Kesan IKEA
[Kredit] |
Ketika mula-mula mengasaskan IKEA pada tahun 1943, Ingvar Kamprad mungkin tidak pernah menyangka yang suatu hari, syarikatnya itu akan menjadi syarikat menjual perabot terbesar di dunia dengan lebih 392 buah premis di 48 buah negara! Apatah lagi untuk mengjangkakan dia akan menjadi salah seorang manusia terkaya di muka bumi! Fuh!
Siapa yang tidak kenal dengan IKEA bukan? Sebut sahaja IKEA, pasti logo berwarna kuning dan biru itu terus menerjah kepala. Tidak kurang yang terus teringatkan bebola daging gemok disaluti dengan sos merah panas yang menjilat jari! Err.
Tetapi di seluruh dunia, IKEA lebih terkenal dengan revolusi perabot pasang-sendiri-nya (Baca: DIY atau ready to assemble) yang begitu kreatif dan inovatif. Meskipon banyak syarikat perabot lain yang turut mengaplikasikan konsep ini, malah cuba meniru format yang digunapakai IKEA, namun tiada satu pon yang mampu menandingi penangan IKEA.
Suatu kelebihan yang ada pada ruang pameran IKEA adalah bagaimana IKEA memberikan idea dan inspirasi untuk menghias ruangan di dalam rumah. Seringkali pelanggan akan 'terpedaya' lantas membeli perabot atau barang hiasan yang dilihat sendiri pada ruang pameran. Betul tak? Sebab saya sendiri seringkali menjadi mangsanya! Wahahaha.
Pandang kiri, pandang kanan.
Anda yang pernah berkunjung ke IKEA sama ada di Damansara atau di Cheras pasti akan perasan satu perkara; IKEA tidak pernah surut dikunjungi oleh para pelanggan dari serata pelosok Malaysia. Setiap hari! Lebih-lebih lagi musim cuti sekolah, aduh, memang macam tin sardin dibuatnya!
Ia membuatkan saya terfikir: Apa yang hebat sangat dengan perabot dan barangan IKEA ni? Jika mahu berbicara tentang kualiti, maaf, saya sudah ada banyak pengalaman buruk dengan perabot IKEA. Dan saya tahu ramai juga di luar sana yang mengadu perabot IKEA cepat rosak dan tidak tahan lama.
Ajaibnya, di sebalik semua itu, orang ramai masih lagi berpusu-pusu memborong barangan IKEA. Pada tahun fiskal 2016, IKEA mencatatkan jualan berjumlah €36.4 bilion dari jualan perabot dan barangannya di seluruh dunia! Gila bak hang!
Nah, apa yang istimewa sangat dengan IKEA? Apa rahsia dan jampi yang digunakan mereka?
Ia terletak pada keberkesanan konsep pasang-sendiri yang diaplikasikan IKEA untuk sebahagian besar perabot yang dijualnya. IKEA tidak hanya mengaplikasikan konsep pasang-sendiri, tetapi ia telah melangkah lebih jauh lagi dengan menjadikan konsep tersebut lebih mudah dan praktikal untuk dilaksanakan, pada harga yang sangat berpatutan. Malah ada sesetengah jenis perabot yang boleh dipasang sendiri oleh kanak-kanak! Inilah yang menjadikan IKEA sukar ditandingi dan dikejar oleh para pesaingnya.
Pakar psikologi yang mengkaji fenomena mengapa begitu ramai orang yang jatuh chenta dengan produk-produk IKEA telah menamakannya sebagai 'Kesan IKEA' (Baca: the IKEA effect). Michael I. Norton, Daniel Mochon dan Dan Ariely mendapati, para pelanggan IKEA meletakkan nilai yang cukup tinggi pada perabot yang dibeli mereka hanya kerana mereka yang memasangnya sendiri. Hanya berbekalan pemutar skru, kunci allen dan beberapa alatan lain, seseorang itu boleh memasang hampir kesemua perabot yang diperlukan di dalam sesebuah rumah dengan perbelanjaan yang tidak terlalu besar.
Apa yang akan terjadi sekiranya mereka memasang perabot tersebut dengan cara yang tidak tepat atau ada bahagian-bahagian tertentu pada perabot yang hilang atau rosak ketika proses pemasangan? Mereka akan tetap jatuh chenta dengan perabot-perabot tersebut kerana merasakan berbaloi dengan usaha dan peluh ketiak yang telah mereka curahkan. Hebat bukan?
Dengan kata lain, kita akan lebih menghargai sesuatu itu apabila kita menyumbangkan tenaga dan usaha yang banyak untuk mendapatkan hasilnya, meskipon natijahnya bukanlah yang terbaik seperti yang diharapkan. Inilah yang dimaksudkan sebagai Kesan IKEA.
Pakar psikologi kemudiannya mengembangkan idea ini pada aspek lain dalam kehidupan sehari-hari. Contohnya, seorang pekerja akan lebih menghargai hasil kerjanya di kantor sekiranya dia terlibat dalam sesebuah projek itu sejak awal lagi. Maka dia akan mempunyai satu bentuk keterikatan dengan hasil kerjanya. Para majikan dapat mewujudkan rasa kesetiaan dalam kalangan para pekerja apabila menitikberatkan faktor ini.
Contoh lain, seorang pemilik rumah akan lebih menghargai dan menyukai rumah yang didudukinya apabila dia mengecat sendiri rumahnya, atau dia mengubahsuai sendiri rumahnya. Sekiranya dia mahu menjual rumahnya, dia akan meletakkan harga yang lebih tinggi dari biasa kerana nilai sentimental yang ada pada rumah tersebut, meskipon orang lain mungkin tidak suka dengan cat atau ubahsuai yang dilakukan.
Suatu pemerhatian pada tahun 1950-an di Amerika Syarikat mendapati, suatu produk campuran kek segera tidak mendapat sambutan dalam kalangan suri rumah kerana dengan campuran tersebut, kek dapat dihasilkan dengan terlalu mudah. Ini menyebabkan usaha dan kepakaran mereka seperti tidak berguna lagi. Sebagai respon, syarikat yang menjual campuran kek tersebut melakukan sedikit perubahan; kini suri rumah perlu memasukkan sendiri telur ke dalam campuran tersebut dan ini menjadikan adunan kek sedikit sukar untuk dikacau. Tiba-tiba jualan campuran kek segera tersebut mendadak naik. Hanya dengan menambah satu langkah mudah (memecah dan memasukkan telur), kini suri rumah merasakan mereka ada sumbangan pada kek yang dihasilkan.
Menarik bukan?
Sama ada sedar atau tidak, Kesan IKEA ini sangat relevan dalam dunia tarbiyah dan dakwah. Bagaimana? Seorang dai'e akan lebih menghargai kerja-kerja tarbiyah dan dakwahnya apabila dia terlibat sejak awal lagi dalam sesuatu projek atau gerak kerja.
Misalnya, kegiatan tajmik mad'u baru akan lebih berkesan apabila setiap orang yang ditugaskan dilibatkan sejak awal lagi; dari proses perbincangan, perancangan dan pelaksanaan. Kadang-kadang kita melihat, ada dai'e yang tidak begitu bersemangat atau bersungguh dalam kerja-kerja tajmik. Apabila diteliti, rupa-rupanya dai'e tersebut tidak jelas pon dengan hadaf mentajmik, kerana tidak dilibatkan sejak awalan lagi di peringkat perbincangan. Penglibatan sejak awal juga akan mewujudkan rasa kebertanggungjawaban yang lebih kuat dan berkesan. Sekiranya aktiviti tajmik yang telah dirancang dan dilaksanakan itu tidak membuahkan hasil seperti yang diharapkan, sang dai'e tidak akan mudah menuding jari kepada sesiapa.
Kesan IKEA juga memberi kita sedikit klu, mengapa kadangkala 'usrah passing' tidak sehidup dan seefektif usrah yang dibina sejak awal lagi. Usrah yang mana ahli-ahlinya ditajmik sendiri oleh sang murabbi, besar bezanya dengan usrah yang ahli-ahlinya di'passing' oleh murabbi lain. Rasa kebertanggungjawaban sang murabbi kepada mutarabbinya tidak sekuat apabila mutarabbinya bukan mutarabbi yang ditajmik sendiri. Rasa keterikatan dan sense of belonging itu juga tidak sedahsyat usrah yang dibina sejak awal.
Kerana itu juga, seorang murabbi yang benar-benar 'hidup' dengan mutarabbinya; makan, minum, tidur, belajar, riadhah, solat, qiam, berbuka puasa, main batu seremban dan pepsikola bersama-sama, err, jiwanya akan lebih berasa puas dan bermakna, meskipon hasilnya (mutarabbi yang dibina) belum dapat dipastikan lagi kualitinya bagaimana. Kerana akhirnya, yang dilihat itu ialah usaha dan prosesnya, bukan natijahnya.
Pokoknya, seorang dai'e itu akan lebih memaknai erti berada di dalam gerabak tarbiyah dan dakwah apabila dia merasakan dia punya sumbangan kepada aktiviti dan gerak kerja gerabak yang disertainya. Hal ini penting bagi para pimpinan mana-mana jemaah harakah sekiranya mahu mewujudkan kesetiaan dan ketaatan dalam kalangan para penggerak dakwah.
Nah, setiap kali anda ke IKEA selepas ini, jangan biarkan hanya rak buku BILLY atau meja makan BJURSTA atau sofa KARLSTAD yang bermain di kepala. Ketahuilah, IKEA punya kesan yang jauh lebih mendalam di dalam hidup anda! Eheh.
-gabbana-
Melihatkan kadar penghasilan artikel baharu sekarang ini memang merudum dengan dahsyat sekali, kemungkinan besar saya tidak akan sempat menulis apa-apa artikel khusus untuk Ramadhan yang bakal tiba.
Oleh itu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada anda yang bakal dipertemukan dengan Ramadhan nanti! Selamat berpesta ibadah!
3 Caci Maki Puji Muji:
Menarikk! Seronok bila pandang sesuatu perkara dengan pandangan hikmah! :D Rindu penulisan Inche Gabbana. Inche tulislah lagiii =>
Salam singgah dan follow sini :)
Rabb inni bima anzalta ilayya min khairi fakir
Post a Comment