28 December 2018

Antara Fitnah Dajjal, Materialisme dan al-Kahfi (Bhg 2)

[Kredit]

Assalamua'laikum semua! Apa khabar?

Dah mandi sunat Jumaat? Dah cukur misai janggut? Dah cabut bulu ketiak? Hehe.

Di pagi Jumaat yang mulia ini, saya ingin menyambung perkongsian saya tentang surah a-Kahfi dan bagaimana ia boleh menjadi senjata yang ampuh untuk melindungi diri kita dan keluarga daripada fitnah dahsyat al-Masih ad-Dajjal.

Baik, anda sudah bersedia?

Dalam penulisan yang lepas, saya telah bercerita panjang lebar tentang salah laku dan korupsi pihak gereja Roman Katolik yang akhirnya membuka jalan kepada 'Dajjalisme' untuk tersebar luas. Bolehlah kita fahami Dajjalisme ini adalah suatu kefahaman bahawa sesuatu itu hanya dapat diyakini apabila dapat dilihat dengan mata, atau sekurang-kurangnya dapat dibuktikan kewujudannya dengan pancaindera. 

Maka Dajjal kelak akan keluar ke muka bumi membawa keajaiban-keajaiban yang dapat dilihat, didengari dan dirasai sendiri oleh manusia-manusia sehingga menyebabkan mereka terpedaya dengan dakyah Dajjal yang akan mengaku dirinya bukan sahaja sebagai mesiah penyelamat ummah tetapi sebagai Tuhan. 

Di sinilah surah al-Kahfi sebenarnya telah memberikan kita 'jawapan bocor' untuk berhadapan dengan fitnah Dajjal. Rugilah kita yang selama ini membaca surah al-Kahfi tanpa mentadabburinya, sehingga terlepas pandang bimbingan ar-Rahman yang cukup luar biasa yang dibawakan surah ini! 

Bekalan pertama yang dicampakkan al-Kahfi kepada kita adalah pada ayat pertama surah ini lagi:


الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَنزَلَ عَلَىٰ عَبْدِهِ الْكِتَابَ وَلَمْ يَجْعَل لَّهُ عِوَجًا
"Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan kitab (al-Quran) kepada hamba-Nya dan Dia tidak menjadikannya bengkok." 
[al-Kahfi, 18:1]

Perkataan 'عِوَجً' dalam ayat ini bererti terseleweng atau tersimpang. Untuk memahami betapa signifikannya perkataan ini, kita bayangkan sebuah titik yang bergerak di atas satu garis yang lurus. Apa yang akan terjadi sekiranya titik itu terseleweng walau pada sudut yang sangat kecil? Semakin jauh ia terseleweng, semakin jauh dia dari garisan lurus itu bukan?

Begitulah dengan 'عِوَجً' itu. Ia menggambarkan penyelewengan yang meski sedikit sahaja di peringkat awal akan mengakibatkan kekufuran dan keingkaran yang maha dahsyat di akhirnya. Dajjalisme yang melanda umat manusia pada hari ini mungkin kelihatannya tidak ada apa-apa atau tidak memberikan kesan yang besar, namun apabila Dajjal muncul kelak, ia akan mengakibatkan kesesatan massa yang menggila! 

Mula-mula hanya tidak percaya kepada kewujudan malaikat. Kemudian mula was-was dengan hari kebangkitan. Akhirnya membawa kepada keraguan bahawa Allah itu Tuhan dan Dia wujud! Semuanya hanya kerana materialisme/Dajjalime yang sudah berkarat di jiwa; percaya pada sesuatu hanya apabila dapat melihat dan merasainya. La hawla wala quwwata illa billah! 

Maka berpegang teguh dengan al-Quran sahajalah yang akan memastikan kita akan sentiasa terpandu untuk bergerak di atas perjalanan kehidupan yang lurus. Al-Quran, yang merupakan kalamullah, ialah panduan Ilahi yang tidak mungkin akan tersilap, apatah lagi menyimpang jauh dari kebenaran. Kefahaman al-Quran yang membumi dan menyerap jauh ke dalam hati, akan menjadi neraca yang amat ampuh apabila berhadapan dengan fitnah Dajjal nanti. 

Baiklah. 

Mari kita lihat EMPAT kisah utama yang dimuatkan di dalam surah al-Kahfi. 

Kisah pertama bercerita panjang lebar tentang perjalanan hidup para pemuda gua. Bagaimana mereka bangkit menentang sang tirani yang kufur lagi zalim dan akhirnya terpaksa melarikan diri bagi menyelamatkan aqidah dan keimanan mereka. Setelah ditidurkan lebih 300 tahun lamanya, mereka dibangkitkan semula oleh Allah untuk melihat keimanan yang sudah tersebar luas dalam kalangan masyarakat ketika itu. 

Kisah kedua berkongsi tentang dua orang sahabat; seorang digambarkan sebagai sangat kaya, memiliki dua kebun yang cukup luar biasa. Seorang lagi adalah pemuda beriman yang cuba menasihati rakannya agar bersyukur dengan segala nikmat kurniaan Allah. Di akhir kisah ini ditunjukkan bagaimana Allah menghancurkan kebun milik pemuda pertama dek keingkarannya. 

Kisah ketiga pula ialah perjalanan epik Nabi Musa AS bertemu dengan seorang hamba Allah yang soleh (Nabi Khidir AS) setelah ditegur Allah SWT kerana merasakan diri baginda adalah manusia yang paling tahu di muka bumi. Kesabaran baginda teruji dengan dahsyatnya dalam musafir menuntut ilmunya dengan Nabi Khidir AS.

Dan kisah keempat pula adalah kisah seorang raja agung yang beriman, Zulkarnain. Allah menggambarkan bagaimana baginda memerintah secara adil dan saksama meskipun diberikan kekuasaan yang cukup hebat. 

Jika kita perhatikan dan tadabbur empat kisah ini, kita boleh simpulkan ada EMPAT fitnah (ujian) utama yang diketengahkan.
  1. Kisah Pertama = Fitnah aqidah/keimanan
  2. Kisah Kedua = Fitnah harta
  3. Kisah Ketiga = Fitnah ilmu
  4. Kisah Empat = Fitnah kekuasaan
Menariknya, keempat-empat fitnah ini jugalah yang akan dibawa oleh Dajjal nanti! Mak aih.

Dajjal akan keluar dan mengaku dirinya sebagai Tuhan dan melakukan perkara-perkara yang tidak mampu dilakukan oleh manusia biasa = Fitnah aqidah

Dajjal akan keluarkan segala hasil mahsul yang dikandung bumi sebagai 'rasuah' untuk sesiapa sahaja yang mahu mengikutinya = Fitnah harta

Dajjal akan menunjukkan ilmu-ilmu yang tidak pernah diketahui/dikuasai manusia, contohnya menghidupkan orang yang sudah mati = Fitnah ilmu

Dan Dajjal akan menjadi sang penguasa yang bermaharajalela, yang menguasai hampir keseluruhan dunia! = Fitnah kekuasaan

Perlu diingatkan di sini yang semuanya ini boleh berlaku hanya dengan izin Allah. Dengan kata lain, Allah mahu menguji umat manusia dengan fitnah Dajjal. Tidak hairanlah fitnah Dajjal ini merupakan fitnah paling dahsyat yang boleh menimpa anak-anak Adam sekaliannya! 

Maka surah al-Kahfi, dalam peranannya untuk melindungi orang-orang beriman daripada fitnah Dajjal ini, telah membekalkan kita dengan perkara yang paling asas dalam berhadapan dengan sebarang kesulitan atau cabaran; itulah dengan mengetahui apakah cabaran-cabaran dan ujian-ujian itu terlebih dahulu.

Adakah surah al-Kahfi setakat berhenti di situ sahaja? Sekadar memberitahu kita apakah bentuk fitnah Dajjal yang terpaksa kita hadapi nanti? 

Sudah tentu tidak! Surah al-Kahfi juga memberitahu kita, apakah penawar dan solusi kepada keempat-empat fitnah ini. Kerana itu di awal penulisan ini saya sudah pon memberitahu anda bekalan pertama yang diberikan al-Kahfi kepada kita adalah berpegang teguh dengan al-Quran. 

MashaAllah la hawla wala quwwata illa billahil aliyyil adzim. Betapa kasih dan sayangnya Allah kepada para hamba-Nya! 

Lantas, apakah perisai atau senjata bagi menghadapi keempat-empat fitnah yang sudah tentunya dahsyat lagi menggugah jiwa itu? 

InshaAllah saya akan sambung dalam bahagian yang ketiga dan terakhir. Wahahaha. Eh. 

Nantikan!

-gabbana-

14 December 2018

Antara Fitnah Dajjal, Materialisme dan al-Kahfi (Bhg 1)

[Kredit]

Ketika saya mula-mula mendengar hadith yang mengatakan amalan membaca surah al-Kahfi setiap hari Jumaat dapat melindungi diri dari fitnah Dajjal, saya tertanya-tanya, bagaimana ia dapat dilakukan.

Adakah apabila Dajjal keluar nanti, berkat amalan saya membaca al-Kahfi setiap Jumaat itu, akan keluar cahaya yang melindungi saya setiap masa dan ketika? 

Atau setiap kali Dajjal atau konco-konconya cuba mendekati saya, tiba-tiba saya akan hilang atau diterbangkan ke tempat yang selamat? 

Atau akan anda sejenis pelindung lutsinar, yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, yang menghalang Dajjal datang kepada saya pada setiap masa dan ketika? 

Begitukah?

Saya tidak menemukan jawapan yang memuaskan hati kepada persoalan itu, sehinggalah saya mendengar rakaman ceramah Ustaz Nouman Ali Khan yang membedah surah al-Kahfi. 

Ketika itu, terasa seperti otak saya meletup kerana terlalu kagum dan teruja dengan penjelasan yang diberikan. Terasa seperti mahu lompat bintang seratus kali sambil berlari-lari mengelilingi kawasan perumahan dek terlalu mind-blown dengan hujah-hujah bernas yang dilontarkan oleh Ustaz Nouman.

Maka saya kira, tidak acilah sekiranya saya tidak kongsikan dengan anda semua. Moga perkongsian yang marhaen dan picisan ini akan menjadi saham dan bekal saya di akhirat nanti, biidznillah. 

Ok, di mana patut saya mulakan? 

Hadith yang menyebut tentang keutamaan dan fadhilat surah al-Kahfi adalah seperti berikut:

Dari Ibnu Umar RA berkata, Rasulullah SAW bersabda:

"Siapa yang membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka akan memancar cahaya dari bawah kakinya sampai ke langit, akan menerangkan kelak pada hari kiamat dan diampuni dosanya antara dua Jumaat."

(Al-Mundzir berkata: Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Bakar bin Mardawih dalam tafsirnya dengan Isnad yang tidak cacat). (Dari kitab at-Targhib Wa al-Tarhib 1/298)

Selain itu, hadith yang menyebut membaca al-Kahfi boleh melindungi diri dari fitnah Dajjal adalah seperti yang berikut:

Dari Abu Darda' RA, dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Barangsiapa menghafaz sepuluh ayat pertama dari surah al-Kahfi, maka dia akan terlindung dari (fitnah) Dajjal." 

(Sahih Muslim no. 809)

dan

Dari Abu Nawas bin Sam'an, dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Barangsiapa di antara kamu yang mendapati zamannya Dajjal, bacalah awal-awal surah al-Kahfi." 

(Sahih Muslim no. 2937)

Fikirkan. Kalaulah surah al-Kahfi ini boleh melindungi diri kita daripada fitnah Dajjal - sebesar-besar dan sedahsyat-dahsyat fitnah yang akan menimpa anak Adam (mafhum hadith) - maka bolehlah kita deduksikan yang surah al-Kahfi juga boleh melindungi diri kita daripada sebarang bentuk fitnah yang lainnya. 

Begitulah hebat dan berkuasanya surah al-Kahfi ini!

Nah, untuk memahami rahsia kehebatan surah ini dan bagaimana ia boleh menjadi perisai kepada fitnah Dajjal (juga fitnah-fitnah yang lain), kita perlu terlebih dahulu mengetahui sedikit-sebanyak cerita dan sejarah di sebalik surah ini.

Surah al-Kahfi dinamakan sempena kisah pertama yang diceritakan dalam surah ini; kisah para pemuda gua (ashabul kahfi). Kisah ashabul kahfi ini bukanlah kisah esklusif umat Islam. Ia bukan 'hakmilik mutlak' kita, meskipun ia diabadikan di dalam al-Quran.

Kisah ini juga direkodkan dalam kitab Injil (disebut sebagai 'youths of the cave'), walaupun mungkin ada beberapa perincian dalam catatan Injil yang bertentangan dengan pegangan aqidah umat Islam. Menurut catatan para pendeta Nasrani, kisah ashabul kahfi ini berlaku puluhan tahun setelah 'kematian' Nabi Isa AS.

Jalan ceritanya mirip dengan apa yang terkandung di dalam al-Quran, melainkan satu fakta di hujungnya. Kononnya apabila para pemuda ini bangkit dari lena mereka yang panjang, mereka mendapati penduduk negeri mereka itu sudah 'beriman'; tanda salib dan patung Jesus boleh didapati di mana-mana.

Peluh besar. 

Antara gambaran penganut Kristian terhadap kisah ashabul Kahfi, seperti yang terkandung dalam sebuah manuskrip abad ke-14. [Kredit]

Sudah tentu hal ini bertentangan dengan aqidah umat Islam. Dan ironinya, seperti yang dimuatkan di dalam al-Quran, sebab utama para pemuda al-Kahfi bangkit menentang sang penguasa tirani adalah kerana kesyirikannya kepada Allah!

"Dan Kami teguhkan hati mereka ketika mereka berdiri (menghadap si Raja zalim) lalu mereka berkata, 'Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi; kami tidak menyeru tuhan selain Dia. Sungguh, kalau kami berbuat demikian, tentu kami telah mengucapkan perkataan yang sangat jauh dari kebenaran.'" 
[al-Kahfi, 18;14]

Kaitan antara surah al-Kahfi dengan agama Kristian tidak habis di situ. 

Ketika zaman kegelapan (Baca: Dark ages) melanda Eropah bermula dengan kejatuhan empayar Rom, antara ciri utama zaman ini adalah penindasan pihak gereja terhadap rakyat marhaen. Malah, kezaliman dan korupsi pihak gereja Roman Katolik lah yang menjadi punca utama kepada perpecahan penganut Kristian sehingga mendorong kepada terhasilnya mazhab Protestan. Malah nama 'Protestan' itu menunjukkan penentangan dan ketidakpuasan hati mereka terhadap pihak gereja Katolik.

Perpecahan ini membuka pintu baharu terhadap masyarakat Eropah ketika itu. Mereka merasakan diri sudah bebas dan tidak lagi dikongkong oleh pihak gereja. Para pelopor mazhab Protestan yang bersifat lebih terbuka dan berazam tidak mahu mengulangi kesilapan para paderi Roman Katolik, menggalakkan penerokaan ilmu-ilmu baharu dan perbincangan intelek yang selama ini diharamkan oleh pihak gereja. 

Ia akhirnya mencetuskan era Pencerahan (Baca: Enlightenment) dan Kebangkitan (Baca: Renaissance) di Eropah. Namun pada masa yang sama, ia juga melahirkan satu golongan baharu yang fobia terhadap agama, dek sejarah hitam penindasan pihak gereja terhadap mereka. Ketika inilah lahirnya fahaman-fahaman seperti sekularisme dan materialisme yang terang-terangan mahu memisahkan agama dari kehidupan dunia, yang tidak mahu apa-apa sahaja ada kena-mengena dengan agama. 

Mereka tidak lagi beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, sedangkan tiang utama kepada keimanan dan kepercayaan dalam agama itu, hampir kesemuanya adalah unsur-unsur yang ghaib. Mereka tidak lagi percaya kepada Tuhan, kerana Tuhan itu ghaib dan tidak dapat dilihat. Mereka beralih kepada alam semesta, planet-planet dan alam 'semulajadi' kerana semuanya itu dapat dilihat dan dikaji. 

Mereka tidak lagi percaya kepada hari kebangkitan kerana kiamat itu ghaib. Mereka meletakkan sepenuhnya fokus dan dedikasi mereka kepada memperbaiki dan mensejahterakan kehidupan dunia kerana itu yang dapat mereka lihat dengan mata kepala mereka. 

Mereka tidak lagi beriman kepada kewujudan ruh kerana ruh itu ghaib. Mereka mengalihkan fokus mereka kepada kajian terhadap tubuh badan dan minda (otak) yang boleh dilihat dan dirasa. 

Inilah asas kepada materialism. Daripada tiada kepada ada. Daripada sesuatu yang ghaib kepada sesuatu yang boleh dilihat, disentuh dan dirasa. (Kerana itu orang yang sibuk mengejar harta dan kekayaan dunia disebut 'materialistik' kerana mereka memburu sesuatu yang fizikal, yang wujud di depan mata.)

Dan perubahan kompas kehidupan mereka ini terbukti 'berjaya'! Eropah menjadi tersangat maju. Dalam masa yang singkat, universiti-universiti di Eropah menjadi pusat tumpuan cendekiawan dan intelektual. Revolusi Industri meletus dan menjadikan Eropah sebagai pemacu kemajuan seluruh dunia. 

Bertambah yakinlah masyarakat Eropah dengan tindakan mereka menjauhkan diri dari agama. Dahulu mereka mundur tetapi kini mereka maju. Dahulu mereka bodoh dan kini mereka sudah menjadi bijaksana. Dahulu mereka terkongkong dan kini mereka sudah bebas!

Maka benarlah, pada pandangan mereka, yang agama ini adalah sejenis 'candu' yang melemah akal dan tubuh badan! Ia hanyalah satu ciptaan sebagai alat untuk mengawal massa dan menundukkan mereka yang lemah. Barangsiapa yang terus mahu beragama, maka mereka ini mundur dan terbelenggu, bodoh dan tidak akan maju!

Akhirnya, kita melihat Eropah dan Barat sepertimana ia pada hari ini. Agama itu hanyalah ritual untuk upacara-upacara tertentu. Agama itu hanyalah nyanyian dan tepukan tangan pada hari Ahad dan hari-hari tertentu. Gereja-gereja kosong dan sepi, malah banyak yang kini sudah bertukar fungsi. 

Semuanya bertitik-tolak kepada hilangnya kepercayaan dan keyakinan pada agama. 

Nah, pasti anda tertanya-tanya; apa kena-mengena semua ini dengan fitnah Dajjal? Dengan surah al-Kahfi? 

Krisis yang berlaku terhadap gereja dan penganut Kristian sebenarnya membuka jalan kepada 'Dajjal-isme' untuk tersebar luar dalam kalangan masyarakat. Bagaimana?

Dajjal kelak akan turun dan mengaku dirinya sebagai Tuhan. Dia akan mengeluarkan syurga dan nerakanya sendiri di hadapan mata kita. Dia akan mengalirkan sungai dari bawah kakinya dan akan menjadikan padang yang subur dengan tumbuh-tumbuhan tiba-tiba bertukar tandus, ibarat padang jarak padang tekukur.

"Seperti awan yang didorong oleh angin. Dia (Dajjal) datang kepada suatu kaum dan mengajak mereka, maka mereka pun mempercayainya dan mengikuti apa yang diperintahkannya. Dia menyuruh langit langit untuk segera menurunkan hujan, maka turunlah hujan. Dia menyuruh tanah untuk menumbuhkan tanam-tanaman maka tumbuhlah tanam-tanaman, sehingga kembalilah para pengembala dengan ternak yang segar bugar, buah susunya penuh dengan air susu serta ternakan itu gemuk-gemuk. Kemudian dia datang kepada suatu kaum dan mengajak mereka, tapi mereka menolak ajakannya itu dan dia pergi meninggalkan mereka. Kemudian keadaan mereka sangat menyedihkan kerana tiada sedikit pun harta kekayaan mereka. Dia berjalan melalui daerah yang kosong dan berkata kepadanya, 'Keluarkanlah simpananmu', maka simpanan kekayaan daerah itu mengiringi Dajjal sebagaimana raja lebah yang diiringi oleh pasukan lebah. Kemudian dia memanggil seseorang yang masih sangat muda dan dipenggalnya dengan pedang, dipotong menjadi dua lalu dibuang sejauh mungkin kemudian Dajjal memanggilnya dan pemuda yang dipenggal itu datang dengan muka yang berseri-seri sambil tertawa." 

(Sebahagian daripada hadith panjang tentang Dajjal yang diriwayatkan oleh Muslim)

Maka berbondong-bondonglah manusia menjadi pengikut Dajjal, kerana terpesona kebolehan Dajjal (dengan izin Allah) yang luar biasa itu. Perkara-perkara yang mereka ragui selama ini kerana tidak boleh dilihat (ghaib) akhirnya daapat disaksikan dengan mata dan kepala mereka sendiri. 

Ya, fitnah Dajjal akan berjaya kerana krisis kepercayaan yang berlaku di Eropah (dan akhirnya merebak ke seluruh dunia) berpunca dari perkara-perkara ghaib yang tidak dapat disaksikan dan dirasa sendiri. Dan apabila Dajjal berupaya untuk mempamerkan kekuasaan dan kehebatannya yang selayaknya hanya dimiliki oleh Tuhan, maka kini manusia telah percaya.

Seeing is believing. 

Di sinilah al-Kahfi menjadi senjata untuk kita berhadapan dengan fitnah yang maha dahsyat ini. Di sinilah al-Kahfi boleh menjadi bekalan dan perisai untuk kita melindungi diri dan keluarga kita, andai ditakdirkan kita masih hidup tatkala Dajjal keluar nanti. 

Gulp. 

Bagaimana? 

Nantikan bahagian kedua. Hehe.

-gabbana-

Sebenarnya dah lama dah saya dengan ceramah Ustaz Nouman ni dan saya dah kongsikan pun sebahagiannya di Twitter saya. Namun baru diberi kekuatan untuk menulis panjang lebar di sini. 

Moga ada manfaatnya! 

12 December 2018

Kekurangan Yang Tidak Melemahkan

[Kredit]

Pengorbanan dan perjuangan Musa AS sebagai seorang Nabi dan Rasul dalam menegakkan kalimah Allah di muka bumi adalah sesuatu yang tidak mungkin dapat dipertikaikan.  Mungkin inilah antara sebab mengapa namanya disebut sedemikian banyaknya di dalam al-Quran.

Perjalanan hidup baginda dari kecil sehinggalah dewasa, diceritakan dengan begitu terperinci sekali di dalam al-Quran, melebihi perincian kisah hidup Nabi dan kekasih kita, Rasulullah SAW. 

Menariknya, dalam banyak sisi kehidupan dan keperibadian yang Allah rekodkan tentang sosok bernama Musa itu, aspek kelemahan yang ada pada baginda juga diceritakan dengan begitu telus. 

Salah satunya adalah seperti yang diungkapkan oleh baginda sendiri dalam doanya, yang diabadikan dalam surah Thaha:

"...dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku."
[Thaha, 20:27]

Perkataan 'uqdah' dalam ayat ini membawa erti kesukaran dalam menyampaikan sesuatu maksud. Ada yang menafsirkannya sebagai gagap atau sejenis kecacatan yang membawa kepada kesukaran dalam bercakap. Namun pendapat yang lebih kuat, uqdah ini bermaksud ketidakmampuan dalam menyampaikan sesuatu hasrat atau maksud dengan fasih dan lancar. Atau seperti yang disebut oleh Dr. Hammam Said dalam buku Qawaid Dakwah, tidak balagh. Pandangan ini lebih sesuai dan menepati peribadi dan kemuliaan seorang Rasul bernama Musa.

Namun yang jauh lebih menarik daripada itu ialah bagaimana di sebalik kekurangan yang satu ini, ia tidak melemahkan semangat baginda malah baginda berusaha mencari jalan lain agar dakwahnya tetap sampai! 

"Dia (Musa) berkata, 'Ya Tuhanku, lapangkanlah dadaku dan mudahkanlah untukku urusanku, dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku agar mereka mengerti perkataanku dan jadikanlah untukku seorang pembantu dari keluargaku, iaitu Harun saudaraku. Teguhkanlah kekuatanku dengan (adanya) dia dan jadikanlah dia teman dalam urusankau...'"
[Thaha, 20:25-31]

Jelas sekali dari doa yang diungkapkan oleh Nabi Musa AS ini, baginda benar-benar ikhlas mahu agar seruannya sampai kepada sasaran dakwahnya. Ya, baginda menyedari ada kelemahan pada dirinya, tetapi ia tidak menghalangnya daripada melaksanakan tugas syahadatul haknya. Dan fikirkan, sasaran dakwahnya yang utama bukan calang-calang dan sembarangan orang, tetapi Firaun, si maharaja yang amat berkuasa! 

Allah seakan-akannya mahu memberi penekanan tentang hakikat ini; Musa AS ialah nabi yang paling banyak disebut di dalam al-Quran. Seolah-olahnya Allah mahu memberitahu kita,

"Hey tengok sini! Kau tengoklah Musa ni! Dia ada kelemahan dan kekurangan, tapi itu semua bukan alasannya untuk berdakwah! Malah Aku hantarnya untuk berdakwah pada manusia yang paling angkuh dan kejam, Firaun! 

Nah, apa lagi alasan kalian untuk tidak bersungguh-sungguh dalam dakwah hah?!"

Gulp. 

Begitulah pengajaran yang boleh kita ambil dari Nabi Musa AS.

Kelemahan dan kekurangan yang ada pada kita tidak sesekali boleh dijadikan alasan untuk kita culas dan malas dan menyampaikan risalah Allah. Malah dari baginda juga kita belajar, kelemahan yang ada pada diri sewajarnya menjadi motivasi untuk kita mencari alternatif lain agar kita tetap dapat menyumbang pada dakwah ini! 

Dan andai kita masih mencari-cari alasan dan kelemahan pada diri untuk dijadikan hujah agar 'dilepaskan' dari amanah dakwah ini, tunggulah Nabi Musa AS di Mahsyar nanti untuk bertanyakan kepada kita, 

"Aku tidak fasih berkata-kata sedangkan mad'uku ialah Firaun. Apa kekuranganmu dan siapa mad'umu?"

Rabbi salimnaa!

-gabbana-

7 December 2018

Jika Esok Kiamat, Adakah Kita Sudah Bersedia?

[Kredit]

Baru-baru ini gempar di media sosial tentang kejadian 'pelik' yang berlaku di tengah-tengah padang pasir di tanah Arab sana. Padang pasir yang sepatutnya kering kontang ditumbuhi tumbuh-tumbuhan hijau melata dengan air sungai yang mengalir di tengah-tengahnya.

Pantas rakyat jelata negara internet membuat kesimpulan bahawa ia tanda hari kiamat sudah dekat, berdasarkan sebuah hadith Nabi SAW (meskipun ada asatizah yang telah membuat penjelasan ia sebenarnya satu fenomena biasa di tanah Arab).

Ah kita memang macam tu kan? Suka benar dengan berita-berita dan cerita-cerita tentang kiamat ini. Suka benar dengan teori-teori konspirasi, cerita-cerita ajaib dan kisah-kisah misteri. Kita mungkin terlepas pandang bahawa tanda kiamat yang pertama adalah kelahiran Nabi SAW ke muka bumi!

Persoalan yang lebih utama yang perlu kita tanya pada diri sendiri; sekiranya kiamat benar-benar akan berlaku dalam masa yang paling hampir ini, adakah kita sudah bersedia? Bagaimana dengan bekalan kita untuk menghadapinya?

Jatuh kerusi.

Di sinilah, sebuah surah yang cukup luar biasa dapat membantu kita bagi menyiapkan bekalan. Itulah surah al-Kahfi, sebuah surah yang menurut sebuah hadith, dapat menjadi benteng bagi melindungi kita daripada fitnah al-Masih ad-Dajjal.

Dalam tafsir fi Zilal al-Quran karangan Sayyid Qutb rahimahullah, beliau menyebut bagaimana surah al-Kahfi berfungsi melindungi orang-orang yang beriman daripada fitnah Dajjal kerana ia menyediakan 'tools' untuk menghasilkan 3 perkara:

i) Membetulkan sistem kepercayaan (Aqidah)
ii) Membetulkan metod memerhati dan berfikir (Pandangan hidup)
iii) Membetulkan sistem nilai dengan pertimbangan kepercayaan (Nilai)

(Dipetik dari buku 'Setia Dengan Kebenaran' karya Ustaz Hasrizal Abdul Jamil)

Manakala menerusi tadabbur surah ini, kita akan mendapati EMPAT FITNAH utama yang bakal dibawakan oleh ad-Dajjal dan konco-konconya dan bagaimana pula untuk berhadapan dengan setiap fitnah ini.

FITNAH AQIDAH/KEPERCAYAAN
Fitnah ini diceritakan menerusi kisah para pemuda al-Kahfi. Cara menghadapi ujian ini adalah dengan kebergantungan yang total kepada Allah.

FITNAH HARTA
Fitnah ini disampaikan melalui kisah pemilik dua kebun. Cara menghadapinya adalah sentiasa bersyukur dengan kurniaan Allah dan merasakan dunia itu hina.

FITNAH ILMU
Fitnah ini pula dikisahkan kepada kita menerusi pengalaman Nabi Musa AS bertemu dengan Khidir AS. Cara mengatasi ujian ini adalah dengan sentiasa merendah diri dan bersabar dalam menuntut ilmu.

FITNAH KEKUASAAN
Fitnah ini dijelaskan melalui kisah Zulkarnain. Cara untuk menyiapkan diri bagi berhadapan dengan ujian ini adalah dengan mengembalikan sesuatu anugerah/pangkat/kebesaran itu kepada yang Maha Berkuasa.

(Poin-poin tadabbur ini diambil daripada kuliah tafsir Ustaz Nouman Ali Khan)

Ya, apabila Dajjal keluar nanti, dia akan datang dengan fitnah-fitnah ini bagi menyesatkan sekalian umat manusia. Allah SWT telah pun mempersiapkan kita dengan bekalan dari al-Quran yang akan memandu kita agar sentiasa berada di atas jalan yang lurus. 


الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَنزَلَ عَلَىٰ عَبْدِهِ الْكِتَابَ وَلَمْ يَجْعَل لَّهُ عِوَجًا


"Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan Kitab (al-Quran) kepda hamba-Nya dan Dia tidak menjadikannya terpesong." 
[al-Kahfi, 18:1]

Sekarang ini, apa sikap dan tindakan kita..? Adakah kita sudah bersedia?

Tepuk dada, tanyalah iman dan taqwa!

-gabbana-

16 November 2018

Indahnya Akhlak Saorang Penuntut Ilmu!

[Kredit]

Ketika Nabi Musa AS bertemu dengan Khidir AS buat pertama kalinya, al-Quran telah merekodkan suatu adab seorang penuntut ilmu yang benar-benar ikhlas dan telus dalam mahu menadah ilmu dari seorang guru yang hebat. Al-Quran mencatatkan:

قَالَ لَهُ مُوسَىٰ هَلْ أَتَّبِعُكَ عَلَىٰ أَن تُعَلِّمَنِ مِمَّا عُلِّمْتَ رُشْدًا

"Musa berkata kepadanya, 'Bolehkah aku mengikutimu agar engkau mengajarkan kepadaku (ilmu yang benar) yang telah diajarkan kepadamu (untuk menjadi) petunjuk?'"
 [al-Kahfi, 18:66]

Perhatikan ayat ini.

Nabi Musa AS tidak memulakan kata-katanya dengan,

"Bolehkah engkau mengajar aku?"

Atau

"Bolehkah aku menjadi pelajarmu?"

Atau yang seumpama dengannya.

Tetapi baginda memulakannya dengan, "Bolehkah aku mengikutimu..?"

Setelah mengembara puluhan (jika tidak ratusan atau ribuan) batu, kita mungkin terfikir, tiada salahnya jika Nabi Musa AS mahu terus meminta menjadi murid kepada Khidir. Setelah kepenatan berjalan tanpa arah yang pasti, apalah salahnya jika baginda meminta untuk Khidir mengajarnya di situ?

Tetapi bukan itu yang berlaku. Musa AS meminta untuk 'mengikutimu'!

Lihatlah! Betapa halus dan mulusnya tarbiyah Allah kepada kita semua!

Sifat tarbiyah itu, ia mesti 'mengikuti' dan bukan 'diikuti.' Tarbiyah itu tidak akan benar-benar membumi andai ia satu hala sahaja, i.e. murabbi hanya mencurahkan ilmunya kepada sang mutarabbi.

Tetapi usaha, kesungguhan dan kesabaran dalam menuntut ilmu mesti datang dari si penuntut ilmu. Sang mutarabbi mesti menunjukkan kesanggupan dan usahanya jika dia benar-benar menchentai ilmu.

(Namun murabbi di luar sana, janganlah pula anda menggunakan dalil ini untuk menghukum mutarabbi anda ya?

"Akhi, effort tu perlu datang dari nta. Kalau nak usrah, nak daurah, nta lah yang kena cari ana, bukan ana yang cari nta. Tu, ambil ibrah dari kisah Nabi Musa tu!"

Adoi pengsan.)

Dan mengapa Musa AS begitu tawadhu' dan bersungguh dalam menuntut ilmu dari hamba Allah yang, "Kami berikan rahmat kepadanya dari sisi Kami" ini?

Jawapannya pada, "...agar engkau mengajarkan kepadaku (ilmu yang benar) yang telah diajarkan kepadamu (untuk menjadi) petunjuk?"

Ya, kerana ia bukan ilmu yang biasa-biasa, tapi ilmu yang bisa menjadi PETUNJUK!

Dari Musa AS kita belajar, ilmu itu hanya bermanfaat apabila ia menjadi petunjuk kepada sang penuntutnya. 

Dari Musa AS kita belajar, sehebat mana seorang itu sekalipun, masih ada orang yang lebih hebat daripadanya.

Dan dari Musa AS kita belajar, keberkahan ilmu itu terletak pada keikhlasan sang penuntutnya.

Alangkah indahnya akhlakmu wahai Musa!

-gabbana-

2 November 2018

Nilai Sebuah Tarbiyah

[Kredit]

Dalam surah al-Kahfi, Allah SWT telah merekodkan sebuah kisah yang luar biasa; yang bukan sahaja begitu unik dari segi jalan ceritanya, tetapi juga mengandungi ibrah dan hikmah yang sungguh di luar kotak.

Ia adalah kisah tentang pertemuan seorang nabi agung, Musa AS dengan seorang hamba Allah yang disifatkan sebagai "...yang telah Kami berikan rahmat kepadanya dari sisi Kami dan yang telah Kami ajarkan ilmu kepadanya dari sisi Kami."

Ia bermula dengan ayat 60:


وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِفَتَاهُ لَا أَبْرَحُ حَتَّىٰ أَبْلُغَ مَجْمَعَ الْبَحْرَيْنِ أَوْ أَمْضِيَ حُقُبًا

"Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada pembantunya, 'Aku tidak akan berhenti sebelum sampai ke pertemuan dua laut; atau aku akan berjalan bertahun-tahun.'" 
[al-Kahfi, 18:60]

Perkataan 'huqub' di hujung ayat itu membawa maksud 'hayat' (baca: lifetime). Huqubaan adalah dalam jamak-nya. Maka ia bermaksud banyak hayat, atau berulang-kali hayat. 

Dalam konteks ayat ini, ia menunjukkan kesungguhan dan keazaman Nabi Musa AS untuk bertemu dengan hamba Allah itu (di dalam kitab tafsir disebut nama hamba Allah itu sebagai Khidir AS) walau apa pon cabaran dan halangan yang bakal dihadapi. 

Lantas kita bertanya, apa yang menyebabkan Nabi Musa begitu bersemangat? Apa yang membakar tekadnya sedemikian rupa?

Berdasarkan kitab tafsir, ia berikutan teguran Allah SWT - murabbi Nabi Musa AS - terhadapnya berkaitan dengan pengakuan baginda bahawa bagindalah orang yang paling tahu (baca: bijaksana) dalam kalangan manusia. Maka Allah menegur baginda dan mengatakan bahawa ada orang yang lebih tahu daripadanya, i.e. hamba Allah Khidir AS.

Maka teguran dari Sang Murabbi diambil serius, terus masuk ke dalam hati. Nabi Musa AS, seorang rasul Ulul Azmi yang tidak dapat dinafikan pengorbanan dan kehebatannya, langsung merendahkan egonya untuk pergi mencari hamba Allah yang dimaksudkan itu. Kerana baginda tahu, pasti hamba Allah itu begitu luar biasa sehingga Allah menyuruh baginda untuk mencari dan bertemu dengannya.

Bermulalah pengembaraan Nabi Musa AS, yang berjanji tidak akan berhenti (huqubaan) selagi tidak mencapai objektifnya. Demi apa?

Demi sebuah tarbiyah.

Ya, Nabi Musa AS sanggup untuk berjalan ribuan batu jauhnya hanya semata-mata kerana Allah SWT telah menasihatinya.

Nabi Musa AS sanggup berkorban sebegitu rupa kerana mahu berjumpa dengan seseorang yang lebih baik dan tahu daripadanya.

Nabi Musa AS sanggup merendahkan egonya untuk belajar dan mengambil manfaat, agar dirinya menjadi lebih baik daripada yang sebelumnya.

Demi sebuah tarbiyah. Dan itulah harga yang sanggup dibayar Musa AS, kerana baginda sedar dan faham, betapa besarnya nilai sebuah tarbiyah itu!

Bagaimana dengan kita? Apa sikap kita dalam menanggapi tarbiyah?

Adakah kita sanggup bermusafir sedemikian jauh hanya untuk menghadiri halaqah usrah atau daurah?

Atau belum apa-apa lagi sudah terpacul dari mulut kita, "Alah jauhnyaaa. Buat dekat-dekat tak boleh ke??"

Adakah kita sanggup menginfaqkan wang, harta dan tenaga kita demi setitis ilmu dalam lautan fikrah yang begitu luas?

Atau wang dan tenaga kita, kita simpan untuk dibelanjakan demi kepuasan nafsu dan keinginan sendiri?

Adakah kita sanggup mengorbankan emosi dan ego kita, untuk ditegur, dinasihati, dibimbing dan disusun agar menjadi diri kita yang lebih baik?

Atau kita ini pantang ditegur dan sentiasa merasakan diri lebih baik dan sentiasa betul?

Apa nilai tarbiyah di sisi kita?

-gabbana-

30 October 2018

Apa Yang Penting? Tajmik!

[Kredit]

"Abang Aidil. Dalam dakwah ni, memang kena tajmik ke? Wajib ke?"

Aidil cuba untuk tersenyum, meskipon teh ais yang baru disedutnya terasa seperti tersekat di esofagusnya. Dipandang anak buahnya Zikri itu dengan pandangan yang penuh kasih-sayang. Ewah.

Hari tu Raihan, hari ni Zikri pula. Tu lah sapa suruh lama tak menulis! Eh.

"Apa yang nta faham tentang tajmik?"

Aidil menyoal, sekadar mahu menguji. Test the water omputih kata.

"Tajmik tu...mengumpulkan kan? Dalam konteks T&D, mengumpulkan orang untuk bersama-sama dalam gerabak dakwah ni. Betul tak?"

Zikri menggaru-garu kepalanya yang sudah lima hari tidak disyampu.

"Betul. Tepat sekali. 10 markah ana bagi! Hehe."

Aidil berseloroh. Walaupon taklah kelakar mana.

"So kalau dalam dakwah ni, apa yang pentingnya tajmik ni?"

Pantas dahi Zikri berkerut. 

Aku tanya dia, dia tanya aku balik. Haish.

"Entahlah bang. Saya faham je dakwah tu wajib apa semua. Dah berapa kali sentap dengar SH. Huhu. Tapi takleh ke nak buat dakwah sorang-sorang? Takleh ke semangat buat dakwah sorang tanpa perlu tajmik? Tak payah ada anak buah semua?" 

Aidil tersenyum lagi. Dia tahu akar kepada soalan itu. Ini bukan kali pertama Zikri mengeluh tentang betapa sukarnya mahu mentajmik, espeseli di zaman Mobile Legend dan Tik Tok ini. Adeh.

"Untuk menjawab soalan nta tu, jom kita sama-sama tadabbur ayat chenta sikit. Buka surah Yusuf, ayat 108."

Segera Zikri mengeluarkan telefon pintarnya dari kocek seluar. Terus dibuka aplikasi al-Quran yang terkandung dalam telefonnya itu. Budak-budak zaman sekarang, mana main Quran zip berpelekat dah! 

قُلْ هَٰذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللهِ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي وَسُبْحَانَ اللهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ

"Katakanlah, 'Inilah jalanku. Aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan basirah. Maha Suci Allah dan aku tidak termasuk orang-orang yang musyrik.'" [Yusuf, 12:108]
"Ayat ni antara ayat yang paling osem untuk menterjemahkan fikrah dakwah yang kita imani. Nampak simple je ayat ni en? Tapi sebenarnya ia mengandungi 1001 hikmah dan ibrah untuk kita sama-sama hayati.

Nampak tak ayat tu cakap apa? AKU dan ORANG-ORANG YANG MENGIKUTIKU. Yang buat dakwah tu, yang 'mengajak kamu kepada Allah dengan basirah' tu bukan 'aku' je, bukan kita je. Tapi juga 'orang-orang yang mengikutiku'. Maknanya, kita nak buat dakwah ni tak boleh buat sorang-sorang. Mesti ada team yang sapot kita.

Nta pon dah maklum kan tentang kehebatan Abu Bakr RA dalam mentajmik sahabat-sahabat yag lain? Sehari je lepas dia masuk Islam, dia berjaya tarik 5 orang lagi untuk masuk Islam. Dan 5 orang ini bukan calang-calang, tapi 'asyara mubasyara!

Tapi kenapa? Kenapa Abu Bakr bersungguh-sungguh nak Islamkan orang lain walaupon dia sendiri baru je masuk Islam? Sebab dia faham yang dia kena ada team. Dia faham yang nak sebarkan Islam ni tak mudah. Jadi dia perlukan lebih ramai orang untuk sama-sama bantu dia dan Rasulullah SAW untuk sebarkan kebenaran.

Samalah macam kita ni akhi. Beban dakwah ni berat. Tapi ia akan terasa ringan kalau lebih ramai orang yang sudi untuk menghulurkan tangan. Beban dakwah tu tetap sama beratnya, tapi sebab semakin ramai yang bersama dengan kita mengangkatnya, ia terasa sedikit ringan.

Sebab tu kita tajmik. Bukan semata-mata sebab amanah SH tu, tapi sebab kita perlukan pasukan untuk sama-sama tegakkan Islam yang terchenta ni!"

Penuh semangat Aidil menjelaskan. Bersinar-sinar matanya. Orang di sekeliling memandang dengan penuh hairan. Malu pula Aidil dibuatnya.

Tapi jelas terpancar kepuasan pada wajah Zikri. Dia kini faham. Dan lebih sejahtera.

"Eh nta nak ke mana tu? Tak habis lagi teh tarik nta tu."

"Nak gi tajmik la bang. Tak sabar nak ada team sendiri ni!"

Mereka sama-sama tertawa. Bahagia.

Happy ending bak hang!

-gabbana-

2 October 2018

Keberjayaan Tarbiyah Itu Terletaknya Pada Apa?

[Kredit]

Keberjayaan tarbiyah itu tidak hanya terletak pada berapa halaqah yang kita bawa.

Keberjayaan tarbiyah itu tidak hanya bergantung pada berapa orang yang kita berjaya DF dan tajmik.

Keberjayaan tarbiyah itu tidak hanya pada berapa banyak buku fikrah yang kita berjaya khatamkan.

Keberjayaan tarbiyah itu tidak hanya diukur pada berapa banyak daurah yang telah kita isi.

Dan keberjayaan tarbiyah itu tidak hanya dilihat pada berapa banyak surah yang kita hafal dan berapa banyak hadith pula yang kita berjaya lazimi.

Tapi keberjayaan tarbiyah itu juga terletak pada adab dan akhlak kita dalam berhadapan dengan murabbi, walau dalam keadaan apa sekalipun emosi kita ketika itu.

Keberjayaan tarbiyah itu juga bergantung pada sejauh mana kita bisa berlapang dada dengan ikhwah/akhawat lain tatkala ada khilaf yang membezakan kita.

Keberjayaan tarbiyah itu juga ada pada kesediaan kita untuk berbincang dan meminta izin (istisyar dan isti'zan), walau ia tiada kena mengena dengan hidup sesiapa, walau nafsu kita sudah pun memuktamadkannya. 

Keberjayaan tarbiyah itu juga diukur pada senyuman yang kita mampu untuk ukirkan pada ikhwah/akhawat yang memandang kita, meski ketika itu kita dilanda taufan perasaan yang menggila. 

Dan keberjayaan tarbiyah itu juga dilihat pada sepantas mana kita menawarkan diri untuk menghulurkan bantuan pada insan yang memerlukan, walau kita sendiri amat membutuhkan.

Sungguh, tarbiyah bukanlah segala-galanya tetapi segala-galanya bermula dengan tarbiyah! 

Moga kita tergolong dalam "Qad aflahal mu'minun" itu!

-gabbana-

18 July 2018

Setiap Dari Kita Ada Sumbangan Pada Dakwah. Tahu?





"Abang, saya nak minta rehat dari dakwah dulu boleh?"

Akhirnya terkeluar juga ayat itu dari mulut Raihan yang terkemam-kemam dari tadi.

Kalau urat bola mata tu diperbuat daripada spring, konfem dah terjojol keluar dari soket mata Aidil. Tapi Aidil rilek je. Control macho dan kool.

"Random sangat ni. Kena rasuk ke apa nta ni?"

Aidil cuba berseloroh. Sebenarnya nak cover rasa terkejut.

"Taklah bang. Saya penatlah bang."

Raihan tersenyum nipis.

Penat?

"Kenapa ni akhi? Ada apa-apa yang boleh ana bantu?"

Aidil dah tenang sikit. Rasional dia dah kembali.

"Entahlah bang. Saya rasa macam takde function dalam dakwah ni."

Raihan memandang ke bawah sambil menguis-nguis kakinya yang bersarungkan Fipper itu. Dia malu mahu memandang wajah murabbinya.

"Takde function? Maksud nta?"

"Ye lah. Rasa macam takde pape sumbangan pada dakwah ni. Usrah tak bawak. Tajmik tak menjadi. Nak mengisi pon tak reti. Nak infaq pon, bukan ada duit sangat. Aaah rasa useless!"

Aidil tersentak. Dia sudah lama boleh mengagak, tetapi tidak sangka Raihan akan meletup hari ni.

Aidil menarik nafas yang boleh tahan dalam. Dia berfikir-fikir apa cara terbaik untuk tackle isu ni. Salah tackle, kena kad merah nanti! 

"Akhi, siapa kata nta takde sumbangan? Nta tau tak, nta dah baaannyaaakk jasa pada dakwah ni?"

Berkerut dahi Raihan. Dia tak pasti, murabbi nya itu sedang menganjingnya atau bagaimana.

"Nta tau tak, doa-doa yang nta panjatkan untuk ikhwah dalam solat dan munajat nta, dalam maathurat dan musafir itulah yang menguatkan kami semua. Entah-entah, dakwah ikhwah lain yang menjadi tu, disebabkan keberkatan doa nta!"

Mata Raihan tiba-tiba membundar. Dia terpana. Tak pernah langsung dia terfikir sedemikian rupa!

"Nta tau tak, lawak jenaka nta, senyuman nta, tak pernah fail buat ikhwah senang hati. Ikhwah yang penat balik kerja, tengok muka nta, dengar lawak nta, terus tak jadi nak penat!"

Aidil tertawa sendiri, teringatkan lawak-lawak hambar Raihan.

"Nta tau tak, nta yang ringan tulang kemas RI, yang rajin jadi AJK teknikal masa program, yang selalu volunteer nak masak dan hidangkan makanan masa daurah, semua tu adalah sumbangan nta pada dakwah. Boleh tempang ikhwah dibuatnya kalau takde orang macam nta!"

Entah kenapa, Raihan tiba-tiba jadi sebak. Rasa macam nak mengalirkan air mata je, tapi malu la pulak menanges depan murabbi. Tak jantan lah!

"Akhi, ana bukan tak tau yang nta sungguh-sungguh mentajmik. Yang nta memang sangat teringin nak bawak usrah. Yang nta dah beri sehabis baik pada dakwah. Tapi belum rezeki nta lagi untuk semua itu.

Dakwah ni besar akhi. Ada banyak relung-relung yang nta boleh menyumbang. Selagi mana nta bersama gerabak ni menuju ke destinasi yang sama, selagi mana nta mainkan peranan nta sebagai jundiyy kepada dakwah ni, selagi itulah nta sebenarnya ada sumbangan pada dakwah.

Berapa banyak watak-watak dalam al-Quran yang tidak disebut namanya atau kemunculan mereka hanya sekejap sahaja. Macam pemuda yang teman Nabi Musa cari Nabi Khidir tu. Walaupun namanya tidak disebut, tetapi Allah abadikan peranan pemuda tu menemani Nabi Musa dalam musafirnya.

Mengapa? Kerana Allah nak beritahu kita, setiap daripada kita ada peranan dan sumbangan yang boleh kita berikan pada dakwah ini!"

Mata Raihan berkaca-kaca. Tiba-tiba dia terasa malu kerana minta untuk direhatkan dari dakwah.

Bukankah kata-kata Nabi SAW "Sudah berlalu waktu tidurku!" yang menjadi azimatnya selama ini?

Aidil tersenyum syukur. Dia tahu, tackle nya bukan sahaja menjadi, malah siap berjaya jaringkan gol sekali! Eh.

-gabbana-

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP