26 May 2013

Islam Takkan Menang Dengan Dai'e Yang Gemok

[Kredit]

Marcapada ini, semakin ramai yang mula berborak dan berbincang tentang kemenangan Islam. Prospek tentang tertegaknya kembali Islam sebagai Ustadziyatul 'Alam di muka bumi ini. Kembalinya Islam sebagai pemerintah dan pemakmur seluruh alam. Khalifah yang kacak bergaya menjadi pemerintah yang adil lagi saksama bagi alam buana.

Alhamdulillah, ia merupakan suatu perkembangan yang sangat sihat dan baik, apatah lagi yang banyak berbicara tentang hal ini adalah golongan muda yang bersemangat waja. Sekiranya sepuluh dua puluh tahun yang lalu, anak-anak muda lebih gemar berbicara tentang hiburan, malam ni nak tengok movie apa, hujung minggu ni nak berjimba di mana, anak-anak muda zaman sekarang juga gemar berbicara tentang hiburan, malam ni nak tengok movie apa dan hujung minggu ni nak berjimba di mana. Eh?

Cuma semakin ramai anak-anak muda yang semakin sedar akan tanggungjawab mereka sebagai hamba dan khalifah Allah di muka bumi ini. Semakin ramai anak-anak muda yang rajin ke masjid bukan sahaja untuk solat berjemaah, tetapi duduk mendengar majlis ilmu yang ada. Semakin ramai anak-anak muda yang berbulatan gembira dan keluar di hujung minggu untuk berkonferens riang menambahkan ilmu dan memantapkan iman di dada.

Ya, ia suatu fenomena baru yang semakin mendapat tempat dalam kalangan anak-anak muda zaman moden ini. Jika dahulu anak-anak muda lebih ramai yang flip rambut tengah dan rambut panjang mengurai, sekarang ini lebih ramai yang flip janggut dan tudung labuh! Wahahaha..

Tetapi... Jika kita lihat sekeliling, Islam masih tidak menang-menang. Umat Islam masih lagi ditindas di mana-mana. Negara yang paling mundur adalah negara yang paling ramai umat Islam di dalamnya. Keganasan masih dikaitkan dengan Islam. Palestin, Syria, Somalia, Kashmir dan Chechnya masih dilanda krisis yang seolah-olahnya tiada kesudahannya. Mengapa begini..? Mengapa kemenangan Islam tampak masih jauh lagi, meski sudah semakin ramai yang tersedar dari lena mereka, bahawa menjadi tanggungjawab mereka untuk menegakkan kembali Islam di muka bumi..?

Kerana hanya berbicara kencang dan berborak lebat tidak akan mengembalikan kemenangan Islam. Manis di bibir dan ada taman dalam hati semata-mata tidak akan menegakkan kembali al-haq di muka bumi. Kembang-kempis hidung di perhimpunan-perhimpunan girang semata tidak akan menjadikan Islam kembali menjadi Ustadziyatul 'Alam.

Kata Imam as-Syahid Hassan al Banna, "Medan khayal lebih besar daripada medan bercakap. Medan bercakap lebih besar daripada medan amal. Medan amal lebih besar daripada medan jihad. Dan medan jihad lebih besar daripada medan jihad yang muntij."

Berangan-angan memang mudah bro. Cakap lebat memang senang sis. Tapi nak buat dan amal? Nak perjuangkan bersungguh-sungguh dengan sepenuh dan seikhlas hati..? Belum tentu lagi.

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu."
[Muhammad, 47:7]

Allah sama sekali tidak memerlukan pertolongan kita. Hakikatnya, agama Allah yang agung tetap akan menang. Dia tetap akan menyempurnakan cahaya agamaNya yang mulia ini.

Namun Allah meletakkan syarat, untuk kita mengecapi dan menggapai kemenangan itu, kita dahulu perlu membantu agama Allah. Give and take. Kita nak Allah bantu kita, kita dahulu perlu berusaha untuk memenangkan agama ini. Kita tak nak tolong? Tadehal. Tapi kita kena tahanlah, kena pijak dan hina dengan orang-orang kafir dan musuh-musuh Islam!

Kerana sunnah perjuangan ini, ia bukan perjuangan yang berasaskan bunga-bunga dafodil dan arnab-arnab gemok. Ia bukan jalan yang ditaburi dengan gula-gula Hacks perisa limau gedang dan jika keletihan, ada air mangga lassi sejuk yang menunggu di tepi. Ia bukan gerabak yang dilengkapi dengan pendingin hawa dan sofa empuk yang selesa. 

Benar, Islam itu agama yang paling benar. Benar, Islam itu satu-satunya agama yang diredhai Allah. Dan benar, Islam itu yang paling mulia dan yang paling tinggi.

Tetapi itu tidak menjamin kemenangan umat Islam. Itu tidak memberi sebarang gerenti yang kita pasti akan menguasai dunia. Ia tidak memberi kuasa sakti yang pasti akan memuliakan kedudukan kita di muka bumi.

Kerana Islam itu bukan agama ajaib. Andai ia agama sakti yang penuh dengan keajaiban, tidak perlulah Nabi SAW dan para sahabat dahulu bersusah-payah menyebarkan dakwah sehingga terpaksa menanggung derita diseksa dan dipulaukan saudara-mara. Sekiranya Islam itu agama magis yang tidak memerlukan sebarang usaha untuk memenangkannya, tidak perlulah Nabi SAW dan para sahabat menanggung luka dan cedera di medan Uhud, hanya semata-mata kerana mahu mempertahankan kemuliaan Islam. Jika benar Islam itu agama yang tidak perlukan para pejuangnya berkorban jiwa dan harta untuk memenangkannya, cukuplah Nabi SAW membuat Kamehameha atau menggerakan kayu saktinya untuk meyakinkan kafir Quraisy tentang Islam.

Gituh. 

Kemenangan Islam dibina di atas peluh dan darah para hawariyyunnya. Islam hanya akan tertegak bila mana para pejuangnya ikhlas sepenuh hati, tidak punya kepentingan diri dan sanggup mengorbankan apa sahaja pada dirinya untuk agama yang terchenta. Islam hanya akan menang semula apabila para dua't yang menyebarkan risalah kebenaran ini berpegang teguh kepada al-Quran dan as-Sunnah. Islam akan kembali memerintah dunia apabila mereka yang memegang obornya menjadikan Allah sebagai satu-satunya tujuan yang utama. Dan Islam akan menjadi professor kepada alam ini, pusat rujukan kepada seluruh alam buana bila mana ikhwah dan akhawat yang menjadi penegak Syahadatul Haq ini, benar-benar ikhlas dalam melaksanakan amanah ini. 

Islam tidak akan menang apabila para dua't hanya tahu berangan-angan dan goyang kaki.

Islam tidak akan tertegak apabila para pejuangnya masih bermain-main dengan jahiliyyah dan maksiat.

Islam tidak akan kembali memerintah dunia apabila para penolong agama ini tidak bersungguh, bermalas-malasan dalam bekerja untuk agama.

Islam akan terus dihina, dihinjak dan dicerca apabila al-Quran dan as-Sunnah terus dipandang sepi.

Islam akan terus dipandang seperti sampah dan disepak macam tin kosong apabila para dua't yang kononnya memperjuangkan Islam ini lebih suka tidur dan banyak memberi alasan.

Islam tidak mungkin diminati dan dijadikan contoh tauladan kepada umat manusia apabila para pejuangnya punya karat-karat 'ujub dan takabbur di dalam hati, tidak ikhlas dan punya banyak kepentingan diri. 

Dan Islam tidak mungkin akan mengibarkan panjinya tinggi di puncak juara apabila kita, umat Islam masih chentakan dunia dan gemok dengan dosa dan noda.

Ya, itulah sunnah perjuangan. Itulah fitrah agama ini. Itulah hakikat kebenaran ini. Ya, ia pahit. Ia masin. Ia sakit. Tetapi ia kebenaran yang perlu dikunyah, ditelan dan dihadam.

Take it, or leave it. 

Dan ketahuilah, apabila hal ini terus berpanjangan dan tiada siapa yang peduli mahu memperbaikinya, Allah pasti akan menggantikan kita dengan golongan yang benar-benar ikhlas dan bersungguh dalam memperjuangan agama ini.

"Wahai orang-orang yang beriman! Barangsiapa di antara kamu yang murtad (keluar) dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum; Dia menchentai mereka dan mereka pon menchentaiNya, dan bersikap lemah-lembut terhadap orang beriman, tetapi bersikap keras terhadap orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Itulah kurnia Allah yang diberikanNya kepada siapa sahaja yang Dia dikehendaki. Dan Allah Maha Luas (pemberianNya), Maha Mengetahui."
[al-Maidah, 5:54]

Gulp. Telan air liur sambil meleleh air mata. 

Ya, inilah hakikat agama ini. Inilah sunnatullah sejak zaman-berzaman. Inilah undang-undang alam yang tidak ada diskaun atau kompromi.

Kerana Islam itu bukan agama ajaib. Ia bukan agama sakti. 

Dan ia takkan menang, tidak akan sesekali menang apabila para pejuangnya gemok dengan maksiat, berlemak dengan dosa dan noda! 

Ohoi!

-gabbana-

Harapnya tidak ada yang terasa atau berkecil hati dengan perkataan 'gemok' yang digunakan. Setelah habis membaca artikel ini, saya pasti ada faham dengan apa yang saya maksudkan.

Senyum. 

8 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 26/05/2013, 17:03  

Jzkk

Langit Tinggi 26/05/2013, 17:34  

Hurmm.. InsyaAllah

Anonymous 26/05/2013, 17:54  


Berangan-angan memang mudah.... Cakap memang senang ... Tapi nak buat dan amal? Nak perjuangkan bersungguh-sungguh dengan sepenuh dan seikhlas hati..?
T T

Anonymous 26/05/2013, 18:21  

Then, apa pengorbanan yang kita harus lakukan? Selepas pengorbanan masa, tenaga, wang, pada usrah/muayashah - membina manusia. Apakah mungkin dosa-dosa yang saya lakukan?

Selain itu, apakah pengorbanan yang saya mungkin terlepas pandang?

Anonymous 26/05/2013, 19:32  

Jazekkaykay gabbana.

Unknown 26/05/2013, 20:19  

mulanya saya heran jugak,apa kaitan 'saiz' gemok dengan entry ni. Tapi bila baca,baru faham. terima kasih.

dr_mbi 26/05/2013, 22:03  

jzkk. berat tak semestinya gemuk tapi lebih kepada bebanan

Anonymous 12/11/2014, 15:07  

Penulisan begini yang saya nak hidangkan kepada pembaca..insyaAllah one day..jzkk..

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP