13 February 2018

Baitul Muslim: Benteng Terakhir Umat Islam!



SITUASI 1
“Alah apa salahnya bagi budak-budak tu tengok video Baby Shark tu. Atau pon Tuti Tata tu. Budak-budak kecik je pon yang berlakon. Bukannya ada tayang aurat ke, tunjuk aksi lucah ke. Rilek laah.”

Kasim terkesima. Dia tidak tahu bagaimana mahu menjawab kepada abangnya itu. Susah bila anaknya menjadi cucu sulung dalam keluarga; semua orang memanjakan anaknya!

SITUASI 2
“Bang, jom baca Quran sama-sama?”

Rashid sedikit terkejut dengan ajakan itu. 

Tiba-tiba je bini aku ni. Tak pernah-pernahnya.

“Jom!”

Rashid sendiri dah lama tak bertilawah. Semenjak dua menjak ni, kesibukannya dalam kerjayanya menyebabkan dia sering terlalai untuk menatap surat chenta dari Allah itu. Maka Rashid terharu dengan ajakan isterinya itu.

Mereka membaca surah masing-masing sambil anak-anak mereka bermain-main dan memanjat-manjat badan mereka. Sekali-sekala mereka memberhentikan bacaan mereka kerana geli hati melihat telatah anak-anak.

Rashid sudah lama tidak berasa bahagia sebegitu.

SITUASI 3
"Aku kagum la dengan kau. Siyes."

Mona meluahkan apa yang sudah terbuku dalam hatinya sejak sekian lama.

"Hah kagum? Kagum apa?"

Sarah menggaru tudungnya.

"Ye lah. Kau ni bukan budak sekolah agama pon. Tapi pakai tudung labuh, hafal quran, ikut usrah, buat dakwah. Luar biasa! Apa rahsia kau?"

Sarah tersenyum.

"Takde apa pon. Aku just tengok ibu ayah aku buat benda yang sama, aku ikut je lah."

Mona mengangguk kagum. Jauh di dalam hatinya, dia cemburu.

***

Hari ini kita hidup di zaman yang amat menchabar lagi menggaru kepala. Pandang sahaja ke mana-mana, pasti akan ada fitnah yang menerpa.

Memulakan keluarga dan mendidik anak-anak di zaman ini jauh lebih mencabar lagi. Kadang-kadang kita sudah cuba yang sebaiknya mahu melindungi keluarga kita daripada marabahaya dari luar, tapi akhirnya kita tewas juga dek faktor-faktor yang kita tak dapat nak pengaruhi.

Punyalah kita jaga anak kita supaya tak main gajet, tengok-tengok dia dapat juga daripada auntienya.

Punyalah kita tak mahu anak kita menonton kartun ntahapehape di TV itu, tetapi akhirnya dipertontonkan juga kepadanya di taska.

Dan punyalah kita menjaga bahasa dan akhlak kita di hadapan anak-anak dan tidak mendedahkan mereka kepada sebarang unsur-unsur negatif, namun akhirnya dia terdedah juga dengan semua itu daripada rakan sebaya.

Tak ke gila dibuatnya??

Kerana itu mendirikan baitul muslim yang solehah itu bukan lagi satu pilihan, tetapi satu kewajipan bagi setiap orang yang bergelar muslim di luar sana. Tidak hairanlah ia menjadi salah satu agenda utama dalam manhaj tarbiyah Ikhwanul Muslimin, melihatkan kepada peri pentingnya peranan sebuah keluarga dalam melahirkan rijal yang berkualiti tinggi. 

“Apabila lelaki dan wanita yang merupakan struktur asas sebuah keluarga menjadi baik,” tulis Imam al Banna dalam risalah ‘Dakwah Kita Di Era Baru, “Mereka berdua akan mampu membina sebuah keluarga contoh yang selari dengan garis panduan yang ditetapkan oleh Islam.”

Begitulah.

Di zaman yang penuh kegilaan ini, baitul muslim lah yang menjadi benteng teraKhir bagi memastikan anak-anak kita terpelihara dari sebarang anasir-anasir mazmumah di luar sana. Ialah yang menjadi panduan dan neraca bagi anak-anak apabila berhadapan dengan dunia luar yang amat ganas lagi tidak berperikemanusiaan itu. Dan ia juga yang menjadi qudwah kepada mereka agar terus tetap memegang kuat pada agama Allah ini.

Dan baitul muslim tidak mungkin wujud tanpa individu Muslim. Diri kita sendiri. 

Lantas, jangan berangan-angan mahukan baitul muslim seindah taman sorga andai jiwa kita sendiri dipenuhi karat-karat neraka!

Tersedak.

-gabbana-

6 February 2018

Hilangnya Kebahagiaan Membaca al-Quran!



“Dil, kenapa sekarang aku tak rasa apa-apa ek bila aku baca dan tadabbur al-Quran? Rasa kering je. Tadabbur sebab rasa terpaksa, taknak rasa bersalah. Adeh.”

Halim menguis-nguis kakinya di tanah. Nampak sangat kepala tengah berserabut.

“Maksud kau?”

Biasalah, soalan standard dari Aidil. Takkan nak terus jawab kan? Jadi pendek la post ni nanti. Eh.

“Ye lah. Baca Quran sekadar baca Quran. Tadabbur sekadar tadabbur. Tak lebih dari tu. Dia tak macam awal-awal aku kenal tarbiyah dulu. Masa tu baca, zupp zuppp masuk terus dalam hati. Basah je rasa!”

Sudah semacam ada satu corak pada tanah yang dikuis Halim. Corak yang sama serabut dengan kepalanya. 

“Hmm aku cakap ni kau jangan marah eh Lim. Kalau aku salah, aku minta maaf awal-awal ni.”

Halim mengangkat keningnya. Dia kenal benar dengan Aidil. Jarang Aidil tersilap tentang dirinya. Selalunya tegurannya betul. Dan pedih.

“Ok, shoot. Aku dah ready.”

Halim menelan air liur, bersedia dengan tembakan yang bakal dilepaskan Aidil. Aidil hanya tertawa kecil dengan gelagat Halim.

“Boleh jadi… Boleh jadi bila kau baca Quran, kau membaca untuk cari apa yang nafsu kau MAHU, dan bukannya apa yang Allah MAHU.”

“Maksud kau?”

Halim pantas memotong. Tidak puas hati agaknya.

“Kau baca Quran untuk cari sesuatu yang spesifik untuk kepentingan diri kau. Contoh, kau nak cari dalil untuk menghukum orang yang mengumpat. Kau pun buka Quran, baca baca baca, tadaaa kau pun jumpa! Atau kau marah sebab kau rasa kau kena fitnah. Kau bukan carilah dalil dalam surah al-Baqarah, pap, jumpa dalil tu!”

Dahi Halim berkerut.

“Err salah ke aku buat macam tu?”

Aidil tersenyum.

“Tak salah Lim. Tapi hilanglah keseronokan dan kebahagiaan membaca al-Quran tu. Kau tak dapat lagi nak memaknai al-Quran itu sepertimana ketika ia diturunkan kepada para sahabat dulu.

Kau baca al-Quran untuk menegur, bukan ditegur.
Kau baca al-Quran untuk menyentap, bukan disentap.
Kau baca al-Quran untuk memfire, bukan difire!”

Ok memang pedas. 

“So bila kau tak jumpa apa yang kau cari, kau akan kecewa. Kau akan rasa al-Quran tu tak basah. Kau rasa tadabbur kau kering. Kau tak lagi merasakan yang al-Quran tu sedang berbicara dengan kau.”

Aduh pediiihh!

“Ok ok I get your point. Apa yang boleh aku buat skang ni? Apa yang patut aku buat untuk mengembalikan kebahagiaan membaca al-Quran?”

Aidil tersenyum lagi.

"اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ"

“Hah?”

“Bacalah dengan nama Tuhanmu! Bacalah al-Quran itu dengan penuh ikhlas dan keinsafan, mengharapkan petunjuk dan bimbingan dari-Nya!

الم *  تِلْكَ آيَاتُ الْكِتَابِ الْحَكِيمِ * هُدًى وَرَحْمَةً لِّلْمُحْسِنِينَ

Dan ‘Inilah al-Quran yang mengandungi hikmah, sebagai petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang berbuat kebaikan!’

Selagi mana kita berada di atas jalan kebaikan dan sentiasa mengharap keredhan-Nya, selagi itulah al-Quran akan menjadi sumber kebahagiaan kita!”

-gabbana-

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP