5 June 2009

Akhi - Bahagian Keempat

Penulis ingin memohon jutaan kemaafan kepada mereka yang ternanti-nanti sambungan siri ini. Sudah begitu lama penulis bertangguh untuk menyiapkan karya ini. Pelbagai masalah dan hal-hal lain yang berlaku menyebabkan penulis ketandusan ilham dan kadangkala begitu culas untuk menyelesaikan perjalanan yang dimulakan pada bulan Disember tahun lepas ini. Insha-Allah, kini penulis mempunyai lebihan masa, maka ada eloknya penulis memanfaatkan ia sebaiknya untuk menyiapkan karya ini.

Penulis ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada anda yang masih setia mengikuti siri ini. Penulis sedar bukan ramai yang gemar membaca cerita pendek yang berjela-jela panjangnya. Namun 'Akhi' agak berlainan. Penulis seolah-olah dapat menjiwai dan menghayati cerita ini, setiap kali penulis menulis dan membaca kisah ini, walau berulang-ulang kali. Terutamanya watak Mikail. Penulis berjanji, siri ini akan tamat tidak lama lagi. Teruskan setia hingga ke akhirnya!


***

Minggu itu kami dibenarkan untuk pulang ke rumah. Kebetulan hari Sabtu itu tiada usrah; Ustaz 'Asim ke Kuala Pilah menghadiri suatu kursus berkaitan Pendidikan Islam anjuran JAKIM. Pada mulanya aku bercadang untuk tinggal di sekolah sahaja. Kalau aku pulang ke Kuala Lumpur pun, tiada maknanya kerana cuti hujung minggu sahaja. Buat peluh ketiak sahaja jika aku pulang. Abi dan Ummi pun kemungkinan besar sibuk hujung minggu ni, melayan tetamu yang datang jauh dari Abu Dhabi.

Rancanganku berubah apabila Masykur mengajak aku pulang ke rumahnya. Aku sedikit terkejut. Biar betul mamat ni, getus hatiku. Selama ini, langsung tidak pernah dia bercerita kepadaku tentang keluarganya, inikan pula mengajakku ke rumahnya! Aku pula tidak pernah bertanya dan tidak pernah pula berkecil hati, kerana aku tahu sekiranya Mayskur tiada rahsia yang mahu disorokkan daripadaku, pasti dia sudah bercerita kepadaku sejak dahulu lagi.

Aku menerima pelawaannya. Pertama kerana perasan ingin tahuku yang sangat memaksa. Masakan aku sebagai sahabat akrabnya sendiri tidak pernah langsung tahu tentang keluarganya. Kedua, kerana aku seolah-olah dapat merasakan bahawa Masykur sememangnya menginginkan aku untuk turut serta. Seolah-olah tangannya menarik-narik manja tanganku untuk menemaninya pulang ke rumah.
 

"Kenapa kau nak balik Kur?"

"Saja. Rindu ah..." jawabnya ringkas.

"Kenapa sekarang baru kau nak ajak aku?" Ake menduganya.

"Haha.." Masykur menggeleng, seolah-olah mahu menyorokkan rasa bersalahnya.

"Dah tiba masanya. Dah tiba masanya kau tahu pasal family aku..."

Kami bertolak ke Kuala Lumpur menaiki bas Transnasional, pilihan utamaku, selepas solat Jumaat. Aku ada memberitahu Abi dan Ummi yang aku akan pulang ke KL, tetapi tidak pulang ke rumah kerana akan bermalam di rumah Masykur. Ummi tidak bertanya panjang. Kami tiba di KL lebih kurang pukul 6 petang. Hiruk pikuk kotaraya menghiasi petang di Kuala Lumpur seperti biasa. Kereta dan lori silih berganti, beratur panjang di sepanjang jalan di Puduraya. Asap hitam yang memeritkan hidung memenuhi ruang udara. Manusia pelbagai ragam dan bermacam gaya memenuhi kaki-kaki lima di sekitar perhentian bas Puduraya. Aku sempat mencuri pandang seorang lelaki kusut masai, bersepatukan kaki ayam dan berpakaian compang camping, tertawa sendirian sambil membelek-belek surat khabar lama. Kasihan.

Kami berhenti rehat dan solat di tingkat tiga di bangunan usang perhentian bas Puduraya itu. Aku lihat Masykur basa-basi sahaja, semacam tidak mahu pulang ke rumah. Dia berdolak-dalih, cuba membeli masa.

"Mik, jom balik Ipoh balik jom...?"

"Kau gila...?? Takde takde, kau dah janji nak bawa kau jumpa
family kau. By hook or by crook, kau mesti kotakan janji!" Kataku sedikit geram.

"Ok ok..." Masykur tersenyum pahit.

Kami berjalan ke Stesen Putra Masjid Jamek. Jalan begitu sibuk dengan mereka yang baru habis bekerja. Ketika inilah mereka yang tidak mengenal dosa dan erti perasaan belas akan mengambil kesempatan. Aku dan Masykur hampir sahaja diugut untuk menyerahkan wang kepada seorang lelaki berbangsa Afrika yang mula mengekori kami dari Restoran McDonalds lagi. Mujurlah ada 2 pegawai polis peronda tidak jauh dari tempat kejadian. Melihat sahaja kelibat mereka, lelaki berkulit hitam legam berambut kerinting itu cabut bagai lipas kudung lagaknya! Alhamdulillah...

Kami terpaksa berhimpit di dalam gerabak keretapi transit aliran ringan Putra menuju ke Kelana Jaya. Bermacam bau yang ada! Masam, pahit, masam-masam manis, masin, kepam, tengik, tajam, pedas, semuanya ada! Mual aku dibuatnya...! Masykur hanya tertawa melihat gelagatku, yang tidak habis-habis menggaru hidungku yang tidak gatal, tanda protes atas penyeksaan bau yang maha dahsyat itu.

Kami tiba di Stesen Kelana Jaya lewat waktu Maghrib. Menuruni anak tangga satu persatu dengan perlahan, dapat ku kesan raut wajah Masykur yang semacam gelisah dan tidak senang. Timbul perasaan kasihan melihatnya. Mungkin lebih baik aku turuti sahaja kehendaknya tadi, untuk pulang sahaja ke Ipoh. Tapi kami sudah sampai sejauh ini. Sia-sia sahaja sekiranya kami angkat kaki dan pulang. Aku semakin berdebar kerana jawapan kepada persoalan yang menghantui aku selama ini bakal terungkai tidak lama lagi; mengapa Masykur begitu berahsia tentang keluarganya, walau dengan aku sahabat karibnya.

Masykur menarik tanganku menuju ke perhentian teksi di bawah stesen. Kami beratur di belakang seorang wanita Benggali berbaju kerja hitam kelabu yang agak segak rupanya. Di depannya ada 5 orang lagi yang sedang menunggu giliran; seorang Apek Cina setengah abad usianya, seorang wanita melayu bertudung dengan 2 orang anak kecilnya dan seorang, er, manusia yang aku tidak pasti jantina dan bangsanya. Ku lihat Masykur menggeleng kepala melihat lelaki/perempuan tersebut. Manusia.

Sampai giliran kami, Masykur membuka pintu depan bahagian penumpang teksi dan bertanyakan sama ada kami boleh dibawa ke Taman Tropicana. Aku sedikit terkejut. Taman Tropicana? Itu tempat orang kaya semuanya. Bukan setakat kaya, malah
super duper kaya. Maka tekaanku yang pertama mengapa Masykur malu untuk menceritakan perihal keluarganya meleset; dia malu kerana keluarganya bukanlah keluarga yang senang. 

Sepanjang perjalanan kami di dalam teksi Proton Waja merah putih itu menuju ke destinasi, aku tidak habis-habis meneka apakah sebab lain Masykur begitu berahsia tentang keluarganya. Perjalanan kami hanya ditemani oleh nyanyian dan celoteh deejay stesen radio Klasik.fm. Masykur hanya berdiam diri sepanjang perjalanan. Sekali sekala aku sempat menoleh melihatnya, dan untuk setiap kali dapat ku lihat tanda-tanda sesal pada raut wajahnya, khuatir dan cemas pada genangan matanya.

Kami akhirnya berhenti di depan sebuah rumah banglo 2 tingkat yang cukup mewah. Aku sedikit terlopong. Tidak pernah aku lihat rumah agam yang sebegitu mewah dan indah. Tiang utamanya tinggi mencapai langit. Rumahnya tidak dicat kerana batu-batu binaannya sudah sedia berwarna perang keemasan. Pintu pagarnya automatik dan diperbuat daripada kayu yang aku pasti tidak murah harganya. Taman rumahnya begitu cantik dan luas, dipenuhi oleh pokok-pokok renek berbunga. Rumputnya tersangat hijau yang menyenangkan. Pokok-pokok
palm menghiasi kiri dan kanan jalan menghala ke pintu utama. Belakang rumahnya pula menghadap sebuah tasik yang hijau airnya. Cukup mengasyikkan. Dan aku sempat mengamati 5 buah kereta yang tersusun rapi di ruang khas di sebelah kanan rumah; BMW X5, Mercedes SLK, Nissan Fairlady, Mini Cooper dan Audi A6. Aku menggaru kepalaku yang tidak gatal. Aku betul-betul kagum. Masykur geleng kepala melihat gelagatku.

Pintu rumah dibuka. Seorang wanita separuh umur tersenyum menyambut kami.

"Assalamualaikum bibik. Bibik apa khabar?" Masykur memulakan bicara.


"Waalaikumussalam. Bibik sihat aja. Masykur apa khabar? Ini kawan Masykur ya? Tidak mahu introduce pada bibik?"

"Oh ya. Haha.. Ni namanya Mikail. Nama glamor, Mik. Hehe.. Best friend, now and forever! Mikail, ni la bibik kesayangan aku, the one and only, bibik Sapeah!"

"Ah, ada-ada sahaja kamu ni Masykur!"

Kami masuk ke dalam rumah. Tidak dapat aku gambarkan betapa mewahnya perabot dan peralatan yang menghiasi rumah itu. Mataku hanya sempat melilau kiri dan kanan, tak mahu dilihat dan dicop sebagai jakun, tetapi tidak mahu pula terlepas menikmati kemewahan yang di luar jangkaan ini.

"
Mommy ada rumah bik?"

"Tak ada la Kur. Mommy dan Daddy, dua-duanya belum pulang dari kerja. Qistina dan Iqbal juga tiada di rumah."

"Oh... Ok, takpe." Masykur seperti kecewa.

"Kur, nanti bawa rakanmu itu makan ya? Bibik masak spesel untuk kamu! Mommy yang pesan, supaya masak udang masam-manis kesukaanmu itu!"

"Ok bik. Terima kasih." Buat pertama kalinya untuk hari itu, akhirnya aku melihat Masykur tersenyum ikhlas, senyumnya yang bisa menggugat hati seorang dara.

Masykur mengajak aku masuk ke biliknya. Bilik bujangnya itu tidak kurang hebatnya. Aku berkira-kira, rasanya dua kali ganda lebih besar daripada bilikku di rumah. Perhiasan biliknya adalah campuran moden dan klasik. Biliknya dicat dengan warna merah gelap. Permaidani yang menghampari lantai vernier biliknya hampir sama dengan permaidani yang menghiasi dewan utama rumahku. Cuma lebih tebal. Baldu merah yang mewah. Tenggelam kakiku apabila memijaknya! Cukup selesa. Masykur memasang pendingin hawa. Ah, cukup nyaman dan tenang rasanya. 


Aku sempat mencuri lihat buku-buku dan kitab-kitab yang disusun kemas di rak di sudut tepi biliknya; Petunjuk Sepanjang Jalan oleh Sayyid Qutb, Return of the Pharaoh karangan Zainab al-Ghazali, Himpunan Risalah Hassan al-Banna, beberapa naskhah al-quran dan tafsirannya, sebuah kitab hadith Riadhus Salihin karangan Imam Nawawi, beberapa buah buku fiksyen dan selebihnya, tidak sempat aku kenal pasti. Kebanyakan buku-buku agama yang terdapat pada raknya itu adalah risalah-risalah dan kitab-kitab yang memang disyorkan oleh Ustaz 'Asim untuk dihadam dan dicerna.

Ketika Masykur berada di dalam bilik air, aku mengambil peluang ini untuk meneroka bilik bujangnya itu. Aku membelek-belek bingkai gambar yang diletakkan di atas meja belajarnya. Buat pertama kalinya aku melihat foto keluarga Masykur. Secara jujurnya, aku sedikit terkejut, melihat kepada rupa fizikal ahli-ahli keluarga Masykur. Ah, husnodzan la Mikail! 


Berlatar belakangkan Leaning Tower of Pisa, jelas sekali gambar ini diambil agak lama dahulu; Masykur kelihatan amat muda dan comel sekali! Ayahnya, Encik Ayyub kelihatan begitu segak berseluar pendek kotak-kotak dan berbaju t-kolar berwarna hijau tua. Ibunya, Puan Sarah, kelihatan begitu ranggi sekali dengan rambut perangnya, berseluar jeans biru muda, baju-t ringkas berwarna putih dan berkaca mata hitam. Dua orang lagi, yang aku pasti adalah Qistina dan Iqbal, masing-masing berpakaian serba ringkas; santai dan selesa. Masykur yang paling kecil sekali, memegang tangan ibunya. Dia berseluar pendek dan bertopi koboi.

Aku tersenyum. Mereka kelihatan seperti sebuah keluarga yang cukup bahagia di dalam foto itu. Mataku kemudian tertumpu kepada senaskah buku nipis di hujung sudut kiri meja belajarnya itu. 'Ayah... Bunda... Inilah Jalan Yang Lurus' hasil tangan Dr. Fadl Ilahi bin Dzahir Ilahi. Aku pernah dengar pasal buku ini. Abang Farish yang mengesyorkannya. Panduan buat dua't yang menghadapi cabaran menyampaikan syahadah kepada ahli keluarga sendiri. Melihatkan buku itu, mindaku terus membuat hipotesis tentang sebab sebenar Masykur begitu berahsia akan hal keluarganya. Dan hati kecilku mengiyakannya.

"Mik, kau nak mandi?" Tiba-tiba Masykur bersuara.

Aku tersentak. Cepat-cepat aku toleh kepadanya dan tersenyum. Masykur berikan aku sehelai tuala bersih yang begitu lembut dan halus tenunannya kepadaku. Selesai mandi, kami solat bersama-sama dan kemudiannya turun ke bawah untuk menikmati hidangan makan malam. Masykur memilih untuk makan di belakang rumahnya, di tepi kolam renang berbentuk kacang pis menghadap tasik yang airnya kelihatan hitam pekat di waktu malam. Sungguh indah dan nyaman suasananya. Kami menikmati makanan tanpa banyak berbual. 


Sekali-sekala aku cuba memulakan bicara, bertanyakan tentang kerja rumah Fizik yang bertimbun banyaknya, atau sama ada dia perasan seorang junior tingkatan dua yang agak comel paras rupanya, atau tentang Cikgu Suryati yang membeli kereta baru. Masykur memberi respon yang paling minima kepada setiap kata-kataku. Akhirnya aku putus asa dan membuat keputusan untuk menikmati makan malamku dalam keadaan seperti itu; senyap, sepi dan aman sekali.

Malam itu, aku cuba memujuk Masykur yang bujuk.

"Kur, kau ni kenapa? Tak pernah aku tengok kau down macam ni..?"

"Oh... Takde ape la Mik. Aku tak sedap badan la. Maybe sebab cuaca hari ni kot. Panas kan..?" Masykur tersenyum tawar.

"Ala Kur. Kau jangan nak buat dongeng dengan aku la. Dah 4 tahun aku kenal kau. Aku tau la bila masa kau sedih, bila masa kau happy. Aku kenal kau dari hujung rambut kau yang dah lama tak basuh tu, sampai la ke hujung kuku ibu jari kaki kau yang dah panjang tak tau la bila kau nak potong tu!"

Aku cuba berjenaka.

"Haha.." Masykur menggeleng perlahan. "Takde ape la Mik. Betul..."

"Hhmmm... Kur, kau tahu kan, aku sahabat kau dunia akhirat? Apa hadis Nabi tu.. Ala... Tidak beriman seseorang tu kalau dia tak cintakan saudara dia sendiri sepertimana dia mencintai dirinya sendiri. Kan..? Ha, cuba kau bayangkan aku sedih, monyok tak tentu pasal. Mesti kau expect aku untuk ceritakan pada kau kan..? Sama la Kur..."

Masykur memandang tepat mataku.

"Aku tak boleh la macam ni. Aku tak boleh tengok kau tak bersemangat, down gila-gila macam ni. Aku pun tumpang sedih tau..." Sambungku lagi.

Mata Masykur mula bergenang. Dia datang rapat kepadaku, memeluk erat diriku. Aku yang tidak menyangka dia akan bertindak sedemikian, membalas pelukannya itu. Aku memeluk rapat dirinya. Bahu Masykur turun dan naik. Dia menangis. Tersedu dan merengek. Tidak lama selepas itu, dia melepaskanku.

"Maafkan aku Mik. Maafkan aku..."

Esoknya, ketika kami turun untuk bersarapan, Encik Ayyub dan Puan Sarah sudah pun sedia di meja makan. Puan Sarah tersenyum melihat kelibat kami berdua. Encik Ayyub, yang begitu tekun membaca surat khabar, sempat menoleh dan kemudian menyambung bacaannya.

"Masykur my dearest son. Come here. Mommy miss you so the very much!"

Masykur pergi mendapatkan ibunya, mencium tangan dan pipinya. Kemudian dia bersalam dengan ayahnya dan mencium tangannya.

"Who is this handsome young man..? You have never told me you've got such an adorable friend! Come on, introduce him to me..." Puan Sarah kelihatan begitu teruja sekali.

"Oh rite.. Ini Mikail, my best friend at school." Masykur memberikan pengenalan ringkas.

"Oh yeah! The one you kept telling me about! So this is our Mikail. Finally I got to see you! Come come, sit here. Bibik, tolong hidangkan breakfast untuk budak berdua ni!"

Aku tersenyum melihat gelagat Puan Sarah. Jelas sekali dia begitu senang dengan kehadiranku. Bibik Sapeah datang menghidangkan dua keping roti bakar, dua biji telur mata kerbau, dua sosej bakar, sedikit kacang pis bersos tomato dan sekeping hash brown. English breakfast. Yumm yumm..! 


Puan Sarah yang banyak berceloteh sepanjang sarapan pagi itu. Bercerita tentang ini dan itu, bertanyakan tentang hal itu dan ini. Sekali sekala dia mengusik Masykur dengan bercerita tentang kenakalannnya sewaktu kecil dahulu. Masykur hanya mencebik manja dan aku tertawa mendengar lipur lara Puan Sarah. Encik Ayyub sekali sekala meletakkan surat khabarnya dan menjamah roti dan menghirup kopi, tetapi diam tidak berkata apa-apa. Masykur sekali sekala menjeling tajam ayahnya itu.

Qistina datang menyertai kami tidak lama selepas itu. Aku terkejut melihat penampilannya. Berseluar pendek dan bersinglet merah, dia sama sekali tidak peduli untuk menukar pakaian tidurnya itu. Ada tindikan pada dagu dan hidungnya.

"Hey big boy! You are back! You didn' tell me you are coming back..?" Qistina mengusap manja rambut Masykur sebelum duduk di sebelahnya.

"And who have we got here..? Oohh.. Pretty boy!" Qistina mengusikku.

"See, I told you! He is such an adorable young man!" Puan Sarah menyampuk.

Aku tersenyum malu. Aku memandang sosej yang sudah tinggal separuh di atas pinggan porselin yang dihidangkan kepadaku. Aku juga malu untuk memandang anak dara Encik Ayyub dan Puan Sarah. Aku sudah baligh dan pastinya punya nafsu dan perasaan. Aku berusaha sedaya upaya untuk menjaga pandanganku, berjihad menentang syaitan dalam diriku.

"So Masykur, how are your studies...?" Tiba-tiba Encik Ayyub bersuara.

Masykur tersentak. Encik Ayyub bersuara di sebalik surat khabar New Straits Times yang dibacanya. Masykur dan aku serentak memandang ke arah Encik Ayyub.

"Err.. Ok I guess." Jawab Masykur ringkas.

" Just ok? I don't expect you to be JUST ok. Are you still involved with your, preaching or whatever you call it...?" Tanya Encik Ayyub tegas. Kali ini dia meletakkan surat khabarnya, dan memandang tepat kepada anak bongsunya itu. Kini semua mata tertumpu kepada Masykur.

Senyap. Sepi untuk seketika.

"I'm talking to you young man. And I expect you to give me a satisfactory answer."

Senyap. Masykur memandang ke bawah. Senyap. Seleraku hilang tiba-tiba.

"I accept that as a yes. Listen. You better stop doing whatever you are doing. If your studies were to be affected by that, I won't compromise. Do you understand me Masykur? And I don't want my son to end up in Pakistan or something, holding AK-74 and die for nothing. Do you understand me..?"

Senyap. Masykur perlahan bangun dan meninggalkan meja makan. Puan Sarah hanya menggeleng kepala. Encik Ayyub sempat menyoroti Masykur dengan pandangannya yang semacam benci sebelum menyambung bacaan surat khabarnya. Qistina seperti tidak peduli, dia dan dunianya sendiri. Aku tidak tahu untuk buat apa. Aku perasan kelibat Bibik Sapeah yang melihat drama yang berlaku sebentar tadi dari dapur. Dan aku seolah perasan ada air mata yang membasahi pipinya. Aku menghabiskan sarapanku sebelum bangun untuk menyertai Masykur di atas.

"Please excuse me..."

Puan Sarah mengangguk perlahan.

Aku menaiki tangga dengan perlahan-lahan, tidak pasti apakah yang patut aku lakukan. Aku membuka pintu bilik Masykur dengan berhati-hati. Oh Masykur... Dia sedang duduk di tepi katil, merapatkan lutut dan betisnya ke dada dan memeluknya. Air mata bercucuran laju membasahi wajahnya. Dia memandangku dengan wajah yang sayu.

"Sekarang kau tahu..."

***
 
-gabbana-

Kepada para pembaca yang baru mengikuti cerpen ini dan sekiranya berminat untuk membaca 3 siri sebelum ini, bolehlah klik link 'cerita pendek' di sebelah ini. Selamat membaca!


Hak cipta terpelihara (C) 2009.

3 Caci Maki Puji Muji:

emir.abu.khalil 05/06/2009, 16:17  

nicely written akhi... i adore this writing...

btw, what is 'cerita pedek'?? hehe~ typo tu...

do come to my blog, have a read at my in-the-middle-of-writing novel...

Inche gabbana 05/06/2009, 23:52  

jazakalllah sheikh. apalah sgt jika nak dibandingkan dgn tulisan enta yang jauh lebih hebat! ;)

jazakallah sebab sudi membaca. jazakallah juga pasal typo tue.. =)

dh baca dh sket, prolog dia. tp tak abes lagi. bz la sheikh lately, exams. IAllah nanti ana baca... =)

emir.abu.khalil 07/06/2009, 10:40  

wa iyyaka... ye ye je enta ni, baca pun tak lagi... takpe akhi, semua orang sedang exam ni.. seluruh dunia... eheh~ ana je takde exam... buat betul-betul eh... hehe~

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP