Mamat Ini Tidak Yakin Dengan Perancangan Allah Ta'ala; Dia Lupa Yang Allah Itu Maha Bijaksana
Ehem.
Pernah tak kita rasa seolah-olahnya dunia ini tidak adil pada kita? Seakan-akannya seluruh alam buana dan seisinya berkonspirasi mahu mengenakan kita?
Kadang-kadang kita buat baik pada orang lain, tetapi dibalas dengan ketahian dan kejahatan.
Kadang-kadang kita tidak berbuat apa-apa pon - tak usik malah tak jentik pon sesiapa - tetapi kita tetap dianiaya!
Dan kadang-kadang kita berjasa dan memberikan khidmat kepada orang lain secara percuma, tetapi kita dilayan macamlah kita ni penjenayah kelas pertama.
Pernah tak?
Sehingga ia merenggut segala kebahagian dan motivasi yang masih ada pada diri kita.
Sehingga ia menjadikan kita begitu marah dan geram dengan sesiapa dan apa-apa yang ada di sekeliling kita.
Dan yang lebih merbahaya lagi, sehingga kita putus-asa dari rahmat Allah, Tuhan Yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.
Innalillahi wainnailaihi raji'un. Geleng kepala.
Ketika Nabi Musa AS mendampingi seorang hamba Allah untuk menuntut ilmu seperti yang dirakamkan dalam surah al-Kahfi bermula ayat 60 sehingga 82 itu, ada TIGA peristiwa yang menjadi latar belakang utama kepada peristiwa ini.
Pertama, mereka diberi tumpang menaiki perahu yang dimiliki oleh orang miskin, lalu hamba Allah itu melubanginya.
Kedua, hamba Allah itu membunuh nyawa seorang anak kecil yang tidak berdosa.
Dan ketiga, hamba Allah itu menolong untuk menegakkan kembali dinding rumah dua orang anak yatim yang hampir runtuh.
Ketiga-tiga peristiwa ini menyebabkan Nabi Musa AS tidak dapat menahan dirinya untuk bertanyakan sebab di sebalik tindakan-tindakan yang mengejutkan itu, meskipun baginda sudah berjanji untuk tidak bertanya dan memberi jaminan yang baginda mampu bersabar.
Masakan tidak? Jika kita yang berada di tempat baginda ketika itu, boleh jadi respons kita jauh lebih teruk dan gopoh, kerana sungguh, tindakan-tindakan hamba Allah itu sememangnya cukup menghairankan dan tak masuk akal!
Dalam peristiwa pertama itu, jika kita meilhat dari sudut pandang si miskin, sudah tentu dia berasa begitu marah, kecewa dan dikhianati. Dia sudah berbuat baik dengan memberi tumpang dua orang yang tidak dikenalinya untuk menaiki perahunya tetapi dibalas dengan perahunya dilubangi!
Begtu juga dalam peristiwa kedua. Jika kita berada di tempat anak kecil yang dibunuh itu atau menjadi kedua ibu-bapa sang anak kecil yang tidak berdosa, masakan tergamak seorang hamba Allah mengambil nyawa seorang anak yang kudus ketika dia tidak berbuat jahat atau menyakiti sesiapa!
Dan jika kita melihat sepertimana Nabi Musa AS melihat dalam peristiwa yang ketiga, ia sungguh tidak adil apabila mereka berdua dilayan dengan begitu dingin oleh penduduk kota, tetapi mereka masih berbuat baik dengan menegakkan dinding yang hampir runtuh secara percuma!
Ah tidak masuk akal!
Namun kemudian, di hujung cerita, ternyata ada hikmah Ilahi yang mendorong si hamba Allah untuk berbuat dengan tindakan-tindakan sedemikian. Rupa-rupanya ada sang raja zalim yang sedang menunggu untuk merampas mana-mana perahu yang berada di perairan pada hari itu; maka perahu itu dilubangi agar sang raja tidak berminat untuk merampasnya.
Rupa-rupanya sang anak kelak apabila sudah menjadi dewasa, akan menjadi seorang pemuda ingkar yang akan menderhaka kepada orang tuanya; maka dia dibunuh agar dia mati tidak berdosa dan sorgalah untuknya dan agar kedua orang tuanya tidak menyesal di kemudian hari.
Dan rupa-rupanya ada harta sepeninggalan seorang ayah kepada kedua orang anaknya di sebalik dinding yang hampir runtuh; maka ia didirikan semula agar harta itu terus dilindungi sehinggalah kedua anak yatim itu sudah cukup dewasa untuk mengambilnya.
Nah, anda sudah nampak permainannya di situ?
Bagaimana manusia yang seringkali gopoh dan rabun jauh, gagal melihat gambar besar perancangan Allah yang Maha Bijaksana itu.
Di dalam surah al-Isra', Allah menceritakan satu kisah daripada banyak-banyak kisah yang dimuatkan dalam al-Quran tentang Bani Israil. Dalam ayat lima surah itu, Allah berfirman:
"Maka apabila sampai masa janji (membalas kederhakaan kamu) kali yang pertama dari dua (kederhakaan) itu, Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau (membunuh dan membinasakan kamu); dan (sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji yang tetap berlaku."
[al-Isra', 17:5]
Dalam ayat ini, Allah menceritakan bagaimana Bani Israil - yang merupakan umat Islam ketika itu - telah dibinasakan oleh satu golongan yang disebut sebagai 'hamba-hamba Kami' dalam ayat ini.
Menarik bukan? Bagaimana Allah menyifatkan satu bangsa yang ganas dan barbarik, yang telah menyerang dan membunuh Bani Israil yang ketika itu merupakan umat yang memegang amanah Syahadatul Haq, sebagai 'hamba-hamba Kami'?
Rupa-rupanya, meskipun bangsa ganas ini bukan Muslim ketika itu, tetapi tindakan mereka yang zalim dan kejam itu, adalah sebahagian daripada perancangan Allah yang lebih besar. Mereka bertindak - dengan izin Allah - atas ilham yang diberikan oleh Allah kepada mereka, untuk memenuhi satu hikmah yang hanya diketahui oleh Allah ketika itu. Atas sebab tindakan mereka itu mempunyai objektif khusus di sisi Allah, atas sebab itulah mereka dipanggil 'hamba-hamba Kami'!
Saudara-saudariku,
Kadang-kadang, kita sukar sekali mahu mengotakkan segala macam musibah dan kecelakaan yang menimpa kita. Kita merasakan, kitalah manusia yang paling malang ketika itu.
Kadang-kadang, kita tidak dapat memahami hikmah yang tersembunyi di sebalik tribulasi besar yang benar-benar menguji jiwa dan raga kita, kerana sungguh, dari luarannya memang semacam tiada hikmah langsung!
Dan kadang-kadang, melihatkan penindasan demi penindasan yang menimpa umat Islam di seluruh dunia, kita berasa lemah dan putus-asa dengan rahmat Allah, kita berasa sia-sia sahaja usaha-usaha kita selama ini berdakwah dan menyebarkan risalah Allah.
Ketika ini iman dan kesabaran kita akan benar-benar teruji. Segala teori dan ilmu yang pernah kita perolehi tentang sifat-sifat Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana itu, akan teruji dengan dahsyatnya.
Ketahuilah, segala apa yang berlaku, meski ia sukar difahami kita ketika itu, walau ia amat tidak masuk akal dan mencabar intektual dan keimanan kita, setiap daripadanya mengandungi hikmah Ilahi dan ibrah untuk kita teladani. Ia hanyalah kepingan puzzle yang kecil yang akan melengkapi sebuah gambar besar perancangan Allah yang jauh lebih signifikan dan bermakna.
Dan andai ketika musbiah, ujian atau apa-apa peristiwa yang melanda kita begitu menyesakkan jiwa, tambah menjadikan kita gila kerana kita gagal memahami hikmah di sebaliknya, tugas kita ketika itu hanyalah bersabar.
Bersabarlah laksana seorang pengembara yang sanggup berjalan dan bermusafir berpuluh tahun lamanya, hanya kerana mahu menuntut secebis ilmu yang dirasakan bakal memberikan manfaat yang luar biasa kepadanya.
Bersabarlah, sehingga suatu hari nanti, apabila kita sudah mampu melihat gambar besar perancangan Allah yang sebenar, kita akan tersenyum puas hati dan lega kerana kita telah memilih untuk bersabar suatu ketika dahulu.
Dan bersabarlah, walaupun kita mati tanpa mengetahui hikmah dan ibrah di sebalik mehnah dan tribulasi yang menimpa kita atau umat Islam seluruhnya, tetapi dek lapangnya dada kita terhadap perancangan Allah yang Maha Hebat itu, ia menaikkan darjat kita sehingga melayakkan kita untuk masuk ke dalam sorga-Nya.
Senyum.
-gabbana-
Nota: Sebahagian besar isi dan hujah dalam penulisan kali ini diinspirasikan daripada sebuah khutbah yang disampaikan oleh Ustaz Nouman Ali Khan.
4 Caci Maki Puji Muji:
Jazakallah dear akh.
Solusinya adalah sabar. Allah mahu lihat sejauh mana tahap keimanan kita dengan kita bersabar.
Dan jika difikirkan dunia yang terlalu sementara ini, kita tiada masa untuk memikirkan hal-hal picisan.
Kita ada misi lain yang lebih utama.
Dan ya, dunia ini 'tidak adil' adakalanya, tapi itulah hakikat dunia. Dunia yang penuh dengan permainan dan gurauan senda.
Eh panjangnya komen. :p
Suka sangat dengan entry ni... sangat kena dengan sistuasi diri, dan kita semua yang tidak tahu apa2 tentang hikmah yang Allah s.w.t simpan untuk kelak diperlihatkan kepada kita... :)
nanges..... T_________T
Aduhhhh.. Bencilahhhh ceniy
Slalu padu je bile pilih rawak2 pon..
Tsk..tsk..
Post a Comment