19 April 2016

Adiwira Al-Quran

[Kredit]

Anak-anak (dan sudah tentu mak bapak kepada anak-anak ini) pada hari ini berhadapan dengan suatu era yang sangat mencabar dam merunsingkan. Dengan dunia yang semakin tidak bersempadan, teknologi maklumat yang semakin pesat berkembang, Unifi yang semakin laju meskipun tak boleh nak celen lagi kelajuan internet di negara jiran, eh, pelbagai bahan hiburan dan informasi terkini dari Barat, Jepun, India dan Korea bertalu-talu dan menderu-deru masuk sehingga mereka kehilangan identiti dan jati diri.

Tanyalah mereka ini, siapa adiwira pujaan hati mereka? Pasti jawapan yang keluar dari mulut mereka nama-nama seperti Iron Man, Batman, Incredible Hulk, Naruto, Son Goku dan One Punch Man.

Tengok tu, adiwira pun tak tahu apa bendanya? Lailaha ilallah. Geleng kepala.

Tanya pula mereka, siapa idola pengarang jantung hati mereka? Nama-nama seperti Christiano Ronaldo, Justin Bieber, Lee Byung-hun, Shah Rukh Khan, Takeshi Kaneshiro dan entah siapa-siapa lagi pasti akan menjadi jawapan.

Cuba tanya depa ni kenal tak siapa P. Ramlee, atau Hang Tuah, atau anak-beranak Sidek, atau Sudirman, atau Pendeta Zaaba, atau Buya Hamka, atau Abdul Rahman Limbong. Agak-agak apa reaksi dan jawapan mereka?

Shiuhh shiuuhhh angin pantai bertiup nyaman menyapa pipi dan mengurai rambut. Sesuai sangat kalau nak buat iklan syampu.

Err.

Cuba tanya pula siapa sahabat yang pertama sekali masuk Islam? Siapa sepuluh sahabat yang dijanjikan masuk sorga? Siapa pula sahabat yang digelar ‘orang terpercaya Nabi’ atau ‘syahid yang berjalan di muka bumi’?

Hamekau. Jangan kata anak-anak tersipu-sipu nak jawab, silap haribulan mak bapak pun tergagap sama nak menjawab! Kekeke.

Kerana itu kita perlu mendidik generasi hari ini untuk kembali kepada Islam, kepada al-Quran dan sunnah ar-Rasul SAW. Apabila hati mereka sudah terikat dengan Islam, jatuh chenta dengan sunnah baginda, seronok mahu mahu belajar sirah nubuwwah dan para sahabat, mereka tidak akan cari idola lain melainkan tokoh-tokoh atau sosok-sosok yang beriman dan yang dekat dengan-Nya, yang memberi inspirasi kepada mereka untuk turut sama menelusuri jalan para pejuang ini.

Seperti Uwais al-Qarni.

Selain Uwais, masih ramai lagi selebriti langit yang pernah menghuni bumi yang fana ini. Di dalam al-Quran sendiri, ada banyak kisah-kisah yang menceritakan tentang manusia-manusia hebat yang bukan sahaja ikhlas dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang hamba, malah yang lebih luar biasa daripada itu, turut bermanfaat kepada manusia lain di sekeliling mereka.

Selain kisah para Nabi dan Rasul yang menakjubkan yang diceritakan, yang sarat dengan pengembaraan luar biasa dalam mencari redha-Nya, yang jika dibuat filem senang-senang sahaja boleh bikin pecah panggung, masih ada kisah-kisah lain yang tidak kurang hebatnya.

Dan apa yang menariknya dengan kisah-kisah ini ialah watak-watak utamanya adalah para pemuda yang bukan dalam kalangan para Nabi atau Rasul. Mereka ialah manusia biasa yang berjalan di muka bumi sama seperti kita. Mereka makan seperti kita, tidur seperti kita dan kadangkala berlari riang-gembira di tengah-tengah rimbunan bunga dafodil ditemani oleh arnab-arnab gemuk seperti kita juga. Err.

Maka sudah tentu apabila membaca kisah-kisah mereka ini, kita akan merasakan sangat dekat dengan mereka, dapat kaitkan kehidupan kita dengan kehidupan mereka.

Saya gelarkan mereka ini adiwira Al-Quran. Ya, mereka manusia biasa seperti kita. Tapi kisah perjalanan hidup mereka cukup luar biasa, cukup menginspirasikan kita sehingga kadangkala apabila kita

Mari kita lihat adiwira-adiwira luar biasa ini dan belajar daripada mereka.

Pemuda al-Kahfi
Siapa yang tidak tahu tentang kisah mereka ini? Jika anda tidak pernah langsung dengar tentang mereka ini, sila siapkan payung terjun kerana saya mahu campak anda keluar dari kapal terbang.

Kisah pemuda al-Kahfi dirakamkan oleh Allah di dalam al-Quran seperti berikut:
“Apakah engkau mengira bahawa orang yang mendiami gua dan yang mempunyai ar-raqim itu, termasuk tanda-tanda (kebesaran) Kami yang menakjubkan?

(Ingatlah) ketika pemuda-pemuda itu berlindung ke dalam gua lalu mereka berdoa, ‘Ya Tuhan kami! Berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah petunjuk yang lurus  bagi kami dalam urusan kami.’

Maka Kami tutup telinga mereka di dalam gua itu selama beberapa tahun, kemudian Kami bangunkan mereka, agar Kami mengetahui manakah di antara kedua golongan itu yang lebih tepat dalam menghitung berapa lamanya mereka (tinggal di dalam gua itu).

Kami ceritakan kepadamu kisah mereka dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka.” 
 [Al-Kahfi, 18:9-13]

Para pemuda al-Kahfi ialah para pemuda beriman yang menentang kezaliman seorang raja di zaman mereka. Mereka terpaksa melarikan diri dan bersembunyi di dalam sebuah gua kerana diburu oleh sang raja dan konco-konconya.

Mereka ditidurkan selama 309 tahun lamanya dan usai bangkit dari lena yang (teramat!) panjang, mereka mendapati zaman telah berubah dan masyarakat ketika itu sudah beriman.

Pemuda Pawer Di Zaman Nabi Sulaiman
Ketika Nabi Sulaiman AS berkira-kira bagaimana mahu menerbangkan istana Ratu Balqis bagi memberi seprais bak hang kepada ratu kerajaan Saba’ itu, raja kepada segala jin, ‘Ifrit menawarkan diri  dengan berkata:

“Akulah yang akan membawanya kepadamu sebelum engkau berdiri dari tempat dudukmu; dan sungguh, aku kuat melakukan dan dapat dipercayai.” [An-naml, 27:39]

Peh, sebelum Nabi Sulaiman sempat berdiri, ‘Ifrit claim dia boleh terbangkan istana Ratu Balqis! Memang pawer!

Tapi rupa-rupanya ‘Ifrit tak cukup pawer kerana ada seorang pemuda soleh dalam kalangan pengikut Nabi Sulaiman yang jauh lagi pawer!
“Seorang yang mempunyai ilmu dari Kitab berkata, ‘Aku akan membawa singgahsana itu kepadamu sebelum matamu berkedip.’ Maka ketika dia (Sulaiman) melihat singgahsana itu terletak di hadapannya, dia pun berkata, ‘Ini termasuk kurnia Tuhanku untuk mengujiku, apakah aku bersyukur atau mengingkari (nikmat-Nya).’” 
[An-Naml, 27:40]

Bayangkan! Sebelum mata Nabi Sulaiman berkelip, istana Ratu Balqis sudah berada di hadapan matanya!

Pastinya pemuda beriman ini bukan-bukan calang orangnya. Sungguh dia adalah lelaki terpilih yang dikurniakan oleh Allah dengan “ilmu dari kitab”, atau dengan kata lain, super power yang luar biasa! Ini David Copperfield atau David Blaine pun belum tentu mampu buat!

Walaweh!

Pemuda Yasiin
Kalaulah ada satu surah yang boleh dianugerahkan sebagai surah feveret orang Melayu di Malaysia ni, saya jamin anugerah itu akan dimenangi oleh surah Yasiin. Tengok sahajalah! Bukan setakat setiap malam Jumaat surah Yasiin habis dikhatamkan, tetapi ketika melawat orang sakit, majlis doa selamat untuk calon-calon UPSR, tahlil dan sebagainya, surah Yasiin pasti menjadi pilihan!

Alangkah baiknya sekiranya kita bukan sahaja terkumat-kami mengulang-ulang bacaan Yasiin itu, tetapi tahu juga apa yang terkandung di dalamnya. Kerana di dalam surah Yasiin itu, antara lainnya ada diceritakan kisah seorang pemuda yang cukup luar biasa!

“Dan datanglah dari hujung kota, seorang lelaki dengan bergegas dia berkata, ‘Wahai kaumku! Ikutilah utusan-utusan itu.

Ikutilah orang yang tidak meminta imbalan kepadamu; dan mereka adalah orang-orang yang mendapat petunjuk.

Dan tidak ada alasan bagiku untuk tidak menyembah (Allah) yang telah menciptakanku dan hanya kepada-Nya lah kamu akan dikembalikan.

Mengapa aku akan menyembah tuhan-tuhan selain-Nya? Jika (Allah) yang Maha Pengasih mengkehendaki bencana terhadapku, pasti pertolongan mereka tidak berguna sama sekali bagi diriku dan mereka (juga) tidak dapat menyelamatkanku.

Sesungguhnya jika aku (berbuat) begitu, pasti aku berada dalam kesesatan yang nyata.

Sesungguhnya aku telah beriman kepada Tuhanmu; maka dengarkanlah (pengakuan keimanan)ku.’

Dikatakan (kepadanya), ‘Masuklah ke dalam sorga.’ Dia (lelaki itu) berkata, ‘Alangkah baiknya sekiranya kaumku mengetahui.’” 
[Yasiin, 36:20-26]

Hebatnya pemuda ini, sehingga digambarkan dia langsung dimasukkan ke dalam sorga setelah mati dibelasah oleh kaumnya sendiri yang benci dan marah kepada dakwah yang disampaikan olehnya!

Patutlah orang Melayu berebut-rebut nak jampi air mineral dengan bacaan Yasiin setiap malam Jumaat! Eh eh.

Lari laju-laju.

Pemuda Beriman Keluarga Firaun
Sebut sahaja Firaun, yang terbayang dalam kepala kita ialah seorang lelaki bermata celak, berjubah kapas Mesir, lengkap dengan mahkota dan capal yang dijahit dengan benang emas. Betul tak? Nampak sangat banyak sangat tengok movie omputih anda ni.

Nama Firaun tidak asing lagi dalam kehidupan kita. Firaun dikenali sebagai seorang manusia yang bukan sahaja bengis dan zalim, malah melampaui batas dengan mengaku dirinya sebagai Tuhan. Sehingga hari ini, sesiapa sahaja yang berlaku zalim, kejam dan bengis akan digelar dengan panggilan Firaun.

Tetapi tahukah anda di sebalik kekejaman dan kebrutalan Firaun, ada dalam kalangan ahli keluarganya yang beriman? Bukan, saya tidak maksudkan Asiah isterinya itu, tetapi seorang pemuda yang dirakamkan oleh Allah di dalam surah al-Ghafir:

“Dan seorang yang beriman di antara keluarga Firaun yang menyembunyikan imannya berkata, ‘Apakah kamu akan membunuh seseorang kerana dia berkata, ‘Tuhanku adalah Allah’, walhal sungguh, dia telah datang kepadamu dengan membawa bukti-bukti yang nyata dari Tuhanmu. Dan jika dia seorang pendusta, maka dialah yang menanggung (dosa) dustanya itu; dan jika dia seorang yang benar, nescaya sebahagian (bencana) yang diancamkan kepadamu akan menimpamu. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang melampaui batas dan pendusta.’” 
[Al-Ghafir, 40:28]

Peh mantap gila mamat ni! Tak takut langsung dengan Firaun! Hanya kerana keimanannya dan kesungguhannya dalam menegakkan kebenaran!

Gua respek sama lu brooo!

Nah, apa persamaan antara keempat-empat adiwira ini?

Pertama, mereka cukup hebat dan luar biasa.

Pemuda al-Kahfi dengan kekuatan iman mereka, tidak tunduk dan kalah kepada desakan dan ancaman sang raja.

Pemuda pawer si pengikut Nabi Sulaiman AS, yang mempunyai ilmu dan kehebatan luar biasa memindahkan singgahsana Ratu Balqis dalam sekelip mata.

Pemuda Yasiin yang bersegera dari hujung kota semata-mata untuk menasihati kaumnya yang menentang risalah yang dibawa oleh para nabi ketika itu.

Dan pemuda beriman dalam kalangan ahli keluarga Firaun yang tidak gerun pada kezaliman dan kebengisan Firaun hanya kerana mahu menegakkan kebenaran.

Memang cukup hebat lagi luar biasa bak hang!

Kedua, keempat-empat mereka ini adalah pemuda. Ya, masih muda dan ganteng gitu. Eheh.

Pemuda al-Kahfi disebut sebagai ‘fityah’ yang bermaksud muda, dewasa, berani, pemurah, mempunyai kualiti kejantanan dan orang yang mulia.

Pengikut Nabi Sulaiman AS yang pawer itu disebut di dalam tafsir Ibn Kathir sebagai seorang lelaki pembantu kepada Nabi Sulaiman AS dan merupakkan seorang yang siddiq (patuh kepada agama).

Manakala pemuda Yasiin pula digelar sebagai ‘rajulun’ yang membawa makna manusia yang berjantina lelaki atau seseorang yang mempunyai waris.

Lelaki beriman dalam keluarga Firaun itu juga disebut sebagai ‘rajulun’.

Nah, untuk menjadi seorang adiwira yang hebat anda mestilah seorang yang muda dan hensem tahu? Kekeke.

Dan ketiga, anda perasan tak sesuatu tentang uslub yang digunakan al-Quran dalam mengkisahkan tentang mereka ini?

Ok saya bagi ada dua minit untuk perasan. Ok lah kalau tak perasan pun, cubalah buat-buat perasan.

Sudah?

Anda perasan tak dalam keempat-empat kisah tadi, nama mereka langsung tidak disebut oleh al-Quran? Walaupun untuk kes pemuda Yasiin, ada ulama’ yang menafsirkan bahawa beliau adalah seorang lelaki bernama Habib an-Najjar, hakikatnya, al-Quran tidak pernah menyebut siapa lelaki itu sebenarnya.

Apakah rahsia atau ibrah kepada kerahsiaan identiti mereka ini?

Agar kisah hidup mereka akan menjadi pedoman dan panduan untuk kita sepanjang zaman. Dengan merahsiakan nama dan identiti mereka, seolah-olahnya Allah ingin memberitahu kita, tak penting pun siapa mereka ini, asalkan kita mengambil pelajaran dan hikmah daripada mereka.

Kerana kita manusia ini, cenderung untuk mengaitkan seseorang tokoh atau figur itu dengan tempat dan masa beliau hidup.

Mahatma Gandhi memang hebat, tetapi beliau hebat untuk orang India dan ketika itu sahaja.

Oh Hang Tuah memang seorang pahlawan sejati yang sanggup berkorban diri demi raja dan negara, tapi zaman sekarang ni macam tak logik je nak buat macam tu.

Mulan tu sanggup menyamar jadi lelaki sebab tak mahu ayah dia dikerah jadi tentera kerajaan China. Memang mulia! Tapi zaman sekarang ni ada lagi ke anak perempuan yang sanggup buat macam tu?

Maka dengan mendiamkan nama dan merahsiakan identiti pemuda al-Kahfi, pemuda si pengikut Nabi Sulaiman, pemuda Yasiin dan lelaki beriman saudara Firaun, ia menjadi iktibar dan pedoman yang hidup sepanjang zaman. Kehebatan dan keluarbiasaan mereka tidak terbatas oleh tempat, keadaan mahupun masa.

Fuh.

Lantas…

Dari pemuda al-Kahfi kita belajar erti kejantanan dan keimanan sebenar.

Dari pengikut Nabi Sulaiman kita belajar erti kehebatan yang boleh dicapai oleh seorang manusia dengan izin-Nya.

Dari pemuda Yasiin kita belajar erti sebuah pengorbanan atas nama kebenaran.

Dari lelaki saudara Firaun kita belajar erti keberanian bersuara menentang kezaliman.

Dan dari mereka semua, kita belajar bahawa untuk menjadi selebriti langit yang luar biasa, kita sebenarnya tidak memerlukan nama.

Mereka adalah adiwira sebenar yang patut kita contohi dan idamkan. Kerana mereka adalah adiwira al-Quran!

-gabbana-

Post ini adalah post terakhir untuk siri artikel yang diambil dari buku baharu saya, 'Biar Tak Glamor Di Dunia, Asal Popular Di Langit Sana.' Ada dua puluh satu lagi artikel lain yang inshaAllah bakal menggugah jiwa anada! Harapnya by this time, anda sudah cukup teruja untuk membeli buku saya nanti! Eheh.

Dapatkan buku terbaru saya ini dan buku-buku terbitan Penerbitan Wahai! yang lainnya di PBAKL 2016 nanti! Dapatkan info lanjut di laman Mukabuku Penerbitan Wahai! 

11 April 2016

Mother Theresa & Nelson Mandela


[Kredit]

Ada suatu persoalan yang sering membuatkan ramai orang Islam di luar sana garu kepala.

Dan saya juga suatu ketika dahulu, sering juga tergaru-garu kepala dek tidak menemukan jawapan yang memuaskan untuk persoalan ini.

Persoalannya:

  1. Benarkah orang kafir akan masuk neraka walaupun mereka semasa hidupnya ialah manusia yang mulia dan banyak melakukan kebaikan?; dan
  2. Benarkah amal-amal mereka ini langsung tidak diterima, meskipun amalan mereka banyak memberi manfaat kepada manusia?

Sewaktu persoalan ini mengganggu hidup dan menyerabutkan kepala otak saya, ada beberapa nama yang seringkali bermain di fikiran. Antaranya ialah Mother Theresa, Mahatma Gandhi dan Nelson Mandela. Nama-nama ini ialah nama besar dalam sejarah dunia, terutamanya dalam menyumbang kepada kebajikan dan manfaat manusia sejagat.

Mother Theresa contohnya, lahir di Macedonia namun menghabiskan sebahagian besar hayatnya di Kolkata, India untuk menabur bakti dan menanam jasa di sana sebagai rahib Roman Katolik. Beliau tidak berkahwin sepanjang hidupnya dan menggunakan masa dan tenaga yang ada untuk melakukan amal-amal kebajikan melalui pertubuhan yang diasaskannya iaitu Missionaries of Charity yang telah memberi manfaat kepada ratusan ribu, jika bukan jutaan manusia.

Siapa yang tidak kenal dengan Mahatma Gandhi? Tokoh yang terkenal dengan kata-kata, “Be the change you want to see in the\is world” ini merupakan tokoh kemerdekaan India yang menjadi inspirasi kepada seluruh dunia. Gerakan tidak patuh syariahnya, eh maksud saya, gerakan penentangan awam tanpa kekerasan (Baca: Nonviolent civil disobedience) yang diasaskannya telah mempengaruhi gerakan-gerakan menuntut kemerdekaan dan hak asasi di seluruh dunia.

Nelson Mandela pula terkenal sebagai pejuang anti-apartheid di Afrika Selatan. Pengaruhnya yang begitu besar akhirnya menjadikannya Presiden pertama Afrika Selatan dalam kalangan orang berkulit hitam. Ketika beliau menjadi Presiden, beliau mengambil pendekatan berdamai dengan orang-orang kulit putih di Afrika Selatan bagi mengelakkan perpecahan yang lebih besar. Beliau pernah memenangi Hadiah Nobel Keamanan pada tahun 1993. Beliau menubuhkan Yayasan Nelson Mandela bagi memerangi miskin tegar dan penyakit HIV/AIDS yang menular di benua Afrika.

Ketiga-tiga tokoh ini mempunyai banyak persamaan. Antaranya, mereka ialah tokoh yang bukan sahaja berjasa kepada mereka yang berada di sekeliling mereka, tapi mereka juga telah menginspirasikan jutaan manusia di seluruh dunia.

Namun ada satu lagi persamaan pada ketiga-tiga sosok ini. Ketiga-tiga mereka mati dalam keadaan bukan Islam. (Setahu sayalah. Tidak tahulah pula jika mereka mengucapkan syahadah di atas katil kematian mereka!)

Nah, apa nasib mereka ini? Adakah mereka akan dihumbankan ke dalam neraka, meskipun hayat mereka dihabiskan untuk memperjuangkan kebenaran dan keadilan (seperti yang mereka fahami)? Adakah mereka ini akan diseksa dan diazab sedangkan hidup mereka diabdikan untuk melakukan kebajikan dan menyebarkan kebaikan?

Persoalan-persoalan sebeginilah yang menghantui saya dan seringkali menyebabkan saya tidak senang duduk. Apatah lagi apabila memikirkan kebaikan, akhlak dan jasa-jasa mereka ini jika dilihat dan diteliti, jauh lebih mantap dan bagus dari kebanyakan umat Islam sendiri. Malah saya tidak bercakap tentang tiga orang tokoh ini secara spesifik sahaja. Anda yang pernah belajar dan bekerja di luar negara terutamanya di negara Barat atau Jepun akan mendapati ramai dalam kalangan mereka ini yang berakhlak dengan akhlak Islam seperti menepati masa, menjaga kebersihan, menghormati kebebasan orang lain, tidak mudah menghukum, banyak menderma dan melakukan kebajikan dan lain-lain lagi.

Fikirkan orang seperti Bill Gates dan isterinya Melinda yang telah mendermakan bukan ratusan ribu, bukan juga jutaan malah bilionan dolar Amerika untuk tujuan kebaikan melalui yayasan yang mereka tubuhkan. Atau orang seperti Dr. Mads Gilbert, seorang rakyat Norway yang telah membahayakan nyawanya sendiri dengan menyertai misi bantuan kemanusiaan di Palestin.

Cuba anda bandingkan pula dengan negara-negara yang majoriti daripada penduduknya ialah umat Islam seperti Indonesia, Pakistan, Bangladesh, Afghanistan, Iraq malah Malaysia sendiri. Apa yang dapat anda lihat dan perhatikan? Kemudian fikirkan pula perpecahan yang berlaku antara umat Islam, jurang kekayaan yang sangat ketara antara negara-negara Arab seperti Emiriyah Arab Bersatu, Kuwait, Qatar dan sebagainya dengan jiran-jiran mereka yang miskin, polemik label-melabel antara golongan agamawan, pemimpin negara Islam yang korup dan entah apa-apa kegilaan lagi.

Geleng kepala.

Kemudian kita dengan mulut kita yang manis dan penuh berbudi bahasa itu dengan pantas mengatakan orang kafir konfem masuk neraka manakala orang Islam wajib tempatnya di sorga! Adeh.  

Lantas, timbul pula persoalan lain; di manakah keadilan Allah? Bukankah Islam agama yang memperjuangkan keadilan dan kesamarataan? Bukankah begitu banyak ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith Rasulullah SAW yang sahih yang menyebut tentang kasih-sayang Allah dan keampunan-Nya kepada para hambanya?

Tarik nafas panjang-panjang.

Jawapan-jawapan kepada persoalan ini memerlukan perbahasan dan perbincangan aqidah yang bukan sahaja panjang, malah adil dan mendalam. Saya tidak mungkin dapat menjawabnya di dalam penulisan yang serba kekurangan ini, apatah lagi ilmu di dada tersangatlah marhaen dan dhaif.

Meskipun dalil-dalil yang ada, baik dari al-Quran mahupun hadith jelas menunjukkan pengakhiran untuk orang-orang yang semasa hayatnya menolak Islam dan matinya sebagai kafir ialah di neraka, contohnya: 

“Dan barangsiapa mencari selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.

[Ali-Imraan, 3:85]

Atau 

“Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa mempersekutukan (sesuatu) dengan-Nya, dan Dia mengampuni dosa selain syirik bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang menyekutukan Allah maka sesungguhnya dia telah tersesat sejauh-jauhnya.” 
[An-Nisa’, 4:116]

Atau

“Demi Allah, yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya! Setiap orang yang telah mendengar risalahku, baik dia Yahudi atau Nasrani, kemudian dia mati tanpa iman dengan risalahku itu maka dia pasti masuk neraka.” 

[Hadith riwayat Muslim] 

saya sendiri secara peribadinya memilih untuk menyerahkan urusan ini kepada Allah SWT yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Sungguh, Dia lebih mengetahui apa yang tersembunyi dan rahsia pada pandangan mata kita yang lemah ini. Dan Dia yang lebih bijaksana, mengatur urusan alam buana ini sesuai dengan kehendak-Nya. Cukuplah kita berpegang pada dalil-dalil yang sedia ada tanpa bersikap takalluf (memberat-beratkan) atau ta’asuf (mempermudahkan) dalam isu ini. Dan sekiranya kita merasakan diri kita tidak punya ilmu yang cukup untuk berbicara tentang isu yang amat berat ini, berpadalah dengan kita memegang pendapat ulama’ yang muktabar dan berautoriti dalam isu ini.

Segan pula rasanya mahu mengatakan orang lain konfem akan masuk neraka, sedangkan amal diri ini tidaklah seberapa. Malu rasanya mahu menerakakan orang lain walhal diri ini belum lagi bersungguh-sungguh menyeru orang kepada-Nya!

Gulp.

Kini saya mahu beralih kepada persoalan yang kedua; Benarkah amal-amal mereka ini langsung tidak diterima, meskipun amalan mereka banyak memberi manfaat kepada manusia?

Persoalan ini juga seperti persoalan yang pertama, seringkali menyerabaikan rambut saya dek digaru berulang-kali. Namun tidak seperti persoalan pertama, sekurang-kurangnya saya telah menemukan jawapan yang memuaskan untuk persoalan kedua ini.

Begini.

Hikmah penciptaan manusia tidak mungkin akan dapat dirungkaikan dengan sempurna. Hanya Allah yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui itu sahajalah yang lebih arif tentang sebab sebenar mengapa manusia itu diciptakan. Sepertimana firman Allah SWT kepada para malaikat ketika mana mereka membantah penciptaan Adam AS: 

“Sungguh Aku mengetahui apa tidak kamu ketahui.”
 [Al-Baqarah, 2:30]

Namun kita sekurang-kurangnya tahu akan tujuan penciptaan manusia di muka bumi:

  1. Sebagai ‘abid, yakni hamba kepada Sang Pencipta, dan
  2. Sebagai khalifah, yang diamanahkan untuk mentadbir alam ini dengan sebaiknya. 
Kedua-dua ini disebutkan di dalam al-Quran, masing-masing di dalam surah al-Baqarah ayat 30 dan surah az-Dzariyat ayat 56. Kehidupan seorang manusia di muka bumi ini hanya dikira sebagai bermakna dan ada nilainya apabila dia memenuhi kedua-dua tujuan penciptaannya tersebut. Jika tidak, dia hanyalah lebihan kepada dunia. 

Di dalam hadith niat yang dikongsikan sebelum ini, kita telah faham bahawa segala bentuk amal itu hasilnya akan bergantung kepada niatnya. Amalan yang dilakukan kerana Allah akan dikira sebagai ibadah dan akan mendapat ganjaran pahala. Amalan yang tidak dilakukan kerana Allah, hanyalah sia-sia walau bagaimana bermanfaat pun ia. 

Nah, walau bagaimana hebat amalan seorang bukan muslim itu, walau bagaimana bermanfaat pun ia kepada yang lain dan walau bagaimana bagus amalannya itu pada pandangan mata manusia yang lainnya, ia tidak bernilai kerana tidak dilakukan kerana Allah dan Rasul-Nya.

Kita hidup di dunia kerana Allah. Setiap nafas yang dihembus keluar dari paru-paru kita adalah untuk Allah. Setiap titik darah yang mengalir di dalam tubuh badan kita adalah untuk Allah. Setiap detikan nadi kita adalah untuk Allah. 

Makanya, apabila hidup kita bukan kerana Allah, kerja-kerja yang kita lakukan bukan kerana Allah, makan dan minum kita bukan kerana Allah, ola bola kita bukan kerana Allah, jalan-jalan kita bukan kerana Allah, berkahwin beranak-pinak kita bukan kerana Allah, semuanya itu hanyalah sia-sia semata. Sia-sia! 

Oleh sebab itulah, amalan orang bukan Islam tidak diterima di sisi Allah. Kerana mereka melakukannya bukan untuk dan kerana Allah.

Walau sesuci mana pun niatnya untuk membantu manusia lain, walau sebagus mana pun impiannya untuk meringankan beban orang lain dan walau sebaik mana pun hasratnya untuk menghulurkan tangan, ia tidak bernilai di sisi Allah kerana amal-amalnya itu dilakukan bukan lillahi ta’ala. 

Kerana kita adalah hamba-Nya dan seorang hamba itu hidupnya hanya untuk Tuannya semata. 

Fuh. 

Op op. Anda yang muslim ini jangan rasa selesa dahulu. Dengan hujah yang sama, walaupun nama kita Muhammad atau Abdus Salam, Aminah atau Safiyyah, walaupun ada tertera perkataan ‘Islam’ pada kad pengenalan kita, walaupun kita amat gemar berjubah berkain pelikat atau bertudung labuh, belum tentu amalan kita akan diterima-Nya andai kita tidak meniatkannya lillahi ta’ala. 

Dan anda ingat sebagai muslim, anda konfem akan masuk sorga? Belum tentu lagi tahu? 

“Perbezaan yang sebenarnya antara seorang kafir dengan seorang muslim bukanlah perbezaan pada nama. Nama Joni tidaklah bererti bahawa pemiliknya adalah seorang kafir dan nama Abdullah pemiliknya adalah seorang muslim. Demikian pula orang yang memakai seluar jeans tidak bererti dia seorang kafir, dan yang memakai sarung tidak bererti dia seorang muslim. Tidak, tidak demikian,” demikianlah ucap Syaikh Abul A’la Al-Maududi di dalam salah satu khutbah Jumaatnya. 

Sambungnya lagi, “Perbezaan yang sebenarnya antara seorang kafir dan seorang muslim adalah dalam hal pengetahuan. Seseorang adalah kafir kerana dia tidak tahu bagaimana hubungan dirinya dengan Tuhan dan hubungan Tuhan dengan dirinya, dan tidak tahu cara hidup yang mana yang harus dijalaninya di dunia ini, yang sesuai dengan kehendak Tuhan. Apabila seorang anak dari orang tua yang muslim tidak mempunyai pengetahuan mengenai hal ini, maka apa alasannya bagi kita untuk menganggap dirinya sebagai seorang muslim?” 

Sniff sniff. Ada sesiapa bau benda terbakar tak? 

Izinkan saya untuk memetik beberapa lagi peringatan pawer dari al-Maududi. Saya nasihatkan anda untuk sediakan peti kecemasan atau sekurang-kurangnya sebaldi air untuk sebarang kemungkinan. 

“Perbezaan yang begitu besar antara seorang muslim dan seorang kafir, tidak mungkin disebabkan yang seorang bernama Abdullah dan Abdurrahman, sedang yang lain bernama Joni dan Robertson; atau kerana yang seorang dikhatan dan yang lain tidak; atau kerana yang seorang tidak memakan babi dan yang lain memakannya. Allah Yang Maha Kuasa, yang telah menciptakan alam untuk seluruh manusia dan memberinya rezeki, tidak mungkin bertindak sedemikian kejam, mendiskriminasikan antara makhluk-Nya, hanya kerana soal-soal kecil seperti itu dan memasukkan hamba-Nya yang satu ke sorga sedang yang lain ke neraka.” 

Fuh. Sikit sahaja lagi. 

“Apabila perbezaan yang besar dalam kehidupan seorang muslim dengan seorang kafir bukanlah pada soal nama, khatan dan babi, maka apakah perbezaan sebenar antara keduanya? Jawapannya hanyalah satu, yakni Islam dan kufur. Islam bererti kepatuhan kepada Allah sedangkan kufur bererti ingkar kepada Allah. Orang muslim dan orang kafir kedua-duanya adalah manusia, kedua-duanya adalah hamba Allah. Tetapi yang satu, berkedudukan mulia kerana dia mengakui Allah (sebagai Tuhan) dan mematuhi perintah-perintah-Nya. Dia takut akan hukuman yang akan diberikan-Nya apabila dia tidak mematuhi perintah-perintah-Nya. 

Sedangkan yang satu lagi terperosok dari kedudukan yang tinggi itu kerana dia tidak mengakui Allah dan tidak mahu melaksanakan perintah-Nya. Inilah sebabnya mengapa Allah senang kepada orang-orang muslim dan benci kepada orang-orang kafir. Allah menjanjikan sorga bagi orang-orang muslim dan memperingatkan orang-orang kafir bahawa mereka akan dimasukkan ke dalam neraka." - Syaikh Abul A'la al-Maududi, Dasar-Dasar Islam 

Begitulah. 

Kufur dari segi bahasanya ialah menutup. Dari segi konteksnya, ia bermakna menutup kebenaran yang telah sampai kepadanya.

Saya tidaklah mahu mengkafirkan sesiapa, nau’dzubillah. Tetapi definisi kufur bukanlah menyembah berhala atau mempersekutukan Allah semata-mata. Seperti kata al-Maududi, “Kufur bererti ingkar kepada Allah.” 

Nah, berapa ramai daripada kita yang telah kufur apabila kita menghirup udara-Nya yang percuma, berjalan di atas muka bumi-Nya dengan riang gembira dan memakan segala rezeki-Nya tanpa rasa malu dan segan, tetapi akhirnya melakukan sesuatu tidak lillahi ta’ala..? 

Tertelan biji kuaci. 

-gabbana- 

Post ini adalah salah satu artikel yang bakal dimuatkan di dalam buku terbaru saya, 'Biar Tak Glamor Di Dunia, Asal Popular Di Langit Sana!' Mengujakan bukan?

Dapatkan info lanjut tentang buku ini di www.facebook.com/penerbitanwahai atau di instagram.com/penerbitan_wahai. Atau boleh juga dapatkan buku ini di PBAKL 2016 di MAEPS, Serdang bermula 29 April ini!


6 April 2016

Semut Hitam Di Tengah Malam Yang Kelam



Saya pernah membaca entah di mana, kononnya ada hadith yang menganalogikan ikhlas itu ibarat semut hitam di atas batu berwarna hitam, di tengah-tengah malam yang gelap gelita!

Maksud hadith ini sangat menarik dan mengujakan. Malangnya, saya gagal menjumpai sebarang sumber yang sahih yang meriwayatkan hadith tersebut (sekiranya ia benar-benar sebuah hadithlah!).

Namun, tidak salah kiranya andai kita mengambil pengajaran daripada maksud yang ingin disampaikan oleh kata-kata tersebut, kerana pada saya, ibrahnya cukup cantik dan menyegarkan.

Bayangkan, ikhlas itu diibaratkan seperti seekor semut berwarna hitam di atas batu hitam di tengah-tengah malam yang kelam! Peh. Memang terbaiklah analogi. Nak katanya, ikhlas ini sesuatu yang sepatutnya tidak boleh dilihat oleh mata-mata kasar makhluk bernama manusia. Melainkan anda ni spesis X-Men yang punya mata infrared atau X-Ray, itu cerita lain. Sila PM tepi saya kerana saya benar-benar mahu berkenalan dengan anda. Eheh.

Ikhlas sememangnya seharusnya begitu. Sekiranya kita rajin membaca kisah-kisah para sahabat ridhuanu ‘alaih dan tokoh-tokoh dalam kalangan tabi’in (dan bukan biografi artis-artis Hollywood atau K-Pop), kita akan mendapati mereka ini bersungguh-sungguh menyembunyikan amalan mereka agar tidak diketahui sesiapa. Mereka beriya-iya untuk tidak memperlihatkan amalan dan ibadah mereka, agar ia menjadi momen-momen intim mereka bersama khalil mereka, yakni Allah ‘Azza Wajalla semata-mata.

Ada yang bangun tahajjud senyap-senyap dan kemudian tidur balik tanpa disedari sesiapa; apabila dikejutkan untuk solat Subuh, dia mengeraskan suaranya seolah-olah dia baru bangun ketika itu.

Ada yang ketika hidupnya disangka sebagai seorang haji bakhil taik idung masin, tapi sesudah matinya, didapati dirinya rupa-rupanya banyak bersedekah dan melakukan amal jariah.

Ada yang hafiz Quran tetapi tidak diketahui oleh seorang pun dari jiran tetangganya.

Ada yang sangat bersungguh dan asyik dengan doanya, tapi tiada seorang pun yang tahu malah pernah mendengarkan doanya itu.

Dan ada yang apabila mendapat tahu kebaikan atau amal dirinya dihebah dan disebarkan, menjadi marah kerana tidak menyukai perbuatan tersebut.

Begitu bersungguh dan seriusnya mereka ini dalam menyembunyikan amal-amal mereka! Allah Allah!

Nah, kita pula bagaimana..?







Shiuhhh shiuhhh angin sepoi-sepoi bertiup lembut.

Sungguh, kita hidup di zaman fitnah yang benar-benar mencabar dan mengalirkan peluh besar. Terlalu banyak tarikan dan dugaan di luar sana yang menyebabkan kita sama ada secara sedar atau tidak (selalunya sedar!), amat suka dan mudah menzahirkan amalan kita.

Sengaja membalas mesej Waksep pada jam 4-5 pagi kerana mahu memberitahu seluruh dunia yang kita sudah bangun ketika itu.

Sengaja menguatkan suara kita yang merdu ketika membaca al-Quran atau ketika tahajjud supaya semua orang tahu yang kalau kita masuk uji bakat Imam Muda atau Gegar Vaganza, tang tang tu juga kita akan dinobatkan sebagai juara!

Sengaja mengeraskan tangisan kita dalam solat agar orang tahu betapa lembut dan basahnya hati kita ini.

Sengaja menhapdet status di Mukabuku menceritakan sedekah dan sumbangan kita di rumah anak yatim itu dan kerja-kerja aktivisme kita di rumah kebajikan ini.

Sengaja mengicaukan (Baca: Tweet) gambar atau video kita yang sedang membantu seorang nenek melintas jalan atau memberi makan kepada seorang pakcik gelandangan.

Sungguh, kita hidup di sebuah zaman yang spesis semut hitam di atas batu hitam di kala malam yang kelam sudah hampir menemukan kepupusan!

Kerana itu saya merasakan kata-kata tentang semut hitam itu sungguh berhikmah dan punya ibrah yang cukup besar; ia bukan hanya tentang semut itu, tetapi batu yang hitam dan malam yang kelam juga! 

Jika semut hitam itu diibaratkan sebagai diri kita, maka batu hitam ialah tempatnya dan malam yang kelam pula ialah suasananya. Dengan kata lain, untuk benar-benar memaknai keikhlasan, bukan kita sahaja yang perlu bersungguh-sungguh dan beriltizam untuk ikhlas, tetapi tempat dan suasana juga sebenarnya punya peranan yang cukup besar. 

You have to be the right person, at the right place and time. Kecek omputih pulok doh ambo. Kekeke.

Mungkin pada hari ini, ada antara kita yang sedaya-upaya cuba untuk menjadi semut hitam itu, tapi batu tempat kita berdiri menyerlahkan diri kita, sehingga sehitam dan sekecil mana pun kita, ia tetap menonjolkan siapa kita.

Atau boleh jadi kita sudah pun berjaya mencari batu hitam yang akan membantu kita untuk memantapkan keikhlasan kita, tapi waktu ketika itu pula siang yang terang-benderang, sehinggakan sekecil-kecil habuk pun bisa sahaja dilihat oleh mata. Waduh.

Kerana itu saya katakan kita hidup di zaman fitnah yang sungguh mencabar keimanan dan ketaqwaan. Di mana-mana sahaja, baik kiri atau kanan, atas atau bawah, sentiasa ada tarikan-tarikan yang merentap keikhlasan yang tersisa di dalam hati kita.

Sudahlah cukup sukar untuk memaknai keikhlasan itu, datang pula cabaran dan ujian berbentuk raksasa gorgon yang sentiasa mencari peluang dan ruang untuk menggugat keimanan kita! Adeh.

Oleh sebab itu, keikhlasan memerlukan lebih dari sekadar rasa dan tahu. Ia memerlukan sebuah pengorbanan yang besar. Ia memerlukan suatu latihan yang panjang dan berterusan, yang tidak mengenal erti putus-asa atau keletihan.

Berapa ramai orang di luar sana yang tahu kepentingan untuk ikhlas tapi gagal untuk menguasainya?

Berapa ramai orang di luar sana yang belajar tinggi-tinggi dalam bidang usuluddin, ulum Quran dan Hadith dan sebagainya, yang belajar selok-belok tentang agama ini dengan cukup mendalam, tapi masih tidak berjaya untuk ikhlas?

Dan berapa ramai pula orang yang pada pandangan mata orang lain kelihatan cukup hebat dalam amal-amalnya, namun di sisi Allah nilainya kosong, tidak punya apa-apa??

Nah, hayatilah hadith ini, kerana sungguh intipatinya berbicara tentang ikhlas.

Suka untuk saya beri amaran keras, sekeras kepala lutut anda, bahawa hadith ini bakal mencederakan sanubari anda pada sudutnya yang paling dalam.

Anda sudah bersedia? Kembang kempiskan hidung anda sekarang juga, agar udara yang segar dapat memenuhi paru-paru. Percayalah, anda memerlukannya. 

"Orang yang pertama-tama diadili kelak di hari kiamat, ialah orang mati syahid. Orang itu dihadapkan ke pengadilan, lalu diingatkan kepadanya nikmat-nikmat yang telah diperolehnya, maka dia mengakuinya. Dia ditanya, ‘Apakah yang engkau perbuat dengan nikmat itu?’ Dia menjawab, ‘Aku berperang untuk agama Allah sehingga aku mati syahid.’ Allah berfirman, ‘Engkau dusta! Sesungguhnya engkau berperang supaya dikatakan gagah berani. Dan hal itu telah engkau perolehi.’ Kemudian dia disuruh seret dengan mukanya ditelungkup lalu dilemparkan ke neraka.

Kemudian dihadapkan pula orang 'alim yang belajar dan mengajarkan ilmunya serta membaca al-Quran. Dihadapkannya kepadanya nikmat yang telah diperolehnya, semua diakuinya. Dia ditanya, ‘Apa yang engkau perbuat dengan nikmat itu?’ Dia menjawab, ‘Aku belajar, mengajar dan membaca Quran kerana Engkau.’ Allah berfirman, ‘Engkau dusta! Sesungguhnya engkau belajar dan mengajar supaya disebut orang ‘alim, dan engkau membaca al-Quran supaya engkau digelar sebagai qari. Semua itu telah dipanggilkan orang kepadamu.’ Kemudian dia disuruh seret dengan mukanya menghadap ke tanah lalu dilemparkan ke neraka.

Sesudah itu dihadapkan pula orang yang diberi kekayaan oleh Allah dengan pelbagai macam harta. Semua kekayaannya dihadapkan kepadanya lalu diingatkan segala nikmat yang telah diperolehinya dan dia pun mengakuinya. Dia ditanya, ‘Apa yang telah engkau perbuat dengan harta sebanyak itu?’ Dia menjawab, ‘Setiap bidang yang Engkau sukai tidak ada yang aku tinggalkan, melainkan aku infaqkan semuanya kerana Engkau.’ Allah berfirman, ‘Engkau dusta! Sesungguhnya engkau melakukan semuanya itu supaya engkau disebut orang yang pemurah, dan gelaran itu telah pun engkau perolehi.’ Kemudian dia disuruh seret dengan mukanya menghadap ke tanah lalu dilemparkan ke neraka.” 

[Hadith riwayat Muslim]

 Gulp. Gulp.

Ada sesiapa yang terasa seperti mahu terkencing di dalam seluar?

Sungguh ikhlas ialah sesuatu yang cukup misteri. Sumpah misteri.

Lebih misteri daripada semut hitam di atas batu hitam di tengah-tengah malam yang pekat dan kelam!

-gabbana- 

Post ini adalah salah satu artikel yang bakal dimuatkan di dalam buku terbaru saya, 'Biar Tak Glamor Di Dunia, Asal Popular Di Langit Sana!' 

Dapatkan info lanjut tentang buku ini di www.facebook.com/penerbitanwahai atau di instagram.com/penerbitan_wahai. Atau boleh juga dapatkan buku ini di PBAKL 2016 di MAEPS, Serdang bermula 29 April ini! Wohooo! 


Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP