30 November 2017

ALEPPOKALIPS: Bab 1



PAGI itu cuaca di Taman Tun Dr. Ismail lebih nyaman daripada biasa. Hiruk- pikuk mereka yang berkejaran untuk ke pejabat sudah tidak lagi kedengaran. Yang ada ialah basa-basi nyonya dan apek yang baru pulang dari bertaichi, makcik-makcik yang baru pulang dari pasar sambil bergosip tentang jiran tetangga mereka dan kedai-kedai kopi yang riuh dengan datuk-datuk dan tan sri-tan sri pencen yang galak berkomentar tentang keadaan politik negara. 

Juga, perbualan antara ibu dan anak di sebuah rumah banglo mewah bernombor 75 di Lorong Zaaba. 

"Hamzah, are you free to drive Mama to Masjid at-Taqwa?"

Datin Zaleha bertanya dengan penuh manja. Hamzah sedang sibuk melihat skrin telefonnya sambil menyuap emping jagung bersalut gula ke dalam mulutnya.

Pertanyaan ibunya menyebabkan Hamzah terhenti dari kedua-dua aktiviti tersebut. Dia mengangkat kepalanya dan memandang wajah ibunya. Tahun itu ibunya bakal memasuki usia siri lima, tetapi sesiapa sahaja yang melihatnya pasti tidak akan mempercayainya.

"Sure. Bila? What time?"

Datin Zaleha tersenyum.

"In half an hour time? Pukul 10 Mama kena ada kat sana."

"Ok, no problemo. Mama nak buat apa kat masjid tu?"

Pertanyaan Hamzah lebih didorong oleh rasa tanggungjawab berbanding minat.

"Ada kuliah Dhuha. Auntie Jamilah yang beriya-iya ajak Mama. Katanya ustaz yang nak bagi kuliah ni best."

Hamzah memandang tepat wajah ibunya. Dia semacam berminat.

"What's the topic about?"

"Entah, Mama pun tak sure. Pergilah je dengar. You can join if you want. Kuliah ni open untuk both muslimin and muslimat."

Hamzah memicingkan matanya separa. Tanda dia curiga.

"Hmmm. We'll see."

Secara spontan mata kedua-dua mereka tertumpu ke satu arah yang sama.

"Ha Ika. Baru bangun?"

Seorang anak gadis berambut kusut datang menyertai mereka. Matanya sepet dengan saki-baki tahi mata masih melekat.

"Apa punya anak dara lah bangun lewat macam ni. Takde sapa nak masuk meminang nanti padan muka!"

Hamzah mengusik sambil ketawa mengekek. Ika, adik perempuannya itu hanya mencebik. Datin Zaleha hanya tersenyum dan menggeleng kepala melihat telatah anak-anaknya itu. 

"Ma, please pass me the bowl."

Sejak kecil lagi Hamzah sudah dibesarkan di kawasan elit Taman Tun Dr. Ismail itu bersama dengan tiga adik-beradiknya yang lain. Dahulu mereka sekeluarga tinggal di sebuah rumah teres dua tingkat di Jalan Athinahapan. Namun apabila keadaan ekonomi keluarga mereka semakin baik, ayahnya, Dato' Sulaiman telah membeli sebuah banglo di Lorong Zaaba. Kini, setelah dua kali kerja baik pulih dan renovasi, rumah Dato' Sulaiman adalah antara rumah yang paling mewah, berdiri gah di Taman Tun. 

Dato' Sulaiman merupakan seorang pesara tentera udara. Dia memilih untuk bersara awal sebagai Leftenan Kolonel dan kemudiannya berkecimpung dalam bidang perniagaan. Dato' Sulaiman terbukti merupakan seorang usahawan yang mempunyai visi dan berpandangan jauh. Dalam tempoh yang sekejap sahaja, perniagaannya berkembang maju. Malah dalam tempoh lima tahun sahaja, dia telah berjaya mengembangkan perniagaannya ke luar negara. Pengalaman dan kenalannya ketika berkhidmat dengan tentera udara dahulu juga banyak membantu.

Namun, hal itu juga bermakna Dato' Sulaiman jarang sekali berada di rumah. Sebahagian besar masanya dihabiskan sama ada di pejabatnya atau di luar negara. Masanya bersama dengan anak-anak hanyalah ketika hari-hari kebesaran, cuti sekolah atau di majlis-majlis keramaian yang memerlukan kehadirannya.

Pernah suatu ketika, kerana marah dengan ayahnya itu, Hamzah menghitung jumlah hari dalam setahun Dato' Sulaiman berada di rumah menghabiskan masa bersama-sama dengan mereka. Tidak lebih dari 30 hari kesemuanya. Tidak lebih dari sebulan! 

Mujur Datin Zaleha ada untuk anak-anaknya. Dia yang pernah menjadi seorang guru sekolah rendah, mengambil keputusan untuk berhenti kerja selepas suaminya mula menubuhkan syarikat sendiri. Satu keputusan yang cukup signifikan buat anak-anaknya, terutamanya Hamzah. 

Hamzah, anak kedua dari empat orang adik-beradik, sememangnya seorang anak yang manja. Ketika dia bersekolah di MRSM Taiping dahulu, dia mewajibkan ibunya untuk datang menziarahinya pada setiap hujung minggu. Setiap kali itu juga, Datin Zaleha akan mengomel panjang, tentang betapa jauhnya dan penatnya perjalanan dari Kuala Lumpur ke Taiping. Namun, Hamzah tahu, ibunya itu tidak pernah sekalipun menyesal untuk memenuhi permintaannya itu, kerana ibunya itu juga sebenarnya kesunyian. 

"Ma, I'm ready!"

Hamzah melaung dari bawah.

"Ok ok! Give me five more minutes. Tengah nak pakai tudung ni!"

Bola mata Hamzah secara spontan berpusing ke atas. Seperti mahu merenung otaknya sendiri.

Perempuan. Pft.

Selepas sepuluh minit, akhirnya Datin Zaleha turun dari tingkat dua banglo itu. Dia nampak elegan mengenakan jubah berwarna merah gelap dengan labuci hitam. Tudung hitam kelabu yang disarungnya memang sepadan dengan jubah yang dipakai.

Mesti Fareeda ni.

Hamzah meneka. 

"Nak drive kereta mana?" 

"Alah, mana-mana je lah. Choose whichever you like. Yang penting sampai!"

Hamzah menjenguk keluar. Dia segera membuat keputusan.

Tidak lama selepas itu, kelihatan sebuah Mini Cooper S berwarna hijau gelap keluar meninggalkan banglo itu. Tidak sampai lima minit selepas itu, mereka tiba di perkarangan Masjid at-Taqwa. 

"Are you coming?"

Hamzah memandang ibunya dengan wajah yang sedikit bersalah. Asalnya, dia bercadang mahu menurunkan ibunya sahaja dan kemudian ke kedai mamak yang berdekatan untuk minum-minum dengan Albert dan Buntal, dua sahabat baiknya.

"Alah, come lah join. Tak rugi pun!"

Hamzah menarik nafas. Panjang.

"Ok."

***

"Islam pada hari ini, tak sama macam Islam zaman Rasulullah dulu tuan-tuan dan puan-puan. Yang tak sama tu bukan tang Islam tu, tapi tang umatnya tu!"

Berapi-api ustaz yang memperkenalkan dirinya sebagai Ustaz Abu Ayyash itu berbicara. Untuk pertama kalinya sejak entah bila, Hamzah merasakan kuliah ini berjaya menarik minatnya. Lain daripada yang lain!

Pada mulanya, Hamzah agak skeptikal. Melihatkan penampilan si ustaz, Hamzah dapat merasakan yang ceramah yang bakal disampaikan tiada bezanya dengan ceramah-ceramah agama yang seringkali disiarkan di radio atau televisyen. Hukum fikah. Cerai kahwin. Hukum bersentuh suami isteri. Kemudian diselitkan dengan lawak jenaka.. Nak lagi tipikal, jenaka tentang poligami. 

Hei, tak kelakarlah! Bosan!

Tapi lima minit selepas Ustaz Abu Ayyash memberikan mukadimah, Hamzah dapat merasakan kelainan pada kuliah yang ingin disampaikannya. Ustaz memulakan kuliahnya dengan sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, tentang bagaimana suatu hari nanti Islam yang mirip dengan Islam di zaman Nabi ﷺ akan kembali tertegak di muka bumi. Ustaz kemudian menyimpulkan hadith itu dengan mengatakan, masanya sudah tidak lama lagi sebelum hadith itu menjadi kenyataan.

Itu yang membuatkan Hamzah terpaku di tempat duduknya. Itu pertama kali dia mendengar hadith sebegitu rupa. Dia bukanlah seorang peminat teori konspirasi, tetapi ada sesuatu yang luar biasa tentang hadith itu. 

"Sudahlah umat Islam hari ini terjatuh di lubang yang paling dalam, yang gelap, busuk dan berbahaya, serigala-serigala kelaparan menunggu pula untuk menerkam dan membaham kita. Siapa serigala-serigala ini? Barat! Yahudi! Freemason! Semuanya menyerang kita dari pelbagai arah!"

Ustaz Abu Ayyash berhenti. Satu-satu mata hadirin yang khusyuk mendengar dipandangnya. Suatu teknik untuk membumikan hujah yang terbukti amat berkesan.

"Seolah-olahnya tiada harapan lagi yang tinggal buat kita. Sudahlah ummah lemah, miskin dan melarat, negara-negara Islam pula bercakaran dan berbalah antara satu sama lain. Musuh-musuh kita pula tak bagi can, memang sungguh-sungguh asak dan belasah kita, sampai kita terduduk, terbaring dan terguling-guling! Allahu Akbar. Apa yang kita boleh buat tuan-tuan dan puan-puan? Apa yang kita boleh buat??"

Ustaz Abu Ayyash berhenti lagi. Dan direnungnya setiap hadirin seperti menanti-nanti jawapan yang akan memuaskan hatinya. Sampai kepada Hamzah, renungannya terhenti. Lama dia memerhatikan Hamzah, seakan-akan dia baharu perasan kehadiran anak muda itu. 

"Siapa nama kamu?"

Hamzah memandang ke kanan dan kiri. Teknik lapuk. Kemudian dia memandang kembali Ustaz Abu Ayyash dan membuat isyarat bertanya, mahu mengesahkan sama ada dirinya yang ditanya.

"Ya kamu anak muda."

"Err. Ham.. Ehem. Hamzah."

Terpancar keterujaan pada wajah Ustaz Abu Ayyash. Sama ada ia jujur atau dibuat-buat, hanya si empunya diri yang tahu.

"MashaAllah! Tuan-tuan dan puan-puan, solusi untuk permasalahan ummah pada hari ini terletak pada anak muda seperti Hamzah ini. Mengapa? Kerana bapa saudara Nabi ﷺ juga bernama Hamzah. Ha, apa kaitannya?"

Jelas sekali garis-garis kerut pada dahi Hamzah. Juga pada dahi kebanyakan muslimin dan muslimat yang masih setia mendengar. Ustaz Abu Ayyah seperti menikmati momen itu.

"Hamzah bin Abdul Mutallib ialah seorang sahabat besar dalam sejarah Islam. Tuan-tuan tahu tak, apa sebab Hamzah masuk Islam? Satu hari tu, dia baru balik dari berburu. Dia dapat tahu yang anak saudara kesayangan dia – Nabi Muhammad ﷺ – baru lepas kena bantai dengan Abu Jahal. Hamzah pun apa lagi, pergi cari Abu Jahal tang tu juga! Dia pukul Abu Jahal dengan busur panah dia dan terus isytihar keIslaman dia. Allahu Akbar! 

Islamnya Hamzah membawa cahaya baru kepada umat Islam ketika itu. Keberanian dan kecekalan Hamzah dalam mempertahanan Islam tiada tolok bandingnya. Malah, umat Islam seolah-olah mendapat satu tenaga dan kuasa yang luar biasa dek Islamnya Hamzah dan 'Umar ketika itu!"

Meremang bulu roma Hamzah mendengar namanya disebut berulang-ulang kali seperti itu. Terasa bangga pun ada!

"Ketika Hamzah gugur syahid di medan Uhud, kesedihan Rasulullah tidak terhingga sehinggakan untuk memujuknya, Allah SWT telah menganugerahkan gelaran 'Pengulu Para Syuhada' kepada Hamzah. Punyalah hebat Hamzah ni!"

Ustaz Abu Ayyash tersenyum lebar. Dan dia memastikan pandangannya dijatuhkan tepat pada Hamzah.

"Jadi tuan-tuan dan puan-puan, untuk menyelesaikan masalah umat hari ini, kita memerlukan lebih ramai anak muda macam Hamzah. Hamzah yang berani bangkit untuk mempertahankan kesucian Islam. Hamzah yang berani berkorban untuk menegakkan kebenaran. Hamzah yang berani berjihad di medan perang kerana itulah sebenar-benar jihad!

Macam mana Hamzah? Boleh?"

Hadirin tertawa kecil apabila melihat reaksi Hamzah yang tersipu-sipu. 

Selesai kuliah, Ustaz Abu Ayyash memanggil Hamzah untuk berjumpa dengannya. Hamzah sedikit hairan tetapi tidak mengesyaki apa-apa. Hamzah sempat mengangkat tangan sebagai isyarat tunggu kepada ibunya. Bukan masalah besar buat Datin Zaleha; dia pun kelihatan sibuk bergosip dengan rakan-rakannya.

Ustaz Abu Ayyash segera menghulurkan tangannya kepada Hamzah. Digenggamnya erat dan kejap tangan Hamzah. Hamzah sedikit kaget.

"Kamu tinggal di mana?"

"Err dekat je ustaz. Dalam...dalam lima minit dari sini. Dekat je."

Hamzah gugup.

"Kamu janganlah segan dengan ustaz. Ustaz hanya nak berkenalan. Susah nak jumpa anak muda macam kamu, yang sanggup datang kuliah macam ni."

Ustaz Abu Ayyash menepuk-nepuk bahu Hamzah. Tersipu-sipu Hamzah dibuatnya. Macam anak dara kena pingit!

"Kamu buat apa sekarang? Dah kerja?"

"Saya masih belajar lagi ustaz."

Terangkat kening Ustaz Abu Ayyash.

"Oh mashaAllah. Muda lagi rupanya. Belajar di mana?"

"Aaa di UK ustaz. United Kingdom."

Lagi tinggi kening Ustaz Abu Ayyash terangkat.

"Subhanallah, hebat hebat! Kamu belajar dalam bidang apa? Eh sekarang ni cuti ke?"

"Saya belajar architecture ustaz. Haah sekarang cuti ustaz. Summer break. Err.. Cuti musim panas."

Hamzah menggaru-garu kepalanya yang tidak berapa gatal. 

"Allahu Akbar. Hebat! Bangga dan seronok ustaz dapat berkenalan dengan anak muda macam kamu ni."

Ustaz Abu Ayyash memandang sekilas pada jam di tangan kanannya. G-Shock Mudman berwarna hitam.

Boleh tahan juga ustaz ni.

"Maafkan ustaz Hamzah. Ustaz terpaksa bergegas sekarang. Kalau kamu tak keberatan, boleh ustaz ambil nombor kamu?"

Hamzah sedikit terkejut. Nombor? Nak buat apa?

Ustaz Abu Ayyash seperti boleh membaca fikiran Hamzah.

"Kamu jangan risaulah. Ustaz takdenya nak mengurat kamu. Ustaz dah berkahwin dah. Hahaha. Manalah tahu, bila-bila kamu free, boleh ustaz ajak minum-minum. Ustaz tinggal takdelah jauh sangat dari sini."

Hamzah serba salah. Dia keberatan untuk memberikan nombornya pada orang yang belum dikenalinya. Pada masa yang sama, dia tidak sampai hati mahu menolak permintaan ustaz. Orangnya nampak baik dan ikhlas.

"Boleh boleh. Kosong satu sembilan sembilan tiga dua..."

"Kejap kejap. Ustaz ni bukan pandai sangat dengan smart phone ustaz ni. Berapa tadi? Kosong satu sembilan...?"

"Kosong. Satu. Sembilan. Sembilan. Tiga. Dua. Tiga. Dua. Lima. Tujuh."

Ustaz Abu Ayyash tersenyum puas. 

"Terima kasih Hamzah. Nanti ustaz miss call kamu atau ustaz wasap je la."

Hamzah hanya tersenyum. Tidak pasti apa respons terbaik yang boleh dia berikan.

"Ustaz!"

Ustaz Abu Ayyash yang baru sahaja mahu berjalan pergi, berpaling semula.

"Ya Hamzah?"

"Te-terima kasih untuk ceramah tadi. Menusuk!"

Hamzah menunjukkan tanda bagus.

Ustaz Abu Ayyash tersenyum besar.

"InshaAllah kita jumpa lagi nanti Hamzah."

Hamzah segera mendapatkan Datin Zaleha yang tampaknya seperti tidak sedar pun masa telah berlalu. Selepas Hamzah terpaksa menunggu beberapa minit lagi (Puan Sri Zaiton mahu mengajak Datin Zaleha mengerjakan umrah bersama manakala Datin Sri Jamilah mendesak untuk minum petang di One Utama pada hari Rabu nanti), akhirnya mereka berdua meninggalkan Masjid at-Taqwa.

"Lama Hamzah borak dengan ustaz tadi?"

"Ha?"

Hamzah menjeling telefonnya, kalau-kalau ada mesej atau notifikasi dari mana-mana aplikasi media sosialnya.

"Borak apa dengan ustaz tadi?"

"Oh takde apalah Ma. Ustaz saja nak berkenalan dengan Hamzah."

Datin Zaleha tersenyum.

"I'm so proud tadi, bila ustaz dok bercerita pasal sahabat Nabi tu. I knew I've chosen the right name for you!"

Hamzah tertawa.

"Menda la mama ni. Hamzah sahabat Nabi tu, terer gila kot! Hamzah ni... Ish, macam langit dengan bumi!"

Datin Zaleha mencebik.

"Then... Why can't you be like THAT Hamzah?"

Hamzah menjeling ibunya. Dia mahu berkata sesuatu, tetapi dia segera membatalkan hasratnya. Kata-kata ibunya tadi semacam satu panahan tepat ke hatinya. Sakit.

"Mama masak apa for lunch?"

Hamzah menukar topik. Hamzah memang pakar dalam bidang menukar-nukar topik. 

"Tak masaklah Hamzah. Too late already. Kita lunch luar je lah. Boleh?"

"Alaaah. Hamzah balik Malaysia ni, sebab nak makan masakan mama. Rindu air tangan mama. Hamzah dah jemulah makan luar kat UK tu."

Hamzah tersenyum nakal. Merah muka Datin Zaleha. Selain pandai menukar topik, Hamzah juga pandai mengambil hati ibunya itu. 

"Esok mama masak. Mama janji. Ok? Now let's pick-up your sister and brother then we go somewhere. Mama pun dah lapar dah ni."

"Aye aye madam!"

Hamzah membelok ke kanan di Jalan Dato' Sulaiman dan masuk ke Lorong Zaaba. Datin Zaleha menelefon anak perempuanya, menyuruhnya agar segera bersiap dan bersedia. Di sebalik keriangan dan keceriaan suasana di dalam kereta, masih terngiang-ngiang kata-kata ibunya di telinga Hamzah.

Why can't you be like that Hamzah?

***

"Alhmdllh hari ini dpt sorg target baru. Bgs bdknya. Umur dlm 19-20 thn. IA ana akan usahakn. Doakn."

Send.

Abu Ayyash mengusap janggutnya. Dia tersenyum.

***

Sekiranya anda berminat untuk menjadi antara yang terawal mendapatkan novel ini, pra-tempah sekarang di:


Atau


Harga RM30.00 untuk seluruh kawasan di Malaysia dan penghantaran PERCUMA untuk Semenanjung Malaysia. 

Tempah mulai hari ini sehingga 7 Disember 2017 untuk mendapatkan banyak tawaran dan hadiah menarik dari Penerbitan Wahai!

-gabbana-

24 November 2017

ALEPPOKALIPS: PROLOG

Assalamua'laikum warah matullah!

Wah dah berhabuk bersawang dah belog ini! Wahahaha.

Jujurnya, ada lagikah orang yang membaca belog? Kalau ada, alhamdulillah. Kalau tiada, marilah kita berhuhu secara berjemaah! Err.

Baik dipendekkan cerita, saya nak kongsikan beberapa bab awal novel ALEPPOKALIPS, buku terbaharu saya yang akan diterbitkan oleh Penerbitan Wahai! Saya telah pon kongsikan bab-bab yang sama dalam Wattpad, tetapi firasat saya kuat mengatakan yang mungkin ada dalam kalangan anda yang tidak berapa gemar membaca menerusi Wattpad. Jadi harapannya, akan lebih ramailah yang dapat membaca bab-bab awal ini dan seterusnya jatuh hati lantas membuat keputusan untuk membeli novel ini. Hehe.

Izinkan dahulu saya untuk bercerita sedikit tentang sinopsis dan latar belakang novel ini.

Saya mendapat inspirasi untuk menulis ALEPPOKALIPS berikutan berita-berita yang kita dengari bagaimana ada dalam kalangan anak-anak muda kita yang terpengaruh dengan propaganda dan dakyah ISIS. Yang lebih menarik minat saya adalah apabila mengetahui yang mereka ini bukanlah tidak cerdik atau lurus bendul, malah ada dalam kalangan mereka ini yang sedang belajar di universiti dan berpendidikan tinggi.

Perbualan saya dengan seorang rakan menambahkan lagi azam saya untuk menulis novel ini. Dia memberitahu saya bagaimana ada dalam kalangan anak-anak muda yang terpengaruh untuk menyertai ISIS ini membesar dan menetap di Taman Tun Dr. Ismail; bermakna mereka ini datangnya dari keluarga yang berada yang mempunyai taraf hidup yang tinggi. Ini sangat mengejutkan saya kerana sebelum saya mendengar pendedahan tersebut, saya sering kali menyangka yang mereka yang terpengaruh dengan propaganda ISIS ini kebanyakannya berasal dari keluarga yang susah dan tidak berpendidikan.

Dari situlah saya mendapat inspirasi untuk watak Hamzah.

Hamzah yang hidup dalam serba kemewahan, sepertinya sudah mempunyai kehidupan yang sempurna. Namun rakan-rakan yang rapat dan mengambil berat tentangnya, teman wanita yang cantik, dapat  pula belajar di luar negara, semua itu tetap tidak memuaskan hatinya yang masih mencari-cari identiti dirinya. 

Dalam keadaan yang sebeginilah, datang seorang ustaz - Ustaz Abu Ayyash - yang berjaya menarik minat Hamzah untuk mengetahui lebih lanjut tentang ISIS. Ustaz Abu Ayyash mempertemukan Hamzah dengan Khalid, seorang pemuda yang berkarisma, yang telah pun ke Iraq dan Syria menyertai ISIS. Kehadiran Khalid menambah perasaan ingin tahu dan ingin cuba Hamzah untuk ke Syria. 

Pada masa yang sama, ketiadaan ayahnya - Dato' Sulaiman - sebagai figur bapa di rumah, menjadikan Hamzah seorang anak muda yang memberontak. Malah, kerenggangan hubungannya dengan ayahnya itulah yang menjadi pendorong terkuatnya untuk ke Syria. 

Akhirnya, Hamzah mengambil keputusan untuk ke Syria dan melihat sendiri apa dan siapa itu ISIS. Perjalanannya ke Syria untuk mencari kebenaran dipenuhi dengan pelbagai ujian dan rintangan. Dia akhirnya selamat tiba ke destinasi yang ditujunya.

Pemergian Hamzah ke Syria ibaratnya satu penampar kuat kepada ayahnya. Ayahnya sedar akan kesilapannya selama ini yang terlalu fokus kepada perniagaannya sehingga mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang ayah. Dia berjanji kepada isterinya - Datin Zaleha - untuk membawa Hamzah pulang dengan selamat. 

Selepas beberapa bulan di sana, Hamzah melihat sendiri wajah sebenar ISIS dan dia tidak selesa dengannya. Bersama-sama dengan Salman, seorang pemuda dari Iran yang bersahabat baik dengan Hamzah, mereka merancang untuk melepaskan diri dari ISIS. 

Malangnya, rancangan mereka terbongkar. Hamzah diburu oleh Khalid, orang yang sama yang pernah dikagumi Hamzah. 

Saya tamatkan dulu sesi sinopsis ini dengan tasbih kafarah dan surah al-'Asr. Wahahaha. 

Ok malas dah bebel panjang. Silalah baca dahulu prolog untuk novel ini dan inshaAllah saya akan kongsikan bab-bab yang lainnya menerusi post-post yang lain.

Moga bermanfaat!

***

Ini bukan kaver final. Hehe.

10 Febuari 2010

Ibu Pejabat Agensi Perisikan Pusat (CIA), Langley, Virginia


TRETTT TRETTT TRETTT!

"Ya?"

"Tuan. Ejen Rosenberg di talian."

Seorang lelaki berusia awal 40-an memandang terus ke hadapan, seolah-olahnya dia sedang melihat langsung pegawai yang menyampaikan maklumat tersebut. Dahinya yang sudah sedia bergaris itu, berkerut lagi.

Ejen Elijah Bell; antara ejen terbaik CIA di lapangan, ditugaskan khas untuk mengetuai unit risikan di Timur Tengah. Dia hanya melapor kepada Pengarah CIA, menggambarkan betapa pentingnya posisinya ketika itu. 

"Sambungkan."

Elijah hanya perlu menunggu tidak sampai tiga saat sebelum taliannya dihubungkan. 

"Apa khabar Elijah? Sudah lama kita tidak berhubungan."

Suara lembut ejen perisikan Israel itu sayup-sayup sahaja. Dan terhenti-henti, diselang-seli dengan bunyi hembusan nafas. 

Elijah meneka yang sang ejen Mossad – Anna Rosenberg – masih lagi tidak meninggalkan tabiat merokoknya yang buruk itu.

"Baik-baik sahaja. Apa khabar Anna? Pasti kau ada berita baik untuk aku bukan?"

Elijah tahu yang Anna tersenyum di hujung talian, meskipun dia tidak dapat melihatnya.

"Kau memang tajam, Elijah. Sama seperti dahulu, tak pernah berubah!"

Kedengaran tawa kecil di talian Langley. Tawa yang dibuat-buat untuk mengambil hati.

"Katakan sahaja, Anna. Aku mendengar."

"Projek Helang Botak?"

"Ya?"

"Ejen kami sudah berjaya masuk."

Mata Elijah membundar. Dia seperti tidak percaya dengan berita yang baru didengarinya itu.

"Secepat itu?"

"Haha. Kau memang tak pernah berubah Elijah. Sentiasa memandang rendah kepada kami!"

Elijah tersenyum.

"Aku tak dapat nak ungkapkan, betapa gembiranya aku sekarang ini!"

Suara Anna terkekek ketawa memenuhi ruang talian untuk lima saat lamanya.

"Kau berhutang dengan aku segelas martini. Kita jumpa di Paris nanti."

Talian diputuskan.

Elijah menggeleng-gelengkan kepala. Masih tidak percaya.

Tetapi ia berita baik. Berita yang terlalu baik kerana baru semalam, dia melaporkan kepada Tuan Pengarah yang dia memerlukan sekurang-kurangnya 3 minggu lagi untuk menyusup masuk.

Elijah mengangkat gagang telefonnya. Dengan cermat dia menekan butang hijau pada telefonnya itu.

Sambil menunggu panggilannya diangkat, kepalanya ligat menyusun ayat. Dia tidak sabar mahu berkongsikan berita itu, pada masa yang sama tidak mahu dilihat tidak cekap kerana gagal memintas aktiviti Mossad. 

"Bell?"

"Tuan..."

***

Amacam? Boleh pergi jauh tak novel ini? Wahahaha.

Oh ya. Esok (Jumaat 24 November), Penerbitan Wahai! akan mula membuka pra-tempahan untuk novel ini. Pastikan anda menjadi pembeli yang terawal kerana mereka bakal memberikan banyak hadiah istimewa!

Nantikan sambungan yang seterusnya!

-gabbana-

Serius rasa sangat kekok menulis kembali di belog ini. Fuh!

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP