11 March 2016

Jangan Ketawa! (Pun Intended)

[Kredit]

Saya tidak pasti bila trend ini bermula, tapi yang jelas dan pasti, trend ini semakin menjadi-jadi.

Trend rancangan/program lawak jenaka yang tumbuh bagai cendawan shittake. 

Saya membesar dengan sitkom-sitkom komedi seperti Pi Mai Pi Mai Tangtu, 2 + 1, Jangan Ketawa dan tidak ketinggalan beberapa sitkom omputih yang obviously ketika itu sukar untuk saya faham lawak jenaka mereka. Oh ya tidak dilupakan Sinaran Pasport Kegemilangan. Nama-nama seperti Imuda, Mr. Os, Sabri Yunus, Harith Iskandar dan Senario adalah nama-nama biasa yang didengari di pentas lawak jenaka. 

Namun rancangan dan program lawak jenaka baik berbentuk realiti, sitkom, lawak berdiri (Baca: Stand-up comedy) atau pertandingan yang muncul dasawarsa ini cukup membimbangkan; terlalu banyak dan tidak terkawal! 

Saya kira sememangnya sudah menjadi fitrah manusia yang suka kepada hiburan. Dan rancangan-rancangan komedi dan lawak jenaka adalah antara hiburan yang paling digemari oleh ramai orang. Dapat bergelak tawa bersama-sama rakan taulan atau keluarga adalah suatu keadaan yang menyeronokkan lagi menggembirakan.

Ketawa juga dapat mengurangkan kadar tekanan seseorang. Menurut kajian University Oxford pada tahun 2011 contohnya, ketawa akan meningkatkan tahap ketahanan terhadap kesakitan. Para saintis yang membuat kajian tersebut mendapati subjek eksperimen yang menonton rancangan komedi boleh menahan 10% lebih kesakitan berbanding biasa. Kajian University Arizona pula mendapati, ketawa boleh meningkatkan kesihatan jantung. Juga, kajian University Maryland pada tahun 2005 mendapati, ketawa meningkatkan kadar aliran darah sehingga 22%*.

Tidak hairanlah kata-kata "Laughter is the best medicine" yang lahir di Barat dijadikan mantera atau kalimat sakti untuk menghalalkan hiburan bergelak-tawa kerana ia dapat meningkatkan kualiti kesihatan. Komedi jenis bagaimana yang tiada di Barat sana? Dari siri-siri drama yang bersepah-sepah banyaknya, kepada rancangan bercakap (Baca: Talk show) yang mengupas pelbagai isu dalam format jenaka dan termasuklah rancangan realiti yang mengenakan orang lain (Baca: Prank) atas nama komedi.

Persoalannya, sejauh mana batasan dan had untuk kita bergelak-tawa? Dan benarkah gelak tawa itu adalah sebaik-baik ubat? 

Kebanjiran rancangan dan program lawak jenaka yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini sungguh merunsingkan saya. Raja Lawak, tidak cukup dengan itu, Maharaja Lawak, tidak cukup lagi, Maharaja Lawak Mega, menandakan satu era baru dalam rancangan komedi di Malaysia. Muncul pula rancangan dan program lain seperti Juara Parodi, Skool of Lawak, Super Spontan dan entah apa-apa lagi, seolah-olah tak cukup-cukup rancangan komedi yang sudah sedia ada. 

Itu belum lagi dikira drama atau filem yang menjadikan lawak jenaka sebagai tema utama jalan ceritanya. Atau pon sitkom-sitkom telebisen tempatan yang punya slot sendiri yang disiarkan secara berkala setiap minggu.

Aduh. Macamlah kita tidak punya kerja lain melainkan bergelak-ketawa sepanjang masa dan ketika!

Lupakah kita kepada sabda Nabi SAW yang mulia?

"Janganlah kalian sering bergelak-tawa, kerana sering bergelak-tawa akan mematikan hati."

[Hadith riwayat Tirmidzi dan Ibn Majah]

Tidak, saya tidak mengatakan salah untuk berhibur atau bergelak-tawa. Tapi berpada-padalah dalam berhibur dan tertawa. Sungguh cahaya rabbani dan kelazatan iman tidak mungkin akan menghiasi hati kita apabila ia telah mati dek terlalu banyak ketawa. 

Dan apa yang lebih merisaukan saya ialah bahan-bahan yang dijadikan modal untuk berlawak jenaka selalunya adalah kelemahan, kebobrokan atau pon aib orang lain. Seolah-olahnya macam sudah tiada modal lain untuk ditertawakan. Kepala botak pemimpin Uganda itulah yang mahu dijadikan bahan lawak jenaka. Isteri ahli politik Argentina itu juga yang mahu dibuat komedi. Tahap pendidikan menteri Burkina Faso itulah yang mahu digelakkan.

Yang lebih menakutkan apabila sang pelawak mengucapkan dusta dan kata-kata nista tentang orang lain hanya kerana mahu menjadikan orang lain tertawa kerananya. Sedangkan Rasulullah SAW pernah memberi amaran keras tentang hal ini. Sabda baginda:

"Celakalah orang yang berbicara, padahal ia berbohong untuk sekadar membuat orang-orang tertawa, celakalah dia, celakalah dia!"
 
(Hadith riwayat Abu Dawud dan Tirmidzi).  

Saya hanya mampu berhuhu ketika pertama kali membaca hadith ini. Peluh.  

Bagaimana pula dengan pelawak lelaki yang mengenakan pakaian wanita (atau sebaliknya) dengan alasan menjiwai watak yang dibawa dan agar jenaka yang dipersembahkan lebih menjadi?

Nah sepotong hadith untuk anda: 

Dari Ibnu Abbas radhiyallahu 'anhuma, beliau berkata, 'Rasulullah SAW melaknat kaum lelaki yang meniru wanita dan kaum wanita yang meniru kaum lelaki."

[Hadith riwayat Bukhari]

Fikirkan. Berapa banyak rancangan-rancangan komedi dan lawak jenaka yang ada sekarang ini yang syariah compliant? Yang tidak menjadikan watak sebenar sama ada yang masih hidup atau sudah meninggal dunia sebaga sasaran jenaka mereka? Yang tidak berdusta dan berbohong dalam menyampaikan lawak mereka? Yang tidak bercampur lelaki perempuan dan tidak berpakaian lain jantina? Susah sangatkah mahu buat rancangan atau program lawak jenaka sebegitu rupa?

Jika ada sila beritahu saya. Saya juga teringin untuk menontonnya.   

Rasulullah SAW sendiri orang yang bercanda dan bergurau senda. Tetapi baginda telah menunjukkan kita di mana hadnya.

Suatu hari Abu Hurairah pernah bertanya, "Ya Rasulullah, anda bercanda dengan kami?"

Baginda menjawab, "Sesungguhnya aku takkan mengucapkan sesuatu kecuali itu benar."  

[Hadith riwayat Tirmidzi]  

Dengan kata lain, ya, Rasulullah SAW juga bercanda tetapi baginda sekali-kali tidak akan bergurau-senda atas sesuatu yang tidak benar dan dusta.  

Fuh.

Cukuplah dengan dalil-dalil yang ada. Semuanya jelas menunjukkan betapa hiburan dan gelak-tawa yang berlebihan dan keterlaluan adalah tidak sunnah dan dilarang. 

Saya bukan mahu menakut-nakutkan anda, tidak sama sekali. Ia lebih kepada peringatan untuk diri sendiri. Kerana saya juga kadangkala berlebihan dalam tertawa sehingga terguling-guling mengalir air mata. Err.

Kini, kita sudah pon boleh melihat simptom-simptom yang menimpa masyarakat kita dek terlalu banyak rancangan yang berbentuk komedi dan gelak tawa ini. Asyik nak tulis post atau status menganjing orang lain. Amat suka mentertawakan kelemahan atau aib orang lain. Sibuk nak buat ayat pikap (Baca: Pick-up line) kerana mahu dilihat sebagai kelakar. Nasihat dan teguran pon mahu dibuat dalam bentuk sarkastik kerana itu dirasakan lebih kool dan lawak. Setiap ayat yang keluar dari mulut kita mahu dijenakakan dan dikelakarkan kerana kita merasakan hanya dengan cara itu kita akan lebih diterima orang di sekitar kita.

Malah dua't juga tidak terlepas dari dijangkiti penyakit fatal ini. Terlalu banyak bergurau sesama ikhwah. Acapkali buat lawak jenaka tentang akhawat dan BM. Asyik mahu bergelak-tawa di dalam bulatan gembira. Sehinggakan muwajjih (penceramah) pon runsing dan pening kepala kerana seringkali terpaksa memikirkan lawak jenaka baru agar para peserta tidak bosan lantas tidur mengalirkan air liur basi. 

Aduhai. Kecelakaan apakah ini..??

Lebih mendukacitakan apabila kita fikirkan, tatkala kita sibuk ketawa pecah perut, saban hari pemuda-pemudi Palestin diburu dan ditembak mati oleh anjing-anjing Zionis Israel. Ketika kita sibuk mencari video-video parodi untuk menghiburkan hati, Bashar Assad terus mengembom dan mempelurupandukan rakyatnya sendiri. Dan tatkala kita gelak guling-guling sampai nanges-nanges dibuatnya melihat lawak pikap lantas kita pon menyambutnya dengan "Cia cia cia", umat Islam di seluruh dunia terus ditindas dan dianiaya.

Lahawla wala quwwata illa billah. 

Benarlah, kematian itu sebaik-baik peringatan. Dan fungsi peringatan adalah untuk menghidupkan hati, agar hati - raja kepada seluruh anggota badan itu - dapat berfungsi dengan sempurna untuk memandu kita meraih redha-Nya.

Sedangkan banyak ketawa itu mematikan hati. Jangan hairan andai saya berteori konspirasi, lambakan rancangan lawak jenaka dan komedi baik tempatan mahupon antarabangsa, adalah sebahagian daripada ghazwul fikr (serangan pemikiran) musuh-musuh Islam untuk memandulkan hamasah dan ruh para pemuda Islam di zaman ini. 

Nanges.

"Ada pemuda yang lahir serta membesar di tengah-tengah umat yang keadaannya tenang lenang kerana kekuasaannya sudah kukuh dan kemakmuran hidupnya cukup mewah,” Imam Hasan al-Banna memberikan komentar dalam risalah Wahai Pemuda. "Maka dia pun lebih banyak menumpukan tenaga untuk dirinya sendiri dari kepentingan umatnya, malah mungkin dia bermain-main dan berfoya-foya dengan senang hati dan tidak berfikir apa-apa."

Agak-agak andalah, dalam masa sepuluh, dua puluh tahun akan datang, pemuda-pemudi jenis apakah yang akan kita lihat di Malaysia ini, yang lahir dari persekitaran yang terlalu banyak gelak dan ketawa? 

Geleng kepala.

Maka berpada-padalah dalam berhibur dan bergelak-tawa. Kurangkan menonton rancangan-rancangan yang boleh mematikan hati. Perbanyakkan tazkirah dan zikir mengingat Allah apabila bertemu dengan rakan-rakan dan sahabat taulan. Bawa-bawalah diri itu untuk ziarah kubur di tengah-tengah malam untuk mengingati mati yang pasti. Cuma kalau terserempak dengan makcik tua berjubah putih sedang menjual pisang goreng, jangan salahkan saya pula! Eh.  

Saya akhiri tulisan saya ini dengan sepotong lagi hadith. Moga ia menjadi azimat yang kita akan semat di dalam jiwa buat selamanya.

"Sekiranya anda mengetahui apa yang saya ketahui, sudah tentulah anda akan sedikit tertawa dan banyak menanges."

[Hadith riwayat Bukhari]

Ada sesiapa yang perlukan plaster atau rawatan kecemasan?

-gabbana-

*By the way, laughter is not really the best medicine. Profesor Kehormat Farmakologi, R. E. Ferner dan dan felonya, J. K. Aronson yang mengkaji semula 785 kertas kajian tentang ketawa mendapati, lebih banyak kajian yang menemukan bahawa ketawa membawa kesan negatif. Dan apabila anda terlalu banyak ketawa, ada kemungkinan besar yang anda sebenarnya adalah seorang gila! Eheh.   

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP