4 October 2019

Doa Itu Bom Nuklear Bagi Orang Mu'min!

[Kredit]
Kita seringkali mendengar sepotong hadith "Doa itu senjata bagi orang mu'min." Sama ada didendangkan di ceramah-ceramah dan kuliah-kuliah, atau diucapkan berapi-api di konferens-konferens riang atau demonstrasi solidariti Plaestin dan Syria. Kot.

Tetapi sejauh mana kita benar-benar memaknai hadith ini?

Pertama-tama sekali, penting untuk kita memahami konsep doa itu sendiri. Doa itu berasal dari perkataan 'da'a' yang bermakna menyeru atau memanggil. Doa dan dakwah mempunyai kata akar yang sama.

Jadi apabila kita berdoa kepada Allah, sebenarnya kita sedang 'menyeru' Allah untuk mendengar rintihan, permintaan dan aduan kita kepada-Nya. Doa sebagai satu bentuk ibadah, mempunyai martabat yang tinggi di sisi Allah. Hal inilah yang seringkali teralpa daripada benak fikiran kita, yang tidak melihat doa itu sebagai satu bentuk ibadah, tetapi hanya satu ritual selepas solat atau talian hayat ketika kita berada dalam keadaan yang sukar atau mendesak.

Salah satu salah faham yang terbesar tentang doa adalah kita sering menyangka yang doa itu sifatnya mesti 'meminta'. Meminta kepada Allah untuk sebarang hajat dan niat. Minta agar diampunkan dosa. Minta untuk dipanjangkan usia. Minta untuk dimurahkan rezeki. Minta untuk bertemu jodoh pilihan hati yang tidak meminta mas kahwin yang tinggi. Eh.

Tetapi doa lebih besar dari sekadar kita meminta-minta daripada Allah.

Doa itu adalah satu dialog antara kita dan Allah. Ia adalah perbualan mesra antara seorang hamba dengan kekasih agungnya. Ia adalah aduan, rintihan dan keluhan seorang makhluk yang lemah kepada Rabbnya yang Agung lagi Perkasa. Ia bukan sahaja diluahkan ketika susah dan tersepit, tetapi juga ketika senang dan lapang.

"Berdoalah kepada Tuhanmu di saat kamu senang (bahagia). Sesungguhnya Allah berkata, 'Barangsiapa berdoa (memohon) kepada-Ku di waktu dia senang (bahagia), maka Aku akan mengabulkan doanya di waktu dia dalam kesulitan.'"
(HR Ar-Rabi')

Di dalam al-Quran, Allah telah mencatatkan begitu banyak doa yang diungkapkan oleh para anbiya' kekasihNya, juga doa-doa yang diajarkan sendiri oleh Allah untuk diamalkan kita. Seolah-olahnya Allah mahu memberitahu kita, berdialoglah dengan-Nya kerana Dia amat mendambakan para hamba-Nya untuk berbual mesra dan mengadu chenta pada-Nya!

Kembali kepada hadith:
لدُّعَاءُ سِلاحُ الْمُؤْمِنِ

Apabila berbicara tentang senjata, apa yang terlintas di fikiran kita? Senjata itu digunakan untuk menyerang bukan? Tetapi kadangkala kita terlepas pandang; senjata juga digunakan untuk mempertahankan diri.

Demikianlah sifat doa.

Ia bukan sahaja senjata untuk 'menyerang' tetapi juga senjata untuk 'mempertahankan' diri kita.

Apa contoh doa itu sebagai satu bentuk serangan?

Selain doa agar Allah menghancurkan musuh-musuh Islam dan pakatan jahat yang menzalimi umat Islam di samping agar Allah memenangkan gerabak dakwah yang mahu memenangkan agama ini, sebenarnya doa sebagai satu tindakan yang ofensif mempunyai makna dan aplikasi yang lebih meluas.

Misalnya, kita berdoa agar Allah melembutkan dan membuka hati mak dan ayah kita untuk lebih menerima Islam dan menerima serta menyokong kerja-kerja dakwah kita. Itu juga satu bentuk 'serangan.'

Atau kita berdoa agar Allah menghantar Makcik Hidayah menempeleng mad'u yang sedang kita santuni agar mereka menyertai gerabak dakwah dengan riang dan gembiranya. Itu pon satu bentuk 'serangan' sebenarnya.

Atau kita berdoa agar Allah tautkan hati para penggerak dakwah dan kurangkan pergeseran dan pergaduhan, lembutkan hati dan rapatkan saff mereka. Itu juga, bagi saya, adalah satu bentuk 'serangan.'

Bagaimana pula doa sebagai satu bentuk pertahanan?

Apabila kita berdoa agar Allah tetapkan hati kita di atas agama ini dan terus istiqamah di atas manhaj-Nya.

Tatkala kita bermunajat kepada-Nya, agar dikuatkan hati berhadapan dengan pelbagai jenis dugaan dan ujian, mehnah dan tribulasi.

Ketika kita menanges-nanges mengangkat tangan di waktu sahur yang hening, dengan seikhlas hati mengadu pada-Nya, agar diberikan keteguhan iman dan kemantapan jatidiri untuk terus berdakwah dan menyebarkan kebenaran. 

Itulah doa dalam bentuk pertahanan. Dan pertahanan yang kita minta itu bukan calang-calang bentuknya; ia adalah pertahanan terkuat kerana bersumberkan daripada-Nya!

Hanya setelah kita berjaya memaknai doa ini sebagai satu bentuk serangan dan pertahanan pada masa yang sama, baharulah kita dapat memahami konsep doa itu adalah senjata bagi orang-orang yang beriman. 

Malangnya, ramai daripada kita yang meremehkan kepentingan dan kehebatan berdoa ini. Merasakan tidak ada pentingnya berdoa dalam melengkapkan usaha-usaha yang telah kita lakukan. Atau pon tidak serius dalam berdoa dan tidak menghayati setiap bait doa yang kita lafazkan. 

Rugilah sekiranya kita punya mentaliti sebegitu rupa. Sedangkan Allah SWT telah berjanji di dalam al-Quran:

"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Hendaklah mereka itu memenuhi (perintah)-Ku dan beriman kepadaKu, agar mereka memperoleh kebenaran." 
(al-Baqarah, 2:186)

Seperti tidak cukup dengan satu ayat itu, Allah berfirman lagi:

"Berdoalah kepada-Ku, nescaya Aku akan perkenankan bagimu..."
[al-Ghafir, 40:60]

Sebagai dua't yang sentiasa 'bertempur' di medan untuk menyebarkan al-haq dan menegakkan kebenaran, pada masa yang sama terpaksa pula bertarung dengan musuh-musuh Islam dalam bentuk taghut dan jahiliyyah, alangkah ruginya andai kita tidak melengkapkan kelengkapan perang kita dengan senjata ampuh yang telah Allah khususkan buat orang-orang yang beriman; itulah doa. 

Imam al-Banna, ketika ditanya apakah rahsia kejayaan dakwahnya. Beliau menjawab:

"Aku berdakwah kepada mereka di siang hari dan aku berdoa untuk mereka di malam hari."

Padu bak hang!

Sekiranya kita telah memberikan usaha yang sebaik dan seikhlas mungkin dalam dakwah ini, ditambah pula dengan doa yang bersungguh-sungguh sebagai penguat jiwa dan pelengkap usaha, tidak mustahil, dakwah kita itu berupaya menggegarkan seluruh alam buana ini lebih dahsyat dari sebutir bom nuklear! 

Nah persoalannya sekarang... Sudahkah kita berdoa? 

-gabbana- 

Meskipon ada perbahasan dalam kalangan ulama' tentang status hadith 'Doa adalah senjata orang mu'min', saya tidak mahu menyerabutkan kepala anda semua dengan perinciannya. Cukuplah kita mengambil makna yang baik daripada hadith ini. Moga ada manfaatnya!

Anda boleh baca tulisan-tulisan saya yang lain tentang doa di sini:


11 January 2019

Budak-Budak Usrah Ni Wajib Skema Kah?

[Kredit]

Boleh pandang ke atas dan tangan letak di bahu lepas baca tajuk post ni. Heh.

Ramai orang fikir yang bila dah jadi budak usrah ni, otomatik akan jadi macam malaikat. Pakai baju kena tuck-in (untuk ikhwah). Tudung labuh sampai kaki (untuk akhowat) sambil-sambil tu ambil upah sapu lantai. Gelak kena tutup mulut. Jalan kena langkah kecik-kecik lepas tu sopan-santun. Pijak semut tak mati. Kentut pon wangi. Eh.

Memanglah tak nafikan, lepas join usrah ni, lepas dapat tarbiyah, lepas selalu tilawah dan tadabbur al-Quran, lepas selalu pergi daurah apa semua tu, sedikit-sebanyak pastilah personaliti diri akan berubah. Bukan berubah apa, tapi berubah menjadi lebih baik la. Diri yang lebih diredhai Allah. Peribadi yang lebih dirindui Rasulullah.

Kalau dulu nak solat lima waktu pon ya rabbi liat macam apa, tapi sekarang alhamdulillah bukan setakat kita saff paling depan, sikit lagi nak kena lantik jadi tok siak dalam pemilihan AJK mesejid baru-baru ni. Wakaka.

Kalau dulu nak baca Quran tu punyalah susah sampai orang ingat hari dah nak kiamat bila kita baca al-Fatihah, tetapi alhamdulillah sekarang rasa rinduuu je bila berpisah dengan al-Quran, rasa macam ada something yang tak kena je bila bibir mula kering dari mengalunkan ayat-ayat Allah.

Kalau dulu sebut dakwah, usrah apa semua tu naik meremang bulu tengkuk kita siap mintak izin nak lari jauh-jauh, tapi sekarang alhamdulillah dakwah tarbiyah tu benda yang kita betul-betul pegang dan sayang, sehinggakan kita benar-benar rindu untuk syahid di jalan-Nya.

Perubahan yang macam tu lah.

Tapi siapa diri kita, ia tetap diri kita. Yang itu tak perlu nak ubah pon kan? Kita yang suka berlawak-jenaka itu. Kita yang suka buat orang lain tersenyum itu. Kita yang gila-gila dan periang itu.

Di dalam surah al-Kahfi, Allah rekodkan bagaimana pemuda yang "beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka" itu, di sebalik kehebatan mereka ketika mereka mempertahankan keimanan mereka dan bangkit menentang kemungkaran Sang Penguasa, mereka tetap adalah para pemuda biasa!

Tidak percaya? Baca ayat ini:

"Dan demikianlah Kami bangunkan mereka, agar ada antara mereka saling bertanya. Salah seorang antara mereka berkata, 'Sudah berapa lama kamu berada (di sini)?' Mereka menjawab, 'Kita berada (di sini) sehari atau setengah hari.' Berkata (yang lain), 'Tuhanmu lebih mengetahui berapa lama kamu berada (di sini). Maka suruhlah salah seorang antara kamu pergi ke kota dengan membawa wang perakmu ini dan hendaklah dia lihat manakah makanan yang lebih baik dan bawalah sebahagian makanan itu untukmu, dah hendaklah dia berlaku lembah lembut dan jangan sekali-kali menceritakan halmu kepada sesiapa.'" 
[al-Kahfi, 18:19]  

Lihat! Dalam kalangan mereka, ada yang 'nakal', sengaja mahu memprovokasi dengan bertanya soalan "Dah berapa lama kita kat sini eh?" Macam kita jugalah. Ada dalam kalangan kita ni, yang kadang-kadang sengaja bertanyakan soalan hanya kerana suka melihat sahabat-sahabat kita bertelagah dan ketika itu, kita mengundur ke belakang sambil tertawa keji. Eheh.

Dan lihat sahaja mereka ini. Setelah lena untuk satu tempoh yang agak lama (pada pandangan mereka), mereka langsung tidak risaukan perihal Sang Raja yang memburu mereka atau adakah ibu dan ayah mereka khuatir akan keadaan mereka. Yang mereka risaukan ialah keadaan perut mereka!

Makanan dan ikhwah memang tidak dapat dipisahkan bukan?

Juga siapakah yang mereka tugaskan untuk pergi membeli makanan? "Hendaklah dia lihat manakah makanan yang lebih baik." Si dia yang paling tahu mamak mana yang jual roti naan cheese yang paling layaaannn atau kedai tomyam mana yang paling masyuuukk! Wahahaha. Eh.

Menarik bukan, bagaimana Allah rekodkan semua ini di dalam al-Quran? Ketahuilah, tiada satu kisah, satu ayat, satu perkataan hatta satu huruf pun di dalam al-Quran yang 'kebetulan' dan sia-sia!

Sekiranya kita rajin menelusuri kisah para sahabat, kita akan dapati, mereka juga manusia biasa seperti kita. Ada yang suka bergurau-senda. Ada yang mahu berjenaka dengan mencampakkan buah tembikai kepada sahabat yang lain. Ada yang suka berpakaian indah bermacam gaya. Ada yang pemarah. Ada yang suka membebel dan banyak mulutnya. Beraneka ragam dan rupa!

Tetapi mereka itu tetap para sahabat bukan? Mereka yang redha kepada Allah dan Allah redha kepada mereka?

Mungkin dari kisah para pemuda al-Kahfi tadi, Allah mahu kita belajar, betapa komitmen dengan tarbiyah dan dakwah itu tidak memerlukan untuk kita melupakan siapa diri kita yang sebenar; yang dituntut dari kita hanyalah keikhlasan dan kesungguhan untuk menegakkan kebenaran dan menyebarkan chenta!

-gabbana-

(Tadabbur ayat ini 'dipinjam' dari perkongsian oleh Ustaz Nouman Ali Khan. Moga Allah merahmati beliau!)

10 January 2019

'Happily Ever After' Stail Nabi Yusuf

[Kredit]

Apabila disebut sahaja surah Yusuf, apa yang seringkali terlintas di fikiran kita?

Nabi Yusuf adalah seorang jejaka yang hensem lagi tampan. Isteri al-Aziz adalah seorang perempuan jalang yang tidak mampu menahan nafsu apabila melihat lelaki kacak di depan mata. Nabi Yusuf pandai mentakwil mimpi. Nabi Yusuf diangkat menjadi bendahara negara. Nabi Yusuf akhirnya disatukan dengan ayahnya Nabi Yaakub dan akhirnya hidup bahagia happily ever after hey!

Begitu?

Surah Yusuf adalah satu surah yang mengandungi begitu banyak ibrah dan hikmah, jauh melangkaui sekadar kisah 'fairy tale' yang menjadi halwa jiwa. Jika tidak, masakan Allah menyifatkan surah ini sebagai "kisah yang paling baik" di dalam kitab-Nya yang mulia? (Yusuf, 12:3)

Ia adalah sebuah surah yang menceritakan tentang ujian, kesengsaraan dan penderitaan.

Nabi Yaakub yang kehilangan anak tanpa mengetahui apa nasib anaknya itu, yang kemudiannya hilang penglihatan kerana terlalu berduka-cita. Nabi Yusuf yang difitnah kemudian dipenjara bertahun lamanya, hanya dinafikan hak untuk dibebaskan lebih awal kerana rakan sepenjaranya lupa akan janjinya.

Menyebutnya sekali lalu begitu, mungkin sukar untuk menimbulkan perasaan hiba apatah lagi simpati.

Tetapi cuba pejamkan mata, kosongkan minda dan bayangkan.. Anda berada di tempat Nabi Yaakub AS, yang tidak semena-mena kehilangan anak kesayangannya. Bukan itu sahaja, berbeza mungkin dengan ibu bapa yang kematian anak dengan jasad anaknya ada di hadapan mata, Nabi Yaakub dibiarkan tertanya-tanya akan nasib Yusuf, anaknya. Anda yang bergelar ibu-bapa pasti boleh faham perasaan baginda; tidak keruan dan boleh gila dibuatnya!

Nah, sekarang bayangkan pula anda berada di tempat Nabi Yusuf AS. Dipisahkan dari keluarga di usia yang masih muda, kemudian dicampakkan ke dalam telaga entah di mana. Dibiarkan keseorangan di dalam telaga - kelaparan, kesejukan dan ketakutan - entah untuk berapa hari dan malam lamanya. Kemudian dikutip pula oleh kafilah pedagang yang menjualnya pula pada seorang pembesar negara.

Meski Yusuf dibesarkan dalam suasana serba mewah dan selesa, jiwanya tidak tenteram dek rupa parasnya yang menaikkan syahwat sang isteri pembesar. Baginda sanggup dipenjara demi menyelamatkan iman dan jiwa. Entah berapa lama pula baginda terpaksa meringkuk di dalam penjara; al-Quran menyebutnya "...dia tetap dalam penjara beberapa tahun lamanya." (Yusuf, 12:42)

Setelah itu - setelah kesengsaraan demi kesengsaraan, ujian demi ujian - baharulah nasib Nabi Yusuf bertambah baik. Baginda diangkat menjadi "...seorang yang berkedudukan tinggi dalam lingkungan kami dan dipercaya." (Yusuf, 12:54)

Itu pon baginda masih lagi terpisah dari ayahandanya yang terchenta dan Bunyamin adik kesayangannya.

Bagaimana? Kini anda boleh menghayati penderitaan dan kesengsaraan yang terpaksa dialami oleh Nabi Yaakub dan Nabi Yusuf AS?

Sekiranya ada satu tema untuk menyimpulkan surah Yusuf, ia adalah "keyakinan kepada perancangan dan ketentuan Ilahi."

Jika Yusuf tidak dibuang ke dalam telaga, masakan baginda akan sampai ke rumah al-Aziz? Sekiranya baginda tidak digoda, mana mungkin baginda dihumban ke dalam penjara? Dan seandainya baginda tidak meringkuk di dalam penjara, mungkin baginda tidak berpeluang menjadi orang kanan kepada Sang Raja, lantas langsung tidak berpeluang untuk bertemu semula dengan ayahnya!

Dah nampak kan permainannya di situ?

Yang lebih utama, di sebalik ujian dan mehnah yang menimpa baginda berdua, tidak sekali pon dicatatkan mereka mengeluh atau menyesal dengan kesusahan dan kesukaran yang Allah timpakan ke atas mereka. Malah yang diabadikan di dalam al-Quran adalah betapa tingginya tawakkal dan iman mereka kepada Allah dan takdir yang telah ditetapkan untuk mereka. Betapa yakinnya mereka dengan perancangan Allah Ta'ala yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana itu!

Nukil Yaakub AS:

"Hanya kepada Allah aku mengadukan kesusahan dan kesedihanku. Dan aku mengetahui dari Allah apa yang tidak kamu ketahui." 
[Yusuf, 12:86]

Dan ungkap Yusuf AS:

"Sungguh, Allah telah melimpahkan kurnia-Nya kepada kami. Sesungguhnya barangsiapa bertaqwa dan bersabar, maka sungguh, Allah tidak menyia-nyiakan pahal perbuatan orang yang berbuat baik." 
[Yusuf, 12:90]

MashaAllah! Betapa tingginya tawakkal mereka! Betapa hebatnya sabar mereka! Dan betapa berlapang dadanya mereka dengan ketentuan Allah!

Demikianlah yang dapat kita pelajari daripada dua sosok yang luar biasa ini.

Allah pasti akan menguji hamba-hambaNya, dan semakin hebat dan besar ujian-Nya, semakin tinggi pula darjat hamba-Nya itu, andai dia bertaqwa dan sabar. Kata orang, ujian itu mematangkan diri dan emosi; tetapi ia hanya mampu mendewasakan seseorang andai dia berjaya mengharunginya dengan redha!

Dan di sebalik segala musibah dan ujian yang menimpa diri, ketahuilah satu perkata, betapa Allah SWT mempunyai perancangan yang jauh lebih baik daripada apa yang mampu untuk kita fikir dan sangka. Syarat untuk mendapatkan pengakhiran yang baik hanya dua; taqwa dan sabar. Taqwa. Dan Sabar.

Akhirnya, ganjaran Allah SWT untuk para hamba-Nya yang mampu terus istiqamah di atas jalan kebenaran, di sebalik bermacam bentuk mehnah dan ujian, tiada yang lain melainkan sorga yang abadi.

Dan moga itulah yang selayaknya menjadi penutup kepada kisah happily ever after kehidupan kita. 

Senyum.

-gabbana-

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP