7 February 2009

Lompat si katak lompat!

Siapa yang tak sedih atau marah melihatkan keadaan politik tanah air masa kini. Aku juga tak terlepas daripada berasa jelik, rimas dan kadangkala menyampah menyaksikan teater bangsawan (bangsawan ke...?) di kalangan ahli politik Malaysia yang entah bila nak sampai ke kesudahannya. Tapi, nak tak nak, aku kena ikut perkembangan semasa, sebab kalau tak orang kata aku katak di bawah tempurung! Tak peduli situasi di tanah air sendiri. Masalahnya, aku dah tak menahan melihatkan kebodohan dan kebobrokan politik Malaysia!

Bila mana aku melayari laman-laman sesawang (laman web...) akhbar tempatan Malaysia, pasti ada saja berita-berita satira politik yang menggelikan ketiak aku. Lagi seronok baca perkembangan politik Britain atau bagaimana Encik Obama mahu mengubah dunia. Kadang-kadang aku sendiri tak pasti sama ada mereka yang dipilih oleh rakyat secara majoriti ini layak atau tidak mewakili kami rakyat Malaysia. Buruk bebenor lagok peri deme nih (digayakan dengan loghat Perak pekat)!!!

Pasti anda sudah menjangka dengan tepat bahawa aku akan menulis tentang bala besar yang sedang berlaku di Perak Darul Ridzuan sekarang ini. Benar jangkaan anda. Tahniah!

Semenjak Perak diperintah oleh Pakatan Rakyat (seterusnya akan dirujuk sebagai PR) sementelah kemenangan mereka pada pilihanraya umum ke-12 yang lalu, negeri yang terkenal dengan limau bali dan ternakan babi itu tidak habis-habis dikunjung masalah. Kini sudah bertambah parah. Masalah pertama yang timbul sebaik sahaja PR mengambil alih tampuk pemerintahan negeri daripada kerajaan Barisan Nasional adalah pemilihan Menteri Besar yang baru. Walaupun Parti Tindakan Demokratik (DAP) memenangi paling banyak kerusi di negeri itu, undang-undang negeri beraja Melayu memestikan Menteri Besar beragama Islam (dengan kata lain, Melayu la tu...). Maka setelah beberapa hari tidak mempunyai nakhoda kapal, setelah beberapa persidangan dan acara minum kopi diadakan dan aku mengesyaki setelah berapa insiden mengetuk meja, meninggikan suara dan menghentam kaki berlaku, PR telah bersetuju untuk memilih Encik Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin (belum Datuk Seri lagi ketika itu) untuk menerajui tampuk pemerintahan negeri Perak.

Masalah nampaknya tidak berhenti di situ. Barisan Nasional seolah-seolah tidak dapat menerima kekalahan kubu kuat mereka. Kekalahan Dato' Seri Sammy Vellu Sangalimuthu sendiri yang gagal mempertahan kerusi dan mejanya di Sungai Siput memberi tamparan hebat bukan sahaja kepada dirinya sendiri, malah kepada pertahanan Barisan Nasional di Perak. Datuk Seri Rafidah Aziz- Kuala Kangsar juga hampir-hampir menempa kekalahan. Kemenangannya majoriti kecil sebanyak 1,458 undi itu benar-benar telah melonggarkan lutut dan paha. Melihatkan orang-orang besar dan ahli politik veteran Barisan Nasional sendiri gagal mempertahan rekod cemerlang, gemilang dan terbilang mereka selama ini, kekalahan Barisan Nasional di Perak seolah-seolah sudah boleh dijangka.

Datuk Seri Diraja Mohd Tajol Rosli Ghazali amat terkesan dengan kekalahan Barisan Nasional di Perak. Selain mengalirkan air mata dan enggan berjumpa dengan pihak media sebaik sahaja keputusan pilihanraya diumumkan, hubungan eratnya dengan kediaman rasmi Menteri Besar di Ipoh telah menimbulkan perasaan kasih sayang yang sangat utuh sehinggakan tidak sanggup meninggalkan perabot dan kerusi meja keseorangan di rumah itu. Encik Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin terpaksa memilih untuk membeli perabot dan perkakas perumahan yang baru atau tidur dalam sleeping bag sahaja anak-beranak. Beliau dengan bijak memilih opsyen yang pertama.

Pelbagai krisis terus menghantui tampuk pemerintahan PR di Perak. Paling hangat apabila 3 orang ahli dewan rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat (seterusnya akan dirujuk sebagai PKR) dituduh menerima rasuah yang melampau, termasuklah layanan seks percuma dan sejumlah wang yang sekiranya didermakan kepada rakyat miskin pastinya lebih berfaedah. Lebih menarik, salah seorang daripada tertuduh ialah Encik Jamaluddin Mohd Radzi, antara mereka yang bertanggungjawab menimbulkan krisis hangat masa kini (sila rujuk perenggan di bawah). Kes rasuah ini telah menyebabkan ahli-ahli Barisan Nasional bertepuk tangan gembira sambil menyanyikan lagu "Kalau anda gembira tepuk tangan..." dan menggugat kedudukan PR di Perak. Di samping itu, Datuk Seri Diraja Tajol Rosli pula terus menghentam kerajaan negeri yang baru malah dengan penuh yakin memberi jaminan akan menawan semula tampuk pemerintahan negeri paling lewat pada 31 Ogos 2008. Walaupun impiannya tidak tercapai dalam tempoh yang dijangkakan, aku kira beliau kini boleh tersenyum bangga kerana akhirnya hajatnya dimakbulkan meskipun kini beliau bukan lagi Ketua UMNO Perak.

Paling baru dan kehangatannya masih terasa dan boleh dirasa di London ini walaupun salji turun dengan lebatnya baru-baru ini adalah pembentukan kerajaan negeri yang baru oleh Barisan Nasional. Hal ini terjadi berikutan keputusan 3 ahli PR; Hee Yit Foong (DAP-Jelapang), Jamaluddin Mohd Radzi (PKR- Behrang) dan Mohd Osman Mohd Jallu (PKR- Changkat Jering) untuk keluar parti menyebabkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimiliki oleh PR berkurang daripada 31 kepada 28. Hal ini telah menyebabkan jumlah kerusi mereka menyamai jumlah kerusi yang dimiliki Barisan Nasional, walaupun tidak dapat disahkan sama ada kerusi mereka adalah kerusi kayu atau plastik. Alasan yang diberika mereka amat mudah- tidak yakin lagi dengan kewibawaan parti dan mereka ingin keluar. Lebih menarik lagi, keputusan Datuk Nasarudin Hashim untuk lompat parti daripada Barisan Nasional ke PKR 2 minggu lalu seolah-seolah seperti acara memanaskan badan sahaja kerana kini beliau sudah pun melompat kembali masuk ke dalam Barisan Nasional. Timbul kontroversi tergempar apabila isteri beliau mendakwa mereka telah diculik dan dibawa ke kediaman Timbalan Perdana Menteri Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak pada malam sebelum Datuk Nasarudin mengumukan keputusannya untuk melompat kembali ke dalam Barisan Nasional. Hal ini telah dinafikan Datuk Nasarudin (Pelik... Apa kes bini nak tipu suami?).

Walaupun secara logik akal dan mengikut perlembagaan negeri yang sah Barisan Nasional tidak layak membentuk kerajaan negeri kerana tidak memiliki majoriti kerusi (28BN=28PKR), Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir (BN- Pulau Pangkor) telah pun dilantik dengan rasminya menerajui pemerintahan negeri yang baru. Menurut mereka, 3 bekas ahli PR yang telah lompat keluar parti itu telah mempersetujui pembentukan kerajaan negeri yang baru di bawah pemerintahan Barisan Nasional. Walaupun Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin (dah dapat Datuk dah time nih...) telah mengadakan sesi perjumpaan khas dengan Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yusuff Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah untuk meminta izin baginda membubarkan dewan rakyat agar pilihanraya yang baru dapat diadakan, baginda telah menolak permintaan tersebut dengan alasan Barisan Nasional kini mempunyai 31 kerusi (28 + 3 ekor katak) maka mereka selayaknya membentuk kerajaan negeri yang baru.

Sehingga kini keadaan di Perak masih kucar-kacir dan huru hara. Demonstrasi aman yang diadakan di Masjid Ubudiah Kuala Kangsar dileraikan oleh pasukan FRU dengan gas pemedih mata yang secara jujurnya aku rasakan tak perlu. Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin masih enggan meletakkan jawatan dan mendakwa perlantikan Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir adalah tidak sah. Mungkin ada benarnya dakwaan beliau itu kerana mengikut perlembagaan dan undang-undang negeri yang sah, jawatan beliau hanya boleh dilucutkan seandainya beliau dengan sukarela meletakkan jawatannya atau usul undi tidak percaya dibahaskan pada sesi persidangan dewan rakyat yang terdekat. Hal ini dipersetujui dan diakui oleh Tengku Razaleigh Hamzah, hulubalang kuat UMNO sendiri. Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, malang yang tidak berbau dan pisang berbuah dua kali, barang-barang peribadi milik Datuk Seri Ir. Nizar di pejabat Menteri Besarnya telah dikosongkan (atau adakah telah dirampok...?) tanpa persetujuannya. Sudahlah seawal menjadi Menteri Besar dahulu beliau terpaksa masuk ke rumah yang kosong tanpa kerusi dan meja, kini apabila kerjayanya sudah sampai ke penghujung (lebih kurang la...), barang-barang beliau pula yang dikosongkan! Susah rupanya jadi Menteri Besar yang jujur dan baik hati ni.. Nasib kaulah labu!

Beberapa persoalan menarik yang menghantui fikiran aku yang aku nak kongsi dengn para pembaca sebelum aku menyudahkan post ni.

1) Perak hanya dapat ditawan semula oleh kerajaan Barisan Nasional setelah Dato' Sri Najib Razak mengambil alih pucuk kepemimpinan UMNO negeri. Mungkinkah ini suatu sandiwara soap-opera bagi mengukuhkan kedudukannya sebelum mengambil alih pucuk kepemimpinan negara Mac nanti?

2) Apa cerita dengan Akta Larangan Lompat Parti yang diwar-warkan oleh kerajaan Barisan Nasional sewaktu ketika dahulu? Ketika mana sejumlah ahli mereka melompat masuk ke dalam PR? Kini senyap tanpa berita... Kentut pun tak dengar!

3) Apa kes dengan mereka yang suka melompat-lompat ni? Tak kisahlah daripada BN ke PR atau sebaliknya! Mereka diundi oleh rakyat atas tiket parti yang mereka wakili. Di manakah kepentingan rakyat yang dicanang-canangkan? Mengapa kepentingan peribadi yang menjadi keutamaan...?? Kalau macam ni la perangai, kami pun tak hingin korang mewakili kami! Poodaahhh!

4) Siapa yang sengsara dan menerima akibat daripada semua ini? Rakyat! Bukan sahaja di Perak, malah keadaan politik di Malaysia kini cukup tidak stabil. Kesannya cukup dirasai oleh rakyat jelata. Cukuplah bergaduh. Cukuplah bertengkar. Cukuplah bersilat bertaekwondo. Rakyat sudah penat. Kami mahukan negara yang aman damai dan bebas daripada cerekarama ini!

5) Bolehkah Malaysia mencapai gagasan Wawasan 2020nya dalam masa kurang lebih 10 tahun ini melihatkan keadaan politik Malaysia yang cukup hingusan...? Bolehkah Malaysia maju ke hadapan, bersaing dengan negara-negara hebat di pentas antarabangsa melihatkan ahli-ahli politik Malaysia yang tak reti-reti bila nak berhenti menyusahkan rakyat, asyik sibuk memuaskan nafsu kepentingan diri...?

Entahlah...

Aku dah penat. Aku dah bosan. Aku dah tak tahan!

AKU MAHUKAN PERUBAHAN!!!

Renung-renungkanlah...

-gabbana-

5 Caci Maki Puji Muji:

Kenangan Lalu 07/02/2009, 16:10  

How 'bout a round of applause? Or standing ovation?

Nice summary, enjoyed reading it to the end. Now I see what's going on with the Perak's politic. (Org Mesia yg hampeh aku nih).

Thanx~

Anonymous 07/02/2009, 16:22  

mentaliti 'Melayu kalau dah nampak duit', beginilah jadinya, dan yang tertipu dan tertindas tidak lain rakyat kebanyakan. Ketamakan politik mengatasi tanggungjawab mereka pada rakyat. Malah inilah terjadi jika manusia hidup tidak berpandukan agama. Tidak mustahil suatu hari nanti budaya masyarakat Malaysia menjadi spt budaya barat, di mana agama hanya sebagai pameran di gereja dan hanya digerakkan oleh paderi2 yang berbayar.

tapi apa yang lebih menyedihkan, terdapat juga segelintir drpd kita yang masih 'in-denial' dengan situasi kini, bodoh sgt kah masyarakat Malaysia ni?

p/s: gagasan Wawasan 2020 sudah lama mati

Inche gabbana 08/02/2009, 03:32  

nyamouq: hahaha... mungkin seumur hidop dah bermastautin kt perak tuh?? hehe.. glad that u enjoyed it. ;)

jiran sebelah rumah: saya tak berani nak cakap sama ada politik wang terlibat atau tidak dalam krisis ni. tp i definitely am dissapointed with the current malaysian political affair. very devastating.

uhm, masyarakat malaysia tak bodoh. cuma 'berbudi bahasa' tak bertempat. penakut. entahla...

allahu a'lam.

faisalzulkifli 08/02/2009, 05:47  

kena bersabar adam..kena buang sentimen perkauman yang kuat, kena buang persepsi, kena bebaskan media..ituh aje..x perasan ke yang undang2 manusia mmg x akan lengkap..sume kena sedar..ape kena buat?..i'm sure you know best..

Inche gabbana 08/02/2009, 16:41  

betol tue, kita kena bersabar. tapi x boleh dok diam bersabar je cha. mesti kesedaran, usaha dan tindakan ntuk mengubah!

jom ubah diri dan rakan2 kita yg terdekat, sebab kita yang akan memimpin negara di masa depan nanti! IAllah.... ;)

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP