14 January 2013

Saya Seorang Penagih!

[Kredit]

Bukan, bukan. Saya bukan nak buat pengakuan yang saya ini sebenarnya seorang penagih dadah. Atau ketagihan porno. Peluh besar.

Ehem.

Pernahkah anda ketagihan seumur hidup anda...?

Kamon la. Bohong sangat kalau anda katakan anda tidak pernah. Langsung tidak pernah..?? Ish.

Cuba ingat balik masa anda kecil-kecil dahulu. Ala, waktu anda masih hisap botol, petang-petang keluar main teng-teng dengan jiran sebelah rumah dahulu. Ingat tak..?

Ha, kan dah kata. Anda mesti pernah ketagihan sesautu kan..? Mungkin ada yang ketagihan membaca Doraemon atau Mutiara Naga. Atau ketagihan makan Nini Cokelat Celup, Celup Celup! Atau ketagihan bermain permainan Mario atau Pahlawan Jalanan (Baca: Street Fighters). Atau ketagihan mengumpul kepingan kad kertas kecil untuk bermain tepuk kad sampai merah-merah tapak tangan heyy! Err. 

Bagaimana..? Sekarang sudah ingat yang suatu ketika dahulu anda pernah ketagihan..? Senyum keji. 

Kemudian setelah anda meningkat dewasa, ketagihan anda berubah citarasa dan arah pula. Ada yang ketagihan rokok, sehinggakan rokok sehari yang dihisap lebih banyak daripada jumlah jari-jemari yang ada di tangan dan kaki. Eh. Ada yang ketagihan membeli-belah sehinggakan kalau sehari tidak membeli apa-apa, jantung akan berdegup kencang, kelenjar peluh akan merembes dengan penuh aktif sekali dan kaki akan gatal-gatal. Ada juga yang ketagih untuk mengurat, walaupon hidung kembang tak mancung, pipi menggeleber tersorong-sorong! Tak sedar diri. Nampak perempuan berdahi licin je, mulalah mulut tu nak bersiul. Pantang terserempak dengan makhluk bernama hawa, tak kiralah tua ke muda, mulalah tengkuk rasa gatal-gatal dan hidung kembang-kempis. Aish

Terbaru, ramai yang menghidap ketagihan laman-laman sosial di alam maya seperti MukaBuku, Pengicau, TiubAnda, Instagram dan entah apa-apa lagi lah. Ketagihan mereka ini kadang-kadang pada tahap yang kritikal dan sangat membimbangkan. Kata orang, makan MukaBuku, tidur Pengicau dan mandi Belog! Eh. Mereka ini cukup bersosial di alam maya tapi anti-sosial di alam nyata. Bayangkan tengah makan dengan Inche Papa dan Puan Mama, tapi tangan ligat pula menghapdet status-status terbaru pada henpon pintar! 

Macam tembak diri-sendiri je Inche gabbana..? Eh.  

Ketagihan merupakan sejenis penyakit yang perlu dirawat dengan segera. Ia bukan sahaja merupakan suatu indikasi kepada kecederaan mental, malah ia juga boleh memberikan kesan kepada kebahagiaan dan kehidupan seseorang itu sehari-hari. Contohnya, orang yang ketagihan porno pasti akan menjejaskan rumah tangganya. Orang yang ketagihan membeli-belah pula pasti akan mengoyakkan poketnya. Dan orang yang ketagihan tidur, pastilah air liur basi akan sentiasa memenuhi mukanya. Ewww

Err ok Inche gabbana. Anda nak tulis jurnal perubatan mentalkah..? Jika ya, saya nak laju-laju tekan butang pangkah di bahagian hujung atas belah kanan itu! Ohoi!

Op op, tunggu dahulu. Jangan cepat menggelabah. Sebenarnya, saya nak cerita tentang suatu jenis ketagihan yang ok malah digalakkan pula oleh syarak. Tak perlu dirawat, malah anda disyorkan untuk meningkatkan lagi dos ketagihan itu! Ahah. 

Ketagihan chenta Allah. Hoyeaahh.

Sekiranya anda mengalami simptom-simptom yang berikut:

1) Sentiasa rindu untuk sujud, merapatkan dahi ke tanah. Apabila dapat sujud, rasa tidak mahu bangun-bangun pula. Suatu kenikmatan yang sangat besar, kerehatan yang paling bermakna dan kelegaan yang paling memujuk jiwa apabila dapat bersujud sebegini. Ini.. Ini.. Inilah sujud pembebasan!

2) Mulut sentiasa terkumat-kamit berzikir memuji-muji kebesaran dan keagunganNya. Diselang-seli pula dengan istighfar, dengan harapan akan membersihkan dan menyucikan dosa dan noda. Ala-ala pahlawan gagah memandang matahari yang hampir terbenam di tepi pantai. Eh.

3) Ayat-ayat chentaNya sentiasa di jiwa. Kalau bukan Quran zip atau diari yang sentiasa kejap di tangan, ayat-ayat agungNya itu akan sentiasa diulang tayang di dalam kepala. Sumpah anda tak malu langsung membaca lembaran Quran di tempat-tempat awam seperti di dalam tren, di padang permainan dan di kaki lima!

4) Anda sentiasa mencari peluang untuk menyebarkan chentaNya. Hidung anda sentiasa kembang-kempis kerana terlalu bersemangat untuk mengajak orang lain agar turut jatuh chenta berguling-guling denganNya. Nampak sahaja ada peluang, anda cepat-cepat sambar. Nampak sahaja ada orang seperti terkapai-kapai memerlukan panduan, anda segera menghulurkan bantuan. Nampak sahaja ada orang menghampiri jurang api neraka, anda terkejar-kejar menghulurkan tangan menariknya semula. Pergh.

5) Anda sentiasa merindui ikhwah yang bersama-sama di atas jalan ini. Hati anda sentiasa diusik dengan memori-memori indah bersama mereka. Kadang-kadang tidak lena tidur malam anda dibuatnya. Kadang-kadang tu baharu sahaja berjumpa, tapi selepas berpisah seminit dua, sudah rindu kembali! Anda benar-benar rindu pada wajah ikhwah yang sentiasa mengingatkan diri anda pada Allah! Ah, anda tidak sabar-sabar untuk masuk sorga bersama-sama mereka!

6) Anda sentiasa tersenyum penuh gembira dan ceria. Kerana anda tahu, meski amanah dan mehnah di bahu amatlah berat dan menyeksa, namun kerja-kerja yang anda lakukan adalah usaha anda menempah tiket ke sorga. Kerana anda tahu, pasti ada yang akan turut berbahagia melihat senyuman anda. Lebih osem sekiranya senyuman anda bisa pula membuatkan orang lain terus memuji dan mengingati Allah yang Esa. Epik.

7) Anda sentiasa teruja untuk sesi-sesi duduk-duduk dan beriman sejenak. Tidak kiralah dalam bulatan-bulatan gembira, konferens-konferens riang atau ngeteh bersama ikhwah minum teh tarik. Anda sentiasa ternanti-nanti sesi sebegini yang akan menyebabkan iman anda melonjak tinggi!

8) Anda rindu untuk mati syahid, meskipon anda tahu apalah sangat pengorbanan diri jika hendak dibandingkan dengan orang-orang Palestin, Syria, Sudan dan sebagainya. Tapi ah, hati anda sering terusik apabila mendengar syuhada' yang dipilih Allah di Palestin sana. Jiwa anda sering tergugah apabila melihat foto-foto syuhada' yang tersenyum gembira di Syria sana. Anda rindu! Anda memasang azam! Anda tekad! Tidak salahkan memasang impian sebegitu rupa..?

"Di antara orang-orang Mu'min itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah. Dan di antara mereka ada yang gugur, dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu (untuk mati syahid), dan mereka sedikit pon tidak mengubah (janjinya)..."
[Al-Ahzab, 33:23]

9) Semua benda pon tarbiyah untuk anda. Kucheng mati? Tarbiyah. Makcik jual pisang goreng tepi jalan? Tarbiyah. Rambut menggerbang shiuuhh shiuuuhhh ditiup angin petang? Itu pon tarbiyah. Sehari tak ditaujih, disentuh dengan tarbiyah, boleh gatal-gatal kulit anda dibuatnya! Ohoi!

10) Jiwa anda mudah sekali bergetar apabila teringatkan sorga dan neraka. Hati anda dipukul-pukul, ditampar-ditampar setiap kali teringatkan perjuangan dan pengorbanan ar-Rasul SAW. Dan ruh anda ibarat digoncang-goncang, dikejut-kejut, diasak-asak setiap kali ayat-ayat chentaNya dibacakan kepada anda. 

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah mereka yang apabila disebut nama Allah, gementar hatinya, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya kepada mereka, bertambah (kuat) imannya dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakkal."
[al-Anfal, 8:2]

Anda, boleh beri saya sehelai tisu. Eh, dua helai. 

Batuk.

Maka, seandainya anda mengalami salah satu atau lebih simptom-simptom seperti di atas, itu tandanya anda sudah ketagihan chentaNya. Lebih banyak simptom-simptom yang terkena pada anda, maka lebih tegar, lebih pekat dan lebih bersungguh kechentaan anda itu! Wahai! 

"Ada pon orang-orang yang beriman, sangat besar chentanya kepada Allah..."
[al-Baqarah, 2:165]
 
Ya, saya sudah ketagihan chentaNya! Saya sudah ketagihan sentuhan rindu dan kasihNya! Dan saya sudah ketagihan aroma dan bayu angin sorga! 

Aaarrrghhhh berlari-lari riang mengelilingi padang sambil mengangkat tangan penuh gembira.

 Berhenti sekejap, pandang belakang..

 Dan tidak, saya tidak mahu penawar kepada ketagihan ini!

 Senyum nampak gigi.

-gabbana-

Separuh jalan menulis post ini, teringat yang saya pernah menulis sesuatu yang hampir serupa; Tarbiyah Overdosed.

Kehabisan idea? Mungkin. Atau kerinduan padaNya yang tidak terhingga..? 

Moga Allah redha!   
 

2 Caci Maki Puji Muji:

Muhammad Nur Fitri 15/01/2013, 00:47  

ada satu lagu ketagihan, KETAGIHAN membaca blog Angel Pakai Gucci...hoho. Moga Allah Redho (^_^)

Anonymous 02/02/2013, 12:23  

Overdosed...yeahh! In replace of other words, such as extreme and taksub, which are banned in our hsehold,by...who else!.An erlier post ws specficlly mnt for those already in the coach.en? This post should appeal more to the masses, more mainstream..that’s for a start for those just starting to assciate thmslvs with this discourse and trying to comprehend what’s going on in that coach ..relevant.

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP