16 October 2014

Menjadikan Dakwah Seperti Permintaan RON95 Yang Tidak Anjal

[Kredit]

Getah sekerap. Tilam cap Mimpi Manis. Gula-gula kendi bergula dan masam-masam rasanya. Pipi anak buah anda yang gebu-gebu itu. Batang rotan yang dilentik-lentikkan, siap sedia untuk menyebat punggung. 

Apakah persamaan yang ada pada semua ini?

Keanjalan. 


Di dalam ekonomi, ada suatu konsep yang dipanggil sebagai 'elasticity' atau keanjalan. Konsep ini digunapakai untuk menjelaskan sikap pengguna dan pembekal di dalam interaksi penawaran dan permintaan (Baca: Supply and demand). 

Apabila permintaan untuk sesuatu barangan, misalnya nasi lemak, adalah anjal, sebarang perubahan pada harga nasi lemak akan mengkaibatkan perubahan yang besar pada permintaannya. Contohnya, apabila harga nasi lemak sambal kerang yang dijual oleh Mak Nah meningkat sebanyak empat puluh sen, pelanggan mempunyai pilihan untuk tidak lagi makan nasi lemak dan beralih kepada roti canai, atau beralih kepada nasi lemak sambal kerang yang dijual oleh Makcik Joyah. 

Hal ini adalah kerana, nasi lemak mempunyai banyak alternatif lain. Dengan perkataan lain, para pelanggan nasi lemak punya pilihan untuk tidak lagi makan nasi lemak apabila harga nasi lemak meningkat. Hal ini dapat diterangkan dengan graf permintaan nasi lemak Mak Nah bagi Solehin Mukhtar yang berikut (ada graf kau!):


Berdasarkan graf di atas, peningkatan harga nasi lemak dari RM3.20 ke RM3.60 telah menyebabkan permintaan nasi lemak sambal kerang Mak Nah oleh Solehin Mukhtar berkurangan dari 3 bungkus ke 2 bungkus (dari titik A ke titik B). Sebungkus lagi nasi lemak sambal kerang Mak Nah yang sepatutnya dibeli oleh Solehin Mukhtar, kini mungkin telah ditukar dalam bentuk tiga keping roti canai atau sepinggan bihun goreng telur mata. Sekiranya harga nasi lemak naik lagi ke RM4.00, Solehin Mukhtar hanya akan membeli sebungkus sahaja nasi lemak sambal kerang tersebut. Naik lagi harga, tamatlah riwayat nasi lemak sambal kerang Mak Nah dalam kehidupan Solehin Mukhtar. 

Maka bolehlah dikatakan permintaan untuk nasi lemak sambal kerang Mak Nah adalah anjal kerana perubahan harga yang sedikit menyebabkan perubahan yang mendadak kepada permintaannya. (Nota: Kenyataan ini adalah bersifat umum dan kurang tepat kerana konsep keanjalan sesuatu barangan hanya dapat digambarkan dengan jelas apabila ada perbandingan dengan barangan lain.)

Hal ini berbeza sekali dengan permintaan terhadap minyak (atau lebih tepat, petrol RON 95). Oleh kerana minyak merupakan sesuatu yang asasi dalam kehidupan sehari-hari, baik untuk kegunaan peribadi atau komersil, maka permintaan terhadap minyak adalah tidak anjal (Baca: Inelastic). Sebarang perubahan pada harga minyak tidak akan mengubah tabiat penggunaan minyak sehari-hari oleh para pengguna secara signifikan. Hanya perubahan harga yang drastik sahaja yang mungkin akan mengubah tabiat penggunaan minyak; pengguna mungkin akan bertukar kepada tenaga angin kus kus atau kentut nitrogen berapi. Wahahaha.  

Untuk lebih memahami fenomena, kita lihat pula graf permintaan bagi petrol jenis RON95 seperti di bawah:


Secara mudahnya, Fatimah Aloyah yang memandu kereta Proton Saga BLM akan mengisi penuh keretanya dengan 30 liter petrol jenis RON95. Sehingga harga RON95 adalah RM1.90 seliter (di galaksi selari), Fatimah Aloyah masih lagi mengisi penuh keretanya. Apabila harga RON95 meningkat ke RM2.10, baharulah Fatimah Aloyah mula mengurangkan penggunaan minyak keretanya sebanyak satu liter. Ia memerlukan perubahan harga sebanyak RM1.60 (dari RM1.50 seliter ke RM3.10 seliter) untuk mengurangkan penggunaan RON95 sebanyak DUA liter oleh Fatimah Aloyah (dari titik A ke titik B)!

Inilah yang dikatakan sebagai permintaan yang tidak anjal. Perubahan harga yang besar pada sesuatu barangan yang mempunyai permintaan yang tidak anjal hanya akan mengubah sedikit sahaja tabiat penggunaan barangan tersebut. 

Saya harap anda fahamlah dengan pembelajaran teori ekonomi yang diajar secara riang gembira ini. Jika tidak, silalah buat-buat faham untuk tujuan membodek saya. Wah! 

Nah, bagaimana kita boleh mengaplikasikan teori ekonomi berkaitan dengan keanjalan ini di dalam tarbiyah dan dakwah? Atau lebih spesifiknya, bagaimana kita boleh menjadikan dakwah pada diri kita seperti permintaan terhadap petrol jenis RON95? 

Dalam kata lain, bagaimanakah kita dapat menjadikan dakwah hidup dan sebati dalam kehdiupan kita, sepertimana permintaan terhadap petrol jenis RON95 yang sukar sekali digugat meskipon berlalu perubahan pada harganya? 

Kata kuncinya adalah alternatif. Ya, perbezaan antara permintaan nasi lemak sambal kerang Mak Nah dengan petrol jenis RON95 adalah nasi lemak punya pelbagai alternatif untuk menggantikannya, sedangkan kita tidak punya banyak pilihan dalam menggantikan penggunaan petrol. Maka cabarannya adalah bagaimana kita mahu menjadikan dakwah dan kehidupan cukup sebati bersama, sehingga sukar sekali mendapatkan alternatifnya.

Jawapannya mudah dan lurus ke hadapan; kita hendaklah menjadikan dakwah sebagai teras utama di dalam kehidupan kita. Segala-galanya adalah dakwah.

Makan dakwah. Tidur dakwah. Mandi dakwah. Kerja dakwah. Kahwin dakwah.

Ehem.

Sehinggakan kita tidak boleh hidup tanpa dakwah. Kita rasa resah-gelisah macam orang putus chenta bila lama tidak berdakwah. Kita tidak senang duduk bila tahu ada orang yang mahukan dakwah. 

Sehinggakan jiran sebelah rumah, jiran selang tiga empat buah rumah, jiran belakang rumah, jiran atas rumah, semuanya dapat menumpang bahang semangat dakwah kita yang membara.

Sehinggakan rakan-rakan sekerja kita turut sama dapat merasakan kelazatan duduk dan tinggal di bawah lembayung dakwah.

Sehinggakan mak abah kita, adik kakak kita, makcik ipar kita, adik menakan kita, tiga empat pupu kita, dapat menikmati keindahan dan kegembiraan bersama-sama dengan gerabak dakwah. 

Sehingga itu, sehingga kita tidak dapat hidup tanpa dakwah, sehingga dakwah dan kita sebati ibarat telur dan tepung di dalam aduan kek Resipi Takberaparahsia, kita tidak mungkin dapat menjadikan dakwah sepertimana permintaan kita terhadap minyak kereta yang tidak anjal.

Hanya apabila kita dan dakwah berpisah tiada, apa jenis mehnah dan tribulasi yang mendatang sekalipon, kita akan tetap setia bersama dakwah. Caci maki yang datang menerpa, ujian keluarga yang mari menimpa, mehnah kewangan yang mengganas raksasa dan pelbagai jenis lagi tok nenek cubaan yang datang menyapa, kita akan dapat melaluinya dengan penuh bergaya kerana hubungan kita dan dakwah adalah hubungan chenta yang tidak anjal. 

"Jagalah Allah, nescaya Dia akan menjagamu. Jagalah Allah, nescaya Dia akan sentiasa bersamamu. 

Bila engkau meminta sesuatu, mintalah kepada Allah dan bila engkau meminta pertolongan, mintalah pertolongan kepada Allah. Ketahuilah, jika semua umat manusia bersatu padu untuk memberikan suatu kebaikan kepadamu, nescaya mereka tidak dapat melakukannya kecuali dengan sesuatu yang telah ditulis oleh Allah bagimu, dan jika semua umat manusia bersatu padu untuk mencelakakanmu, nescaya mereka tidak dapat mencelakanmu kecuali dengan sesuatu yang telah ditulis oleh Allah bagimu."

[Hadith riwayat Tirmidzi, hadith ke-19 di dalam Arba'in an-Nawawiyah]

Formulanya? Niatnya kena betul. Mujahadahnya kena kuat. Istiqamahnya mesti haibat. Sabar dan solatnya, wajib dibuat!

Jahiliyyah juga perlu dikikis bersih dari dalam diri. Masa-masa lapang yang ada tidak boleh dibiarkan berlalu dengan sia-sia. Supaya kehidupan kita sehari-hari tidak punya alternatif lain, melainkan hanya untuk tarbiyah dan dakwah semata!

Sehinggalah, 'permintaan' kita terhadap tarbiyah dan dakwah bersifat tidak anjal yang sempurna (baca: Perfectly inelastic). Apa-apa yang datang menghunjam, kita akan tetap berdiri teguh di sisi Islam!   


Graf 'permintaan' yang tidak anjal sempurna terhadap tarbiyah dan dakwah di dalam kehidupan

Bagaimana? Sudahkah anda bersedia untuk sehidup semati dengan tarbiyah dan dakwah? 

Moga kita dengan tarbiyah dan dakwah, ibarat kehidupan kita dengan minyak kereta; berpisah tiada. Dan moga iman kita juga seperti harga minyak; sentiasa naik, turun tiada!

Eh? Gelak kecil.

-gabbana- 

Ada orang bertanya kepada saya, bagaimana dan mengaplikasikan tarbiyah dan dakwah dalam pekerjaannya yang banyak berurusan dengan cukai. Katanya, kalau menjadi tuan duktur itu lainlah, lebih jelas halatuju dakwahnya. Namun dia buntu bagaimana untuk memanfaatkan pekerjaannya itu. 

Ini jawapan saya.

Apabila tarbiyah dan dakwah sudah sebati di dalam diri dan jiwa, inshaAllah, segala-galanya pon boleh sahaja dimanfaatkan untuk berdakwah. Hanya tinggal kita sahaja untuk memberikan seluruh jiwa dan raga kita di atas jalan perjuangan ini.

Senyum. 
 

4 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 16/10/2014, 14:19  

Gila sial graf hahaha! Aku dari dulu lagi mmg bergaduh besar dgn graf! Sib baek ko explain. Buat buat la aku faham (bodek!) Inche Gebuna buku free satu kekekeke.

Bab iman sentiasa naik tu aku suka. Alangkan baiknya jika kita sentiasa berdoa ditingkatkan iman bukannya ditetapkan iman.


Walaweh main cukai! Mohon dia fight segaka kadar kenaikan cukai. Kekekeke. Yang sentiasa hanya utk menutup ketirisan hujan ketika bumbung bocor. Hoh!

Doakan aku jadi cryptanalysis berjaya, beriman! Dan termimpi-mimpi boleh masuk Sapura Secured Technologies! Oh man!

Anonymous 16/10/2014, 22:28  

Rare.

Anonymous 17/10/2014, 00:30  

haa,yang ni memang masuk ke dalam lubuk hati ..deep..ahaha

Anonymous 13/11/2014, 00:03  

aha.....when keanjalan and D&T bergabung...gituhhh

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP