24 February 2015

Perempuan Nan Sekarang

[Kredit]

Tulisan ini bukan tulisan seorang seksis. Bukan juga seorang chauvinis. Apatah lagi seorang ekstremis. Eh.

Tapi ia datang dari seorang hati lelaki yang punya seorang Puan Mama dan Cik Adik Perempuan, yang amat sayangkan ibu-ibu, kakak-kakak dan adik-adik perempuan saya di luar sana. Seorang lelaki ikhlas yang mengambil berat akan perihal dan kebajikan kaum Hawa.

Ehem.

Alkisahnya bermula pada minggu lepas, saya telah berkongsikan perbualan saya dengan seseorang menerusi mesej peribadi MukaBuku yang bertanyakan perihal perempuan yang suka menghaplod gambar-gambarnya di MukaBuku, Instagram dan sebagainya. Saya kongsikan perbualan itu dalam bentuk status di MukaBuku dan Pengicau saya.

Status itu berbunyi begini:

“Apa pandangan IG tentang perempuan yang suka haplod gambarnya di Insta, FB, etc?”

“Pada pandangan saya, mereka ni tak sesuai dibuat isteri. :3”

Nampak tak emotikon ‘:3’ yang sepatutnya menjadikan status itu lebih comel dan bersahaja?

Namun panas yang disangka sampai ke petang, rupa-rupanya hujan batu di tengah hari.

Maklum balas yang saya terima daripada status tersebut terutamanya dari kaum perempuan *koff koff* amat, err, mengerikan?

Maklum balas dan komen yang saya terima di Pengicau terutamanya, sedikit ganas dan boleh tahan dahsyat juga. Peluh besar.

Saya dituduh sebagai seksis, membuat generalisasi dan bermacam-macam lagi. Panas jugalah mata saya membacanya.

Namun saya tidak boleh menyalahkan sesiapa melainkan diri saya sendiri. Saya sewajarnya lebih berhati-hati dan sensitif dalam menulis sesuatu seperti itu, apatah lagi apabila ia melibatkan kaum perempuan yang ternyata mudah menjadi emo itu. Eh eh.  

Lantaran itu, saya telah mengeluarkan satu lagi status untuk mengendurkan keadaan. Saya jelaskan mengapa saya berkata begitu dengan dalil akal dan Quran. Alhamdulillah, status itu berjaya menyejukkan sedikit gunung-gunung berapi yang hampir meletus, meskipon masih ada yang bengkek dan tidak puas hati. Tidak mengapalah.

Maka ijinkan saya mengambil peluang di dalam penulisan ini untuk memberi penjelasan yang lebih mendalam dan meluas mungkin, dengan harapan ia dapat menghancurkan sangkaan-sangkaan yang ada, di samping berkongsi ilmu saya yang marhaen ini.

Baiklah. Tarik nafas.

Seperti yang kita tahu, kita sekarang ini sedang hidup di zaman yang penuh pancaroba dan fitnah Peah. Umat Islam terutamanya, berada di persimpangan peradaban manusia, tersepit antara mengekalkan jati diri muslim yang sebenar dengan cubaan untuk menyesuaikan diri dengan ketamadunan Barat (yang tidak bertamadun sebenarnya) yang tidak dapat dinafikan sedang menjadi ostad kepada dunia (Baca: Ustadziyatul Alam).

Serangan demi serangan untuk menjauhkan umat Islam daripada hidup dengan al-Quran dan as-Sunnah giat dijalankan sejak zaman berzaman. Wasiat Raja Loius IX di ambang kematiannya agar umat Islam tidak diperangi dengan senjata tapi sebaliknya dengan minda telah dipegang dengan kuat dan dilaksanakan dengan hebat sekali oleh musuh-musuh Islam.

Hari ini kita sendiri menjadi saksi bahawa serangan-serangan pemikiran (Baca: Ghazwul fikr) ini telah membuahkan hasil yang sekiranya Raja Louis bisa bangkit dari kuburnya, pasti dia sudah tertawa gembira penuh bahagia. Oh dengan syarat dia tidak diazab di kuburlah. Mengerikan.

Serangan-serangan pemikiran di abad ini lebih halus dan licik lagi. Laman-laman media sosial seperti MukaBuku, Instagram, Pengicau dan entah apa-apa lagi menjadi platform terbaik untuk musuh-musuh Islam ini mengasak dan membelasah minda dan jiwa pemuda-pemudi muslim sehingga mereka sendiri tidak perasan bahawa mereka telah kehilangan identiti.

Anda skeptikal dengan kenyataan saya ini?

Nah, apakah yang mendefinisikan seseorang itu kool atau tidak di zaman ini? Bukankah dengan berapa banyak kali statusnya di’SHARE’ di laman-laman media sosial?

Apakah yang menjadikan seseorang itu hensem atau cantik pada pandangan mata massa? Bukankah dengan berapa banyak LIKE yang diterima untuk gambar profailnya?

Apakah yang menjadi kesibukan dan perhatian sebahagian besar daripada anak-anak muda di zaman ini? Bukankah dengan menghabiskan masa-masa terluang untuk menatal garis masa MukaBuku dan Pengicau untuk gosip-gosip terkini dan mengekori (Baca: Stalk) artis idaman pojaan hati di akaun Instagram mereka?

Yang lebih menakutkan lagi adalah apabila ketaqwaan, kesolehan dan kewarakan seseorang itu juga diukur menerusi kepopularitian dan keglamoran di laman-laman media sosial. Ostad atau ostajah yang punya paling ramai pengikut dan paling banyak LIKE di laman peribadinya, ostad ostajah itulah yang paling harus diikuti dan ditaati. Alahai.

Tanpa kita sedar atau pon tidak, suka atau tidak, sedikit demi sedikit, jati diri kita tidak lagi dibentuk dan dicorakkan oleh tarbiyah Islam yang suatu ketika dahulu amat berpengaruh dalam kalangan masyarakat Melayu muslim. Identiti anak-anak muda pada hari ini digarap dan dibentuk oleh trend semasa dan perkembangan terkini di laman-laman media sosial, yang tidak dapat disanggah lagi berkiblatkan barat dan gaya hidup mereka.

Dan siapa yang mengawal dan menguasai laman-laman atau aplikasi media sosial ini? Tidak lain dan tidak bukan, musuh-musuh umat Islam sejak zaman berzaman; Nasara dan Yahudi!

Innalillahi wainnailaihi raji’un.

Lantas saya ingin bertanyakan kepada anda, terutamanya buat anda yang hobinya menghaplod gambar-gambar anda ke akaun Instagram, MukaBuku dan sebagainya itu; apa niat dan motif anda sebenarnya? Bagaimana anda menjaga hati dan perasaan anda apabila ramai lelaki dan jejaka yang mengLIKE gambar-gambar anda itu? Sekiranya anda tidak menutup aurat, atau berpakaian ketat, atau bergaya dengan gaya atau cara yang err, ‘merbahaya’ dan boleh menaikkan syahwat (saya yakin kenyataan ini bakal dihentam dengan rancaknya nanti), anda tidak takutkah anda mengutip saham-saham neraka dengan percuma? Hatta perempuan yang yang bertudung litup dan berpurdah sekalipon boleh sahaja menimbulkan fitnah, apatah lagi yang selain daripada itu. 

Dan jika anda mengatakan bahawa ia adalah untuk tujuan peribadi atau para pengikut anda (Baca: Followers) terdiri daripada kaum perempuan semata, apa jaminan bahawa gambar anda itu tidak akan tersebar? Apa jaminan anda bahawa dalam ramai-ramai pengikut anda itu, tidak ada seorang pon yang akan terlepas berkongsikan gambar anda itu pada yang lain? Sekiranya gambar itu anda jatuh pada tangan dan mata seorang lelaki ajnabi, bukan mahram anda, bagaimana pula?

Pernahkah anda terfikirkan semua itu?

Kerana itu, apabila ditanyakan kepada saya, apa pandangan saya terhadap perempuan yang suka menghaplod gambar-gambarnya di media sosial, tanpa perlu berfikir panjang, saya dengan selamba dan bersahajanya menjawab, “Mereka ni tak sesuai dibuat isteri”! 

Semuanya bertitik tolak pada ayat Quran yang satu ini:

“Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasan (auratnya) kecuali yang (biasa) terlihat. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya)…”
[an-Nuur, 24:31]

Nah, apa ciri-ciri wanita beriman itu? Menjaga pandangan dan kemaluan (kehormatannya) bukan? Tidak menampakkan perhiasan yang ada pada dirinya kecuali yang biasa dilihat bukan?

Alangkah baiknya andai ramai perempuan di luar sana sedar dan faham, bahawa kecantikan diri mereka yang sebenar itu tidak terletak pada rupa dan gaya, tapi pada kehormatan dan akhlak mereka yang mulia!

Sebagai jejaka yang ehem, berazam mahu menjadi beriman, sudah tentu saya mengimpikan seorang perempuan yang beriman juga untuk menjadi permaisuri yang bertakhta di jantung hati.

Muntah.

Perempuan yang tahu dan bersungguh menjaga kehormatannya dan menutup semua pintu-pintu syubhah yang ada. Sekiranya kehormatan diri sendiri pon tidak tahu dijaga dengan rapi dan teliti, apa jaminannya si isteri boleh menjaga kehormatan anak-anak dan suami?

Dan perempuan yang beriman itu sudah tentunya bukan seorang perempuan yang kerjanya berselpie dan dok tukar gambar profail dua puluh empat jam sehari! Wahai!

“Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias (tabarruj) dan (bertingkah laku) seperti orang-orang jahiliyyah dulu…”
[al-Ahzab, 33:33]

Inche gabbana seksis! Chauvinis! Dan suka buat generalisasi! Bukan semua perempuan begitu tahu??

Lailaha illallah. Itu bukan saya yang kata. Bukan saya mahu membentuk persepsi berat sebelah terhadap kaum Hawa. Bukan saya ni seorang lelaki yang jumud yang mahu mengawal dan mempengaruhi hidup wanita!

Tetapi itu kata-kata Allah. Itu wahyuNya yang disampaikan kepada ar-Rasul terchenta. Itu firmanNya yang maha tinggi dan mulia!

Dan tentang generalisasi, juga sudah saya terangkan dalam sebuah status berasingan. Betapa generalisasi itu malah adalah uslub yang digunakan di dalam al-Quran!

Apabila Allah menyebut wahai sekalian manusia atau wahai sekalian orang-orang beriman contohnya, dengan sifat-sifat dan perilaku yang tertentu, adakah Allah menyifatkan semua manusia atau semua orang-orang beriman dengan sifat begitu?

Dalam surah as-Saff ayat dua misalnya, Allah berfirman:

“Wahai orang-orang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?”
[as-Saff, 61:2]

Nah, adakah semua orang-orang beriman bercakap tidak serupa bikin? Tidak bukan?

Apa hikmahnya Allah membuat generalisasi sedemikian rupa? Agar yang sudah berbuat sedemikian segera bertaubat; dan agar mereka yang belum berbuat atau ada memasang niat, segera membatalkan hasrat!

Fuh.

Mungkin ada dalam kalangan anda yang pernah terdengar atau terbaca kisah seorang pemuda yang bakal mengahwini seorang perempuan yang dikatakan bisu, pekak dan buta. Pernah?

Bagaimana akhirnya pemuda itu mendapati, isteri yang sudah dinikahinya itu bukanlah bisu, pekak dan buta secara literal dan fizikalnya. Namun dia bisu kerana tidak pernah mengungkapkan sesuatu yang mungkar, pekak kerana tidak pernah mendengar sesuatu yang ingkar dan buta kerana sepanjang hayatnya, tidak pernah melihat maksiat. Subhanallah. Perkahwinan antara pemuda dan perempuan solehah itu akhirnya menghasilkan zuriat yang bukan setakat soleh, malah hebat dan musleh.

Mungkin kisah ini hanyalah rekaan dan tidak dapat diabsahkan kesahihannya. Namun pengajarannya tetap relevan dan boleh menjadi iktibar kepada kita semua.

Betapa buah yang baik dan harum, hanya boleh dihasilkan oleh benih-benih yang terbaik dan dijaga rapi. Betapa anak-anak yang soleh dan solehah itu, benihnya juga bermula dari sang bapa dan sang ibu yang menjaga adab dan perilakunya, akhlak dan budi pekertinya, sakhsiah dan tatasusilanya.

Apabila saya mengatakan “…mereka ni tak sesuai dibuat isteri,” ia adalah suatu saranan kepada para lelaki beriman di luar sana untuk berikhtiar sebaiknya untuk mencari bakal isteri yang bersungguh-sungguh menjaga kehormatannya. Ia bukan paksaan. Ia bukan arahan. Tetapi ia merupakan suatu pilihan.

Ia juga merupakan suatu nasihat buat semua kaum perempuan di luar sana, agar lebih berhati-hati dalam berikhtilat di alam maya. Sungguh, alam maya itu adalah suatu rimba yang cukup luas tanpa sempadan, yang penuh dengan binatang-binatang buas dan raksasa-raksasa ganas, yang menunggu masa dan peluang sahaja untuk menerkam dan membaham mangsanya. Lindungilah diri anda dan tutuplah pintu-pintu zina yang ada kerana sungguh, kita pada hari ni sedang hidup di dalam dunia yang penuh dengan kegilaan dan kerakusan.

Ia adalah suatu nasihat yang bunyinya mungkin nakal dan bersahaja, namun ikhlas dan tulus, kerana saya amat sayangkan anda semua selayaknya saudari-saudari seIslam saya.

Buat-buat batuk. [Kredit]

Kerana akhirnya, perempuan-perempuan yang baik itu selayaknya hanya untuk lelaki-lelaki yang baik. Dan lelaki-lelaki yang baik itu juga selayaknya hanya untuk perempuan-perempuan yang baik.

Senyum.

-gabbana-

Tulisan ini ditujukan buat semua kaum perempuan, tanpa ada sebarang diskriminasi atau kompromi. Tida kiralah yang free hari atau bertudung, bertudung bawal atau labuh, hijabista atau berpurdah.

Moga ada manfaatnya. Moga Allah redha.

Moga-moga.

11 February 2015

Sang Dai'e Yang Tertekan

[Kredit]

Anda pernah dengar lawak ‘tertekan’?

Saya pasti kebanyakan anda pernah mendengarinya. Jika belum, mari saya kongsikannya tetapi dalam bentuk yang sudah diubah agar mesra tarbiyah dan dakwah. Eheh.

Lawaknya lebih kurang begini.

Seorang abam bulatan gembira mengwaksep hadeknya setelah melihat ada panggilan yang dilakukan oleh hadek tersebut.

“Salaam! Kenapa call?”

Tidak lama selepas tu, hadek itu pon membalas waksep tersebut.

“Oh. Tertekan.”

Sedikit kaget kerana menyangkakan hadek kesayangannya itu sedang stress dan mengalami tekanan jiwa, si abam pon dengan penuh caring lagi kasih sayang terus bertanyakan perihal hadeknya itu.

“Tertekan? Kenapa ni? Anda ok ke? Meh la share. ;)”

“Takde apa la. Tertekan je.”

“Aih tak mungkin ‘tertekan je’. Kalau anda kongsikan, manalah tahu saya boleh tolong selesaikan.”

“Takde apa bang. Seriyes. Tertekan je tadi.”

Masih tak berpuas hati dengan jawapan hadeknya itu, si abam terus mendesak si hadek agar bercerita kepadanya.

“Anda, anda tahu tak, berkongsi tu adalah langkah pertama dan paling asas untuk menyelesaikan sesuatu masalah? Walaupon saya mungkin tak dapat nak bantu anda untuk menyelesaikannya, tapi once anda dah berkongsi, inshaAllah anda akan rasa lebih ringan. J Jadi cuba share sikit dengan saya, apa sebab yang anda tertekan tu?”

“Ya Allah bang! Takde apa lah. Saya tertekan je nama abang tadi. Nama abang dok kat atas dalam contact saya, tu yang senang tertekan tu. Asif bang!”

Kehkehkeh. Bikin malu aja pak!

Ehem.

Topik dai’e dan tekanan, saya kira, adalah sesuatu yang jarang dibincangkan secara terbuka dan telus. Sekiranya ada dai’e yang mengadu yang dia sedang mengalami tekanan kesan daripada kerja-kerja tarbiyah dan dakwah, selalunya kes-kes sebegini akan diselesaikan dengan cara ‘menyapu habuk dan debu ke bawah karpet.’ Ia dipandang remeh dan tidak diberikan perhatian secara seriyes.

“Alah nta ni. Takde apalah tu. Nta baca quran, qiam, setel!”

“Ukhtiii. Biasalah tu. Kan ke sunnah jalan dakwah tu? Tabiat untuk orang-orang tarbiyah? Nti tahanlah sikit.”

“Haaa Allah nak uji kau tuuu! Ini sebahagian daripada tapisan Allah, nak tengok siapa dalam kalangan para tenteranya yang benar-benar ikhlas!”

Mungkin begitulah respon yang akan diterima oleh sang dai’e yang mengadu akan tekanan emosi dan perasaan yang dialaminya. Akibatnya, sama ada dia akan berdiam diri dan terus menyimpan perasaan atau timbul rasa skeptikal terhadap ‘orang-orang dakwah.’

Apa-apa pon natijahnya, ia tetap tidak sihat buat sang dai’e yang sedang tertekan jiwa dan emosinya itu.

Hakikatnya, mentarbiyah dan berdakwah bukanlah kerja yang mudah. Macam-macam hal yang perlu difikirkan; dari karenah hadek-hadek bulatan gembira, musykilah perancangan dakwah, percakaran antara jemaah yang tidak bersudah, penguasaan bahan fikrah, hafalan surah, hafalan hadith, mutabaah amal yang sentiasa kekeringan, masalah ukhuwwah dan entah apa-apa lagi.

Nah, tambah itu semua dengan pelbagai masalah lain yang terpaksa dihadapi oleh seorang dai’e yang sebenarnya adalah manusia biasa juga. Masalah dengan Puan Bos Besar yang banyak songeh, masalah dengan keluarga yang tidak memahami tugasan dakwah yang terpaksa dipikul, masalah kewangan, masalah kereta kena saman, masalah bil letrik tak berbayar, masalah sekolah anak, masalah lampin pakai buang anak, masalah bank tuntut hutang dan berbagai-bagai lagi.

Untuk akhawat lebih teruk lagi, kerana selain daripada semua masalah di atas, mereka juga punya masalah dunia pertama: masalah dengan tudung mereka!

Jatuh kerusi.

Ok saya bergurau sahaja.

Pendek kata, seorang dai’e itu menanggung beban masalah yang jauh lebih mencabar dan luar biasa berbanding dengan orang lain di luar sana. Akibatnya, kemungkinan untuk seorang dai’e itu mengalami masalah kemurungan atau tekanan yang maha dahsyat adalah amat besar sekali.

Dan kita masih mahu mengambil ringan akan sang dai’e yang tertekan? Itu zalim namanya.

Sekiranya anda mempunyai simptom-simptom seperti:

·     Cepat naik hangin
·     Merasakan orang lain tidak pedulikan anda
·     Sering kesedihan dan mudah berkecil hati
·     Sentiasa mahu menghabiskan masa seorang diri kerana merasakan tidak ada sesiapa yang memahami diri anda
·     Ada kecenderungan untuk mencederakan diri sendiri
·     Mudah termenung panjang
·     Mudah mengeluh
·     Sering memarahi diri sendiri
·     Sentiasa merasakan diri banyak kekurangan dan kelemahan
·     Sering bercakap seorang diri

Ada kemungkinan ada sebenarnya sedang mengalami masalah tekanan yang seriyes. Dan sekiranya ini benar-benar berlaku kepada anda, ada beberapa tips dan nasihat yang saya ingin kongsikan dengan anda.

1) Carilah orang yang boleh anda percayai untuk anda kongsikan masalah anda. Berkongsi masalah adalah langkah pertama dalam menyelesaikan masalah, meskipon masalah itu tidak dapat diselesaikan sepenuhnya. Carilah orang yang anda percaya boleh menyimpan rahsia anda dan boleh memberikan bimbingan dan nasihat yang berguna. Orang ini tidak perlu pon berada dalam lingkungan bulatan gembira anda. Sesiapa sahaja, asalkan anda punya bahu untuk bersandar dan paha untuk dibaring manja. Eh.

2) Luangkan masa untuk anda melakukan perkara-perkara kesukaan anda untuk menenangkan jiwa, seperti berjalan di taman bunga, berbasikal, main baling batu loncat, mengumpul setem (peluh kecil), memanjat bukit, memasak makanan kegemaran dan membaca buku #Chenta. Ehem. Tidak perlu rasa bersalah sekiranya ada ikhwah atau akhawat yang menjeling tajam kepada anda apabila anda mahu bermain zero point atau kasut roda. Ketahuilah, anda juga manusia biasa!

3) Sekiranya masalah anda benar-benar seriyes dan kritikal (anda tertawa seorang diri dan tidak pasal-pasal selepas tu anda nanges macam bayi), saya nasihatkan agar anda segeralah berjumpa dengan kaunselor atau psikiatris yang lebih pakar dalam hal merawat jiwa dan emosi ini. Jujur, bukan semua perkara seperti ini boleh didapati di dalam silibus bahan-bahan dakwi atau haraki. Hal seseriyes seperti ini perlu dirujuk kepada mereka yang lebih pakar.

Cuma sedikit kerisauan saya untuk cadangan (3) adalah apabila panduan dan nasihat yang diberikan oleh mereka ini tidak kena dengan kehidupan seorang dai’e itu sendiri. Lebih dikhuatiri adalah apabila sekiranya benar anda didiagnos dengan penyakit jiwa yang kritikal, anda akan diberikan dadah (Baca: Ubat) untuk menenangkan anda, dan ditakuti hal ini akan menyebabkan anda ketagihan.

Untuk itu, kita perlukan lebih ramai kaunselor dan psikiatris yang Islami, yang mana nasihat-nasihat dan rawatan yang mereka berikan adalah sejajar dengan sunnatullah kita sebagai hamba kepadaNya. Sehingga itu, kita masih terpaksa bergantung kepada alternatif sedia ada.

Apa-apa pon, langkah yang pertama dan paling utama untuk merawat tekanan dan masalah jiwa ini adalah dengan kita mengakui dan menerima bahawa kita sebenarnya punya masalah ini. Hanya dengan kita membuang ego dalam diri dan mengakui bahawa ada sesuatu yang tidak kena pada emosi, baharulah kita dapat merancang langkah seterusnya untuk merawat diri.

Nah, apa pula saranan Islam dalam menangani masalah jiwa dan tekanan perasaan ini?

Kebanyakan saranan yang ada (yang saya tahulah; yang saya tidak tahu mungkin ada) kebanyakan bersifat mencegah dan bukannya merawat. Sememangnya dalam Islam, banyak masalah yang menggunakan pendekatan pencegahan lebih baik daripada rawatan. Kerana itulah yang terbaik sebenarnya.

Mari kita lihat berapa ayat Quran yang bisa menjadi bekalan kita agar tidak menjadi sang dai’e yang tertekan.

1) Banyakkan mengingati Allah

“Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi tenang.”
[ar-Ra’ad, 13:28]

Allah yang menciptakan kita, pastinya lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Makanan bagi perut asalnya tanah, sedangkan makanan bagi ruh asalnya adalah dari langit sana. Maka perbanyakkanlah mengingatiNya, sama ada di dalam solat, bacaan Quran atau pon zikir harian kita.

InshaAllah apabila Allah sentiasa berada di hati, tiada apa yang dapat menggunggat jiwa dan mengacau emosi. Senyum.

2) Buat kerja dakwah gila-gila

“Sesungguhnya orang-orang yang berkata, ‘Tuhan kami adalah Allah’ dan kemudian mereka beristiqamah, maka malaikat-malaikat akan turun kepada mereka (dengan berkata), ‘Janganlah kamu berasa takut dan janganlah kamu bersedih hati; dan bergembiralah kamu dengan memperoleh sorga yang telah dinajikan kepadamu.’"

[Fussilat, 41:30]

Hah! Inilah saya panggil sebagai formula riang gembira! Lebih kuat kita menyebarluaskan chentaNya dan kita tetap di atas pendirian kita, lebih gembira dan ceria kita jadinya.

Mana mungkin kita bisa bersedih hati, apabila malaikat sendiri yang akan turun untuk menenangkan kita? Peh! (Sama ada itu atau kita akan berlari terkencing-kencing ketakutan kerana nampak malaikat. Eheh.)

Syaratnya apa? Wajib istiqamah!

Tak percaya? Cubalah!

3)    Beriman sepenuhnya kepada Allah dan banyak melakukan kebajikan

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang Yahudi, Saabiin dan orang-orang Nasrani, barangsiapa beriman kepada Allah, kepada hari kemudian dan berbuat kebajikan, maka tidak ada rasa bimbang padanya dan mereka tidak bersedih hati."
[al-Maidah, 5:69]

Keimanan yang mengakar dan membumi, akan melahirkan buah keberanian (as-Syaja’ah), ketenangan (al-‘Ittmi’nan) dan optimisme (at-Tafaul) dan semua ini pastinya menjadikan kita seorang yang benar-benar tenang, ceria dan bergaya.

Dan bukankah erti hidup itu pada memberi? Lebih banyak kita melakukan kebaikan dan menghidupkan kebajikan, pastinya kehidupan kita akan lebih terisi dan bermakna. Bahagia!

4)    Rajin-rajinlah bangun malam untuk kencing bertahajjud kepadaNya

“Sesungguhnya bangun malam itu lebih kuat (mengisi jiwa); dan (bacaan di waktu itu) lebih berkesan.”
[al-Muzammil, 73:6]

Sudah hukum alam agaknya, waktu dua pertiga malam itu adalah antara waktu-waktu yang paling menenangkan. Apatah lagi apabila waktu-waktu sebegitu kita manfaatkan sebaiknya untuk bertemu janji dan mengadu kasih dengan Allah.

Orang yang banyak dan ikhlas bangun malam mempunyai jiwa yang benar-benar gagah dan emosi yang tidak mudah goyah!

5)    Berjual beli dengan Allah

“Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik dari mahupon harta mereka dengan memberikan sorga untuk mereka… Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang agung.”
[at-Taubah, 9:111]

Orang lain mungkin risau dan susah hati apabila terpaksa menghabiskan tenaga, meluangkan masa dan menginfaqkan harta yang banyak untuk agamanya. Namun orang-orang yang beriman, mereka faham benar bahawa semua itu bukan milik mereka tapi pinjaman daripada Allah semata.

Maka beruntunglah orang yang benar-benar memahami formula pelaburan saham sorga ini, kerana akhirnya yang akan mereka peroleh hanyalah redhaNya dan rasa bahagia!

Jiwa yang kuat dan akal yang sihat bermula dengan hati yang penuh dengan cahaya rabbani yang berkat. Maka tidak hairanlah, ayat-ayat Quran yang saya kongsikan tadi, semuanya berputar pada soal aqidah dan keimanan.

Maka persiapkanlah diri kita dengan bekalan iman yang padu dan latihan jiwa yang jitu. Kerana semua ini amat dibutuhkan kita untuk berhadapan dengan cabaran, mehnah dan ujian yang maha dahsyat yang sudah sedia terbentang untuk para dua’t di luar sana.

“Aliif Laam Miim. Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan ‘Kami telah beriman’ dan mereka tidak diuji?”
[al-Ankabut, 39:1-2]

Seorang dai’e itu bukan hanya perlu memikirkan masalah diri, keluarga dan hadek-hadek bulatan gembiranya. Lebih daripada itu, dia juga wajib berfikir tentang masalah ummah dan dunia. Beban mengembalikan khilafah Islamiyah dan menegakkan Ustadziyatul ‘Alam terletak pada pundaknya.

Maka tidak boleh tidak, sang dai’e wajib menguatkan hatinya, memantapkan aqidahnya dan menajamkan imannya. Kerana hanya dengan itu, dia mempunyai kekuatan luar biasa untuk berhadapan dengan dunia yang penuh kegilaan dan pancaroba ini.

Saya tinggalkan anda dengan sebuah hadith yang menggambarkan betapa osem dan bergayanya, betapa tenang dan bahagianya jiwa orang-orang yang beriman itu.

“Aku takjub dengan perihal orang yang beriman. Semuanya baik baginya. Tidak ada suatu kebaikan pun kecuali ia baik untuk orang yang beriman. Apabila diberikan sesuatu nikmat, dia akan bersyukur, dan syukur itu baik baginya. Apabila diuji dengan suatu ujian, dia akan bersabar, dan sabra itu juga baik baginya.”

[Hadith riwayat Muslim]

Sama ada kita bersiap-siaga untuk menguatkan jiwa, atau kita sedang bersedia untuk menjadi gila!

Wahai!

-gabbana-

Saya benar-benar seriyes apabila saya mengatakan anda yang punya simptom masalah emosi atau jiwa yang kritikal untuk mendapatkan rawatan secara professional.

Saya sendiri pernah berhadapan dengan ikhwah yang (hampir) gila dek tekanan emosi yang melampau. Juga ikhwah yang mudah meletup dan gagal mengawal perasaannya dek tekanan dari persekitaran yang tidak mampu untuk dikawalnya.

Moga Allah menguatkan hati dan jiwa kita. Moga Allah teguhkan kita di atas jalan pejuang ini. Amin.  


Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP