Pages

21 October 2013

Membidik Chenta

[Kredit]

Aku si pembidik chenta,
Menasar dengan sabar,
Membidik penuh tegar,
Chenta-chenta suci bertebaran,
Di ruang bumi milik Tuhan.

Lelah aku pergi memburu,
Anjing nafsu ku ikat kuat,
Senapang harapan ku gantung ketat, 
Melilau mataku mencari mangsa,
Tidak kira siapa, tiada hitung apa.

Aku redah hutan gelora, 
Aku tapaki padang pasir sengsara,
Aku panjat pohon terlarang, 
Aku korek tanah nan gersang,
Hanya kerana sebuah chenta.

Peluru sukma ku sumbat kemas,
Serbuk syahwat ku isi dalam,
Tanganku gementar menunggu masa,
Mataku pedih tidak terkedip,
Hanya kerana sebuah chenta.

Banggg! Tembakan yang pertama,
Mengena tepat makhluk namanya manusia,
Namun jiwanya sudah lama nazak,
Jasadnya sudah kian mereput,
Hanya ada bangkai yang membusuk.

Banggg! Tembakan yang kedua,
Mengena tepat makhluk namanya dunia,
Nanah busuk meleleh laju,
Kulit badan berkudis hina,
Tiada apa yang tinggal berharga.

Banggg! Tembakan yang ketiga,
Mengena tepat makhluk namanya kuasa,
Kebalnya ia tidak bisa mati,
Aku tembak berkali-kali,
Akhirnya lari membawa diri. 

Hampir sahaja aku berpatah,
Tidak tahan menahan lelah, 
Peluru keinginanku sudah kehausan,
Anjing nafsuku terbaring kaku,
Ahhh ke mana hasil buruanku? 

Kaki ku seret menapak lemah,
Aku lewati pusara usang,
Membenam mangsa buruan silam,
Monumen abadi menjadi bukti,
Buruan chenta yang tidak pernah puas. 

Aku memandang ke langit biru,
Di situ ada chenta yang berterbangan!
Ku capai senapang yang sudah suam,
Mataku membidik penuh mengharap,
Banggg! Mujur larasku berbaki peluru.

Wahai!
Bidikanku tepat mengena Ilahi,
Akan ku bawa pulang chenta abadi!

-gabbana- 

Ia merupakan cabaran yang cukup besar saya, untuk menghasilkan puisi yang benar-benar mengesankan hati. Moga bermanfaat.

4 comments:

  1. Sudah pun terkesan..

    Bang! Tembakan keempat
    Bang! Tembakan kelima
    Mengena tepat makhluk namanya ummah
    Bang! Ah,ada lagi tak mengena
    Kecekik! Allah,peluruku habis
    Bagaimana ummah??
    Harus apa ku jawab padanya?
    Bang!bang!bang!
    Dari belakang bunyinya
    Ku toleh sebolehnya
    Kumtuman senyuman tak terkira
    Dan kini aku tidak keseorangan saja!

    Wahaha.ntahpape..sudilah terima inche gabbana ye..senyum

    ReplyDelete
  2. Comel, cantik, cun dan amat terkesan dan puisi yang penuh makna dan metafora ini.

    ReplyDelete
  3. Beautiful mashaAllah. Moga Allah merezekikan enta dengan syahadah (mati syahid) yang haq, ikhlas, dan sidq di jalanNya. Ameen.

    ReplyDelete
  4. Subhanallah!

    ReplyDelete