9 September 2010

Celoteh Penghujung Ramadhan

Ketika menghadiri sebuah liqa' di Masjid Sultan Abdul Aziz Shah di Shah Alam baru-baru ini, seorang Akh telah mengutarakan satu pendapat/idea/hujah yang sangat menarik dan ada benarnya. Lontaran pendapatnya itu membuatkan saya terkedu dan berfikir panjang.

Tatkala Ramadhan menuju ke penghujungya, berbondong-bondong umat Islam menyerang kompleks beli-belah untuk membeli pakaian baru untuk menyambut ketibaan Syawal. Ada juga yang sudah awal-awal lagi membeli persiapan untuk menyambut hari lebaran yang mulia. Dan antara alasan atau sebab yang dikemukakan mengapa perlunya mereka membeli pakaian baru sempena Syawal yang tiba (walaupun pakaian yang lama masih elok dan cantik) adalah untuk memenuhi tuntutan sunnah; memakai pakaian baru atau yang terbaik di hari raya, hari kemenangan yang penuh mulia.

Namun, pernahkah kita semua terfikir kaitan amalan/adat ini dengan ayat al-Quran, kata-kata Allah dalam surah al-A'raf ayat 26?

"Wahai anak cucu Adam! Sesungguhnya kami telah menyediakan pakaian untuk menutupi auratmu dan untuk perhiasan bagimu. Tetapi pakaian TAQWA, itulah yang lebih baik. Demikianlah sebahagian tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka ingat."

Dan pernahkah anda terfikir mengapa hari raya 'Aidil Fitri itu dianggap sebagai hari kemenangan..? Kemenangan jenis apakah yang telah kita capai? Layakkah kita menjadi pemenang di hari lebaran yang penuh kemuliaan itu?

Sejauh mana antara kita yang benar-benar menghayati konsep Ramadhan sebagai madrasah Tarbiyyah? Sejauh mana yang seusai sebulan berpuasa di bulan Ramadhan, dia menjadi seorang insan yang jauh lebih baik dan positif daripada dirinya yang sebelumnya?

Sebenarnya, pakaian baru dan terbaik yang sewajarnya kita pakai pada hari pertama di bulan Syawal bukanlah baju melayu teluk belanga bersampingkan songket Terengganu atau baju kebaya fesyen terbaru berlabuci beribu. Tetapi pakaian yang paling baik adalah pakaian taqwa. Dan pakaian taqwa ini hanya dapat dibentuk, diasuh, disemai dan ditanam dalam jiwa seandainya sebulan di bulan Ramadhan digunakan sebaik-baiknya.

Tanya diri anda (dan juga saya), mengimbas kembali 29 hari yang lalu sepanjang bulan Ramadhan ini, sejauh mana yang telah kita capai? Adakah kita benar-benar menjaga tangan, mulut, mata, telinga dan yang lebih utama, hati kita daripada perkara-perkara yang dilarangNya? Dan yang lebih mencabar untuk kita, sejauh mana kita betul-betul berhati-hati dalam menjaga dan menahan diri kita daripada berbuat sesuatu yang mengurangkan pahala puasa kita..?

Menjaga diri daripada perkara yang membatalkan puasa itu senang. Tetapi mengawal diri daripada perkara-perkara yang menghilangkan/mengurangkan pahala puasa, itu susah.

Sejauh mana kita menghayati ruh Ramadhan? Sejauh mana kita berusaha mengejar Lailatul Qadar? Sejauh mana kita berazam untuk menjadikan Ramadhan kali ini bukan sekadar lebih baik, tetapi JAUH lebih baik daripada Ramadhan yang sebelumnya?

Kemenangan di bulan Syawal bukanlah kerana kita telah berjaya berpuasa, menahan lapar dan dahaga selama 30 hari. Hebat. Memang hebat. Anda pernah mendengar cerita orang bukan Islam yang ingin mencuba-cuba berpuasa? Mereka tidak mampu menahannya. Ramai yang mencuri-curi makan sebelum tiba waktu berbuka. Nah, pastinya anda hebat bukan? Bukan calang-calang orang yang dapat berpuasa selama 30 hari dalam setiap tahun!

Tapi bukan kehebatan itu yang menjadikan Syawal penuh dengan kegemilangan dan kejayaan. Kemenangan yang dimaksudkan adalah apabila kita berjaya memegang segulung ijazah Sarjana Muda Kepujian daripada madrasah Ramadhan yang penuh dengan mehnah dan cabaran. Ya, ramai yang mendaftar diri, malah mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran selama 30 hari kursus pengajian dengan penuh komitmen. Tapi lebih ramai jumlahnya yang gagal dalam peperiksaan akhir. Sangat sedikit yang berjaya menerima segulung ijazah kepujian, memakai jubah TAQWA di hari graduasi.

Saya mendoakan agar kita semua terpilih untuk menjadi graduan berjaya madrasah Ramadhan! Insha-Allah...

***

Terlalu banyak perkara yang berlaku semenjak kali terakhir saya menulis di blog ini. Melihatkan diri ini, kadangkala hati menjadi sedih, sesal dan sayu. Mengapa? Tarbiyyah yang pernah diterima sebelum ini nampaknya belum benar-benar meresap ke dalam hati. Seperti span. Hanya ibarat mencicah biskut Digestive ke dalam air teh tarik panas; hanya bahagian luarnya sahaja yang basah, dalamnya masih kering dan rangup.

Kadang-kadang diri ini tertanya, hipokritkah aku..? Munafiqkah aku..? Astaghfirullah hal 'adzim.. Bila mana munajat dipanjatkan, amat sukar untuk mata ini mengalirkan airnya. Keras sangatkah hatiku ini? Sudah cukup baguskah aku ini, sedangkan kekasih Allah pun sampai basah-basah janggutnya bermunajat memohon keampunan daripadaNya? Astaghfirullah hal adzim.. Jahiliyyah-jahiliyyah tanpa disedari terus meresap ke dalam diri. Yang lebih menakutkan, hati ini berbunga riang apabila dihidangkan dengan juadah keseronokan dan kelalaian. Ya Allah.. Astaghfirullah..

Maaf, bukan sengaja untuk menjadikan tulisan kali ini bermoodkan sayu dan sedih. Tapi seringkali saya tertanya, sejauh mana saya akan pergi dengan tarbiyyah ini? Adakah saya mampu bertahan? Orang lain sudah bergerak laju ke hadapan. Berlari pecut seolah-olah tidak kenal apa itu penat dan lelah. Sedangkan saya? Suatu ketika dahulu mungkin pernah berlari-lari anak. Tetapi kini, entah merangkak pun tidak.

Hari ini sudah seminggu lebih saya melangkah ke alam pekerjaan. Cabarannya besar. Cukup besar. Ramai orang sudah futur kerananya. Buat masa ini, keadaan masih terkawal; mungkin disebabkan suasana di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan. Kerja pun masih belum banyak. Tapi senarionya pasti berbeza dalam 2-3 minggu akan datang. Risaunya.. Takutnya.. Macam-macam yang pernah saya dengar. Dan kini saya sendiri yang akan mengalaminya. Medan yang sebenar. Ya Allah! Kuatkanlah hati hambaMu ini! Bantulah aku sepertimana yang Kau sukai!

***

Di kesempatan ini, saya dengan serendah-rendah dan sehina-hina diri, dengan penuh tulus ikhlas Insha-Allah, ingin memohon sejuta kemaafan daripada rakan-rakan yang mengenali diri ini, juga kepada para pembaca yang terus setia membaca tulisan-tulisan saya. Saya tahu saya adalah seorang insan yang punya banyak dosa. Alangkah cantik dan leganya sekiranya anda semua boleh meringankan beban ini dengan menghalalkan segala salah silap saya pada anda, juga mendoakan saya agar ditempatkan bersama para kekasihNya. Biidznillahi ta'ala..

Marilah kita bersama-sama bermuhasabah dan menilai kembali sejauh mana telah kita bertapak di bulan Ramadhan kali ini. Dan tandakan tempat anda berhenti; semoga pada tahun hadapan kita boleh pergi lebih jauh lagi.

Dengan satu syarat; Ramadhan kali ini bukan Ramadhan yang terakhir untuk kita...

SELAMAT HARI RAYA 'AIDIL FITRI! Jadikan ia hari kemenangan sebenar untuk kita semua! ;)

Allahu ta'ala a'lam.

-gabbana-

2 Caci Maki Puji Muji:

AdaptingChange 11/09/2010, 06:43  

InshaAllah akhi

Doakan kami.

sekejap shj lagi, nanti kami pulang sama-sama dan sertaimu ya.

Jaga diri.

Oh, kalaulah boleh diluahkan rasa hati.

-Salam Lebaran-

pemburu syurga 18/09/2010, 17:58  

salam wbt,

peringatan begini jarang benar2 menggetarkan seluruh jiwaku, tapi kau berjaya membuktikannya:)

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP