Kesimpulannya? Maaf, saya gagal merasionalkan rasionalisasi subsidi minyak kali ini.

Titik. 

-gabbana- 

Sumber:

9 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 02/10/2014, 18:46  

Oh Malaysia Tanah Air Terchentaku. Hoh!

BRIM ibarat Dakwah Fardhiyah kepada rakyat.


Alangkah eloknya BRIM tu cover balik minyak dan so on. Tak yah la bagi BRIM.


Kaya Melesia. Minyak naik. GST ade.

Minyak naik + GST = Millionbillionare dan macam lionare lagi utk "mereka".

Shakirah 03/10/2014, 12:34  

Saya setuju 200% krn kenaikan harga yg mendadak dlm masa yg hanya kurang lebih stahun ini terlalu membebankan ramai org trmsuk keluarga saya yg bknlah dari kalangan yg berada. Kos hidup meningkat walaupun cuma duduk kampung. Even harga tiket bas nak balik uni pun naik dan naik lagi. Sobsss (lap air mata) Semoga Allah luaskan rezeki kita, dan beri kita kefahaman untuk memilih pemimpin dan laluan yg benar walaupun tak menang di dunia. Sobss lagi.

Anonymous 03/10/2014, 16:17  

tumpang tanya ig. IS(negara pemisah islam) ni sebenarnya baik ke jahat?

Anonymous 03/10/2014, 17:52  

Banyak nya korang makan minyak. Kat sini bawah rm30 seminggu pon saya dah bising. Hikmah dok kat bandar yg tak besar. Kena bersyukur ni.
Tapi kesian orang kat bandar yang duit minyak mengalahkan harga sewa rumah kat kampong2, rm450-600 jer, rumah teres 2 tingkat. Nak naikkan sewa pon tak sampai hati.
Hmmm, macam2.

Anonymous 03/10/2014, 18:21  

Ada golongan yg dlm keadaan terkenan bertukar menjadi rangsangan utk bertindak melawan arus.
Katanya harga barangan akan naik. Apa kata kita tanam dan bela apa yang patut sebagai sumber makanan harian. Tanam sayur keliling rumah atau dimana2. Bela ikan, ayam dll.
Bila pengeluaran melebihi permintaan, harga dapat dikurangkan, ewwah.
Ada sorang makcik ni bela ikan lebihan dari yg dibeli. Contohnya, beli keli 10 ekor, siang 7 ekor. Campak baki dalam kolam/kolah/ pasu. Nanti 3 ekor ikan tu akan biak. Contoh jer, perlu diperincikan la.
Kalau kita bising pon, tak menukar keadaan. Lebih baik cari akal kreatif.
Kalau apg dok wangsa ker pon, boleh sewa tanah kat tempat yg selalu pergi usrah kat kuala kubu ke, banyak tanah kosong kat situ. Boleh ajak pemuda/ukhwah join berkebun masa weekend. Peluh pon dapat, sambil berdakwah. Kikiki!
Relaks la bro, jgn sirius sgt.
Wa tau la lu economist.
Sebena nyer, wa sdg cari partner/group nak buka kebun sayur dan padang ternakan. Nanti, raya korban next year, boleh jual dah. Harga kambing sama macam harga lembu wehyh? Kan ker 9 /10 punca rezeki dari perniagaan, kankan?

Anonymous 05/10/2014, 12:02  

Encik Gabbana, rasanya ada silap sikit... Errr.. Ke saya yg silap 0.0

Maksud ketirisan kt atas tu, rasanya lebih related kepada "leakages" yg berlaku apabila sistem subsidi tidak efektif, ie tidak mencapai target group.

Cuba fikirkan, tujuan subsidi adalah utk membantu golongan yg berpendapatan rendah.

Siapa yg lagi banyak dapat bantuan bila subsidi minyak diadakan?
Pak abu yg naik motor kapcai sebulan isi minyak rm50, ataupun Robert, naik kereta honda crv sebulan isi rm500.
Jadi.. Subsidi minyak ni hanya membebankan kerajaan, sebab kena tanggung gaya hidup mewah robert, yg bawak kete besar2, pdhal robert ni stu income bracket dgn tony fernandez. Robert ni, dah la buat bisness juta2, tp income tax xnak bayar, menyorok. Lps tu gov pulak kene bayar duit minyak dia. Tak ke subsidi minyak ni mcm kerajaan sedekah dekat org kaya2.

Sebab tu la, rasionalisasi minyak ni betul aje.. Cuma, sebelum dirasionalisasikan, perlu wujud kan mechanism utk make sure rakyat biasa ni hidup sejahtera. Duit cukup. Sayangnya gobermen kita ni x cukup kreatif. Ade ke bagi BRIM... Abeh org dpt g belanja beli smartphone bagai..

Harap inche g buat kajian lebih detail sblm kritik dan buat contoh2 penuh emosi dan persepsi cewahh. Rakyat msia xramai yg celik ekonomi, nanti habis semua jd mat emo dan minah emosi.

Isu negra kita adalah
1-ketirisan. Baik in terms of rasuah, mahupun ineffective policies, mcm subsidi yg ntah merata2 ke mana2, org senang yg untung. Pdhal byk lg subsidi yg bole jd effective, mcm free education, medical, better public transport etc.. Baru la tlg org susah.
2-pendapatan yg super rendah. Pengembangan ekonomi (GDP PCP) berlaku dgn kadar yg jauh lebih tinggi berbanding peningkatan gaji. Dah la org msia ni semua bergantung pd makan gaji, xde bsness lgsung. Jd kalau tgk PPP pulak, mmg merosot habis.

Adapun, pelaksanaan rasionalisasi subsidi sebenarnya adalah langkah yg baik in the long run. Sbb masalah yg nk diselesaikan ialah subsidi yg lebih bnyk dinikmati org kaya. Cuma yg perlukan kritikan/idea/cadangan ialah mcm mana nk gunakan penjimatan drpd subsidi ni, kepada sesuatu yg meningkatkan pendapatn isi rumah. Bg BRIM tu idea yg paling malas sekali. Org fikir la cmne nk tingkatkn pndptn secara kekal, bukan one off. Mindset BRIM tu pn bukannya org faham utk guna tampung kenaikan2 harga brg sebab penarikan subsidi. Org faham BRIM tu hadiah drpd kerjaan sbb undi diorg.

Kesian rakyat.. Hidup dlm tak tahu, last2 semua tindakan kerajaan yg baik pn dimarahnya, yg tak baik dia x sedar.

Pokoknya, gobermen kne ubah la cara.. Bnykkan penerangan dan kongsi strategi.. Ni buat mcm2 report, ETP, GTP, NKRA, mana ada rakyat marhain baca.. Silap2 org educated obersee mcm IG pn x baca kot? Ehh

Aman.. Saya bukan macai wahahaha

Anonymous 05/10/2014, 12:13  

Oh.. bole baca tulisan ini.. barulah lebih rasional dan tak emo2.. hehe

http://www.themalaysianinsider.com/sideviews/article/malaysia-high-income-nation-but-low-income-rakyat-anas-alam-faizli

Inche gabbana 07/10/2014, 10:50  

Enomimus 5/10/14 12:02: Saya tak nampak komen anda clash dengan penulisan saya pon. Malah saya nampak ada banyak persamaannya.

Dua kali saya sebut dalam penulisan saya yang saya setuju je dengan langkah rasionalisasi ni, cuma it must be rightly executed.

Anda tak habis baca lepas tu terus komen dak? Hehehe.

Apa-apa pon jzkk untuk komennnya. :)

Inche gabbana 07/10/2014, 10:50  

Entah, takdelah emo pon masa saya tulis ni. Mungkin gaya bahasa saya kot. Atau pon saya tolong wakilkan emo untuk orang lain. Kekeke.

Wahai!

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP