26 January 2016

Pertandingan Menulis Cerpen Wahai!


Saya kira post ini agak ketinggalan zaman sebab hal ini telah pon diwar-warkan di Mukabuku dan Pengicau.

Oh well. Beloger pon ada pengikutnya yang tersendiri kan? Senyum.

Saya sangat suka akan cerita pendek. Kalau diberi pilihan antara novel dan koleksi cerita pendek, selalunya saya akan pilih yang kedua itu. 

Bagi saya, ia memerlukan orang yang benar-benar kreatif untuk menulis cerita pendek yang bagus. Kerana cerita pendek yang berkualiti bukan sahaja membuatkan anda tidak senang duduk, penuh debaran dan menahan nafas kerana tidak mahu ia habis begitu pantas, ia juga mengumpulkan segalanya dalam satu penulisan yang pendek - tema, mesej, pengajaran, klimaks dan kesimpulan. Ia tidak mudah.

Dan cerita pendek yang memuaskan lagi mengujakan wajib ada plot twist yang membeliakkan mata dan menggaru kepala. 

Saya yakin di luar sana, masih banyak bakat terpendam yang masih belum dicungkil dan diserlahkan. Hanya menunggu masa yang sesuai untuk diletupkan. Eheh.

Saya juga yakin, ramai juga di luar sana yang spesis late bloomer. Hanya perlu dibimbing dan ditunjukkan jalan sahaja, kemudian pasti ia akan berkembang subur tak mahu kuncup-kuncup dah! Wahaha. Oleh sebab itu, kami di Penerbitan Wahai! percaya, menjadi tanggungjawab sosial kami untuk memburu bakat-bakat terpendam ini dan mengasahnya agar lebih ramai yang berbakat di luar sana dapat menyumbang kepada Islam melalui bidang penulisan. Osem bukan?

Maka, dengan rasa rendah hati dan berbangga pada masa yang sama, Penerbitan Wahai! buat julung kalinya ingin menganjurkan PERTANDINGAN MENULIS CERPEN WAHAI! 2016 bagi merealisasikan hasrat murni tersebut. Amboi skemanya. Ahahaha. 

Syarat-syarat untuk menyertai pertandingan ini amat mudah:

  1. Boleh menulis dengan baik dalam Bahasa Melayu (anda tidak perlu menjadi orang Melayu untuk memenuhi syarat ini)
  2. Kreatif dan tak skema (Baca: Indie)
  3. Tema bebas
  4. Ada mesej Islami
  5. Tidak lebih dari DUA RIBU patah perkataan
Tarikh tutup penyertaan ialah pada jam 11.59 malam 29 Februari 2016 waktu Malaysia. Hantar penyertaan anda ke penerbitanwahai@gmail.com dengan format yang berikut:

  • Tajuk emel dalam format: [Pertandingan Menulis Cerpen Wahai!]['tajuk cerpen anda']
  • Microsoft Word
  • Font: Georgia, Saiz 11
  • Spacing: 1.5
  • Justify Text
Hadiah? Takde la lumayan sangat. Sedikit wang tunai dan buku percuma.

Buku apa? Eh saya tak beritahu ke awal-awal tadi? 

Ha, cerita-cerita pendek yang terpilih akan dibukukan bersama-sama dengan cerita pendek yang ditulis oleh penulis jemputan. InshaAllah buku ini akan mengumpulan DUA PULUH cerita pendek kesemuanya. Sangat mengujakan bukan?

Dan! 

Anda yang karyanya terpilih, ada kemungkinan untuk bekerjasama dengan kami untuk menerbitkan buku anda sendiri di masa akan datang! Peh. Sekarang saya dah nampak anda angkat kening. Eheh.

Ok saya malas nak tulis panjang. Tolong sebarkan. Tag rakan-rakan anda yang berbakat dalam bidang penulisan. Percayalah, anda tidak mahu sesiapa pon tertinggal dari menyertai pertandingan ini.

Ada soalan?

Dah tunggu apa lagi tu? Mulakan cari idea dan tulis! 

Senyum.

-gabbana-

Bagi pihak Penerbitan Wahai!

 

10 January 2016

Sang Penggunting Rambut

[Kredit]

Mungkin sudah ramai yang mendengar kisah ini.

Kisah saorang penggunting rambut yang tidak beragama (atheis) cuba memprovok pelanggannya. Kisahnya begini.

Suatu hari, di sebuah galaksi yang jauh sekali, saorang penggunting rambut sedang menggunting rambut pelanggannya. Sengaja mahu memprovok pelanggannya, sang penggunting rambut memulakan bicara:

"Tuan, tuan percaya tak kalau saya cakap Tuhan tak wujud?"

Si pelanggan hanya mengangkat kening, terkejut mungkin dengan kenyataan penggunting rambut itu.

"Kenapa pula?"

Sang penggunting rambut tersenyum. Menyangka yang umpannya sudah mengena.

"Cuba tuan tengok di luar sana. Ramai kan orang yang fakir miskin? Yang kebulur tak makan? Cuba tuan tengok lagi. Ramai kan penjenayah yang bermaharajalela? Orang kaya bertambah kaya dan orang miskin papa kedana? Jika benarlah Tuhan itu wujud, mana mungkin Dia biarkan semua itu berlaku! Bukankah Tuhan itu kaya dengan sifat kasih-sayang? Bukankah Tuhan itu sepatutnya Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani? Kerana itu saya katakan Tuhan tak wujud!"

Si pelanggan mengerutkan dahinya, namun kemudian tersenyum. Dia memikirkan apa jawapan yang paling sesuai untuk diberikan kepada sang penggunting rambut. Salah jawab, silap haribulan telinganya yang terpotong!

"Encik, cuba encik lihat di luar sana. Ramai tak orang yang berambut panjang?"

Sang penggunting rambut terhenti, tidak pasti adakah ini cubaan atau betul-betul soalan.

"Err ramai je. Kenapa?"

"Kalau macam tu, penggunting rambut macam encik ni tak wujud! Penipu je semua!"

Sang penggunting tercengang sebentar. Tak sangka agaknya yang ayat itu yang akan keluar dari mulut pelanggannya.

"Aik kenapa pulak??"

"Dah tu. Kalau penggunting rambut tu wujud, tak mungkinlah ada orang yang masih berambut panjang di luar sana! Tak begitu?"

Sang penggunting mahu membuka mulut, mahu memprotes ketika dia menyedari yang dia sudah terkena. Dia hanya terdiam seribu bahasa. Dan si pelanggan tersenyum puas.

Wahai anda semua,

Allah SWT yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang itu, sentiasa membuka ruang dan peluang untuk kita kembali kepada-Nya. Dia sama sekali tidak pernah menutup pintu untuk kita menjadi baik, berubah kepada fitrah kita sebagai saorang hamba. 

Namun pilihan di tangan kita. Kita yang memilih sama ada mahu 'berambut panjang' atau sebaliknya. 

Allah berfirman di dalam al-Quran yang mulia:

"Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan (kebajikan dan kejahatan). Tetapi dia tidak menempuh jalan yang mendaki dan sukar."
[al-Balad, 90:10-11]

Allah sentiasa menunjukkan kepada kita jalan yang benar. Jalan menuju kebaikan. Jalan yang diredhai-Nya. Dan sememangnya fitrah kita sebagai manusia, kita sentiasa chenta kepada kebaikan, walau sejahat mana pon kita.

Kerana itu hati kita mudah tersentuh melihat makcik tua kerepot yang terpaksa berjalan jauh menjual kerepek.

Kerana itu kita mudah sekali mahu menghulurkan derma apabila ada si buta atau si tempang yang datang menghulurkan tangan meminta.

Kerana itu air mata kita mudah jatuh melihat kesengsaraan dan penderitaan orang lain meskipon kita tidak pernah mengenali mereka.

Kerana itu kita mudah sekali rasa bersalah, hati kita meronta setiap kali kita berbuat dosa.

Dan kerana itu juga hati kita mudah sejuk melihat sesiapa sahaja yang berwajah bersih suci bercahaya kerana jauh di sudut hati kita, kita juga mahu jadi sebegitu rupa. 

Kerana itu fitrah kita. 

Cuma, jalan kebaikan itu penuh dengan liku dan duri. Ia tida mudah. Ia payah. Kerana sorga itu hiasannya bukan bunga atau permata, tapi ranjau dan kaca. 

Ramai sekali manusia tertipu dengan hakikat ini, lantas "...tidak menempuh jalan yang mendaki dan sukar." Dia malah memilih jalan pintas ke neraka, yang sentiasa dihiasi dengan syahwat dan perkara yang sia-sia. 

Aduhai. 

Kita tahu semua itu. Kita sedar semua itu. Dan kita faham semua itu.

Kerana itu pilihan di tangan kita. 

Dan kerana itu juga, di akhirat kelak, kita tidak mungkin mampu untuk menyalahkan Allah kerana membiarkan 'rambut kita panjang' dengan dosa dan noda. Kerana sepanjang hidup kita di dunia, Allah sentiasa memanggil-manggil kita untuk kembali kepada-Nya. Allah telah pon menunjukkan kita jalan menuju-Nya.

Majlis-majlis ilmu dan zikir  begitu banyak dikelolakan baik di mesejid atau surau.

Program-program dan ceramah agama kini semakin popular di telebisen dan corong-corong radio.

NGO-NGO kebajikan yang ikhlas membantu ramai manusia kurang upaya tumbuh bagai cendawan.

Kursus atau forum yang fokusnya mahu membantu ramai orang di luar sana untuk berubah dan mencari Tuhan tidak terhitung banyaknya.

Bulatan-bulatan gembira yang mencari redha-Nya bersepah-sepah di merata-rata tempat.

Hanya kita sahaja yang gagal memilih. 

Gagal pilih tukang gunting rambut tidak mengapa.

Tetapi gagal memilih jalan beragama, itu bahaya!

-gabbana-

Jika anda tahu dari mana asalnya kisah sang penggunting rambut itu, sila beritahu saya untuk saya berikan kredit yang selayaknya. Senyum. 

3 January 2016

Dakwah Tahun Baru Yang Mencengangkan!

[Kredit]

Alhamdulillah, Allah yang Maha Penyayang itu cukup baik hati memanjangkan usia kita untuk melangkah masuk ke dalam tahun baru 2016. 

Alhamdulillah, Allah yang Maha Pengasih itu cukup pemurah melimpahkan rezeki-Nya ke atas kita semua meski kita banyak berbuat dosa di sepanjang tahun lepas.

Dan alhamdulillah, Allah yang Maha Pemurah itu cukup tidak lokek masih lagi memberikan saya kekuatan, kemahuan dan ilham untuk menulis post yang pertama untuk tahun 2016. 

Senyum.

Jika difikir-fikirkan, tahun ini ialah tahun kesembilan (atau kelapan, bergantung dari sisi mana anda melihatnya) belog ini wujud di alam maya ini. Saya tidak tahu sama ada itu berita baik atau buruk, tapi pastinya saya amat berharap belog ini banyak memberikan manfaat buat anda yang membacanya.

Dan jika difikir-fikirkan, tahun ini juga tahun kesembilan (atau kelapan, bergantung dari sisi mana anda melihatnya) saya sudah bersama dengan gerabak tarbiyah dan dakwah ini. Bukan suatu tempoh yang pendek, apatah lagi jika dilihat dari perspektif saorang anak kecil; dari merangkak dan jalan terkedek-kedek, kini sudah mahu masuk kelas derajah tiga! 

Di suatu sisi saya rasa bersyukur yang tidak terhingga kerana Allah masih lagi memilih saya untuk menapaki jalan yang penuh berduri ini. Namun di sisi yang lain, saya terasa amat cuak, takut dan nebes kerana saya tidak pasti selama lapan tahun ini, adakah saya sudah melaksanakan tugas saya sebagai seorang 'abid dan khalifah dengan baik. Gulp.

Astaghfirullah. Subhanallah walhamdulillah wallahu akbar! 

Oleh sebab itu, memandangkan ini ialah post pertama untuk tahun ini, saya kira ada baiknya sekiranya kita sama-sama bermuhasabah, melihat kembali apa yang telah kita sumbangkan untuk ummah ini, untuk tarbiyah dan dakwah ini, dan untuk agama ini. Adakah kita saorang manusia yang berjasa, atau hanya lebihan (Baca: Sampah) yang tidak berguna?

Allah Allah!

Untuk tujuan itu, saya ingin berkongsikan dengan anda dua potong ayat daripada al-Quran yang pendek sahaja tidak panjang mana, tapi inshaAllah bisa merobek hati dan mengoyakkan jiwa andai kita tadabburnya dengan chenta.

Anda bersedia? Baiklah!

"Qaf. Demi al-Quran yang mulia.

(Mereka tidak menerimanya) bahkan mereka tercengang kerana telah datang kepada mereka seorang pemberi ingatan dari (kalangan) mereka sendiri, maka berkatalah orang-orang kafir, 'Ini adalah suatu yang sangat ajaib.'"
[Qaf, 50:1-2] 

Risalah yang dibawa oleh Nabi SAW ialah sesuatu yang cukup besar dan signifikan di zamannya. Ia menongkah arus. Ia melawan adat resam masyarakat Arab jahiliyyah ketika itu. Ia juga mencabar kedudukan politik para pembesar Quraisy ketika itu. 

Nabi SAW membawa risalah tauhid yang mengajak sekalian manusia mengEsakan Allah, dan meninggalkan sembahan berhala yang ketika itu ada 360 berhala banyaknya di Mekah sahaja! Masakan orang Arab Quraisy mahu menerima ajakan Nabi SAW yang mahu mereka meninggalkan tinggalan dan warisan nenek moyang mereka? 

Nabi SAW juga mengajak mereka untuk meninggalkan penzinaan, judi dan perhambaan, mengasihani orang miskin dan anak yatim, berbuat baik dan macam-macam lagi yang sememangnya amat sukar diterima dan dipraktikkan oleh masyarakat ketika itu. 

Namun yang lebih menarik untuk kita fikirkan, apa yang dibawa oleh Nabi SAW sebenarnya amat mudah dan lurus ke hadapan. Manhaj dan konsep kebenaran yang ingin ditegakkan oleh baginda sebenarnya adalah sesuatu yang amat logik dan boleh diterima akal. 

Mengapa kalian perlu menyembah berhala yang begitu banyak jumlahnya, malah tidak boleh bercakap, bergerak apatah lagi mengenyit mata itu? Sedangkan Allah yang Esa lagi Maha Berkuasa itu ada? 

Bagaimana kalian tergamak berzina sedangkan perbuatan itu jijik dan merosakkan kehormatan nasab keturunan? Bagaimana kalian boleh berjudi sedangkan ia menindas dan merugikan? 

Bagaimana kalian sanggup menghina dan menyeksa golongan hamba dan anak yatim? Ke mana perginya belas kasihan dan kasih-sayang kalian yang amat terkenal itu? 

Kerana itu orang Arab Quraisy ketika itu sampai tercengang dengan dakwah yang dibawa Nabi SAW. Kerana ia terlalu benar lagi jujur. Ia ibarat mengetuk kepala mereka dengan tukul batu besar yang amat kukuh dan keras. Ia menyakitkan. Amat menyakitkan. 

Yang menambahkan rasa hairan dan ajaib mereka, Nabi SAW berasal dari kalangan mereka sendiri. Muhammad bin Abdullah yang mereka kenali sebagai al-Amin itu, yang mereka kenal dengan baik budi pekerti dan kejujurannya itu, yang mereka tahu sebagai manusia mulia yang tiada tolok bandingannya dari segi akhlaknya. Yang tampak tidak mahu mencampuri urusan harian mereka malah di satu ketika membawa dirinya bertahannuth di Gua Hira' untuk sekian lamanya. 

Ah pedulikan Muhammad itu, dia dengan urusannya dan kita dengan urusan kita!

Tapi kini dia bangkit membawa satu risalah yang menongkah arus, melawan adat dan mencabar kebiasaan mereka? Ini sungguh ajaib! 

Begitulah ibaratnya perjuangan yang dibawa oleh Nabi SAW dan para sahabat. Dakwah baginda ialah dakwah yang mencengangkan mulut dan mengerutkan dahi. Keberadaan dan kesungguhan baginda dan para sahabat menyebabkan orang kafir Quraisy merasakan ia sesuatu yang ajaib, sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mereka selama ini.

Lantas dakwah kita pada hari ini bagaimana? 

Adakah ia sudah cukup mencengangkan sasaran dakwah kita? Adakah ia sudah menjadikan orang di sekeliling kita garu kepala? Adakah ia sudah berjaya menyebabkan mad'u kita berkerut dahi tak terpercaya? 

Mesej yang ingin kita bawa pada hari ini TIADA bezanya dengan risalah yang dibawa oleh Nabi SAW. Bezanya hanya masa dan waqi' semasa. Itu sahaja. 

Ia menongkah arus. Ia berlawanan dengan adat dan kebiasaan masyarakat setempat. Dan ia mencabar kedudukan sosial, politik dan ekonomi sesetengah pihak. 

Sewajarnya ia begitu. 

Kita mengajak orang ramai untuk kembali kepada Islam yang sebenarnya, dan meninggalkan ideologi-ideologi sesat yang menjauhkan kita dari agama. 

Kita menyeru masyarakat untuk membezakan alat dan matlamat, tahu apa prioriti mereka di zaman yang penuh dengan fitnah ini.

Kita menyuruh manusia di luar sana untuk mengenali siapa diri mereka yang sebenar dan fahami tujuan hidup mereka diciptakan di muka bumi. 

Kita menasihati abam-abam dan kakak-kakak di luar sana untuk meninggalkan maksiat tegar yang sudah berdaki dan berkarat di dalam diri mereka. 

Kita menjemput rakan-rakan kita untuk sama-sama mengemban tugas dakwah ini kerana sungguh, ia adalah tanggungjawab kita bersama.

Dan kita mahu melihat Islam itu kembali bangkit, menjadi rujukan buat sekelian alam dan oleh sebab itu, kita mahu lebih ramai orang Islam bersama-sama dengan perjuangan kita ini.

Konsepnya mudah. Mesejnya tidak susah. Logiknya tidaklah payah.

Sewajarnya sesiapa sahaja yang mendengarnya akan tercengang dan garu kepala, kerana besarnya impian kita tapi mudahnya konsep dan rasionalnya! Walaweh!

Pernah saorang al-akh yang amat saya chentai, menceritakan bagaimana saorang mutarabbinya mendapat satu tugasan bertulis di universitinya yang kurang lebihnya begini: Apa yang ingin anda lakukan untuk merubah dunia? 

Anda tahu apa yang ditulis oleh mutarabbinya itu? Dia bercerita panjang lebar tentang konsep maratibul amal, bagaimana dunia ini dapat diubah dengan cara yang amat mudah; ia bermula sedikit demi sedikit dari bawah. Kita bina dan didik orang, yang kemudiannya akan membina dan mendidik manusia yang lainnya. Kemudian kita bentuk satu kumpulan orang-orang yang faham yang telah terbina dan terdidik ini, kita ramaikan lagi orang-orang yang punya pemikiran yang sama. Setelah cukup ramai, punya suara dan pengaruh yang tersendiri, kita wujudkan pula suatu sistem dan akhirnya sebuah kerajaan dan negara untuk menyebarluaskan lagi ideologi dan pemikiran kita. Sehinggalah seluruh manusia menerimanya. 

Anda tahu berapa markah yang dia dapat untuk tugasan itu. Markah penuh! Dan anda tahu apa komen pensyarahnya? Dia sangat kagum malah tertanya-tanya dari mana pelajarnya itu mendapat idea yang sebegitu hebat itu!

Apabila saya mendengar cerita ini, saya tersenyum bangga dan berkata di dalam hati, dari bulatan gembiralah mana lagi! Gelak kecil. 

Ya, dakwah kita ini sebenarnya mudah sahaja. Ia amat mudah difahami dan senang pula diterima. 

Apatah lagi apabila yang menyampaikan mesej ini ialah kita; anak-anak kepada Inche Papa dan Puan Mama kita, rakan kepada sahabat-sahabat kita, anak murid kepada cikgu cikgi kita, sepupu kepada saudara-mara kita. Pastinya ini menjadikan mereka bertambah cengang dan hairan lagi! 

"Ha, si Borhan yang dahulu UPSR dapat 3A dulu tu? Sekarang ni dah berdakwah nak ajak orang tegakkan Islam? Biar btoll!"

"Aku dengar Markonah anak Pakcik Supian penjual air tebu tu sekarang ni sibok ajak orang berbulatan gembira bagai. Peh peh memang pehhh laaa!"

"Seriyeslaaah Quhaidar anak Tan Sri Raof tu dengarnya ke hulu hilir bagi ceramah agama?? Mantap sangat tuuu!" 

Malangnya, semua ini tidak berlaku dan akan kekal menjadi coretan merapu di belog ini sahaja. 

Tiada orang yang tercengang dengan dakwah kita.

Tiada orang merasa hairan dan ajaib dengan mesej-mesej yang kita bawa.

Dan tiada orang yang berasa kagum sehingga tergaru-garu hidung dan kepala dengan pandangan dan pendirian kita.

Mengapa? 

Kerana pengorbanan kita untuk dakwah tidak seperti Nabi SAW dan para sahabat.

Kesungguhan dan keazaman kita untuk menyebarkan Islam dan menegakkan keadilan tidak sekuat dan sehebat para generasi awal.

Mujahadah dan semangat kita untuk menyampaikan mesej yang mudah difahami ini tidak mencapai standard yang sepatutnya.

Tekad dan keyakinan kita dengan fikrah dan manhaj perjuangan ini tidak sekukuh dan seutuh mereka yang telah syahid kerana mempertahankan gagasan ini.

Kita lebih banyak bermain-main. Lebih banyak memasang angan-angan. Dan terlalu banyak memberikan alasan.

Itulah yang berlaku pada tahun 2015 dan tahun-tahun yang sebelumnya. Kerana itu Islam masih tidak naik-naik sehingga sekarang, masih di takuk lama malah mungkin lebih teruk lagi!

Dakwah kita tidak cukup mencengangkan. Tidak cukup menghairankan. Dan gagal menjadikan orang ramai berasa ajaib dengannya. 

Dan ia akan terus begitu untuk tahun 2016 ini, sekiranya kita masih kita yang dulu, tiada apa-apa perubahan pada diri kita yang luar biasa yang berlaku. 

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehinggalah mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka."
[ar'Ra'ad, 13:11]

Moga tahun 2016 ini bakal menyaksikan sesuatu yang hebat dan luar biasa untuk Islam.

Moga tahun 2016 ini menjadi titik tolak untuk kita menjadi penyebab kepada kemenangan Islam.

Dan moga tahun 2016 ini bakal menjadi tahun yang akan kita kenang sebagai tahun yang cukup bermakna buat kita dan agama!

Dengan izinNya!

-gabbana-

Proses menulis buku baharu agak perlahan berlaku. Mungkin dengan doa anda yang ikhlas dan hebat itu, ia bakal bertambah laju? Senyum. 

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP