8 July 2013

Dia Datang.. Jeng Jeng Jeng!

[Kredit]

Bayangkan anda sedang berjalan-jalan di sebuah kawasan esklusif dan terkenal di ibu kota metropolitan Kuala Lumpur.  Suasananya cukup meriah dan menakjubkan; seolah-olahnya ada suatu pesta yang sedang berlangsung. Anda begitu teruja sekali kerana belum pernah anda melihat sesuatu yang cukup hidup dan menyegarkan.

Kain rentang ropol-ropol berwarna-warni kelihatan di mana-mana sahaja. Lelaki dan wanita yang memegang sepanduk liplap liplap sambil berwajah ceria bersinar-sinar memenuhi ruang-ruang pejalan kaki yang ada. Gabungan bunga api dan mercun memeriahkan lagi suasana. Arnab putih gebu-gebu berlari-lari keriangan manakala unggas bernyanyi penuh keterujaan. Eh.  Pendek kata, pemandangan yang sedang anda alami ini ibaratnya seperti suatu keajaiban dunia fantasi; cukup meriah, rancak dan dipenuhi dengan udara kegembiraan.

Dalam keterujaan itu, ketika anda baru sahaja mahu mengeluarkan kamera DSLR anda yang cukup mahal itu untuk mengabdikan apa yang sedang anda saksikan, mata anda terbelalak melihat sesuatu. Mulut anda terlopong besar tidak terpercaya. Tangan anda pantas menggaru kepala anda yang penuh ketombe itu. Anda dapat merasakan terdesaknya perasaan untuk terjun gaung apabila mengetahui bahawa sambutan yang cukup meriah dan suasana yang sungguh ajaib dan mengasyikkan itu adalah semata-mata kerana mahu menyambut kedatangan sesuatu. Anda membaca tulisan pada kain-kain rentang yang ada penuh kehairanan.

“Selamat Datang Ramadhan! Kami sudah lama menanti-nantikan kehadiranmu! Ahlan ahlan ya Ramadhan Kareem!” 

Bukan, ini bukan seorang insan yang bernama Pakcik Ramadhan Kareem. Peluh. Tetapi Ramadhan al-Mubarak, bulan yang penuh dengan rahmah dan keberkatan.

Sekarang sila kembali ke dunia realiti. Gasp. Apa yang anda bayangkan sebentar tadi dengan keadaan sebenar marcapada ini ibaratnya langit petala ketujuh dengan pusat bumi yang paling dalam sekali. Ya, mungkin ada pesta-pesta dan sambutan meriah sebegitu rupa, tapi untuk menyambut ketibaan Euro 2012, Akademi Fantasia, Jom Heboh dan Pertandingan Menganyam Bakul Pasar Peringkat Daerah Batang Padang. Err. 

Pelik bukan? Sedangkan bulan Ramadhan adalah penghulu segala bulan, bulan yang mengandungi seribu satu macam rahmat, keberkatan dan kebaikan. Begitu banyak hadith-hadith sahih yang menyebut tentang fadhilat dan kelebihan bulan Ramadhan ini. Begitu banyak ganjaran-ganjaran osem yang Allah janjikan untuk mereka yang beramal dengan penuh ikhlas dan bersungguh di bulan Ramadhan. Bukan itu sahaja, iblis syaitonirojim dan konco-konco mereka turut diikat dan dirantai bagi memudahkan kerja-kerja beramal dengan penuh gigih lagi hidung kembang-kempis.

Kiranya, bulan Ramadhan ini seolah-olahnya adalah hadiah besar lagi percuma dari Allah untuk manusia. Rasa jumlah pahala defisit pada kadar merbahaya? Tidak mengapa, bulan Ramadhan ada penambah pahala. Rasa dosa setinggi Banjaran Titiwangsa? Tidak mengapa, bulan Ramadhan ada penghapus dosa. Rasa malas dan susah nak beramal seikhlas hati sesungguhnya? Tidak mengapa, bulan Ramadhan ada untuk melatih dan mendidik jiwa.

Namun, bagaimana reaksi dan respon kita setiap kali Ramadhan datang mahu menziarahi kita? Kriik kriik bunyi cengkerik. Bandingkan pula reaksi dan keterujaan kita setiap kali kita mahu menyambut ketibaan Maher Zain ke Malaysia atau bakal ayah dan ibu mertua kita? Air mata mengalir laju.

Ramadhan hanya disambut meriah oleh golongan-golongan yang berikut:

  1. Anda yang mahu menurunkan berat badan
  2. Anda yang mahu membuka gerai di bazar Ramadhan
  3. Anda yang menanti-nantikan sepuluh hari terakhir dalam Ramadhan agar dapat membeli-belah pada diskaun hebat
  4. Anda yang suka makan lemang, rendang, wajik dan dodol
  5. Anda yang suka dengar lagu raya
  6. Kanak-kanak sebab sehari berpuasa mak ayah beri RM1
Peluh besar menitik perlahan di tepi dahi.

Sekiranya kita menelusuri sirah kemenangan Islam, kita akan dapati banyak peristiwa-peristiwa besar berlaku di bulan Ramadhan. Antaranya, peperangan Badar al-Kubra, Fathul Mekah, pembukaan al-Andalus dan kekalahan Mongol di ‘Ain Jalut. Bagaimana semua ini boleh berlaku? Bagaimana umat Islam boleh mengecapi kemenangan tatkala mereka lapar dan dahaga, tubuh badan lesu kepenatan? Bukankah di bulan Ramadhan umat Islam bermalas-malasan, berehat menantikan waktu berbuka puasa sambil berkira-kira moreh nanti nak makan apa?

Jawapannya terkandung  di dalam firman Allah di dalam al-Quran:

"Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa." 
[al-Baqarah, 2: 183]

Rupa-rupanya bulan Ramadhan ini adalah sebuah madrasah untuk mendidik jiwa-jiwa manusia menjadi lebih dekat denganNya. Ramadhan adalah sebuah platform untuk mengasuh hati-hati yang sakit di luar sana supaya lebih chenta kepadaNya. Dan Ramadhan adalah sebuah universiti yang mengajar insan-insan di luar sana betapa mereka perlu tunduk dan akur kepada si Dia pemilik seluruh alam semesta. Ya, Ramadhan adalah untuk orang-orang yang bertaqwa dan mereka yang memburu ketaqwaan.

Pastinya ia bukan sesuatu yang mudah. Untuk menjadi orang yang bertaqwa – yang mana golongan ini dijanjikan Allah dengan sorga seluas langit dan bumi – pastinya akan mengalirkan peluh besar baik di dahi mahupon ketiak. Err. Yalah, di bulan Ramadhan, anda bukan sahaja tidak boleh makan dan minum di siang hari, tapi anda juga perlu menahan mata keranjang anda itu daripada melihat ‘keindahan’ makhluk ciptaan Tuhan. Selain itu, anda juga perlu menghalang kaki Usain Bolt anda itu daripada melangkah ke tempat-tempat yang najis lagi haram. Anda juga mesti menutup telinga cakera satelit anda itu dengan kapas tebal agar tidak dimasuki dengan caci-maki dan carut-marut yang bisa mencederakan telinga. Juga, mulut laser teknologi terkini milik anda itu juga perlu dimatikan suisnya sepanjang bulan Ramadhan, bagi mengelakkan ia membunuh sesiapa dengan panahan tepat dan membakarnya itu.

Dan anda tahu apakah yang paling sukar dan mencabar tentang semua ini? Semuanya perlu dilakukan seikhlas hati; sesungguh-sungguhnya tidak mengharapkan apa-apa balasan pon melainkan keredhaanNya yang hakiki! Ok, mungkinlah boleh harapkan air sirap bandung sejuk dan ayam percik rangup berkrim sewaktu berbuka puasa nanti! Wahahaha.

Yang lebih utama, perubahan yang kita alami sewaktu bulan Ramadhan wajarnya dikekalkan sepanjang tahun. Perubahan kita dari seekor raksasa gorgon menjadi Otromen Daina sepatutnya bukan ketika Ramadhan sahaja, tapi sepanjang 11 bulan yang lainnya. Kerana itulah sifat Ramadhan yang sebenar; ia adalah madrasah tarbiyah yang mendidik dan menyentuh jiwa, malah membentuk dan mengacunya pula agar hasil akhirnya adalah seorang insan yang benar-benar bertaqwa.

Maka tidak hairanlah anda yang benar-benar menghayati ruh Ramadhan adalah seorang insan yang benar-benar kuat, kool lagi bergaya! Senyum kenyit mata.

Eh eh, anda nak ke mana tu Inche gabbana?

Oh, maafkan saya. Saya mahu mempersiapkan diri, menyambut Ramadhan yang bakal tiba dengan paluan kompang dan permaidani merah dengan penuh riang gembira! Aiwah!

-gabbana-

Ini adalah artikel saya untuk Majalah JOM edisi Ramadhan yang lepas. Moga bermanfaat!

2 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 08/07/2013, 23:28  

selamt brpuasa...
harap puasa kali ini lebih osem..
tak gitu enche gabana.

Anonymous 09/07/2013, 17:48  

Maksudnya jom yg lps tu ediso berapa?kata dh x menulis dh...

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP