11 September 2012

Sepegeti Bolognese, iTelefon dan Cokolat Snickers

[Kredit]

Saya betul-betul mengharapkan agar post ini akan jadi pendek dan manis kerana saya sumpah sibuk sekarang ini tetapi tangan sudah gatal-gatal dan kepala berserabut kerana sudah lama tidak menulis. Maka kena tulis juga sesuatu pendek.

Mari kita lihat sama ada saya berjaya atau tidak untuk:
  1. Menyiapkan post ini; dan
  2. Memastikan post ini pendek tetapi padat
Wahai!

Dahulu ketika kanak-kanak saya tidak suka makan sepegeti. Saya memandang sepegeti sebagai makanan yang pelik dan menjijikkan, dengan mi kuning yang melekit dan tidak menghairahkan. Namun ketika saya sedang meningkat dewasa, pandangan saya terhadap sepegeti mula berubah. Saya mula mencuba-cuba makan sepegeti , espeseli sepegeti hasil air tangan Puan Mama. Dan lama-lama saya jatuh chenta. Bermacam-macam jenis sepegeti yang telah saya cuba. Daripada sepegeti bolognese berdaging cincang ke sepegeti carbonara kuah berlemak dan berkrim, juga sepegeti olio yang kering dan sedikit pedas serta sepegeti berkuah cendawan.

Malah saya masih ingat sewaktu 'berjaulah' ke Itali suatu ketika dahulu, kerana sukarnya mencari makanan halal di sana, saya sering memesan sepegeti Pormodoro, yakni mi kuning dan berkuahkan sos tomato semata-mata. Rasanya..? Sumpah lazat gua tak tipu bro! Eh. Memang tak samalah macam di Malaysia ini. Kini antara masakan sepegeti kesukaan saya adalah aglio olio. Selain rasanya yang unik, masakannya yang menggunakan minyak zaitun juga cukup berkhasiat dan mampu mengurangkan kadar pengembangan perut ke depan! Wahahaha...

Aglio olio. Oh la la! [Kredit]

Saya dahulunya pengguna tegar telefon bimbit cap Sony Ericsson. Saya mula menggunakannya sejak di tingkatan tiga lagi. Saya terus setia dengan Sony Ericsson, hatta ketika saya berada di Kerajaan Bersatu dahulu. Ketika orang ramai mula berhijrah ke telefon pintar keluaran Epal, iTelefon dan entah macam-macam lagi jenis telefon yang ada ketika itu, saya kekal setia dengan Sony Ericsson. Malah saya sanggup berdebat, mempertahankan Sony Ericsson walaupon sudah tampak simptom-simptom kejatuhannya pada suatu ketika.

Sehinggalah saya dikecewakan oleh Sony Ericsson apabila dua telefon pintarnya, Satio dan Xperia X10 gagal menandingi telefon-telefon pintar cap yang lain, apatah lagi iTelefon, ketika itu saya tahu yang saya perlu bertukar ke cap yang lain pula. Sampai bila aku harus berasa tertipu dan menderita sebegini...?? Saya bermonolog. Eheh.

Pernah untuk suatu tempoh yang sangat singkat saya menggunakan HTC, tetapi itu pon gagal membuatkan saya kagum. Akhirnya saya mengaku kalah. Saya berazam untuk membeli sebiji iTelefon kerana saya yakin itulah yang terbaik untuk saya. Itu pon saya hampir-hampir tewas dengan Xperia Arc. Mujurlah saya sudah serik dan tidak mungkin pisang berbuah tiga kali.

Kini saya adalah pengguna iTelefon yang amat berpuas hati.

Xperia X10. Kononnya bakal menjadi pencabar terdekat iTelefon ketika dilancarkan. Tapi.. Hampagas cap ayam! [Kredit]

Anda pernah makan cokolat Snickers..? Saya tidak hairan sekiranya anda tidak pernah rasa teringin untuk menikmatinya. Saya juga dahulu begitu. Malah sekali pon tidak pernah tertarik dengan iklannya yang ditayangkan di telebisen; kononnya kacang rangup yang disalut dengan karamel dan cokolat ampuh di luarnya pasti akan membuatkan anda mahukannya lagi dan lagi dan lagi. Malah terasa geli dan loya pula melihat iklannya yang menayangkan karamel berwarna perang menyaluti kacang sebegitu rupa.

Namun semuanya berubah ketika saya terbang ke luar negara. Entah mengapa, saya memberanikan diri mencuba-cuba untuk makan Snickers. Anda tahu apa selepas itu? Segalanya tinggal sejarah (Baca: The rest is history). Saya terus menjadi peminat nombor satu snek cokolat kacang rangup itu. Malah boleh dikatakan hampir setiap minggu pasti saya akan menikmati sekurang-kurangnya sebatang snek cokolat itu. Dengan harganya yang boleh tahan murah di Kerajaan Bersatu, hubungan chenta saya dan Snickers ibarat Rumi dan Juli; gila, terlarang dan berahi. Ahah! 

Punyalah tegar kegilaan saya terhadap Snickers sehinggakan rakan serumah saya dahulu pernah menghadiahkan saya sebungkus cokolat Snickers kepada saya kerana mengetahui kechentaan saya tu. Terharu seh! Sehingga kini saya masih amat meminati Snickers, walaupon tidaklah segila itu dek harganya yang agak mahal di sini. Namun antara Nini Cokolat Celup, Celup Celup! dan Snickers, sudah pastinya saya akan memilih Snickers! Tanpa kompromi dan ragu-ragu lagi! 

Ok Inche gabbana, mengapa apa tujuan anda menceritakan kepada kami tentang spaghetti, iTelefon dan cokolat Snickers..? Garu kepala.

Uh oh. Begini.

Saya kira begitulah kurang lebih perjalanan dakwah dan tarbiyah kita. Kadang-kadang kita merasakan kita sudah lama dalam dakwah dan tarbiyah namun kita tidak peroleh apa-apa yang berharga. Kadang-kadang kita merasakan kita tidak berkembang, statik di suatu tempat sahaja dalam gerabak dakwah dan tarbiyah ini. Kita merasa lemah, layu dan tidak berguna. Pernah kan?

Seperti saya dan sepegeti , kadang-kadang kita memerlukan sedikit masa lagi untuk lebih matang dan belajar daripada kehidupan kita ini. Mungkin kita sebenarnya masih hingusan dan merangkak lagi di atas jalan ini, kerana itu kita punya sudut pandang yang berbeza. Masih banyak lagi perkara yang belum kita lalui. Masih banyak lagi lurah dan selekoh yang belum kita tempuhi. Dan masih panjang lagi perjalanan ini. 

Mungkin masanya tidak lama lagi sebelum anda dapat melihat apa yang kabur dan tidak jelas selama ini. Mungkin masanya tinggal sedikit sahaja lagi sebelum anda benar-benar jatuh chenta berguling-guling dengan perjuangan ini.

Kata kuncinya? Sabar.

Seperti saya dan iTelefon, kadang-kadang kita tidak dapat melihat apa yang sepatutnya kita lihat dek keegoan dan kekerasan kepala kita. Ada benda yang jauh lebih baik, sudah trang tang tang di depan mata menunggu kita, namun kita tetap berdegil untuk berada di takuk yang lama. Tidak sehingga kita memberanikan diri dan membuang ego kita, baharulah kita dapat melihat dunia ini dengan kaca mata baru yang jauh lebih bergaya. 

Dan kadang-kadang perkara sebegini hanya berlaku selepas kita jatuh berguling berkali-kali. Bak kata omputih, sometimes you have to learn the hard way. Ya, inilah kehidupan. Inilah sunnah perjuangan. Malah kegagalan itu kadangkala adalah guru yang terbaik untuk menggapai kejayaan. Para dua't tidak wajar cepat berputus-asa. Para dua't mesti belajar daripada pengalaman yang lalu untuk merancang masa hadapan yang lebih cerah dan meyakinkan. 

Kata kuncinya? Belajar dari kesilapan.

Dan seperti saya dengan Snickers, kadang-kadang kita perlu berhijrah ke tempat dan suasana yang baharu sebelum kita dapat melihat dakwah dan tarbiyah ini dengan pandangan yang berbeda. Kita yang dahulunya tidak faham mengapa begini dan begitu, sering menggaru kepala dan hidung dek tidak dapat menerima gerak kerja sebegini dan sebegitu, akhirnya dapat faham dan menerima dengan hati yang penuh terbuka apabila kita berada di dalam persekitaran dan suasana yang berbeza.

Lebih selalu daripada tidak, penghijrahan ke persekitaran yang berbeza ini adalah perubahan diri sendiri berbanding perubahan lokasi dan geografi. Sebelum kita dapat menghargai sesuatu itu dalam erti katanya yang sebenar, kita dahulu perlu mempersiapkan diri dan jiwa kita untuk menerimanya. Namun anda perlu memberanikan diri untuk melakukan perubahan itu. Walaupon anda merasakan diri anda tidak bersedia, anda perlu bermujahadah melawan perasaan itu. Dan setelah berjaya mengatasi perasaan tidak yakin dan tidak bersedia itu, anda pasti berjaya untuk membina momentum yang diperlukan. Tetapi awas! Sekali anda berjaya menyingkap rahsia dakwah dan tarbiyah ini dan jatuh chenta padanya, anda boleh gila dibuatnya! Wahahaha..

Kata kuncinya? Berani untuk berubah!

Perjalanan ini panjang dan penuh dengan liku-likunya. Perjalanan ini memerlukan pengorbanan yang besar, kerana rehat yang abadi sedang menunggu di destinasi. Perjalanan ini memerlukan mereka yang berhati besar dan bersedia untuk berubah, kerana ia menuntut mereka yang benar-benar komited dan seriyes sahaja untuk selamat tiba ke penghujungnya!
"Wahai orang-orang yang beriman! Penuhilah seruan Allah dan Rasul, apabila dia menyerumu kepada sesuatu yang memberi kehidupan kepadamu..."
[al-Anfal, 8:24]

Dan sudah tentu, sepegeti, iTelefon dan snek cokolat kacang rangup Snickers akan menjadikan perjalanan dan pengembaraan ini lebih menarik, mengujakan dan berwarna-warni sekali!

Senyum nampak gigi.

-gabbana-

Seperti yang sudah dijangkakan, walaupon misi (1) berjaya dipenuhi, saya gagal misi (2) dengan penuh bergaya sekali. Eheh.

Oh. Saya tidak pernah lagi berpeluang untuk merasa Nini Cokolat Celup, Celup Celup! 

11 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 11/09/2012, 17:30  

snickers..
boleh makan eh?

Anonymous 11/09/2012, 18:59  

Wahai inche gabbana,coklat cloud 9 lebih sedap.percayalah!
Psst saya mimpi wajah inche gabbana yg akhirnya mengaku siapa anda sebenarnya.Mimpi ngeri weii -.-

Dakwah ibarat makan sambal belacan .Sekali berdakwah pedih tapi terasa nk berdakwah lagi!
Haha

The sleeper 11/09/2012, 19:03  

Senyum nmpk gigi, angkat kening skali. Haha..

Anonymous 11/09/2012, 19:17  

zeerrbbaaiikk!!!
^__^

tpikn,coklat snicker blh mkn ke?
musykil..


p/s:sy dh thu identiti inche gabbana.:D

Anonymous 11/09/2012, 22:39  

snickers boleh makan ke? kalau x silap, xda halal rasanya di bungkusan tu...

Inche gabbana 11/09/2012, 22:49  

iAllah halal. saya dah periksa beberapa laman sesawang dan sgt yakin ia halal. ;)

enonimus: ada je tanda halal, tapi bukan JAKIM punya la..

Pujangga Sinis 12/09/2012, 23:43  

Hurmm... Susah nak mengubah prinsip. Mungkin yang hak dan batil, ada hitam putih, bagi prinsip2 high case yang gray area, ya Allah, sangat susah...contohnya, dalam memilih dua kebaikan, sama2 bagi pekdah berlainan yang sama penting... Time to S.O.S Allah with istikharah i guess

breakfast at harrods 13/09/2012, 02:40  

snickers sgt lazat bila dinikmati dlm kesejukan


atikah ramly 13/09/2012, 11:41  

I.G..cuba u try picnic cadbury..pon sedap!sirius black!

Anonymous 15/09/2012, 15:56  

wahh..sungguh! spaghetti,iphone dn snickers pon bleh jd bhn tadabbur..perghh..trbaekk..seriously, something i nvr even thought about..thx for sharing~ ;)

mimsinlammim Ilyas 19/09/2012, 23:49  

Assalam...sy pon kadang2 memujuk hati yg kecil supaya mengakui keagungan itelefon tp hati sy maseh lagi Android..almaklum Androiders mmg xsuke apple fanboy..tapi bab akidah mesti bersatu hati xkire die apple atau Android..betul x?

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP