19 April 2016

Adiwira Al-Quran

[Kredit]

Anak-anak (dan sudah tentu mak bapak kepada anak-anak ini) pada hari ini berhadapan dengan suatu era yang sangat mencabar dam merunsingkan. Dengan dunia yang semakin tidak bersempadan, teknologi maklumat yang semakin pesat berkembang, Unifi yang semakin laju meskipun tak boleh nak celen lagi kelajuan internet di negara jiran, eh, pelbagai bahan hiburan dan informasi terkini dari Barat, Jepun, India dan Korea bertalu-talu dan menderu-deru masuk sehingga mereka kehilangan identiti dan jati diri.

Tanyalah mereka ini, siapa adiwira pujaan hati mereka? Pasti jawapan yang keluar dari mulut mereka nama-nama seperti Iron Man, Batman, Incredible Hulk, Naruto, Son Goku dan One Punch Man.

Tengok tu, adiwira pun tak tahu apa bendanya? Lailaha ilallah. Geleng kepala.

Tanya pula mereka, siapa idola pengarang jantung hati mereka? Nama-nama seperti Christiano Ronaldo, Justin Bieber, Lee Byung-hun, Shah Rukh Khan, Takeshi Kaneshiro dan entah siapa-siapa lagi pasti akan menjadi jawapan.

Cuba tanya depa ni kenal tak siapa P. Ramlee, atau Hang Tuah, atau anak-beranak Sidek, atau Sudirman, atau Pendeta Zaaba, atau Buya Hamka, atau Abdul Rahman Limbong. Agak-agak apa reaksi dan jawapan mereka?

Shiuhh shiuuhhh angin pantai bertiup nyaman menyapa pipi dan mengurai rambut. Sesuai sangat kalau nak buat iklan syampu.

Err.

Cuba tanya pula siapa sahabat yang pertama sekali masuk Islam? Siapa sepuluh sahabat yang dijanjikan masuk sorga? Siapa pula sahabat yang digelar ‘orang terpercaya Nabi’ atau ‘syahid yang berjalan di muka bumi’?

Hamekau. Jangan kata anak-anak tersipu-sipu nak jawab, silap haribulan mak bapak pun tergagap sama nak menjawab! Kekeke.

Kerana itu kita perlu mendidik generasi hari ini untuk kembali kepada Islam, kepada al-Quran dan sunnah ar-Rasul SAW. Apabila hati mereka sudah terikat dengan Islam, jatuh chenta dengan sunnah baginda, seronok mahu mahu belajar sirah nubuwwah dan para sahabat, mereka tidak akan cari idola lain melainkan tokoh-tokoh atau sosok-sosok yang beriman dan yang dekat dengan-Nya, yang memberi inspirasi kepada mereka untuk turut sama menelusuri jalan para pejuang ini.

Seperti Uwais al-Qarni.

Selain Uwais, masih ramai lagi selebriti langit yang pernah menghuni bumi yang fana ini. Di dalam al-Quran sendiri, ada banyak kisah-kisah yang menceritakan tentang manusia-manusia hebat yang bukan sahaja ikhlas dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang hamba, malah yang lebih luar biasa daripada itu, turut bermanfaat kepada manusia lain di sekeliling mereka.

Selain kisah para Nabi dan Rasul yang menakjubkan yang diceritakan, yang sarat dengan pengembaraan luar biasa dalam mencari redha-Nya, yang jika dibuat filem senang-senang sahaja boleh bikin pecah panggung, masih ada kisah-kisah lain yang tidak kurang hebatnya.

Dan apa yang menariknya dengan kisah-kisah ini ialah watak-watak utamanya adalah para pemuda yang bukan dalam kalangan para Nabi atau Rasul. Mereka ialah manusia biasa yang berjalan di muka bumi sama seperti kita. Mereka makan seperti kita, tidur seperti kita dan kadangkala berlari riang-gembira di tengah-tengah rimbunan bunga dafodil ditemani oleh arnab-arnab gemuk seperti kita juga. Err.

Maka sudah tentu apabila membaca kisah-kisah mereka ini, kita akan merasakan sangat dekat dengan mereka, dapat kaitkan kehidupan kita dengan kehidupan mereka.

Saya gelarkan mereka ini adiwira Al-Quran. Ya, mereka manusia biasa seperti kita. Tapi kisah perjalanan hidup mereka cukup luar biasa, cukup menginspirasikan kita sehingga kadangkala apabila kita

Mari kita lihat adiwira-adiwira luar biasa ini dan belajar daripada mereka.

Pemuda al-Kahfi
Siapa yang tidak tahu tentang kisah mereka ini? Jika anda tidak pernah langsung dengar tentang mereka ini, sila siapkan payung terjun kerana saya mahu campak anda keluar dari kapal terbang.

Kisah pemuda al-Kahfi dirakamkan oleh Allah di dalam al-Quran seperti berikut:
“Apakah engkau mengira bahawa orang yang mendiami gua dan yang mempunyai ar-raqim itu, termasuk tanda-tanda (kebesaran) Kami yang menakjubkan?

(Ingatlah) ketika pemuda-pemuda itu berlindung ke dalam gua lalu mereka berdoa, ‘Ya Tuhan kami! Berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah petunjuk yang lurus  bagi kami dalam urusan kami.’

Maka Kami tutup telinga mereka di dalam gua itu selama beberapa tahun, kemudian Kami bangunkan mereka, agar Kami mengetahui manakah di antara kedua golongan itu yang lebih tepat dalam menghitung berapa lamanya mereka (tinggal di dalam gua itu).

Kami ceritakan kepadamu kisah mereka dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka.” 
 [Al-Kahfi, 18:9-13]

Para pemuda al-Kahfi ialah para pemuda beriman yang menentang kezaliman seorang raja di zaman mereka. Mereka terpaksa melarikan diri dan bersembunyi di dalam sebuah gua kerana diburu oleh sang raja dan konco-konconya.

Mereka ditidurkan selama 309 tahun lamanya dan usai bangkit dari lena yang (teramat!) panjang, mereka mendapati zaman telah berubah dan masyarakat ketika itu sudah beriman.

Pemuda Pawer Di Zaman Nabi Sulaiman
Ketika Nabi Sulaiman AS berkira-kira bagaimana mahu menerbangkan istana Ratu Balqis bagi memberi seprais bak hang kepada ratu kerajaan Saba’ itu, raja kepada segala jin, ‘Ifrit menawarkan diri  dengan berkata:

“Akulah yang akan membawanya kepadamu sebelum engkau berdiri dari tempat dudukmu; dan sungguh, aku kuat melakukan dan dapat dipercayai.” [An-naml, 27:39]

Peh, sebelum Nabi Sulaiman sempat berdiri, ‘Ifrit claim dia boleh terbangkan istana Ratu Balqis! Memang pawer!

Tapi rupa-rupanya ‘Ifrit tak cukup pawer kerana ada seorang pemuda soleh dalam kalangan pengikut Nabi Sulaiman yang jauh lagi pawer!
“Seorang yang mempunyai ilmu dari Kitab berkata, ‘Aku akan membawa singgahsana itu kepadamu sebelum matamu berkedip.’ Maka ketika dia (Sulaiman) melihat singgahsana itu terletak di hadapannya, dia pun berkata, ‘Ini termasuk kurnia Tuhanku untuk mengujiku, apakah aku bersyukur atau mengingkari (nikmat-Nya).’” 
[An-Naml, 27:40]

Bayangkan! Sebelum mata Nabi Sulaiman berkelip, istana Ratu Balqis sudah berada di hadapan matanya!

Pastinya pemuda beriman ini bukan-bukan calang orangnya. Sungguh dia adalah lelaki terpilih yang dikurniakan oleh Allah dengan “ilmu dari kitab”, atau dengan kata lain, super power yang luar biasa! Ini David Copperfield atau David Blaine pun belum tentu mampu buat!

Walaweh!

Pemuda Yasiin
Kalaulah ada satu surah yang boleh dianugerahkan sebagai surah feveret orang Melayu di Malaysia ni, saya jamin anugerah itu akan dimenangi oleh surah Yasiin. Tengok sahajalah! Bukan setakat setiap malam Jumaat surah Yasiin habis dikhatamkan, tetapi ketika melawat orang sakit, majlis doa selamat untuk calon-calon UPSR, tahlil dan sebagainya, surah Yasiin pasti menjadi pilihan!

Alangkah baiknya sekiranya kita bukan sahaja terkumat-kami mengulang-ulang bacaan Yasiin itu, tetapi tahu juga apa yang terkandung di dalamnya. Kerana di dalam surah Yasiin itu, antara lainnya ada diceritakan kisah seorang pemuda yang cukup luar biasa!

“Dan datanglah dari hujung kota, seorang lelaki dengan bergegas dia berkata, ‘Wahai kaumku! Ikutilah utusan-utusan itu.

Ikutilah orang yang tidak meminta imbalan kepadamu; dan mereka adalah orang-orang yang mendapat petunjuk.

Dan tidak ada alasan bagiku untuk tidak menyembah (Allah) yang telah menciptakanku dan hanya kepada-Nya lah kamu akan dikembalikan.

Mengapa aku akan menyembah tuhan-tuhan selain-Nya? Jika (Allah) yang Maha Pengasih mengkehendaki bencana terhadapku, pasti pertolongan mereka tidak berguna sama sekali bagi diriku dan mereka (juga) tidak dapat menyelamatkanku.

Sesungguhnya jika aku (berbuat) begitu, pasti aku berada dalam kesesatan yang nyata.

Sesungguhnya aku telah beriman kepada Tuhanmu; maka dengarkanlah (pengakuan keimanan)ku.’

Dikatakan (kepadanya), ‘Masuklah ke dalam sorga.’ Dia (lelaki itu) berkata, ‘Alangkah baiknya sekiranya kaumku mengetahui.’” 
[Yasiin, 36:20-26]

Hebatnya pemuda ini, sehingga digambarkan dia langsung dimasukkan ke dalam sorga setelah mati dibelasah oleh kaumnya sendiri yang benci dan marah kepada dakwah yang disampaikan olehnya!

Patutlah orang Melayu berebut-rebut nak jampi air mineral dengan bacaan Yasiin setiap malam Jumaat! Eh eh.

Lari laju-laju.

Pemuda Beriman Keluarga Firaun
Sebut sahaja Firaun, yang terbayang dalam kepala kita ialah seorang lelaki bermata celak, berjubah kapas Mesir, lengkap dengan mahkota dan capal yang dijahit dengan benang emas. Betul tak? Nampak sangat banyak sangat tengok movie omputih anda ni.

Nama Firaun tidak asing lagi dalam kehidupan kita. Firaun dikenali sebagai seorang manusia yang bukan sahaja bengis dan zalim, malah melampaui batas dengan mengaku dirinya sebagai Tuhan. Sehingga hari ini, sesiapa sahaja yang berlaku zalim, kejam dan bengis akan digelar dengan panggilan Firaun.

Tetapi tahukah anda di sebalik kekejaman dan kebrutalan Firaun, ada dalam kalangan ahli keluarganya yang beriman? Bukan, saya tidak maksudkan Asiah isterinya itu, tetapi seorang pemuda yang dirakamkan oleh Allah di dalam surah al-Ghafir:

“Dan seorang yang beriman di antara keluarga Firaun yang menyembunyikan imannya berkata, ‘Apakah kamu akan membunuh seseorang kerana dia berkata, ‘Tuhanku adalah Allah’, walhal sungguh, dia telah datang kepadamu dengan membawa bukti-bukti yang nyata dari Tuhanmu. Dan jika dia seorang pendusta, maka dialah yang menanggung (dosa) dustanya itu; dan jika dia seorang yang benar, nescaya sebahagian (bencana) yang diancamkan kepadamu akan menimpamu. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang melampaui batas dan pendusta.’” 
[Al-Ghafir, 40:28]

Peh mantap gila mamat ni! Tak takut langsung dengan Firaun! Hanya kerana keimanannya dan kesungguhannya dalam menegakkan kebenaran!

Gua respek sama lu brooo!

Nah, apa persamaan antara keempat-empat adiwira ini?

Pertama, mereka cukup hebat dan luar biasa.

Pemuda al-Kahfi dengan kekuatan iman mereka, tidak tunduk dan kalah kepada desakan dan ancaman sang raja.

Pemuda pawer si pengikut Nabi Sulaiman AS, yang mempunyai ilmu dan kehebatan luar biasa memindahkan singgahsana Ratu Balqis dalam sekelip mata.

Pemuda Yasiin yang bersegera dari hujung kota semata-mata untuk menasihati kaumnya yang menentang risalah yang dibawa oleh para nabi ketika itu.

Dan pemuda beriman dalam kalangan ahli keluarga Firaun yang tidak gerun pada kezaliman dan kebengisan Firaun hanya kerana mahu menegakkan kebenaran.

Memang cukup hebat lagi luar biasa bak hang!

Kedua, keempat-empat mereka ini adalah pemuda. Ya, masih muda dan ganteng gitu. Eheh.

Pemuda al-Kahfi disebut sebagai ‘fityah’ yang bermaksud muda, dewasa, berani, pemurah, mempunyai kualiti kejantanan dan orang yang mulia.

Pengikut Nabi Sulaiman AS yang pawer itu disebut di dalam tafsir Ibn Kathir sebagai seorang lelaki pembantu kepada Nabi Sulaiman AS dan merupakkan seorang yang siddiq (patuh kepada agama).

Manakala pemuda Yasiin pula digelar sebagai ‘rajulun’ yang membawa makna manusia yang berjantina lelaki atau seseorang yang mempunyai waris.

Lelaki beriman dalam keluarga Firaun itu juga disebut sebagai ‘rajulun’.

Nah, untuk menjadi seorang adiwira yang hebat anda mestilah seorang yang muda dan hensem tahu? Kekeke.

Dan ketiga, anda perasan tak sesuatu tentang uslub yang digunakan al-Quran dalam mengkisahkan tentang mereka ini?

Ok saya bagi ada dua minit untuk perasan. Ok lah kalau tak perasan pun, cubalah buat-buat perasan.

Sudah?

Anda perasan tak dalam keempat-empat kisah tadi, nama mereka langsung tidak disebut oleh al-Quran? Walaupun untuk kes pemuda Yasiin, ada ulama’ yang menafsirkan bahawa beliau adalah seorang lelaki bernama Habib an-Najjar, hakikatnya, al-Quran tidak pernah menyebut siapa lelaki itu sebenarnya.

Apakah rahsia atau ibrah kepada kerahsiaan identiti mereka ini?

Agar kisah hidup mereka akan menjadi pedoman dan panduan untuk kita sepanjang zaman. Dengan merahsiakan nama dan identiti mereka, seolah-olahnya Allah ingin memberitahu kita, tak penting pun siapa mereka ini, asalkan kita mengambil pelajaran dan hikmah daripada mereka.

Kerana kita manusia ini, cenderung untuk mengaitkan seseorang tokoh atau figur itu dengan tempat dan masa beliau hidup.

Mahatma Gandhi memang hebat, tetapi beliau hebat untuk orang India dan ketika itu sahaja.

Oh Hang Tuah memang seorang pahlawan sejati yang sanggup berkorban diri demi raja dan negara, tapi zaman sekarang ni macam tak logik je nak buat macam tu.

Mulan tu sanggup menyamar jadi lelaki sebab tak mahu ayah dia dikerah jadi tentera kerajaan China. Memang mulia! Tapi zaman sekarang ni ada lagi ke anak perempuan yang sanggup buat macam tu?

Maka dengan mendiamkan nama dan merahsiakan identiti pemuda al-Kahfi, pemuda si pengikut Nabi Sulaiman, pemuda Yasiin dan lelaki beriman saudara Firaun, ia menjadi iktibar dan pedoman yang hidup sepanjang zaman. Kehebatan dan keluarbiasaan mereka tidak terbatas oleh tempat, keadaan mahupun masa.

Fuh.

Lantas…

Dari pemuda al-Kahfi kita belajar erti kejantanan dan keimanan sebenar.

Dari pengikut Nabi Sulaiman kita belajar erti kehebatan yang boleh dicapai oleh seorang manusia dengan izin-Nya.

Dari pemuda Yasiin kita belajar erti sebuah pengorbanan atas nama kebenaran.

Dari lelaki saudara Firaun kita belajar erti keberanian bersuara menentang kezaliman.

Dan dari mereka semua, kita belajar bahawa untuk menjadi selebriti langit yang luar biasa, kita sebenarnya tidak memerlukan nama.

Mereka adalah adiwira sebenar yang patut kita contohi dan idamkan. Kerana mereka adalah adiwira al-Quran!

-gabbana-

Post ini adalah post terakhir untuk siri artikel yang diambil dari buku baharu saya, 'Biar Tak Glamor Di Dunia, Asal Popular Di Langit Sana.' Ada dua puluh satu lagi artikel lain yang inshaAllah bakal menggugah jiwa anada! Harapnya by this time, anda sudah cukup teruja untuk membeli buku saya nanti! Eheh.

Dapatkan buku terbaru saya ini dan buku-buku terbitan Penerbitan Wahai! yang lainnya di PBAKL 2016 nanti! Dapatkan info lanjut di laman Mukabuku Penerbitan Wahai! 

5 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 19/04/2016, 15:55  

i believe ada ayat tergantung. tetiba sahaja 'apabila kita' and after that takde sambungan. is that purposedly done?

Soryoku 21/04/2016, 19:26  

Mantap syeikh iche... X sabar nak baca.. Dah order dah.. Dapat dicount huk!!!

Raihanah Ahmad 05/05/2016, 12:16  

ramai adiwira sebenarnya kan, cuba tak dikomersialkan je

filzah.d 17/05/2016, 00:25  

hmm inche, bagaimana pula superheroin zaman dolu2? siapakah gerangan yg boleh dijadikan idola?

Siti Sharini 25/05/2016, 16:21  

wahhhhhhhh inche gabbana ada tulis buku rupanya...ada rezeki boleh beli..

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP