22 December 2011

O.S.E.M.

Mata bersinar-sinar. [Kredit]

Sudah lebih dua tahun Nur Taufiq Zamani merantau di negara orang demi mengejar cita-cita menggenggam segulung ijazah. Ijazah dalam bidang makanan ringan di bawah tajaan Twisties itu bakal dimilikinya dari Universiti Santiago Nachos Krispsto, Mexico dalam masa setahun lagi sekiranya semuanya berjalan lancar.

Sekiranya semuanya berjalan lancar.

Itulah masalah utama yang sedang dihadapi Nur Taufiq Zamani. Sejak dua menjak ini, prestasi pelajarannya kian merosot. Pada semester lepas sahaja, sudah dua kali dia dipanggil untuk menghadap dekan di pejabatnya akibat keputusan peperiksaan yang tidak mengujakan. Baru-baru ini, dalam eksperimen menghasilkan keropok rangup daripada bahan-bahan kitar semula, Nur Taufiq Zamani telah diberikan gred 'D-' oleh penyelianya. Keropok yang cuba dihasilkannya daripada sos Tobasco, kulit ayam terbuang dan pucuk daun bawang bertukar menjadi kerepek yang agak ngeri rupanya setelah dia tersilap meletakkan adunan keropok itu ke dalam ketuhar bersuhu lima ratus tujuh puluh empat darjah Fahrenheit.

Nur Taufiq Zamani buntu. Dia tidak boleh gagal dalam semester kali ini. Sekiranya dia gagal, dia terpaksa mengulang tahun dan pihak Twisties tidak mungkin mahu menajanya lagi. Belum lagi dikira kemungkinan untuk dia disaman oleh pihak Twisties arakian pastilah bapanya yang terpaksa menanggung akibat sebagai penjamin. Ala-ala macam kes Alif Alfian Rosli pula. Eh. 

Bukannya dia tak bijak. Nur Taufiq Zamani adalah bekas pelajar terbaik Sijil Pelajaran Memasak (SPM) tahun 2008. Malah di kolej persediaannya, Kolej Masterchef Branang (KMB) dahulu, dia adalah antara pelajar terbaik dan disebut-sebut akan menjadi pengganti Chef Ismail suatu hari nanti. Kiranya, dia itu prodigi lah juga. Semua orang meletakkan pengharapan yang tinggi kepadanya.

Di KMB juga di mengenali dakwah dan tarbiyah. Buat pertama kalinya dia benar-benar menghargai apa itu bulatan gembira. Buat pertama kalinya, dia benar-benar dapat merasai kemanisan dan kehoyeeaahhaan ukhuwwah fillah. Dan buat pertama kalinya juga, dia benar-benar faham akan tanggungjawab menyebarkan risalah Allah ke seluruh muka bumi tanpa sebarang kompromi.

Maka berbekalkan status pelajar cemerlang dan azam berdakwah yang berkobar-kobar, dia terbang ke Mexico dengan satu iltizam; dia mahu menjadi qudwah dalam jalan dakwah agar dia dapat mengarusperdanakan dakwah dan menjadikan dakwah itu lebih kool dan bergaya. Itu impiannya. Itu cita-citanya. Dan dia amat yakin dia dapat melaksanakannya!

Tetapi entah mengapa, di Universiti Santiago Nachos Kripsto itu, dia tidak secemerlang, gemilang dan terbilang seperti yang dahulu. Nur Taufiq Zamani di Mexico adalah Nur Taufiq Zamani yang mediyoker sahaja, yang biasa-biasa sahaja. Bukannya dia tidak belajar. Bukan juga dia jenis yang malas, rilek-rilek chill dulu beb, isap rokok dulu! Err. Bukan. Malah dia adalah seorang yang super rajin; orang yang memerhatikannya pasti berpeluh-peluh dan duduk tak senang kerana melihatkannya begitu rajin dalam pelajarannya.

Meskipon begitu, hairan bin ajaib bin pelik benar, prestasinya di kelas dan kuliah seolah-olahnya tidak menggambarkan usaha dan keringat yang telah ditaburkan. Malah rakan-rakan yang mengenali Nur Taufiq Zamani juga sedikit terkejut dengan hal yang demikian. Mereka yang sempoi-sempoi dan tidaklah serajin Nur Taufiq Zamani pon boleh mencapai keputusan yang lebih cemerlang.

Bukan sekali Nur Taufiq Zamani berasa bawah dan tertekan dengan krisis yang sedang dialaminya itu. Dia menyedari hakikat tersebut. Dan dia juga sudah hilang akal bagaimana mahu mengatasi masalah itu. Dia sudah hilang idea bagaimana mahu mempelbagaikan caranya menelaah pelajaran. Belajar lewat malam sudah dicubanya. Belajar dalam kumpulan juga sudah dipraktikkannya. Makan habatus sauda', minum air zam-zam, solawat dan salam kepada junjungan mulia ar Rasul SAW setiap kali sebelum memulakan pelajaran pon sudah diamalkannya. Belum lagi dikira entah apa-apa teknik-teknik dan kaedah-kaedah pelik lagi khalakar yang dicadangkan oleh rakan-rakannya. Semuanya tak menjadi.

Setiap kali Nur Taufiq Zamani mengadu dan mencurahkan perasaan dan keresahannya kepada rakan baiknya, Alexandro Ziyad Gonzales, pastinya rakannya itu akan memberikan jawapan yang sama. 

"Takpe. Kau osem. Jangan risau..."

Itulah jawapan ringkas Alexandro Ziyad Gonzales, tidak kira masa, tempat dan ketika. Ditambah dengan senyuman manis yang dilengkapi pula dengan kumis tebal ala-ala David Villa.

Kadang-kadang geram juga dibuatnya. Mahu juga dihadiahkan sesikat penampar atau segugus penumbuk pada rakannya itu. Tidak membantu langsung! Mujurlah dia sudah mengikuti tarbiyah. Dia hanya menahan sabar dan cuba bersangka baik dengan ketidakpedulian rakannya itu.

Dan mujur juga apa yang berlaku tidak pernah mematahkan semangat Nur Taufiq Zamani dalam dakwah dan tarbiyah. Tidak pernah sekali terlintas di hatinya bahawa keaktifannya dalam dakwah dan tarbiyahlah yang menjadi penyebab atau punca kepada kemerosotan prestasinya di universiti. Tidak pernah. Ok, mungkinlah pernah sekali dua. Dia pon manusia biasa juga, yang sentiasa dicucuk-cucuk oleh syaitonirojim laknatullah itu.

Baginya, persoalan mana yang lebih penting; dakwah atau pelajaran, adalah tidak relevan. Baginya, itu soalan sekular. Mengapa perlu memisahkan pelajaran dengan dakwah? Bukankah dakwah itu satu proses pembelajaran? Dan bukankah seorang manusia itu adalah seorang dai'e untuk setiap masa dan ketika..?

Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap individu Muslim. Dengan kefahaman lain, menuntut ilmu itu adalah fardhu. Dan bukankah perkara-perkara fardhu ini sewajibnya mendekatkan lagi seseorang itu kepada Allah..? Dan bukankah apabila diri terasa semakin dekat dengan Allah, pastinya hati, jiwa, tenaga dan seluruh tubuh badan akan lebih bersemangat pom pomm pommm untuk bekerja demiNya..?

Ahh! Tidak relevan! Tiada pemisah antara dakwah dan pelajaran! Itulah bentakan dan protes hati Nur Taufiq Zamani apabila ada cobaan menyerang bertubi-tubi ketika mana dia sedang berada di jurang yang paling dalam. Dan syukur, berkat keteguhan hatinya dan keistiqamahannya dalam jalan dakwah, dia tidak pernah gugur dan luntur semangatnya untuk terus menjadi pemegang panji-panji agama Allah.

Sesibuk mana pon dia, bulatan gembiranya tidak pernah ditinggalkan. Seteruk mana pon keputusan hekzemnya, kehadirannya ke konferens-konferens riang tetap penuh dan cemerlang. Dan seberat mana pon ujian yang sedang dihadapinya, kasih dan chentanya pada rakan-rakan seperjuangan dan hadek-hadek tersayang tidak pernah luntur.

Itu belum lagi dilihat pada amalan-amalan fardhinya. Solat jemaahnya seboleh-bolehnya tidak akan ditinggalkannya, walaupon kadang-kadang sukar juga mencari jemaah solat di Mexico itu. Bangun malam sedaya-upaya dilaksanakannya. Bibirnya sentiasa basah dengan alunan merdu al-Quran dan bacaan doa-doa yang maa'thur. Banyak lagilah amalan-amalan yang dilakukannya yang tak boleh hendak disebut di sini; nanti riya' pulak dibuatnya. Eh. Pendek kata, kalau nak buat menantu, memang Nur Taufiq Zamanilah insan yang diburu oleh setiap bakal mak mertua! 

Tetapi itulah, Nur Taufiq Zamani juga adalah manusia biasa yang punya perasaan, emosi dan jiwa. Kadang-kadang lemah juga imannya, esepesli apabila melihat rakan-rakan lain yang terus maju ke hadapan, baik dalam dakwah mahupon pelajaran, sedangkan dia terkontang-kanting, terkapai-kapai dengan dirinya yang tidak stabil itu.

"Takpe Nur Taufiq Zamani. Kau tak perlu risau. Kau tu osem. Percayalah. Besar hikmahnya tu.."

Aduhai. Setiap kali mendengar kenyataan tersebut yang keluar daripada mulut Alexandro Ziyad Gonzales, dia tidak pasti sama ada melempang kawannya itu atau mengusap penuh kasih mesra belakang Alexandro. Dan selalunya dia hanya mengurut dada, mata pandang ke atas, menahan marah dan bersabar sahajalah dengannya.

Sehinggalah suatu hari, apabila Nur Taufiq Zamani dimarahi di depan orang ramai kerana gagal membezakan antara daun ketumbar dengan daun rosemary, dua bahan penting dalam pembuatan keropok berperisa tenggiling bakar. Hari itu bukan sahaja dia berasa teramat malu, juga berasa terlalu amat tertekan. Dia merasakan tidak adil dia dilayan sebegitu rupa. Dan ketika itulah Jeneral Iblis laknatullah dan tentera-tenteranya menyerang Nur Taufiq Zamani habis-habisan.

"Kau tengok tu Nur Taufiq Zamani. Selama ni kau buat dakwah, kau buat tarbiyah, kau korbankan masa kau untuk tajmik hadek-hadek. Kau belanja beribu-ribu peso untuk DF hadek-hadek bulatan gembira kau. Kau tak kisah pasal diri kau sendiri. Kau tengok apa yang kau dapat..?? Layak ke kau dilayan macam ni..??"

"Ala Nur Taufiq Zamani. Lek ah. Selalu lah orang gagal ni. Bukan ke kegagalan tu adalah guru yang terbaik untuk kejayaan ke..? Bukan susah pon. Lepas ni kau kurangkanlah sikit masa kau berbulatan gembira tu. Konferens-konferens riang pon, tak payahlah pergi semua. Ala, orang pon tak kisah kalau kau tak pergi semua. Diorang pon dah kenal sapa kau. Diorang faham. kau perlukan masa lebih sikit je untuk belajar. Tu je. Senang kan..?"

"Ya Allah Nur Taufiq Zamani. Kau dah berkorban macam-macam. Semuanya kau buat demi Allah. Kau buat untuk cari keredhaanNya. Tapi inikah balasanNya kat kau..?? Allah tak sayang kau dah tu Nur Taufiq Zamani.. Allah dah tak peduli dah pasal kau. Sudahlah. Berhentilah daripada menyusahkan diri kau dengan kerja-kerja dakwah tu.. Allah tak pandang pon!"

Adeh. Tergugah juga iman Nur Taufiq Zamani ketika itu. Lemah juga jiwa dan hatinya ketika itu. 

Ini tak boleh jadi! Aku tak boleh duduk sorang-sorang macam ni! Aku kena cari ikhwah!

Dan orang pertama yang dijumpainya adalah rakan baiknya, Alexandro Ziyad Gonzales. Walaupon dia sudah boleh menjangkakan jawapan yang akan keluar daripada mulut sahabtnya itu, tetapi dek tidak tertahan dengan badai perasaan dan ombak jiwa yang melanda dirinya, diluahkan juga kepada sahabat hoyeeaahhhnya itu.

"Ala Nur Taufiq Zamani. Kau kan osem. Kau jangan..."

"AAAAHHHH KAU NI...! Sikit-sikit osem! Sikit-sikit osem! Apa yang osemmmnnyaaa aku ni hah...?? Apa yang osemnyaaa..?!? Kau cubalah faham sikit dilema aku skang ni..! Ni tak..! Osem osem osem! Itu je yang kau tahu...?? Apalah punya ikhwah macam ni...!!"

Sunyi sepi. Tergamam sebentar Alexandro Ziyad Gonzales dengan reaksi Nur Taufiq Zamani. Terbeliak sedikit matanya. Kantoi. Tidak disangkanya Nur Taufiq Zamani akan meletup sebegitu.

"Sabar Nur Taufiq Zamani. Sabar. Meh duduk dulu. Sabaaarr..."

Mujurlah Nur Taufiq Zamani masih dapat berfikir secara rasional. Diikutinya nasihat sahabatnya itu. Tetapi dia masih berasa geram dengan Alexandro Ziyad Gonzales. Masakan di saat-saat genting ketika itu, sahabatnya itu boleh berkelakuan acah tak acah sahaja. Siapa yang tak menyirap..??

"Nur Taufiq Zamani. Kau tahu tak apa maksud osem..?"

Nur Taufiq Zamani mendongak, memandang sahabatnya itu. Dia ni biar betul. Ada jugak yang makan kasut aku ni nanti! Dijelingnya sahabatnya itu, sebelum menjawab...

"Apa dia..? Awesome la kan..? As in, menakjubkan. Bukan..?"

Alexandro Ziyad Gonzales hanya tersenyum. Manis.

"Betullah la tu. Tapi ada maksud yang lebih besar daripada tu. Dan setiap kali aku cakap kau osem, itulah yang aku maksudkan."

Sedikit demi sedikit mula reda kemarahan Nur Taufiq Zamani. Dan dia amat kuriyes dengan kenyataan Alexandro Ziyad Gonzales itu.

"Ada maksud lain..? Apa dia..?"

Mata Nur Taufiq Zamani sedikit bercahaya. Dan Alexandro Ziyad Gonzales berjaya menangkapnya. Senyuman lagi.

"O.S.E.M. Ordinary Student. Extra-ordinary Muslim. OSEM. Itulah kau. Nur Taufiq Zamani, kau sumpah OSEM tahu..??"

Nur Tufiq Zamani terkedu. Ada butir-butir kaca di hujung matanya.

 ***

Tidak kisahlah siapa kita di dunia ini; sama ada kita seorang pelajar yang ekselen, atau penyapu sampah di sekolah tadika, atau hanya seorang suri rumah biasa.

Setiap daripada kita ada peranan dan tujuan kita diciptakan. Dan di akhirat nanti, amanah kita dalam memenuhi peranan dan tujuan inilah yang akan ditanya, yang akan dipertanggungjawabkan, dan bukannya siapa kita atau apa yang kita ada atau dari mana kita datang. Bukan.

Maka gunakanlah setiap saat dan ketika yang ada di dunia yang fana ini untuk berusaha sebaiknya memenuhi tuntutan agung itu. Bekerjalah, bekerjalah dan teruskan bekerja. Jangan sesekali berputus-asa, kerana setia detik itu amat berharga.

 "Dan katakanlah, 'Bekerjalah kamu, maka Allah akan melihat pekerjaanmu, begitu juga RasulNya dan orang-orang mukmin, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakanNya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.'"
[at-Taubah, 9:105]

Biarlah kita loser, lame dan tiada apa-apa di mata pandangan manusia. Asalkan kita OSEM pada pandangan Allah, pemilik jiwa dan Tuhan kita. Itulah yang paling terutama. 


Iya, jalan ini sumpah panjang. Kadangkala gelap-gulita adanya juga. Tetapi yakinlah, ada pelangi yang sedang menunggu di hujung jalan, penuh setia. Senyum. [Kredit]

Anda mahu menjadi OSEM..?

-gabbana-

OSEM boleh juga membawa maksud 'Ordinary Self, Extra-ordinary Muslim.' Maknanya, ia boleh diaplikasikan untuk semua oranglah!

Ayuh kita jadi OSEM..? Aman.

14 Caci Maki Puji Muji:

A-N 22/12/2011, 16:21  
This comment has been removed by the author.
Anonymous 23/12/2011, 00:54  

sama dengan kisah diri sendiri. hampir2 gagal tapi Allah mudahkan semuanya. yang penting yakin dengan Allah swt dan sentiasa bersangka baik denganNya.

Anonymous 23/12/2011, 02:37  

Assalamualaikum wrh wbt...

Apajua urusan yang dilaksanakan bagi memenuhi keperluan keduniaan mahupun keperluan akhirat, keperluan akhirat itu pasti&pasti mendahului keperluan keduniaan dimana keperluan keduniaan diusahakan dalam menakluk keperluan akhirat. bukan sebaliknya...

"hendaklah kamu bekerja seolah-olah kamu akan hidup 1000 tahun lagi; dan hendaklah kamu beribadah seolah-olah kamu akan mati esok"

Atas dasar itu, bilamana datang panggilan&syariat Allah, bersegeralah kita tanpa tangguh-tangguh dan rasa ragu-ragu seolah-olah kita akan mati pada keesokan hari dimana urusan yang selain akhirat dapat ditangguhkan kerana bukankah masih kita mempunyai baki "1000" tahun lagi..??


Dilihat kehidupan keduniaan sebagai kejayaan, namun kejayaan di dunia semata-mata bukan pengukur kejayaan akhirat. kerana hakikat kejayaan yang hakiki samada di dunia mahupun di akhirat adalah mencapai redha Allah SWT, meraih rahmat Allah SWT.


Kejayaan di akhirat pula belum dapat dipastikan melainkan keperluan akhirat diusahakan sebaik-baiknya. Maka itu, Allah telah menetapkan kehidupan beragama bagi mencapai hakikat kejayaan. apakah dia itu kehidupan beragama..??

Taatlah perintah Allah, dan taatlah perintah Rasul s.a.w dan ulul amri dikalangan kamu.InsyaAllah, ada kejayaan dunia dan akhirat didalamnya.

Dakwah itu sangat-sangat dititikberatkan sebagaimana hadith(InsyaAllah): Abu Bakar ra pernah bertanya Nabi saw selepas masuk Islam; “Apa kerja aku?” Nabi saw bersabda lebih kurang maksud; “Apa yang kamu lihat saya buat, itulah yang kamu kena buat”. Abu Bakar ra faham maksud Nabi dan terus buat dakwah dan dapat mengislamkan 4 orang pada masa hari itu juga.

Dijadikan dunia darul asbab. dari celik mata hingga pejam mata, semua asbab terbentang depan kita. sehingga kita salah meyakini, dengan makan boleh kenyang, dengan minum boleh hilangkan dahaga, dengan lulus exam boleh berjaya, dengan ubat boleh sembuh sedangkan walau sebesar zarahpun makhluk tidak mampu memberi manfaat/mudharat. melainkan dengan kehendak yang Maha Esa belaka.

Oleh itu usaha atas pemantapan syahadah mesti sentiasa, sentiasa, sentiasa dilakukan... dari celik mata sehingga pejam mata 24/7/365...

agar nyawa tidak dicabut dalam detik ketika mana anggota ingkar padaNya.
agar nyawa tidak dicabut dalam detik ketika mana lidah membesarkan selainNya.
agar nyawa tidak dicabut dalam detik dalam nafas ketika mana hati lalai dariNya...
naudzubillahiminzalik...

wamaa taufiqii illa billah...

saya budak baru belajar, kalau ada silap dan salah mohon diperbetulkan...

semoga ada keberkatan dariNya..InsAllah.

wasalam

Unknown 23/12/2011, 15:58  

Salam.

afifaa. masalah adik anti, dakwah-tak cukup masa study, actually, bukan itu masalahnya.

Dakwah, tarbiyah sepatutnya menjadikan seseorang itu lebih berdisiplin, menggunakan masa sebaik mungkin, pengurusan diri dan masa jadi lebih baik. Dakwah tak pernah salah. Yang salah adalah diri yang tidak menguruskan masa dengan baik, yang tak mencapai muwasafat tarbiyah sebenar.

InsyaAllah, jika kita betul2 usaha, kita membantu agama Allah, mungkin saja kualiti study kita yang sedikit, 1 jam contohnya.. boleh menyamai kualiti orang biasa yang tak berdakwah, study sampai 3 jam.

Yakinlah dengan janji Allah. Janji Allah itu pasti. [Jika kamu menolong agama Allah, nescaya Allah akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu-47:7]

Jangan sesekali beralasankan dakwah bila result/akademik down kay. ^_^ (Peringatan untuk semua.. termasuk diri sendiri..)

Wallahua'lam.

Anonymous 23/12/2011, 23:52  

Isu ni mmg selalu menjadi KRISIS especially utk bdk2 yg baru nak bergerak sebab waktu tu x stabil lagi.Nak balancekan dakwah n study adalah suatu perkara yg maha sukar bagi sesetengah org n it takes time.
Tambah2 lagi utk budak2 yg zero dan x tau apa2 pada permulaanya.

Anonymous 24/12/2011, 09:51  

salam wbt..minta kebenaran utk guna perkataan OSEM kat dalam notes kuliah ana.. jzkllh.

Syariful Bahri 25/12/2011, 18:34  

Sangat terasa, seperti sayalah watak utama tersebut T_T

Unknown 26/12/2011, 20:46  

to en. gabbana :)
ia sgt memberi makna yang mendalam..terima kasih diatas cerita yang sgt OSEM ini (^.^)

Anonymous 27/12/2011, 22:28  

Mmg lah sngat sedih bila kita lah org yg paling all out time study tpi result merudum hanya kerana time exam tersalah jwb essay, tak cukup masa, kerana masalah kecik2 je dan waktu tu lah kita shift the blame kat Inche Dnt yg innocent sungguh tak bersalah dalam hal ini.

tapi, ingtlah wahai pembaca yg merasa watak dlm cerita itu adalah anda, kerana aku jugak begitu, Ingat, Allah evaluate marks kita based on our effort!

langitbiru 29/12/2011, 18:26  

masyaALLAH.....crita ni....awesome!!! mmg OSEM!^^

Miss Mus 13/01/2012, 11:16  

ohh..nak sebut osem tu, mcm sebut awesome eh?

to en gabbana, please go to this link and see blogger's new feature. it's awesome for you and everyone!

http://buzz.blogger.com/2012/01/engage-with-your-readers-through.html

tentera .ber.kuda.islam. 16/02/2012, 00:52  

osem abeh !

terasa di hati ., mungkin akan lebih bersemangat dan bersungguh dalam amal da3wah .

sumpah osem !

Unknown 20/02/2012, 15:53  

assalamualaikum wbt..
mula-mula menerjah blog ni, saya tercari-cari apa makna osem..
lepas baca artikel ini, ia sungguh menyentuh hati..
teruskan usaha saudara!!

Anonymous 01/12/2013, 09:50  

mmg osem lorhhh

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP