31 May 2016

Kita Merindukan Akhlak Saorang Musa

"Robbi inni limaa anzalta ilayya min khairin faqiir." Salah satu doa Nabi Musa AS yang cukup pawer! [Kredit]

Ada sesuatu yang sangat menarik dengan catatan Allah SWT tentang Nabi Musa AS di dalam surah as-Syu'ara.

Seperti yang kita sudah sedia maklum, nama Musa AS adalah nama yang paling banyak diulang-tayang di dalam kitab agung al-Quran itu. Tidak lain dan tidak bukan, perjalanan hidup rasul 'Ulul Azmi itu begitu banyak pengajaran dan hikmahnya, bukan sahaja sebagai panduan kepada Rasulullah SAW dan para sahabat baginda, tetapi sudah tentunya untuk kita yang hidup di zaman ini.

Apabila Allah SWT mengarahkan Musa AS untuk berdakwah kepada Firaun dan kaumnya, baginda mula mendapat tentangan daripada Firaun dan konco-konconya. Di dalam babak yang dirakamkan di dalam surah as-Syu'ara ini, Allah SWT membandingkan perangai atau sikap Firaun, manusia terkutuk sepanjang zaman dengan hamba-Nya yang mulia. Firman Allah SWT:
"Dia (Firaun) menjawab, 'Bukankah kami telah mengasuhmu dalam lingkungan (keluarga) kami,w aktu engkau masih kanak-kanak dan engkau tinggal bersama kami beberapa tahun dari umurmu. Dan engkau (Musa) telah melakukan (kesalahan dari)* perbuatan yang telah engkau lakukan dan engkau termasuk orang yang tidak tahu berterima kasih.'" 
[as-Syu'ara, 26:18-19]

*Kesalahan membunuh seorang Qibti tanpa sengaja

Lihatlah perangai terkutuk Firaun itu! Bagi melemahkan semangat Musa AS dan kerana tidak boleh menerima risalah yang dibawa baginda, Firaun telah menggunakan taktik keji dengan mengungkit-ungkit kebaikan dan jasanya kepada Musa AS (sekiranya anda masih ingat, Firaunlah yang telah membesarkan Musa AS di dalam istananya). Dan tidak cukup dengan itu, Firaun juga sengaja menggarishitamkan (Baca: Bold and underline) kesalahan Musa AS yang telah tidak sengaja membunuh seorang Qibti apabila sang Qibti bergaduh dengan seorang Yahudi.

Semuanya hanya kerana sebuah ego! Ego kerana tidak boleh menerima kebenaran yang dibawa Musa AS dan ego kerana seorang Yahudi hina, yang pernah dibersarkan dan diasuh oleh tangannya sendiri, kini datang dan mendakwa dirinya seorang rasul! Mana mungkin!

Nah, ayuh kita lihat bagaimana seorang Rasul Allah, seorang kekasih-Nya menanggapi hal ini. Allah SWT merekodkan respon Nabi Musa AS dengan begitu jelas dan indah:
"Dia (Musa) berkata, 'Aku telah melakukannya dan ketika itu aku termasuk orang yang sesat.

Lalu aku lari darimu, kerana aku takut kepadamu, kemudian Tuhanku menganugerahkan ilmu kepadaku serta Dia menjadikan aku salah seorang di antara rasul-rasul.

Dan itulah kebaikan yang telah engkau berikan kepadaku, (sementara) itu engkau telah memperbudak Bani Israil.'" 
[as-Syu'ara, 26:20-22]

MashaAllah! Lihatlah betapa besarnya perbezaan akhlak dan sikap Musa AS dengan Firaun laknatullah itu!

Pertamanya, baginda tidak menafikan 'dosa' atau kesalahannya yang pernah dilakukannya di masa lalu.

"'Aku telah melakukannya dan ketika itu aku termasuk orang yang sesat."

Betap rendahnya hati baginda. Betapa mulia dan besarnya jiwa baginda yang tidak malu untuk mengaku kesilapan yang pernah baginda lakukan!

Hari ini kita melihat, ada dalam kalangan para dua't yang terlalu malu dengan masa silamnya yang gelap dan hitam itu, sehinggakan sanggup menipu dan berbohong semata-mata untuk mengambus dosa-dosanya yang lalu. Ya, sememangnya kita dianjurkan untuk berasa malu dengan aib-aib kita yang lalu, tetapi tidaklah sampai tahap kita menipu tentangnya. Bukankah seorang mu'min itu tidak mungkin menipu?

Dan seperti Musa AS, bukankah ketika itu kita berada di dalam kesesatan, tidak kenal mana yang baik dan buruk? Bukankah ketika itu kita dikuasai oleh hawa nafsu dan bisikan syaitonirrojim sehingga kita larut di dalam maksiat dan jahiliyyah? Seperti kata-kata yang lejen ini:

Every saint has a past and every sinner has a future. Setiap 'malaikat' itu ada masa silamnya dan setiap pendosa itu ada masa depannya.


Kita jadikan masa silam kita yang lampau itu sebagai pedoman dan motivasi untuk kita melangkah lebih jauh dan laju di atas jalan perubahan ini! Kita rangka dan rancang masa depan yang lebih bahagia dan cerah untuk kehidupan kita! Hoyeaaahh!

Kemudian siapakah yang menunjukkan jalan kepada kita? Siapakah yang telah menuntun dan membimbing kita supaya kembali ke jalan yang lurus dan benar? Siapakah yang telah menyelamatkan kita dari jurang api neraka yang sangat dalam dan dahsyat itu? 

Lalu aku lari darimu, kerana aku takut kepadamu, kemudian Tuhanku menganugerahkan ilmu kepadaku serta Dia menjadikan aku salah seorang di antara rasul-rasul.

Allah! Allah lah yang begitu berbaik hati untuk menyelamatkan kita. Yang telah menghantar Makcik Hidayah dan Pakcik Taufiq untuk membelasah kita cukup-cukup agar kita kembali sedar dari kelalaian dan kealpaan kita yang begitu kritikal. Yang telah mengurniakan cahaya petunjuk kepada kita agar kita dapat keluar dari lubang dan gaung yang gelap dan dalam.

Alangkah bertuahnya kita. Alangkah beruntungnya kita. Alangkah!

Dan apakah caranya untuk kita menunjukkan rasa syukur dan berterima kasih kita kepada Allah yang telah mengeluarkan kita dari musibah yang sangat dahsyat itu? 

Dengan berdakwah! Dengan menyampaikan kebenaran! Dengan menyebarkan chenta dan kebaikan!

Sepertimana Musa AS yang menzahirkan rasa takzim dan syukurnya kepada Tuhannya yang Maha Mulia dengan pergi berdakwah kepada Firaun, nemesis agung yang tiada tandingnya ketika itu! 

Lantas, kita sampai kepada bahagian yang ingin saya tekankan pada penulisan kali ini. 

Begitu hebatnya akhlak junjungan mulia bernama Musa AS itu, begitu dahsyatnya tarbiyah Allah yang telah meresap jauh ke dalam jiwanya dan betapa tingginya akhlak seorang rasul, seorang dai'e yang akan terus menjadi pedoman untuk kita sehingga akhir zaman, baginda menuturkan dengan tulus dan mulus:

"Dan itulah kebaikan yang telah engkau berikan kepadaku, (sementara) itu engkau telah memperbudak Bani Israil."

Subhanallah! Lihatlah akhlak yang begitu hebat ini!

Di sebalik kebenciannya kepada kekufuran dan kekejaman Firaun, Musa AS tidak pernah menafikan kebaikan dan jasa baik Firaun kepada dirinya, yang telah membesarkan dan mengasuhnya di dalam istana Firaun sendiri. Baginda tidak menolak bahawa Firaun lah yang telah mengambilnya dan bersetuju untuk membesarkannya, walaupun ketika itu semua bayi lelaki Bani Israil telah diarahkan untuk dibunuh oleh FIraun sendiri. 

Beza sekali sikap Firaun dengan Musa AS. Firaun yang penuh takabbur dan ego itu, tanpa segan silu mengungkit-ungkit jasa dan kebaikannya pada Musa AS. Tidak cukup dengan itu, dihamburkannya pula kesalahan Musa AS yang dilakukan ketika mana baginda berada di dalam kesesatan. Sedangkan Musa AS, dengan penuh tawadhu' dan kerendahan hati, tidak pernah berdusta dalam kata-katanya; pantas mengiktiraf jasa Firaun pada dirinya! Allah Allah!

Kata-kata yang pendek dan tuntas ini - "Dan itulah kebaikan yang telah engkau berikan kepadaku..." - mengandungi hikmah dan ibrah yang begitu besar buat para dua't di luar sana. Ia mengandungi fiqh dakwah yang begitu hebat dan luar biasa!

Apabila kita menyatakan jasa dan kebaikan seseorang itu, apatah lagi di hadapan orang ramai, bukankah dengan cara itu ia dapat mencairkan hati orang tersebut? Bukankah ia dapat melembutkan hatinya lantas menjadikannya tertarik untuk mendengar setuan yang ingin kita sampaikan? Bukankah ia dapat menimbulkan rasa terharu dan menambat hatinya untuk mendengar kata-kata kita yang seterusnya? 

Justeru itulah yang dilakukan oleh Musa AS, apabila baginda menyambung, "...engkau telah memperbudak Bani Israil"! Dengan bahasa yang lebih indienya, baginda sempat lagi menganjing Firaun tu! Eheh. 

Lantas marilah kita sama-sama mencontohi ketinggian akhlak dan kebesaran jiwa Musa AS.

Di zaman yang mana para ostad ostajah dan para dua't saling bertikam lidah, bercakaran dan menikam dari belakang, kita sampai melupakan perkara yang lebih besar dan utama. Betapa kita semua adalah saudara seaqidah yang ikatan yang mengikat hati-hati kita adalah ikatan ad-deen yang lebih pekat dari darah!

Kadangkala kerana perbezaan pendapat yang sedikit, kita pantas bersorak menjatuhkan, cepat sekali mencerca dan mematikan. Sedangkan orang yang kita kutuk dan gelakkan itu tidak lain adalah murabbi kita juga, ikhwah kita juga, akhawat kita juga, saudara seaqidah kita juga. Orang-orang yang punya keutamaan yang cukup besar di sisi kita. 

Sedangkan Musa AS telah menunjukkan kepada kita, bagaimana jasa seorang kafir yang menentang Allah itu pada masa-masa yang tertentu, dihargai dan tidak dilupakan. Inikan pula budi baik dan kebaikan murabbi, ikhwah dan saudara-saudara yang pernah sama-sama tidur sebantal dengan kita, makan setalam dengan kita dan berkejar-kejaran bermain osom gergasi dengan kita? 

Malah kadangkala - na'udzubillah - akhlak kita lebih mirip kepada Firaun; kerana tidak puas hati dengan al-akh itu atau kerana dengki dengan al-ukht itu atau marah kepada sekumpulan manusia yang lainnya, kita pantas mengungkit-ungkit kebaikan dan jasa kita kepada mereka. Tidak cukup dengan, tidak puas menyakitkan hati mereka dengan cara itu, kita highlightkan pula kesalahan dan dosa-dosanya yang lalu!

Allahu. Tidak Firaun-kah itu namanya?? 

Kita hidup di zaman yang akhlak dan sikap itu sudah jatuh entah nombor sembilan atau sepuluh, tetapi menegakkan pendirian peribadi entah betul atau salah itulah yang utama. 

Kita hidup di zaman yang akhlak yang baik itu bukan lagi ciri-ciri yang wajib ada pada diri seorang dai'e murabbi, tapi asalkan petah bercakap dan mudah sekali memberi dalil apabila berkata.

Dan kita hidup di zaman yang mana contoh tauladan yang baik itu semakin dilupakan, pudar dalam ingatan walhal yang mana yang berani berdebat dan berjiddal, yang mana yang paling lantang bersuara, itulah yang akan disanjung dan diraikan.

Ayuhlah kita mendidik jiwa kita agar dapat berakhlak seperti Musa AS, kerana sungguh akhlak yang mulia itu adalah kunci kepada khazanah luar biasa yang tidak tertanding nilainya!


Sungguh di zaman yang penuh kegilaan dan pancaroba ini, kita amat merindukan pada dua't yang berakhlak seperti Musa!

-gabbana- 

Ramadhan sudah benar-benar menghampiri kita. Sudahkah kita mempersiapkan diri dan jiwa bagi menyambut tetamu agung sekali setahun ini?
   

4 Caci Maki Puji Muji:

MJ 06/06/2016, 15:21  

Sangattt setuju... bukan nak kata manja atau tak boleh ditegur, dan saya faham bahawa hikmah itu tidak semestinya sentiasa berlembut, tapi kita juga perlu faham bahawa hikmah itu juga tidak semestinya perlu sentiasa bertegas, perlu sentiasa mengancam dan perlu sentiasa menyindir. Saya juga merindukan daie yang berakhlak seperti Musa.
Sometimes we did it so hard about Islam for certain people that we killed their hopes. People ate not in the same level.

Anonymous 09/06/2016, 11:42  

Mr.Gabbana
boleh x syer doa nabi musa masa belah laut tu...apa ek doanya..

LuvHaryani 12/06/2016, 11:36  

Terima kasih, sangat bermanfat, akhlak Nabi Musa as :)

Unknown 13/07/2016, 12:40  

Apa maksud memperbudak tu ya?

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP