22 April 2009

Enjit-enjit Semut, Siapa Sakit Naik Atas!

Menjadi seorang Muslim dan Mukmin, Insha-Allah, sebenarnya adalah suatu nikmat yang sangat besar yang dikurniakan oleh Allah kepada seseorang itu. Benar, jalannya tidak mudah. Jalan seorang mukmin tidak dihiasi dengan gubahan bunga-bunga mekar beraneka warna, tidak juga dihamparkan dengan karpet merah empuk seperti yang dikhaskan untuk para pemenang Anugerah Bintang Popular Berita Harian. Tidak. Malah, sekiranya anda mengimpikan dan mengejar sesuatu yang seperti itu, maka pilihan yang ada hanyalah untuk futur dan terpesong daripada jalan Islam yang lurus ini, wa iya dzubillah.

Namun, dalam kesukaran dan kegetiran dalam menjadi seorang Muslim dan Mukmin yang sejati dalam erti kata yang sebenar-benarnya, Allah SWT telah menyediakan dan membekalkan mereka yang mahukan gelaran ini dengan pelbagai jenis nikmat, pertolongan dan kesenangan yang sama ada kita sedar atau pun tidak, sebenarnya memudahkan lagi usaha kita dalam memperoleh maradhatillah; keredhaan Allah yang hakiki. Dan antara nikmat paling besar, pertolongan yang cukup indah dalam menjadi seorang Muslim dan Mukmin yang sejati adalah nikmat ukhwwah fillah - jalinan persaudaraan yang disandarkan kepada tauhid mengesakan Allah yang satu.

Firman Allah dalam surah al-Hujurat, surah ke 49 ayat 10,

"Sesungguhnya mukmin itu bersaudara..."

Dan dalam hadith Nabi SAW, baginda bersabda mafhumnya,

"Perumpamaan orang yang beriman dalam kemesraan dan kasih sayang antara mereka adalah seperti satu jasad. Apabila satu anggota sakit, semua anggota yang lain terpaksa berjaga malam dan menanggung sakit demam."

Nah! Anda pernah sakit gigi? Apabila gigi geraham bongsu anda baru hendak tumbuh? Sakitnya bukan kepalang! Sehinggakan 2-3 malam anda tidak dapat melelapkan mata dek kesakitan yang tidak terperi! Malah ramai sahaja yang jatuh demam kerana tidak tertanggung lagi dengan keperitan yang disebabkan oleh seketul gigi yang besarnya tidak lebih daripada sebiji kacang almond.

Begitulah ukhuwwah Islamiyyah yang kita mahukan daripada segenap pelosok umat Muhammad SAW. Sekiranya seorang Muslim Brazil diperlakukan seperti sampah, dicerca dan dihina kerana agama yang dianutinya, saudaranya di Syria, Amerika mahupun Indonesia wajib berkongsi duka dan lara dengannya. Sekiranya seorang Muslimah Ireland diejek, dicemuh malah disepak tendang sekalipun, hanya kerana dia bertudung dan mahukan kehidupan sebagai seorang Muslim sejati, saudara seIslamnya di serata pelosok dunia wajib mempertahan maruah dan integritinya. Walaupun seorang, hanya seorang Muslim yang menderita, sakit atau kemiskinan yang melata, saudara seaqidahnya yang berada di tahap kedudukan yang lebih baik wajib menghulurkan tangan bantuan.

Sekiranya hal ini dapat dipratikkan secara telus dan bersungguh, nescaya ikhwah dan akhawat kita di Palestin tidak menderita sepertimana sekarang ini.

Sekiranya ruh ukhuwwah fillah ini dapat dihayati dan diterjemahkan melalui tindakan yang berkesan, nescaya tidak akan ada seorang Muslim pun yang hidup menderita terseksa.

Dan sekiranya persaudaraan yang dijalinkan atas dasar satu aqidah dan kepercayaan ini dapat difahami dan dicernakan dalam erti katanya yang sebenar, percaya dan yakinlah, nescaya Islam akan berada di puncak kegemilangannya.

Firman Allah SWT,

"Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berperang di jalanNya dalam barisan yang teratur, mereka seakan-akan seperti satu bangunan yang kukuh."
as-Saff, 61:4

Tiada siapa yang dapat menggoncang, melemah, meruntuh apatah lagi menghancurkan bangunan yang kukuh, yang dibina atas pasak yang utuh, yakni persaudaraan Islam, melainkan atas kehendak Allah SWT sendiri.

Tetapi sayangnya, pada masa kini kita melihat betapa umat Islam sibuk menjatuhkan sesama sendiri sedangkan para kuffar duduk leka minum teh tarik sambil ketawa gembira, menyaksikan setiap detik dan saat kejatuhan ummah yang suatu ketika dahulu pernah menguasai dunia. Tidak perlulah penulis membebel dengan lebih panjang lebar tentang apakah yang pernah dan sedang berlaku kepada umat Islam yang jatuh dan hancur disebabkan oleh tangan-tangan najis saudara mereka sendiri. Cukuplah penulis katakan di sini, sifat dengki, cemburu dan hasad di kalangan umat Islam yang tidak tahan melihat kejayaan dan kesenangan yang dinikmati oleh saudaranya sendiri adalah antara faktor utama mengapa dan kenapa ummah ini terus ditindas dan diperlakukan seperti sampah oleh musuh-musuh Allah. Sampah pun kadangkala lebih berguna di mata mereka kerana boleh menjana pendapatan apabila dikitar semula.

Sabda Nabi SAW,

"Sesungguhnya di antara kalian tidak (dikatakan) beriman, sehinggalah dia mencintai saudaranya sepertimana dia mencintai dirnya sendiri."
-
Hadith riwayat Bukari dan Muslim.

Lihatlah betapa indahnya Islam! Anda tidak berhak mendakwa diri anda beriman, tidak, sehinggalah anda berjaya menyayangi dan mencintai saudara seaqidah anda sebagaimana anda menyayangi dan mencintai diri anda sendiri. Susah bukan..? Susah sekiranya anda seorang yang busuk hati, tamak dan mementingkan diri sendiri. Tidak susah bagi mereka yang sedar dan yakin bahawa semua manusia adalah sama di sisi Allah. Hanya taqwalah yang membezakan mereka.

Marilah kita mengambil iktibar daripada lagu rakyat@kanak-kanak 'Enjit-enjit Semut' dalam mengamalkan persaudaraan Islam yang dianjurkan oleh al-Quran dan as-Sunnah:

Enjit-enjit semut, siapa sakit naik atas...
Enjit-enjit semut, siapa sakit naik atas!
Enjit-enjit semut, siapa sakit naik atas...
(Ulang lagi seberapa banyak yang anda suka. Anda boleh meneruskan nyanyian ini sekiranya anda mempunyai masa lapang dan bosan tiada apa yang hendak diperbuat...)

Mudah bukan? Jadilah seperti semut-semut ini, apabila sakit dan mengalami kesusahan, mereka akan diberikan pertolongan dengan cara semut lain akan menggantikan tempat mereka. Inilah yang dianjurkan Islam. Apabila ada saudara kita yang tidak bernasib sebaik kita, kita sewajibnya menghulurkan bantuan mengikut kemampuan yang ada untuk meringankan bebanan mereka.

Allahu a'lam.

-gabbana-

2 Caci Maki Puji Muji:

Anis Liyana 23/04/2009, 19:04  

jazakallahu khair adam :)

Sangat terkesan.
Manusia lain tu sebagai ujian atas kita kan...actually semua makhluk pun ujian atas kita, tapi ujian dalam bentuk manusia ni, mmg super duper mencabarlah. sebab kita hidup dengan manusia lain.

ujian untuk tidak bawak hal sendiri je, ujian untuk sabar dengan ragam-ragam manusia lain, ujian untuk pergi ajak buat kebaikan, ujian untuk tak mengumpat...etc...

kdg-kdg susaaaah sangat nak nampak manusia tu sbg ujian dari Allah, tapi duk nampak 'manusia' tulah yang menyakitkan hati.

Thanks again adam.

Inche gabbana 27/04/2009, 00:39  

hahaha.. anis je la yg setia comment kt blog yang hidup segam mati tak mahu nie...! heheh...

btol tue anis. semua benda yang allah kurniakan, yang allah berikan kepada kita merupakan suatu ujian sebenarnya.

terpulanglah kat kita mcm mana kita nak handle ujian tue. sama ada nak tukarkannya menjadi rahmat kurnianNya, atau nak jadikan sebagai penambah beban dan dosa.

semoga kita tergolong dalam golongan org yang sentiasa bersyukur kepdaNya, tidk kira mas dan keadaan! IAllah..

jzkk anis, sebab sama2 mengingatkan!!! ;)

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP