29 May 2015

Seorang Ukht Bernama Sakinah (Bahagian I)

[Kredit]
Langit pagi garang dengan warna ungu, merah dan biru pekatnya. Nun di ufuk timur, matahari sudah mula mahu bangkit dari lenanya yang panjang.

Ibu-ibu burung berkicau riang, tanda mereka penuh semangat mencari cacing seekor dua untuk diberi makan kepada anak-anak yang kelaparan di sarang. Makhluk tawakkal.

Sakinah menikmati suasana pagi yang nyaman itu sambil menyidai pakaian yang sudah siap dicuci. Dia berpuas hati apabila mendapati daki yang melekat pada kolar baju kemeja putih suaminya sudah berjaya ditanggalkan. Bukan dengan mesin basuh cap Elektrolak itu, tetapi dengan kudrat tangannya sendiri yang gigih menyental dan menggosok menggunakan berus baju plastik yang dibeli dari kedai Ah Meng.

Mulutnya terkumat-kamit membaca zikir-zikir maathurat. Itulah kebiasaannya setiap pagi dan petang. Suasana pagi yang benar-benar menenangkan menjadikan dia benar-benar dapat memaknai setiap bait zikir yang dibacanya. 

“Sesungguhnya kami terjaga di pagi hari dengan kesedaran bahawa Kerajaan (bumi dan segala isinya) ini seluruhnya adalah milik Allah. Dan segala puji bagi Allah, tiada sekutu baginya tiada Tuhan selain Dia dan kepada-Nya kami akan dibangkitkan.” 

Kedengaran gril besi pintu rumahnya terkuak. Sakinah tersenyum. Suaminya, Suhail, sudah bersedia untuk ke tempat kerja. 

“Abang dah makan roti ngan telur yang saya buat tu?” 

Sakinah bercakap tanpa memalingkan wajahnya. Macam sedang bercakap dengan baju kemeja suaminya pula. 

“Dah yang. Sedaaaapp!” 

Sakinah tertawa manja. 

“Eleh abang ni. Padahal roti sapu butter dengan telur hancur-hancur je pon. Tu karang sampai opis tu, mesti gi pekena nasi lemak pulak kan?” 

Tiba-tiba ada tangan yang merangkul pinggang Sakinah. 

“Kalau abang makan nasi lemak sambal kerang sekalipon, konfem takkan sesedap roti dan telur yang chenta hati abang buat!” 

Sakinah cepat-cepat menolak tangan Suhail. Perlahan dan manja. 

“Ish abang ni! Jiran nampak nanti!” 

Suhail tergelak melihat kecuakan Sakinah. Dia lantas membantu isterinya menyelesaikan jemuran. Usai semua pakaian disidai, dia menekan alat kawalan jauh Vios hitamnya, bersedia untuk ke kantor. 

“Abang balik tak malam ni? Ke terus pergi usrah?” 

Suhail memberikan senyuman penuh makna. 

“Eh mestilah balik. Wajib makan masakan Chef Sakinah sayang abang ni. Baru bertenaga dan semangat nak berusrah! Hehe.” 

Sakinah tersipu-sipu. Suhail memang pandai membodek. Dan Sakinah tidak pernah kisah.

Suhail menghulurkan tangannya pada Sakinah. Sakinah segera menyambutnya dan menciumnya dengan penuh rasa hormat dan kasih. Suhail membalasnya dengan menhadiahkan kucupan pada dahi isterinya. 

“Hati-hati bang. Jangan lupa baca doa perjalanan.”

“InshaAllah. Assalamu a’laikum sayang.”

“A’laikumussalam warah matullah.” 

Sakinah mengekor Vios hitam suaminya sehinggalah ia melepasi pintu pagar rumah teres setingkat yang disewa mereka. Matanya terus melirih pada kereta yang dipandu suaminya itu sehinggalah ia hilang dari pandangan. Sakinah segera menutup pintu pagar besi yang sudah buruk berkarat itu.

Sakinah tersenyum sendiri. Dia bahagia. Benar-benar bahagia.

Begitulah rutin kehidupan Sakinah hampir setiap hari selepas berkahwin dengan Suhail. Perkahwinan yang baru mencecah usia tujuh bulan.

Sebelum bernikah dengan Suhail, Sakinah tidak pernah ada hubungan dengan mana-mana lelaki ajnabi. Dibesarkan di dalam keluarga yang amat menitikberatkan soal agama, bercakap biasa-biasa dengan mana-mana budak lelaki pon sudah dikira sebagai jenayah besar. Apatah lagi berkapel bercanda mesra, konfem ayahnya akan mengejarnya dengan parang panjang warisan tujuh keturunan keliling taman perumahan. Eeeyy seram Sakinah apabila memikirkannya!

Kesemua tujuh orang anak-anak Tuan Haji Ismi dan Puan Hajah Safiyah berjaya dibesarkan dengan cemerlang sekali. Saufi, abang Sakinah yang sulung, seorang hafiz kini bertugas sebagai penasihat syariah di sebuah bank terulung di ibu negara. Abang keduanya, Safri, meskipon dahulu semasa di maahad tahfiz seorang yang nakal dan gila-gila menyebabkan dia gagal menghabiskan hafalannya, kini sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang doktor falsafah khusus pada pengkajian sejarah Islam.

Kakaknya yang ketiga, Sumayyah pula adalah seorang doktor perubatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. Dahulu Sumayyah belajar perubatan di Mesir selepas mendapat kelulusan mumtaz dalam sijil tinggi agama. Yang keempat, abangnya Sobri adalah seorang editor dan kolumnis majalah agama yang tersohor, Muassis. Kadangkala Sobri membuat kerja-kerja freelance untuk stesen televisyen tempatan, Al-Ansar.

Yang kelima, Sakinah, bakal menjadi seorang ustazah selepas menamatkan Ijazah Sarjana di dalam pengajian Islam dari UKM. Yang kelima Solehah, seorang hafizah, sedang melanjutkan pelajaran di dalam bidang ekonomi di London School of Economics dan yang bongsu, Syurabil, masih lagi di Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah, Kelantan.

Peh. Kiranya memang Islami habislah keluarga Tuan Haji Ismi dan Puan Hajjah Safiyah ni! Sejuk lah mata memandang. Sesiapa sahaja yang mengenali keluarga ini pasti akan berasa cemburu dengan produk-produk berjaya keluarga Tuan Haji Ismi. Bukan sekali dua kisah keluarga Tuan Haji Ismi dan Puan Hajjah Safiyah dimuatkan di majalah-majalah bertemakan Islam atau keluarga. Keluar rancangan televisyen pon pernah. Mujur tak keluar dalam Melodi sahaja.

Sakinah sudah mengenal tarbiyah sejak kecil lagi, sementelah kedua-dua orang tuanya juga aktif dalam gerakan tarbiyah dan dakwah. Keluarga ikhwah akhawatlah senang cakap. Perkataan tarbiyah dan dakwah pada Sakinah, ibaratnya seperti Marmite dan fish and chips pada Delilah di England sana. Wah!

Sakinah dipertemukan dengan Suhail melalui proses Baitul Muslim. Maknanya, Sakinah kena isi borang, diberi borang Suhail, setuju untuk taaruf, taaruf, istikharah kemudian buat keputusan sama ada mahu menjadi isteri Suhail atau tidak. Sakinah ada kebebasan itu. Dia tidak dipaksa. Tiada siapa yang mengugut Sakinah untuk bernikah dengan Suhail. Semuanya terletak pada tangan Sakinah, dengan taufik dan hidayah dari Allah.

Sakinah rasa sejahtera ketika membuat keputusan untuk bersetuju menjadi isteri kepaada Suhail. Dia rasa tenang. Dia rasa Allah ada bersama-samanya ketika membuat keputusan itu. Dan dia dapat merasakan itulah keputusan terbaik yang pernah dibuatnya sepanjang hayatnya.

Maka pada dua belas hari bulan dua belas dua ribu dua belas, sahlah Sakinah binti Ismi menjadi isteri kepada Ahmad Suhail bin Lebai Mat dengan mas kahwin berupa senaskhah quran prakata dan sehelai sejadah tenunan Turki. Terketar-ketar tangan Sakinah ketika Suhail mahu menyarungkan cincin emas putih bertakhtakan berlian pada jari Sakinah. Berpeluh-peluh dahinya ketika mahu bersalaman dengan Suhail. Itulah pertama kali dalam hidupnya dia memegang tangan lelaki yang bukan dalam kalangan ahli keluarga sedarah dan sedaging. Suhail hanya tertawa melihat keletah Sakinah. Walhal dia juga boleh tahan cemas ketika itu!

Majlis walimatul ‘urus Sakinah dan Suhail dilaksanakan dengan penuh sederhana di rumah banglo dua tingkat milik Tuan Haji Ismi. Ruang tamu dihias cantik dengan kerusi panjang sebagai ganti kepada pelamin. Beberapa buah khemah didirikan di sekitar dan sekeliling rumah sebagai tempat para jemputan menjamu selera. Yang paling menonjol adalah pintu gerbang yang tertulis dengan ‘SS’ sebagai simbol ikatan chenta Sakinah dan Suhail. So sweet. Sayang selamanya. Superb sangat. Ah apa-apa lah.

Bukan Tuan Haji Ismi tak mampu untuk berikan majlis yang gilang-gemilang untuk Sakinah. Kalau nak tempah satu hotel pon lebih dari mampu. Tapi itu bukan cara Tuan Haji Ismi. Dan dia yakin, itu bukan juga cara yang dianjurkan Islam. Cukuplah sekadar membuat majlis untuk menguar-uarkan pernikahan anak gadisnya itu. Tuan Haji Ismi malah menjemput anak-anak yatim daripada beberapa buah rumah anak yatim untuk memeriahkan lagi majlis perkahwinan Sakinah dan Suhail.

Awal-awal dahulu, mereka tinggal di rumah Tuan Haji Ismi, sementara Sakinah mahu menyudahkan tesis Ijazah Sarjananya. Selepas itu, mereka berpindah ke rumah sewa yang akan lebih memudahkan Suhail untuk ke tempat kerja. Walaupon berat Sakinah mahu meninggalkan rumah tempat dia membesar, Sameon kucing Parsi gebunya dan Wildati bibik yang telah bersama-sama dengan keluarganya sejak dia kecil lagi, dia tahu itu adalah yang terbaik untuk dirinya dan al-baitul muslim yang didirikannya. Sampai bila dia mahu duduk di bawah ketiak abi dan umminya kan?

Mula-mula memang mencabar. Sungguh mencabar. Ada sahaja yang tidak kena. Tinggal berdualah katakan, tiada orang ketiga yang mahu mendamaikan. Selipar yang tidak bersusun. Lantai yang berhabuk. Rak yang berdebu. Pinggan yang tidak bercuci. Sampah yang tidak dibuang. Ada sahaja sebab untuk bergeser. Ada sahaja alasan untuk bertelingkah. Syaitan memang sentiasa ada, menunggu-nunggu di balik pintu dan belakang jamban, menanti-nanti peluang untuk membisikkan api permusuhan dan badai pergaduhan.

Namun kesabaran Suhail banyak menyelamatkan keadaan dan mengendurkan ketegangan. Suhail yang banyak mengalah dalam banyak keadaan. Ada berguna juga dia berguru dengan ramai ikhwah yang sudah berBM beberapa minggu sebelum mengikat tali pernikahan dengan Sakinah. Lain ikhwah, lain tips dan nasihat yang diberikan. Namun ada satu nasihat yang sama yang dititipkan oleh semua ikhwah yang ditemukannya; banyakkan bersabar. Dan itu jugalah yang selalu dia praktikkan. Alhamdulillah ia berkesan.

Lama-kelamaan, bibit-bibit kemesraan antara Sakinah dan Suhail itu mula muncul. Taaruf yang mendalam antara mereka melahirkan persefahaman yang jitu. Dan persefahaman yang jitu pula akan menatijahkan kasih-sayang dan rasa chenta yang tulus dan mulus. Ewah.

Keputusan untuk tinggal berasingan dari keluarga Sakinah adalah keputusan yang tepat sekali sementelah ia menjadikan mereka lebih berdikari dan untuk itu, mereka perlu saling membantu dan mempercayai.

Kemesraan dan kebahagiaan rumah tangga yang dibina semakin terasa hangatnya apabila Sakinah kini mengandungkan anak mereka yang pertama. Janin yang baharu berusia 2 bulan setengah itu merapatkan lagi hubungan mama dan papanya. Bakal anak yang belum diketahui jantinanya itu telah mengukuhkan lagi ikatan janji setia antara Sakinah dan Suhail dan menjadikan mereka lebih memaknai erti sebuah al-baitul muslim.

***

Sakinah senang menjadi suri rumah tangga begitu. Dia punya banyak masa lapang untuk dimanfaatkan. Sama ada untuk kerja-kerja rumah atau hal-hal peribadi seperti membaca atau berjumpa dengan akhawat dan hadek-hadek kesayangannya. Dia merasakan rumah tangganya lebih terurus apabila dia tidak bekerja. Pakaian tidaklah berlonggok tidak bercuci dan berjemur. Rumah sentiasa kemas dan bersih. Dan yang paling penting, dia dapat memasak hidangan untuk dijamah suaminya yang terchenta.

Sakinah bolehlah dikira sebagai seorang wanita tradisional yang terperangkap di dalam kehidupan dunia yang moden. Ketika ramai wanita di luar sana yang sibuk mahu menaiki tangga korporat dan menjadi usahawan berjaya, Sakinah lebih senang duduk di rumah menjadi isteri yang menguruskan hal ehwal rumah tangga. 

Dia malah sedang berkira-kira mahu terima atau tidak apabila ditawarkan tempat mengajar nanti. Apatah lagi dia kini sedang berbadan dua. Apa-apa pon pandangan Suhail tetap akan dijadikan panduan utama. Entah mengapa sejak bernikah, segala-galanya mesti mahu dirujuk pada suaminya itu. Hatta soal nak beli beras jenama apa dan telur gred apa pon mahu dirujuk pada Suhail. Dia seperti tidak boleh hidup tanpa Suhail. Suhail adalah segala-galanya buat Sakinah. Kadang-kadang rimas juga Suhail dibuatnya. 

Hari ni aku nak masak lala sweet sour lah. Suhail mesti suka!

Sakinah tersenyum sendiri. Suhail adalah seorang lelaki yang sangat manis orangnya. Dia tidak pernah mengeluh akan perihal masakan Sakinah. Dia sentiasa memuji dan menghargai apa sahaja air tangan Sakinah.

Suhail juga kuat mengusik. Ada sahaja gurauan dan senda-guraunya. Ada sahaja serprais yang dibuatnya. Otaknya memang licik dan bergeliga. Pernah suatu hari ketika sedang makan, Suhail buat muka seolah-olah ada rasa yang pelik di dalam mulutnya. Apabila Sakinah bertanyakan apa yang tidak kena, Suhail mengajak Sakinah untuk merasakannya sendiri. Rupa-rupanya Suhail hanya mahu menyuapkan makanan pada mulut isterinya itu!

Ah manis!

Sakinah paling ingat usikan manja Suhail yang satu ini. Sakinah pernah bertanyakan pada Suhail, apa yang menyebabkan Suhail bersetuju untuk bertaaruf dengannya semasa proses BM dahulu. Jawapan Suhail? 

"Entah. Mungkin sebab sebelum tu setiap kali dalam sujud atau selepas solat, abang selalu berdoa, 'Ya Allah, Kau kurniakanlah aku dengan seorang isteri yang bakal memberikan sakinah dan mawaddah ke dalam kehidupanku.' Tengok-tengok betul-betul Allah hantar Sakinah dalam borang BM tu. Abang pon apa lagi, setuju je lah! Hehe."

Sakinah sangat bersyukur Allah telah mempertemukannya dengan Suhail. Dia merasakan Suhail benar-benar melengkapkan dirinya. Seolah-olahnya hidup Sakinah sebelum itu tidak sempurna sehinggalah Suhail hadir di dalam hidupnya. 

Terima kasih Allah. Terima kasih, untuk nikmat-Mu ini. 

bersambung...

-gabbana-

Nama dan watak-watak di dalam cerpen ini tiada kena-mengena dengan yang hidup atau yang mati. Ia hanyalah rekayasa dan imaginasi penulis yang gila-gila dan kadangkala gila. Eh. 

19 May 2015

Ukhuwwah Dahsyat Yang Luar Biasa

[Kredit]

Sekiranya saya berbicara tentang itsar (Baca: Ith-sar) yakni tingkatan tertinggi* di dalam ukhuwwah itu, pasti akan kisah yang femes ini pertama sekali yang akan menerjah minda anda.

*Imam Hasan al-Banna membahagikan tahapan ukhuwwah kepada tiga- tahapan pertama yakni yang paling asas adalah salamatus sadr (berlapang dada); tahapan kedua adalah musawah iaitu menchentai orang lain sepertimana menchentai diri sendiri dan tahapan tertinggi, itsar, melebihkan orang lain berbanding diri sendiri.

Ya, kisah tiga orang sahabat ridhwanu ‘alaih yang di ambang syahid di dalam peperangan Yarmuk. Kisahnya seperti yang diulang tayang kepada kita tanpa rasa bosan dan jemu, menceritakan bagaimana seorang pembawa air (ala-ala PBSM kot) mendekati seorang perajurit yang cedera parah untuk diberi minum. Ketika perajurit itu mendekatkan bibirnya pada muncung bekas air, dia terpandang kepada seorang sahabat lain yang juga ketika itu cedera parah.

(Untuk mengelakkan kekeliruan, kita namakan mereka ini sahabat Aliff, Baa dan Taa.)

Maka sang sahabat A yang mulia menyuruh si pembawa air memberi minum kepada sahabatnya B, atas dasar ukhuwwah bunga daffodil mekar di taman yang suci. Si pembawa minum akur. Ketika dia sampai kepada sahabat B dan mahu memberinya minum, sahabat B terpandang pula sahabat C yang ketika itu juga sedang terlantar kesakitan, cedera parah akibat luka-luka peperangan. Maka sahabat B dengan penuh ihsan dan kasih meminta si pembawa air menyegerakan urusan untuk memberi minum kepada sahabat C yang dirasakannya lebih layak dan memerlukan.

Arakian berlarilah si pembawa minum kepada sahabat C, hanya untuk mendapati sang sahabat telah pon syahid menemuiNya. Lantas bergegaslah si pembawa minum ke sahabat A, sahabat yang mula-mula tadi, juga mendapati sahabat A telah pergi meninggalkan bumi yang fana’ ini. Dan ketika si pembawa air berlari-lari untuk mendapatkan sahabat B pula, dengan harapan masih sempat untuk memberinya minum, dia juga bersaksi bahawa sahabat B telah kembali ke pangkuanNya yang Maha Kasih lagi Maha Chenta.

Menurut riwayat Ibnu Sa’ad dalam ath-Thabaqat** dan Ibnu Abdil Barr dalam at-Tamhid, tiga orang sahabat bertaraf Super Saiya ini adalah Ikrimah bin Abu Jahal, Harits bin Hisyam dan Suhail bin Amr radiyallahu anhum ajma’in. Sungguh mereka redha dengan Allah dan Allah juga redha dengan mereka.

**Ibnu Sa’ad menyebut Ayyash bin Abi Rabi’ah sebagai ganti kepada Suhail bin Amr

Inilah kisah ukhuwwah lejen yang seringkali sampai ke telinga kita dalam membicarakan betapa para sahabat ini sangat menchentai saudara-saudaranya yang lain sehinggakan mendahulukan mereka berbanding dengan keperluan dan kepentingan sendiri.

Namun ada sesuatu yang lebih dahsyat daripada sekadar mengetahui pengorbanan mereka yang mendahulukan antara satu sama lain dek rasa chenta agung keranaNya. Fakta yang sekiranya kita benar-benar hayati pasti akan membuatkan kita ternganga. Hakikah yang andai kita Imani dan fahami, akan menjadikan kita lebih memaknai kisah itsar ini.

Kerana ia kisah yang benar-benar luar biasa.

Sekiranya anda perhatikan dan kaji ketiga-tiga sahabat itu – Ikrimah, Harits dan Suhail – anda akan dapati satu persamaan yang cukup ketara antara ketiga-tiga orang ini.

Ha, cuba teka apakah persamaan mereka ini.

Op op, tak aci lah buka buku seerah. Benda ni patutnya anda dah belajar masa sekolah menengah dulu. Pendidikan Islam skor ‘A’ kan? Eheh.

Kalau anda perasan, ketiga-tiga sahabat ini adalah antara mereka yang lewat memeluk Islam. Ketiga-tiganya menerima Islam selepas pembukaan kota Mekah, kira-kira 22 tahun selepas Nabi diutuskan.

Nah, apa signifikannya fakta ini?

Ikrimah, Harits dan Suhail masing-masing mempunyai kurang lebih setahun bersama-sama dengan Nabi SAW sebagai umat Islam. Mereka jauh tertinggal ke belakang dari segi tarbiyah langsung dari baginda jika mahu dibandingkan dengan para sahabat yang lainnya.

Namun ini tidak menjadikan mereka lelah dan lemah. Hal ini tidaklah menjadikan mereka putus semangat dan putus asa dalam berlumba-lumba di dalam kebaikan. Malah hakikat yang amat pahit untuk mereka telan itu, suatu perkara yang mereka sentiasa sesali selepas keIslaman mereka, menjadikan mereka lebih bersemangat dan bersungguh-sungguh untuk mengejar dari belakang.

“Sungguh, andai gunung-gunung di Makkah berubah menjadi emas dan aku sedekahkan semuanya di jalan Allah,” seperti yang pernah dinukilkan oleh Harits bin Hisyam, “Itu tidaklah sebanding dengan satu hari dari hari-hari mereka. Kalau mereka telah mendahului kami di dunia, maka kami harus berusaha menyamai mereka di akhirat.” 

Melihat kepada latar belakang dan sejarah ketiga-tiga sosok ini akan menjadikan kita lebih kagum lagi.

Ikrimah, bersama-sama dengan ayahnya, Abu Jahal, adalah antara penentang utama Rasulullah SAW dan risalah yang dibawa. Meskipon sudah tewas di dalam empat perang (Badar, Uhud, Khandaq dan Fathul Mekah), hal itu tetap tidak dapat melembutkan hatinya untuk menerima Islam. Malah sehingga kota Mekah ditawan dan dibebaskan oleh umat Islam, Ikrimah masih lagi dianggap sebagai musuh numero uno kepada Islam sehinggakan dia termasuk dalam wanted list yang wajib dibunuh sekiranya dijumpai. Begitulah tebalnya kebencian Ikrimah pada Rasulullah SAW dan seruan yang dibawa.

Harits bin Hisyam juga antara pembesar Quraisy yang tegar menentang Islam. Ketika pembebasan kota Mekah oleh umat Islam, dia terpaksa memohon perlindungan dari Ummu Hani’, agar tidak dibunuh oleh umat Islam. Malah sesudah itu pon, dia masih lagi di dalam keangkuhannya, tidak dapat menerima hakikat bahawa taghut dan kufar telah berjaya ditewaskan.

Suhail bin Amr pula, adalah insan yang bertanggungjawab untuk berunding dengan Nabi SAW dalam peristiwa Hudaibiyah, di mana dia dengan tegas dan degilnya tidak mahu perjanjian yang bakal dimeterai itu ditulis dengan nama Allah yang Ar-Rahman dan Ar-Rahim. Dia juga tidak mahu perjanjian itu ditulis Muhammad SAW sebagai Rasulullah. Hampir-hampir sahaja dia kehilangan nyawa di tangan para sahabat dek kedegilan dan kejelikannya. Begitulah hebat dan tegarnya kebencian dan permusuhannya dengan Islam, sementelah kedua-dua anak lelaki kesayangannya, Abdullah dan Abu Jandal juga sudah memeluk Islam.

Ya, ketiga-tiga orang ini pernah menjadi musuh yang tegar kepada Islam. Ketika ramai dalam kalangan kenalan, sahabat dan ahli keluarga sudah pon berbondong-bondong memeluk Islam, mereka masih di takuk yang lama, terus berdegil, tidak mahu berganjak dari kesesatan dan kekufuran mereka. Sehingga ke hujungnya, mereka masih tegar menjadi penentang dan musuh kepada Islam.

Mujur sahaja mereka sempat ditampar Makcik Hidayah sebelum Malaikatul Maut yang menampar. Sejarah telah pon menjadi saksi, betapa mereka menjadi sebaik-baik manusia selepas keIslaman mereka. Benarlah hadith Nabi SAW:

“Manusia itu ibarat logam; baiknya semasa jahiliyyah, baik juga semasa Islam, sekiranya mereka faham.”

[Hadith riwayat Bukhari]

Keimanan mereka sesudah Islam tidak dapat diragukan lagi. Kesungguhan mereka dalam melaksanakan syariat Islam tidak wajar dipersoalkan. Dan komitmen mereka dalam menegakkan Islam dan menyebarkan risalah suci sudah ternoktah di dalam sejarah.

“Demi Allah, ya Rasulullah, aku akan mengorbankan hartaku di jalan Allah, dua kali lebih banyak daripada harta yang kupakai untuk menghalangimu di jalan Allah sebelum ini,” kata Ikrimah sebagai tanda penyesalannya menjadi penentang nombor satu Islam suatu ketika dahulu. “Dan aku akan berperang di jalan Allah, dua kali lebih banyak daripada peperangan yang telah aku lakukan untuk menghalangimu di jalan Allah sebelum ini.” 

Maka apa yang berlaku di Yarmuk wajar sekali membuatkan kita kagum tahap Otromen Taro. Apa yang disaksikan di Yarmuk adalah sesuatu yang sukar sekali diterima oleh akal biasa. Dan apa yang dirakamkan di Yarmuk adalah sesuatu yang bisa membuatkan kita jatuh kerusi berkali-kali.

Yarmuk menjadi bukti bahawa sesiapa sahaja boleh meraih keredhaanNya asalkan punya keikhlasan dan kesungguhan.

Yarmuk menjadi saksi sejarah dan latar belakang seseorang itu tidak boleh dijadikan hujah untuk menilai masa depannya.

Yarmuk menjadi pentas kepada pengorbanan manusia-manusia Super Saiya yang dahulunya pernah menjadi musuh tegar kepada Islam.

Yarmuk menjadi kanvas yang mengabdikan ukhuwwah sejati yang lebih pekat dari darah, yang lebih utuh dari

Dan Yarmuk menjadi pita perakam yang akan terus-menerus memainkan gambaran kehidupan kepada kita makna itsar dalam erti katanya yang sebenar!

Ini sumpah epik!

Dari Ikrimah, Harits dan Suhail kita belajar bahawa sejahat mana pon kita, kejahatan kita tidak mungkin dapat mengalahkan kasih sayang dan rahmat Allah.

Dari Ikrimah, Harits dan Suhail, kita belajar bahawa tidak ada istilah terlalu lambat untuk kita berubah dan mengejar pelangi bahagia.

Dari Ikrimah, Harits dan Suhail kita belajar memaknai kata “Every saint has a past and every sinner has a future.”

Dari Ikrimah, Harits dan Suhail kita belajar kadangkala perubahan diri selepas terjatuh ke dalam lubang yang paling dalam dan hitam adalah lebih manis dan bermakna.

Dari Ikrimah, Harits dan Suhail kita belajar memaknai erti pengorbanan sehingga ke hujung nyawa.

Dan dari Ikrimah, Harits dan Suhail kita belajar memaknai ukhuwwah yang benar-benar luar biasa, penuh dengan chenta keranaNya.

Ini dahsyat. Ini benar-benar dahsyat!

-gabbana- 

6 May 2015

Tuhan Juga Pandai Berkias

[Kredit]

Masyarakat Melayu kita memang terkenal dengan sopan santun dan budi pekertinya sejak zaman-berzaman. Walaupon keluhuran budi pekerti ini semakin terhakis dalam kalangan anak-anak muda pada hari ini, amalan-amalan seperti membongkokkan badan ketika berjalan di hadapan orang yang lebih tua, tidak berkeliaran terpekik terlolong di waktu Maghrib, membasuh kaki sebelum tidur dan buat-buat tersipu-sipu malu apabila ditegur oleh kenalan berlainan jantina, err, masih lagi diamalkan oleh kebanyakan daripada mereka yang tertera perkataan ‘Melayu’ pada kad pengenalan mereka.

Antara amalan tradisi yang masih lagi diamalkan sehingga ke hari ini adalah berkias, atau dalam bahasa yang lebih mudah untuk difahami, kata berlapik. Atau dalam bahasa indienya, tak reti nak cakap straight forward. Eheh.

Tujuan berkias ini boleh jadi kerana mahu menyindir atau sarkastik la senang cakap. Ye lah, nak cakap terus-terang, takut ada pula parang atau pinggan yang terbang melayang. Tapi boleh jadi juga berkias ini terbit dari rasa malu yang teramat, penuh dengan budi pekerti dan ketatasusilaan tahap maharaja Tibet. Eh. Kiranya memang benar-benar ikhlas mahu berkias hanya kerana tidak mahu mengecilkan hati sesiapa. Ha itulah dia orang Melayu.

Mari kita lihat beberapa contoh kiasan yang femes dan sering digunakan dalam kalangan masyarakat Melayu hari ini dan maksudnya yang sebenar.

Kata kiasan 1
“Eh nampak kau dah makin berisi la sejak kahwin ni. Wah semakin bahagia!"

Maksud sebenar
“Wey apsal kau dah makin gemok sekarang ni?"


Kata kiasan 2
*sniff sniff* “Eh hang ada bau apa-apa yang busuk tak? Tadi takdak pon bau ni." 

Maksud sebenar
“Ya Allah busuknyaaa hang kentottttt! Tadi takdak pon, hang mai teroih berbau! Kuajaqqq!"


Kata kiasan 3
“Wow awak. Putih berseri la muka awak sekarang ni. Apa rahsianya?"

Maksud sebenar
“Err awak, kenapa tebal sangat bedak awak pakai tu? Dah macam tepung gomak!"


Kata kiasan 4
“Pakcik dah pencen kan? Duit kat Tabung Haji pon dah cukup kan? Ha dah boleh naik haji dah tu."

Maksud sebenar
“Pakcik, rumah kata pergi, kubur kata mari. Pakcik dok sibok berjoli, tak reti-reti nak pergi haji?"


Kata kiasan 5
“Eh Datin, jom singgah kedai Tudung People tu sekejap. I nak beli tudung lah, tudung dia lawa-lawa!"

Maksud sebenar
“Datin you bila nak pakai tudung?"


Kata kiasan 6
“Pandulah berhati-hati. Ingatlah orang yang tersayang."

Maksud sebenar
“Oiii bawa keta elok-elok boleh tak?? Kau ingat jalan ni bapak kau punya ke??"


Kata kiasan 7
“Berapa batang rokok hang isap sehari? Terer ah hang!"

Maksud sebenar
“Baguslah hang isap rokok banyak-banyak, awet muda. Sebab hang nanti mati cepat, tak sempat nak tua!"


Kata kiasan 8
“Eh bang kedai popkon tu kedai baru ke? Ayang tak perasan pulak sebelum ni."

Maksud sebenar
“Bang tolong belikan popkon perisa karamel tu sekotak. Saiz L ye!"


Kata kiasan 9
“Chill la Mat, dapat C je pon untuk subjek BM kau tu. Nanti dah kerja bukan nak guna sangat pon."

Maksud sebenar
“Kahkahkah kau dapat C mat..?? Apa ke bengap sangat kau niii?? Namanya orang Melayu tapi BM dapat C! Kahkahkah!"


Kata kiasan 10
“Waaah Mah cantik la baju kurung kau ni! Kau tempah kat mana? Beli kain kat mana?"

Maksud sebenar
“Cantik Mah baju kurung kau ni, sama cantik dengan langsir aku. Eheh."

Wahahaha. Begitulah sedikit sebanyak kata-kata kiasan yang sering kedengaran dalam masyakarat kita. Saya pasti dalam kepala otak anda sekarang ini sedang menderu-deru idea kata-kata kiasan yang lainnya. Bab menganjing kau orang memang terer.

Nah tahukah anda Allah juga berkias? Dan kiasan Allah itu seringkali lebih pedas dan menggugah jiwa hingga ke sudutnya yang paling dalam?

Tidak percaya?

Kata kiasan tambahan 
“Ok tidak mengapa. Jom kita baca Quran sama-sama dan saya akan kongsikan dengan anda betapa indah dan masyuknya mentadabbur Quran itu." 

Maksud sebenar
“Hampa ni tak pernah baca Quran ka? Pffftt!" 

Kekeke. Jom sama-sama buka dan tadabbur Quran. Saya gelarkan ayat-ayat chentaNya yang penuh dengan kiasan ini sebagai ayat kiasan rabbani. Senyum.

Dah ada wudhu'? Dah ada Quran poket/zip/diari/perkata di tangan? Jom!

Ayat kiasan rabbani 1
“Apakah orang yang merangkak dengan wajah terlungkup yang lebih terpimpin ataukah orang yang berjalan tegap di atas jalan yang lurus?”
[al-Mulk, 67:22]

Maksud sebenar
“Siapakah orang yang patut anda jadikan contoh tauladan? Siapakah orang yang sepatutnya menjadi ikutan? Orang yang beriman yang mendapat hidayah dan petunjuk dari Allah, atau orang fasiq dan kafir yang sudah tersesat jauh?" 


Ayat kiasan rabbani 2
“Mengapa kamu (berbuat demikian)? Bagaimana kamu mengambil keputusan?

Atau apakah kamu mempunyai kitab (yang diturunkan Allah) yang kamu pelajari?”
[al-Qalam, 68:36-37]

Maksud sebenar
“Kau orang ni ada kitab sendiri ke yang turun dari langit, yang buat kau orang degil sangat ni? Kau orang dapat wahyu macam Nabi ke yang kau orang memandai buat kepala sendiri ni?"


Ayat kiasan rabbani 3
“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah kamu Aku tunjukkan suatu perdagangan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih?”
[as-Saff, 61:10]

Maksud sebenar
“Hang takmau masuk neraka kan? Hang mau dak Allah tunjukkan cara untuk elak diri dari neraka? Kalau hang takmau, memang rugi bak hang!"


Ayat kiasan rabbani 4
“Apakah manusia mengira, dia akan dibiarkan begitu sahaja (tanpa pertanggungjawaban)?”
[al-Qiyamah, 75:36]

Maksud sebenar
“Apa anda ingat anda boleh buat sesuka hati anda dan terlepas begitu sahaja? Dalam mimpi anda sahajalah!"


Ayat kiasan rabbani 5
“Maka jika kamu punya tipu daya, maka lakukanlah (tipu daya) itu terhadapKu.”
[al-Mursalat, 77:39]

Maksud sebenar
“Ok kalau kau hebat sangat, terer sangat, nah, cubalah permainkan Allah! Cubalah larikan diri dari azab Allah!"


Ayat kiasan rabbani 6
“Maka kemanakah kamu akan pergi?”
[at-Takwir, 81:26]

Maksud sebenar
“Hang nak lari mana? Dah takde tempat nak lari dah! Game over beb!"


Ayat kiasan rabbani 7
“…sampaikanlah kepada mereka khabar gembira iaitu azab yang pedih.”
[ali-Imraan, 3:21]

Maksud sebenar
(Yang ini rasanya tak perlu dah beritahu maksud sebenar. Sarkastik habis!)


Ayat kiasan rabbani 8 
“Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?”
[ar-Rahman, 55:13]

Maksud sebenar
“Oksigen Allah dah bagi free. Tinggal kat muka bumi pon free. Macam-macam nikmat yang Allah dah bagi. Dah, tak reti-reti lagi ke nak jadi hamba Allah yang bersyukur?"


Ayat kiasan rabbani 9
“Adakah ada di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang telah mati?”
[al-Hujuraat, 49:12]

Maksud sebenar
“Kalaulah bangkai ayam pon anda rasa nak termuntah nak makan, inikan pula bangkai mak, bapak, abang sulung, adik perempuan bongsu dan dua pupu anda kan? Ha macam tu lah jijiknya mengumpat ni!"


Ayat kiasan rabbani 10
“Pernahkah kamu memerhatikan air yang kamu minum? Kamukah yang menurunkannya dari awan atau Kami yang menurunkan? Sekiranya Kami mengkehendaki, nescaya kami menjadikannya masin; mengapa kamu tidak bersyukur?”
[al-Waqi’ah, 56:68-70]

Maksud sebenar
“Kalau benda sebasic air tu pon kau tak boleh nak buat sendiri, bayangkan lah benda-benda yang lain lagi, macam mata, darah, jantung, oksigen, nasi, kambing, ayam. Dah tu, susah sangat ke nak jadi hamba yang bersyukur?"

Peh. Kalau hati tu tak terasa macam kena hiris-hiris dengan pisau tajam lepas tu perah dengan limau nipis, tak tahulah. Paling koman pon rasa macam baru lepas potong bawang merah seguni.

Sentap bak hang!

Ada banyak lagi ayat-ayat kiasan rabbani di dalam al-Quran. Tapi cukuplah sepuluh ayat ini dahulu, bagi trailer dahulu. Moga menjadi motivasi untuk anda mencari lebih banyak ayat-ayat chentaNya yang penuh dengan ibrah dan hikmah!

Lihatlah, betapa Maha Lembutnya Allah, betapa kasih dan sayangnya Dia kepada kita, sehingga banyak ayat-ayat di dalam al-Quran berbentuk kiasan dan perumpamaan. Agar kita benar-benar merasakan ayat-ayat chentaNya itu penuh dengan pengajaran yang mendidik dan menghidupkan, bukan menghukum dan mematikan.

Tapi, kalau Quran pon tak pernah buka dan baca... Tak dapek eh den nak nolong!

"Dan sesungguhnya Kami telah menjelaskan berulang-ulang kali kepada manusia di dalam al-Quran ini dengan bermacam-macam perumpamaan. Tetapi manusia adalah memang yang paling banyak membantah."
[al-Kahfi, 18:54]

-gabbana-

Alhamdulillah, PBAKL 2015 yang lepas telah memberikan pelbagai pengalaman dan pengajaran yang betul-betul berguna. Saya semakin teruja untuk lebih bersungguh membangunkan genre indie Islamik ini, melihatkan potensinya yang sangat besar. Doakan agar perjuangan ini mendapat redhaNya!

Memfikrahkan indie, mengindiekan fikrah. Senyum. 

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP